Anda di halaman 1dari 9

‘’KOTOR’’

Oleh Wan Nur ‘Afifah


Cerpen ini mengisahkan tentang keperitan hidup yang dialami oleh seorang gadis
genit berusia 18 tahun bernama Vanda Diana. Namanya indah, seindah wajahnya.
Wajahnya polos, bibirnya merah bak delima, pipinya mulus bak pauh dilayang, sinar
matanya redup seakan-akan mengandungi derita seribu makna. Bibir munggil gadis
itu seringkali melemparkan senyuman pada sesiapa sahaja yang memandangnya.
Namun, tak siapa tahu, sejak kecil lagi Vanda sering didera oleh ibu angkatnya iaitu
Engku Maream. Bagi Engku Maream, Vanda tidak layak mendapat walau secebis
pun kasih sayangnya. Dia begitu membenci akan Vanda. Baginya, memandang
Vanda ibarat merelakan perbuatan jijik suaminya iaitu Kamal dengan perempuan
simpanannya. Segalanya bermula sejak 18 tahun yang lalu. Kamal membawa
pulang seorang bayi perempuan lalu lalu menyatakan hasrat untuk menjaganya. Pilu
hati seorang isteri tak siapa mengerti. Suaminya tiba-tiba sahaja membawa pulang
seorang bayi yang tak diketahui asal usulnya. Puas dirinya bertanya siapa ibu
kepada bayi itu namun Kamal hanya membatukan diri. Lantas Engku Maream
mengandaikan bayi itu adalah hasil hubungan terlarang Kamal dan perempuan
simpanannya. Namun, disebalik kejadian itu, tersimpan seribu rahsia yang disimpan
rapi oleh Kamal. Mengapakah Kamal merahsiakan perkara tersebut daripada Engku
Maream ? Dan siapakah sebenarnya Vanda ?

(190 patah
perkataan)
VANDA DIANA. Rakan-rakanku sering memuji keunikan namaku. Kata Papa,
namaku begitu istimewa kerana diambil bersempena nama saintifik bunga Orked
Singapura. Papa berharap, aku juga membesar menjadi indah dan cantik seperti
bunga Orked. Aku sering ketawa apabila Papa memberitahuku tentang makna
sebenar namaku. Lucu sekali. Papa . . Papa. Seorang ayah yang sanggup
melakukan apa sahaja asalkan aku gembira. Berbeza dengan sikap Mak Engku
yang sering memarahi dan memukul aku tanpa rasa jemu.

‘’ Hmmm, Papa . . . Vanda rindukan Papa. Cepatlah pulang ke rumah.’’

Jendela ini menjadi saksi rindu dan ingatan tulusnya kepada Papa. Hari ini
merupakan hari kedua Papa meninggalkan rumah atas urusan perniagaan. Aku
begitu rindu akan belaian manja Papa. Hanya Papa yang sudi memberikan kasih
sayangnya kepadaku. Hanya Papa yang menjadi pembela setia saat Mak Engku
memarahiku, memukul tubuh kecilku. Aku tidak mengerti mengapa Mak Engku
sangat membenciku. Dipanggil Mama juga tidak sudi. Apa sahaja yang aku lakukan
tidak kena dimatanya. Pantang silap sedikit pasti apa-apa sahaja barang disekitar
Mak Engku dilemparnya. Hinaan dan cacian umpama makanan harian. Hatiku pedih,
namun apakan daya tiada apa yang boleh aku lakukan selain sabar dan menerima.

’’ Hoi ! banyak cantik termenung pula kau ya. Baju dalam mesin tu siapa nak
jemur. ‘’

‘’ Mmm maaf Mak Engku, Vanda terlupa nak jemur tadi. Maafkan Vanda. ‘’

Aku memandang sekilas wajah Mak Engku. Wajah yang sangat aku cintai
walaupun tidak pernah mendapat kasih sayang darinya.

‘’ Amboi ! menjawab je kerja kau ni. ‘’ Kepala Vanda ditunjal-tunjal.


Setelah pulang dari Osaka, Papa menghadiahi aku ole-ole tanda kenangan
dari negara Matahari Terbit itu. Seutas rantai mutiara yang begitu cantik. Aku
melompat keriangan lalu memeluk Papa. Terasa begitu disayangi.

