Anda di halaman 1dari 7

Al-Quwwah dan Amanah Teras Kepimpinan Islam Masa kini

Hasri bin Harun

Abstrak
Kepimpinan dalam Islam adalah satu amanah yang telah dianugerakan oleh Allah
SWT kepada hambanya. Namun dalam suasana dan peredaran zaman serta
cabaran yang berlaku amanah kepimpinan kurang dirujuk berdasarkan kefahaman
menurut pandangan syarak. Tulisan ini bertujuan untuk meneliti kefahamn tentang
konsep kepimpinan dalam Islam berdasarkan AL-Quran dan Sunnah serta
aplikasinya dalam kehidupan. Tulisan mendapati penegasan dan usaha mendidik
masyarakat terhadap kefahaman ini harus dilakukan secara bersungguh agar
setiap masyarakat memahami akan tanggungjawab ini. Rujukan terhadap contoh
kepimpinan Rasulullah amat penting sebagai asas pembentukan kepimpinan pada
hari ini

Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada
ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia,
(Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya
Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat. (Surah an-Nisa : ayat 58)

PEMIMPIN YANG LAYAK


Memilih pemimpin yang benar-benar layak sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas
merupakan suatu tanggungjawab yang sangat besar dan mulia disisi Allah SWT. Hal ini penting
kerana kelayakan dalam kepimpinan menjadi teras utama dalam mengemudi sesebuah jemaah
atau harakah Islam. Jika baik pemimpinnya, maka akan membentuk pengikut yang baik. Jika
kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang tidak berkelayakan ia boleh
menjerumus kepada kezaliman dan kehancuran. Pemimpin yang adil menurut perspektif alQuran adalah mereka yang mampu membawa wadah perjuangan ini ke arah keredaan Allah
serta dapat menjana al-falah di dunia dan akhirat. Justeru, implikasi melantik kepimpinan dalam
kalangan mereka yang tidak layak bakal membawa kepada kebinasaan bukan sahaja dari segi
fizikal malah spiritual. Hal ini selaras dengan peringatan besar Junjungan Rasulullah SAW yang
mengingatkan kita tentang kesan melantik pemimpin yang tidak layak sebagaimana sabdanya,
yang bermaksud:
Apabila sesuatu amanah itu disalahgunakan (disia-siakan), maka tunggulah saat kehancuran.
Para sahabat bertanya: Bagaimana amanah itu disalah gunakan wahai Rasulullah? Baginda
menjawab: Iaitu apabila tugas atau tanggungjawab sebagai pemimpin itu diberikan
(diserahkan) kepada bukan ahlinya atau bukan orang yang layak, maka tunggulah saat
kehancuran.

Jika kita mengkaji sejarah awal Islam, bagaimana pelantikan seorang pemimpin bukan
daripada mereka yang benar-benar layak akan memberi impak yang cukup besar kepada
organisasi mahupun sebuah negara. Perbincangan tentang kelayakan atau pemimpin ini telah
berlaku sejak zaman sahabat RA terutamanya dalam membincangkan tertib afdhal (layak) para
Khulafa Rasyidun. Dr Muhammad Imarah dalam bukunya al-Islam wa Falsafatu al-Hukm
menyatakan:
Ia bersempena dengan dakwaan golongan Syiah yang menuduh para sahabat menafikan Ali
daripada kepimpinan yang menurut mereka dia lebih afdhal daripada yang lain, maka
berlakulah perbincangan tentang afdhal dan susunan tertibnya dalam kalangan sahabat, begitu
juga keharusan pemimpin mafdhul ketika wujudnya yang lebih afdhal.
Imam al-Haramain al-Juwaini menegaskan bahawa maksud:

