Anda di halaman 1dari 15

CSL2014

Antologi Harga Remaja


Puisi Moden 1




ANTOLOGI HARGA REMAJA
(PUISI MODEN)

TINGKATAN 4



CIKGU SAZALI BIN IBRAHIM
M.A (Bahasa Melayu)
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN
SMK LALOH, KUALA KRAI,
KELANTAN.






CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 2

PUISI MODEN
HARGA REMAJA
(Rahman Shaari)

Berapakah sebenarnya harga remaja
yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Penyajak menerangkan kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti
kehidupan.

Dengan apakah akan kaupenuhi
piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Penyajak mencetuskan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada
dipenuhi kelalaian atau digunakan untuk menuntut ilmu.

Remaja amat mahal
sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Usia remaja amat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan perjanjian. Remaja perlu
teguh pendirian, berani menghadapi cabaran dan gigih menuntut ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.

Remaja perlu mempunyai matlamat hidup untuk menjadi insan yang berguna.







CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 3

Tema

Ketinggian nilai usia remaja berdasarkan pengisian usia muda.
Huraian:
Zaman remaja ialah zaman paling berharga dan para remaja mesti mengisinya
dengan sesuatu yang baik. Remaja juga mesti berani berpendirian dan berilmu
pengetahuan serta mempunyai hala tuju.

Persoalan

Kehidupan remaja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Jati diri remaja.
Keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan.
Hala tuju hidup dalam diri remaja.

Nilai

Nilai keberanian.
Contoh:
Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.

Nilai kegigihan.
Contoh:
Remaja mestilah berusaha untuk menunut ilmu.

Nilai kebijaksanaan.
Contoh:
Remaja perlu bijak menentukan hala tuju dalam hidup mereka.

Pengajaran

Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.
Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.
Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri.









CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 4

PUISI MODEN
DI PERPUSTAKAAN
(Shafie Abu Bakar)

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala tunduk meneliti
Mata dan fikir bersebati.

Penyajak menggambarkan suasana di dalam perpustakaan sangat berbeza daripada
tempat-tempat lain. Perpustakaan amat kaya dengan pelbagai ilmu. Para
pengunjungnya pula tekun menelaah.

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman.

Penyajak berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil apabila berada di rak buku yang
mengandungi pelbagai jenis buku. Penyajak berasakan ilmu yang dimilikinya terlalu
sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu yang terdapat di perpustakaan dan
dirinya tidak mungkin dapat menguasai semua ilmu yang ada di dunia.






CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 5

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai

Penyajak berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dia mengetahui ilmu yang
ada tidak akan habis diteroka.

Tema

Perpustakaan merupakan gedung ilmu yang menjadi kunjungan pencinta ilmu.

Persoalan

Pelbagai khazanah ilmu yang terdapat di perpustakaan dan perlu dimanfaatkan.
Pencarian ilmu pengetahuan yang terlalu luas bidangnya.
Cinta akan ilmu pengetahuan.

Nilai

Nilai kerajinan.
Contohnya:
Rajin menuntut ilmu.

Nilai ketekunan.
Contohnya:
Tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan.

Nilai bertanggungjawab.
Contohnya:
Berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan dengan penuh tanggungjawab

Pengajaran

Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
Kita hendaklah mempunyai minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
Kita hendaklah memiliki kegigihan dalm usaha mengejar ilmu.
Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.




CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 6

PUISI MODEN
MENGINTAI RUANG INSAF
(Shukri Abdullah)

Semakin berat kejahilan
terpikul di bahu
semakin jauh perjalanan
memburu nur-Mu.

Penyajak berasakan bahawa semakin banyak dosa yang dilakukannya telah
menjauhkan dirinya daripada rahmat Allah s.w.t.

Sewaktu berlari di padang hidup
kerap kakiku tersadung selirat akar
tubuhku tercalar duri pidana
pada samar kejauhan
ancala mulia makin kabur
dan menghilang.

