Anda di halaman 1dari 50

USAHA-USAHA INDIVIDU (ANDA) MEMUPUK AMALAN MEMBACA

Dasar langit terbuka dan dunia tanpa sempadan hari ini telah menyebabkan remaja hilang keyakinan diri
dan ketahanan jiwa sehingga terdorong melakukan pelbagai aktiviti negatif seperti berpeleseran, membuli
dan vandalisme. Mengapakah remaja lebih gemar melakukan aktiviti yang tidak mendatangkan sebarang
faedah kepada mereka? Tidak pernahkah terdetik dalam sanubari mereka bahawa terdapat pelbagai
aktiviti berfaedah yang boleh mereka lakukan khususnya membaca? Hal ini demikian kerana, membaca
akan menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu pengetahuan. Namun begitu, berdasarkan
kajian, rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun berbanding bilangan buku yang dibaca
oleh rakyat Jepun. Justeru, kita perlulah mencari formula terbaik persis mutiara kata yang buruk dibuang
dengan runding, yang baik ditarik dengan muafakat untuk menjadikan rakyat Malaysia gemar membaca.
Oleh itu, sebagai seorang pelajar dan remaja, kita perlulah mencari inisiatif dan cara yang efektif untuk
menjadikan amalan membaca itu amalan hidup.

Prakarsa pertama untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup ialah, saya perlulah rajin pergi ke
perpustakaan. Marcapada, Malaysia tidak pernah ketandusan perpustakaan malah di negara ini terdapat
pelbagai jenis perpustakaan, tamsilnya perpustakaan sekolah, perpustakaan awam dan perpustakaan
bergerak. Di perpustakaan yang dikunjungi, saya dapat membaca dan meminjam pelbagai jenis buku
untuk meningkatkan ilmu pengetahuan. Saya akan sentiasa berusaha dan rajin ke perpustakaan untuk
membaca walaupun memaklumi bahawa perpustakaan yang dipenuhi dengan buku itu ibarat lautan yang
terbentang luas yang tidak mungkin dapat diteroka. Walaupun sekadar membaca sebuah buku seminggu,
dapat saya rasakan ilmu yang diperoleh amat besar nilainya. Sementara itu, saya juga akan melakukan
lawatan sambil belajar ke Perpustakaan Negara atau perpustakaan di universiti-universiti terkemuka di
Malaysia. Selain dapat menyemai minat membaca dalam diri, saya juga dapat melihat kecanggihan
teknologi yang terdapat di situ bertepatan dengan kata peribahasa sambil menyelam minum air. Ternyata
pasti, dengan bersikap rajin mengunjungi perpustakaan saya akan sentiasa terdorong untuk menjadikan
membaca sebagai amalan hidup.

Peribahasa Melayu yang menyatakan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan, amat bersesuaian
untuk saya jadikan pegangan dalam usaha memupuk amalan membaca. Kata-kata hikmat di atas akan
diperjelaskan serta dibahaskan dari perspektif menyediakan sudut bacaan di rumah atau bilik sendiri.
Suka saya tegaskan bahawa perubahan diri sendiri merupakan cara yang paling proaktif dan mujarab
untuk menjadikan membaca sebagai amalan dalam kehidupan. Demi memupuk budaya membaca dalam
jiwa saya, saya perlu menyediakan sudut bacaan atau perpustakaan mini di rumah untuk kegunaan semua
ahli keluarga. Situasi ini akan menggalakkan serta mendorong kami sekeluarga supaya berjinak-jinak
dengan bidang ilmu supaya amalan membaca diterapkan dalam minda setiap anggota keluarga.
Sementalahan itu, saya perlu membeli pelbagai judul buku yang menarik dan sesuai untuk dibaca di
samping mengamalkan budaya bed story sebelum tidur. Neville Black, seorang ahli falsafah Barat,
berpendapat bahawa ilmu pengetahuan adalah aset yang paling dominan sekiranya kita ingin bersaing
dengan pihak lain pada zaman globalisasi ini. Atas kedahagaan menuntut ilmu pengetahuan, saya akan
membaca dan terus membaca sehingga menjadi seorang modal insan yang berminda kelas pertama.
Berdasarkan perbincangan di atas, pada hemat saya, saya perlu memupuk amalan membaca dalam diri
sekali gus menjadi suri teladan kepada adik-adik saya.

Selain itu, saya juga boleh ikut serta secara aktif dalam program NILAM atau Nadi Ilmu Amalan
Membaca. Hal ini kerana, NILAM berfungsi untuk menarik minat para pelajar membaca dalam kuantiti
yang banyak. Melalui program ini, saya perlu membaca dua versi buku iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa
Inggeris dan kemudiannya direkodkan dalam buku NILAM. Pelajar yang membaca dalam kuantiti yang
banyak akan diberi penghargaan bermula daripada gangsa, perak, emas dan seterusnya nilam. Malah,
pelajar yang aktif juga boleh mewakili sekolah ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat daerah,
negeri dan kebangsaan. Dalam program ini juga terdapat tahap Rakan Pembaca. Rakan Pembaca
berfungsi untuk menarik minat pelajar lain dan seterusnya berkongsi ilmu dengan mereka. Kesannya
pelajar lain juga akan turut sama menjadikan amalan membaca sebagai satu keperluan dalam hidup
mereka. Apa yang pasti, segala keinginan untuk meningkatkan jumlah bahan bacaan yang dibaca perlu
lahir daripada diri saya tanpa wujud paksaan daripada pihak lain. Dalam hal ini, saya amat berpegang
kepada ayat al-Quran yang menyatakan bahawa Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sekiranya
seseorang itu sendiri tidak mahu mengubahnya.

Sementara itu, saya juga boleh pergi ke pameran buku, ekspo dan kedai buku. Hal ini kerana, saya akan
mengetahui pelbagai klasifikasi buku di sini. Misalnya, pameran buku yang dianjurkan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pameran Buku Kebangsaan. Dalam pameran-pameran seperti inilah saya
dapat membeli buku dengan harga yang murah dan berpatutan dan membaca buku secara percuma di
tempat-tempat yang disediakan di pameran tersebut. Terdapat juga ruang-ruang khas yang disediakan di
sudut maklumat di pameran atau ekspo tersebut mengenai sinopsisi buku-buku yang dijual. Dengan ini,
saya dapat membaca secara ringkas tentang buku-buku tersebut sebelum membuat pilihan untuk
membelinya. Justeru, saya bukan sahaja dapat membaca secara percuma, malah dapat menjimatkan masa,
kos dan tenaga. Dengan mengunjungi pameran-pameran, ekspo atau kedai buku, saya akan mengenali
lebih ramai rakan yang berkongsi minat yang sama iaitu membaca. Peribahasa jauh perjalanan luas
pemandangan amat bersesuaian dengan perkara dan situasi yang saya bincangkan di atas.

