Anda di halaman 1dari 12

http://jqafskbukitdinding.blogspot.com/2012/05/penyelidikan-keberkesanan-j-qaf.

html

PENYELIDIKAN KEBERKESANAN j-QAF


PROGRAM j-QAF : PERANAN DAN PERSEPSI GURU TERHADAP PELAKSANAANNYA DALAM MEMPERKASAKAN PROGRAM DAKWAH DI SEKOLAH KEBANGSAAN 1.0 PENGENALAN Dakwah adalah tugasan utama yang diperintahkan oleh Allah kepada nabi Muhammad SAW dalam menyeru manusia ke arah kesejahteraan dunia dan akhirat. Firman Allah di dalam surah an-Nahl ayat 125: Maksudnya: Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhanmu dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. Al-Quran telah menjelaskan tiga metode dakwah yang menjadi teras dalam usaha pendekatan dakwah iaitu metode al-Hikmah, al-Mauizah al-hasanah dan al-Mujadalah. Menariknya ketiga-tiga metode di atas juga digunakan dalam dunia pendidikan. Jesteru itu, salah satu cara yang paling efektif untuk berdakwah ialah melalui pendidikan. Kerana pada hakikatnya, wujud satu persamaan di antara dakwah dan pendidikan iaitu berlakunya proses pemindahan pengetahuan. Persamaan itu melahirkan beberapa persamaan tujuan antara dakwah dan pendidikan iaitu membentuk keperibadian muslim yang sejati sebagai matlamat utama. Pendidikan sebagai agen perubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui pelbagai proses. Proses pemindahan tersebut ialah pengajaran, latihan dan indoktrinasi (Hassan Langgulung 1987). Oleh yang demikian, proses pengajaran dan pembelajaran di institusi pendidikan merupakan salah satu proses dakwah terpenting, bahkan paling banyak memberi kesan dalam pembentukan sahsiah pelajar tersebut. Di Malaysia, Perdana menteri Malaysia yang ke lima Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan di bawah penyelarasan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mengandungi sepuluh teras asas. Dimulakan dengan pendahuluan, sistem pendidikan kebangsaan sebagai perletakan asas, pendidikan kebangsaan melangkah ke hadapan, membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion perguruan, melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan, serta faktor kritikal kejayaan (Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006). Selaras dengan teras asas tersebut, Bahagian Pendidikan Islam (BPI)
Kementerian Pelajaran Malaysia telah lebih awal merealisasikan asas tersebut dengan menubuhkan sebuah program pelajaran yang baru iaitu dinamakan program j-QAF. Program j-QAF ini berasaskan idea Y.A.B.Perdana Menteri Malaysia yang telah dinyatakan secara khusus semasa lawatannya ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 30 Disember 2003. Cetusan idea ini telah diperhalusi di peringkat Kementerian Pelajaran melalui seminar , bengkel dan mesyuarat j-QAF

(http://www.bpi.edu.my).

Program j-QAF adalah suatu usaha memperkasakan Pendidikan Islam melalui penekanan khusus dalam pengajaran jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain yang telah dilkasanakan diperingkat persekolahan rendah. Pelaksanaan program ini menggunakan kurikulum serta model dan modulnya yang tersendiri. Pelaksanaannya menggunakan peruntukan jadual waktu sedia ada. Tenaga guru yang khusus digunakan bagi mengendalikan program ini. Setelah program ini dilaksanakan dengan baik dan berkesan semua murid Islam sekolah rendah akan dapat (ibid): 1. 2. 3. 4.

Menguasai bacaan dan tulisan Jawi Khatam Al-Quran Menguasai Bahasa Arab dan Memantapkan dan menghayati amalan Fardhu Ain

Lima model telah dikenalpasti iaitu 4 model pengajaran dan 1 model kokurikulum. Model-model berkenaan adalah seperti berikut :

Model Khas Pemulihan Jawi Model 6 bulan Khatam Al-Quran Model Tasmik Model Perluasan Bahasa Arab Komunikasi Model Bestari Solat
Kelas Pemulihan Jawi dijalankan serentak dengan waktu pengajaran jawi muridmurid biasa. Dalam tempoh 6 bulan pertama tahun 1 Jawi diajar selama 2 seminggu. Selepas itu ia diajar selama 1 waktu seminggu. Model 6 bulan Khatam Al-Quran akan menggunakan waktu Pendidikan Islam sebanyak 4 waktu dalam tempoh 6 bulan pertama waktu persekolahan. Pada masa yang sama murid yang belum menguasai bacaan Al-Quran akan membaca dengan bimbingan guru dan meneruskan kaedah IQRA. Pada 6 bulan kedua, asuhan Tilawah Al-Quran menggunakan 3 waktu untuk tahun 1 dan 2 waktu untuk tahun 2 hingga 6. Model Tasmik Al-Quran dillaksanakan di luar waktu persekolahan dengan bimbingan guru j-QAF, guru Pendidikan Islam dan guru-guru lain yang berkelayakan dengan persetujuan pihak pentadbir sekolah. Bacaan murid akan direkod oleh guru di dalam Buku Rekod Bacaan Al-Quran yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Model Peluasan Pelaksanaan Bahasa Arab Komunikasi akan dilaksanakan sepertimana pelaksanaan BAK sebagai bahasa tambahan di SK pada masa ini, iaitu selama 2 waktu seminggu. Ia diajar bersama-sama dengan mata Pelajaran Bahasa Cina Komunikasi dan Bahasa Tamil Komunikasi. Model Bestari Solat akan dilaksanakan luar jadual waktu persekolahan. Ia akan dilaksanakan 4 kali setahun (ibid).

