Anda di halaman 1dari 6

AKADEMI SENI, BUDAYA DAN WARISAN MALAYSIA

KURSUS Cereka Melayu Moden

NAMA PENSYARAH Encik Mohd Ridzuan Harun

TUGASAN Ulasan Buku Perempuan Rebel oleh Syuhada Salleh

FAKULTI Penulisan Kreatif Dan Filem

NAMA PELAJAR Aqila Izzaty Binti Mohamad Asri

NO MATRIK 23243033
Judul : Perempuan Rebel

Pengarang : Syuhada Salleh

Penerbit : Fufu Terbit

Halaman : 103

Harga : RM20

Perempuan Rebel Bukan Karya Feminisme

Semegah tajuk buku Perempuan Rebel, karya ini mengumpulkan 14 cerpen yang menyantun soal

cinta. Rebel di sini bukan membawa erti menentang disiplin yang ketat seperti maksud yang

terkandung oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Namun, lebih kuat maknanya yang menjurus

kepada kecintaan yang sering dipandang enteng oleh kebanyakan masyarakat. Perempuan pula

merujuk kepada simbol manusia yang penuh dengan emosi yang mampu digarap kekuatannya

untuk menjalani kehidupan pada zaman yang kehilangan jati diri.

Himpunan cerpen ini pernah disiarkan dalam akhbar sejak tahun 2012 sehingga tahun 2015 dan

pernah membawa kepada kemenangan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Antara media massa

yang pernah menyiarkan karya indah Syuhada Salleh adalah Tunas Cipta, Berita Harian dan

Mingguan Malaysia. Karya ini dimuatkan dalam naskah yang mempunyai 103 mukasurat.

Kemudian, syarikat Fufu Terbit mula cetak pada 1 September 2016.


Syuhada Salleh, penulis muda yang berupaya mengangkat isu yang berlaku sekitarnya dengan

susunan kata yang bermakna. Gadis kelahiran Kelantan ini dilahirkan pada tahun 1990. Beliau

merupakan graduan pendidikan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Bahasa Melayu di

Universiti Malaya pada tahun 2014. Menurut biodata yang terkandung dalam naskah Perempuan

rebel ini, Syuhada Salleh mula mencambah minat dalam penulisan sejak di bangku sekolah

menengah. Ketika beliau berada pada tahun pertama di Universiti Malaya pada tahun 2011,

karya pertama beliau pernah disiarkan di media massa bercetak. Cerpen itu diberi tajuk Pada

Berbuah, Pagar Mereput. Bermula dengan karya itu, beliau terus menghasilkan karya dan

sekaligus meningkatkan kualiti sebagai penulis.

Tamat sahaja pengajian di universiti tempatan, beliau memulakan kerjaya dalam bidang

suntingan di syarikat PEP Publication. Setelah mengutip beberapa pengalaman, beliau

meneruskan kerjaya di syarikat yang lebih terkemuka iaitu Utusan Publications & Distributors

Sdn Bhd. Selanjutnya, Syuhada Salleh meneruskan untuk mencari pengalaman di syarikat

penerbit Fufu Terbit. Beliau meluaskan kemahirannya sebagai penulis kreatif di samping menjadi

seorang penyunting di syarikat Kadokawa Gempak Starz. Kini, beliau merupakan penulis

sepenuh masa. Pada masa yang sama, Syuhada Salleh menawarkan khidmat penyuntingan secara

bebas terutama bersama penerbit The Biblio Press.

Jarang sekali membaca karya tanpa mengenal penulis terlebih dahulu. Namun, tajuk dan blurb

pada kulit buku sudah cukup untuk menarik perhatian. Petikan blurb ini merupakan cerpen

pertama yang dimuatkan dalam buku Perempuan Rebel. Kisah wanita yang ditindas oleh

suaminya sendiri.
“Perempuan boleh mengangkat dirinya di mata masyarakat melalui tiga perkara.

Pertama, agamanya. Kedua, harga dirinya dan ketiga, kebijaksanaannya. Cinta,


kasih sayang, ilmu, ketabahan dan kekuatan adalah dalam lingkungan ketiga-tiga
perkara itu. Kita kena bangun dan mencintai diri sendiri, Sarah.

Melaluinya kita akan kenal di mana adanya kebahagiaan."

Penulis membawa soal kemandirian yang seharusnya dimiliki semua orang, baik lelaki mahupun

wanita. Hampir keseluruhan cerpen yang dikarang memikul tema ketulusan cinta. Bermula mesej

tentang keutamaan dalam mencintai dan mempercayai diri dari terus dibuli. Sehinggalah

membawa kepada tema cinta akan negara dalam cerpen Kad Biru Untuk Cikgu Kartini yang

mewujudkan semangat nasionalisme dalam cerpen Rosli Doyby.