Seterusnya, saya juga boleh membuat langganan buku pada setiap bulan. Buku-buku atau majalah yang
dilanggan bukanlah sekadar berunsurkan tarbiah sahaja, tetapi juga bercorak santai seperti Dewan Siswa,
majalah i-sihat dan Solusi. Di manakah saya boleh mendapatkan buku atau majalah tersebut? Saya boleh
melanggannya melalui internet atau meminta bantuan guru di sekolah untuk melanggannya. Impaknya,
saya akan sentiasa membaca pada setiap masa, menjimatkan masa dan dapat mengetahui perkembangan
terkini apabila melanggan buku pada setiap bulan. Dalam hal ini, saya akan menjadikan individu yang
gemar membaca dan sentiasa dekat dengan buku sebagai idola. Sebagai contoh, A.Samad Said yang
terkenal dengan karya puisinya, Profesor Ungku Aziz, Mary Renault dengan buku-buku sejarahnya dan
penulis novel tersohor, Sharifah Abu Salem. Apabila saya menjadikan mereka sebagai idola, saya akan
sentiasa terdorong untuk melanggan pelagai buku di pasaran sekali gus menjadikan membaca sebagai
rutin hidup saya.

Memang tidak dapat disangkalkan bahawa negara kita sedang mengecapi perkembangan dan kemajuan
dengan menongkah arus globalisasi, liberalisasi dan duniawi yang melanda seantero dunia. Oleh hal yang
demikian, untuk meneruskan perjuangan kita merealisasikan hasrat membentuk negara pembaca teras
negara maju. Saya juga berperanan penting dalam menyahut cabaran negara supaya menjadi seorang
rakyat yang minat membaca. Pada dasarnya, media massa sebagai arus perdana yang berpengaruh sama
ada media cetak atau media elektronik sentiasa mengadakan pertandingan atau aktiviti malahan kempen
kesedaran di seluruh pelosok negara untuk memupuk minat membaca dalam masyarakat. Oleh hal yang
demikian, saya perlu menyertai aktiviti seperti sayembara, menulis esei, syarahan dan sebagainya untuk
menanam tabiat membaca. Tidak ketinggalan juga, saya dapat mengajak rakan-rakan sebaya ataupun ahli
keluarga untuk menyertai kempen Amalan Membaca Nadi Ilmu Pengetahuan bersama-sama. Hal ini
diibaratkan sambil menyelam minum air dan serampang dua mata kerana dapat menjalinkan hubungan
silaturahim serta mendapat info terkini tentang amalan membaca.

Konklusinya, remaja perlulah berusaha memajukan diri untuk jaminan masa hadapan. Hal ini kerana,
remaja adalah pewaris tampuk kepimpinan negara. Remaja merupakan aset negara kerana bertepatan
dengan kata-kata pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Janganlah dibiarkan usia remaja
dipenuhi dengan perkara yang sia-sia. Kontradiksinya, penuhilah masa remaja kita dengan aktiviti yang
berfaedah seperti amalan membaca. Remaja perlu berpegang teguh dan jitu dengan slogan Membaca
Jambatan Ilmu dan Rakyat Membaca, Bangsa Berjaya seperti yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri
kita, Dato Seri Najib bin Abdul Razak. Generasi berpengetahuan merupakan tunjang untuk mencapai
wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam tempoh lapan tahun mendatang.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:52 1 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PUISI TRADISIONAL DALAM
KALANGAN MASYARAKAT

Selari dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, kini Malaysia sedang
bergerak seiring dengan arus globalisasi yang membawa kepada kemajuan pembangunan dan
perubahan besar dalam masyarakat. Rentetan dengan perkembangan tersebut, masyarakat hari ini
lebih terdedah kepada alam siber sehingga memberikan kesan kepada komunikasi serta cara
berinteraksi dalam masyarakat. Lantaran itu juga, masyarakat seakan-akan lupa akan
pelbagai puisi tradisional yang merupakan warisan pusaka masyarakat silam. Sebagi contoh,
amalan berpantun mula dianggap remeh, dipandang enteng serta mula disisihkan daripada arus
perdana kehidupan masyarakat. Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua pihak perlu
mencari pendekatan yang pragmatik lagi efektif bagi mempopularkan puisi tradisional
bersesuaian dengan kata peribahasa kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat
sagunya. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan puisi tradisional patut diusahakan
secara bersungguh-sungguh bagi memastikan genre tersebut tidak terkubur begitu sahaja.

Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan dan
mempopularkan puisi tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak mereka.
Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak yang
sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan puisi tradisional kepada anak-anak mereka
sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mereka boleh
membelikan anak-anak, buku-buku berkaitan puisi tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang
tahun ataupun sebagai hadiah kerana cemerlang dalam akademik di sekolah. Sebagai contoh, ibu
bapa boleh menganjurkan pertandingan melafazkan pantun melalui program tertentu seperti Hari
Keluarga bagi menghidupkan lagi budaya berpantun dalam kehidupan harian. Inisiatif ini dapat
memberikan peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk cuba
mencipta pantun atau melafazkan pantun. Jelaslah bahawa melalui usaha tersebut secara tidak
langsung akan mempopularkan genre puisi tradisional ini serta mengeratkan lagi hubungan
silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata peribahasa sambil menyelam minum air.

Selain itu, usaha pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia yang memasukkan
puisi tradisional dalam Komsas Bahasa Melayu di sekolah perlu dipuji. Rentetan daripada itu,
pihak sekolah hendaklah menubuhkan kelab atau persatuan yang memberi penekanan kepada
pelbagai puisi tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan Budaya Bangsa, pelajar
boleh belajar tentang cara mencipta dan melafazkan pantun, bersyair serta berseloka. Setelah
mengetahui secara mendalam tentang pelbagai puisi tradisional, pelajar akan lebih rasa berminat
untuk mempersembahkannya. Usaha menanam minat puisi tradisonal terhadap generasi muda
penting kerana mereka merupakan akar tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa
serta mewarnai masyarakat masa hadapan. Penglibatan pelajar secara langsung dalam pelbagai
puisi tradisional nescaya dapat mempopularkan genre tersebut di Malaysia daripada membiarkan
seni budaya kita terus pupus dan lenyap begitu sahaja. Bertepatan dengan kata peribahasa, tak
kenal maka tak cinta, maka komitmen pihak sekolah amat dituntut, agar putera-puteri yang
sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif mempopularkan puisi tradisional di samping
mengukuhkan kecintaan mereka terhadap budaya bangsa.

Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai puisi tradisional merupakan satu kaedah
yang ampuh untuk mempopularkan genre tersebut di negara kita. Kempen ini perlu dijalankan
oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan secara terancang dan berkesan
dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak
media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan puisi
tradisional di negara kita. Selain memperkenalkan sejarah dan cara melafazkan sesuatu puisi
tradisional, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan
memelihara puisi tradisional kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti harus dianjurkan sempena
kempen tersebut, seperti peraduan mencipta dan melafazkan pantun, syair, gurindam dan
seloka. Melalui proses tersebut, genre-genre tersebut boleh menjadi lebih popular di merata
tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Jelas bahawa dengan
kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti puisi tradisional semakin
popular khususnya kepada generasi baru.

