Anda di halaman 1dari 23

Wan Azli

Cikgu Mizi Sebuah Drama yang disumbangkan pada 11/5/2006 12:46:19 AM

Nota: Judul asal naskhah ini ialah Cikgu Tarmizi. Kata pengarah pementasannya untuk projek IV Monodrama terbitan Akademi Seni Kebangsaan (sekarang dikenali sebagai Akademi Seni Budaya Dan Warisan), Wan Kanari Ibrahim, judul itu berbunyi agak kasar. Saya mengizinkannya untuk dipersembahkan di bawah judul Cikgu Mizi, sebagaimana cadangannya. Lalu saya kekalkan judul itu juga. Mempersembahkan: Cikgu Mizi.

GELAP.

EFEK BUNYI: Loceng sekolah berbunyi.

LAMPU: Pentas diterangkan perlahan-lahan.

SET: Satu meja tulis, satu kerusi, dan satu papan hitam.

CIKGU TARMIZI MASUK KE KELAS. CIKGU TARMIZI ADALAH SEORANG GURU MATEMATIK TAMBAHAN BERUSIA 30 TAHUN. MASIH BUJANG. BERGAYA KEMAS DENGAN KEMEJA DAN TALI LEHER. BERWAJAH GARANG DAN NAMPAK TIDAK MESRA.

EFEK BUNYI: Rakaman Suara ketua kelas mengucapkan selamat pagi cikgu, diikuti oleh suara murid-murid lain, mengucapkan ucapan yang sama.

CIKGU TARMIZI: Selamat pagi.

CIKGU TARMIZI BERJALAN KE MEJANYA, MELETAKKAN BEGNYA, BUKU TEKS DAN NOTA-NOTA PENGAJARANNYA DI ATAS MEJA. DIA DIAM SEKETIKA. BERDIRI KAKU MEMANDANG MEJANYA DAN MURID-MURID BERSILIH GANTI.

Ada dengar berita, salah seorang pelajar kelas ni, kawan kamu semua, dah tak ada? Dia pulang ke rahmatullah malam tadi. (DIAM) Mungkin kamu lebih dulu tahu berbanding saya. Saya minta semua bertafakur sebentar, kita baca Al-Fatihah untuk Arwah Azmawadi. (DIAM) AlFatihah.

SUASANA DIAM. CIKGU TARMIZI TERTUNDUK. SEHABIS ALFATIHAH, DIA KEMBALI MENDONGAK, MEMANDANG MURID-MURID. KEMUDIAN, DIA KE PAPAN HITAM, MENULIS PERKATAAN PERSAMAAN SERENTAK. KEMUDIAN DIA MENULIS SATU MASALAH PERSAMAAN SERENTAK YANG AKAN DISELESAIKAN. SELESAI, DIA TERDIAM LAGI. LAMA, SEBELUM DIA BERPALING PADA MURIDMURID. DIA MENANGIS.

Saya tak ada mood nak mengajar hari ni. Tak tahulah. Saya rasa hati saya tak tenteram. Saya rasa jiwa saya tak aman. Saya terkejut dengar berita Azmawadi dah tak ada. Kamu semua tahu kan, baru semalam saya tampar dia sebab dia tak buat kerja rumah.

Astarghfirullah alazim.

Saya rasa bersalah, walau saya tak ada niat nak menyakitkan dia. Saya cuma bagi peringatan supaya dia buat kerja rumah. Saya rasa niat saya baik. Saya nak mengajar dia jadi pandai. Tapi takdir menoktahkan yang saya orang terakhir tampar dia. Saya tertanya pada Tuhan, apa sebabnya? Kenapa ditakdirkan saya menyakitkan dia sebelum dia tinggalkan terus dunia ni.

Dalam hati saya, selama ni, bila saya rotan kamu semua, bila saya marah, saya fikir suatu hari saya akan minta maaf balik. Sebab saya lakukan semua untuk kamu. Supaya kamu jadi pandai. Supaya kamu boleh mengubah nasib bangsa kamu. Dan saya tak sempat untuk minta maaf dari Azmawadi. Saya rasa terkilan. Tapi takdir...

CIKGU TARMIZI BERJALAN KE MEJA DAN DUDUK DI ATAS MEJA.

Dari malam tadi, bila Bulqini telefon saya, beritahu yang Azmawadi dilanggar kereta dan terus maut, hati saya berdegup kuat. Siang saya tampar dia, malam dia dah tak ada. Saya terfikir kenapa takdir saya begini.

DIAM.

