Anda di halaman 1dari 10

50 RANGSANGAN MUDAH MENJADIKAN ANAK BIJAK

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi


merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik,
pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak.
Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa
bersama-sama... jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun,
kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak
kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya). 50
aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya.
Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling
penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.

2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba
berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-
kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang
anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah,
kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan
pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil
menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru
pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal
usia.
5-HASILKAN BUKU BINATANG

Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk
dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan
yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam


perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi'
dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.

7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda.
Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan
(mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh
melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu
perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda
dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau
"Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi
anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari
kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin...."). Mainkan lagu Beethoven atau
Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan
dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA


Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian.
Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA

Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain
kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi
sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-
wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang
mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-
lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.

15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda
mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di
bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU

Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar
mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai
membantunya belajar bahasa.
17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa
objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT

Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi
anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka
dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda
berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna
untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA

Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza -
termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat
berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA

Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi,
angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia
sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping
kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia
menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL


Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu
cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau
permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi

bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat
jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh,
merangkak secara terbalik atau ketawa.

26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof!
Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang
pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan
kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada


tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG


Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya
dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia
sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi
"yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua
pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu
bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti
ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia
lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda
dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga
dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia
akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA


Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan
daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?")
sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat
diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.

36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar
memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat
dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan.
Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang
serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan
menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya).

38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek
dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah
kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya.
Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang
basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA
Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama)
di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.

41-BERGURAU-SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda
dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf
atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan
imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda
memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga
setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih
kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina
memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu
anak bercakap dengannya di telefon.

45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna.
Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater
boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A,
makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar
rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan
kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49-MAIN "TIRU-MENIRU"

Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti
sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau
sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia
memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan
sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

Selamat mencuba!

Anda mungkin juga menyukai