Al-fadhil dan al-mafdhul bukannya yang lebih tinggi darjatnya dan lebih dekat taqarrub
kepada Allah dalam amalannya. Boleh jadi seorang wali Allah yang menjadi tonggak dan
rujukan seluruh alam yang jika dia bersumpah dengan nama Allah pasti akan terjadi, tetapi
pada zamannya terdapat seorang yang lebih sesuai dan layak daripadanya untuk menguruskan
urusan
umat
Islam."
Justeru, urusan kelayakan ini adalah suatu amanah dan perintah yang sangat penting dalam
konteks sebuah kepimpinan dalam Islam. Menentukan mereka yang layak wajar diletakkan dari
segi kefahaman erti layak sebagaimana takrifan para ulama muktabar namun dalam masa yang
sama pengertian itu harus diserasikan dengan realiti dan keupayaan pemimpin dalam mengurus
dan mentadbir alam tersebut.
Keadilan menuntut kebijaksanaan
Ciri utama pemimpin yang dinyatakan oleh Allah dalam surah an-Nisa tersebut adalah
mereka yang adil. Keadilan adalah suatu istilah yang cukup besar maknanya dan
mengikut pengertian ia harus difahami secara maknawi. Keadilan dalam jiwa pemimpin
bukan sahaja mampu memberi kesamarataan dan membuat suatu keputusan yang
disukai namun adalah lebih utama adalah kekuatan ilmu dan kebijaksanaan dalam
mengemudi kepimpinan. Sejarah Islam telah menunjukkan bagaimana pemimpin yang
adil bermula dari zaman baginda SAW dan para sahabat sehingga kepada para tabiin
sehingga zaman ulama mutaakhirin. Sebagai contoh kepimpinan Umar Abdul Aziz,
yang memerintah dalam satu tempoh yang pendek namun mempunyai jasa dan kualiti
kepimpinan yang hebat dan menonjol. Sifat adil dalam konteks mengurus negara, serta
mampu membina satu tamadun manusia telah memberi satu contoh bahawa kepimpinan
yang baik bakal memberi kesan yang baik kepada tamadun manusia. Apakah kita
generasi pemimpin masa kini mampu meneruskan tradisi kepimpinan sebegini?
Semua ini boleh kita jadikan sandaran kekuatan bagaimana memilih mereka yang benarbenar adil dalam memimpin. Istilah keadilan sememangnya mudah diguna pakai oleh
mana-mana pemimpin sebagai senjata untuk membuktikan kepemimpinan mereka.
Namun apakah kayu ukur kepada keadilan yang diwar-warkan? Apakah dengan
memberi sesuatu hasil daripada khazanah rakyat yang dikumpul untuk diberikan kepada

rakyat semula diangkat sebagai tema adil atau mempunyai niat tertentu untuk
menaikkan nama dan kehebatan mereka dimata rakyat. Justeru bukan mudah untuk
menobatkan keadilan pada mata masyarakat melainkan kayu ukur keadilan itu harus
dipantau daripada kaca mata hukum syariat Islam.
KONSEP AL-ADALAH
Konsep al-Adalah dibicarakan menurut Islam memberi pengertian dan istilah yang
mempunyai kekuatan iman dan keupayaan menterjemah iman kepada amal soleh secara
tersusun dalam kepemimpinannya. Keadilan yang digambarkan dalam ayat ini memberi
satu peringatan bahawa hanya mereka yang adil dalam memimpin mampu membawa
organisasi ke arah yang lebih baik. Keadilan dari perspektif sebuah pemerintahan
menurut menurut al-Mawardi dalam kitabnya al-ahkam al-Sultaniyah menyatakan
bahawa keadilan dalam pemerintahan sangat penting kerana matlamat kepimpinan
adalah untuk menjaga kemaslahatan agama dan dunia.

Keadilan menurut al-Mawardi keadilan adalah satu sifat universal. Justeru mengabaikan
keadilan bererti mengabaikan sifat kemanusiaan, justeru pemimpin harus menegakkan
keadilan dari semua sudut, ekonomi, politik dan sosial. Jika seorang pemimpin
mengabaikan keadilan yang sepatutnya mereka nobatkan, ini merupakan petanda
bahawa kehancuran bakal menimpa ke atas umat di zamannya. Bahkan jika diteliti
secara mendalam bahawa Allah SWT amar murka terhadap mereka yang diberi amanah
tetapi khianat dengan amanah mereka.

Materialisme cabaran Hawa Nafsu sang pemimpin

Antara cabaran besar yang bakal dilalui oleh manusia yang bergelar
termasuk materialisme adalah cabaran hawa nafsu. Hawa nafsu yang sentiasa
bertenggek dalam jiwa ini sentiasa akan menakluki hati dan jiwa jika dibiarkan lalai
dengan perintah Allah SWT. Ketika mereka belum menjadi pemimpin dan sesudah
dianugerahkan amanah ini, antara cabaran dalaman yang bakal dihadapi adalah cabaran
kebendaan, fitnah dunia dan hawa nafsu yang bergejolak dalam apa jua keadaan.
Hakikat ini tidak mampu diatasi jika seseorang pemimpin tidak benar-benar mempunyai
jati diri dan kefahaman mendalam hakikat iman dan akidah yang jelas. Apatah lagi jika
seorang pemimpin mengabaikan kefahaman mereka maka diri mereka mudah dikuasai
dengan hawa nafsu. Apabila datang sahaja kemewahan khususnya dalam apa juga
keadaan maka diri mereka muda dikuasai hawa nafsu.