Setelah model-model itu dilaksanakan, maka wujud beberapa model tambahan lain yang menyokong pelaksanaan model tersebut seperti Model Kem Literasi al-Quran dan Model Kem Bina Juara. Seterusnya di dalam program j-QAF telah dilaksanakan acara tahunan program dakwah j-QAF yang dinamakan program khatam al-Quran j-QAF. Acara yang diperuntukkan di dalam program ini seperti Pertandingan Tilawah Al-Quran, Kalam Jamaie, Dikir Barat Bahasa Arab, serta Kuiz Jawi, Bahasa Arab dan Fardu Ain. Semua acara pertandingan tersebut memerlukan pengetahuan dan penghayatan yang mantap terhadap ilmu fardu ain, kemahiran membaca al-Quran dan jawi, serta kemahiran asas bertutur bahasa arab.

2.0 PENYATAAN MASALAH Masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja muslim semakin membimbangkan, di antara faktor yang mendorong kepada masalah ini ialah faktor keluarga, rakan sebaya, keadaan persekitaran sekolah dan terutamanya konflik dalaman diri remaja itu sendiri (Zainudin & Norazmah 2011) dan faktor-faktor ini membawa kepada perlanggaran disiplin disekolah seperti hisap rokok, bergaduh, vandalism, biadap terhadap guru, ponteng dan masalah buli (Khalim & Wan Zulkifli 2009). Faktor-faktor ini terbahagi kepada dua iaitu faktor dalaman seperti kekeliruan dalam diri pelajar itu sendiri dan faktor luaran seperti persekitaran sekolah, keluarga dan pengaruh rakan sebaya (Aswati 2007). Ditambah pula dengan kekurangan penghayatan agama seperti pengetahuan solat, kemahiran membaca al-Quran (Azhar Ahmad & Halim Tamuri 2005), kemahiran membaca jawi dan pengetahuan asas bahasa Arab dalam kalangan pelajar muslim semakin membimbangkan. Sering kali dinyatakan bahawa masalah ini berpunca daripada kelemahan sistem Pendidikan Islam di sekolah (Asmawati 2008) kurangnya perhatian dari ibu bapa, pengaruh rakan sebaya (Zainudin & Norazmah 2011), ledakan media massa serta kemajuan penggunaan internet yang tiada tapisan secara menyeluruh. Kurang pengetahuan dan penghayatan agama ini bukan sahaja dialami oleh pelajar diperingkat menengah bahkan diperingkat pengajian tinggi pun turut terlibat dalam masalah ini. Maka Pendidikan Islam di sekolah menengah tidak dapat menangani masalah ini secara menyeluruh. Di Malaysia pelajar akan melalui beberapa peringkat pengajian yang dimulai dari peringkat rendah, menengah dan seterusnya keperingkat pengajian tinggi. Jesteru didikan awal diperingkat rendah adalah sangat penting dalam pembentukan asas ilmu yang mantap. Namun Pendidikan Islam sedia ada di peringkat rendah tidak dapat berjalan dengan sempurna disebabkan tuntutan kurikulumn, masa yang terhad (Aderi & Rohani 2010) dan kekurangan guru Pendidikan Islam itu sendiri. Begitu juga apabila di nilai tahap penghayatan agama adalah berbeza di antara beberapa jenis sekolah yang wujud seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Teknik / Vokasional (SMT/V) (Sarimah et al. 2011). Maka dengan inisiatif kerajaan malaysia telah menubuhkan program j-QAF dengan beberapa matlamat tertentu. Program j-QAF adalah suatu program baru yang ditubuhkan bagi memperkasakan lagi program Pendidikan Islam disekolah rendah (SK, SJK) diseluruh negara. Program ini ditubuhkan bagi memantapkan lagi pencapaian pelajar dalam menguasai pengetahuan agama secara lebih menyeluruh dalam pembentukan ilmu agama dan akhlak Islamiah yang terpuji di samping dapat membantu guru Pendidikan Islam sedia ada disekolah. Jesteru itu beberapa modul telah diperkenalkan melalui program j-QAF. diantaranya Modul khatam al-Quran yang mensasarkan semua murid wajib khatam al-Quran sebelum

