Anda di halaman 1dari 5

Ucapan ayah yang ringkas itu aku tenung dalam sebak.

Hadiah ayah adalah


telefon bimbit Nokia dari model yang terbaru. Handphone ini memang aku suka
benar namun bukan berniat untuk memilikinya kerana aku tidak mahu menyusahkan
bonda. Aku sekadar menyatakan kesukaanku tanpa niat apa-apa
Itulah ayah yang tidak pernah membiarkan aku hampa. Ada sahaja hadiahnya
untukku. Apa sahaja yang aku inginkan pantas sahaja ayah tunaikan. Mungkin
kerana dia tidak disampingku untuk melihat aku dewasa (seperti yang tertulis dalam
ucapannya) maka dia tidak banyak soal untuk memberi aku apa-apa. Tetapi
sayangnya kebencianku yang menjadi nanah ini telah menutup kebaikannya.
Masakan aku boleh lupakan peristiwa itu. Ketika itu aku kecil lagi. Masih di
sekolah rendah. Suatu hari bonda menyuruh aku bersiap cepat.
Kita akan ke rumah nenek.
Rumah nenek?. Aku jadi pelik metah. Kami tidak pernah ke rumah nenek
sepanjang aku hidup di dunia ini. Sehingga aku menyangka dalam hidupku hanya
bonda dan ayah sahaja.
Ayah diam sahaja apabila bonda kata kami akan ke rumah nenek. Ayah
sakit itulah jawapan bonda kepadaku sekiranya aku bertanya mengapa ayah diam
sahaja apabila aku cuba untuk bercakap dengannya.
Ayah sudah lama jatuh sakit. Sakit ayah pelik dan tidak kebah. Ayah hanya
baring di atas katil seperti mayat hidup. Bondalah yang bersusah payah melayan
kerenah ayah. Aku tidak berani untuk bermesra dengan ayah seperti selalu lantaran
amaran bonda.
Apabila sampai di rumah nenek, kedatangan kami di sambut dingin sahaja.
Nenek (emak sebelah ayah) menjeling bonda dan aku tajam. Dia langsung tidak
menyambut salamku.
Di rumah nenek, aku diam tidak berkutik sedangkan aku kanak-kanak yang
riang dan gemar bergurau.
Kau bukan cucu rumah ini. Jangan nak berani makan apa-apa di rumah ini,
aku jadi segan apabila sepupu perempuanku yang sering bertocang dua merampas

biskut yang aku ambil di atas para. Aku terasa mahu menamparnya sahaja. Siapa
dia untuk menuduh sebegitu rupa. Kami setaraf sahaja. Berani dia lancang berkata
sebegitu rupa.
Aku mengambil tindakan drastik merampas kembali biskut itu dan berlari
menuju bonda. Sepupuku mengejar aku sekeliling rumah. Bonda cuba untuk
mempertahankanku. Iyalah aku ini kan anak bonda, tentulah bonda akan melindungi
aku.
Suasana kecoh seketika apabila sepupuku yang tidak tahu adab menengking
bonda seperti bonda ini babu di rumah ini. Geram sungguh aku melihatnya. Aku
sering diasuh oleh bonda agar jangan kurang ajar dengan orang tua tetapi sepupuku
terlebih ajar pula.
Nenek muncul di tengah-tengah kekecohan itu. Sepupuku yang tidak malu itu
mengadu entah apa-apa dengan nenek. Bonda cuba untuk melindungi aku tetapi
nenek hanya menyorot tajam wajah bonda.
Langsung nenek menampar bonda. Bonda tersungkur jatuh. Tidak cukup
dengan itu, nenek menghentak kepala bonda ke tiang dengan segala sumpah
seranah dihamburkan. Aku menjerit ketakutan dan menangis apabila melihat kepala
bonda berdarah.
Ayah pula dimana?. Hanya baring di katil memerhatikan kami tanpa sebarang
reaksi. Ayah adalah saksi perbuatan nenek. Aku jadi cukup benci dengan ayah
ketika itu. Mengapa ayah tidak menyelamatkan bonda dari nenek yang kejam
itu?. Nenek yang sedang mencederakan bonda?.
Tidak cukup dengan itu, nenek mengheret bonda di hadapan ayah. Nenek
memaki hamun bonda yang katanya tak tahu malu merosakkan kebahagiaan orang
lain. Kebahagiaan siapa? . Neneklah yang merosakkan kebahagiaan kami?. Aku
menjerit dalam hati. Aku terperosok duduk ketakutan di bucu rumah.
Ayah pula masih begitu. Memandang nenek dan bonda tanpa reaksi. Apa
yang aku tahu, selepas itu wajah nenek puas dan bonda pula menangis tersedusedu. Nenek menarik aku dan bonda keluar rumah rumah dan mencampakkan beg
pakaian kami. Kami telah dihalau!!!!.

