Anda di halaman 1dari 13

1.

0 PENDAHULUAN

Tujuan etika dibentuk pada amnya adalah digunakan untuk diri sendiri dan masyarakat di
sekelilingnya. Kod etika profesional adalah salah satu ‘alat kawalan’ sosial yang digunakan
sebagai satu panduan dalaam mendisiplinkan diri ke arah yang lebih beretika. Ianya berfungsi
sebagai landasan dalam menjalankan pelbagai kerja dengan lebih baik dan lebih teratur.
Dalam pendidikan seringkali diterapkan perlakuan dan amalan yang baik kepada pelajar agar
mereka dapat mengamalkannya sepanjang hayatnya.

Namun terdapat faktor-faktor tertentu yang menyebabkan seseorang itu melanggar etika
seperti faktor pengaruh keluarga (Family influence), pengaruh rakan (Peer Influence),
pengalaman hidup (Life experience), nilai peribadi dan prinsip moral (Personal value and
morals) dan faktor keadaan (Situation factors).

2.0 DEFINISI ETIKA

Terlalu banyak definisi etika diberikan oleh pelbagai pihak dari semasa ke semasa. Istilah
etika berasal daripada perkataan Greek ‘ethos’ yang bermaksud khusus kepada ‘character’,
atau perwatakan dan keperibadian.

Gluck (1986:176) telah mendefinisikan etika sebagai, kajian filosofikal terhadap moraliti.
Shea (1988: 17) mendefinisikan etika sebagai prinsip-prinsip bertingkah laku yang mengawal
individu atau profesion dan sebagai satu standard tingkah laku.

Etika seharusnya dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita dalam apa juga
tindak tanduk perlakuan. Keberkesanan prinsip etika terletak pada individu itu sendiri tanpa
disiplin diri dan kekuatan mental yang tinggi seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika
yang dikehendaki.
2.1 DEFINISI ETIKA MENURUT KAMUS DEWAN

Menurut kamus Dewan edisi ketiga, etika bermaksud prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-
nilai akhlak yang menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan (persatuan,
pekerjaan dan lain-lain).

2.2 DEFINISI NILAI DAN ETIKA DARI SEGI BAHASA

Nilai adalah ditakrifkan sebagai kepercayaan yang mendorong seseorang atau sesebuah
institusi untuk bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama dalam
masyarakat. Penerimaan dan penghayatan nilai-nilai utama oleh masyarakat akan menjamin
rakyat yang berpendidikan lengkap dalam hubungan masyarakat iaitu perilaku etika, sosial
dan budaya ilmu. Etika pula bermaksud tanggungjawab dan akibat bagi tingkah laku
seseorang terhadap masyarakat. Setiap anggota masyarakat atau organisasi berkewajipan
memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku seseorang individu tersebut.

3.0 PEMBENTUKAN TEORI ETIKA

Etika bermula di zaman purba Greek apabila ahli-ahli falsafah hanya memberikan tumpuan
kepada kebaikan moral. Socrates menggunakan pendekatan yang mencabar dan
menggalakkan rakan-rakannya untuk berfikir tentang kebaikan dan kesihatan roh. Idea utama
Soccrates tentang etika adalah berhubung dengan menyakinkan orang agar berakhlak mulia.
Socrates menyatakan bahawa kebahagian adalah mustahil diperolehi tanpa memiliki kebaikan
moral dan tindakan yang tidak beretika akan mengganggu orang lain malah beliau
menganggap orang yang tidak beretika sebagai orang yang lemah dan mempunyai psikologi
yang tidak sihat.