berpindah ke sekolah menengah. Setelah modul ini berjalan selama 6 tahun iaitu dari tahun 2005 sehingga tahun 2011, tahap kemahiran membaca al-Quran dalam kalangan murid telah menunjukkan peningkatan yang baik (Fairus 2011). Begitu juga dengan Modul Kem Bestari Solat j-QAF, menunjukkan peningkatan terhadap minat pelajar menyertai program tersebut adalah baik menurut (Asmawati & Lokman 2009). Namun tahap keberkesanan program ini masih belum dikaji secara menyeluruh. Tambahan pula, program ini baru dilaksanakan dan memerlukan kajian yang terperinci untuk proses penambahbaikan. Oleh yang demikian timbul beberapa persoalan di sini, apakah program j-QAF ini berperanan memberi sumbangan dalam mengislahkan (menambah baik) lagi program dakwah yang sedia ada di sekolah dan bagaimanakah persepsi guru Pendidikan Islam dan jQAF terhadap perlaksanaan program dakwah di sekolah serta sejauhmanakah keberkesanannya terhadap pelajar dalam menguasai ilmu pengetahuan asas agama Islam.

3.0 PERSOALAN KAJIAN


1. Apakah peranan program j-QAF dalam memperkasakan pelaksanaan program dakwah di sekolah. 2. Bagaimanakah persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap tahap perlaksanaan program dakwah disekolah. 3. Sejauhmanakah tahap keberkesanan program dakwah di sekolah dapat diperkasakan selepas pelaksanaan program j-QAF.

4.0 OBJEKTIF KAJIAN


1. Mengetahui peranan program j-QAF dalam memperkasakan pelaksanaan program dakwah di sekolah. 2. Mengenal pasti persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF terhadap perlaksanaan program dakwah disekolah. 3. Menganalisis tahap keberkesanan program dakwah di sekolah dapat diperkasakan selepas pelaksanaan program j-QAF (melalui data e-pelaporan j-QAF).

5.0 METODOLOGI KAJIAN 5.1 Reka bentuk kajian Pengkaji menggunakan kaedah kajian tinjauan sebagai reka bentuk kajian. Kajian tinjauan ini merupakan kajian infrensi yang menggunakan data-data kuantitatif dan kualitatif. Data-data dipungut melalui borang soal selidik, temu bual berstruktur dan rujukan maklumat dokumentasi. 5.2 Subjek kajian Kajian ini dijalankan sekolah-sekolah kebangsaan Jerantut, Pahang. Responden kajian ini adalah terdiri daripada guru Pendidikan Islam, j-QAF dan Pegawai Pelajaran Daerah Jerantut. Responden dipilih melalui kaedah persampelan rawak mudah. 5.3 Instrumen kajian Tiga instrumen digunakan dalam kajian ini.
1. Borang soal selidik diedarkan kepada guru Pendidikan Islam dan j-QAF. 2. Temu bual berstruktur dan bersemuka secara individu.

3. e-pelaporan j-QAF yang mengandungi item tahap penguasaan Wudu, Solat, Pencapaian Iqra, Pencapaian Khatam Al-Quran dan Bahasa Arab.

5.4 Prosedur kajian Prosedur pengumpulan data yang dilakukan melalui borang soal selidik diisi oleh responden secara tidak serentak. Sebelum pengisian borang soal selidik responden kajian diberikan penerangan tentang cara pengisiannya. Masa pengisian borang soal selidik tidak dihadkan. Seterusnya temu bual secara berstruktur dilakukan kepada dua orang pegawai secara berasingan Masa yang diperuntukkan selama 30 minit setiap seorang dan jawapan direkod secara bertulis dan melalui rakaman video. Data e-pelaporan pula diambil dari 3 tahun ke belakang iaitu 2011, 2010 dan 2009. Data e-pelaporan ini akan dirujuk dari data e-pelaporan j-QAF Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut. 5.5 Analisis data Data daripada setiap item borang soal selidik yang diisi oleh responden dikodkan dalam komputer dengan menggunakan program SPSS 18.0 (Statistic Package For Social Science). Data temu bual disusun secara sistematik mengikut susunan soalan yang telah ditetapakan di dalam temu bual tersebut. Manakala data e-pelaporan j-QAF dianalisis melalui perisian data e-pelaporan 11.5. Data juga dipersembahkan di dalam bentuk jadual, graf dan carta. 6.0 LIMITASI KAJIAN Lokasi kajian ini hanya meliputi sekolah-sekolah kebangsaan di daerah Jerantut Pahang. Responden terdiri daripada guru Pendidikan Islam dan j-QAF serta Pegawai Pendidikan Islam dan j-QAF Pejabat Pelajaran Daerah Jerantut. Item yang dikaji meliputi program dakwah dalam j-QAF sahaja. 7.0 TINJAUAN LITERATUR Tinjauan literatur merupakan bahagian yang penting dalam penyelidikan, di mana pengkaji membuat tinjauan ke atas kajian-kajian lepas untuk memperolehi maklumat berkaitan dengan kajian (Chua 2006). Pengkaji telah menemui beberapa kajian yang menjelaskan perkara yang berkaitan dalam memperkemaskan lagi kajian yang akan dilaksanakan. Beberapa perkara penting diambil kira dalam mencapai tujuan kajian ini yang menjadi faktor penting dalam menilai peranan guru Pendidikan Islam j-QAF dari segi keberkesanan pendidikan dakwah di sekolah dalam menangani masalah tersebut. Di antaranya ialah penjelasan mengenai keruntuhan akhlak remaja dan masalah disiplin (Zainudin & Norazmah 2011; Khalim & wan zulkifli 2009; Aswati 2007) dalam kalangan pelajar di malaysia. Seterusnya kajian yang menjelaskan tahap penghayatan agama (Azhar & Halim Tamuri 2010; Adibah 2008; Sarimah et al. 2011; Ahmad Johari et al. 2008; Jaffary Awang et al. 2009) dibeberapa peringkat pendidikan seperti di peringkat universiti dan diperingkat menengah. Tinjauan kajian juga mendapati beberapa konsep dan pendekatan (Halim Tamuri & Khairul Azman 2010; Maimun & Roslan 2005) yang telah dilaksanakan sebagai garis panduan kepada guru Pendidikan Islam disekolah serta peranan (Ismail Abas 2007; Baharom et al. 2008; Amla Salleh & Abd. Aziz 2010; Sapora Sipon 1999) yang telah dimainkan oleh guru dalam mendidik akhlak pelajar dan juga beberapa persepsi pelajar dan guru (Syed Najmuddin 2009; Othman Napiah (2010); Azhar & Nor syakirah (2010) terhadap pelaksanaan Pendidikan Islam disekolah. Seterusnya kajian yang menjelaskan dasar pelaksanaan program j-QAF (Rafidah 2009; Ghazali 2007; Asmawati & Lokman 2009; Fairuz 2011) yang telah ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia secara umumnya. Berdasarkan penjelasan ringkas di atas maka kajian literatur ini boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian.