Bonda tidak menangis merayu untuk masuk ke rumah puaka itu. Bonda terus
menahan teksi dan meninggalkan ayah dan rumah itu serta isinya.
Semenjak itu aku tidak pernah melihat ayah. Sememangnya aku tidak sudi
pun. Ayahkah dia jika hanya berdiam sahaja melihat isterinya di seksa oleh emaknya
sendiri?. Manusiakah dia melihat kekejaman di hadapan mata sendiri?. Bertahuntahun benci itu bertamu di atma ini sehingga wajah ayah yang kubenci itu muncul
tiba-tiba di hadapan rumah baru kami beberapa tahun lalu
Walaupun aku kagum dengan kesetiaan bonda yang tidak pernah tergugah
walaupun ramai lelaki datang menyerah namun pada hakikatnya kesetiaan bonda
seringkali mengundang amarah dan rajukku. Lantaran kesetiaan dan kasih bonda
untuk lelaki yang paling aku benci seluruh penghidupanku. Lelaki yang tidak dapat
aku kikis walau sesaat lantaran dia adalah ayahku.
Mengapa setelah pelbagai ranjau dan onak kami tempuhi, hati bonda masih
seteguh karang untuk lelaki itu?. Masakan aku tidak dapat menekanya. Jikalau tidak
tentulah bonda telah menerima kehadiran lelaki lain dalam hidup kami. Sekurangkurang apabila begitu aku dapat mengisytiharkan kemenangan kepada ayah
bahawa hati bonda bukan lagi untuk ayah.
Dalam hidup kami hanyalah ada aku, bonda dan adik bonda. Kami tiada
saudara mara lain. Adik bonda yang aku panggil Auntie Miera sudah bertahun
lamanya membawa hatinya yang lara ke Jerman. Semuanya kerana lelaki durjana
yang mengkhianati perjanjian cinta mereka. Mengapa kehadiran lelaki hanya
menyusahkan kaum kami sahaja?. Aku semakin membenci golongan tersebut
Suatu petang Auntie Miera pulang dalam remang senja merah. Aku sungguh
gembira lantaran selama ini kami sering berhubung dengan email sahaja. Aku sering
meluahkan rasa kebencianku pada ayah kepada Auntie Miera.
Namun petang itu menjadi saksi pada lafaz kata-kata Auntie Miera yang
menyentak girangku.
Auntie akan berkahwin tak lama lagi.

