Anda di halaman 1dari 17

Cerita Anak Derhaka.

Terima kasih Tuan Pengacara Majlis. Yang saya


hormati, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana.
Yang saya kasihi para penonton yang setia serta
rakan-rakan sekalian.
Ibu! Ibu! Ampunkan Tanggang ibu. Tanggang
berdosa kepada ibu! Itulah sebahagian dialog yang
dilafazkan oleh Si Tanggang kepada ibunya. Hai
kawan-kawan! Apa khabar? Hari ini saya bukannya
hendak bercerita Kisah Si Tanggang, tetapi untuk
menyampaikan sebuah cerita yang lebih kurang sama
dengan cerita Si Tanggang iaitu mengenai seorang
anak yang derhaka kepada ibunya.

Kisah yang akan saya sampaikan pada hari ini
berlaku di negeri Arab. Pada zaman dahulu ada
seorang pemuda yang sangat dihormati oleh jiran-
jirannya kerana ketinggian ilmunya. Pemuda itu sangat
disenangi oleh orang ramai kerana budi pekertinya
yang baik. Ya, kawan-kawan, kita juga harus
mempunyai budi pekerti yang mulia jika kita mahu
disukai oleh orang lain. Pemuda itu menjadi permata
hati dan kesayangan ibunya, apatah lagi dia
merupakan anak tunggal. Walaupun dianggap sudah
berilmu, tetapi pemuda itu merasakan ilmunya belum
memadai. Dia bercadang hendak ke Makkah untuk
belajar pelbagai ilmu lagi. Dia juga ingin mendalami
ilmu yang sudah dipelajari. Baginya, menuntut ilmu itu
tidak ada titik perhentiannya. Bagus ya kawan-kawan
sikap yang dimiliki oleh pemuda itu. Semakin banyak
kita belajar, semakin banyak pula perkara yang kita
ketahui.

Pemuda tadi pun memberitahu niatnya untuk
ke Makkah kepada ibunya.

Ibu, saya bercadang hendak ke Makkah untuk
mendalami ilmu pengetahuan agama dengan ulama-
ulama besar di sana. Saya mengharapkan keizinan
dan restu daripada ibu, beritahu pemuda dengan
suara yang lembut.

Anakku, engkau adalah mutiara hati ibu. Ibu akan
menderita kalau engkau pergi ke sana. Lagi pun ibu
sudah tua. Ibu tidak sanggup berpisah dengan
engkau bertahun-tahun lamanya. Batalkan sahaja
niatmu itu nak, kata ibunya dengan suara yang
sebak.

Pemuda itu sangat hampa mendengar kata-kata
ibunya itu. Dia sangat sedih kerana ibunya tidak
membenarkan dia pergi menuntut ilmu di Makkah.
Semalaman dia tidak dapat tidur memikirkan hal itu.
Keesokan harinya, secara senyap-senyap pemuda
itu pun berangkat ke Makkah. Dia tidak menghiraukan
nasihat ibunya supaya tidak meninggalkan ibunya
seorang diri. Pada pagi itu, ibu pemuda itu tercari-
cari di mana anaknya. Alangkah sedih hati ibu tua itu
apabila mengetahui bahawa anaknya telah
meninggalkannnya. Maka berdoalah ibu tua itu.
Ya, Allah! Hatiku sungguh terluka kerana
anakku tidak mahu mendengar nasihatku. Anakku
pergi juga walaupun tanpa keizinanku. Ya Allah
turunkanlah seksa kepada anakku itu Ya
Allah. Suara wanita tua itu merintih dan merayu-
rayu. Kasihan ya, kawan-kawan, wanita tua itu telah
ditinggalkan seorang diri oleh anak kesayangannya.

Pemuda itu akhirnya sampai juga
ke kota Makkah. Dia meneruskan pengajian ilmu
agama di kota yang masyhur dengan tempat-tempat
pengajian ilmu itu.

Pada suatu malam telah berlaku satu kecurian
di kota Makkah. Seorang pencuri telah masuk ke
dalam rumah seorang saudagar kaya. Kebetulan pada
waktu itu saudagar kaya masih belum tidur lena.
Saudagar kaya telah menyedari tentang kehadiran
pencuri tersebut lalu segera bangun. Menyedari hal
itu, pencuri itu lari lintang-pukang. Dia telah
melarikan diri ke arah sebuah masjid dan
bersembunyi di dalam masjid tersebut. Saudagar itu
terus mengejar pencuri itu.