7.1 Faktor Keruntuhan Akhlak dan Disiplin Pelajar. Kajian Aswati (2007) menjelaskan bahawa ada dua faktor yang menjadi impak besar dalam pembentukan akhlak dikalangan orang Melayu iaitu Pertamanya; faktor luaran yang secara jelasnya melibatkan faktor persekitaran sosial yang tidak membina seperti pengaruh media massa dalam menyebarluaskan budaya hidup glamor, budaya hiburan, nilai-nilai hidup materialistik. Kedua, faktor dalaman yang melibatkan kekeliruan minda, kerapuhan pegangan agama dalam kalangan masyarakat umum khususnya generasi muda dan sikap negatif terhadap jaringan komunikasi dalam masyarakat. Kajian ini disokong oleh Zainudin & Norazmah (2011) yang menjelaskan Faktorfaktor yang mempengaruhi keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja disekolah ialah faktor latar belakang diri sendiri, faktor latar belakang keluarga, bentuk pengaruh rakan sebaya dan juga permasalahan persekitaran dari sekolah yang merupakan faktor luaran. Dan seterusnya dapatan kajian merumuskan bahawa faktor latar belakang diri sendiri paling mempengaruhi remaja terlibat dengan masalah sosial yang merupakan faktor dalaman. Khalim dan Wan Zulkifli (2009) menyatakan bahawa faktor-faktor di atas adalah diluar kawalan sekolah dan amat rumit. Berdasarkan faktor-faktor diatas juga, lahirlah beberapa masalah perlanggaran disiplin dalam kalangan pelajar di peringkat remaja ini seperti menghisap rokok disekolah, bergaduh, vandalisme, biadap terhadap guru, kes buli dan ponteng. 7.2 Tahap Pengetahuan dan Penhayatan Agama. Azhar Ahmad dan Halim Tamuri (2010) menjelaskan bahawa tahap penghayatan akhlak peribadi dalam kalangan pelajar sekolah menengah adalah sederhana tinggi. Manakala analisis terperinci dari segi peratus kekerapan penghayatan tingkahlaku kesemua jenis akhlak peribadi menunjukkan pola penghayatan yang agak rendah dalam beberapa jenis tingkahlaku akhlak peribadi berbanding dengan beberapa jenis tingkahlaku akhlak yang lain. Manakala kajian Ahmad Johari et al. (2009) pula memfokuskan berkenaan tahap pengetahuan agama dan amalan agama serta gaya hidup mahasiswa untuk dijadikan panduan kepada pihak pentadbiran universiti. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan agama dalam kalangan pelajar di UTM adalah tinggi. Namun tahap penghayatan agama dari segi amalan mereka adalah sederhana. Ini kerana mereka lebih menumpukan kepada ekademik dan kepimpinan semata-mata dan hubungan pengetahuan agama dan amalannya adalah pada tahap yang rendah. Adibah (2008) di dalam kajiannya menjelaskan bahawa tahap penghayatan agama dalam kalangan pelajar pada peringkat tinggi ini terjadi disebabkan oleh beberapa faktor pendorong iaitu seperti faktor dorongan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, tahap pembelajaran dan persekitaran sekolah, pengaruh media massa, faktor idola serta suasana masyarakat sekeliling. Namun hasil dari dapatan kajian ini telah menunjukkan bahawa faktor idola adalah subjek yang paling tinggi mempengaruhi pelajar. Perbezaan jenis sekolah juga telah mempengaruhi tahap pengetahuan dan penghayatan agama dalam kalangan pelajar. Seperti diselangor terdapat beberapa jenis sekolah yang berbeza latar belakang sistem pembelajaran dan sukatan pelajarannya seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Teknik / Vokasional (SMT/V) (Sarimah et al. 2011). Kajian ini diperkukuhkan lagi oleh dapatan kajian yang dibuat oleh Jaffary awang et al. (2009) yang menjelaskan bahawa tahap pengetahuan, penghayatan dan amalan disekolah agama adalah lebih baik berbanding dengan sekolah menengah harian biasa. Perbezaan ini terjadi disebabkan pendekatan pengajaran yang dilaksanakan oleh guru disekolah tersebut, seterusnya keseimbangan ilmu dunia dan akhirat serta budaya praktikal amalan agama yang istiqamah.