Saya tahu kamu semua hairan, kenapa saya tiba-tiba jadi melankolik hari ni. Saya tahu, kamu semua tertanya-tanya, apa dah jadi dengan Cikgu Tarmizi yang tak pernah senyum sebelum ni. Bila masuk kelas, muka macam nak makan orang. Saya tahu tu. Walau kamu semua tak pernah beritahu saya yang kamu tak senang dengan cikgu macam saya, saya tahu kamu tak senang. Sebab, saya juga pernah jadi murid macam kamu semua. Saya juga tak suka cikgu garang. Tapi bila kamu dah habis sekolah nanti, kamu akan tahu, bahawa cikgu yang garanglah yang banyak membantu kamu. Itu yang saya rasa. Sebab cikgu yang garang buat saya belajar betul-betul. Dan saya lulus peperiksaan dengan cemerlang. Saya fikir macam tu, sebab saya lalu pengalaman yang macam tu.

DIAM.

Malam tadi saya berfikir panjang. Saya rasa saya dah tak sanggup lagi jadi cikgu yang ditakuti. Bila kamu takut dengan saya, kamu tak mahu datang bertanya masalah pelajaran kamu pada saya. Sebelum ni, saya ego. Saya keras hati. Saya fikir saya cikgu, kamu murid. Kalau kamu ada masalah, kamu datang jumpa saya, bukan saya cari kamu.

Tapi malam tadi, saya terfikir, apa yang saya buat selama ni, salah. Bila kamu tak datang bertanya saya sebab takut, saya hanya ada masa empat kali seminggu mengajar kamu. Satu sesi 40 minit. Kalau empat sesi, cuma 160 minit. Cuma 2 jam 40 minit. Seminggu ada berapa jam? 24 jam kali 7 hari, berapa jam, seminggu? (DIAM) 168 jam. Cuma 2 jam 40 minit dari 168 jam, berapa peratus tu? Berapa peratus?... Itu pun lambat kamu nak congak. Itu baru matematik asas, tambah, tolak, darab, bahagi, belum algebra, trigonometri. Kita ni dah tahap belajar kalkulus. Kalau itupun lambat nak congak, macam mana?

DIAM.

Maaf. Saya tak nak marah kamu lagi. Saya rasa mungkin kamu cepat congak jawapannya, cuma, kamu takut nak beritahu saya. Ya Allah.

CIKGU TARMIZI DIAM DAN AIR MATANYA MENGALIR LAGI.

Saya manusia. Sebagai manusia, banyak kelemahannya. Saya harap kamu semua dapat maafkan apa saja kesalahan yang kamu fikir saya dah lakukan sebelum ni. Sebab, sebab saya tak sanggup lagi hidup sunyi macam ni. Ibu bapa kamu tak mahu tegur saya, sebab kamu ceritakan keburukan saya. Saya tak tahu sampai bila saya hanya akan ada kawan cikgu-cikgu, rakan-rakan sejawatan. Saya rasa elok kalau saya dapat berkawan dengan ibu bapa kamu. Baru saya tahu sikap sebenar kamu. Baru mudah saya mengajar kamu. Tapi saya tak tahu yang ibu bapa sekarang tak lagi sama macam ibu bapa dulu.

Dulu, ibu bapa serah anak pada guru, mereka izinkan guru pukul anak mereka supaya dapat beri pengajaran. Sekarang, jentikpun sampai surat saman. Saya tak tahu macam mana nak bertindak. Saya tak mahu kamu selesa sekarang. Saya mahu kamu kenal erti penat jerih. Tapi nampaknya zaman dah berubah. Kamu dah jadi makin manja. Saya rasa ada antara kamu yang terniat nak balas dendam pada saya.

CIKGU TARMIZI KE MEJANYA, MENCAPAI BEG, MEMBUKA ZIP, DAN MENGELUARKAN SEBILAH PISAU, SEUTAS TALI DAN SEBOTOL RACUN TIKUS. DIATURNYA KETIGA-TIGA BENDA ITU DI ATAS MEJA.

Ada tiga item kat sini. Saya bawa dari rumah. Umur kamu semua dah 17 tahun. Saya rasa saya dah boleh berbual dengan kamu cara orang dewasa. Ada tiga barang ni. Tiga-tiga boleh dijadikan alat untuk membunuh.

CIKGU TARMIZI MENCAPAI TALI, LALU DIPINTAL SUPAYA MEMBENTUK TALI GANTUNG. SAMBIL MEMINTAL, DIA BERSUARA.