Secara kebetulan pada masa itu, pemuda yang
belajar di kota Makkah berada di dalam masjid itu.
Dia sedang khusyuk berzikir. Dia tidak menyedari
akan kedatangan pencuri yang dikejar oleh saudagar
tadi. Sebagai langkah untuk menyelamatkan diri,
pencuri yang dikejar itu berteriak sambil menunjuk-
nunjuk ke arah pemuda yang sedang duduk berzikir
itu. Kasihan kawan-kawan, tanpa bersoal jawab
pemuda yang berzikir itu telah ditangkap oleh
saudagar tadi.
Engkau hendak mencuri di rumah aku ya?
Pandai berdalih dan berpura-pura warak,
konon! kata saudagar kaya itu. Pemuda yang berzikir
tadi telah dibawa menghadap raja.
Tuanku, pemuda ini telah menceroboh rumah
patik dengan niat hendak mencuri.
Patikcuba menangkapnya tetapi dia telah melarikan
diri dan cuba bersembunyi di dalam sebuah masjid.
Dia berpura-pura warak dengan berzikir. Mujurlah
ada pemuda yang memberitahu patik di mana dia
berada, kata saudagar kaya itu kepada raja. Raja
yang mendengar kata-kata saudagar itu tidak bersoal
banyak. Dengan wajah yang murka, baginda telah
menjatuhkan hukuman ke atas pemuda itu dengan
memotong tangan dan kakinya.
Butakan juga matanya. Jangan belas kasihan
lagi kepada pencuri ini, titah baginda dengan tegas.
Kasihan ya kawan-kawan pemuda yang tidak bersalah
itu telah dijatuhi hukuman yang begitu berat.
Setelah hukuman dijalankan, salah seorang pegawai
istana yang menjalankan hukuman itu berjumpa
dengan raja. Tuanku, hukuman telah
dijalankan, kata pegawai itu kepada raja.
Bagus! Sekarang kamu arak pemuda yang kudung
itu di sepanjang jalan. Katakan kepada orang
ramai bahawa inilah akibatnya kalau cuba mencuri
harta orang. Kata raja itu lagi.
Pemuda yang sudah kudung itu diarak ke
sekeliling Bandar untuk diperlihatkan kepada orang
ramai. Ketika diarak, pegawai-pegawai istana
memberitahu orang ramai tentang apa yang
diperintahkan oleh raja. Suatu ketika pemuda yang
sudah kudung itu menegur pegawai-pegawai istana.
Mengapa kamu berkata demikian? Aku bukan
pencuri. Aku hanya derhaka kepada ibuku! Katakan
kepada orang ramai inilah balasan anak yang
derhaka kepada ibunya, Pegawai-pegawai istana
hairan dengan penjelasan pemuda itu. Setelah
mendengar cerita pemuda itu, tahulah mereka bahawa
pemuda itu tidak bersalah tetapi apakan daya, nasi
telah menjadi bubur.Pemuda itu telah dilepaskan dan
dihantar pulang ke rumahnya. Setibanya di muka
pintu, pemuda itu termenung seketika. Dia tidak tahu
cara yang paling baik untuk tidak mengejutkan ibunya.
Pemuda yang kudung itu pun berpura-pura menjadi
peminta sedekah supaya ibunya muncul di muka pintu.
Apabila mengetahui ada peminta sedekah di luar
rumahnya, perempuan tua itu pun keluar membawa
roti untuk disuapkan ke dalam mulut pemuda yang
kudung itu. Sebaik-baik sahaja roti itu hendak
disuapkan, pemuda itu pun merebahkan dirinya di atas
ribaan ibunya lalu berkata,
Ibu maafkan saya ibu. Saya bukan pengemis.
Saya ialah anak ibu. Saya telah berdosa kepada
ibu. Ampunkanlah anakmu ini, ibu!
Menyedari pemuda yang kudung itu ialah anak
kesayangannya, perempuan tua itu pun mendakap
anaknya sambil menangis. Dia tidak sanggup melihat
penderitaan yang ditanggung oleh anaknya itu. Si ibu
benar-benar menyesal mendoakan perkara yang buruk
terhadap anaknya. Perempuan tua itu pun menadah
tangan lalu berdoa,
Ya, Allah, segala kesalahan yang dilakukan oleh
anakku telah aku ampunkan. Aku tidak sanggup
melihat penderitaan anakku ini. Kau akhirilah
hidupku ini bersama-sama anakku sekiranya mati
itu lebih baik bagi kami dan agama kami.
Doa ibu tua itu akhirnya diperkenankan Allah.
Tidak berapa lama kemudian ibu tua itu
menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana sakit
dan diikuti pula oleh anaknya yang cacat itu.

Demikianlah tadi kawan-kawan satu kisah yang patut
kita jadikan teladan. Ingatlah menderhaka kepada ibu
bapa, adalah amat besar dosanya. Di dunia lagi kita
akan mendapat balasannya. Syurga itu di bawah tapak
kaki ibu. Sebelum saya mengundur diri dengarkanlah
pantun ini.

Masukkan paku ke dalam raga,
Hati-hati jangan terluka:
Tingkah laku perlu dijaga,
Jangan menjadi anak derhaka.

Sekian, terima kasih. Jumpa lagi kawan-kawan

Anda mungkin juga menyukai