Anda di halaman 1dari 6

TEORI KEBAIKAN DALAM ETIKA

Rorzali Salleh MSc. (HRD) UNIMAS

PENGENALAN

Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan,hujah dan tujuan yang mengarah
kepada makna sesuatu tindakan.Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau
fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau
tingkahlaku manusia.Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang
moral,prinsip moral,kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.

Etika berasal daripada perkataan ‘ethics’ yang diambil daripada perkataan ‘ethos’ yang
membawa maksud sikap dan adat yang menentukan tingkahlaku sesuatu golongan.Etika
boleh dibahagikan kepada 2 iaitu Normatik yang merujuk kepada panduan dan peraturan
yang berkaitan dengan tingkahlaku yang baik dan jahat; manakala Metaethic pula
dibahagikan kepada dua iaitu Analitik yang berkaitan dengan menganalisis semua peraturan
yang berkaitan tingkahlaku baik dan jahat, dan Kritikal yang berkaitan dengan mengkritik
terhadap apa-apa yang telah dianalisis.Dengan lain perkataan,etika dapat didefinisikan
sebagai sains moral dan prinsip-prinsip moral.

Etika menurut French dan Granrose (1995) adalah : "A set of normative guidelines directed
towards resolving conflicts of interest,so as to enhance societal well-being". Untuk
membentuk etika yang baik,tingkahlaku seseorang itu adalah penting dan seseorang itu perlu
ada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku bagi mengawal dirinya dalam
setiap tindakan yang dilakukan.Dengan berasaskan kepada etika yang ada maka konflik
terhadap keinginan boleh diselesaikan dan seterusnya meningkatkan fungsi sosial seseorang
itu.

Buchnolz (1989) pula mendefinisikan etika sebagai: "…… is a systematical attempt,through


the use of reason,to make sense of our individual and social moral experience in such a way
as to determined the rules that ought to governed human conduct and the values worth
pursuing in life".

Bagi memberi makna kepada perjalanan moral sosial dan individu,perlu ada satu sistem yang
boleh menggunakan alasan-alasan dan bertindak sebagai satu panduan yang boleh memberi
kebaikan kepada tingkahlaku manusia dan seterusnya menjadi kehidupan itu lebih bermakna.

White (1993) pula mengatakan etika adalah cabang falsafah yang berkaitan dengan kebaikan
moral(virtue moral) dan menilai tindakan manusia.Falsafah etika adalah berbeza daripada
undang-undang,keagamaan,budaya dan pendekatan secara peribadi kepada etika adalah
menerusi kajian tingkahlaku tentang moraliti melalui rasional yang dilihat kepada kehidupan
manusia.

Etika bermula di zaman purba Greek apabila ahli-ahli falsafah hanya memberikan tumpuan
kepada kebaikan moral.Socrates(469-399B.C.) menggunakan pendekatan yang mencabar dan
menggalakkan rakan-rakannya untuk berfikir tentang kebaikan(virtue) dan kesihatan roh
(health of the soul).Idea utama Socrates tentang etika adalah berhubung dengan menyakinkan
orang agar menjadi berakhlak mulia(virtuous).Socrates mengatakan bahawa kebahagian
adalah mustahil diperolehi tanpa memiliki moral kebaikan dan tindakan yang tidak beretika
akan menggangu orang lain malah beliau menganggap orang yang tidak beretika sebagai
orang yang lemah dan mempunyai psikologi yang tidak sihat.