KAHWIN! Perkataan itu bagai halilintar membelah bumi. Dahulu kata Auntie
hatinya telah lama tertutup untuk mana-mana lelaki. Lalu mengapa dibuka hatinya
lagi untuk di lukai.
Semalaman aku berkurung dalam bilik tanda memprotes Auntie Miera.
Namun ketika tengah malam, aku terlalu lapar dan cuba menyelinap keluar dari bilik.
Akhirnya aku tertangkap oleh Auntie Miera.
Sayang. Syahdu hatiku mendengar Auntie Miera memanggil nama
timbanganku. Mawaddah yang bererti kasih sayang
Auntie meraih tanganku.
Mengapa terlalu marah pada keputusan Auntie?. Bersungguh benar sayang
benci pada perkahwinan. Mengapa perasaan benci yang keterlaluan ini membenih
dalam jiwa sayang?.
Bahasa Auntie Miera memang puitis biarpun bertahun di luar negara. Aku
membisu namun jawapan yang bergema dalam hatiku lelaki adalah pemusnah
kehidupan bonda dan Auntie Miera!.
Jangan kerana marahkan nyamuk kelambu di bakar. jangan kerana
marahkan ayah, sayang benci pada lelaki.
Aku tetap begitu. Diam membeku namun sorot mataku jelas mencerminkan
keteguhan pendirianku.
Nampaknya rahsia yang berkurun ini harus di bongkarkan juga. Moga benci
dan marah tidak lagi bertamu di hati sayang.
Auntie Miera terus merencanakan cerita. Punca kehancuran perkahwinan
ayah dan bonda lantaran kasih mereka tidak direstui oleh nenek, ibu kepada ayah.
Lantaran bonda bukan dari keturunan syed-syarifah. Namun mereka teguh hati.
Perkahwinan tetap di teruskan biarpun badai melanda
Malangnya selepas beberapa tahun aku lahir, ayah jatuh sakit yang tenat.
Penat bonda menyusung ayah ke sana ke mari untuk berubat. Sehingga suatu hari,
seorang bomoh memberitahu ayah terkena penyakit santau. Walaupun tanpa
sumber yang kukuh, bonda tahu itu adalah perbuatan nenek. Lantaran itu, ayah di

hantar ke rumah agam nenek kembali. Biarpun hati bonda terluka, namun demi ayah
pulih kembali bonda rela. Natijahnya, bonda terpaksa di ceraikan untuk membayar
harga kesihatan ayah.
Ini adalah rahsia yang perlu Auntie simpan. Tetapi auntie tidak mahu jiwa
sayang rosak lataran terlalu benci ayahmu sendiri. Malah satu rahsia terbesar
mengapa bonda merelakan dirinya di ceraikan ayah masih tersimpan dalam laci
cendana dalam bilik bonda. Pergilah sayang lihat sendiri.
Air mataku mengucur jatuh mendengar kisah tragis bonda dan ayah. Itukah
punca ayah tidak menolong bonda ketika nenek menghina dan mendera bonda?.
Ayah yang terkena santau bagaikan tiada punya hati dan perasaan. Lalu apakah
kemunculan ayah pada ketika ini untuk menebus kembali penderitaan kami?
Bilik bonda adalah bilik terlarang. Aku sememangnya tidak selalu masuk ke
bilik bonda. Malah aku tidak mahu pun lantaran bilik itu penuh dengan kenangan
terhadap ayah.
Semasa aku melangkah masuk ke bilik bonda, bau semerbak cendana
menerpa. Bonda tidur pulas dengan wajah yang tenang. Dengan tangan yang
terketar-ketar, aku membuka laci cendana itu. Usai aku membaca dokumen yang
aku temui. Air mataku mengucur laju tanpa segan silu. Ya Allah berdosanya aku
membenci ayah selama ini dan mempertikaikan kesetiaan bonda.
Patutlah bonda tidak pernah menerima sesiapa lagi dalam hidupnya. Bonda
wanita tanpa rahim. Bonda telah menjalankan pembedahan lantaran kanser rahim
selepas kelahiranku. Sedang kasihnya pada ayah masih bersisa, bagaimana mahu
menyemai kasih yang lain pula.
Bonda terjaga lantaran terdengar senduku. Saat itu, aku sujud di kaki bonda
memohon ampun. Ampunkan aku bonda atas kelancanganku!

(http://birungu.wordpress.com/karya-jemari-tanganku/karya-jemari-tangan-2/)

Anda mungkin juga menyukai