Hari ni, saya bagi peluang pada kamu. Kalau kamu rasa kamu betul-betul tak suka saya, saya beri peluang kamu untuk bunuh saya. Saya dah sediakan alat-alatnya. Kamu boleh tikam saya terus dengan pisau ni, atau kamu boleh gantung atau jerut leher saya dengan tali ni, atau kamu juga boleh suruh saya minum racun tikus ni sampai habis sebotol. Saya akan buat.

SUASANA SEPI SESEPINYA.

Jangan takut. Kalau itu jadi keinginan kamu, hari ni saya redha.

SUASANA TERUS SEPI. CIKGU TARMIZI MENANGIS LAGI.

Kalaulah kamu semua dapat rasa apa yang saya rasa sekarang. Betapa sunyinya hidup saya tanpa kawan. Saya cukup terkesan bila Azmawadi dah tak ada, sebab lepas Bulqini telefon beritahu saya, Kamal telefon. Lepas tu, Nurbaya. Dan telefon saya tak berhenti berdering. Musa, Salman, Saiful, Zulhasmi, Nazar, Rosma, Nurin, Shahila, Nornikman, Hazrul, Rizal, Fahmi, Asmaria, Roslan, semua. Budak kelas ni, kelas 5 Sains 2, sampai budak sastera telefon saya. Saya fikir, ramai betul kawan Azmawadi. Ramai betul. Macam mana orang senakal dia boleh ada ramai kawan. Tapi bila saya garang, saya tak ada kawan.

CIKGU TARMIZI KETAWA. DIA KETAWA SENDIRI. MAKIN LAMA MAKIN KUAT.

Takdir saya memang celaka. (KETAWA) Dulu saya kerap ketawa. Di kampung saya ada seorang perempuan nama dia Mak Yah. Orang panggil dia Mak Yah Latah sebab dia latah. Mahazri, kawan saya masa kecil, suka benar kacau dia. Bila kami nampak Mak Yah berjalan pergi kebun pisang dia, Mahazri selalu tarik saya masuk ke dalam parit tepi jalan. Kami menyorok dalam parit. Bila Mak Yah lalu, macam-macam bunyi keluar dari mulut Mahazri. Bunyi bom meletup, bunyi revolver, bunyi katak, burung hantu. Mak Yah mesti terkejut. Latah. Kami ketawalah. Bunyi burung hantu siang haripun dia terkejut. Macam mana tak ketawa, ya tak?

Seorang lagi, Mat Hassan. Dia tak ada gigi kacip. Atas bawah tak ada. Bila dia bercakap, kita boleh nampak lidah dia terjerobos keluar. Orang yang ada gigi kacip, lidah dia dapat dihadang. Jadi taklah terjelir. (KETAWA) Satu hari, Mak Yah dan Mat Hassan bertembung di jalan. Jalan kampung. Berturap tapi penuh lubang. Kawasan banjir, tar tak boleh tahan. Kerajaan turap bila dekat pilihan raya. Maknanya, empat tahun sekali. Banjir setahun sekali. Jadi dapatlah kami rasa setahun jalan OK, 3 tahun jalan berlubang-lubang. Itu pasal jalan. Saya nak cerita pasal Mak Yah.

Mak Yah lalu di jalan tu. Saya dan Mahazri ada dekat-dekat situ, tengah melantak bacang ayah Mahazri. Musim bacang. Banyak bacang gugur bila dah masak. Tengah seronok makan bacang, saya ternampak Mak Yah dari jauh, berjalan ke arah situ. Saya beritahu Mahazri. Mahazri apa lagi, timbullah niat nak menyakat Mak Yah macam selalu. Saya suka. Nanti boleh ketawa.

Hidup di kampung, benda macam tu lah jadi bahan komedi kami. Sebab di situ tak ada parit, Mahazri cadangkan kami naik pokok. Mana ada pokok lain, pokok bacang saja yang ada, selebihnya pokok pisang. Takkan nak panjat pokok pisang. Kami pun panjatlah pokok bacang tu.

Pokok tu besar. Punyalah susah nak panjat. Mak yah dah dekat. Kami panjat bersungguh-sungguh. Calar-calar lengan, paha. Tapi tak peduli.

Sebab seronok menyakat Mak Yah lebih penting. Usaha mesti berbaloi. Mak Yah dah dekat. Kami berjaya capai dahan. Dapat naik atas dahan. Peluh dah memercik keluar. Basah lencun dah. Mak Yah dah sampai lebih kurang 15 meter dari pokok bacang yang kami panjat. Mahazri mula bunyikan bunyi helikopter. Penat sangat panjat pokok agaknya, nafas Mahazri tercungap-cungap, tak dapat nak keluar bunyi. Mahazri bisik pada saya kuat-kuat, termengah-mengah : Kau buat bunyi!