Pertukaran budaya dengan negara-negara jiran misalnya, melalui ASEAN merupakan inisiatif
lain yang boleh dilakukan bagi mempopularkan puisi tradisional. Hal ini demikian kerana
terdapat banyak persamaan budaya dalam kalangan penduduk negara ASEAN seperti Malaysia,
Singapura, Indonesia dan Brunei yang boleh dikongsi bersama. Apabila program tersebut
dilaksanakan maka pelajar dari negara-negara Asean dan Negara luar yang lain yang datang ke
Malaysia, akan berpeluang mengenali lebih lanjut tentang puisi tradisional. Apabila mereka
pulang ke negara mereka kelak,mereka akan mempraktikkan dengan rakan-rakan serta ahli
keluarga mereka. Usaha ini secara tidak langsung membolehkan nama Malaysia akan masyhur di
persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh berbangga kerana rakyat Malaysia masih
memiliki pelbagai puisi tradisional walaupun menghadapi arus kemodenan. Hal ini penting agar
puisi tradisional tetap kekal terpelihara seperti kata peribahasa tak lapuk dek hujan,tak lekang
dek panas. Perkara yang sama berlaku apabila pelancong asing melancong ke Malaysia dan
menginap di desa-desa. Mereka akan diperdengarkan pelbagai jenis puisi tradisional yang penuh
keunikan. Diharapkan langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus
berminat dengan acara-acara yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas
bahawa, pertukaran budaya antara negara mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan
mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang
agak praktikal untuk mempopularkan puisi tradisional kepada masyarakat di Malaysia. Melalui
pertandingan tersebut, semua pihak yang mengambil bahagian akan saling bertukar pengalaman
dan mengukuhkan ukhuwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai fitrah manusia,
segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu. Agensi-agensi
kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh bergabung dengan
sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan pertandingan melafazkan puisi
tradisional di peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa. Dalam
konteks ini, contoh yang terbaik ialah Pesta Pantun Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian
Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka yang menawarkan Piala Sirih
Pulang ke Gagang dapat mencungkil bakat dan kreativiti pelajar dalam mencipta dan melafazkan
pantun.Terbukti di sini, penganjuran pertandingan sebegini berjaya memperkenalkan puisi
tradisional dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada
pelancong dalam dan luar negara.

Kesimpulannya, semua bangsa tidak sepatutnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk
puisi tradisional lenyap ditelan zaman kerana warisan tersebut adalah khazanah dunia yang
begitu tinggi nilainya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah ke arah negara maju pada
tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi seperti kacang lupakan kulit yang mengabaikan
peninggalan warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap pelbagai pihak tetap teguh
memelihara khazanah budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar
meminjam warisan bangsa yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Oleh itu,
setiap anak watan di bumi tercinta ini perlu menyahut cabaran dan mempunyai semangat habis
kapak berganti beliung untuk merealisasikan impian tersebut.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:50 0 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
USAHA- USAHA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

Bertepatan dengan peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, Malaysia kini berhadapan
dengan arus globalisasi dan modenisasi yang membawa kepada pembangunan yang
pesat. Berkait rapat dengan perkembangan tersebut, generasi muda hari ini lebih terdedah
kepada alam siber dan permainan komputer sehingga melupakan permainan tradisional yang
merupakan warisan pusaka sejak duhulu lagi. Lantaran itu, permainan tradisional turut
dipandang enteng serta mula tersisih daripada arus perdana kehidupan masyarakat. Sebagai
individu, adakah kita sanggup membiarkan khazanah budaya bangsa kita lenyap begitu sahaja
dek peredaran zaman yang berlaku? Mahukah kita membiarkan anak watan
berterusan meminggirkan budaya mereka? Dalam hal ini, sebelum nasi menjadi bubur, semua
pihak perlu mencari pendekatan yang pragmatik bagi meninggikan martabat permainan
tradisional di negara kita bersesuaian dengan kata peribahasa di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan. Prakarsa yang berkesan untuk mempopularkan permainan tradisional ini patut diusahakan
secara bersungguh-sungguh bagi mengangkat status permainan tradisional di nusa tercinta ini.


Pihak ibu bapa dianggap pihak yang paling dominan berperanan memperkenalkan
serta mempopularkan permainan tradisional kepada generasi muda khususnya kepada anak-anak
mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak
yang sedang membesar. Ibu bapa perlu mendedahkan permainan tradisional kepada anak-anak
mereka sejak kecil bertepatan dengan peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya bagi
tujuan memupuk minat bermain permainan tradisional. Mereka boleh membelikan anak-anak
mereka permainan tradisional sebagai hadiah sempena hari ulang tahun ataupun sebagai hadiah
kerana pencapaian cemerlang dalam akademik di sekolah. Ibu bapa juga boleh menganjurkan
pertandingan permainan tradisional melalui Hari Keluarga yang diadakan sama ada dilakukan
secara bersendirian atau bersama dengan rakan-rakan sekerja. Inisiatif ini dapat memberikan
peluang kepada seluruh ahli keluarga yang mengambil bahagian untuk mencuba bermain
permainan tradisional seperti congkak, menaikkan layang-layang dan bermain gasing. Jelas
bahawa melalui usaha tersebut secara tidak langsung akan mempopularkan sesuatu permainan
tradisional serta mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga, bak kata
peribahasa sambil menyelam minum air.


Selain itu, pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia mestilah menjadikan
permainan tradisional sebagai satu daripada kegiatan kokurikulum di sekolah. Rentetan daripada
itu, pihak sekolah hendaklah digalakkan menubuhkan kelab atau persatuan yang bercirikan
permainan tradisional. Dengan berpayungkan kelab atau persatuan permainan tradisional seperti
Kelab Budaya Bangsa, pelajar boleh belajar tentang cara membuat, cara bermain dan mengetahui
syarat-syarat bermain sesuatu permainan tradisional. Setelah mengetahui secara mendalam
sesuatu permainan itu, pelajar akan berminat untuk melibatkan diri dalam permainan tradisional
tersebut. Usaha menanam minat terhadap generasi muda penting kerana mereka merupakan akar
tunjang yang bakal mewarisi warisan pusaka bangsa serta mewarnai masyarakat masa hadapan,
justeru, penglibatan pelajar secara langsung dalam permainan tradisional nescaya dapat
mempopularkan permainan tersebut di Malaysia daripada pupus dan lenyap begitu sahaja.
Bertepatan dengan kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta, maka iltizam pihak sekolah amat
dituntut agar putera-puteri yang sedang berjuang di medan ilmu dapat bergiat aktif
mempopularkan permainan tradisional di samping mengurangkan sedikit tekanan menghadapi
peperiksaan.


