Anda di halaman 1dari 8

2.

4 Konsep Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA)

Dalam membina negara yang maju, kemahiran dan intelektual individu juga dititikberatkan.
Perubahan yang ada dari segala aspek meletakkan sesebuah negara itu selari dengan falsafah
yang tercipta oleh negara masing-masing. Namun, apabila melihat dalam bidang pendidikan
kini, banyak perubahan yang dilakukan mengikut peredaran zaman serta kecanggihan
teknologi. Hal ini sekaligus melahirkan masyarakat yang tinggi intelektualnya, namun kurang
kualiti dari segi aspek akhlak. Menurut Ab Halim Tamuri dan Ahmad Munawar Ismail
(2021), terdapat berbagai bentuk cabaran yang dihadapi dalam aspek pengamalan akhlak
dalam kalangan pelajar. Satu aspek utama kini ialah cabaran media sosial yang terbuka
dengan budaya negatif berasaskan kepada keseronokan sehingga mengetepikan nilai-nilai
Islam. Minda kelas pertama tidak akan terbentuk dan wujud di dalam persekitaran yang
mengutamakan hiburan semata-mata tanpa memperkasakan nilai kerohanian dalam jiwa.

Oleh itu, dalam membentuk pelajar-pelajar kini, pendidikan Islam itu sendiri amatlah
memainkan peranan yang penting dalam mengisi rohani para pelajar. Pendidikan Islam ialah
pendidikan yang berasaskan kepada ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW
bagi membentuk akal dan hati, rohani dan jasmani, zahir dan batin sesuai dengan tuntutan al-
Quran dan al-Sunnah (Ahmad Sabri Osman, 2003). Hal ini juga selari dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dengan tegas menyebut bahawa, “Pendidikan di
Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi
individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara
Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga masyarakat dan negara.” (Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM), 2022).

Justeru, pelbagai usaha pihak kerajaan yakni Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
(JAKIM) wujudkan untuk memperkasakan pendidikan Islam, terutama bagi pelajar Islam.
Menerusi portal rasmi JAKIM dalam pendidikan, pelbagai kelas, institusi ataupun sekolah
diwujudkan untuk membentuk pelajar yang cemerlang dari segala aspek. Salah satunya,
Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA). KAFA adalah suatu program berkonsepkan
pengukuhan asas pendidikan Islam dengan memberi penekanan kepada kemahiran membaca
al-Quran serta asas-asas fardu ain. Terdapat lapan subjek dalam kurikulum KAFA antaranya
al-Quran, akidah, ibadah, sirah, adab, bahasa Arab, jawi dan khat dan tahfiz al-Quran. KAFA
ini merangkumi pelajar tahun satu hingga tahun enam yang berdaftar dengan Agensi
Pelaksana, Pihak Berkuasa Agama Negeri dengan mengguna pakai kurikulum buku teks,
peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dengan mengikut jadual atau waktu PdP
yang ditetapkan oleh JAKIM. Falsafah KAFA adalah satu usaha berterusan untuk mendidik
dan membentuk pelajar-pelajar Islam ke arah memperkembangkan fitrah individu (insan)
selaras dengan kehendak al-Quran dan al-Sunnah. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan
manusia yang terdidik dengan didikan al-Quran dan al-Sunnah yang kuat iman dan
amalannya kepada Allah serta menghayati akhlak dan cara hidup Islam (JAKIM, 2020).

Banyak kepentingan ilmu KAFA dalam kehidupan pelajar-pelajar kini. Salah satunya,
ia dapat membimbing para pelajar hidup dengan berlandaskan sumber utama dalam agama
Islam yakni al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kerana, seperti yang diketahui, al-Quran itu
sendiri adalah contoh yang terbaik yang merangkumi segala aspek tidak kiralah dari segi
akhlak, akidah mahupun insaniah, maka wajar bagi setiap aspek, lagi-lagi pendidikan untuk
jadikan al-Quran sebagai rujukan utama. Dalam pembelajaran, ilmu fardu ain menduduki
tempat pertama, keutamaan mata pelajaran yang terkandung dalam ilmu fardu ain dapat
mengatasi dan menuntun segala mata pelajaran yang lain. Besar tuntutan bagi seseorang
pelajar untuk mendalami ilmu fardu ain ini, kerana ilmu ini dikehendaki berupaya untuk
menghidupkan dan memansuhkan unsur-unsur dan faham asas Islam ke dalam setiap cabang
ilmu pengkhususan yang dipelajarinya tersebut (Mukhlas Nugraha, 2017).