Plato mengkaji hubungan etika dengan personaliti manusia. Kebaikan moral adalah suatu
imbangan dan harmoni dikalangan perbezaan yang wujud dalam roh. Kebaikan moral adalah
suatu keperluan terhadap kesihatan roh tetapi kebaikan sejati adalah sukar dicapai. Mengikut
Plato kebaikan moral adalah berada di bahagian intelektual.
Menurut Aristotle pula, beliau melihat kebaikan moral agak berbeza daripada ploto dan
Soccrates di mana beliau menyatakan bahawa kebaikan moral mempunyai hubungan yang
sedikit dengan intelektual tetapi lebih kepada sifat (character) atau personaliti. Ploto dan
Socrates pula menyatakan beretika itu mempunyai hubungan yang rapat antara kebaikan
moral dan personaliti ang sihat. Bagaimanapun ketiga-tiga ahli falsafah ini berpendapat
bahawa kebajikan seseorang itu bergantung sepenuhnya dan berada dalam tangan seseorang
itu.

Sekiranya beretika dahulu menekankan kebaikan moral dan rasionalnya, etika moden banyak
memfokuskan kepada menentukan sifat-sifat beretika menerusi tindakan. Etika moden telah
membentuk dua persaingan iaitu tindakan yang mempunyai sifat etika dalaman dan
memerlukan status moral daripada akibat (consequences) yang dibuat sama ada tindakan itu
betul atau salah.

3.1 PENYATAAN DALAM TEORI ETIKA

Etika deskriptif merupakan suatu disiplin yang membicarakan tentang sejarah sistem moral.
Etika deskriptif memberitahu bagaimana ahli masyarakat harus bertingkahlaku, apakah
peraturan yang digunakan dan dianuti dalam sesebuah masyarakat dan sebagainya. Etika
deskriptif menyedarkan manusia bahawa terdapat berbagai sistem moral yang bersifat relatif
di muka bumi ini iaitu etika Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan sebagainya. Etika ini
menyatukan bentuk atau karektor sesuatu sistem moral yang ada tanpa membuat penilaian,
pengadilan dan keputusan terhadap sistem tersebut.

Etika nomatif merujuk kepada panduan dan peraturan yang berkaitan dengan tingkahlaku
yang baik dan jahat. Ianya menjurus kepada kenyataan yang memberitahu apa yang mesti
dilakukan dan apa yang betul. Ia menilai, mengkritik dan membuat keputusan terhadap sistem
yang ada disamping menerangkan sesuatu undang-undang moral yang dianggap terbaik,
bukan undang-undang moral yang sedia ada dan sedia di terima.

Etika normatif mengemukakan sistem moral yang piawai berpandukan sistem sedia ada.
Etika Normatif menyedarkan kita bahawa tidak semua nilai moral berubah mengikut
perubahan masa tetapi ada yang terus kekal dipelihara meskipun budaya mengalami
perubahan. Inilah yang dikatakan sebagai nilai mutlak dan biasanya berkaitrapat dengan
agama. Golden Rule merupakan contoh prinsip etika normatif klasik. Jika mahu orang
melakukan perkara yang baik kepada kita, kita perlu melakukan perkara yang baik juga
kepada orang lain.

3.2 TEORI DAN ALIRAN PEMIKIRAN

Aliran pemikiran terhadap sesuatu teori itu terbahagi kepada dua:

Teori ‘Deontologis’

Teori ini berasal dari Yunani iaitu ‘deon’ dan diasaskan oleh Immanuel Kant (1804). Teori
ini menekankan sikap jujur, mengikut arahan, menepati janji serta adil. Mengikut teori ini,
betul atau salah sesuatu tindakan itu ditentukan oleh pegangan agamanya. Orang yang
berpegang dengan teori ini akan sentiasa berbuat baik. Walaubagaimanapun, orang yang
berpegang kepada teori ini tidak berfikir akan akibat kepada ketaatannya kepada dirinya atau
kepada orang lain. Dalam hal yang berkaitan dengan bidang pekerjaan misalnya, sebagai
pekerja bawahan kita, kita sememangnya perlu taat kepada majikan dan majikan pula perlu
taat dan patut kepada prosedur kerja serta peraturan syarikat. Dalam satu segi, sikap ini dapat
menahan diri seseorang itu untuk hindari amalan rasuah dan perbuatan yang tidak bermoral
namun dari sudut tersiratnya, patuh secara melulu mengakibatkan keburukan pada dirinya
dan keluarga. Dalam hal ini, kita hendaklah berfikir waras adakah sesuatu tindakan itu
‘membuta tuli atau tidak’.