Hubungan etika dan personaliti manusia dilanjutkan oleh anak muridnya iaitu Plato(428-
348B.C.) yang mengatakan bahawa moral kebaikan adalah suatu imbangan dan harmoni di
kalangan perbezaan yang wujud dalam roh(soul) dan alasan(reason) akan mengamblalih
keperluan fizikal dengan dibantu oleh emosi.Sepertimana Socrates,Plato melihat moral
kebaikan sebagai suatu keperluan terhadap kesihatan roh tetapi kebaikan yang sejati adalah
sukar dicapai dan bergantung sepenuhnya kepada peringkat pembelajaran falsafah yang
tinggi dan kebenaran metafizik yang memerlukan kajian yang lama.Oleh itu,mengikut Plato
kebaikan moral adalah berada di bahagian dalaman intelektual.Bagi Aristotle(384-
322B.C.)pula,beliau melihat kebaikan moral agak berbeza daripada Plato dan Socrates di
mana beliau menyatakan bahawa kebaikan moral mempunyai hubungan yang sedikit dengan
intelektual tetapi lebih kepada sifat(character) atau personaliti.Aristotle mendefinisikan
kebaikan moral (virtue moral) sebagai: "not…… according to the nature of the actions,but
according to the dispositions of the doer". Aristotle juga mempertikaikan tentang kebaikan
moral dikembangkan sepertimana kemahiran fizikal iaitu menerusi latihan dan tabiat.Bagi
Aristotle,beretika adalah merupakan dimensi dalaman dalam tindakan seseorang dan
kebaikan(virtue) bergantung kepada sifat bukan perbuatan(deeds) dan sifat seseorang itu
dibentuk oleh setiap tindakan yang dipamerkan.Plato dan Socrates pula mengatakan beretika
itu mempunyai hubungan yang rapat antara kebaikan moral dan personaliti yang sihat.Walau
bagaimanapun ketiga-tiga ahli falsafah ini berpendapat bahawa kebajikan seseorang itu
bergantung sepenuhnya dan berada di dalam tangan seseorang itu.

Sekiranya etika dahulu menekankan kebaikan moral dan rasionalnya,etika moden banyak
menfokuskan kepada menentukan sifat-sifat beretika menerusi tindakan dan telah membentuk
2 persaingan iaitu tindakan yang mempunyai sifat etika dalaman dan memerlukan status
moral daripada akibat(consequences) yang dibuat dan tindakan itu samada betul atau
salah.Dahulunya ia dikenali sebagai Teologikal dan sekarang dikenali dengan Deontological
iaitu pendekatan kepada etika.

Etika bukan sahaja terdiri daripada satu set peraturan atau huraian yang menentukan
bagaimana seseorang seharusnya bertindak tetapi ia terdiri daripada tindakan dan motif orang
yang beretika dalam melakukan sesuatu yang betul(right) dalam semua situasi yang
dihadapi.Tindakan beretika datang dari seorang yang berakhlak mulia(virtuous) yang
mengambil berat tentang melakukan sesuatu yang baik dan bukannya menjadi hamba kepada
satu set peraturan yang difikirkan mempunyai kaitan dengan kebaikan dalam keadaan yang
tertentu.

Teori Etika Teologikal dan Deontologikal adalah berkaitan dengan prinsip dan peraturan
yang memperkatakan tentang apa yang sepatutnya dilakukan dan bukannya apakah jenis
manusia yang hendak dibentuk.Teori Etika Teologikal yang juga dikenali dengan
‘consequentialism’ adalah sejenis teori yang mendakwa bahawa samada sesuatu tindakan
secara moral itu betul atau salah adalah bergantung sepenuhnya kepada akibat(consequences)
atau hasil daripada sesuatu tindakan.Sementara Teori Etika Deontologikal pula adalah sejenis
etika kepercayaan yang mendakwa atau menyatakan bahawa kewajipan atau tugas adalah
asas kepada betul(right) atau salah(wrong).Tugas etika adalah menyediakan garispanduan
kepada tindakan (action) yang tekal dengan anggapan umum tentang maksud etika atau
moral.

Dalam membuat pertimbangan tentang etika dan moral,seseorang itu tidak sahaja membuat
penilaian terhadap tindakan seseorang samada betul atau salah,ia juga perlu membuat
penilaian dari segi perwatakan yang baik atau buruk.Kritikan dibuat adalah secara positif atau
negatif dan bukan setakat berdasarkan kepada apa yang dilakukan tetapi siapa mereka dan
apakah perwatakan dalaman yang dipamerkan.Sebagai contoh, dalam satu insiden
kemalangan kapalterbang yang jatuh terhempas ke dalam laut dan terdapat beberapa mangsa
yang terselamat dalam tragedi tersebut.Salah seorang daripada mangsa tersebut telah
menjumpai tali dan menjalankan proses menyelamat dengan tujuan untuk mengumpul
mangsa-mangsa yang berselerakan.Tanpa menghiraukan keselamatan dirinya,mangsa
tersebut telah menyelamatkan mangsa-mangsa yang lain ke tempat yang selamat dan
akhirnya dia sendiri telah tenggelam ke dasar laut.Tindakan mangsa yang mati tadi
seharusnya dipuji kerana disifatkan sebagai seorang yang berhati baik kerana tidak
mementingkan diri sendiri dan berkesanggupan untuk menggorbankan nyawa bagi
menyelamatkan orang lain.