Penubuhan KAFA ini juga jelas memperlihatkan kepentingan ilmu fardu ain itu
sendiri dimana tujuannya ingin memastikan kanak-kanak Islam yang berumur tujuh hingga
dua belas tahun dapat mempelajari, menguasai dan memperkukuhkan bacaan al-Quran
dengan baik dan mengamalkan perkara-perkara asas fardu ain (JAKIM, 2020). Hasil PdP
KAFA ini dapat menyediakan para pelajar untuk mempercayai, memahami dan
mengamalkan ajaran Islam melalui bimbingan, pengajaran atau aktiviti latihan yang
ditetapkan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan (Moh Afiful Hair, 2018).

Oleh itu, KAFA adalah salah satu program pendidikan yang bertujuan untuk
memupuk nilai-nilai Islam dalam diri seseorang pelajar agar dapat menzahirkan tingkah laku
yang melambangkan agama Islam itu sendiri. KAFA juga bukan sahaja dapat melahirkan
pelajar yang berperibadi unggul malah dapat membina seorang pelajar yang cemerlang dalam
akademik dalam semua mata pelajaran. Justeru, pelbagai bentuk kaedah PdP KAFA
diwujudkan demi untuk memberi kefahaman dan pengukuhan dalam ilmu yang dipelajari
tersebut.

2.5 Teori dan Model Islam

2.5.1 Teori Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) al-Quran Rasulullah SAW,

Sahabat dan Tabiin dan Model Wan Bakar.

Kajian yang dijalankan ini bertujuan untuk meneroka kaedah PdP pada abad ke-21 guru-guru
KAFA dalam pengajaran Tilawah al-Quran. Terdapat dua elemen yang berkait dengan PdP
tersebut iaitu proses pengajaran dan kaedah pengajaran guru. Kajian ini menumpukan kepada
teori kaedah pengajaran al-Quran pada zaman Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin dan juga
model kaedah PdP al-Quran oleh Wan Bakar. Dalam pengajaran al-Quran pada zaman
Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin, pembelajaran al-Quran pada peringkat awal adalah
melalui hafazan. Rasulullah SAW yang merupakan seorang ummi yang tidak tahu membaca
dan menulis itu menyampaikan ilmu melalui hafazan kepada para sahabat dan para sahabat
pula menghafaz al-Quran dan menyampaikannya kepada orang lain. Pendekatan yang
digunakan adalah melalui talaqqi dan musyafahah dimana mendengar dan memperbetulkan
bacaan yang dihafaz sepertimana Jibril yang mendengar dan memperbetulkan bacaan
Rasulullah SAW begitu juga dengan para sahabat yang membaca dengan Rasulullah SAW.

Oleh itu, proses PdP ini berterusan sehingga para sahabat memahami apa yang
dihafaz, lalu segelintir para sahabat yang tahu menulis, akan menulis ayat-ayat al-Quran yang
dibacakan oleh Rasulullah SAW. Maka, baginda juga akan menghuraikan maksud ayat-ayat
yang disampaikan agar difahami oleh para sahabat dan memerintahkan para sahabat untuk
mengamalkan apa yang dipelajari dan mengulang hafazan secara istiqamah. Hal ini kerana
proses pengulangan yang dilakukan adalah sebagai kaedah para sahabat memastikan ayat
yang dibaca berkekalan (Siti Suriyani Sulaiman, 2018). Justeru, berdasarkan enam proses
PdP yang dilakukan pada zaman Rasulullah SAW ini yakni membaca, menghafaz,
memahami, menulis, mengamal dan mengulang, dapat digunapakai dalam PdP kini sebagai
pengukuhan ilmu Tilawah al-Quran tersebut dalam diri pelajar disamping untuk membina
sahsiah pelajar tersebut.
Dalam model kaedah PdP oleh Wan Bakar, model ini mengemukakan penekanan
dalam kemahiran membaca al-Quran yang baik dan cemerlang yang dapat dicapai dengan
menggunakan pendekatan pengajaran yang tersusun dan pembelajaran yang terancang
(Kamarul Azmi Jasmi dan Mohd Aderi Che Noh, 2013). Model ini menyatakan beberapa
pendekatan asas yang perlu seseorang guru ketahui untuk memastikan pelajar mampu untuk
membaca al-Quran dengan baik. Antaranya pendekatan mengenal, mengeja dan membunyi,
membaca potongan ayat yang mudah, menghafaz, membaca mengikut hukum tajwid yang
sebenar dan memahami. Pendekatan-pendekatan asas yang dikongsikan ini adalah salah satu
teknik untuk menambahbaik kemahiran pelajar dalam membaca al-Quran dan sejurus
melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang al-Quran.

