Anda di halaman 1dari 5

Penerapan Nilai Minjaroes dan Formula 3H dalam Kurikulum PTV

Maklumat Jurnal Penulis Publish / Presented Sumber : : : Zuhaila Saleh, Mohd Safarin Nordin & Muhammad Syukri Saud 2012 Journal of Technical, Vocational & Engineering Education, Volume 5, March 2012 Pengulas : Akmal Binti Ali

1.0

Pengenalan

Ulasan ini membahaskan jurnal tentang kajian Kurikulum Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) sedia ada hari ini. Kajian ini memfokuskan kepada formula 3H (Heads On, Hearts On dan Hands On) bagi menjana modal insan yang memiliki minda kelas pertama serta personaliti unggul yang seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dalam konsep 3H, fokus diberikan kepada aspek pembangunan modal insan yang seimbang sama ada Minda, Jasmani, Rohani, Emosi dan Sahsiah (MINJAROES). Kurikulum PTV yang ideal juga dimasukkan dalam unsur Minjaroes untuk menghasilkan modal insan yang cemerlang. Hal ini kerana pendidikan bukan sahaja bertujuan menghasilkan tenaga manusia untuk memenuhi pekerjaan tetapi memiliki sifat berdaya saing, berakhlak dan bermoral tinggi. Artikel jurnal ini membincangkan tentang kepentingan penerapan nilai Minjaroes ke dalam kurikulum PTV untuk menghasilkan masyarakat dan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai jati diri yang tinggi.

2.0

Perbincangan

Perkembangan global masa kini dan kemajuan teknologi yang semakin pesat serta cabaran isu semasa menuntut pendidikan teknik vokasional melatih tenaga manusia yang lebih berketerampilan, berinovasi, berdaya tahan, berdaya juang dan boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi industri dan pekerjaan. PTV dilihat perlu menambah baik kurikulumnya selaras dengan perubahan dan cabaran persekitaran

global. PTV perlu mencari satu standard nilai yang perlu diterapkan untuk membangunkan tenaga kerja. Nilai Minjaroes ialah nilai yang mempunyai standard moral yang tinggi serta penting kepada sosialisasi perkembangan manusia. Dari sudut PTV, Nilai Minjaroes membantu menerapkan kesemua elemen Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sahsiah pelajar yang akan dihasilkan menjadi sumber manusia berkualiti dan mampu membangunkan negara ke arah kemajuan dan kejayaan. Penerapan nilai Minjaroes dalam kurikulum PTV penting bagi melahirkan modal insan kelas pertama sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Oleh itu, sumber manusia yang dihasilkan memiliki ciri-ciri yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Nilai Minjaroes bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

2.1

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) FPK memberi penekanan kepada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik dan sempurna, berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. FPK berhasrat untuk melahirkan insan yang berpegang teguh kepada agama. Pada dasarnya, asas tauhid perlu menjadi pegangan umat Islam agar kelak tidak kucar-kacir. Matlamat negara dalam FPK adalah untuk menghasilkan

warganegara yang baik dan memiliki ciri-ciri bersatu-padu, berdisiplin dan terlatih. Secara keseluruhannya, FPK wujud kerana dasar dan matlamat pendidikan. 2.2 Kurikulum Kurikulum bermaksud segala rancangan pendidikan yang dikendalikan sesebuah sekolah atau institusi pelajaran untuk mencapai matlamat pendidikan. Kurikulum sekolah terbahagi kepada dua bahagian iaitu kurikulum akademik (pengajaran dan pembelajaran) dan ko-kurikulum. Kurikulum juga adalah rancangan pendidikan yang membendung segala ilmu pengetahuan dan kemahiran, nilai dan norma. Kurikulum PTV di Malaysia berfokus kepada objektif PTV iaitu untuk menyediakan pelajar dengan pengetahuan asas dan kemahiran bagi memenuhi

keperluan sektor perdagangan, industri dan pertanian; serta membina asas yang kukuh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal. Kesimpulannya, kurikulum bermaksud jalan kehidupan, daya usaha, rancangan pendidikan ke arah pencapaian matlamat pendidikan.

2.3

Pendidikan Teknik Dan Vokasional Perkataan teknik berasal dari perkataan Greek technicos yang bermaksud untuk belajar atau prinsip-prinsip teknologi. Manakala vokasional berasal dari perkataan Latin vocare atau bermaksud to call. Menurut Kamus Dewan (1993), perkataan teknik membawa maksud pengetahuan yang berkaitan dengan pembuatan barang-barang hasil industri atau kaedah mencipta sesuatu hasil seni. Manakala perkataan teknikal pula membawa maksud perlaksanaan sesuatu kerja atau berkaitan dengan sesuatu bidang pengetahuan tertentu. Kamus Dewan (1993) juga mendefinisikan vokasional sebagai berkaitan dengan pekerjaan yang tertentu atau kursus pendidikan amali. Kesimpulannya, PTV adalah berkaitan dengan pekerjaan dan kerja praktis. Tenaga manusia yang akan dihasilkan mempunyai pengetahuan dan kemahiran tertentu. Negara maju seperti Jepun dan negara Barat bukan sahaja mempunyai pendapatan per kapita yang tinggi tetapi juga memiliki teknologi yang maju disebabkan oleh tenaga manusia mereka yang mahir. PTV di Malaysia perlu menyahut cabaran dengan menerapkan nilai Minjaroes supaya dapat memiliki modal insan yang berpendapatan tinggi seperti negara maju yang lain (Suhean Hussin, 2004).