Etika kebaikan(virtue) memperkatakan tentang penyemaian tret berakhlak mulia(virtuous)


dalam sifat seseorang sebagai antara fungsi asas perlakuan moral.Pilihan yang betul yang
dibuat adalah berdasarkan kepada perasaan tanggungjawab tetapi tidak semestinya
menentukan seseorang itu sebagai seorang yang berakhlak mulia(virtuous).Seseorang yang
memiliki ‘ethical egoism’ bertindak kerana hanya melaksanakan tanggungjawab kadangkala
dianggap sebagai tidak ikhlas dan lebih kepada memenuhi keperluan moralnya.Oleh yang
demikian,kita tidak boleh menganggap mangsa yang mati tadi sebagai seorang yang
berakhlak mulia dan memiliki sifat yang baik dan bermoral.Mangsa yang mati tadi boleh
dipuji kerana tindakannya tetapi tidak kepada tindakan yang dibuatnya dari segi individu itu
sendiri.

Dalam kes mangsa yang mati kerana untuk menyelamatkan orang lain,maklumat lain tentang
mangsa tersebut tidak diketahui melainkan tindakan yang telah diambilnya untuk
menyelamatkan orang lain.Sebaliknya pula dia dianggap sebagai seorang yang berakhlak
mulia kerana tidak mementingkan diri sendiri dan berani dengan tindakan yang
diambilnya.Samada dia melakukannya kerana tanggungjawab atau tidak,adalah tidak
diketahui dan mungkin tindakannya itu tidak membawa sebarang makna.Kita
menganggapnya sebagai seorang hero kerana tindakannya dan menganggap dia memiliki ciri-
ciri tret yang tekal dengan tindakannya.Kita percaya bahawa terdapat hubungan dengan
tindakan yang diambilnya,yang mana kita boleh mempertikaikan tindakan moralnya dan
dirinya sendiri daripada mengatakan etika itu adalah apa yang telah dilakukannya.Malah kita
boleh katakan bahawa etika itu terdiri daripada tindakan moral yang diambil atau dilakukan
oleh seseorang yang bermoral.

Mangsa yang mati kerana menyelamatkan orang lain boleh katakan sebagai seorang yang
mempunyai egoism jenis ‘psychological egoism’ iaitu tingkahlaku seseorang itu
dimotivasikan oleh kehendak sendiri.Adalah sukar untuk diterima bahawa mangsa itu telah
meletakkan keutamaan orang lain daripada keselamatan dirinya sendiri dan mengorbankan
nyawa sendiri untuk membolehkan orang lain hidup.Menerusi tindakannya itu tidak
seorangpun boleh mengatakan bahawa dia melakukan tindakan tersebut kerana keinginannya
sendiri.Tetapi sekiranya dikaji secara mendalam,ia akan dapat melihat bahawa tindakan
mangsa tersebut mempunyai unsur-unsur keinginan sendiri(self-interest).Mangsa yang
membantu dalam menyelamat tadi mungkin telah wujud di dalam dirinya perasaan integriti
yang menyebabkan ia berkorban dalam situasi tersebut.Untuk ia melakukan sesuatu yang lain
adalah mustahil kerana ini akan merosakkan imej dan integriti dirinya sendiri.Sekiranya dia
membiarkan dirinya diselamatkan dan menyebabkan orang lain mati,dia mungkin tidak dapat
meneruskan hidup kerana merasa malu kepada keluarga,rakan dan seterusnya timbul
perasaan menyesal sepanjang hidupnya.Jadi dia tidak mempunyai pilihan selain daripada
bertindak berdasarkan imej yang telah dibentuk untuk sekian lama.Dia samada boleh
membiarkan orang lain menyelamatkannya dan ini akan merosakkan psikologinya atau dia
menyelamatkan orang lain dan merosakkan dirinya secara fizikal.

Mangsa tersebut juga mungkin membuat satu andaian secara tidak sedar tentang kebaikan
selepas mati di mana dia menerima pujian daripada rakan-rakannya dan dianggap sebagai
seorang yang tidak mementingkan diri sendiri.Mangsa tadi mungkin juga mempunyai sifat
ethical egoism iaitu melakukan sesuatu untuk kepentingan peribadi dan dalam keadaan ini dia
menganggap tindakannya itu sebagai satu ganjaran kepada sifat superegonya itu di mana
sekiranya dia tidak melakukan tindakan tersebut dia mungkin menyesal kerana tidak
bertindak dan seterusnya menjadi hero dalam situasi tersebut.

