Anda di halaman 1dari 15

GURU, KAU INSAN MULIA

Guruku ,

Kau insan mulia,

Sentiasa tekun,

Mencurahkan ilmu,

Kepada kami,

Guruku,

Ilmu yang kau curahkan,

Kini menjadi cahaya

Penyuluh jalan,

untuk diriku dan juga

teman-teman

Guruku,

Kini aku telah berjaya,

Berkat ketabahanmu

Mencurahkan ilmu,

Mengajar aku tanpa rasa jemu,

Kejayaan ini juga buatmu

guruku.
Maafkan aku ibu

Maafkan aku ibu,

Kerna melukakan hatimu dulu,

Membuatmu derita dengan egoku,

Membuat air mata mu mengalir kernaku,

Maafkan aku ibu,

Kerna aku tidak pandai membezakan

Yang baik dan yang buruk,

Yang hitam dan yang putih,

Aku buta dengan keseronokan dunia

sehingga membuatmu derita,

Maafkan aku ibu,

kerana tidak mengikut katamu,

membantah tunjuk ajarmu,

kini baru kutahu apa yang terjadi

salahku,

aku kini insaf dan mencari keampunan

darimu ibu,

maafkan aku ibu...


GURU OH GURU

Berburu ke padang datar


Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia


Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat


Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa


Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya


Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
Hari Guru di Malaysia disambut pada 16 Mei setiap tahun sebagai penghargaan
kepada para guru. Tarikh ini dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang
sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu
(Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan
Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar
pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah
menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Objektif

 " Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk


perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada
masyarakat.
 " Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting
kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
 " Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
 " Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
 " Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-
seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari
Guru.
 " Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia
dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.
Talkin untuk guru

TANGGAL 16 Mei(penanda tempoh) itu tetap kekal berkaca dalam nubari(penanda rujukan
kata ganti nama tunjuk). Detik waktu yang tidak pernah kulupakan setiap kali musim datang
dan pergi. Ia hidup subur mendiami hati. Meresap ke seluruh akal dan jiwa. Mencair di dalam
darah dan tisu-tisu yang terus hidup di dalam jasad dan kerangka ini.(penghubung) Jasad
yang disuburi dengan kalimah maknawi dan hukum akal budi. Hati yang mekar dibajai
dengan luhur ilmu dan wadah pengetahuan yang menghidupkan akal dan roh. Lantas
mengikis segala daki-daki kejahilan yang bertunas di lubuk kalbu membina kebijaksanaan.
Semuanya itu hadir dari lidah seorang murabbi yang bernama guru. Guru yang tulus
menghadiahi keredaan dan keberkatan ilmu yang dianugerahkan.

Kerana itulah, aku tidak pernah lupakan tarikh keramat itu(penghubung musabab). Tarikh
mulus yang harum membaja setiap ketika. Dia guruku yang kekal terpahat namanya di sudut
sanubari(penanda rujukan kata ganti nama diri org). Guru yang mewadahkan aku segala-
galanya. Dialah Cikgu Hisyam. Guru Bahasa Melayu yang namanya tidak secubit pun lekang
dari lidah kerdilku. Cikgu yang menyuntikku aku segugus iltizam dan cebisan semangat yang
hampir relai di hujung kedaifan hidup yang diwarisi turun temurun. Dari lidah muadib itu
kukenal diksi dan morfologi. Dari halkum tulus itu kukenal aksara dan wacana bahasa
tercinta. Dia guruku yang melebat kasih pada warisan bonda dan khazanah ibunda. Dia tidak
jemu-jemu memberiku makna dan kata dalam mengisi kamu jiwa.

Kampung terpencil nun di pinggiran kuala yang melekit hanyir dan hamis pukat dan jala. Di
hujung deretan rumah-rumah nelayan kecil usang tersergam bangunan kayu yang menjadi
nadi anak-anak generasi kampung pesisir Laut China Selatan ini melebatkan diri dengan ilmu
dan pendidikan. Sekolah Kebangsaan Laut yang merupakan satu-satunya tumpuan anak-anak
nelayan kampung ini mengisi ilmu di dada. Di sini, aku memulakan langkah mengenal kamar
darjah dan buku-buku teks separuh usang. Di siniku dihadapkan dengan biji mata guru yang
menyala marah kala tidak menyiapkan kerja rumah. Tangan lembut inilah yang menjadi
habuan keras berkematu rotan yang hinggap di telapak jari saat didenda guru yang menyinga.