‘’ Buat apa abang hadiahkan rantai mahal-mahal macam tu pada budak tak
tahu asal usul tu. Dia tak layak nak pakai barang berharga macam ni. Mari sini bagi
rantai tu pada aku sekarang ! ‘’

‘’ Taapi . . tapi Mak Engku ni hadiah pemberian Papa pada Vanda.’’ Aku cuba
mempertahankan hak aku. Ini hadiah pemberian Papa kepadaku.

‘’ Maream. . sudahlah. Kenapa dengan awak ni. Bertahun-tahun awak


berperangai macam ni tak bosan ke. Cuba la berlembut sikit dengan budak tu. Tak
ada salahnya pun.’’

‘’ Oh jadi abang lebih membela budak tak tahu asal usul ni berbanding isteri
abang sendiri. Baiklah abang nak tengok saya berlembut ya dengan budak ni. Hmm,
Vanda sayang maafkan Mak Engku ya.’’

Sinis sekali pandangan Mak Engku terhadap Vanda. Jijik barangkali melihat
wajah gadis yang telah merentap kebahagiaannya. Wajah Vanda seringkali
mengingatkannya pada seseorang yang sangat dia rindui. Namun segera ditepis
perasaan tersebut. Malas mahu mengingat kembali kejadian 22 tahun yang lalu.

Mak Engku mengusap lembut pipi mulus Vanda Diana. Menggengam erat
tangan gadis kecil itu. Berlakon seolah-olah dia mula menerima kehadiran gadis itu
dalam kehidupannya. Namun, di hati kecilnya, masih terselit api benci yang tak akan
pernah padam.

Aku hanya membatukan diri. Entah mengapa aku merasakan bahawa


sentuhan itu bukanlah sentuhan yang aku dambakan. Renungan Mak Engku begitu
tajam. Senyumannya yang sinis seolah-olah menyimpan seribu makna. Aku
menghela nafas. Semoga Allah melindungiku.

Suasana pagi ini sungguh mendamaikan. Angin sepoi-sepoi bahasa, kicauan


burung memecahkan keheningan pagi. Hari ini sekali lagi Papa ke Thailand
meninggalkanku sendirian bersama Mak Engku. Kata Papa, kali ini Papa pergi agak
lama berbanding kebiasaannya. Aku hanya mengangguk lemah. Antara menerima
dan tidak. Setiap kali Papa ke luar negara atas urusan kerja, Mak Engku pasti
mengambil kesempatan ini untuk menyakitiku. Kadang-kadang, jika aku terlambat
memasak, Mak Engku akan merotanku. Rambutku ditarik-tarik. Tubuhku sudah lali
dengan pukulan. Tiada apa yang boleh aku lakukan selain menangis dan terus
menangis. Entah sampai bila penderitaan ini harusku tanggung.

Seringkali aku bertanya, mengapa Mak Engku sangat membenciku. Apa


salahku padanya. Apa dosaku hingga aku diperlakukan begini. Adakah aku tak layak
menerima kasih sayang seorang ibu ? Sudahlah ibu kandung tidak mahukan aku,
ada ibu angkat juga begitu. Namun tiap kali aku bertanyakan soalan itu, pasti Mak
Engku akan bertambah berang. Adakalanya mengamuk sehingga biru-biru bahagian
tubuhku dipukulnya. Sudahnya, soalan itu tak lagi aku tanyakan.

‘’ Assalamualaikum. . Makcik. . ooo makcik .’’

‘’ Waalaikumussalam. Eh Anisa, ada apa kamu kemari ?’’

‘’ Vanda ada makcik ? Saya nak ajak Vanda ke Kafe Siber. Kami dah berjanji
nak isi permohonan ke universiti sama-sama.’’

‘’ Ohh Vanda tengah tidur. Tak sihat katanya.’’

‘’ Ohh tak apalah makcik. Nanti bila Vanda dah sihat saya datang lagi ya.’’

Aku hanya mendengar perbualan itu dari celah-celah dinding. Nampaknya


peluang aku untuk ke kafe siber semakin tipis. Apatah lagi rahsiaku untuk memohon
universiti telah diketahui oleh Mak Engku. Aku segera beredar apabila melihat wajah
Mak Engku yang semakin tegang. Entah apa lagi yang akan menimpaku. Aku
pasrah.