Allah SWT mengingatkan pemimpin kita tentang kepentingan memelihara hawa nafsu
sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran, bermaksud:
Hai Daud, Sesungguhnya kami menjadikan kamu (penguasa) dimuka bumi, maka
berilah keputusan diantara manusia dengan adil dan jangalah kamu mengikuti hawa
nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah dan mendapat azab yang
berat kerana mereka melupakan hari perhitungan. (Surat as-Sad : ayat 26)

Berapa ramai dalam kalangan para pemimpin yang tenggelam dengan fitnah hawa nafsu
mereka apabila berhadapan dengan kebendaan dan kemewahan dunia. Tatkala itulah
segala khazanah dunia ini sudah tidak lagi dianggap sebagai aturan daripada Allah Taala
dan amanah yang harus dilakukan. Namun yang menjadi keutamaan ialah keselesaan
hidup dan kemewahan yang tidak ada penghujungnya. Maka dengan itulah timbulnya
rasuah, dan penyelewengan yang membawa kepada ketidakstabilan ekonomi dan
kemasyarakatan.
Gejala seperti membolot kemewahan negara, khazanah yang disimpan dengan
mengambil kesempatan meluluskan projek untuk diri dan keluarga seseorang pemimpin
adalah contoh yang paling hampir diperlihatkan bagaimana seorang pemimpin dikuasai
oleh nafsu. Hakikat yang wajar dilihat adalah bagaimana cabaran dalam kepimpinan
bukan sahaja untuk menduduki kepimpinan yang sememangnya besar amanahnya
namun cabaran besar seorang pemimpin adalah memelihara hawa nafsunya agar tidak
terjerumus dengan rasuah, penyelewengan, kronisme dan nepotisme.

Oleh hal yang demikian kepimpinan adalah amanah besar yang dianugerahkan oleh
Allah SWT kepada hamba-Nya bagi melaksanakan memakmurkan bumi ini mengikut
kehendak dan aturan daripada-Nya. Dengan kesedaran inilah yang memungkinkan
setiap hambanya untuk melakukan sesuatu amanah berdasarkan panduan al-Quran dan
Sunnah Nabi SAW serta berkeupayaan mengatur setiap tindakan agar tidak tersasar
daripada kehendak yang maha pencipta. Sifat memenuhkan cita-cita nafsu dalam jiwa
seorang pemimpin akan mengundang kepada meluasnya kehancuran kerana kepimpinan
itu tidak lagi digalas sebagai amanah (taklif) tetapi sebagai suatu kemewahan (tashrif).
Anugerah kepimpinan daripada Allah ini bukanlah suatu kebanggaan yang harus dipuja
dan diangkat sebagai satu kemuliaan namun harus diletak sebagai pertanggungjawaban
besar didunia dan akhirat. Memahami akan kepentingan mengangkat pertanggungjawab
dunia dan akhirat ini memungkinkan tercipta kepimpinan yang berteraskan prinsip
ilahiah yang menjurus kepada kepimpinan rabbaniy sebagaimana yang dituntut oleh
Islam.
Gesaan Allah SWT kepada Nabi Daud AS dalam ayat 26 surah as-Sad ini
menggambarkan akan besarnya pertanggungjawaban seorang pemimpin dalam
membuat keputusan, dan suatu amanah melaksanakan misi dan visi kerasulan
mengangkat martabat insan yang tidak boleh diremehkan dengan sikap bertuhankan
nafsu dan nilai kemanusiaan kosong namun harus adil dalam melaksanakan tugas
berteraskan tauhid kepada Allah SWT. Keadilan yang digambarkan ini memberi satu
kefahaman bahawa amanah kepimpinan tidak boleh dipisahkan daripada kefahaman
ketuhanan iaitu setiap tindakan kepimpinan akan ditanya oleh Allah SWT diakhirat
nanti.
Mengelak pemimpin yang gila dunia