- Bunyi apa? Saya tanya. Termengah-mengah. - Apa-apa. Dia jawab. - Apa?

Saya memang tak ada idea nak buat bunyi apa. Selama ni, Mahazri yang kreatif buat bunyi. Saya diam dengar saja. Tak reti nak menyakat. Bila Mak Yah latah, kami ketawa sama-sama.

Saya memang tak ada idea.

- Bunyi apa? Saya tanya lagi. - Buat lah bunyi apa pun, buat saja.

Saya memang tak ada idea.

- Cepatlah buat. Mak Yah dah nak lepas tu. - Bunyi apa? Saya tanya lagi.

Mahazri menjengilkan mata dia pada saya. Saya nak buat macam mana, memang saya tak ada idea.

- Bunyi apa-apalah. Takkan aku sorang saja nak kena fikir bunyi apa. Buatlah. Ini asyik aku. Kau tak membantu langsung. Asyik tumpang ketawa saja. Mana aci. Mana adil, berkawan macam ni.

Saya rasa bersalah. Tapi saya tetap tak tahu nak buat bunyi apa. Mahazri nampak kecewa. Diterankan suaranya supaya bunyi keluar.

Masa tu lah, Mat Hassan lalu, mengayuh basikal Raleigh dia perlahanlahan. Krek, krek, krek, bunyi. Mak Yah tak pulak latah bila dengar bunyi basikal Mat Hassan. Tak cukup suspen bagi Mak Yah kot.

- Buatlah bunyi, bisik Mahazri.

Saya mati akal.

- Memang tak berbaloi berkawan dengan kau ni, kata Mahazri.

Saya jadi tak kena gaya.

- Huh, keluh Mahazri.

Diterankannya lagi suaranya. Akhirnya keluar. (AJUK BUNYI HELIKOPTER) Bunyi helikopter. Mak Yah terkejut. Latahnya meletup.

Dibalingnya terendak yang dipakainya pada Mat Hassan. Mat Hassan terkejut, tak dapat nak kontrol basikal dia, terbabas, langgar pokok bacang yang kami panjat. Mahazri ketawa bukan main. Saya juga rasa nak ketawa, tapi rasa bersalah pada Mahazri masih kuat. Saya sengih saja. Mak Yah bersilat kat atas jalan. (AJUK GAYA MAK YAH LATAH) Tengah-tengah bersilat, kakinya terjerobos dalam lubang atas jalan, rebah dia . Mat Hassan pulak, kepalanya terhantuk ke pokok bacang. Sambil tangannya mengusap-usap kepala, dia dongak ke atas, tengok kami. Mahazri ketawa kuat. Mengilai-ngilai dia. Saya ikut terkekek, tapi tak kuat pasal takut Mahazri marah saya sebab hanya tumpang ketawa.

Mat Hassan apalagi, terus membebel, marah pada kami. Masa membebel, kami boleh nampak lidah dia yang tak terhadang oleh gigi kacip, terjelir-jelir keluar. Mahazri apa lagi, bukannya takut dengan Mat Hassan, malah dibantainya ketawa lagi kuat. Makin lama makin kuat. Bila Mat Hassan makin menengking, Mahazri ketawa lagi kuat. Saya pula dah jadi keliru. Nak ikut ketawa ke, atau macam mana. Mahazri bagi isyarat tangan suruh saya ketawa. Saya pun cubalah ketawa tapi perlahan. Mahazri nampak marah bila saya ketawa buat-buat. Saya jadi serba salah. Saya pun cuba jadikan ketawa saya betul.

Mahazri buat lagi bunyi helikopter (AJUK BUNYI HELIKOPTER). Mak Yah yang baru mula sedar dari latah, latah balik. Dia bersilat lagi, lepas tu dia datang kejar Mat Hassan. Mat Hassan lari keliling pokok, mengelak dari ditangkap Mak Yah. Sambil berlari, dia terus berleter. Lidahnya terjelir lagi. Mahazri ketawa lagi. Makin kuat. Langsung tak takut. Ketawa dia menjadi-jadi. Saya pula dah tak tahu lagi macam mana nak ketawa. Saya jadi takut tengok Mahazri. Dia dah termengah-mengah kehabisan nafas sebab terlebih ketawa. Tapi terus juga dia ketawa. Dalam ketawa yang tak habis-habis, dia agaknya lupa yang dia atas pokok. Dia lepaskan pegangan tangannya pada dahan pokok sebab nak pegang dadanya yang sesak dan perutnya yang senak sebab ketawa banyak sangat.