Sesuatu etika yang berasaskan kepada kebaikan adalah bergantung kepada penilaian daripada
beberapa tret sifat yang terpilih dan seharusnya tidak terkeliru dengan prinsip atau kenyataan
tentang apa yang sepatutnya dilakukan.Etika kebaikan adalah berkaitan dengan sifat-sifat
semulajadi,tabiat atau tret yang dimiliki oleh seseorang atau keinginan yang
dimilikinya.Moral kebaikan boleh dikatakan sebagai sifat semulajadi yang kekal,tabiat atau
tret yang berkaitan dengan moral yang terpuji.Dengan kata lain,kebaikan(virtue) adalah
berhubung dengan kualiti dalaman yang dimiliki oleh seseorang dan dilihat menerusi aktiviti
sehariannya.Etika kebaikan adalah berasaskan kepada keadaan semulajadi daripada apa yang
telah dilakukan.

Falsafah tentang kebaikan adalah berbeza dan bergantung kepada kewujudan dalam
kehidupan moral seseorang itu.Agama Kristian menyatakan bahawa kebaikan
kesetiaan(virtue of faith),pengharapan(hope) dan kasih sayang(love) sebagai tret utama dalam
sifat-sifat yang bermoral.Ini boleh ditambahkan lagi dengan kearifan
(wisdom),keberanian(courage),kesederhanaan(temperance) dan keadilan(justice) yang mana
merupakan kebaikan yang diperkenalkan oleh para ahli falsafah purba Greek.Kearifan,
keberanian, kesederhanaan dan keadilan merupakan kebaikan utama dan tidak boleh
dipisahkan antara satu sama lain serta moral kebaikan yang lain dipercayai sebagai cabang
daripada kebaikan-kebaikan di atas.Kebaikan yang berkaitan dengan
keadilan(fairness),kesetiaan(faithfulness) dan mengenang budi(gratefulness) juga dipercayai
atau merupakan kualiti yang seharusnya dimiliki dan ditunjukkan oleh seseorang yang
bermoral.Dalam islam,kesanggupan meniru sifat-sifat ketuhanan seperti
takwa,keimanan,sabar,ikhlas,jujur,zuhud dan segala sifat kesempurnaan Allah S.W.T. yang
lain merupakan syarat kesempurnaan etika.Pembentukan etika yang berkesan adalah
menerusi hati daripada sebarang perkara lain melainkan Allah S.W.T. dan pencetusan etika
yang terpuji adalah yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah serta bertunjangkan
akidah,syariah dan akhlak.

Aristotle mengatakan bahawa moral kebaikan secara umumnya adalah ciri-ciri terpuji yang
dimiliki oleh sifat seseorang dan telah wujud dalam diri seseorang.Seorang yang berakhlak
mulia(virtuous) adalah seorang yang mempunyai matlamat dan berada dipertengahan dan
tidak keterlaluan serta mengelakkan tindakan yang berlebihan atau berkurangan.Imbangan
sifat keterlaluan ini ditentukan menerusi tindakan kearifan(wisdom) oleh seseorang yang
mempunyai pengalaman dan mempunyai kemahiran pertimbangan(judgement) dalam
menghadapi sesuatu situasi yang baru.Seseorang yang memiliki wisdom tahu akan matlamat
yang hendak dituju dan apa yang hendak dicapai dengan memelihara emosi dengan baik dan
di samping memperlihatkan imbangan yang sesuai di antara
taakulan(reasoning),perasaan(feeling) dan kemahuan(desire).

Dengan yang demikian terdapat sedikit perbezaan antara kebaikan dalam etika dengan dalam
prinsip etika di mana kebaikan dalam etika menfokuskan kepada tret-tret sifat yang
seharusnya dimiliki oleh seseorang dan berpegang kepadanya serta diperlukan dalam
mengarah seseorang itu ke arah tindakan yang beretika dan apa yang seseorang akan menjadi
kelak.Seseorang yang berpegang kepada etika kebaikan seharusnya mempercayai teori etika
bahawa kebaikan yang dilakukan oleh seseorang yang berakhlak mulia bukan satu yang dapat
melambangkan kewajipan manusia.