Dialah Cikgu Hisyam yang garangnya bak singa lapar. Suaranya keras menggersik garau di
hadapan darjah menyampaikan bilah-bilah kata. Renungnya dalam meneliti setiap tunak mata
kami yang tunduk takut diam di tepi meja empat segi yang sedikit uzur. Kami paksakan diri
mengutip kata yang mendesih masuk ke celah cuping pendengaran kami. Dari tahun ke
tahun, aku cekalkan hati mengisi dada di sekolah tercinta ini. Sekolah kecil yang jauh dari
kemudaan asas. Bangunan tinggalan zaman British yang pernah dijadikan markas
pentadbiran daerah terpencil pinggir laut ini. Di sebalik segala kekurangan yang ada, aku
cekalkan diri menjadi anak nelayan yang miliki secebis azam mengubah kehidupan keluarga.

"Jika bapa dan nenek moyang kamu ditakdirkan menjadi nelayan tradisi, apakah kamu juga
akan mewarisi mereka? Tuhan memberi akal dan hati untuk mengubah masa depan bangsa
kita yang sekian lama hidup dalam kemelaratan. Sekalipun suatu hari kamu akan menjadi
nelayan jadilah nelayan yang berilmu tinggi, " aku tidak pernah lupa kata-kata itu. Kata-kata
yang terbit dari halkum Cikgu Hisyam yang tabah mengatur pesan dan pedoman. Kata-kata
yang terus mengusik hati nurani ini. Kata-kata yang lebat berdengung dan berdengung
menyemarak kalbu kerdil ini. Dia labuhkan harapan dan impian suatu hari nanti ada di antara
kami yang bakal berjaya membina kecemerlangan hidup. Kami anak-anak nelayan yang
hidup dalam kedaifan dan kepapaan ini hanya mengangguk kecil memasang angan-angan
untuk keluar dari kepompong kemelaratan yang membelenggu.
"Irwandi", suatu hari, Cikgu Hisyam memanggil namaku di hadapan kelas. Aku berdiri di
hadapannya agak lama sebelum dia membuka mulut. "Cikgu hendak berjumpa dengan ayah
kamu. Ada perkara yang ingin cikgu bincangkan. Sejak seminggu kebelakangan ini, kamu
kerap tidak hadir ke sekolah. Cikgu tahu ke mana kamu pergi," jelas Cikgu Hisyam menatap
mataku yang kuyu tidak bermaya.

"Saya .... saya ikut ayah ke laut. Ayah minta saya menemaninya ....", terangku tergagap-
gagap memandang Cikgu Hisyam yang mengangguk-angguk perlahan. Petang itu, tanpa
disangka, tubuh Cikgu Hisyam sudah terpacak di hadapan rumahku. Angin laut bertiup
kencang menggegarkan atap zink yang lusuh berkarat dengan alunan bunyi menggerunkan.
Ayah sambut tangan Cikgu Hisyam sebelum mempersilakan masuk ke ruang rumah yang
sedikit berselerak.

"Irwandi satu-satunya anak lelaki dalam keluarga kami. Dialah yang dapat diharapkan
membantu kerja di laut, cikgu kena faham. Kami orang susah."

"Tapi, pelajaran itu penting, pakcik. Pelajaran dapat mengubah masa depan keluarga. Dengan
pelajaranlah, bangsa kita dapat keluar dari belenggu kesusahan dan kemiskinan", cikgu
Hisyam bersuara meluahkan perasaannya yang terpendam. Ayah hanya mampu diam
menelan kata-kata Cikgu Hisyam yang menusuk jauh ke kalbu. Kata-kata yang penuh
keikhlasan dan ketulusan itu bagaimanapun langsung tidak mengendurkan perasan ayah. Bagi
ayah, anak-anaknya akan mewarisi jejaknya menjadi nelayan. Hidup kami hanya sekadar kais
pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Akhirnya ayah beri peluang aku ke sekolah. Menimba ilmu dari lidah para guru yang tidak
jemu menyampaikan wadah dan ungkap pesan. Tapi kata ayah ada ketikanya aku perlu
menemaninya mencari rezeki di laut. Kesempatan yang diberikan ayah, kugunakan dengan
sepenuh hati. Aku ingin menghadap wajah Cikgu Hisyam sambil mendengar rangkap kata
dan tutur selokanya di hadapan kelas.