Oleh itu, tiga kaedah PdP dilaksanakan, yang dikemukakan oleh Wan Bakar yang
dapat digunakan oleh para guru semasa dalam kelas iaitu kaedah kelas, kumpulan dan
bimbingan rakan sebaya. Kaedah kelas adalah satu kaedah yang melibatkan bacaan contoh
oleh guru kepada pelajar. Kaedah ini dilakukan di permulaan pengajaran kemahiran al-Quran.
melalui kaedah ini pelajar dapat menumpukan perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh
guru dan dapat mencontohi bacaan guru. Namun, kaedah ini juga mempunyai kelemahan
dimana kaedah ini tidak dapat dikuasai oleh pelajar yang lemah. Maka, kaedah kumpulan
boleh digunakan bagi membantu golongan pelajar ini.

Tujuan kaedah kumpulan ialah untuk memahirkan pelajar dalam menguasai


kemahiran membaca al-Quran. Ia memerlukan seorang guru yang cekap dan mahir untuk
mengelolakan kumpulan pelajar. Secara amnya terdapat tiga kumpulan pelajar dalam kelas,
iaitu kumpulan yang lancar membaca al-Quran, kumpulan yang kurang lancar dan kumpulan
yang lemah. Oleh itu, kaedah kumpulan amat sesuai dijalankan bila mana terdapat
kepelbagaian tahap pelajar dalam penguasaan Tilawah al-Quran. Seterusnya, kaedah
bimbingan rakan sebaya. Kaedah yang dikenali sebagai peer teaching ini amat sesuai
dipraktikkan bagi kumpulan pelajar yang sederhana tahap kemahiran Tilawah al-Quran. Guru
akan memilih pelajar yang berkebolehan dan lancar dalam bacaan al-Quran untuk mengajar
kumpulan pelajar yang kurang mahir bacaan al-Quran (Kamarul Azmi Jasmi dan Mohd Aderi
Che Noh, 2013). Justeru, kaedah-kaedah yang dinyatakan oleh Wan Bakar ini adalah kaedah
PdP yang mampu membantu para pelajar untuk memperbaiki bacaan al-Quran sejurus untuk
memahami apa yang dipelajari.
Rajah 1. Teori Kaedah PdP pada Zaman Rasulullah SAW, Sahabat dan Tabiin (Siti Suryani
Sulaiman, 2018) dan Model Wan Bakar (Kamarul Azmi Jasmi dan Mohd Aderi Che Noh,
2013).
2.6 Teori dan Model Barat

2.6.1 Teori dan Model Child (1983)

Dalam kajian Azizi dan Syazwani (2010), teori Child (1983) telah dinyatakan sebagai satu
sistem pendidikan yang harus disediakan untuk memenuhi keperluan individu. Model
pengajaran ini menekankan bahawa pengajar mempunyai peranan yang berbeza, iaitu
pengajar sebagai pengurus perubahan. Pengajar dalam model ini, pengajar perlu mengubah
kaedah pengajaran supaya sesuai dengan setiap pelajar. Masalah yang timbul untuk
menjayakan kaedah ini ialah saiz kelas dan kekurangan kemudahan untuk pengajaran secara
individu. Hal yang sedemikian, kesediaan pengajaran dalam setiap aspek harus menjadi fokus
oleh setiap pendidik untuk memudahkan proses pembelajaran.

Walaupun kini terdapat banyak kekangan-kekangan yang wujud dan membuatkan


banyak perubahan dalam sistem pendidikan, namun guru atau pendidik merupakan pengurus
utama dalam diri setiap pelajar. Kaedah PdP yang digunakan memainkan peranan penting
dalam memupuk ilmu dalam diri seseorang pelajar tersebut. Menurut Nursyazana, Dian
Hazwani dan Noor Azilah dalam kajian “Kepentingan Memahami Keperluan Pelajar Dalam
Pendidikan Islam,” aktiviti yang wujud di sekolah sentiasa direka untuk memenuhi keperluan
pelajar mengikut umur masing-masing. Justeru, seseorang pendidik harus lebih peka terhadap
tahap kebolehan keperluan pelajar masing-masing melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.
Selain itu, kepelbagaian dalam proses PdP juga memainkan peranan untuk memberi
kefahaman terhadap pelajar.