DIAM.

Depan mata saya, Mahazri terjunam ke tanah. Pokok bacang tu tinggi. Mahazri terjunam, jatuh betul-betul depan Mak Yah yang masih mengejar Mat Hassan. Mak Yah terkejut lagi. Latahnya menjadi-jadi. Mahazri dipijaknya. Dihenjak-henjak. Saya lihat depan mata saya. Mat Hassan cuba menarik Mak Yah ke tepi. Tapi Mat Hassan ditempis. Saya hanya mampu tengok. Dah tak terkata apa. Tak tahu nak buat apa. Mahazri dihenjak sampailah Mak Yah habis latah. Masa tu, nafas Mahazri juga sudah habis.

Saya diam kelu. Diam sediam-diamnya. Begitu juga Mat Hassan. Begitu juga Mak Yah. Cuma nafasnya masih tercungap-cungap menahan letih latah.

CIKGU TARMIZI TERDIAM. DIA KELUARKAN BOTOL AIR MINERAL DARI BEGNYA. MINUM.

Ayah saya marah betul. Mahazri baru saja meninggal, ayah tak segansegan mengatakan perangai Mahazri tak elok. Nakal. Ayah marah sebab saya berkawan dengan Mahazri.

Sejak peristiwa tu, ayah saya pilih kawan saya. Ayah saya tentukan dengan siapa saya boleh berkawan, dengan siapa tak boleh. Saya pula, dah tak tahu lagi macam mana nak ketawa.

DIAM.

Sejak tu juga, saya pilih kawan, sebab ayah. Susahnya untuk saya buka diri saya. Saya jadi pendiam. Saya tak cari kawan. Saya hanya tunggu, siapa yang tegur saya, siapa yang suka nak berkawan dengan saya. Biar mereka tegur dulu. Saya tak akan jadi orang yang memulakan. Biar mereka yang mulakan. Itupun, saya pilih. Tak semua yang tegur saya, saya jadikan kawan. Saya pilih yang saya rasa benar-benar sesuai

sahaja. Yang tepat dengan preskripsi ayah saya, supaya dia tak tersinggung dengan hidup sosial saya. Sampai sekarang. Sampai sekarang. Sampai Azmawadi, selepas Cikgu Mimi.

Azmawadi, selepas saya tampar dia siang semalam, dia datang jumpa saya. Empat mata. Dia datang pandang saya, pandang tepat mata saya. Saya tak mengalah. Saya angkat tangan saya, saya nak bagi penampar sekali lagi. Dia pegang tangan saya, dia tolak saya ke tepi. Dia kata:

CIKGU TARMIZI MENGGAYAKAN GAYA AZMAWADI.

Cikgu, tampar hanya mengajar saya jadi benci. Cikgu nak semua orang benci cikgu ke? Cikgu dah habis cara nak mengajar ke? Tampar tu, cikgu rasa boleh ajar orang ke?

Bukan ke kalau orang yang belajar bersungguh-sungguh kerana takut penampar, tak sama dengan orang yang belajar bersungguh-sungguh kerana nak kan ilmu, untuk ubah kehidupan supaya jadi lebih baik?

CIKGU TARMIZI KEMBALI MENJADI DIRINYA.

Saya diam. Azmawadi masih pandang tepat ke dalam mata saya, tak berkelip-kelip. Saya nampak dia jujur. Saya tak rasa dia marah. Saya rasa dia tegas. Dia jadi manusia pejuang yang berjuang untuk dirinya.

CIKGU TARMIZI MENEGUK AIR MINERAL DARI BOTOL SEKALI LAGI.

Buat pertama kali dalam hidup saya, saya terkesan. Saya jadi kecil.

CIKGU TARMIZI KEMBALI MENGGAYAKAN AZMAWADI.

Saya hormat cikgu, sepenuh hati saya.

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Saya? Pernah saya hormat kamu?

KEMBALI MENJADI AZMAWADI.

Saya rasa, cikgu lagi bagus kalau komedi, bukan tragedi.

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Azmawadi. Arwah Azmawadi. (DIAM) Komedi (TERTAWA KECIL).

DIAM.

Saya terfikir, macam mana agaknya jadi komedi. Saya rasa saya tercabar. Saya tak boleh mengalah. Saya cikgu. Bila saya tampar murid, bila saya rotan, jentik telinga, ketuk kepala, ketuk jari dengan sisi pembaris, baling kamu dengan pemadam papan hitam, saya cipta alasan, saya buat itu semua untuk mengajar kamu, mendidik kamu. Saya

tak fikir, tak terfikir yang itu ciri-ciri tragedi. Saya sangka saya ada jiwa yang lain, jiwa yang komedi, lucu, humor. Tapi saya hanya tukang ketawa. Saya sebenarnya tak tahu, tak pandai untuk buat orang lain ketawa. Mahazri tiba-tiba muncul dalam diri saya. Arwah Mahazri.