‘’ Budak tak guna. Ada hati nak masuk universiti. Memang nak kena lempang
budak tak tahu asal usul ni !’’

Vanda yang terdengar derupan tapak kaki Mak Engku lekas mengunci pintu
biliknya. Tak sanggup rasanya dipukul dan diherdik lagi.

‘’ Hmm kalaulah Papa ada pasti Mak Engku tidak akan berani untuk
memukulku. Hanya membebel dan paling tidak sekadar mencubitku. ‘’
Pada ketika ini, aku hanya mampu berdoa agar Mak Engku dilembutkan
hatinya agar tidak memukulku lagi.

‘’ Ya Allah apa lagi yang akan menimpaku. Bantulah aku Ya Allah.’’

‘’ Budak tak tahu diuntung, bukak pintu ni ! jerkahnya sambil mengetuk-ngetuk


pintu bilik itu dengan kasar.’’

Vanda akhirnya membuka pintu tersebut. Walaupun takut dipukul namun dia
sedar keengganannya untuk membuka pintu tersebut akan menjadikan keadaan
bertambah buruk.

‘’ Dasar budak tak sedar diri. Ada hati nak belajar tinggi konon. Kau jangan
ingat suami aku sayangkan kau hidup kau senang. Kau tu anak tak sah taraf kau
dengar tu baik-baik !’’

Bagai dirasuk hantu, Engku Maream terus-terusan memukul dan menyepak


Vanda tanpa ada sedikitpun belas kasihan.

‘’ Aduhhh aduh sakit Mak Engku. . aduh sakit . . Tolong lah Mak Engku tolong
lah jangan pukul Vanda lagi.’’

Esakan dan teriakan Vanda silih berganti. Kesakitan dan keperitan yang
dialaminya tidak tertanggung lagi. Patah hatinya melihat perbuatan ibu angkatnya
itu. Sedikitpun tidak ada belas kasihan terhadapnya.

Tiba-tiba, deringan telefon yang berbunyi nyaring menyebabkan Mak Engku


menghentikan perbuatannya lalu bergegas mendapatkan telefon itu. Rupa-rupanya
Kamal menelefon untuk memberitahu bahawa mungkin dia akan sampai ke tanah air
agak lewat disebabkan oleh flight delay.

Niatnya untuk terus memberi pengajaran kepada Vanda terbantut begitu


sahaja. Namun, dia nekad ingin menyelesaikan permasalahan yang telah
membelenggu hidupnya selama 18 tahun ini apabila suaminya pulang. Tak sanggup
rasanya terus menanggung derita yang selama ini ditanggungnya. Kesabarannya
sudah sudah sampai ke kemuncak. Baginya masalah ini perlu diselesaikan. Dia
akan memaksa Kamal untuk berterus terang tentang kejadian sebenar yang berlaku.
Ketika mereka sedang nyenyak tidur. Tiba-tiba Vanda terdengar bunyi tapak
kaki dari arah ruang tamu. Dia kemudiannya bangun dari katil secara perlahan-
lahan. Cuba melihat bunyi tapak kaki siapakah di ruang tamu tersebut.

‘’ Kau pergi ke arah sana, aku ke sini. Ingat jangan bising pulak. Kantoi nanti
mampus kita!’’

‘’ Ye lah bos. Aku ingat pesan bos.’’

Vanda begitu terkejut apabila mengetahui bahawa ada perompak di dalam


rumahnya. Dia mendengar dengan jelas setiap butir bicara kedua-dua perompak
tersebut. Dia begitu bimbangkan keselamatan Mak Engku di bilik tidur utama. Tiba-
tiba dia melihat telefon pintar pemberian Papa diatas meja kecil di sebelah katilnya.
Dia mengambil telefon tersebut lantas menelefon Papanya. Malang sekali apabila
panggilannya tidak bersambut. Memikirkan keselamatan Mak Engku, Vanda tidak
dapat menelefon Papanya buat kali kedua. Namun Vanda ada meninggalkan kiriman
Whatsapp dengan mengatakan bahawa rumah mereka dimasuki perompak. Entah
mengapa otaknya seakan-akan beku untuk memikirkan jalan bagi menyelamatkan
nyawa mereka.