Kata Cikgu Hisyam bahasa Melayu adalah bahasa lingua franca. Bahasa perantara yang
tersebar luas di segenap kepulauan dan daerah. Bahasa yang menjadi wadah penghubung para
kelasi kapal, pedagang dan penduduk tempatan mengenal asal usul keturunan sejak zaman
berzaman. Bahasa inilah suatu waktu dahulu tersebar jauh setelah kerajaan Melayu Melaka
menjadi kuasa besar ekonomi di rantau sebelah sini. Malah, kata Cikgu Hisyam, Bahasa
Melayu cukup dihormati oleh pedagang asing hinggakan naskah-naskah sastera bertulisan
jawi dibaca segenap orang. Ketika itu, siapa tidak kenal Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu,
Syair Siti Zubaidah dan puluhan karya yang digali dan dikaji pujangga dan budayawan Barat.

Setiap kali tiba tarikh keramat 16 Mei, tiada apa yang kami ingat melainkan meraikan Hari
Guru yang tercinta. Kami ingin meluahkan rasa kasih dan cinta agung kami buat guru-guru
yang saban waktu mendidik dan mengasuh kami tanpa jemu. Cinta kami kepada guru
melimpah mekar setiap detik seperti cinta abadi kami ayah ibu yang memelihara kami sejak
kecil. Guru, bagiku adalah wali suci yang diutuskan Tuhan untuk memperkenalkan ku dengan
abjad dan aksara. Guru yang amanah menjadi pelita menerangi alam dengan cahaya keilmuan
dan obor kebenaran.

Tarikh
Sekolahku di pinggir laut ini tidak pernah melupakan tarikh keramat itu. Tarikh yang terpahat
dalam kalendar dan takwim. Lantas, awal pagi lagi, berbondong-bondonglah kami, anak-anak
murid yang dikasihi berebut-rebut bersalam dengan para guru di hadapan bangunan sekolah
seusai perhimpunan pagi meraikan kegembiraan menyambut perayaan tahunan itu. Segala
macam hadiah dan cenderamata kami hulurkan buat guru sebagai tanda penghargaan.

Di dalam kelas, akulah orang terakhir yang menyalami Cikgu Hisyam sambil menghulurkan
seplastik berisi ikan masin dan sebungkus belacan tanda hadiahku untuk guru dikasihi. Cikgu
Hisyam sambut tanganku sambil mengukir senyum. Walaupun, sedikit segan dan malu yang
menjengah hadir, aku pandang mata guru Bahasa Melayu itu penuh makna.

"Terima kasih, Irwandi. Hadiah kamu ini sangat cikgu hargai. Belacan dan ikan masin ini
memang makanan kegemaran cikgu. Yang lebih penting lagi, kamu mesti menghadiahkan
cikgu kejayaan yang cemerlang di akhir tahun nanti," itu pesan mulus dari mulut Cikgu
Hisyam. Aku hanya mengangguk perlahan. Mata guru itu menyilau bagaikan mencabar
kemampuanku.

Cabaran Cikgu Hisyam rupanya bukan sekadar mimpi kosong. Beberapa bulan sesudah itu,
akhirnya aku berjaya memperoleh kejayaan yang kuidam-idamkan pada peperiksaan akhir.
Hanya air mata yang bergenang membasahi pipi tanda kesyukuran yang tidak berbelah bagi.
Genap seminggu sesudah itu, air mataku tumpah lagi. Bukan lagi kerana kegembiraan tetapi
kesedihan yang tidak mampu kutahan-tahan.