CIKGU TARMIZI MENGGAYAKAN GAYA MAHAZRI.

Bunyi apa-apalah. Takkan aku sorang saja nak kena fikir bunyi apa. Buatlah. Ini asyik aku. Kau tak membantu langsung. Asyik tumpang ketawa je. Mana aci. Mana adil, berkawan macam ni.

CIKGU TARMIZI MENGGAYAKAN AZMAWADI.

Saya rasa, cikgu jadi bagus kalau komedi, bukan tragedi.

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI. DIA MENEGUK AIR MINERAL DARI BOTOL SEKALI LAGI.

Hari ni saya nak buat pertunjukan komedi. Lupakan algebra, lupakan kalkulus, lupakan persamaan serentak. Saya nak jadi pelawak. Saya nak tengok kamu akan ketawa atau tak dengan lawak saya. Mempersembahkan sebuah sketsa komedi!

CIKGU TARMIZI MELERAIKAN TALI LEHERNYA DAN MENGIKATKANNYA DI KEPALA. KEMUDIAN DIA MEMBUKA BUTANG KEMEJANYA DAN MENARIK BAHAGAIAN BAWAH KELUAR DARI SELUARNYA. DIA BIARKAN BEGITU KEMEJA TIDAK TERBUTANG DENGAN SINGLET PUTIH DI DALAM.

Saya ada satu cerita. Sebuah cerita lawak jenaka. Chewah! Berpantun saya. Manalah tahu, kalau-kalau tuan-tuan suka. Chewah! Boleh sambung lagi tu. (KEPADA DIRINYA SENDIRI) Bagus Miji, bagus.

Err... cerita dia macam ni.

DIAM.

Tak lawak. Lain... Emm... Mat Teropong...

DIAM.

Tak lawak. Lain... Err... Beruang kutub...

DIAM.

Tak lawak. Lain... Emm... Coklat masuk angin... hah, tak lawak. Err... Cikgu Mimi! Hah! Lawak. Lawak.

Cikgu Mimi. Saya mengorat dia hari tu.

CIKGU TARMIZI MENEGUK AIR DARI BOTOL SEKALI LAGI.

Tadi saya cerita, saya tak reti, tak pernah tegur orang dulu. Cikgu Mimi kira kes istimewa. Saya syok. Kamu semua rasa, dia tu, lawa tak? Saya jatuh hati. Cinta pandang pertama. Bila dia mula masuk mengajar di sekolah ni hari tu, kali pertama saya terpandang dia, saya jatuh cinta. Sungguh!

CIKGU TARMIZI MENYANYIKAN LAGU SHEILA MAJID AKU CINTA PADAMU.

Sungguh, aku cinta padamu, perlukah ku ucapi, dari mulutku sendiri, aku cinta padamu, cinta padamu (MENGGAYAKAN GAYA ORANG GELI SUKA).

Tapi Cikgu Hasnan sudah kacau. Dia dulu yang usha line. Bukan main mesra dia, tak malu, tak segan-segan tawarkan diri nak bawak Cikgu Mimi jalan-jalan kawasan sekolah, nak tunjukkan kawasan sekolah lah kononnya. Tak sedar diri. Rupa tak hensem, misai kontot, buntut tonggek (MENGGAYAKAN GAYA CIKGU HASNAN), gigi tak bergosok, nak mengorat Cikgu Mimi. Kalau macam saya yang hensem ni, lain cerita (TERANGGUK-ANGGUK BERIA-IA). Cikgu Hasnan...

MENGGAYAKAN CIKGU HASNAN.

Cikgu Mimi, boleh kita berkenalan?

MENGGAYAKAN CIKGU MIMI.

Cikgu Hasnan, Cikgu Hasnan lupa gosok gigi ke?

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Kantoi (KETAWA).

DIAM.

Tak lawak. Lain...

DIAM. LAMA. CIKGU TARMIZI MEMANDANG MURID-MURID.

Kalau semua tak lawak, macam mana saya nak jadikan komedi tema hidup saya? Kamu semua langsung tak mahu bantu saya, asyik saya yang bantu kamu, ajar kamu jadi pandai. Kamu semua tak suka saya ke? Kalau dah tak suka, kenapa tak balas dendam? Saya dah beri peluang, ini...

