Anda di halaman 1dari 5

Contoh manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan

Contoh pertama manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan:

Bab 1: RAGAM BELAJAR KU CHAI! Apa yang awak tengok di luar tu? Garang saja suara Cikgu Timah memecah suasana pagi di kelas 5B. Dia adalah cikgu Bahasa Inggeris untuk tahun lima. Ku Chai yang sedang asyik memandang ke luar terkejut lantas menoleh. Dilihatnya wajah Cikgu Timah sudah masam mencuka. Matanya tajam memandang ke arahnya. Err... err... tak ada apa-apa cikgu. Sa... sa... saya... Terketar-ketar Ku Chai memikirkan apa alasan yang patut diberikan. Lain kali kalau cikgu sedang mengajar di depan, jangan tengok tempat lain. Nanti kamu tak faham! jerkah cikgu perempuan yang berkaca mata tebal itu apabila melihatkan Ku Chai tergagap-gagap menjawab. Cikgu yang bertubuh gempal itu memang sangat-sangat digeruni di sekolah kerana sifat-sifat semula jadinya yang garang dan suka membebel. Suaranya saja seperti guruh kalau menjerit. Ya... ya... cikgu... Ku Chai mengangguk-angguk ketakutan. Gayanya seperti orang yang ketakutan ketika terserempak dengan askar Jepun waktu zaman perang dulu. Cikgu Timah mengetap bibir. Geram! Sebaik saja Cikgu Timah kembali menulis di papan hitam, Ku Chai tekun memandang ke hadapan. Namun hatinya terasa ingin mencuri-curi pandang ke luar. Seronok benar dia memandang ke sebelah bangunan D tadi. Ada beberapa zink berwarna biru telah didirikan. Oleh kerana kelasnya berada di tingkat dua dan berhadapan dengan bangunan D, maka dapatlah dia melihat beberapa orang sedang membuat kerja-kerja pembinaan. Barangkali mengubahsuai bangunan lama itu menjadi bangunan lain. Ku Chai! Kali ini suara Cikgu Timah berubah nyaring dan panjang. Matanya mencerlung tajam menikam wajah Ku Chai yang kini sedang terkulat-kulat. Alamak, cikgu tu perasan rupanya. Habislah aku kali ini, bisik Ku Chai dalam hati. Dia sendiri tidak perasan bila masanya dia menoleh ke arah bangunan tersebut. Alih-alih, sudah tertangkap lagi! Sekalian pelajar turut memandang ke arahnya. Kenapalah aku leka sangat tadi? Ku Chai mengutuk dirinya. Namun segala-galanya sudah terlambat.

KarnaDya Solutions Sdn Bhd

Contoh manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan

Mari sini! bentak Cikgu Timah. Dia sudah hilang sabar dengan perangai murid yang seorang ini. Suaranya kuat bergema di seluruh kelas. Sesiapa yang mendengarnya menjerkah pasti akan kecut perut. Dengan perasaan takut, Ku Chai bangun lalu melangkah perlahan-lahan ke depan. Wajahnya ditundukkan saja. Jantungnya berdegup kencang. Entah apalah hukuman yang akan diberi oleh cikgu garang itu. Dari tadi cikgu nampak kamu beria sangat tengok luar. Apa yang kamu tengok? Seronok sangat ke? Cikgu Timah mula membebel. Err... err... tak adalah cikgu. Ku Chai cuba berdalih. Namun Cikgu Timah tidak mudah percaya. Bukannya dia tidak nampak perbuatan Ku Chai tadi. Hah, sekarang pergi berdiri di luar kelas. Tengoklah puas-puas apa yang awak beria nak tengok tadi. Jari telunjuknya pantas menghala ke arah pintu kelas. Panas sungguh hatinya apabila Ku Chai cuba menafikan. Terkebil-kebil Ku Chai memandang Cikgu Timah. Dalam keadaan tersentak kerana tengkingan cikgunya tadi, Ku Chai melangkah keluar perlahan-lahan lalu berdiri di tepi pintu. Dia menghela nafas beberapa kali. Lega hatinya kerana tidak dihukum rotan. Kalau tidak, tentu berbirat tapak tangannya. Hukuman berdiri di luar kelas itu pun secara tidak langsung memberi ruang kepadanya untuk melihat-lihat sekeliling. Sekali-sekala dia menjeling ke dalam kelas melihat Cikgu Timah yang kembali menyambung pengajarannya. Hai, nasib... nasib... omelnya sendirian.