Perahu ayahku karam di tengah laut dalam ribut yang menggila. Jasad ayah hanya ditemui
keesokannya dalam keadaan terbujur kaku disambut tangis bonda dan adik-adik yang tidak
dapat menerima kenyataan. Cikgu Hisyamlah yang datang menyabarku dengan ungkap pesan
dan lirik nasihat yang berulang-ulang. Janji Cikgu Hisyam, dia sanggup membelanjakan
sebahagian gajinya untuk membantu keluargaku asalkan sahaja aku mahu melanjutkan
pelajaran ke sekolah berasrama penuh di bandar. Aku turuti kemahuan Cikgu Hisyam,
meskipun, jauh di lubuk hati kecilku ingin bersama keluarga.

"Jangan berhenti separuh jalan. Perjalanan kamu masih jauh dan berliku, Irwandi. Cikgu
yakin seorang anak nelayan seperti kamu bukan dilahirkan untuk mewarisi hidup sebagai
nelayan," itulah bekal yang disuapnya berkali-kali setiap kali dijengahnya aku di kampus
asrama. Cikgu Hisyam hidupkan jiwaku dengan iltizam dan keyakinan.

"Kemiskinan bukan sesuatu yang perlu diwarisi" aku ingat kata-kata itu. Kata-kata dari lidah
guru Bahasa Melayuku. Cikgu Hisyam yang memilih untuk membujang demi membantu aku
dan keluarga.

Daripada kampus sekolah berasrama, aku melangkah mengutip satu demi satu kejayaan
hingga berjaya melakar nama di menara gading tersohor di ibu negara. Berkat doa dan pesan
mulus insan keramat itu yang membantuku zahir dan batin, aku menempa kejayaan luar biasa
dengan skor gred tertinggi untuk melayakkan aku menyambung ijazah kedua di luar negara.

Meski, sudah bergelar graduan luar negara sambil menikmati udara dingin, aku tidak pernah
lupa tarikh keramat itu. Tarikh 16 Mei yang melimpah kenangan dan ingatan silam. Tarikh
suci yang terpercik doa dan cinta abadi untuk guru-guru yang pernah menabur budi.
Kepada Cikgu Hisyam, e-mel penyambung silaturrahim buat insan paling kuhargai itu
sesudah aku jauh berkelana di bumi Eropah melengkapkan tesis untuk ijazah kedoktoranku
yang kian hampir di penghujungnya. Tidak pernah kulupa sedetikpun untuk membisikkan
ucap selamat hari guru setiap kali Mei menjengah singgah di lipatan musim.

Daripada seorang anak nelayan miskin yang tiada apa-apa kini sudah hampir menggenggam
gerbang akademik tertinggi. Dalam tempoh terdekat, jawatan pensyarah bertaraf profesor di
sebuah universiti tersohor di ibu kota sudah sedia menantiku.

Tanggal 16 Mei menjadi sejarah yang kekal mengharum. Tarikh keramat yang terlalu
istimewa . Subur dalam jambangan memori. Nostalgia kasih buat Cikgu Hisyam, guru
Bahasa Melayu pertamaku itu tetap ranum melebat di sanubari meski detik hari dan waktu
terus berputar jauh . Dialah watak penting yang mengubah perjalanan anak nelayan serba daif
dan melarat ini.

"Cikgu Hisyam disahkan mengidap barah otak pada peringkat empat. Tahap serius yang
mengganggu sistem saraf ingatannya. Doktor meramalkan jangka hayatnya enam bulan
bergantung kepada semangat dan kecekalannya berjuang melawan penyakit," khabar yang
diutuskan seorang kenalan merentap perasaan kecilku di kampus Oxford ini. Bayangan wajah
insan mulus itu menjengah hadir bertamu di ruangan kalbu dari hari ke hari. Terasa ingin
segera terbang pulang ke tanah air menyantuni insan yang berkorban segalanya untuk aku
dan keluarga.

Masa pantas beredar di hujung aspal waktu. Detik kepulangan, tiba juga sesudah kusudahi
tesis terakhir untuk ijazah doktor falsafah. Sebaik menginjak di bumi tanah tumpah darahku,
perkara pertama yang melantun alun fikirku adalah menziarahi Cikgu Hisyam yang telah
lebih lima tahun tidak bersua wajah.