CIKGU TARMIZI MENUNJUKKAN DIKELUARKAN DARI BEGNYA TADI.

ARAH

BARANG

YANG

...ada pisau, kamu boleh tikam saya sekarang kalau kamu mahu. Boleh jerut leher saya dengan tali ni, kalau kamu mahu. Saya bagi peluang ni, sebab lepas ni kalau saya dengar ada orang mengata saya, siap! Sebab saya dah bagi peluang. Balaslah sikap tragedi saya. Ni, ada racun tikus, saya campurkan sekarang dengan air mineral ni.

CIKGU TARMIZI MENUANG RACUN TIKUS KE DALAM BOTOL AIR MINERAL.

Nah! Saya dah campur. Kalau kamu nak saya minum, saya minum sekarang. Macam mana?

DIAM, KEMUDIAN CIKGU TARMIZI KEMBALI KETAWA.

Saya tak faham lah dengan kamu semua ni. Kamu takut nak ketawa ke, malu nak ketawa? Malu? Takut?

DIAM.

Huh! Biar saya sambung terus lawak saya. Kali ni, kamu suka tak suka, nak ketawa ke tidak, saya tak peduli.

CIKGU TARMIZI SENYUM.

Pasal Cikgu Mimi. Saya teruskan cerita walau tak lawak. Bagi saya, lawak. Sebab saya nak kata, bukan kamu saja yang pemalu, saya lagi pemalu. Bila berdepan dengan Cikgu Mimi. Nak tegur tak kena, tak tegur tak kena. Hati dup dap dup dap.

Sampai satu hari, saya perasan yang Cikgu Mimi asyik tengok saya. Meremang bulu roma saya. Saya fikir, saya kena beranikan diri. Bila tengok dia tenung saya, saya kenyit mata. Dia tarik muncung! Aduh! Masa tu saya fikir dia tak suka saya. Saya dah kecewa sendiri. Saya fikir kenapa saya gatal sangat pergi kenyit mata. Dua hari saya tergelenggeleng kepala. Dua hari sebelum kami tertembung di Seven E. Saya nak ambil coke, dia nak ambil pepsi. Dia tersenyum. Hah! Hah! Ada isyarat.

Saya balas senyum dia. Dia balas balik, senyum meleret. Saya balas lagi, senyum lagi. Sampai ke kaunter, sampai dia bayar, sampai dia keluar dari Seven E. Lepas saya bayar, saya berjalan laju, dengan harapan nak kejar dia. Sampai keluar, saya nampak, saya nampak... Saya nampak dia naik kereta Cikgu Hasnan! Cis!

DIAM.

Komedi tak?

DIAM.

Saya tak tahu macam mana dia boleh terpikat dengan Cikgu Hasnan. Saya agak-agak apa ayat cikgu Hasnan, sampai Cikgu Mimi boleh terpikat dengan dia. Dia tak hensem. Kamu rasa dia hensem ke? Dia tak hensem. Macam ni gaya dia (MENGGAYAKAN GAYA CIKGU HASNAN). Nak kata kaya, tak jugak. Hutang saya dia tak bayar lagi. Dia ada hutang dengan saya. 3 ringgit 50 sen. Dah dua tahun, tak bayar-bayar. Saya tak puas hati. Suatu hari saya berdepan dengan Cikgu Hasnan. Saya risik, saya tanya, apa rahsia, apa ayat dia sampai Cikgu Mimi terpikat dengan dia. Dia mengelak nak cakap dia kata:

MENGGAYAKAN GAYA CIKGU HASNAN.

Mana boleh cerita. Itu rahsia aku. Nak memikat perempuan ni kena pandai.

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Macam mana?

KEMBALI MENJADI CIKGU HASNAN.

Mana boleh cerita. Rahsia. Nanti dah tak rahsia.

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Kedekut betul. Kalau dia ceritakan pun, bukannya saya nak mengorat awek dia. Saya tak puas hati. Puas saya pujuk, dia tetap mengelak, tak nak beritahu. Masa saya tengah asak dia supaya bercerita, Cikgu Sulaiman dengar. Saya tak tahu yang dia dengar, tapi dia datang duduk depan saya masa rehat, kat kantin. Sedikit pemberitahuan Cikgu Sulaiman ni tak pernah suka dengan Cikgu Hasnan, pasal Cikgu Hasnan pernah mengorat awek dia dulu. Nah! Tak kurang ajar ke Cikgu Hasnan yang tak sedar diri ni. Semua perempuan dia nak mengorat. Tapi yang heran, dia dapat. Muka ikan sepat, tapi mengorat dapat.