Seterusnya, usaha mengadakan pelbagai kempen cintai permainan tradisional merupakan satu
kaedah yang ampuh untuk mempopularkan permainan tradisional di negara kita. Kempen ini
perlu dijalankan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara secara terancang dan berkesan
dengan kerjasama pihak media cetak dan media elektronik seperti akhbar dan televisyen. Pihak
media massa perlu menyiarkan rencana dan dokumentari untuk memperkenalkan permainan
tradisional di negara kita seperti wau, gasing, congkak dan lain-lain. Selain memperkenalkan
sejarah dan cara bermain, pihak media perlu memberikan kesedaran kepada orang ramai akan
kepentingan permainan tradisional kepada masyarakat dan negara. Pelbagai aktiviti harus
dianjurkan sempena kempen tersebut, seperti peraduan mengarang, pameran, peraduan melukius
poster dan lain-lain lagi. Melalui proses tersebut, permainan tradisional boleh menjadi lebih
popular di merata-rata tempat bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata.
Jelas bahawa dengan kerjasama padu yang dilakukan tanpa mengenal rasa jemu sudah pasti
permainan tradisional menjadi semakin popular khususnya kepada generasi baru.


Pertukaran budaya dengan negara luar merupakan inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi
mempopularkan permainan tradisional. Apabila program tersebut dilaksanakan maka pelajar dari
luar negara yang datang ke Malaysia akan berpeluang bermain pelbagai permainan tradisional di
sini. Apabila mereka pulang ke negara mereka kelak, mereka akan mengajar rakan-rakan dan
ahli keluarga permainan yang pernah mereka mainkan di sini. Usaha ini secara tidak langsung
membolehkan nama Malaysia akan masyhur di persada antarabangsa dan rakyat Malaysia boleh
berbangga kerana Malaysia masih mempunyai permainan tradisional yang tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas. Perkara yang sama boleh dilakukan oleh agensi pelancongan yang
bertindak sebagai medium penyebar maklumat untuk memperkenalkan permainan tradisional
kepada pelancong asing. Lantaran itu, agensi pelancongan boleh mengurus aktiviti seperti
bermain gasing, galah panjang dan teng-teng di tempat penginapan pelancong asing. Diharapkan
langkah ini akan membuatkan para pelancong terhibur sekali gus berminat dengan acara-acara
yang disediakan dan ingin datang kembali ke Malaysia. Jelas bahawa, pertukaran budaya antara
negara dan peranan agensi pelancongan mampu menjadi platform dalam usaha kerajaan
mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat luar.


Tidak disangkalkan lagi, penganjuran pelbagai bentuk pertandingan merupakan inisiatif yang
agak praktikal untuk mempopularkan permainan tradisional kepada masyarakat di Malaysia.
Melalui pertandingan yang diadakan semua pihak yang mengambil bahagian akan saling
bertukar pengalaman dan mengukuhkan ukhwah antara mereka. Hal ini demikian kerana sebagai
fitrah manusia, segelintir masyarakat memang suka bertanding untuk mendapatkan sesuatu.
Agensi-agensi kerajaan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) boleh
bergabung dengan sektor korporat seperti Proton, TM Net dan Maxis menganjurkan
pertandingan permainan tradisional dari peringkat sekolah, daerah, kebangsaan hinggalah ke
peringkat antarabangsa. Dalam konteks ini, contoh yang terbaik ialah penganjuran Festival
Layang-layang Antarabangsa di Pasir Gudang , Johor oleh kerajaan negeri Johor dengan
kerjasama pelbagai badan korporat. Berdasarkan rekod yang ada, pertandingan layang-layang
tersebut berjaya menarik peminat-peminat permainan layang-layang dari seluruh dunia untuk
turut mengambil bahagian. Terbukti di sini, penganjuran pelbagai pertandingan berjaya
memperkenalkan permainan tradisional sekali gus mempromosikan industri pelancongan kepada
pelancong dalam dan luar negara.


Konklusinya, semua etnik tidak sewajarnya membiarkan khazanah budaya mereka termasuk
permainan tradisional terus lenyap di muka bumi kerana warisan tersebut ialah khazanah dunia
yang tidak ternilai harganya. Walaupun Malaysia sedang mengorak langkah serta bersedia
melakukan pecutan akhir ke arah negara maju pada tahun 2020, kita tidak seharusnya menjadi
seperti kacang lupakan kulit yang melupakan asal usul dengan mengabaikan peninggalan
warisan nenek moyang kita. Kita amat berharap semua pihak tetap teguh memelihara khazanah
budaya ini pada setiap masa kerana generasi terkini hanya sekadar meminjam warisan bangsa
yang mungkin menjadi sanjungan generasi mendatang. Suka ditegaskan di sini bahawa setiap
anak watan Malaysia perlu menyahut cabaran dan menghadapi semangat habis kapak berganti
beliung untuk merealisasikan impian negara tercinta ke arah Menjana Transformasi Rakyat
Cemerlang. Malaysia Boleh!


Posted by Subbash Ekambaram at 23:49 11 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

Teruja kenari di tepi pulasan,
Pegun nak dara gemersik suara:
Remaja kini tinggi wawasan,
Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan
sesebuah negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada
masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang
terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan
yang mampu mendukung aspirasi negara.

Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang
diperlukan di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh
dicontohi. Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai
moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika
bertutur,berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati
orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan
membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawasan
juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata
peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak pernah dilupakan
oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah
agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja
berwawasan.

Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai
pengetahuan yang tinggi. Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati
melalui pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk
mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan
negara dan dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri
yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja berwawasan yang berilmu
pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah anasir-anasir mazmumah yang
sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging. Sudah
terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja
berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi
negara.

Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah
seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak
datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang ,perlulah disemat di dalam diri setiap remaja
.Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kejayaan dan tidak bersikap
pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang
cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai
permulaan sesuatu kejayaan, bak kata Adelucia Longbotton, satu pintu akan tertutup, pintu
yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup
itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan
juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya,tak
hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih
berusaha.

Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah
mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah
menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia
yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat sayang akan negara dapat
menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja
berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi
mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan
budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini.
Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-
idamkan oleh negara.

Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia
merupakan aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara
Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini,
diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan
dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak
menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:48 0 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
PERANAN KELUARGA DALAM MENGATASI MASALAH PERLUMBAAN
HARAM DALAM KALANGAN REMAJA/MAT REMPIT

Mat Rempit merupakan mereka yang terlibat dalam perlumbaan haram di jalan-jalan raya dengan
menunggang motosikal. Kebanyakan mereka berusia antara 15 hingga 30 tahun. Sesetengah
daripada mereka masih berada di alam persekolahan. Mereka gemar menunggang motosikal
secara sendirian dan ada juga yang melakukannya secara berkumpulan. Terdapat sesetengah
daripada mereka yang tidak memiliki lesen memandu. Mereka menjadikan jalan raya sebagai
gelanggang tempat berlumba motosikal. Sekiranya tidak ditangani, masalah ini sangat
membahayakan pengguna-pengguna jalan raya. Oleh itu, keluarga memainkan peranan yang
sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram ini.

Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak mereka dengan memberikan didikan agama dan moral.
Hal ini demikian kerana semua agama seperti Islam, Buddha, Keristian dan Hindu meminta
penganutnya sentiasa melakukan kebaikan. Menurut ajaran Islam, setiap perbuatan yang baik itu
akan dibalas dengan kebaikan, iaitu diberikan pahala, manakala perbuatan yang jahat pula akan
dibalas dengan kejahatan juga, iaitu dosa. Dengan ajaran yang demikian, anak-anak remaja tidak
akan mudah terpengaruh dengan rakan-rakan yang mengajak mereka melibatkan diri dengan
perlumbaan haram. Natijahnya, ajaran agama merupakan senjata yang paling ampuh untuk
mengatasi masalah perlumbaan haram dalam kalangan remaja.

Selain itu, ibu bapa mestilah sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Antara lain, ibu
bapa hendaklah sentiasa mengambil tahu tentang rakan anak-anak dan tempat mereka berada.
Anak-anak tidak seharusnya diberikan keizinan untuk keluar rumah tanpa sebarang tujuan. Hal
ini demikian kerana mereka selalu berlumba haram pada malam minggu atau cuti umum. Jika
ibu bapa membiarkan anak-anak keluar rumah sesuka hati, mereka boleh terlibat dengan
perlumbaan haram. Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui tempat anak-anak mereka
pergi dan kawan-kawan mereka. Lebih jauh lagi, ibu bapa juga hendaklah mengenali rakan anak-
anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa juga tidak sewajarnya membenarkan anak-anak di bawah umur
menunggung motosikal. Demikian juga halnya dengan anak-anak yang tidak memiliki lesen
memandu, mereka hendaklah dilarang sama sekali untuk menunggang motosikal. Perbuatan
tersebut adalah salah di sisi undang-undang. Sekiranya ditahan atau ditangkap oleh pihak polis
atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan, mereka boleh didenda. Sekiranya mereka terlibat
dalam kemalangan jalan raya, kejadian tersebut akan mendatangkan kesusahan kepada mereka,
termasuk juga pihak ibu bapa. Masalah yang dialami oleh ibu bapa akan bertimpa-timpa, bagai
sudah jatuh ditimpa tangga.

Setiap ahli keluarga hendaklah sayang-menyayangi antara satu sama lain. Perasaan dan nilai
kasih sayang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Perasaan tersebut boleh menyebabkan
setiap ahli keluarga merasakan diri masing-masing amat dihargai. Perkara yang lebih penting
lagi ialah kasih sayang tersebut dapat mengelakkan anak-anak remaja daripada terlibat dengan
perlumbaan haram. Dengan hal yang demikian, anak-anak akan berasa disayangi dan tidak
dibenci oleh ahli keluarga masing-masing. Mereka akan berasa bahagia kerana keluarga
memberikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, bertepatan dengan kata peribahasa bagai
menatang minyak yang penuh.

Dari sudut yang lain pula, abang dan kakak mestilah membantu mengawasi tingkah laku adik-
adik mereka. Abang dan kakak perlu menjadi mata dan telinga kepada ibu bapa. Jika ada perkara
yang negatif berlaku pada adik-beradik, abang dan kakak hendaklah mengambil tahu dan
menasihati mereka. Abang dan kakak juga tidak sewajarnya merahsiakan perkara yang negatif
tersebut daripada pengetahuan ibu bapa. Dalam hal ini, mereka hendaklah berkongsi masalah
dengan ibu bapa, termasuklah penglibatan adik-adik mereka dengan masalah perlumbaan haram.
Dengan hal yang demikian, masalah perlumbaan motosikal haram dalam kalangan remaja dapat
diatasi.

Kesimpulannya, peranan keluarga sangat penting dalam mengatasi masalah perlumbaan haram
dalam kalangan anak-anak muda. Anak-anak hendaklah mendengar nasihat ibu bapa supaya
mereka tidak terlibat dengan perlumbaan haram. Orang yang berlumba haram, banyak yang
cedera parah dan meninggal dunia. Oleh itu, kita hendaklah bertindak mengatasi masalah ini,
seperti yang terungkap dalam peribahasa cegah sebelum parah.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:46 0 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
PERANAN IBU BAPA MEMUPUK SEMANGAT CINTA AKAN NEGARA
DALAM KALANGAN ANAK-ANAK

Pada era pascaperindustrian dan globalisasi yang serba mencabar akal dan minda, Malaysia telah
menjadi sebuah negara yang sedang membangun di mata dunia selepas kemerdekaan yang
disambut pada tanggal 31 Ogos 1957. Kini, Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara gergasi di pentas antarabangsa. Bertitik tolak daripada itu, semangat cinta akan
negara perlu ada dalam diri setiap masyarakat bagi menghargai jasa tokoh-tokoh pejuang
kemerdekaan yang bertungkus lumus dalam mempertahankan negara yang berdaulat ini. Oleh
itu, keluarga perlu memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memupuk semangat cinta
akan negara dalam diri anak-anak mereka.

Pada realiti, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu perlu mengambil inisiatif utama dengan
membawa anak-anak mereka ke tempat bersejarah seperti muzium. Di Malaysia, terdapat
sebuah muzium iaitu Muzium Negara yang mempunyai pelbagai khazanah orang pada zaman
dahulu, pakaian istana, keris-keris yang digunakan oleh tokoh terdahulu untuk menentang
penjajah luar. Anak-anak bukan sahaja dapat mengenali tokoh-tokoh terdahulu malah
menerapkan semangat keberanian perwira-perwira negara yang mengamalkan peribahasa biar
putih tulang, jangan putih mata dalam mempertahankan negara suatu ketika dulu. Salah satu
tempat bersejarah yang tersohor ialah Melaka yang lebih dikenali sebagai Negeri Bersejarah. Di
Melaka, ibu bapa boleh menunjukkan tempat atau bangunan yang dibina oleh negara luar yang
pernah menjajah negara kita seperti bangunan Stadhyus. Oleh itu, bolehlah kita akui bahawa
semangat cinta akan negara dapat disemai melalui lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang
banyak terdapat di Malaysia.

Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, langkah yang seterusnya ialah
ibu bapa perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Berdasarkan peribahasa, Bapa Borek,
Anak Rintik, ibu bapa perlu menjadi ikon kepada anak-anak dalam menerapkan semangat cinta
akan negara. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sewajarnya menunjukkan etika yang
bertentangan dengan semangat patriotisme itu sendiri. Kita boleh ambil contoh perlakuan yang
pernah menjadi isu suatu ketika dahulu iaitu seorang warga Malaysia yang mempersendakan
lagu Negaraku malah ada yang berani memijak bendera Jalur Gemilang. Ibu bapa perlu
menunjukkan semangat cinta akan negara melalui kibaran Jalur Gemilang dengan bangga untuk
diteladani oleh anak-anak. Secara tidak langsung, perbuatan ini akan menjadi ikutan kerana
mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dengan cara ini juga, anak-anak akan sedar betapa
pentingnya semangat patriotisme ini. Tambahan pula, ibu bapa boleh bercerita tentang
perjuangan tokoh-tokoh tanah air yang berjuang hingga titisan darah yang terakhir demi
mempertahankan negara yang tercinta daripada ancaman penjajah. Tegasnya, peribahasa
melentur buluh biarlah dari rebungnya perlu dijadikan azimat oleh ibu bapa untuk melentur
anak-anak mereka menjadi seorang yang mempunyai semangat patriotisme sejak kecil lagi.