Memilih pemimpin yang adil, bermaruah ini bukan sekadar tuntutan dunia.Ia tidak
hanya sekadar memilih ketua dalam sebuah pejabat untuk mengurus urusan pejabat
sehari mengikut aturan biasa. Ia juga bukan satu amalan memilih seorang ketua untuk
memimpin aktiviti sukan dan kegiatan harian semata. Kepimpinan adalah suatu amanah

dunia dan akhirat. Ia adalah suatu tanggunjawab dan perintah ilahi yang maha benar.
Hal ini kerana, kepengikutan melulu dalam kalangan pemimpin yang zalim bukan
semata dosa dunia malah akan berlaku penyesalan berkekalan sehingga hari kiamat.
Allah berfirman yang bermaksud:
Ketika orang-orang yang diikuti (pemimpin) itu berlepas diri daripada mereka yang
mengikutinya dan mereka melihat siksa dan (ketika) segala hubungan antara mereka
terputus sama sekali. Dan berkatalah para pengikut : Sekiranya kami dapat kembali
(ke dunia) sudah pasti kami akan berlepas diri daripada mereka (pemimpin)
sebagaimana mereka (pemimpin) berlepas diri daripada kami. Demikianlah Allah
memperlihatkan kepada mereka amal perbuatan mereka yang menjadi kesesalan bagi
mereka dan mereka tidak sekali-kali akan dikeluarkan daripada api neraka. (Surah
ASal-Baqarah : ayat 166 167)

Amaran keras daripada Allah SWT ini digambarkan dalam surat al-Baqarah yang
menekankan bahawa pemimpin yang zalim pastinya akan berlepas daripada masalah
mereka diakhirat nanti dan sebagai pengikut mereka akan merasa satu penyesalan
berterusan dan ingin kembali ke dunia memperbaiki kesilapan mereka yang lalu.
Penyesalan ini yang digambarkan dalam ayat ini merupakan suatu ingatan keras
daripada Allah SWT agar manusia benar-benar memahami tanggungjawab dan impak
kepada kepemimpinan yang tidak berlandaskan kepada ciri-ciri islam. Kecenderungan
seseorang pemimpin yang meraih sebanyak mungkin kekayaan dunia untuk kepentingan
diri mereka dan mengaut keuntungan dunia bukanlah suatu perkara pelik dalam dunia
moden pada hari ini.

Justeru, intipati daripada ayat diatas memberi kesedaran bahawa sebagai pengikut kita
harus menyedari bahawa Allah SWT menyatakan bahawa pemimpin yang zalim ini
tidak sama sekali akan mempedulikan kita pada hari akhirat bahkan Allah tidak akan
mempedulikan akan kesengsaraan di dalam neraka. Pemimpin yang baik harus menilai
akan amanah yang dipikul dengan baik. Hal ini kerana setiap amanah tersebut akan
dinilai oleh Allah diakhirat nanti. Jika kesedaran ini wujud dalam diri maka kita akan
dapat mengelakkan lahirnya pemimpin yang gila dunia atau dengan kata lain lalai
dengan penipuan dunia yang bersifat sementara.

Quwwah dan Amanah: Kriteria memilih pemimpin

Menurut Ibnu Taimiyyah, ciri kepimpinan hebat menurut Allah SWT perlu dipelihara
dua rukun iaitu al-Quwwah dan Amanah. Kedua-dua rukun sangat penting sebagai ciri
dan persediaan utama yang mesti ada sebagai seorang pemimpin Islam yang benar.
Quwwah dari segi pemahaman syarak adalah bidang kuasa yang diberikan. Al-Quwwah
dinilai pada setiap kepimpinan berdasarkan keadaannya. al-Quwwah dalam mengetuai
peperangan merujuk kepada keberanian hati, pengalaman dalam peperangan, tipu daya
peperangan kerana peperangan itu adalah tipu daya dan kemampuan dalam berbagai
jenis peperangan. Sebagai contoh al-Quwwah dalam kehakiman manusia merujuk
kepada ilmu mengenai keadilan seperti yang ditunjukkan oleh al-Quran dan as-Sunnah

dan kepada kemampuan melaksanakan hukum. Inilah ciri dan kelayakan yang mesti
dipilih oleh rakyat kepada pemimpin mereka bahawa jika pemimpin mempunyai keduadua ciri ini akan membawa kepada kepimpinan yang benar-benar diredhai Allah SWT.
Kekuatan dan Amanah inilah pra syarat utama yang disepakati oleh ijma ulama bahawa
seorang pemimpin mampu dan berkeupayaan dalam mengemudi kepimpinan mereka
dalam segala kekuatan.

