Anda di halaman 1dari 3

Izzardzafli Bin Padzil 109676

VLT201

TEORI & TEKNIK LAKONAN TRADISIONAL

Perbezaan Upacara Buka Panggung di antara Mekmulung dan Makyung

Perbezaan Upacara Buka Panggung di antara Mekmulung dan Makyung

Penghasilan bentuk-bentuk kesenian dalam satu masyarakat adalah satu cerminan kepada sistem berfikir dan gaya hidup sesebuah masyarakat, yang lahir berlandaskan faktorfaktor yang khusus, iaitu, faktor ekonomi dan faktor kepercayaan. Persembahan seperti Makyung dan Mekmulung contohnya, terhasil dari perkaitan sistem kepercayaan masyarakat tersebut berkenaan dengan pergantungan ekonomi yang berasaskan pertanian yang dikaitkan dengan hubungan di antara manusia dan alam sekitar. Sistem ini kemudiannya diselarikan dengan kepercayaan bahawa alam ini mempunyai semangat dan kuasa halus yang diwariskan kepada mereka melalui pindahan ilmu lisan secara turun temurun. Hasil dari pemahaman dan kepercayaan tersebut, aktiviti kesenian seperti Makyung dan Mekmulung terbentuk dengan struktur yang disusun dan dijalankan dalam bentuk ritual. Ritual yang paling penting dan utama yang terdapat dalam kedua-dua bentuk persembahan ini adalah upacara buka panggung.Upacara ini dilakukan untuk menjamin keselamatan dan keharmonian persembahan. Namun begitu, terdapat beberapa perbezaan antara keduanya dalam menjalankan upacara buka panggung tersebut. Perkara ini demikian kerana perbezaan geografi, bahasa dan pengaruh budaya yang terdapat antara kedua tempat yang menjalankan upacara tersebut, iaitu kawasan Utara, dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Mekmulung misalnya, hanya menggunakan beberapa bahan seperti sirih pinang, kemenyan dan minyak kelapa, yang kemudiannya digunakan untuk memperasap alat muzik yang bakal digunakan dalam persembahan, manakala Makyung menggunakan lebih banyak bahan seperti seperti pulut kuning, beras kunyit, sirih pinang, kemenyan dan lain-lain lagi.

Bahan-bahan ini disediakan bertujuan untuk dijadikan persembahan kepada semangat dalam upacara berjamu. Dalam upacara buka panggung Makyung pula, selain dari berjamu terdapat satu lagi sesi yang dinamakan upacara sembah guru. Upacara ini dilakukan bertujuan untuk menunjukkan penghormatan kepada guru dan mengambil restu untuk membuat persembahan. Persembahan Mekmulung tidak mengamalkan upacara tersebut sebaliknya hanya memperasap setiap alat muzik dan menyapu minyak kelapa kepada gendang yang kemudiannya dijaga supaya tidak terlangkah untuk memastikan kelancaran persembahan, selain dari untuk menambah kemerduan paluan gendang. Selain daripada perbezaan tersebut, upacara buka panggung Mekmulung selalunya akan diadakan dihadapan orang ramai sebelum persembahan dimulakan, manakala Makyung, mengikut kepada amalan sesetengah pengamal atau pelakunya, akan mengadakan upacara buka panggung tersebut di kawasan yang tertutup dan bertujuan untuk dipersembahkan kepada semangat sahaja. Bahasa mentera dan nyanyian juga mempunyai perbezaan yang sangat jelas kerana kedua-dua bentuk persembahan ini berasal dari kawasan yang mempunyai dialek yang berbeza. Perbezaan mentera yang diamalkan pula selalunya akan berbeza mengikut kepada tempat berguru masing-masing. Namun begitu, Mekmulung dan Makyung tetap mempunyai tujuan yang hampir sama iaitu untuk meraikan musim menuai, sebagai satu jenis elemen pelepasan atau hiburan kepada masyarakat setempat ketika itu. Perbezaan ini lebih merupakan satu kepelbagaian sifat kesenian yang mengikut konteks kepercayaan yang terpisah oleh perbezaan fahaman, dan keperluan mengikut ruang yang dipengaruhi oleh keadaan geografi yang berbeza.

Anda mungkin juga menyukai