Anda di halaman 1dari 4

Binaan sebuah artikel

Sesebuah artikel akademik biasanya terdiri daripada tajuk, abstrak, pendahuluan, metodologi,
dapatan kajian, perbincangan, rumusan dan cadangan, penutup dan senarai rujukan. Saya akan
membincangkan perkara ini secara umum supaya ia dapat dimanafaatkan oleh semua.
Tajuk
Tajuk artikel haruslah ringkas, jelas dan melambangkan perbahasan utama artikel. Tajuk yang
baik seeloknya menarik perhatian ramai untuk membacanya.
Abstrak
Abstrak artikel perlu mengandungi pendahuluan ringkas tentang kajian. Selepas itu, penulis perlu
menerangkan objektif utama dan objektif terperinci kajian. Sekiranya objektif itu melebihi dua
perkara, penulis boleh mempertimbangkan penggunaan nombor bagi menjelaskan perkara ini.
Selepas itu, metodologi kajian perlu dijelaskan dengan terperinci. Ia melibatkan reka bentuk
kajian, populasi serta kaedah persampelan. Penulis juga perlu menyenaraikan dapatan kajian
secara ringkas mengikut turutan objektif kajian tadi. Penggunaan nombor juga mungkin boleh
dipertimbangkan sekiranya objektif itu melebihi dua perkara. Abstrak kajian juga perlu
disertakan secara ringkas implikasi kajian terhadap amalan semasa ataupun sumbangan kajian
terhadap badan ilmu. Jumlah bilangan perkataan dalam abstrak adalah bergantung kepada jurnal.
Ada yang menetapkan tidak melebihi 100 patah perkataan, namun kebiasaannya adalah antara
100 sehingga 300 patah perkataan. Sekiranya bilangan abstrak melebihi atau berkurangan
daripada jumlah yang ditetapkan, maka kebiasaannya pihak jurnal akan memulangkan artikel itu
kembali kepada penulis untuk diperbaiki. Malah ada jurnal yang menetapkan format tertentu
dalam penulisan abstrak. Perkara ini bergantung kepada pihak jurnal.

Pendahuluan
Pendahuluan artikel perlu mempunyai latar belakang kajian serta teori yang mendasari kajian
tersebut. Penulis juga perlu menjelaskan kajian-kajian terdahulu yang pernah membincangkan
persoalan yang serupa. Ini bagi membolehkan pembaca melihat kedudukan kajian terbaru ini
dalam badan ilmu. Seterusnya, penulis perlu membentangkan pernyataan masalah kajian yang
mendorong kajian itu dilakukan. Begitu juga, apakah bentuk sumbangan kajian baru ini terhadap
badan ilmu secara keseluruhannya. Kemudian, penulis perlu menyatakan persoalan kajian
ataupun hipotesis kajian. Nombor mungkin boleh diperimbangkan sekiranya persoalan kajian itu
melebihi satu. Kesemua elemen ini harulah diletakkan di bawah pendahuluan dan dibezakan oleh
perenggan yang berbeza. Bahagian ini perlu diringkaskan dan biasanya tidak melebihi 3
halaman. Citaton yang cukup perlu dilakukan penulis bagi menunjukkan bahawa penulis telah
menguasai literatur secukupnya. Sebaiknya juga segala perbahasan perlulah dirujuk kepada
sumber rujukan utama dan bukannya diambil dari sumber yang kedua seperti penulisan tesis dan
sebaginya. Sebagai contohnya, jika penulis bercakap mengenai Teori Piaget, maka rujukan
sepatutnya menggunakan buku Piaget itu sendiri dan bukannya tesis atau buku orang lain yang
datang selepas itu.
Metodologi
Pada bahagian ini, penulis perlu menjelaskan reka bentuk kajian yang digunakan sepeti kajian
eksperimen, tinjauan, kajian kes, action research, kajian etnografi, kajian campuran metode
(mixed method), analisis dokumen ataupun kajian kepustakaan. Penulis juga harus menerangkan
latar belakang populasi, teknik persampelan, jumlah bilangan sampel kajian serta rasional
bilangan tersebut, pemilihan responden dan juga lokasi kajian yang terlibat. Selain itu, penulis
juga harus menerangkan bentuk-bentuk instrumen yang digunakan, serta teknik kesahan dan
kebolehpercayaan instrumen yang penulis gunakan. Bagi kajian kualitatif pula sebagi contohnya,
penulis harus menerangkan apakah teknik kesahan yang digunakan seperti teknik kesahan Cohen
Kappa dan sebagainya. Sekiranya penulis menggunakan akronim, maksud akronim tersebut perlu
dijelaskan. Penulis juga perlu menerangkan bentuk teknik analisis yang digunakan seperti
penggunaan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), Rasch Model, Structural
Equation Modelling (SEM) dan sebagainya.

