Anda di halaman 1dari 7

TEMA: NILAI MURNI ASAS KEUNGGULAN PERIBADI

AYAH PEDOMAN HIDUPKU

“Tolong! Tolong! Tolong! Tolong!”

Aku menjerit sekuat hatiku mengharapkan ada orang akan menyelamatkanku. Nyawaku
kini sudah berada di hujung tanduk. Aku dapat merasakan badanku tenggelam ke
dalam air. Aku tidak dapat bertahan lama lagi. Tiba-tiba, aku terlihat kelibat seorang
gadis yang berambut panjang di sekitar kawasan tersebut. Dia mempunyai raut wajah
yang cantik bagaikan bidadari dengan gaun merah jambu. Dia seakan-akan merupakan
bintang terkenal di dalam filem televisyen.

Aku menjerit dengan lebih kuat lagi.

“Tolong! Tolong! Tolong! Tolong!”

Gadis tersebut menyedari jeritanku. Dia bergerak mendekatiku. Dia tahu hanya dia
seorang yang dapat menyelamatkanku daripada lemas. Aku melihat gadis tersebut
memegang bunga ros di tangannya. Kelopak demi kelopak bunga dipetik oleh gadis
tersebut. Dia seakan-akan tengah memikirkan sama ada ingin menyelamatkan aku
ataupun tidak. Aku tidak sangka bahawa gadis itu seorang yang tidak
berperikemanusiaan.

“Mengapa raut wajahnya yang kelihatan baik tidak seiras dengan perwatakannya?” aku
bertanya kepada diriku.

Aku membiarkan diriku tenggelam ke dalam air. Aku dapat melihat bayang-bayang
ibuku di dalam air. Ibuku tengah memanggil namaku. Ibu menyuruh aku untuk
meninggalkan dunia ini dan bersama dengannya di alam lain. Beliau berkata dunia fana
ini hanya membawa kesedihan dan keperitan kepadaku. Jika aku mengikutinya, aku
pasti akan berasa bahagia di dunia akhirat. Tiba-tiba, sebatang kayu besar dibaling ke
atas permukaan air. Aku tahu aku tidak boleh meninggalkan ayahku. Aku menggunakan
sepenuh tenagaku untuk mencapai batang kayu tersebut. Apabila saya naik ke daratan,
gadis tersebut telahpun meninggalkan tempat tersebut. Aku belum sempat untuk
mengucapkan terima kasih kepadanya lagi.

Mimpi ini telah menghantui aku sejak ibu meninggalkan dunia 10 tahun lalu. Ibuku
merupakan suri teladan aku. Ibu menjadi contoh aku kerana beliau seorang insan yang
hebat. Beliau merupakan seorang guru yang telah mendidik dan menghasilkan anak
bangsa yang berjaya untuk negara kita. Ibu mengorbankan tenaga, wang ringgit dan
masa untuk anak muridnya. Walaupun beliau tahu keadaan kesihatannya tidak
mengizinkan, beliau masih ingin ke sekolah. Keadaan kesihatannya makin teruk.

Suatu hari, saya mendapati sesuatu tidak kena dengan ibu. Ibu masih belum bangun
dari tidur walaupun jam telah menunjukkan masa untuk ke sekolah. Aku bergegas ke
bilik ibu dan memanggilnya bangun. Ibu tidak menunjukkan sebarang reaksi apabila
aku memanggilnya. Aku segera memanggil ayah. Ayah menghantar ibu ke hospital
dengan kadar yang segera. Setelah dua jam terlantar di unit wad kecemasan, ibu telah
disahkan meninggal dunia kerana faktor keletihan yang melampau. Ibu tidak mendapat
tidur yang cukup kerana beliau meluangkan masa yang banyak untuk anak muridnya.

Apabila pandemik Covid-19 melanda negara ini, semua guru telah beralih kepada
Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PDPR). Kebanyakkan guru mengalami
masalah menggunakan peranti elektronik untuk mengajar. Mereka tidak tahu cara untuk
menggunakan fitur-fitur yang moden dan tiada sesiapa yang dapat membantu mereka.
Situasi yang sama berlaku kepada ibu. Ibu meluangkan masa yang lebih untuk melayari
laman Youtube bagi mempelajari cara membuat Google Classroom dan Google Meet.

Ibu ada cuba mendapatkan pertolonganku untuk membantunya. Aku tidak


mengendahkannya dan meneruskan permainan video di ranjang katilku. Aku terus
hanyut di dalam dunia permainan yang hanya membawa keseronokan sementara. Aku
menyalahkan diriku tidak membantu ibu.