2.4

Formula 3H Formula 3H yang pertama ialah gerakan minda iaitu melibatkan penciptaan idea, cetusan ilham dan penetapan matlamat diri yang disasarkan untuk dicapai. Gerakan kedua ialah hati dan ia merupakan kekuatan dalaman individu. Jika pelajar PTV gagal dalam sesuatu usaha ia akan dianggap sebagai suatu cabaran dan motivasi untuk berjaya. Dengan adanya gerakan ini akan dapat memupuk komitmen 3S iaitu Semangat mahu (will power), Semangat Cekal (Persistent) dan Semangat yakin boleh (belief spiritual). Selain itu, nilai-nilai 3P turut dibina iaitu proaktif (mengambil tanggungjawab), progresif (maju ke hadapan) dan profesional (utamakan kualiti kerja). Akhir sekali, nilai 3D yang membina jati diri (kekuatan dalaman); iaitu daya tahan, daya juang dan daya

saingan. Gerakan ketiga adalah tangan iaitu pelan tindakan strategik untuk mencapai gerakan minda dan hati. Gerakan ini melibatkan gabungan minda, fizikal, kerohanian, kemahiran, sosial dan emosi (EQ). Penghayatan 3H adalah untuk menghasilkan modal insan kelas pertama. Ianya terdiri daripada 3 domain iaitu Heads On (Gerakan Minda) - Pembangunan minda diri dan sikap yang positif untuk menggapai matlamat hakiki. Hearts On (Gerakan Hati) - Pembinaan kekuatan dalaman dan jati diri untuk mendokong aspirasi negara. Hands On (Gerakan Tangan) - Perlaksanaan tindakan strategik dan terbaik untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Kesimpulannya, formula Formula Holistik 3H menghuraikan tujuh langkah penting untuk menghasilkan individu yang cemerlang iaitu melalui heads on - penentuan matlamat, sikap dan persekitaran yang positif. Melalui hearts on iaitu yakin boleh dan bermotivasi, beriman dan berdoa. Juga, melalui hands on - kemahiran belajar dan pengurusan masa, pemakanan dan riadah, strategi ulang kaji dan peperiksaan. Secara keseluruhannya, objektif PTV adalah untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan menepati apa yang terkandung dalam konsep 3H dan elemen nilai dalam Minjaroes. 2.5 Nilai Minjaroes Dr.Ahmad Roslan Johari merupakan pencetus konsep Minjaroes (Minda, Jasmani, Rohani, Emosi dan Sahsiah) dan 3H (Heads On, Heart On and Hands On). Formula 3H diharap dapat menjana modal insan kelas pertama serta personaliti yang unggul dan boleh dilaksanakan dengan mengaplikasikannya ke dalam pendidikan melalui nilai-nilai Minjaroes. Terdapat 45 amalan nilai-nilai murni dan klasifikasi modal manusia menerusi perspektif 3H yang telah diisenaraikan oleh Ahmad Roslan Johari, 2007. Amalan Minjaroes adalah singkatan gabungan 5 komponen utama iaitu Keterampilan Minda (IQ), Kecergasan Jasmani (PQ), Kemantapan Rohani (SQ), Kecerdasan Emosi (EQ) dan Keunggulan Sahsiah (RQ). Perspektif 3H boleh dirumuskan sebagai asas dalam proses pendidikan manakala nilai Minjaroes adalah amalan yang perlu diterapkan kepada pelajar bagi membentuk akhlak dan tindakan yang baik sama ada kepada diri, bangsa, agama, masyarakat dan negaranya.

3.0

Ulasan dan Pandangan

Dari artikel jurnal ini dapat dinyatakan bahawa tujuan Nilai Minjaroes dan Konsep 3H dicadangkan ke dalam kurikulum PTV adalah untuk membentuk pelajar sebagai generasi akan datang dengan mempunyai watak berhemah tinggi dan berperibadi teguh dan seimbang. Penekanan pembelajaran Nilai Minjaroes seiring dengan keperluan wawasan 2020, Rukun Negara, FPK dan dasar kerajaan. Matlamat penerapan Nilai Minjaroes adalah untuk membangunkan diri, masyarakat dan negara selaras dengan perkembangan tamadun, zaman dan globalisasi. Kurikulum dijadikan sebagai asas dan PTV sebagai saluran untuk melaksanakan menerapkan nilai bagi menghasilkan modal insan seimbang. Oleh sebab itu, Falsafah PTV, FPK dan Kurikulum PTV perlu diperjelaskan dan dibina dengan utuh agar guru-guru yang melaksanakan kurikulum di sekolah berlandaskan hakikat atau kebenaran sebenar. Penghayatan guru yang tinggi perlu agar kurikulum yang ada dapat di aplikasi dengan penuh tanggungjawab tanpa rasa takut, ragu-ragu dan kabur. 4.0 Penutup

Hasil daripada kajian ini, boleh dirumuskan bahawa Nilai Minjaroes dan 3H bukan sahaja untuk dipelajari tetapi penting untuk dihayati bagi membentuk personaliti manusia yang bersepadu dan seimbang. Namun, pelaksanaannya dalam kurikulum PTV tidak akan terus meresap ke dalam sanubari dan dihayati tetapi melalui sistem pertimbangan, penilaian dan pemilihan yang terletak pada minda seseorang. Nilai Minjaroes penting diterapkan dalam mana-mana bidang kurikulum termasuklah PTV kerana ia akan membentuk disiplin, pertumbuhan sifat-sifat diingini mengenai sikap, perasaan, semangat dan sebagainya (bidang afektif) lebih penting daripada penguasaan ilmu semata-mata (bidang kognitif). Oleh yang demikian, kurikulum sekolah hendaklah menitikberatkan perkembangan sikap, minat, perasaan, value-judgement dan semangat yang diingini dari segi disiplin seiring dengan Nilai Minjaroes dan 3H.

Anda mungkin juga menyukai