Selain itu, pada masa ini ramai ibu bapa yang membimbing anak-anak mereka dalam menguasai
subjek Sejarah. Bagi segelintir pelajar, subjek Sejarah amat sukar dikuasai kerana banyak fakta
yang perlu dihafal dan diingati. Tambahan pula, mereka tidak pernah merasai keperitan tokoh-
tokoh terdahulu yang bermati-matian memperjuangkan tanah air yang bertuah ini. Oleh itu, ibu
bapa tidak boleh memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa dan memarahi mereka
jika gagal dalam subjek sejarah. Hal ini kerana, anak-anak umpama kain putih, ibu bapalah yang
perlu mencorakkannya dengan menerapkan semangat cinta akan negara. Bertitik tolak daripada
itu, ibu bapa perlu menyokong anak-anak mereka agar mereka tidak berasa tertekan malah
semangat bersemangat dalam mempelajari subjek Sejarah. Selain itu, ibu bapa boleh
menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen untuk menguasai subjek Sejarah demi
meningkatkan prestasi anak dalam subjek tersebut. Rentetan itu, penguasaan dalam subjek ini
akan membibitkan rasa cinta terhadap subjek Sejarah seterusnya melahirkan kecintaan terhadap
negara.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkataan di atas, ibu bapa perlu memainkan peranan
dalam memupuk masyarakat yang mempunyai semangat cinta akan tanah air. Pepohon pokok
tidak akan berliuk lentuk jikalau tiada angin yang meniupnya oleh itu, ibu bapa
bertanggungjawab memupuk semangat cinta akan negara dalam diri anak-anak. Sebenarnya,
anak-anak merupakan tonggak utama dalam menjayakan visi kudsi Wawasan 2020 pada masa
hadapan. Kita mengakui hakikat bahawa uslub ini perlu dilakukan dan boleh dimulakan dengan
langkah-langkah yang telah disarankan di atas. Dengan berbuat demikian, anak-anak dapat
memupuk malah menguatkan semangat cinta akan tanah air dalam diri mereka. Nescaya,
semangat patriotisme yang telah sebati dalam diri anak-anak akan dapat melahirkan generasi
muda yang mantap jati diri.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:45 2 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK BUDAYA ILMU DALAM DIRI ANAK-
ANAK

Budaya ilmu sangat penting kepada masyarakat di negara kita. Hal ini kerana budaya ilmu dapat
memberi sumbangan kepada semua pihak. Sebagai contoh, budaya ilmu dapat menjadikan
seseorang yang bijak dan dapat memajukan negara. Sekiranya budaya ilmu itu tidak
diamalkan,masyarakat tidak dapat melahirkan seorang pemimpin. Oleh itu, ibu bapa perlulah
mendidik anak-anak agar mengamalkan budaya ilmu.

Peranan yang pertama ialah ibu bapa hendaklah menjadi contoh kepada anak-anak. Hal ini
kerana, anak-anak akan menjadikan ibu bapa sebagai idola. Sekiranya ibu bapa membaca buku
bersama-sama anak-anak, mereka dapat meminati budaya ilmu.Oleh itu, ibu bapa haruslah
menjadi idola kepada anak-anak.

Peranan yang kedua ialah ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk menyertai lawatan
sambil belajar.Hal ini kerana, ilmu yang diperoleh melalui pemerhatian dan pengalaman akan
diingati sampai bila-bila. Selain itu, mereka akan mendapat pengalaman. Contohnya, dengan
mengikuti lawatan ke universiti, mereka akan dapat pengetahuan dan menghilangkan tekanan
sewaktu belajar.sekiranya mereka tidak mengikuti lawatan ini, mereka dapat ilmu dan
pengalaman. Oleh itu, ibu bapa haruslah menyuruh anak-anak untuk mengikuti lawatan sambil
belajar.

Peranan yang ketiga ialah ibu bapa haruslah mengajar dan membantu anak-anak untuk menjawab
latihan kerja sekolah dan untuk selesaikan masalah. Hal ini kerana, ibu bapa lebih mengetahui
dan mempunyai banyak ilmu.selain itu, keputusan peperiksaan anak-anak dapat dibaiki.
Contohnya, ibu bapa hendaklah membantu anak-anak ketika mereka membuat kerja rumah.
Sekiranya ibu bapa tidak menolong, anak-anak akan terbiar dan tidak dapat menyiapkan kerja
rumah yang diberikan. Oleh itu, ibu bapa haruslah mengajar dan membantu anak-anak dalam
menyelesaikan masalah.

Kesimpulannya, peranan ibu bapa sangat penting untuk mendidik anak-anak agar mereka suka
akan budaya ilmu. Bak kata peribahasa kalau hendak melentur buluh biarlah dari
rebungnya.Oleh itu, ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan budaya ilmu supaya mereka
cemerlang, gemilang dan terbilang.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:44 0 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
PERANAN IBU BAPA MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

Dewasa ini, semakin hari, semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat semakin terhakis
ditelan arus pemodenan dan kemajuan negara. Hal ini terbukti apabila saban hari kita
dihidangkan dengan pelbagai kejadian jenayah seperti kes pembunuhan, ragut, rogol serta kes
pembuangan bayi yang tidak berdosa. Kejadian-kejadian tersebut sekali gus memadamkan
semangat sayang-menyayangi dalam masyarakat antaranya sikap mengambil berat, prihatin dan
saling-menghormati dalam masyarakat. Hal ini demikian kerana masyarakat penyayang hanya
dapat dibentuk melalui persaan saling-menyayangi dan menghormati sesama ahli keluarga yang
merupakan asas kepada pembentukan masyarakat. Ibu bapa mempunyai peranan besar dalam
melahirkan individu yang penyayang sekali gus mewujudkan masyarakat yang penyayang di
nusa tercinta ini.