Teori Teleologis

Teori ini diasaskan oleh Jeremy Bentham (1784-1832) dan John Stuart Mill (1806-1873)
dimana ia berasal daripada perkataan Yunani iaitu ‘telos’ yang bermaksud tujuan atau akibat.
Teori ini sealiran dengan teori Utilitarian. Menurut teori ini, tindakan dianggap betul jika
akibat daripada tindakan itu kearah kebaikan. Menurut teori ini sebelum melakukan sesuatu
tindakan, seseorang individu itu perlu memikirkan kesan baik dan buruk. Kebaikan yang
dimaksudkan ialah yang terbaik dan untuk dinikmati oleh seramai mungkin daripada faedah
itu.
Dalam hal ini, sesuatu peraturan itu boleh dilanggar jika ada faedah yang lebih baik.
Contohnya, ‘jangan menipu’ adalah sesuatu yang umum dan ia boleh dilanggar jika ada
kebaikan yang lebih besar. Teori ini adalah baik jika bermaksud untuk kebaikan tanpa
melanggar undang-undang. Contohnya, seseorang itu perlu berfikir banyak kali atas tawaran
suapan kerana akibatnya adalah besar. Tidak menerima suapan tadi adalah mematuhi
peraturan yang ditetapkan yang bertujuan baik. Sebagai pekerja yang mengamalkan etika
profesional, seseorang itu tidak boleh melanggar peraturan walaupun untuk tujuan kebaikan.
Tiada ‘matlamat yang menghalalkan cara’.

3.3 TEORI HAK ASASI

Teori ini diasaskan oleh John Locke (1704). Menurut teori ini, “sesuatu tanggungjawab perlu
dilaksanakan kerana setiap orang punya hak tertentu”. Teori Hak Asasi adalah teori umum
bagi setiap insan. Berdasarkan teori ini, setiap insan perlukan kebebasan dan kedamaian
untuk dirinya sendiri. Dalam bidang pekerjaan, seseorang itu perlu pertimbangkan hak orang
lain dalam melaksanakan tugasannya. Konflik boleh terjadi apabila seseorang itu bertembung
dengan kepentingan hak orang lain sedangkan dia tetap dengan matlamat utilitariannya iaitu
kebaikan secara umumnya kepada masyarakat.

Dalam Islam, hak asasi kita tidak akan diiktiraf sehingga kita boleh memberi gangguan
kepada hak orang lain. Hak kita adalah terbatas tanpa memudaratkan orang lain. Apa
perkaitannya dengan amalan rasuah? Jika mengamalkan teori ini, tanpa mengamalkan teori
kesederhanaan yang ditekankan dalam Islam, seseorang ahli perniagaan misalnya, akan
melebarkan perniagaannya tanpa memikirkan adakah ia boleh memberi tekanan kepada orang
lain.

Teori-teori etika yang dikemukakan perlu amalkan tetapi dalam masa yang sama seseorang
itu perlu berfikir secara berhemah sama ada ia wajar atau tidak. Keberkesanan prinsip etika
bergantung kepada disiplin dan kekuatan individu itu dalam mengekang perbuatan yang tidak
bermoral termasuklah rasuah. Bagi penganut agama Islam, teori yang terbaik sudah tentulah
teori yang berlandaskan Al-Quran.
3.4 TEORI KEBEBASAN PERIBADI

Teori ini (Personal Liberty Theory) menekankan suatu prinsip tunggal iaitu kebebasan.
Berdasarkan teori ini, segala peraturan yang dibuat itu walaupun memberi manafaat kepada
masyarakat, ia harus ditolak jika bercanggah dengan kebebasan yang menjadi tunjangnya.
Berpegang kepada teori ini, seseorang itu berhak membuat pilihan untuk hala tuju mereka.
Setiap orang mempunyai peluang yang sama rata untuk membuat pilihan. Teori ini tidak
boleh dijadikan pegangan sepenuhnya. Contohnya, perbuatan rasuah misalnya, walaupun
memberi manafaat kepada keluarganya, tetapi kesan secara lebih luas, ia telah menyebabkan
orang lain menanggung akibat. Antara kesannya, ialah kenaikan harga barang kerana kos
tersembunyi (rasuah).