Pagi itu, bulan Mei yang cerah, sehari sebelum sambutan Hari Guru diadakan di seluruh
negara aku meredah kesibukan jalan raya di ibu kota, sebelum tiba di hadapan rumah kayu
berpagar cantik di Jalan Semarak. Halaman yang redup dengan pohon-pohon rimbun
menyambut kehadiranku. Aku memberi salam perlahan. Lama kemudian, salamku disambut
deheman suara dari hujung kamar. Sebaik melangkah masuk, kutatapi wajah cengkung itu
dengan tubuh kurus melidi terbaring tidak bermaya.

"Cikgu tidak kenal saya lagi?" tanyaku dalam getar perasaan. Dia pandang mataku dalam
redup kuyu.

"Sayalah Irwandi. Anak murid cikgu di Sekolah Kampung Laut. Profesor Doktor Irwandi,"
kuperkenalkan diri di hujung cuping telinganya. Dia mengeleng-gelengkan kepala menatap
wajahku dengan tidak berkelip. Gerak bibirnya bagai menutur sesuatu.

Kemudian, kukeluarkan seplastik ikan masin dan sebungkus belacan cuba memulihkan
ingatannya. Dia tenung mataku dalam-dalam buat seketika sebelum memeluk tubuhku erat-
erat dalam leleh air mata yang mula membasahi pipi. Gerak lidahnya cuba berkata sesuatu
yang tidak kufahami.

Seharian aku bersamanya berkongsi menghimbau kenangan silam dalam keuzuran diriya
yang separuh lumpuh. Berkali-kali aku cadangkan supaya tinggal sahaja bersamaku agar
keadaan dirinya terjaga namun dia menolaknya.
Tiga hari sesudah itu, ketika aku baharu sahaja hendak ke pejabat, telefon berdering
menyampaikan berita sendu itu. Khabar yang kuterima meluluhkan seluruh hatiku. Cikgu
Hisyam menghembuskan nafas terakhir dalam tidurnya seusai solat Subuh. Plastik ikan masin
dan belacan pemberianku masih erat di tangannya.

Aku bergegas ke rumahnya membaca Yassin dan doa. Kuuruskan segala urusan
pengebumiannya dengan penuh reda. Solat jenazah aku jugalah yang mengimaminya tanda
kasih buat guru tercinta. Dari hujung lidahku tidak henti-henti doa mengkhatami bibir
kerdilku dalam kepasrahan. Di tanah pusara yang berselubung sunyi, aku jugalah yang
membaca lafaz-lafaz talkin untuk seorang muaddib dikasihi yang telah menghadiahi aku
segala-galanya. Hanya itulah sumbangan tulusku di hujung ayat-ayat suci dan kalimah doa
menatap pusara guru yang kuingati sepanjang hayat.
DG

DG, DG..

Kerana DG orang resah

Kerana DG orang marah

Kerana Dg orang angkuh

Kerana DG orang rendah

Kerana DG orang banyak lupa

Lupa rakan, lupa ketua,

Lupa agama, lupa bangsa, lupa Negara

Lupa anak didik, lupa pro forma,

Lupa sukatan, lupa rancangan, lupa kod, lupa menyemak, lupa markah,

Lupa muat naik, lupa muat turun,

Paling dahsyat : Lupa anak didik, lupa amanah

Tapi tak lupa gaji !

Apabila DGku besar,

Aku mahu bilik besar juga,

Tapi tak mahu Komputer besar,

(kerana komputer besar muatan besar)

Aku mahu air-con besar

Kerana naluriku berkobar-kobar

Aku mahu telefon besar kerana kabelku besar


Kerana DGku besar,

Kau tak perlu arah

Walau kau ketua

Kerana DGkau DG tidak seberapa

DGku besar, biarlah lagi membesar

Sebesar-besar hingga JUSA

Nescaya empayarku sebesar empayar raja

Segala DG di bawah sujud padaku

Semakin DG membesar-besar

Semakinlah besarlah usia tuannya

Segala lupa membawa padah

Elok lagi berpada-pada

Nescaya hidup aman bahagia

Walaupun DG kita DG berbeza.

WONG SHIA HO

Anda mungkin juga menyukai