Idea yang kreatif pendidik itu juga mampu mengukur keberkesanan PdP terhadap
pelajar. Namun kini, dengan adanya pelbagai kecanggihan teknologi dalam sistem
pendidikan, PdP boleh diadakan secara meluas. Kegunaan Alat Bantu Mengajar (ABM)
merupakan satu fungsi terbaik dalam melahirkan pelajar yang cemerlang. Menurut Alizah
Lambri dan Zamri Mahamood (2019), bidang pendidikan tidak dapat lari daripada
menggunakan ABM dalam proses PdP. Teknologi yang digunakan dalam pendidikan
berubaha daripada yang tradisional kepada apa yang ada pada hari ini. Tidak wajar bagi
pendidik pada era sains dan teknologi kini masih meneruskan pengajaran dengan cara lama
yang hanya bersandarkan buku teks atau ‘chalk and talks’ semata mata. Namun, penggunaan
ABM jug mempunyai batasnya. Hal ini kerana, kriteria ABM yang dinyatakan diharap dapat
membantu melancarkan lagi proses PdP serta seharusnya mengandungi nilai-nilai murni yang
dapat memupuk kefahaman ilmu para pelajar.

Secara umumnya, kaedah PdP sentiasa berubah mengikut keperluan zaman. Apanila
melihat kepada kecanggihan teknologi yang ada, tiada alasan lagi untuk para pendidik dan
pelajar menyatakan kesukaran dalam proses PdP. Namun, tidak dinafikan, adanya batasan
atau jurang dalam penggunaan ABM ini untuk difokuskan kepada setiap pelajar. Oleh itu,
guru sememangnya memainkan peranan penting dalam memandu pelajar dengan proses
pengajaran yang dilakukan. Hal yang demikian, usaha yang dilakukan dari setiap pihak
mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik sejurus mampu membina
keperibadian pelajar yang berkualiti untuk negara.

RUJUKAN

Ab Halim Tamuri & Ahmad Munawar Ismail. 2021. Hubungan Persekitaran Sekolah dan
Guru dengan Amalan Akhlak Murid Sekolah Menengah Malaysia. International Journal of
Islamic Thought. Volume 19.

Ahmad Sabri Osman. 2003. Konsep Pendidikan Islam. Jurnal Intelek. Julai.

Alizah Lambri & Zamri Mahamood. 2019. Penggunaan Alat Bantu Mengajar Dalam
Pengajaran Bahasa Melayu Menggunakan Pendekatan Pembelajaran Berpusatkan Pelajar.
International Journal of Education, Psychology and Counseling. Volume 4, Issues 33.

Azizi Yahaya & Syazwani Abdul Razak. 2010. Teori Berkaitan Gaya Pembelajaran dan
Kaedah Pengajaran.
https://www.researchgate.net/publication/46480625_Teori_Berkaitan_Gaya_Pembelajaran_D
an_Kaedah_Pengajaran. Januari.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 2020. Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
https://www.islam.gov.my/ms/pendidikan/kafa. 1 Disember 2020.

Kamarul Azmi Jasmi & Mohd Aderi Che Noh. 2013. Sejarah, Kaedah, Serta Model
Pengajaran dan Pembelajaran al-Quran (History, Methods and Models of Teaching and
Learning of the Quran). Bengkel Pemulihan dan Pengayaan Pengajaran dan Pembelajaan
(PdP) al-Quran SRA JAWI. 29 Oktober 2013.
Mukhlas Nugraha. 2017. Konsep Ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan Kepentingan
Amalannya dalam Kokurikulum Pendidikan Islam. TAFHIM : IKIM Journal of Islam and the
Contemporary World. Volume 10.

Moh Afiful Hair. 2018. Pendidikan Agama Islam Dalam Keluarga dan Masyarakat.
AHSANA MEDIA : Jurnal Pemikiran, Pendidikan dan Penelitian Ke-Islaman. Volume 4, No
2.

Nursyazana Abd Aziz, Dian Hazwani Saihen & Noor Azilah Noor Mohamed. Kepentingan
Memahami Keperluan Pelajar Dalam Pendidikan Islam.
https://www.academia.edu/18780736/Kepentingan_Memahami_Keperluan_Pelajar_Dalam_P
endidikan_Islam.

Siti Suriyani Sulaima. 2018. Kaedah Hafazan : Suatu Tinjauan Ringkas. E-Journal of Islamic
Thought and Understanding. Volume 2, Issue 1.

Anda mungkin juga menyukai