Begitu juga dengan cinta yang tidak asing tentang cinta lagi iaitu cinta kepada sang ibu dalam

karya Utusan Riwayat Cinta. Karya ini terpilih sebagai hadiah penghargaan oleh sayembara

sastera Malaysia anjuran Kumpulan Utusan bagi kategori Cerpen Remaja. Karya ini disiarkan

dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 28 Jun 2015.

Antara petikan yang menghidupkan rasa yang mendalam dalam cerpen ini berbunyi begini.

“Cinta itu ada di mana-mana. Ya, kali ini aku sedang menikmati udara yang
mengandungi cinta. Aku memejamkan mata seketika. Benar kata ibu dalam tinta
diarinya, Ramadan di sini meriah. Sebagaimana Allah mencintai hambaNya yang
diukur pada beza ketaqwaan, begitulah aku melihat cintaNya yang juga utuh di
bumi ini.

Alhamdulillah. Ucapku di dalam hati. Inilah masjid yang sering kali ditatap oleh
ibu dari jauh. Sebelum dia memeluk Islam. Ternyata lukisan takdir itu terlalu
seni. Mungkin ketika itu ibu mempunyai cita-cita yang dia sendiri tidak sedari
ertinya. Cita-cita agar dititip sebuah nur. Alangkah ayah beruntung dipilih Allah
untuk melunaskan amanah itu. Wajah ayah yang kali terakhir ku tatap sebelum
aku berangkat ke sini, bermain di ingatan. Ayah mencintai ibu kerana dia
mencintai Tuhannya.”
Jelas menurut petikan ini, penulis terus mengangkat tema ketulusan cinta. Khusus dalam cerpen

ini tentang cinta yang bersangkut paut antara satu sama lain. Cinta seorang anak kepada ibunya

yang telah pergi meninggalkan dirinya. Cinta makhluk akan keindahan Islam lalu membawanya

kembali mengenal Tuhan Yang Esa. Berpaksikan cinta kepada Tuhan, suaminya turut menyintai

isterinya.

Setiap cerpen yang dibaca umpama menelan coklat panas pada musim hujan. Cukup nyaman dan

memuaskan diri. Malah, seringkas cerpen yang terkandung kerap menawarkan coklat panas itu.

Hampir setiap kali tamat sebuah karya, kuras ini perlu ditulis atau ditanda sesuatu. Penghadaman

karya perlu diambil masa sebaiknya agar apa yang terkandung dalam mesej mampu digarap

sebaiknya. Buat pedoman hidup terutama masyarakat muda.

Meski nipis, himpunan cerpen ini bukan sekadar hiburan. Bahasanya yang indah membuatkan

setiap pembaca seharusnya menikmati keenakan isinya. Persoalan yang dipertaruhkan, bukan

lambakan harapan kosong, namun diisi dengan kekayaan budaya Melayu yang semakin ditelan

zaman. Malah, apabila membaca cerpen ini sebagai pelajar penulisan, cara penghadaman karya

seperti lebih enak untuk dinikmati.

Kiasannya cukup mudah, namun membawa semula tradisi yang semakin tenggelam dek zaman

seperti kisah Nik Soh Wayang yang menceritakan tentang kesenian tradisional, iaitu wayang

kulit. Kehilangan Tok Dalang Deris seumpama memberi bayangan awal, sekiranya seni budaya

tidak lagi mendapat perhatian, terkatuplah seni warisan berzaman ini.


Jika ada satu hal yang mampu dikemukakan sebagai penambahbaikan, adalah suara penulis

sendiri terhadap karyanya. Kompilasi cerpen ini adalah karya penulis sejak 2012. Pastinya wujud

kefahaman dan perspektif yang baharu apabila buku ini dicetak. Mungkin tambahan ulasan boleh

dimuatkan dalam naskah edisi kemaskini oleh penulis. Antara naskah yang boleh dijadikan

contoh adalah karya Mawar Shafie yang bertajuk Narasi Penciptaan Cerpen : Inilah Karangan

Saya. Usaha ini akan menambah nilai sesebuah buku sekaligus membantu penulis baharu yang

mahu menajamkan kemahiran dalam penulisan cerpen.

Cerpen ini sesuai untuk diketengahkan kepada masyarakat muda. Faktor utama kerana penulis

ini mengetengahkan soal kebudayaan. Cereka asalnya bersifat mendidik dan menghiburkan.

Tulisan yang baik adalah karya yang mampu meninggalkan kesan kepada pembaca sekaligus

mewujudkan sebuah percikan untuk melakukan sesuatu. Boleh jadi, karya nipis mampu memberi

perikan awal dan seterusnya membentuk sebuah fikiran dan tindakan yang mampu beri manfaat

buat diri dan orang sekeliling.

Anda mungkin juga menyukai