4.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN BERETIKA

Pendidikan beretika sewajarnya bermula dari rumah hingga ke peringkat pendidikan yang
lebih tinggi ibarat kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Hal yang demikian,
pihak berwajib seperti Kementerian Pelajaran Malaysia dan Pusat Perkembangan Kurikulum
yang berkait rapat dengan pendidikan perlu memberi perhatian sewajarnya bagaimana
pendidikan beretika ini boleh dilaksanakan.

Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan Negara.

Di peringkat rendah seperti mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan (PSK), pendidikan
Moral, Pendidikan Islam perlu dikemaskini dengan menekankan kepentingan etika dan
akhlak. Penerapan nilai-nilai murni dan moral dalam pengajaran dan pembelajaran sudah
pasti dapat membentuk etika yang diingini untuk masa akan datang.

Begitu juga ketika berada di pusat pengajian tinggi, pendidikan beretika ini perlu diterapkan
lebih awal dan diwajibkan kepada setiap graduan. Dengan adanya pendidikan beretika ini
dapat membimbing graduan untuk keluar berhadapan dengan realiti kehidupan yang
kompleks. Pendidikan beretika ini juga dapat mendidik seseorang itu berfikir dengan waras
dan menentukan sesuaatu perbuatan yang dilakukan sama ada baik atau buruk.

Sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia menekankan prinsip rukun negara yang
menitikberatkan etika kepada setiap warganegara selaras dengan prinsip Rukun Negara yang
kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Dengan adanya pendidikan beretika ini sudah pasti
dapat membentuk masyarakat Malaysia yang dikehendaki mengikut fahaman agama masing-
masing yang menekankan lebih kepada kebaikan. Sebagai contoh, orang Islam perlu
menjalani kehidupan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah agar tidak terpesong
akidah dan akhlaknya. Justeru dapat membentuk sebuah masyarakat Madani (moden
berteraskan Al-Quran).

4.1 LANGKAH-LANGKAH KE ARAH PENDIDIKAN BERETIKA

Bagi mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan (PSK), Moral dan Pendidikan Islam, masa
pengajaran perlu ditambah dan pengisian isi pelajaran lebih berfokus kepada pendidikan
beretika. Ini boleh diterapkan dalam aktiviti berkumpulan, pembelajaran kolaboratif dan
sebagainya. Bukan itu sahaja, matapelajaran lain juga boleh diserapkan unsur etika dalam
proses pengajaran dan pembelajaran

Pihak Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) perlu memperluaskan kempen dan poster
bagi mempromosikan etika dalam organisasi seperti pemakaian lencana “saya anti rasuah”
yang dipakai oleh setiap anggota Polis Di Raja Malaysia. Ini bertujuan untuk menyedarkan
kedua-dua pihak bahawa rasuah adalah amalan yang terkutuk dan perlu dibenteras.

Aktiviti kemasyarakatan mahupun organisasi seperti ceramah, forum, seminar, pameran dan
sebagainya perlu sentiasa menyelitkan unsur-unsur positif dan beretika dalam program yang
dilaksanakannya seperti ceramah agama. Selain itu media masa dan media elektronik perlu
beretika dalam menyalurkan maklumat kepada umum kerana kedua-dua media ini
mempunyai pengaruh yang besar dalam penyebaran maklumat kepada masyarakat.

