Anda di halaman 1dari 8

Bismillahir-rahmanir-rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia


dan Salam Perak Aman Jaya.

Terima kasih, saudari Pengerusi Majlis

Yang Berusaha Tuan Haji Ihsan Ramli, Penolong Kanan

Yang Berusaha Tuan Haji Nasri Abidin, PK HEM

Yang Berusaha Hajah Petimah Ibrahim, PK Kokurikulum

Barisan guru yang dedikasi

dan tidak dilupakan

Yang dikasihi anak murid sekalian.

Pertamanya, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke


hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita
berada dalam majlis yang mulia ini dan kita dapat bersama-sama
meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah, bagi Tahun 2018,
dalam suasana yang ceria, harmoni dan tenang. “GURU PEMACU
TRANSFORMASI PENDIDIKAN”
itulah tema perayaan hari guru pada tahun ini.

menjadi contoh, mencurah ilmu,

tak kenal lelah, tak tahu jemu;

itulah cikgu, itulah guru,


besar jasanya sejak dahulu.

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun, warga pendidik akan meraikan


sambutan hari guru Justeru, saya mengambil kesempatan untuk
mengucapkan ”Selamat Hari Guru” kepada semua guru di sekolah ini.

Cikgu-cikgu yang dikasihi,

Pada bahu kita ini…..

yang digelarkan cikgu

diletakkan seribu harap

oleh ibu bapa yang datang

dengan wajah tersenyum anak-anak dibawa

dengan harapan menggunung disandar jua.

Kita yang digelar Cikgu

dengan wajah girang terima

tanggungan yang bukan kepalang

harapan besar akan ditunaikan

Lalu anak-anak yang tiada dosanya

dicalit pelbagai warna-warni

dicampur-aduk dengan seribu ragam

warna-warni itulah bercelaru di kepalanya

warna-warni itulah menjadi cikgu

kadang-kadang keliru dalam membantu


kadang-kadang membuatkan ayah membisu

dan kepala anak menjadi batu

Cikgu, pada bahu ini seorang cikgu

menyaksikan harapan yang tidak kunjung datang

memilih warna yang semakin sukar diadunkan

dan selepas habis segalanya

jiwa raga, semangat nurani, malah diri

diberikan untuk mendidik anak bangsa

dan di hari kejayaan si ibu berkata:

“Anak saya pintar dan rajin….

sebab itulah dia berjaya!”

Dan di hari kegagalan si ibu pun berkata:

“Cikgunya malas-malas belaka …

tidak pandai mengajar….

lantas anak saya gagal!”

Cikgu, Tak apalah cikgu

semua mereka itu anak-anak orang

cikgu hanya menumpang tuah kiranya

suatu masa nanti bangsa ini dapat bangun


berdiri megah dengan anak watan

dan perjuangan cikgu tidak pernah kan padam

Pelita dan lampu segala

Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya


banyak mengimbau kenangan manis tentang peranan guru yang telah
diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa. Masyarakat sentiasa
memberikan penghormatan dan penghargaan yang tidak terhingga
terhadap tugas dan peranan guru. Pengiktirafan ini menandakan
harapan dan kepercayaan yang sangat tinggi terhadap komitmen dan
kemampuan guru dalam menyumbang ke arah pembangunan potensi
masa depan pelajar. Justeru, amat wajar jika Sambutan Hari Guru
yang diraikan setahun sekali ini memberi kedudukan istimewa kepada
insan yang bernama guru. Inilah satu-satunya cara terbaik kita
memberi ruang untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan
penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

Anak-anak murid yang dikasihi,

Kerana anda jadi pelajar,

Jangan malas hendak belajar,

Hendak pandai menghargai masa,

Jangan dinanti esok lusa.

Jangan asyik berangan-angan,


Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,

Tidak hairan kalau kecewa.

Masa itu emas dan wang,

Walau sedikit jangan dibuang.

Masa berlalu terlalu pantas,

Orang yang lalai akan dicantas.


Sempena Sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya ingin mengajak
warga pendidik sekolah ini mengimbau sejenak tentang tugas dan
peranan kita dalam mendidik anak bangsa?. Sejauh mana dan setakat
manakah usaha yang telah kita lakukan ini benar-benar menjadikan
mereka insan yang benar-benar berbudi luhur, berakhlak mulia,
berjaya dan cemerlang dalam kehidupan?. Sesungguhnya ia
merupakan suatu tugas yang sangat berat serta amanah yang sangat
besar. Di tangan kitalah letaknya kejayaan mereka. Justeru kita
seharusnya meletakkan harapan mereka lebih utama daripada
kepentingan diri kita. Sesungguhnya inilah ciri-ciri guru sebenar. Kita
sanggup berkorban bukan sahaja dengan masa dan tenaga, malah
dengan wang ringgit.

Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan
pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di
sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.

Marilah kita,
Yang busut hendaknya jadikan bukit

Yang bukit jadikan gunung.

Yang kapas hendaknya jadikan benang

Yang benang jadikan kain.

Hidup tidak selalu indah,

tetapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan


SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU.
“GURU PEMACU TRANSFORMASI
PENDIDIKAN”

TERIMA KASIH CIKGU.

Guru Oh Guru – by Usman Awang


August 5, 2016 by nurul farhana jumaat

Berburu ke padang datar


Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Anda mungkin juga menyukai