Memandangkan Teori Kebaikan(Virtue) tidak menfokuskan kepada tindakan,timbul satu


persoalan: Bagaimanakah teori ini boleh menentukan betul atau salah sesuatu tindakan itu?.
Sebagai contoh,terdapat dua orang yang dianggap sebagai berakhlak mulia dalam semua
tindakan seharian mereka dan kedua-duanya mempunyai pendapat yang berbeza tentang
sesuatu masalah.Keadaan ini banyak wujud dalam kehidupan seharian di mana seseorang
yang dianggap sebagai berakhlak mulia seringkali memegang pendapat yang berbeza tentang
sesuatu tindakan berhubung dengan sesuatu perkara.Isu rokok merupakan contoh yang baik
di mana terdapat ulama yang mengatakan merokok adalah haram sedangkan terdapat ulama
yang merokok.Dengan kata lain,seseorang yang berakhlak mulia yang membuat keputusan
memilih sesuatu tindakan sedangkan dia sendiri tidak melakukan tindakan yang
bermoral.Jadi tindakan yang manakah yang betul dan bagaimanakah ditentukan perbezaan
kedua-dua tindakan berasaskan Teori Kebaikan.

Seseorang yang berakhlak mulia kadangkala tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan dalam
situasi tertentu kerana dia mungkin tidak tahu akan adanya alternatif lain ataupun tidak
mempunyai maklumat yang mencukupi tentang sesuatu perkara.Membuat penilaian tentang
kualiti moral terhadap sesuatu tindakan dengan menilai kualiti moral seseorang adalah kurang
tepat.Malah seseorang yang berakhlak mulia boleh bertindak di luar sifatnya dan melakukan
tindakan moral yang salah dan ini tidak bermakna seseorang yang berakhlak mulia boleh
melakukan kesalahan dan kesalahan tersebut dibenarkan.Tetapi sekiranya seseorang itu
benar-benar berpegang kepada etika kebaikan maka adalah sukar untuk mengetahui samada
tindakan tersebut salah atau tidak.

Etika kebaikan dan prinsip etika saling berkait.Teori etika yang lengkap memerlukan prinsip
yang boleh digunakan untuk menilai tindakan yang bermoral dan mengkhususkan kebaikan
tersebut akan boleh memaparkan ciri-ciri seseorang itu.Berdasarkan kepada kedua-dua
pendekatan,kita boleh mengetahui seseorang itu berakhlak mulia menerusi
tindakannya.Sekiranya untuk melihat kebaikan,kita boleh melihat menerusi tindakan yang
diambil terhadap sesuatu dan dalam persekitarannya.

PENUTUP

Tanggungjawab(duty) dan prinsip moral dan kebaikan bermoral atau ciri-ciri tret bukanlah
suatu yang bertentangan antaranya untuk dibuat pilihan tetapi merupakan perkaitan dalam
aspek bermoral.Biarpun apa bentuk falsafah yang dipegang etika dan kebaikan moral
merupakan dua entiti yang mempunyai perkaitan yang rapat dan saling bertimbal-
balik.Memiliki ciri-ciri tret kebaikan yang berlandaskan kepada panduan dan peraturan etika
membolehkan seseorang itu untuk membentuk dirinya mencapai peringkat berakhlak mulia
dan seterusnya dapat bertindak ke arah kebaikan menerusi alasan-alasan dan berdasarkan
persekitaran yang wujud.

BIBLIOGRAFI

1. Buchnolz,R.A.(1989),Fundamental Concepts and Problems in Business Ethics,Prentice


Hall,Englewood Cliffs,N.Jersey. 2. French,W.A. & John Granrose(1995),Practical Business
Ethics,Prentice Hall,Englewood Cliffs,N.Jersey 3. Hosmer,L.R.T.(1994),Moral Leadership in
Business,Irwin Inc.,Boston 4. Hosmer,L.R.T.(1991),The Ethics in Management,Irwin
Inc.,Boston 5. Mustaffa Daud(1996),Etika Pengurusan,Utusan Pub.&Dist.Sdn.Bhd.,K.L. 6.
Myra Windwiller,Nadine Lambert & Elliot Turiel(1980),Moral Development and
Socialization,Allyn and Bacon Inc.,U.S.A. 7. White,T.I.(1993),Busines Ethics: A
Phylosophyical Reader, MacMiller Pub.Co.,N.York

Anda mungkin juga menyukai