Selain itu badan kerajaan seperti Kementerian Penerangan Malaysia perlu memainkan
peranan yang penting mempertingkatkan penyaluran bahan media dan maklumat kepada
segenap lapisan masyarakat dan bukan hanya tertumpu kepada sesebuah organisasi sahaja.
Contohnya penerangan kempen Bersih, Cekap dan Amanah perlulah diwar-warkan secara
langsung dan berterusan agar sentiasa menjadi pedoman kepada setiap anggota masyarakat.
Badan Perundangan perlu mewartakan setiap Akta agar diketahui umum. Sebagai contoh,
penguatkuasaan undang-undang mampu membenteras kegiatan rasuah. Tindakan memecat
pesalah jenayah ini terutamanya jika mereka yang terbabit merupakan kaki tangan kerajaan
menjadi langkah yang bijak. Hukuman seperti sebat atau penjara yang lama turut memberi
kesan jika hukuman dijatuhkan tanpa mengira status dan kedudukan seseorang pesalah.

Aspirasi kerajaan untuk modal insan yang cemerlang pada masa hadapan dengan melibatkan
remaja dalam program Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) kerana telah terbukti
pengisiannya lebih kepada penerapan nilai-nilai moral dan membentuk individu yang lebih
beretika menerusi prgramnya iaitu khidmat Masyarakat. Tambahan program-program seperti
ini membentuk seseorang individu itu mempunyai jati diri yang kuat.

5.0 KEPERLUAN BERETIKA DALAM ORGANISASI

Bagi seseorang individu yang bakal menyertai alam pekerjaan, mereka perlu bersedia dan
menerapkan latihan etika yang mencukupi dalam dirinya. Selain itu sebagai orang Islam perlu
mendalami ilmu agama yang mendalam sebagai benteng dalam menghadapi cabaran dan
dugaan dalam era globalisasi masa kini. Ini adalah kerana pengaruh dan desakan hidup sering
mempengaruhi pegangan dan etika yang ada dalam diri mereka. Contohnya jenayah kolar
putih dan jenayah ekonomi berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk rasuah, jenayah siber,
penyelewengan aset, penipuan cek dan kad kredit, pengubahan wang haram dan sebagainya.
Ini termasuk dalam salah satu 5 faktor yang membentuk etika individu iaitu faktor keadaan.
(Situation factors)
6.0 RASUAH

Rasuah boleh ditafsirkan sebagai “ganjaran atau imbuhan yang diperoleh hasil daripada
melakukan sesuatu kerja yang tidak sepatutnya dilakukan”. Rasuah bukan sahaja boleh
diberi atau diterima dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam bentuk material. Secara
amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak
untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap “pilih kasih” dalam tindakannya.

Daripada Abu Hurairah RA. Ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang
suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rauah dalam soal hukum menghukum”.
Rasulullah SAW. yang bermaksud: “Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk
neraka”.

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan
untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Biasanya rasuah dijadikan
sebagai satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata
lain untuk mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan
budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya
memikirkan keuntungan kepada diri mereka.

6.1 PUNCA BERLAKUNYA RASUAH SECARA UMUM

Antara punca penyebab berlakunya salah laku rasuah, ialah faktor keadaan (situation factor).
Bagi penjawat awam misalnya seperti bahagian penguatkuasaan, mereka sangat terdedah
dengan rasuah bilamana kecerdikan perasuah dengan menawarkan sogokkan atau hadiah
yang lumayan, ketiadaan saksi ketika itu dan keinginan mendapatkan sesuatu untuk
kepentingan diri sendiri, maka tanpa berfikir panjang, lantas merekapun menerima rasuah.
Apabila sekali mereka terjebak dan terselamat dari hukuman, berkemungkinan ianya akan
menjadi sesuatu yang tidak ditakuti, bak kata pepatah ‘alah bisa tegal biasa’. Besar
kemungkinan perbuatan sebegitu akan berulang lagi di lain masa.
Jika diteliti laporan akhbar sejak akhir-akhir ini, ramai pegawai tinggi kerajaan yang
berpangkat telah disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan kes mereka masih dalam
siasatan dan perbicaraan. Hal ini telah mencemarkan imej organisasi kerajaan yang pada
dasarnya pendokong amanah dalam pelbagai bidang. Ibarat kata pepatah ‘harapkan pagar,
pagar makan padi’. Mereka yang didapati bersalah bakal berdepan dengan masa depan yang
gelap kerana hukuman yang dikenakan bukan sahaja menghancurkan kerjaya mereka, malah
mereka terpaksa menjelaskan lebih daripada sekali ganda dengan nilai suapan yang mereka
terima. Berbaloikah kita menjadi penerima rasuah? Tepuk dada tanya selera.