‘’ Tolong. Tolong ! ! ’’

Tiba-tiba terdengar jeritan suara orang meminta tolong. Sayup-sayup namun


jelas kedengaran. Vanda sangat mengenali suara orang meminta tolong itu.

‘’ Sah itu suara Mak Engku !”

Vanda membuka pintu biliknya secara perlahan-lahan bagi melihat apa yang
berlaku. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat perompak-perompak tersebut
mengacukan pisau pada leher ibu angkatnya. Tiba-tiba tanpa sengaja dia
menjatuhkan pasu bunga hiasan di tepi pintu biliknya. Bunyi kaca yang pecah
menyebabkan perompak tersebut menyedari kewujudannya. Dia cuba melarikan diri
namun sempat ditarik oleh perompak itu.

Engku Maream dipaksa untuk menunujukkan tempat simpanan barang


berharga miliknya. Namun keengganan Engku Maream untuk menunjukkan tempat
tersebut telah menyebabkan ketua perompak itu bengang. Tanpa berfikir panjang
perompak itu terus menghayunkan pisaunya ke arah Engku Maream. Tiba-tiba
Vanda terus menghalang perbuatan merompak itu dengan menolak Mak Engku lalu
menggantikan dirinya. Pisau tersebut akhirnya tertusuk di rusuk kiri gadis kecil itu.
Mak Engku meraung apabila melihat gadis kecil itu terkulai di depan matanya.

‘’ Ya Allah Vanda apa kau buat ni ! Bangun nak bangun !’’

Tiba-tiba siren polis kedengaran. Cuak dengan bunyi tersebut perompak itu
terus melarikan diri. Sementara itu, Mak Engku memangku tubuh kecil Vanda sambil
meraung-raung. Kamal yang datang bersama pihak Polis bergegas mendapatkan
Vanda.

Vanda segera dibawa ke ruang kecemasan akibat pendarahan serius di rusuk


kirinya. Engku Maream tidak habis-habis menyalahkan dirinya atas apa yang
berlaku.

‘’ Abang, semua ni salah saya. Kalau saya tak pentingkan diri mesti
semuanya takkan jadi begini.!

‘’ Ya Allah kotornya hatiku. Kejamnya aku pada Vanda. Tolonglah selamatkan


anakku Ya Allah.’’

Kamal hanya mengeluh perlahan. Sedikit terkilan dengan sikap isterinya


pentingkan diri sendiri dan buta hati. Tengok sajalah, kerana sikap pentingkan diri
yang tak berkesudahan, gadis kecil itu menjadi mangsa. Entah bila lah isterinya
akan insaf.

‘’ Alhamdulillah. Vanda berjaya melepasi tahap kritikalnya.’’ Ujar doktor yang


merawat gadis itu.

‘’ Syukur Alhamdulillah. Hmmm Maream, abang rasa sudah tiba masanya


Maream tahu hal sebenar tentang siapa sebenarnya Vanda.’’

Wajah Engku Maream yang asalnya ceria bertukar muram. Mana mungkin dia
sanggup menerima kebenaran yang bakal tersingkap. Namun, dia tahu bahawa dia
harus kuat. Inilah yang ditunggu-tunggu olehnya sejak 18 tahun yang lalu.

‘’ Maream. . . Sebenarnya, Vanda adalah anak kepada Ayu dan Saiful.’’

Bagaikan halilintar, kenyataan yang diucapkan oleh suaminya terus menusuk


ke dalam hatinya. Ingatannya terus berputar mengingatkan kembali peristiwa 22
tahun lalu yang merentap hati kecilnya. Ayu dan Saiful. Sebaris nama yang cukup
dikenalinya. Manakan tidak, Ayu adalah sahabat baiknya sendiri. Mereka bersahabat
baik sejak kecil lagi. Manakala Saiful adalah tunangnya. Mereka bertiga sangat rapat
bagaikan satu keluarga. Namun, segalanya musnah apabila Ayu dan Saiful tiba-tiba
sahaja bernikah seminggu sebelum dia dan Saiful diijabkabulkan. Hati siapa yang
tak pedih apabila sahabat baik sendiri merampas tunangnya. Sejak peristiwa itu,
mereka bertiga tidak lagi berhubungan. Ayu dan Saiful juga telah meninggalkan
kampung mereka. Akhirnya dia mendirikan rumahtangga dengan rakan
sekampungnya juga iaitu suaminya sekarang.