Dapatan kajian
Seeloknya, dapatan kajian perlu disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya para
pembaca dan penilai dapat mengaitkannya dengan persoalan kajian yang disebut terlebih dahulu.
Persembahan data juga perlu mengikut standard jurnal. Kebanyakan jurnal menggunakan
standard The American Psychological Association (APA), namun terdapat juga jurnal yang
menggunakan format yang lain. Oleh itu, penelitian kepada format penulisan yang digariskan
oleh setiap jurnal akan sedikit sebanyak membantu para penulis. Begitu juga, penulis boleh juga
melihat contoh artikel yang telah diterbitkan oleh jurnal tersebut bagi mendapatkan gambaran
kasar tentang jangkaan pihak jurnal. Bagi data kualitatif pula, terdapat jurnal yang lebih
menggemari teknik naratif berbanding teknik persembahan data sebenar. Oleh itu, perkara ini
adalah subjektif dan bergantung kepada setiap jurnal. Walaupun begitu, corak persembahan data
ini haruslah teliti, jelas dan tersusun.
Perbincangan
Bahagian ini menunjukkan penguasaan penulis dalam membincangkan isu utama penulisan.
Seeloknya perbincangan ini disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya pembaca dapat
fokus dan mengaitkannya dengan dapatan. Penulis perlu membincangkan persoalan kajian secara
kritis satu persatu berpandukan dapatan kajian dan ulasan literatur yang mantap. Ia juga perlu
disokong oleh teori dan kajian-kajian yang lepas. Seterusnya, penulis harus merumuskan apakah
bentuk penemuan baru atau penemuan yang menyokong dapatan terdahulu yang menyumbang
kepada badan ilmu dan amalan semasa. Perbincangan perlu ditulis secara sistematik, akademik
dan tidak meleret-leret. Setiap pernyataan harus diperkuatkan dengan bukti yang boleh diambil
daripada kajian-kajian yang lepas. Elakkan membuat pernyataan secara syok sendiri tanpa
disertakan buktinya. Apa yang penting, perbincangan seharusnya dalam bentuk yang akademik.

Kesimpulan dan cadangan


Dalam bahagian ini, penulis harus membuat rumusan secara ringkas tentang kajian yang
dilakukan dan apakah bentuk sumbangan kajian tersebut kepada badan ilmu. Penulis juga harus
mengemukakan cadangan-cadangan baru yang terhasil daripada penemuan kajian yang
dilakukan. terhadap keadaan semasa.
Penutup
Dalam bahagian ini, penulis harus mengemukakan secara ringkas tentang kajian yang dibuat,
penemuan-penemuan yang penting dan implikasi kajian. Penulis harus mengelakkan diri
daripada membuat citation baru.
Rujukan
Penulis harus memastikan bahawa setiap citation yang dibuat dalam teks harus disebut dalam
bahagian rujukan. Penggunaan perisian-perisian tertentu seperti EndNote boleh membantu
penulis dalam perkara ini. Senarai rujukan juga perlu ditulis berdasarkan format yang telah
ditetapkan. Seeloknya, penulis perlu meluangkan masa untuk membaca Guide for authors yang
disediakan oleh pihak jurnal terlebih dahulu. Ini kerana jurnal berlainan menggunakan format
yang berlainan pula. Dalam penulisan artikel, penulis perlu memperbanyakkan penggunaan
rujukan yang terkini, seboleh-bolehnya 60 peratus terdiri daripada bahan yang berumur kurang
daripada 5 tahun daripada tahun artikel itu ditulis. Terdapat juga jurnal yang menghadkan
bilangan rujukan bagi setiap artikel. Sebagai contohnya, Gema Online Journal hanya
membenarkan penggunaan 30 rujukan bagi setiap artikel yang dihantar.

Anda mungkin juga menyukai