KarnaDya Solutions Sdn Bhd

Contoh manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan

Contoh kedua manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan:

Bab 1 TAHUN baru datang lagi. Seperti tahun lalu, mudah-mudahan tahun ini juga bakal berlalu tanpa sebarang kontroversi, mahupun hal-hal sensasi. Azam tahun baru? Tahun ini dia tidak mahu buat apa-apa azam pun, sebab azam tahun lepas pun masih ada yang belum tercapai. Cuma dia berdoa agar terus diberikan kesihatan, ketenangan dan keceriaan yang berpanjangan. Kalau pun ada masalah, mungkin hanya setakat yang biasa-biasa saja. Itu memang tak boleh dielak. Yalah, semua orang pun punya masalah. Cuma besar, kecilnya saja yang berbeza. Tapi, inilah yang orang kata... manusia hanya mampu merancang... Tuhan penentu segalanya. Belum apa-apa, sudah ada cerita kurang enak menantinya. Semuanya bermula dari panggilan emak siang tadi. Anis yang memang sedang merindui emak berasa seronok bukan main, walaupun sehari sebelum itu mereka sudah bercakap agak lama. Tapi rasa seronoknya hanya sebentar. Sebabnya, berita yang emak sampaikan selepas itu adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas langsung di benaknya. Hasilnya, sudah lewat malam begini pun dia masih tidak boleh tidur. Hatinya jadi sangat terganggu dengan bicara emak siang tadi. Pagi tadi ada orang merisik angah. Sebaris ayat itulah yang menyebabkan lidah Anis jadi kelu sebentar. Tetapi selepas itu dia ketawa. Sedikit pun tidak percaya. Dia tahu emak hanya main-main. Emak kan memang suka bergurau. Mak ni... kut ya pun nak bergurau dengan angah, carilah topik lain. Bab risik-merisik ni tak sesuailah, mak. Angah dengar suara mak ni macam orang bergurau ke? tanya emak, serius. Anis berhenti ketawa. Bila emak bertanya begitu, dia tahu emak memang serius. Selalunya kalau bergurau, emak akan ketawa. Tapi tadi, emak tak ketawa langsung. Habis, macam mana, mak? tanya Anis, risau. Macam mana, apa? Mak nak tanya angahlah ni. Betul ke angah tak ada siapa-siapa lagi? Sengaja emak bertanya begitu, padahal dia tahu, Anis memang belum ada teman lelaki. Macamlah mak tak tau.