7.3 Konsep dan Pendekatan Pendidikan Islam. Pendidikan Islam disekolah dilaksanakan dalam pelbagai bentuk pendekatan dan kaedah bagi menarik minat dan kecenderungan terhadap amalan agama dan penghayatannya. Halim Tamuri dan Khairul Azman (2010) telah membincangkan di dalam kajian mereka mengenai amalan pengajaran guru Pendidikan Islam yang berkesan dan beberapa komponen teras kesediaan yang perlu ada pada setiap guru Pendidikan Islam. Perbincangan ini berasaskan kepada konsep Mualim. Guru Pendidikan Islam seharusnya mempunyai 4 komponen asas yang menjadi syarat sebagai Mualim berkesan iaitu kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran, penguasaan ilmu, motivasi, dan personaliti sebagai guru Pendidikan Islam. Seterusnya Kajian yang telah dijalankan dibeberapa buah sekolah di brunei bagi mengenal pasti kaedah-kaedah pengajaran yang paling popular yang selalu digunakan oleh guru-guru agama dan juga untuk mengenal pasti kaedah-kaedah pengajaran yang berkesan di dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam. Kajian ini mendapati beberapa kaedah pengajaran yang popular dan kerap digunakan di dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam iaitu kaedah penerangan, soal jawab, nasihat dan latih-tubi. Hasil utama kajian menunjukkan bahawa kaedah-kaedah yang paling berkesan dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam adalah kaedah nasihat, hafalan, bercerita dan lakonan. Sementara itu, aplikasi kaedah-kaedah ini berkesan kepada kepelbagaian tingkah laku dan sahsiah pelajar di antaranya, berfikir dengan cara Islamik, mendorong minat pembelajaran, membantu pelajar mengamalkan ajaran-ajaran Islam, memperbaiki perangai dan akhlak mereka, membantu pelajar dalam menilai dan menyerap nilai-nilai Islam serta membina rasa tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Selain daripada itu, dalam kajian ini mendapati pengajaran guru-guru perempuan lebih berkesan daripada guru-guru lelaki (Maimun & Roslan 2005). 7.4 Peranan Pendidikan Islam, Guru dan Ibu bapa. Seterusnya tinjauan berkenaan peranan Pendidikan Islam dan guru dalam beberapa perspektif dikenal pasti. Di antaranya Ismail Abas (2007) menjelaskan beberapa item yang menunjukkan peranan guru dalam menghadapi gagasan 2020 dari gagasan yang ketujuh. Di antaranya ialah peranan guru membina watak seseorang pelajar itu dan menjadi guru yang berkualiti. Kajian ini seterusnya menjelaskan bahawa guru seharusnya sedar dan peka terhadap amalan murid setelah pengetahuan diserap kepada pelajar. Kefahaman dari segi amalan perlu diterapkan secara serius sehingga pelajar itu betul-betul mahir (Abdul Halim Muhammady 1986). Guru juga seharusnya sedar bahawa selepas waktu persekolahan murid akan berhadapan dengan masyarakat secara lebih luas dan tiada kawalan. Seterusnya diteliti kajian mengenai peranan Pendidikan Islam dalam membentuk personaliti pelajar yang mencakupi aspek emosi, intelek, rohani dan jasmani seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kefahaman mengenai pengetahuan Pendidikan Islam adalah tinggi namun pelaksanaan nilai dalam kehidupan harian mereka adalah di tahap sederhana. Namun di antara faktor yang mempengaruhi amalan dan nilai yang diterapkan lebih menunjukkan pengaruh keluarga adalah memainkan peranan penting (Baharom et al. 2008). Bertepatan dengan dapatan kajian di atas satu kajian yang dibuat oleh Sapora Sipon (2008) iaitu menjelaskan berkenaan peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial remaja adalah paling penting. namun konflik yang terjadi di antara ibu bapa juga menjadi faktor utama. Akibatnya lahirlah beberapa kesan negatif kepada remaja yang membawa masalah sosial yang tinggi. Maka beberapa cadangan diberikan bagi menangani konflik tersebut seperti curahan kasih sayang yang secara menyeluruh, menyediakan suatu peruntukan masa yang cukup kepada mereka (remaja), didisplin, rasa hormat, didikan yang sempurna dan betul dan lain-lain. Amla Salleh dan Abd. Aziz (2010) menjelaskan mengenai peranan bapa dalam mempengaruhi pembangunan sahsiah pelajar diperingkat remaja dari segi tanggungjawab