Ibu bapa berperanan memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak. Kehidupan
anak-anak harus diisi dengan kasih sayang oleh ibu bapa dengan menyemai sikap penyayang
dalam diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah dari
rebungnya. Sifat kasih sayang yang dipupuk sejak kecil akan lebih mudah terlaksana malah akan
terus sebati dalam diri anak-anak apabila mereka dewasa. Dalam hal ini, kehadiran ibu bapa amat
penting dalam tempoh anak-anak membesar. Sebagai contoh, ibu bapa harus sentiasa berada di
samping anak-anak semasa mereka dalam kekecewaan seperti gagal dalam peperiksaan untuk
menenangkan hati dan sanubari mereka. Sekiranya, hal ini diberikan perhatian oleh ibu bapa
maka anak-anak akan berasa dihargai dan masalah yang mereka alami akan dapat diselesaikan
melalui pertolongan ahli keluarga. Tegasnya, ibu bapa harus sedia melapangkan waktu untuk
mencurahkan kasih sayang kepada anak kerana ibu bapa merupakan insan terhampir dengan diri
anak-anak.

Selain itu, didikan agama juga perlu untuk melahirkan masyarakat yang penyayang di negara
kita. Hal ini demikian kerana tidak ada agama yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang mengajar
penganutnya bersikap kasar dan ganas kepada individu lain apatah lagi dalam kalangan ahli
keluarga sendiri. Sehubungan dengan itu, ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak mereka
mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Contoh amalan yang boleh diajar
kepada anak-anak adalah menunaikan solat fardhu, membaca Al-Quran dan berzikir. Bagi
penganut-penganut agama lain, ibu bapa perlu selalu mengajak anak-anak mereka ke rumah
ibadat. Ibu bapa juga boleh menceritakan pada anak-anak, kisah teladan akan kebaikan
mengamalkan nilai kasih sayang dalam kehidupan hatta bersikap kasih sayang kepada
binatang. Amalan-amalan ini akan melembutkan hati dan mententeramkan jiwa serta melahirkan
anak-anak yang bersahsiah mulia. Sifat ini akan menjadi darah daging dalam diri anak-anak dan
mendorong mereka untuk berperi laku baik seterusnya sentiasa menyayangi keluarga. Oleh itu,
tidak dapat dinafikan lagi didikan agama yang secukupnya amat penting dalam melahirkan
individu penyayang.

Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menunjukkan nilai-nilai yang baik kepada anak-anak
mereka. Ibu bapa mestilah menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka dan tidak bersikap
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul. Hal ini demikian menunjukkan keperibadian
anak-anak mencerminkan perwatakan ibu bapa mereka. Banyak nilai baik yang boleh
ditunjukkan kepada anak-anak. Sebagai contohnya, ibu bapa mengamalkan semangat kejiranan
yang tinggi. Antaranya, mereka perlu melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong, menziarahi
jiran yang sakit serta dilanda musibah. Ibu bapa janganlah sekali-kali menunjukkkan sikap zalim
dan menindas atau menipu orang lain khususnya di hadapan anak-anak. Nilai-nilai baik ini akan
menjadi ikutan kepada anak-anak. Jelas bahawa, semangat hormat-menghormati, bekerjasama
dan saling-membantu dalam masyarakat akhirnya membentuk sifat penyayang dalam diri anak-
anak yang juga merupakan ahli masyarakat.

Seterusnya, keadaan keluarga yang stabil dari segi fizikal dan rohani juga amat perlu bagi
melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang. Ibu bapa mempunyai peranan besar
dalam membentuk keluarga yang stabil. Keluarga yang stabil dari segi fizikal ialah keluarga
cukup dari segi kewangan serta mampu menyediakan segala kemudahan dan keperluan hidup
berumah tangga. Manakala keluarga yang stabil dari segi rohani ialah keluarga yang saling-
menyayangi , hormat-menghormati serta saling-membantu. Sekiranya kedua-duanya dapat
dipenuhi oleh ibu bapa maka anak-anak akan hidup dalam keadaan tenang dan harmonis tanpa
mengalami sebarang tekanan. Mereka akan lebih terpaut hati untuk berkongsi masalah dengan
ibu bapa berbanding menceritakan masalah yang dihadapi dengan rakan yang kurang dikenali
hati budinya. Di samping itu juga, ibu bapa harus memastikan hubungan kekeluargaan sesama
ahli keluarga erat bagi melahirkan keluarga yang penyayang. Hubungan yang renggang dalam
kalangan ahli keluarga menyebabkan anak-anak akan mencari kasih sayang di luar rumah yang
akhirnya akan menjahanam dan memusnahkan kehidupan mereka.

Masyarakat penyayang juga dapat dilahirkan melalui hubungan baik dengan masyarakat
sekeliling. Ibu bapa harus mendekatkan anak-anak dengan masyarakat setempat bagi
mewujudkan hubungan baik dengan masyarakat. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mengajak anak-
anak untuk menyertai gotong-royong di kawasan tempat tinggal atau solat berjemaah di surau
atau masjid. Ibu bapa juga perlu memberikan kesedaran kepada anak-anak mereka akan peri
pentingnya nilai kasih sayang dalam kehidupan khususnya semasa berinteraksi dengan
masyarakat pelbagai kaum. Dengan menjadikan negara-negara lain sebagai contoh dan teladan
seperti perang saudara yang berlaku di Somalia ditambah lagi dengan kebuluran yang berlaku,
anak-anak dapat diajar tentang kepentingan amalan kasih sayang. Melalui kasih sayanglah
pelbagai bantuan dihulurkan oleh masyarakat antarabangsa kepada negara-negara yang ditimpa
bencana seperti bencana Tsunami yang berlaku di Jepun baru-baru ini. Jelas bahawa, hubungan
silaturahim yang erat dapat melahirkan individu dan masyarakat yang penyayang.

Konklusinya, ibu bapa berperanan besar dalam melahirkan individu dan sekali gus masyarakat
yang penyayang di negara kita. Oleh itu, ibu bapa harus meningkatkan peranan mereka
semaksimum mungkin, namun dalam masa yang sama tidak mengamalkan sikap pilih bulu
antara anak-anak. Apa yang diharapkan oleh semua orang ialah amalan kasih sayang yang
berjaya dipraktikkkan akan mampu mewujudkan masyarakat yang sejahtera. Ingatlah!, individu
yang penyayang akan mewujudkan keluarga cemerlang seterusnya melahirkan masyarakat serta
bangsa yang terbilang.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:43 0 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU ORANG KELAINAN UPAYA (OKU)
Orang Kelainan Upaya (OKU) merupakan orang yang kurang bernasib baik. Mereka dilahirkan
dalam keadaan cacat. Ada juga yang menjadi cacat akibat mengalami kemalangan yang
menjejaskan anggota badan. Mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang sempurna kerana
kekurangan yang dimiliki. Mereka perlu dibantu untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Terdapat
pelbagai pihak yang perlu memainkan peranan untuk membantu Orang Kelainan Upaya (OKU).

Ibu bapa berperanan mendidik anak-anak mereka supaya menghormati serta tidak memandang
hina OKU. Hal ini demikian kerana OKU juga mempunyai perasaan mahu dihargai, disayangi
dan dihormati oleh masyarakat. Sebagai contoh, anak-anak diajar supaya tidak memandang
sebelah mata terhadap OKU. Mereka juga dilarang mentertawakan OKU akibat kecacatan yang
mereka alami ketika berhadapan dengan mereka. Tegasnya, ibu bapa perlu mendidik anak-anak
supaya menghormati OKU.