KarnaDya Solutions Sdn Bhd

Contoh manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan

Manalah tau kut-kut dalam sehari dua ni angah dah jumpa seseorang, kata emak dengan suara yang lunak. Kalau betul tak ada... mak ingat mak nak terimalah orang yang datang tadi tu. Makkk!!! jerit Anis. Naik seram pula dengan ucapan emak itu. Entah siapalah agaknya lelaki itu. Entah emak kenal, entah tidak... senang-senang nak terima. Kalau pun betul emak kenal dan berkenan... tak boleh juga kalau emak nak terima macam tu saja. Kenalah minta persetujuan dia terlebih dahulu. Kalau dia kata okey, barulah emak boleh mengambil tindakan seterusnya. Dia faham hasrat hati emak yang mahukan dia cepat-cepat mendirikan rumah tangga. Bukan sekali emak suarakan niat hatinya itu. Dah selalu sangat. Alasan emak, sepupu-sepupu perempuan Anis sudah ramai yang berkahwin. Terbaru, Melati anak Mak Lang Kiah pula bertunang dengan Yusri. Dengar cerita, mereka akan disatukan selepas hari raya nanti. Kalaupun belum nak kahwin... angah bertunang ajelah dulu. Teringin sangat nak bermenantu agaknya, sampaikan emak pernah menyebut begitu. Masalahnya, dengan siapa dia nak bertunang? Dia bukan ada teman lelaki pun. Emak sendiri pun dan sedia maklum tentang perkara itu. Tapi biasalah emak tu, sengaja buat-buat tak faham. Apa, emak ingat bertunang tu semudah menyebut ABC? Kalau sekalipun dia sudah punya teman lelaki, tetapi katakan si dia belum bersedia untuk masuk meminang, tak ada maknanya juga. Bercerita pasal teman lelaki, sebenarnya bukanlah tak ada lelaki yang hendakkan dia. Ada, cuma dia yang tak berapa berkenan. Bukanlah nak memilih sangat... tapi nak tak nak, dia kena memilih. Yalah, bukan senang nak cari lelaki yang betul-betul sesuai dan kena dengan jiwa. Tersilap pilih nanti... merana seumur hidup. Kira jadi ya, ngah? Anis diam sebentar. Dalam pada itu, otak sibuk berfikir apa yang mahu dikata kepada emak. Kalau angah dah ada... macam mana, mak? Lambat-lambat ayat itu diucapkan. Ya ke dah ada? Mak tak percayalah. Anis sudah tidak terkata apa lagi. Susah juga nak berbohong dengan emak. Maklumlah, selama ini, dia jarang menyembunyikan apa-apa pun. Setiap masalah, setiap cerita, semuanya dikongsi bersama emak. Masa inilah dia tiba-tiba terfikir... alangkah bagusnya kalau dia benarbenar mempunyai teman istimewa. Tentulah dia tidak susah hati sangat. Tentu dia akan
KarnaDya Solutions Sdn Bhd

Contoh manuskrip yang mengikut format yang ditetapkan

perkenalkan kepada emak tanpa berlengah-lengah lagi. Dan sudah tentu emak tiada alasan lagi untuk menerima risikan orang itu. BELUM tidur lagi, angah? Dah pukul 12.30 dah ni? Fuad yang baru turun dari tingkat atas memandang Anis dengan rupa hairan. Kenapa... tak selesa ke tidur kat rumah along? Along pun belum tidur ke? tanya Anis tanpa menjawab soalan abangnya. Sebenarnya malam minggu itu dia tumpang bermalam di rumah Fuad. Takut pula tinggal seorang di kondo yang baru beberapa bulan dihuni itu. Zura balik ke kampung, sementara Salma pula menghadiri kursus di Kuantan. Pada mulanya dia mengajak Fuad bermalam di kondonya tapi abangnya itu menolak dengan alasan dia kurang selesa bermalam di situ. Mahu tak mahu, terpaksalah dia menerima pelawaan Fuad untuk bermalam di rumah abangnya itu. Kebetulan Fuad juga tinggal seorang kerana Omar tiada di rumah. Kalaulah Omar ada, Anis pun tidak mahu pergi dan bermalam di rumah itu. Kerja along baru aje siap, kata Fuad, seraya duduk di sofa tepi sambil memicit tengkuknya. Angah ada masalah ke? Lain macam aje along tengok muka angah, sambungnya sambil memandang muka si adik yang kelat. Siang tadi mak telefon. Mak cakap ada orang merisik angah. Ada orang merisik angah? Biar betul? Ceria benar suara Fuad. Senyumannya melebar. Yang along seronok sangat tu, apa hal? tanya Anis. Mata merenung abangnya, tajam. Memanglah seronok. Laku jugak rupanya adik along ni. Ingatkan tak ada orang nak. Fuad mengusik.

KarnaDya Solutions Sdn Bhd

Anda mungkin juga menyukai