ketua keluarga, pencapaian akademik pelajar dan juga pandangan pelajar bagaimana tahap komunikasi bapa dengan mereka. Seramai 468 pelajar digunakan dalam sampel kajian ini. Penggunaan model asuhan bapa digunakan sebagai asas pengukuran di dalam borang soal selidik. 7.5 Persepsi Pelajar dan Guru Syed Najmuddin (2009) dalam Kajiannya telah menjelaskan persepsi pelajar terhadap kepimpinan guru Pendidikan Islam di MRSM. Penilaian tersebut terbahagi kepada beberapa perkara iaitu imej dan personaliti guru Pendidikan Islam, tahap pengajaran dan pembelajaran guru Pendidikan Islam, kepimpinan guru Pendidikan Islam serta bagaimana tahap kemahiran interaksi mereka dengan pelajar. 1011 orang pelajar terlibat di dalam kajian ini yang menggabungkan 10 buah MRSM diseluruh negara. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap kepimpinan guru Pendidikan Islam adalah tinggi. Dan penilaian kepada seluruh aspek yang dinilai di atas adalah pada tahap yang tinggi. Penilaian ini disokong dengan Kajian yang menjelaskan persepsi pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Islam dalam pembangunan pendidikan mereka disekolah. Seramai 132 orang pelajar terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Pengkaji telah menggunakan kaedah analisis statistik deskriptif bentuk kekerapan, peratusan min bagi menilai tahap penilaian kajian. Dapatan kajian menunjukkan bahawa persepsi pelajar adalah secara positifnya tinggi dan bagi mereka mata pelajaran Pendidikan Islam adalah suatu mata pelajaran yang penting (Othman 2008). Seterusnya Azhar dan Nor Syakirah (2007) di dalam kajian mereka telah menjelaskan persepsi guru Pendidikan Islam terhadap tanggungjawab pelaksanaan etika profesion perguruan. Seramai 62 orang guru Pendidikan Islam di kawasan Johor Bahru terlibat sebagai responden dalam kajian ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengamalan etika ini adalah tinggi terhadap rakan sejawat dan seterusnya kepada ibu bapa, pelajar, masyarakat dan negara. 7.6 Konsep Pelaksanaan Proram j-QAF. Beberapa kajian telah dibuat menjelaskan dasar pelaksanaan program j-QAF di sekolah kebangsaan di seluruh negara. Kajian dibuat di atas dasar menguji tahap keberkesanan program tersebut serta mendapatkan pandangan dan persepsi jabatan pendidikan, guru, murid dan ibu bapa terhadap pelaksanaan program tersebut. Rafidah (2009) telah membuat kajian dalam menjelaskan kaedah pelaksanaan j-QAF dan penguasaannya di Sk Seri Laksamana Masjid Tanah Melaka. 90 orang pelajar telah terlibat sebagai sampel kajian yagn diambil secara rawak berkelompok. Hasil kajian menunjukkan bahawa pengetahuan pelajar berkaitan dengan pelaksanaan program j-QAF disekolah tersebut pada keseluruhannya adalah tinggi. Mereka juga dapat menguasai kemahiran yang di ajar pada tahap sederhana tinggi. Seterusnya kajian berkaitan status pelaksanaan program j-QAF di institut perguruan juga dilaksanakan. Sampel terdiri daripada 834 orang guru j-QAF yang sedang mengikuti pengajian secara KDC, sedang berkhidmat di sekolah rendah seluruh negara dan 40 orang pensyarah j-QAF yang bertugas di institut perguruan. Hasil kajian menunjukkan pensyarah jQAF menyatakan pemilihan guru j-QAF adalah memenuhi kriteria yang ditetapkan. Modul yang dibekalkan dapat membantu pensyarah melaksanakan tugas pengajaran kepada guru jQAF. Guru j-QAF harus mempertingkatkan komitmen mereka kerana min item yang berkaitan dengan kepatuhan terhadap tugasan, ketepatan masa dan penyempurnaan tugasan institut agak rendah, jangka masa kursus program j-QAF perlu disemak semula. Guru pelatih menyatakan terdapat tugas-tugas tambahan seperti guru ganti, menjaga kebersihan sekolah, menyediakan pentas bagi acara rasmi, mengawas disiplin murid, menceriakan bilik darjah dan menganggotai ahli jawatankuasa, namun tidaklah kerap sangat dilaksanakan (Ghazali 2007).