Nota:
Tersadung : melanggar dengan kaki, menyepak
Selirat : berjalin-jalin dan kusut keadaannya
Pidana : kejahatan, kesalahan jenayah
Ancala : gunung

Penyajak merupakan insan biasa yang seringkali melakukan kesilapan dalam hidup
sehinggakan sukar untuk dirinya mendapat cahaya kebenaran daripada Ilahi.

Sekadar songsong aksara kata
tanpa kembali ke tunjang makna,
Apakah dalam saraf khilaf
masih terbuka ruang untuk
dianugerahkan keinsafan?

Nota:
Aksara : huruf
Khilaf : silap, salah

Penyajak tidak yakin sekiranya ruang keinsafan akan wujud dalam dirinya.






CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 7

Rabb,
moga pintu taubat-Mu terbuka
sebelum api dari bara itu menyala.

Penyajak berharap agar pintu taubat masih terbuka dan dirinya terhindar daripada api
neraka.

Tema

Perasaan insaf seseorang atas kesilapan yang dilakukan dan bertekad untuk
bertaubat.

Persoalan

Fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup.
Keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan masa lalu.
Keinginan untuk kembali mendapat keampunan dan rahmat Allah.
Kesukaran mendapat rahmat Allah akibat berterusan melakukan dosa dalam hidup.

Nilai

Nilai keinsafan.
Contohnya:
Timbul perasaan insaf yang mendalam untuk bertaubat akibat kesalahan masa
lampau.

Nilai rasional.
Contohnya:
Penyajak mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukannya.

Nilai kesedaran.
Contohnya:
Penyajak sedar dirinya telah melakukan banyak kesalahan.

Pengajaran

Kita hendaklah mengamalkan ajaran Tuhan dan meninggalkan perkara-perkara yang
membawa kepada kejahatan.
Kita mestilah selalu bermuhasabah agar dapat membaiki diri.
Kita mestilah bertaubat kerana pintu taubat sentiasa terbuka.
Kita janganlah melakukan perkara-perkara mungkar yang menjauhkan diri kita
daripada nur dan keredaan Tuhan.


CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 8

PUISI MODEN
MAHSURI
(Zurinah Hassan)

(1)

Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci
Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

Sajak ini mengisahkan diri Mahsuri dan sumpahannya yang menjadi legenda di Pulau
Langkawi. Mahsuri digambarkan sebagai lambang wanita yang setia tetapi telah
difitnah akibat hasad dengki dan dendamnya terhadap orang yang menzalimi dirinya.
Sumpahan dan darah suci Mahsuri yang mengalir berwarna putih ketika dia dibunuh
telah menjadi legenda. Setelah tamatnya tempoh sumpahan Mahsuri tujuh keturunan,
kini Langkawi telah membangun dengan pesat dan maju.
















CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 9

(2)

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuatnya lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri
Langkawi tidak sebegini bererti.

Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.

Penyajak menzahirkan pertikaian beberapa pendapat tentang kewujudan Mahsuri
kerana ada orang mengatakan kisah Mahsuri hanyalah khayalan seorang seniman.
Namun realitinya kisah Mahsuri itu benar dan keunikan Mahsuri itu telah digarapkan
dalam karya sastera dan akhirnya menjadikan legenda itu lebih masyhur. Legenda
inilah yang menjadi batu loncatan kepada kemajuan Langkawi. Hasil karya sastera
telah memperkasa dan memartabatkan kesesasteraan tanah air tercinta.


Tema

Sejarah dan sastera yang begitu bernilai dan mampu menjana ekonomi negara.

Persoalan

Fitnah dalam kalangan masyarakat.
Contoh:
Mahsuri dihukum bunuh kesan fitnah yang menimpa dirinya.

Sumpah dan dendam.
Contoh:
Kezaliman yang berlaku ke atas diri Mahsuri telah menimbulkan dendam sehingga
terzahirnya sumpah Mahsuri tujuh keturunan.

Sastera dan sejarah.
Contoh:
Sejarah menjadi bukti sahih yang digarapkan menjadi hasil sastera yang bernilai.