‘’ Maacaaam . . macam mana anak mereka boleh diserahkan kepada abg ?’’

‘’ Hmm panjang ceritanya.’’

‘’ Segalanya bermula apabila abang mahu pulang ke rumah selepas


berkursus di Pahang. Tiba-tiba abang mendapat panggilan telefon daripada Hospital
Temerloh. Katanya Saiful Khairullah dan Ayu Dahari kemalangan dan ada
meninggalkan wasiat kepada kita.’’

Engku Maream kelihatan tenang walau hatinya berombak kencang. Masih


meragui sejauh mana kebenaran kisah yang diceritakan oleh suaminya.

‘’ Sampai sahaja di hospital. Doktor terus sahaja memberikan wasiat tersebut


kepada abang. Isi kandungan wasiat tersebut ada menyatakan mereka ingin kita
menjaga anak mereka yang terselamat di dalam kemalangan tersebut. Kata doktor,
Ayu melahirkan bayi tersebut sejurus sahaja kemalangan itu berlaku.’’

Air mata Engku Maream akhirnya tumpah jua. Biarpun insan-insan tersebut
pernah menyakiti hatinya namun jauh di sudut hati, dia masih menyayangi mereka.

‘’ Abang maafkan saya kerana selalu berbuat jahat kepada Vanda. Malah
saya menuduh abang menjalinkan hubungan sulit dengan perempuan lain.’’

‘’ Tak apalah, abang maafkan. Salah abang kerana merahsiakan perkara ini.
Abang takut awak tak boleh terima apabila tahu kebenarannya.’’

‘’ Maafkan saya kerana mencelah Encik Kamal dan Puan Maream. Vanda
telah sedarkan diri.’’ Ujar doktor yang merawat anaknya.

Dua bulan kemudian . . . .


‘’ Mama ! cantik tak Vanda ?’’

‘’ Ishh mestilah cantik anak Mama. Tengoklah siapa Mamanya.’’

‘’ Dan siapa Papanya.’’ Kamal tiba-tiba sahaja mencelah perbualan dua


beranak itu.

Serentak dengan itu mereka bertiga ketawa. Hari ini Vanda akan
mendaftarkan diri di sebuah universiti terkemuka tanah air. Engku Maream sedikit
terkilan. Baru sahaja hendak bermanja dengan anaknya tiba-tiba terpaksa berjauhan
pula. Air matanya mula menitis.

‘’ Haaa dah mula dah drama air mata awak ni.’’ Usik suaminya.

‘’ Bukan drama abang. Saya memang sedih. Berat hati nak lepaskan anak
dara kita seorang ni.’’

‘’ Alah Mama bukannya jauh sangat pun Negeri Sembilan dengan Kuala
Lumpur. Bila-bila Mama free datang melawat Vanda ya !’’

Engku Marem hanya tersenyum melihat telatah anak yang selama ini
dipinggirkannya. Dia nekad. Dia akan menebus kembali kesalahannya terhadap
gadis itu. Dia berjanji akan memberikan sepenuh kasih sayang kepada anaknya.

‘’ Dah dah jom Vanda kita gerak. Nanti lambat pula kita sampai. ‘’

Sepanjang perjalanan bibir munggil Vanda tidak henti-henti menguntum


senyuman. Dia bersyukur doanya dimakbulkan Allah. Kini hidupnya terasa
sempurna. Ada Mama dan Papa yang begitu penyayang.

Sambil memandang langit biru, Engku Maream mengucapkan syukur kepada


Ilahi kerana memberi peluang kepadanya untuk bertaubat. Dia sedar, hidup yang
berantakan dan jiwanya yang tak tenang adalah disebabkan hatinya yang kotor
selama ini.

‘’ Alhamdulillah terima kasih Allah untuk nikmat yang selama ini tertangguh.’’

TAMAT

Anda mungkin juga menyukai