Kajian mengenai beberapa program dakwah j-QAF juga telah dilaksanakan dengan mengambil sebahagian dari program tersebut seperti Asmawati dan Lokman (2009) mengkaji mengenai keberkesanan pelaksanaan Kem Bestari Solat j-QAF yang diperkenalkan oleh Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran Malaysia. Seramai 309 orang guru j-QAF di Selangor terlibat sebagai responden di dalam kajian ini. Secara keseluruhannya menunjukkan bahawa pelajar berminat mengikuti aktiviti Kem Bestari Solat ini dengan baik. Fairus (2011) menjelaskan mengenai tahap pencapaian Literasi al-Quran pelajar yang melalui Program Khatam al-Quran j-QAF. Tahap kebolehan membaca al-Quran berdasarkan jantina juga dinilai dalam kajian ini berdasarkan skor markah yang diperolehi. Seramai 3443 pelajar telibat dalam kajian ini. Dapatan kajian 81% murid tahun enam telah menguasai bacaan al-Quran pada tahap memuaskan dan selebih menguasai mengikut bacaan guru. Namun 0.78% murid tidak dapat menghabiskan sukatan khatam al-Quran ini.

8.0 KERANGKA TEORITIKAL Model program dakwah j-QAF adalah berdasarkan Falsafah Pendidikan Islam untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sahsiah terpuji sebagai hamba Allah. Program dakwah jQAF merupakan satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam melalui modul khatam al-Quran dan Kem Bestari Solat bagi memantapkan akidah, ibadah dan akhlak dalam membentuk sahsiah terpuji dan dapat membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Proses pendidikan melalui program dakwah j-QAF ini dapat digambarkan seperti rajah berikut.

Rajah 1 : Model Program Dakwah j-QAF (Diubahsuai dari Falsafah Pendidikan Islam) 9.0 SIGNIFIKAN KAJIAN Penemuan daripada hasil kajian ini diharapkan dapat menunjukkan tahap keberkesanan program j-QAF di Daerah Jerantut, Pahang. Pengkaji juga cuba untuk mengetahui persepsi guru Pendidikan Islam dan j-QAF serta pegawai pelajaran daerah terhadap pelaksanaan program dakwah j-QAF di sekolah rendah. Dapatan dari persepsi ini juga dapat memberi maklumat kepada guru Pendidikan Islam dan j-QAF mengenai proses dakwah disekolah serta dapat menilai tahap pengajaran yang telah mereka laksanakan disekolah. Kajian ini seterusnya boleh memberi input yang sangat berguna kepada warga jabatan, khususnya Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai sumber rujukan untuk mengislahkan program dakwah dalam Pendidikan Islam agar tahap keciciran pelajar Islam mengenai pengetahuan agama mencapai tahap sifar cicir. 10.0 KESIMPULAN

Keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja umat Islam seluruh dunia semakin membimbangkan. Bertapa dahsyatnya pengaruh yang dibawa oleh musuh Islam terutamanya pengaruh media massa dari barat yang telah membawa satu budaya songsang menjelajahi negara umat Islam. Keadaan ini adalah disebabkan kelemahan umat Islam itu sendiri. Pengetahuan umat Islam yang terlalu lemah terutamanya pengetahuan agama Islam itu sendiri. Para ulamak dan cendikiawan Islam sedar sesungguhnya peranan pendidikan dalam gerakan dakwah Islam adalah pendekatan yang paling utama dan secara menyeluruhnya dakwah itu adalah pendidikan. Jesteru itu, pendidikan awal umat Islam adalah satu usaha yang sangat perlu diambil berat kerana ia merupakan pembentukan asas dan teras yang kukuh kepada umat Islam dalam menghadapi cabaran global yang hanya mendidik manusia mengejar kepada kemajuan keduniaan semata-mata. Pengetahuan dan pengamalan solat amatlah penting kepada pembentukan jati diri yang teguh dalam kalangan kanak-kanak Islam. Begitu juga dengan kemahiran membaca al-Quran, sepatutnya tidak wujud umat Islam yang buta huruf dalam membaca al-Quran terutamanya manusia di zaman ini yang telah mempunyai pelbagai alat dan cara untuk memudahkan pengusaan al-Quran. RUJUKAN Al-Quran. Ab. Halim Tamuri & Mohamad Khairul Azman Ajuhary. 2010. Amalan Pengajaran Guru Pendidikan Islam Berkesan Berteraskan Konsep Muallim. . Journal Of Islamic And Arabic Education 2(1), 43-56. Adibah Mat Jusoh. 2008. Faktor Pendorong Penghayatan Agama Dalam Kalangan Pelajar Islam Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda Sains serta Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Ahmad Johari Sihes, Abdul Rahim Hamdan, Jamaluddin Ramli, Nor Salis Samingan. 2010. Pengaruh Pengetahuan Agama ke Atas Amalan Agama dan Gaya Hidup Mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Amla Salleh, Zahara Aziz, Zuria Mahmud & Abd. Aziz Mahyuddin. 2010. Peranan Bapa dalam Pembangunan Sahsiah Remaja dan Implikasinya terhadap Nilai Kekeluargaan. Jurnal Pendidikan Malaysia 35(2)(2010): 9-17. Asmawati Suhid & Lukman Abdul Mutalib. 2009. Tinjauan Terhadap Pelaksanaan Kem Bestari Solat. Journal Of Islamic And Arabic Education 1(1) 15-28. Aswati Hamzah. 2007. Satu Kajian Skema Taakulan Akhlak Dalam Kalangan Pelajar Melayu. Tesis Dr. Fal, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia. Azhar Ahmad & Ab. Halim Tamuri. 2005. Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah. Journal Of Islamic And Arabic Education. Azhar Muhammad & Nor Syakirah Samsuni. 2010. Persepsi Guru Pendidikan Islam Terhadap Tanggungjawab Pelaksanaan Etika Profesion Perguruan. Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Baharom Mohamad, Ali Suradin, Zaaba Helmi Khamisan. 2008. Peranan Pendidikan Islam Dan Pendidikan Moral Dalam Membina Sahsiah Pelajar Berkualiti. Persidangan Pembangunan Pelajar Peringkat Kebangsaan 2008 Universiti Teknologi Malaysia. Chua, Yan Piaw. 2006. Kaedah dan Statistik Penyelidikan. Kuala Lumpur: Mc Graw Hill (Malaysia) Sdn.Bhd. Fairuz Samsudin. 2011. Tahap Pencapaian Murid-Murid Tahun Enam Dalam Modul Khatam AlQuran j-QAF Satu Kajian Di Sekolah Kebangsaan Daerah Kuala Muda Yan. Tesis Sarjana Pendidikan, Fakulti Pendidikan Dan Bahasa, Universiti Terbuka Malaysia.