Idola hidupku telah hilang. Aku seperti layang-layang yang telah putus talinya, tiada
hala tujuan untuk terbang lagi. Aku tidak menyukai ayahku. Ayahku seorang yang
miskin dan tidak mempunyai kerjaya yang tetap. Ayah mempunyai banyak kerja
sampingan seperti menjadi badut, pencuci pinggan dan penjaja makanan. Aku tidak
pernah melihat beliau sebagai inspirasi hidupku.

“Aku mestilah lebih berjaya daripada ayahku. Aku tidak mahu hidup dalam kemiskinan
lagi. Ini bukan hidup yang kumahu,” aku berbisik di dalam hatiku.

“Ayah, mengapa kita tidak kaya?” Mengapa saya perlu menabung sebahagian wang
saku aku dan tidak boleh menggunakannya?”

Ayah tidak berkata apa-apa. Ayah hanya berkata aku akan faham suatu hari nanti.
Sejak hari itu, aku berjanji kepada diriku untuk belajar dengan lebih tekun. Aku mahu
berjaya suatu hari nanti dan menjadi seorang guru seperti arwah ibuku. Setiap hari, aku
akan mengulang kaji pelajaran di dalam bilikku sehingga larut malam. Aku tahu hanya
dengan cara ini aku boleh mendapat keputusan peperiksaan yang baik. Aku langsung
tidak keluar untuk bermain seperti kawan-kawanku yang lain. Hatiku sayu melihat
budak-budak lain bermain dengan gembira di taman permainan.

Aku cemburu melihat kanak-kanak lain dapat bermain dengan ibu mereka. Aku mulai
rindu pada ibuku. Aku masih ingat ibu akan membelikan aku aiskrim setiap kali selepas
kita balik dari taman permainan. Aku sungguh rindu ibu. Ayahku hanya meluangkan
masanya dengan kerja sahaja, langsung tidak mempedulikan aku. Aku berasa marah
tapi tidak dapat berbuat apa-apa.
Suatu hari, aku terlihat ayah membuat poskad yang bertulis, “Aku bangga pada kamu.
Kamu pasti akan menjadi seorang yang berjaya suatu hari nanti.” Hatiku melonjak
kegirangan kerana aku sangka poskad itu adalah untuk aku.

“Anak, kad ini bukan untuk kamu.”

Aku diam seketika. Aku tidak dapat menahan rasa sedih di dalam hatiku. Aku berjalan
ke bilikku dan menangis seketika. Jika ibu masih ada, beliau tidak akan membiarkan
aku begini. Ibu sentiasa membuatkan aku gembira. Peperiksaan SPM semakin dekat.
Aku tahu ini merupakan peperiksaan terpenting di dalam hidupku. Aku harus mendapat
keputusan yang baik untuk ibuku.

Walau bagaimanapun, prestasi pelajaranku tidak berapa baik. Aku mulai stres dan
memikirkan cara untuk melepaskan tekanan ini. Kawanku, Samad mengajak aku untuk
cuba menghisap rokok dan menghisap dadah. Samad kata rokok dan pil dadah itu
dapat menghilangkan semua benda yang membuatkan aku sedih. Tanpa berfikir baik
buruknya, aku telan dua biji pil dadah. Aku mula berkhayal dan aku dapat melihat ibuku
di sampingku. Aku berasa sungguh gembira.

Telefon bimbit aku berdering banyak kali. Aku pasti itu ayah aku. Aku tidak menjawab
panggilannya kerana aku telah dikawal oleh pil dadah tersebut. Jam telah menunjukkan
pukul 7 pagi. Pagi yang hening dan sejuk ini membuatkan aku malas bangun dari
mimpiku. Burung berkicauan di sinar pagi dan cahaya telah menembusi selit tingkap
bilikku.

Dadah itu telah hilang kesannya. Emosi aku menjadi semakin tidak stabil. Setiap hari,
aku akan menangis di bilikku tanpa sebab. Aku telah kehilangan ibuku. Sekarang,
ayahku tidak mempedulikan aku lagi.

“Kerja! Kerja! Kerja! Ayah hanya tahu kerja. Ayah langsung tidak peduli akan aku!”
Aku memarahi ayah dan lekas meninggalkan rumah aku. Aku pergi mencari Samad
untuk mengambil stok pil dadah yang lebih banyak. Setiap hari, aku akan telah sebiji pil
ini. Apabila aku telah pil ini, aku dapat melihat ibuku. Ibu berbual-bual dengan aku
setiap hari. Kami bercakap tentang memori indah semasa aku masih kecil. Aku berasa
sungguh gembira.