Faktor yang kedua punca berlakunya rasuah ialah nilai peribadi dan prinsip moral (personal
values and morals). Kelemahan ini juga disebabkan kurang iman dan taqwa seseorang.
Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang, tetapi dilakukan juga
dengan seribu satu alasan peribadi. Sikap sesorang yang terlalu mementingkan kejayaan,
pangkat dan kewangan seringkali bertindak berdasarkan keuntungan peribadi tanpa mengira
kesannya terhadap orang lain. Faktor seterusnya adalah disebabkan kelemahan dan
pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada
pemantauan, lembap menjalankan tugas, lebih cenderung ke arah berlakunya penyelewengan
khususnya rasuah.

6.2 MASALAH YANG BERKAITAN RASUAH DI KALANGAN POLIS

Tanpa disedari banyak masalah rasuah telah berlaku di kalangan anggota polis walaupun
tidak dinyatakan. Kesalahan rasuah boleh berlaku didalam organisasi, pentadbiran, dan
dikalangan polis. Misalnya seorang anggota polis yang sedang bertugas menjalankan sekatan
jalan dan telah menahan sebuah kereta dan pemeriksaan terhadap pemandu dapati tidak
memiliki lesen memandu dan cukai jalan kereta telah tamat tempoh. Pemandu tersebut telah
menawarkan duit kepada anggota tersebut untuk tidak menyamannya kerana tidak memiliki
lesen memandu dan cukai jalan kereta telah tamat tempoh dan anggota tersebut telah
menerima duit daripada pemandu tersebut untuk tidak mengambil tindakan saman dan
melepaskan pemandu tersebut. Adakah tindakan anggota polis ini beretika?

Menurut pandangan etika Utilitarianism, tindakan yang dilakukan oleh anggota polis tersebut
dalam masalah ini adalah gagal dan tidak beretika dan tidak bermoral kerana tindakannya
tidak memberi menafaat kepada orang lain malah merugikan pemandu tersebut kerana akan
mengulangi lagi kesalahan yang sama pada masa akan datang.

Dalam pandangan etika Universalism, tindakan anggota polis tersebut adalah baik kerana
mempunyai niat yang baik untuk tidak mengambil tindakan saman terhadap pemandu
tersebut. Niat yang baik seringkali membawa kepada kebaikan kerana mendahului
kepentingan orang lain daripada kepentingan diri sendiri.

Sebagai seorang pegawai polis, saya berpendapat tindakan anggota polis berkenaan tidak
beretika dan tidak bermoral. Anggota polis tersebut secara jelas lebih mementingkan diri
sendiri tanpa memikirkan akibat terhadap orang lain atas tindakan yang dilakukannya. Kesan
yang pasti timbul adalah pandangan negatif daripada orang awam dan anggota polis yang lain
seandainya rahsia anggota polis ini diketahui umum. Dari segi pandangan agama pula,
anggota polis ini tidak amanah dan tidak beriman kerana melakukan tindakan tersebut tanpa
memikirkan dosa dan pahala.

Masalah rasuah lain yang berlaku di dalam polis seperti pihak pentadbir yang mempunyai
sikap ‘pilih kasih’ terhadap kakitangan bawahannya. Situasi yang jelas dilihat, pemilihan
anggota penerima pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang tidak bertepatan.
Kadang kala disebabkan pihak pentadbir yang mempunyai pertalian yang akrab dengan
anggota seringkali ‘dipandang’ berbanding anggota yang memberi perkhidmatan sepenuh
hati tetapi tidak dinilai setanding dengan perkhidmatannya atas alasan anggota berkenaan
tidak popular dikalangan pentadbir.