Ghazali Darusalam. 2007. Pelaksanaan Program j-QAF Mengikut Persepsi Pensyarah dan Pelajar. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor, Jilid 10, 2007.

http://www.bpi.edu.my Ismail Abas. 2007. Peranan Guru Membina Murid Menghadapi Cabaran 2020. Jurnal Penyelidikan Pendidikan Institut Perguruan Islam, Selangor, Jilid 10, 2007. Jaffary Awang, Rozmi Ismail, Kamaruddin Salleh, Hairunnizam Wahid. 2009. Sosialisasi Agama Di Kalangan Pelajar-Pelajar Sekolah Agama Di Selangor. Kumpulan Kajian Dunia Melayu & Islam Institut Alam dan tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Khalim zainal & wan zulkifli wan hassan. 2009. Pendekatan Islam Dalam Menangani Masalah Disiplin Tegar Dalam Kalangan Pelajar Sekolah: Satu Kajian Kes. Journal Of Islamic And Arabic Education 1(2) 2009, 1-14. Maimun Aqsha Lubis & Roslan Aspar. 2005. Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam Di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan 30, 141-150. Mohd Aderi Che Noh & Rohani Ahmad Tarmizi. 2009. Persepsi Pelajar Terhadap Amalan Pengajaran Tilawah Al-Quran. Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1)(2009): 93 109. Othman Napiah & Munada Mohamad Rodi. 2010. Persepsi Pelajar Sekolah Agama Terhadap Mata Pelajaran Pendidikan Islam : Kajian Di Sekolah Menengah Al-Amin Gombak. Selangor Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia. Pelan Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Kementerian Pelajaran Malaysia. Rafidah Muhamad Noor. 2009. Kaedah Pelaksanaan Program j-QAF Dan Penguasaannya Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana, Masjid Tanah, Melaka. Tesis Sarjana Muda Sains Serta Pendidikan (Pengajian Islam) Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia. Sapora Sipon. 1999. Peranan Ibu Bapa Dalam Menangani Masalah Sosial Remaja. Dlm. Peranan Psikologi Dalam Masyarakat Malaysia Semasa. Jabatan Kemajuan Negeri Cawangan Sabah. Sarimah Mokhtar, Mohd Kashfi Mohd Jailani, Ab. Halim Tamuri, Kamarulzaman Abdul Ghani. 2011. Kajian Persepsi Penghayatan Akhlak Islam Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Menengah Diselangor. Gjat | December 2011 | Vol 1 Issue 1 Issn : 2232-0474 | E-Issn : 22320482. Syed Najmuddin Syed Hassan, Ab. Halim Tamuri, Isahak Othaman, Mohd. Sabri Mamat. 2009. Kajian Persepsi Pelajar Terhadap Profesionalisme Guru Pendidikan Islam MRSM. Journal of Islamic and Arabic Education 1(2), 2009 31-50. Zainudin Sharif & Norazmah Mohamad Roslan. 2011. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Remaja Terlibat Dalam Masalah Sosial Di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereh, Melaka. Journal of Education Psychology & Counseling, volume 1 Mac 2011, Pages 115-140 / ISSN: 2231-735X