Aku tidak ke sekolah lagi. Aku telah ketinggalan dalam pelajaran. Aku tertidur di kelas
sewaktu cikgu tengah mengajar di hadapan. Aku tidak fokus pada guru aku. Aku terus
menyelami mimpiku yang indah bersama dengan ibu kesayanganku. Peperiksaan SPM
semakin dekat dan aku masih tidak sedar lagi. Aku hanya mahukan ibu. Ibulah saja
yang mampu membuatkan aku gembira. Aku telah lupa pada ayah aku yang tidak
berguna itu.

Ringgggg! Ringggg! Ringgg!

Loceng sekolah berbunyi menandakan kelas telah berakhir. Aku berjalan dengan
perlahan meninggalkan sekolah aku. Aku seakan-akan terlihat ibu aku di seberang
jalan. Aku mengikutinya dari belakang dan melihat mana ibu mahu pergi. Ibu sedang
menuju ke kawasan bangunan yang sedang dalam proses pembinaan. Kawasan
tersebut telah ditutup. Aku tidak kisah banyak lagi. Aku terus meredah kawasan
tersebut dan mengikuti ibu aku.

“Kamu masih ingat tempat ini? Inilah tempat kegemaran kamu. Kamu sangat suka
bermain di kawasan ini. Kamu sering kali mengajak kawan kamu bermain kejar-kejar di
sini,” ibu bertanya kepada aku.

“Apa kata kita bermain kejar-kejar di sini? Kamu akan kejar ibu ya,”ibu berkata lagi.

Aku menunduk kepala tanda setuju.


Telefon bimbitku terus berdering. Ayah semakin bimbang. Ayah risau sesuatu yang
tidak baik akan berlaku kepada aku. Ayah bertanya kepada jiran di sekeliling kawasan
perumahan tentang saya. Mereka semua tidak tahu aku ke mana. Ayah lantas
bergegas ke sekolah untuk mencari aku. Ayah bertanya kepada Samad tentang aku.
Samad memberitahunya aku telah menuju ke bangunan lama yang sedang dibina di
Jalan Sikamat.

Ayah berlari dengan sepantas yang mungkin ke kawasan tersebut. Dia ternampak aku
berada di tingkat empat. Apabila aku nampak ayah, aku ingin lari daripadanya.

“Anak, kenapa tidak bermain kejar-kejar dengan ibu lagi? Sini, anakku. Ibu tunggu
kamu di sini.”

Ayah sedar bahawa khayalan aku telah menjadi semakin teruk akibat pil dadah
tersebut. Ayah menjerit memanggil namaku. Ayah menyuruh aku untuk tidak berlari
mendekati kawasan bahaya di depan aku. Aku tidak mengendahkannya. Ibu sedang
menunggu aku di sana.

“Ibu! Tunggu aku,” aku masih tidak sedar lagi.

Ayah berlari dengan pantas dan berjaya menyelamatkan aku. Aku terus pengsan. Ayah
segera membawa aku ke hospital. Aku dimasukkan ke wad kecemasan kerana aku
dalam keadaan tidak sedar diri. Doktor datang untuk memeriksa keadaanku. Doktor
berkata kepada ayah bahawa aku telah mengambil jumlah pil dadah yang terlalu
banyak. Doktor sedang berusaha untuk mengepam perut aku untuk mengeluarkan
pil-pil tersebut.

Aku tidak sedar diri. Tanpa kusedari, aku telah tidur selama seminggu di hospital
disebabkan pil dadah tersebut. Aku kesal dengan perbuatan aku selama ini.
Beberapa orang dari Rumah Anak Yatim datang ke arah aku. Mereka mengucapkan
terima kasih kepada aku dan ayahku kerana telah memberikan sumbangan kepada
Rumah Anak Yatim. Sumbangan kami telah membantu anak yatim itu menjadi orang
yang berjaya.

Sekarang, aku baru faham erti sebenar mengapa ayah menyuruh aku untuk menabung
sebahagian wang saku aku dan tidak membenarkan aku menggunakannya. Sehingga
hari ini, aku masih ingat apa yang ayah katakan padaku.

“Erti sebenar kaya bukanlah tentang berapa wang ringgit yang kita ada, ia adalah
berapa yang kita boleh beri pada orang lain.”

Aku bersyukur kerana aku masih ada ayah. Ayah ialah pendidik aku. Beliau mengajar
aku erti sebenar kehidupan. Ayah ialah pelampung aku. Beliau menjadi penyelamat
nyawa aku apabila aku berada dalam keadaan bahaya. Ayah juga ialah seorang yang
mulia. Beliau mengajar aku supaya bersifat pemurah kerana sifat ini dapat membawa
kebahagiaan kepada diriku.

“Ayah, kaulah idola hidupku,” kata-kata tersebut terukir di dalam ingatan buat
selamanya.

(1611 PATAH PERKATAAN)

Anda mungkin juga menyukai