Mengharumkan nama negara di persada dunia.
Contoh:
Legenda Mahsuri telah memasyhurkan nama Langkawi di serata dunia.
CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 10

Nilai

Menghargai.
Contoh:
Sejarah dan sastera perlu dihargai sebagai warisan negara yang bernilai tinggi.

Kesetiaan.
Contoh:
Mahsuri digambarkan sebagai seorang isteri yang sangat setia kepada suaminya.

Patriotisme.
Contoh:
Perasaan cinta akan sejarah dan sastera penting dalam pembinaan negara bangsa
yang berjaya.

Kreaviti penulis.
Contoh:
Penulis yang kreatif mampu mengolah bahan sejarah menjadi hasil sastera yang
indah.

Pengajaran

Kita hendaklah menghargai sejarah dan sastera kerana kedua-duanya mempunyai
kebaikannya kepada pembangunan negara.
Janganlah kita suka memfitnah seseorang tanpa usul periksa.
Kita hendaklah berfikiran kreatif dalam usaha merancang pembangunan negara.



















CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 11

PUISI MODEN
ADAT SEZAMAN
(Wan Nazihah Wan Abdullah)
TELAH KELUAR DALAM SPM JUN 2012
Peradaban zaman semakin berlalu
meninggalkan kesan mendalam
terlalu indah apabila dipandang
terlalu mulia apabila diselidik

Peradaban zaman semakin berlalu dan meninggalkan kesan kepada masyarakat.
Adat tradisi nenek moyang mempunyai nilai murni yang tinggi dari aspek keindahan
budayanya. Budaya tradisi ini mulia dan sesuai untuk dijadikan bahan kajian.

santun si dara jadi idaman
warak si teruna jadi ikatan
si tua tersenyum mesra
memandang teruna dara
sama cantik sama padan
berganding bersama
di singgahsana ...

Sikap gadis Timur yang penuh kesopanan dan sang teruna yang mempunyai
pegangan agama yang sangat sepadan untuk digandingkan bersama di atas pelamin.


Masa itu telah jauh
zaman sudah berlalu
santun sang dara
dan warak sang teruna telah lenyap
si tua berduka lara
memandang teruna dara
berganding tanpa silu
tanpa hormat
tanpa batasan
adat sezaman ditinggal jauh
adat agama dipandang remeh
adat kuning jadi ikutan.

Namun kini perubahan zaman telah memberi kesan dalam kehidupan masyarakat.
Kini gadis yang bersopan santun amat sedikit dan lelaki yang kuat pegangan agama
dan nilai ketimuran mulai lenyap ditelan arus globalisasi. Golongan tua kini berasa
malu dengan sikap anak muda yang suka berkelakuan tidak sopan di tempat awam
tanpa segan silu. Sehinggakan ada sesetengahnya yang melampaui batasan agama.


CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 12

Tema

Perubahan adat tradisi akibat arus modenisasi.

Persoalan

Adat ketimuran yang tinggi nilainya amat indah dan mulia dalam kehidupan
masyarakat terdahulu.
Pergaulan bebas dalam kalangan anak muda tanpa segan silu.
Perasaan kecewa golongan tua terhadap generasi muda apabila melihat budaya
kuning menjadi ikutan dan sanjungan.
Pegangan agama yang kuat dapat mengelakkan unsur-unsur negatif.

Nilai

Ketinggian budi bahasa
Contoh:
Pada masa dahulu anak gadis dan teruna mempunyai budi pekerti yang tinggi.

Ketakwaan
Contoh:
Ketakwaan pada ajaran agama mampu menghindarkan seseorang itu daripada
melakukan perbuatan yang melampaui batas agama.

Jati diri
Contoh:
Gadis yang mempunyai jati diri pasti akan menjulang adat ketimuran.

Pengajaran

Kita hendaklah mengikut adat dan berpegang teguh kepada ajaran agama.
Kita hendaklah mempunyai jati diri yang utuh.
Kita hendaklah bijak memilih pasangan.











CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 13

PUISI MODEN
TIBA WAKTUNYA
(Ghazali Lateh)

Angin musim semakin deras dan ganas
meniup tamadun ke era yang pantas
lihatlah siapa mereka yang memanjang langkah
merebut tunas-tunas harapan yang hijau
dari putik dan pucuk berembun kemilau.

Arus globalisasi telah berlaku dengan pantas meliputi pelbagai bidang. Oleh itu
manusia perlu merebut peluang yang ada selari dengan perubahan zaman.

Haruskan kita tunduk mengutip sisa-sisa
atau berada di sana meraih sejahtera?
Usah kautanya persoalan dilema
kerana ini bukan waktunya
untuk berhujah perlu tidaknya
dan masa pun tidak akan menanti
buat mewajar padah atau simpati.

Wanita tidak perlu memikirkan perkara-perkara yang bakal menimbulkan kekeliruan
untuk membuat pilihan kerana akan merugikan masa. Perkara yang lebih penting ialah
wanita perlu merebut peluang yang ada dalam usaha memajukan diri dan keluarga.

Wanita zaman siber
perlu mengacung minda ke tengah arena
suara dan kudratmu adalah pemangkin aspirasi
menuju wawasan era globalisasi.

Penyajak menyarankan agar wanita zaman siber berani meluahkan idea ke tengah
arena negara. Penglibatan wanita dalam pelbagai bidang mampu memacu negara
mencapai wawasan.

Lepaskan segala belenggu kedaifan
huraikan segala keliru kekusutan
wanita zaman ini perlu bangun berani
yakin diri tahan uji
tinggi pekerti anggun gerak-geri t
erunggul dalam segala segi.

Mereka perlu keluar daripada kongkongan kedaifan dan meleraikan semua yang
menglirukan. Mereka juga perlu berani, berkeyakinan tinggi, tabah di samping
menjaga budi pekerti serta hebat dalam semua bidang.

CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 14


Mari kita jana semua upaya
dalam menjulang citra seluruh wanita
dengan kudrat mental juga fizikal
berbekal iman dan semangat cekal
kita gerakkan kemampuan yang pukal.

Penyajak mengajak wanita supaya mengangkat martabat mereka dengan kekuatan
akal dan tenaga fizikal. Dengan berbekalkan keimanan dan kecekalan, penyajak
menyarankan wanita menggerakkan keupayaan maksimum.

Kini sudah tiba waktunya
kita bertahta di persada dunia.

Sekaranglah masanya untuk wanita berada di puncak pentas dunia.


Tema

Usaha mengangkat martabat wanita.

Persoalan

Persaingan manusia dalam mengejar kemajuan pada zaman moden.
Keyakinan diri dalam usaha mendapat kesenangan dalam hidup.
Peranan wanita dalam masyarakat.
Kepentingan wanita menjadi seorang yang berani.

Nilai

Keberanian.
Contoh:
Wanita kini perlu berani mengemukakan idea dan melibatkan diri dalam pelbagai
bidang untuk pembangunan negara.

Kecekalan.
Contoh:
Kecekalan penting untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.

Keyakinan diri.
Contoh:
Wanita kini perlu memiliki keyakinan diri dalam menempuh arus perdana dalam hidup.


CSL2014
Antologi Harga Remaja
Puisi Moden 15

Berpandangan jauh.
Contoh:
Setiap individu perlu berpandangan jauh untuk mencapai matlamat hidup.

Pengajaran

Wanita hendaklah berani menghadapi cabaran dalam zaman moden ini demi kejayaan
diri sendiri.
Kita mestilah cekal dalam meniti kehidupan demi kesejahteraan.
Wanita mestilah menjaga iman dan adab sopan agar terpelihara daripada godaan
dunia.
Wanita hendaklah berusaha mengangkat martabat mereka dengan berbekalkan
kekuatan mental dan fizikal.

Anda mungkin juga menyukai