Manurut Al-Mawardi pula menyatakan dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyah bahawa


ijma ulama bahawa antara ciri penting pemilihan pemimpin adalah mereka yang
mempunyai keupayaan (quwwah) dalam menyelesaikan masalah berteraskan ilmu,
kebijaksanaan dan kaedah yang sesuai dengan masalah yang dihadapinya. Pelantikan
kepimpinan tanpa diberi tumpuan dari segi aspek quwwah ini adalah merupakan suatu
pengkhianatan terhadap asas penting kualiti kepimpinan yang ada. Apabila pemilihan
kepada mereka yang lemah, ketidakmampuan mengurus sesuatu amanah maka akan
mengundang kepada kelemahan dan ketidakaturan pengurusan kepimpinan.
Manakala Amanah pula merujuk kepada tiga perkara iaitu takutkan Allah, tidak menjual
ayat-ayat Allah dan tidak takutkan manusia. Pemimpin yang beramanah adalah mereka
yang memelihara hubungan dengan yang Maha Penciptanya, mengetahui akan
kedudukan mereka sebagai hamba dan wakil pemimpin didunia ini, tugas mereka adalah
mengurus dan mentadbir alam ini dengan kehendak Allah SWT dan menjaga hubungan
sesama manusia. Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah
al-Muslim al-Muasir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh
para pemimpin. Antaranya ialah menegakkan syariat Allah berpandukan apa yang telah
diturunkan oleh Allah. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa
mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap
permasalahan rakyat. Allah berfirman yang bermaksud:
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu
(wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang
memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orangorang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan
menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah
diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan
setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat
kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan
(ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang
derhaka. (Surah an-Nur : ayat 55)

Keupayaan seorang pemimpin memikul amanah kepimpinan berteraskan wahyu Allah


adalah kunci kepada kejayaan. Jika mereka mampu membawa kepemimpinan ke arah
kesedaran maka ia adalah seorang pemimpin yang benar-benar dijanjikan oleh Allah
syurga kerana amanah mereka melaksanakan tugas ini adalah suatu sunnah kerasulan
kerana
mereka
mentadbir
alam
ini
kerana
Allah
SWT.
Contohi kepimpinan Rasulullah SAW

Justeru, kepimpinan yang baik ini, tidak lain hanya dengan kembali kepada ajaran Islam
sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Yakinilah
bahawa Allah mengurniakan amanah kepimpinan ini bukan suatu yang mutlak kerana
kita sebagai insan adalah wakil yang diperintahkan oleh Allah untuk melaksanakan
tugas mengurus dunia ini yang akhirnya akan dibawa bertemu dengan Allah SWT.
Mahu tidak mahu contoh besar kepimpinan kita adalah Muhammad SAW seorang
model pemimpin yang hebat dari segi akal, jiwa dan ruhaniahnya untuk memberi
panduan membawa manusia kepada kebenaran kepada Allah SWT. Menurut Chowdry
dalam bukunya The Prophet Muhammad : His Life & Eternal Message menyatakan
bahawa Rasulullah SAW bukan semata-mata seorang pemimpin spiritual yang berjaya
sahaja tetapi baginda adalah seorang pemimpin masyarakat dan pemimpin negara yang
berjaya.
Kepimpinan Rasulullah SAW diteladani oleh para sahabat diperingkat awal Islam
sehinggalah kepada para tabi dan tabiin hinggalah sekarang adalah contoh besar yang
tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pemimpin. Pemimpin pada hari ini berdepan
dengan cabaran yang tidak ada tolok bandingnya. Sememangnya sukar untuk
melahirkan pemimpin sebagaimana yang kehendaki tetapi cukup untuk kita melihat
bahawa pemimpin yang hebat itu adalah mereka yang benar-benar mewarisi sifat dan
ciri kepimpinan Rasulullah SAW. Firman Allah yang bermaksud:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang
baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik)
hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam
masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab : ayat 21)

Hasri Bin Harun berasal dari Sungai Ramal Dalam, Kajang, Selangor. Beliau
bekerja sebagai pengurus syariah di sebuah syarikat swasta.
Hasri bin Harun 20 Februari 2013.
Artikel ini merupakan pemenang sagu hati pertandingan menulis esei
berdasarkan ayat al-Quran Surah an-Nisa ayat 58.

Anda mungkin juga menyukai