Cikgu Sulaiman cerita pada saya:

MENGGAYAKAN GAYA CIKGU SULAIMAN, BERCAKAP DENGAN SUARA SEDIKIT SENGAU.

Dia kenakan kaulah Miji. Dia buat lawak. Perempuan ni suka dengan benda-benda komedi. Dia ceritakan keburukan kau pada Cikgu Mimi.

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Keburukan aku? Yang mana satu? Saya tanya macam tu, sebab banyak sangat keburukan saya. Itu kamu semua sedia maklum.

KEMBALI MENGGAYAKAN CIKGU SULAIMAN.

Cerita 3 malu (KETAWA). Aku dengar dia ceritakan pada Cikgu Mimi. Cerita 3 kali malu. Watak utamanya, kau (KETAWA LAGI).

KEMBALI MENJADI CIKGU TARMIZI.

Kamu semua tahu cerita 3 kali malu? Sampai hati Cikgu Hasnan. Dia ceritakan rahsia yang saya ceritakan pada dia, pada semua orang, lepas tu dia guna tu untuk kepentingan diri dia. Nasib baik ada Cikgu Sulaiman yang sengau tu beritahu saya. Kurang ajar Cikgu Hasnan.

Dia ceritakan yang saya satu masa dulu, bila dah dilarang oleh bapak saya berkawan dengan orang tu, orang ni, saya jadi tak ramai kawan. Saya berkurung di rumah. Itu saja yang saya boleh buat. Saya jadi tak bercampur dengan orang. Lama-lama jadi malu. Jadi pemalu. Sampailah ayah saya membebel. Dia marah saya. Ya lah, saya asyik berkurung dalam rumah. Kenduri orang kampung, walaupun berjemput, tak pernah saya nak pergi. Saya malu.

Tapi bila ayah saya hari-hari asyik membebel, saya fikir, saya kena ikutlah. Nanti ayah saya tersinggung. Jadi, bila ada satu kenduri, tu saya bertekad nak buang sifat malu saya. Saya nak beranikan diri, bercampur dengan semua orang. Jadi, saya pun pergilah ke kenduri tu. Dengan mengenakan kain pelikat, baju Melayu dan bersongkok pakaian biasa untuk hadir ke kenduri di kampung, saya pergi.

Kenduri di kampung biasanya duduk bersila makan nasi hidang. Satu hidangan empat orang. Saya pun beranikan diri, masuk duduk mengadap satu hidangan bersama Pak Kassim, Pak Teh Mukmin dan Jaafar Sabikul. Kami pun mulalah menjamah makanan. Tapi saya pemalu, jadi saya makan lauk yang dekat dengan saya saja. Pak Kassim perasan, dia kata, jangan malu-malu, Mizi. Ambik lah lauk lain. Saya fikir, niat saya datang kenduri tu memang sebab nak hilangkan rasa malu. Jadi, saya pun cubalah ambik lauk yang jauh sikit. Tapi dalam keadaan duduk bersila, tangan saya tak sampai. Saya angkat punggung sikit, untuk lebih ke depan.

CIKGU TARMIZI MENGGAYAKAN SAMBIL BERCERITA.

GAYANYA

MASA

KENDURI,

Bila saya angkat saja punggung, puut, saya terkentut. Pak Kassim, Pak Teh Mukmin dan Jaafar serentak pandang saya.

Bukan main malu saya rasa, tapi saya cipta alasan untuk mengatakan bukan saya yang terkentut. Saya mendengus untuk mengatakan yang saya juga tak suka bila orang terkentut masa makan.

Masa tu saya selsema. Bila saya mendengus, keluar hingus dari hidung saya, meleleh sampai hampir masuk mulut. Sekali lagi saya malu. Untuk cepat-cepat lapkan hingus tu, saya tarik kain pelikat yang saya pakai. Terbeliak biji mata Pak Kassim, Pak Teh Mukmin dan Jaafar, sebab bila saya tarik saja kain, saya tarik saja kain... (TERTAWA SENDIRI, LAMA) Nampak kemaluan saya. Punyalah malu. Belum habis makan, saya bangun, saya lari balik ke rumah.

CIKGU TARMIZI KETAWA KUAT-KUAT. KEMUDIAN, DIA TERSEDAK. DICAPAINYA BOTOL AIR MINERAL TADI DAN DIMINUMNYA. BILA DIA MINUM SAJA,

EFEK BUNYI: RAKAMAN SUARA MURID KEDENGARAN:

Cikgu, air tu bercampur racun!

LAMPU: Pentas menggelap.

TAMAT.

Anda mungkin juga menyukai