Menurut pandangan Golden Rules, berdasarkan agama Kristian, menyatakan ‘do to others as
you would have them do to you’. Dalam hal ini, tindakan yang diambil oleh pentadbir adalah
baik kerana sesuatu kebaikan yang diterima perlu di balas dengan kebaikan. Berbeza dengan
pandangan Utilitariansm ianya tidak memberi manafaat kepada organisasi kerana
kepentingan tugas tidak menjadi keutamaan sebaliknya perhubungan menjadi kayu ukur
untuk penerimaan anugerah berkenaan. Kesan kepada majoriti, atau anggota organisasi
PDRM, menyebabkan suasana bekerja tidak menjadi kondusif. Secara tidak langsung, misi
dan visi PDRM sukar untuk dicapai.
Secara peribadi tindakan yang dilakukan oleh pihak pentadbir ini jelas amat mendukacitakan
semua pihak. Secara terang-terangan pihak pentadbir mempunyai sikap ‘pilih kasih’ atau
‘pilih bulu’. Tindakan yang baik perlu diambil terhadap pihak pentadbir atau individu yang
terlibat. Kesedaran tentang etika dan moral serta nilai dalam pendidikan perlu diberikan
semula agar masalah ini dapat dibenteras dari akar umbi.

Tidak dapat dinafikan juga kewujudan Internal Whistel Blowing (Kaki adu dalaman) yang
berperanan menyebarkan maklumat kepada pentadbir. Berkemungkinan apa yang diadu tidak
semestinya benar dan berkemungkinan untuk menjatuhkan seseorang demi kepentingan
dirinya sendiri, ibarat menikam musuh dari belakang.

7.0 PENUTUP

Amalan rasuah ialah amalan yang tidak bermoral dan jika tidak dibendung ia akan
mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak dipatuhi sepenuhnya.
Amalan ini turut mewujudkan pemerintahan yang lemah kerana setiap kali rasuah berlaku,
maka pemerintah kehilangan hasil ataupun terkeluar daripada tindakan yang sepatutnya.
Keadaan negara yang amalan rasuahnya berleluasa, akan merosot kedudukan ekonominya.
Begitu juga dengan persepsi negara luar terhadap negara ini. Berikutan seriusnya, usaha
menangani gejala ini, rakyat berharap tidak sesiapa kalangan pengamal terlepas daripada
tindakan undang-undang.

Sebagai seorang pegawai polis dan seorang yang beragama secara keseluruhannya, mahupun
sesiapa sahaja perlulah mengamalkan disiplin dan peraturan dalam profesionnya. Etika kerja
profesional merupakan garis panduan kepada pekerja profesional menjalankan tugasnya
secara amanah, betul, dan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan. Namun jika
berpandukan kepada teori-teori etika yang dikemukakan, perlu ada pengubahsuaian pegangan
mengikut situasi di negara ini.

Walaubagaimanapun, sebagai orang kristien, kembali kepada ajaran agama adalah sebaik-
baiknya. Agama kristien sangat melarang keras perbuatan merasuah kerana natijahnya
sangatlah besar terhadap negara, organisasi, individu mahupun keluarga mereka. Pihak
kerajaan perlu memberi penekanan terhadap penguatkuasa jenayah ini dengan memastikan
tiada sesiapa yang dapat terlepas daripada hukuman kerana merasuah.

8.0 RUJUKAN

Charles Bernheimer (1994), Comperative Literature in the Age of Multiculturalism, The


Johns Hopkins University Press.

Joseph W. Weiss (2006), Business Ethics, Thomson, United States.

Steven Luper (2002), A Guide to Ethics, Mc Graw Hill, Yew York.

Malaysia Kita, Institut Tadbir Awam Negara, Kuala Lumpur, 1991.

Nilai Dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam, Institut Tadbir Awam Negara, Kuala Lumpur,
1991.

Kecemerlangan Pentadbiran (Dasar Dan Amalan Dalam Islam), Institut Tadbiran Awam
Negara, Kuala Lumpur, 1991.

Laporan Seminar Kebangsaan Etika professional, 20-21 Oktober 1992, Hotel Hilton, Kuala
Lumpur.

Nota kuliah

Capaian-capaian Internet

Anda mungkin juga menyukai