Selain itu, pihak kerajaan hendaklah menyediakan pelbagai peluang pendidikan dan memberikan
kemahiran kepada golongan OKU. Hal ini demikian kerana pendidikan dan kemahiran sangat
penting demi masa depan mereka. Langkah pihak kerajaan mewujudkan Kelas Pendidikan Khas
amat wajar diberiakan pujian. Jelaslah bahawa pihak kerajaan memainkan peranan penting dalam
membantu OKU sebagaimana slogan yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato
Seri Najib bin Tun Abdul Razak ,Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Di samping itu, pihak swasta juga hendaklah turut sama membantu golongan OKU menjalani
kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan tidak
menganggap OKU sebagai beban. Sebagai contoh, usaha murni pengusaha pusat beli-belah yang
menyediakan kemudahan untuk golongan OKU seperti lorong khas, tandas dan tempat letak
kenderaan amat dihargai. Sikap pihak swasta yang menunjukkan keperihatinan dan menunaikan
tanggungjawab mereka terhadap golongan yang kurang bernasib baik ini perlu dicontohi.

Seterusnya, pihak media massa boleh memainkan peranan mereka dengan menyebarkan
maklumat tentang peluang pendidikan dan kerjaya bagi OKU. Setiap maklumat mestilah
disampaikan dan disebarkan oleh pihak media massa kepada orang ramai. Kempen Masyarakat
Penyayang yang dilancarkan oleh pihak kerajaan perlulah disampaikan melalui saluran media
massa. Maklumat tersebut boleh disalurkan melalui iklan, kempen dan melalui drama. Kesannya,
orang ramai akan mendapat maklumat tentang OKU secara telus. Jelaslah, nasib OKU akan
terbela dengan adanya peranan media massa.

Setiap individu perlu menunjukkan nilai-nilai murni. Hal ini demikan kerana setiap individu
mempunyai tangungjawab masing-masing. Sebagai contoh, mereka perlu membantu golongan
OKU semasa melintas jalan, menaiki bas atau ketika OKU memerlukan sebarang bantuan. Hal
ini bertepatan dengan maksud peribahasa berat mata memandang, berat lagi bahu
memikul. Pendek kata, setiap individu hendaklah mengamalkan nilai-nilai murni bagi
membantu golongan ini.

Kesimpulannya, sudah terang lagi bersuluh bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan
untuk membantu OKU. Semua pihak perlu berganding bahu, bak kata peribahasa berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing, bagi membela nasib dan masa depan golongan OKU.
Posted by Subbash Ekambaram at 23:30 3 comments
Email This BlogThis! Share to Twitter Share to Facebook
Labels: KARANGAN BAHAGIAN B KERTAS 1 SPM
Reactions:
KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN KEPADA MASYARAKAT

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan
hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak
serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan
bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan
antara satu sama lain. Namun terdapat lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada
pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia
pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen
dan usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam
kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.


41


Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota
masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota
masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti
kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan atau perjumpaan bulanan
komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan .
Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna
kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk
dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk
ukhuwah yang kukuh dan ampuh.

Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan
melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969
menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan
musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat
kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain.
Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial
masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama
dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat
yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan
melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat.
Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat
sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan
secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana
yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok
tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya,
kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-
taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak
mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh
anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting
bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai
kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu
seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang
harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah
satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang
harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara . Melalui hubungan
kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat
diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena
ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk
Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat Malaysia
membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur
Gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat
Malaysia membolehkan mereka melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi
melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.


43


Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga
penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara
ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni
budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya,
perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika
musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah
Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum
di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar,
produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga
dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka
sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan
membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.

Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya
masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar
sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting
dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya
cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing
pada masa akan datang kerana rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan
berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak
jagat.


TATABAHASA
Kata nama
Kata nama adalah golongan kata yang terbahagi kepada dua bahagian yang besar iaitu nama am, nama
khas, ganti nama dan nama terbitan.

Kata Nama Am
Kata nama am ialah kata yang digunakan untuk menjelaskan nama sesuatu yang bernyawa seperti
orang, haiwan, dan sesuatu yang tidak bernyawa seperti tumbuh-tumbuhan, tempat , benda, dan
sebagainya secara umum seperti dalam contoh di bawah:

orang: ayah, polis, perempuan dll.
haiwan: ayam, itik, buaya dll.
benda: televisyen, komputer, bank dll.
tempat: stadium, jalan raya, pulau dll.

Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah
nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama sesuatu
yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan
kata terbitan.
Contoh: buai -> buaian
Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata Nama Khas
Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama sesuatu
benda sama ada benda yang bernyawa dan yang tidak bernyawa. Benda-benda yang bernyawa ialah
nama manusia dan nama binatang. Benda-benda yang tidak bernyawa ialah nama tempat, judul buku,
nama bangunan, dan sebagainya.
Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh
perkataan ditunjukkan seperti di bawah:
benda: Sri Aman, Volvo, Parker 45, Hikayat Hang Tuah, dll
orang: Cik Rafidah, Inspektor Azman, Dr. Long dll
binatang: Blacky, Pak Belang, Sang Kancil,dll
tempat: Kampung Bahru, Shah Alam, Kuala Lumpur dll
Biasanya huruf pertama perkataan nama khas ini hendaklah ditulis dengan huruf besar.

Kata Ganti Nama
Kata ganti nama ialah kata nama yang digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk.
Kata ganti nama penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk bersifat menerangkan (contohnya ini,
itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan (contohnya siapa, apa, mana).

Kata ganti diri pula terbahagi kepada tiga:
diri pertama:saya, beta, aku, patik, kami, kita, daku
diri kedua: awak, engkau, kamu, anda, saudara, saudari, tuan hamba
diri ketiga: ia, dia, beliau, mereka, baginda, -nya

Kata Nama Terbitan
Kata nama terbitan wujud apabila kata nama am diberi imbuhan. Imbuhan yang membentuk kata nama
terbitan boleh diletakkan di awal kata ( awalan ), di akhir kata ( akhiran ), di awal dan di akhir kata (
apitan ) dan diselitkan di tengah perkataan ( sisipan).

Kata kerja
Kata kerja merupakan golongan kata yang menjadi inti dalam frasa kerja, sama ada yang berlaku atau
dilakukan. Contohnya, berjalan, makan, memakan, dimakan dan sebagainya. Kata kerja terbahagi
kepada, kata kerja transitif ( Perbuatan Melampau ) dan kata kerja tak transitif ( Perbuatan tidak
Melampau ).

Kata Kerja Transitif
Kata kerja transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda
yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ). Ayat yang menggunakan kata kerja transitif
mesti mempunyai penyambut ( objek ). Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan me- sama ada
sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan,
membacakan, menduduki, mempersilakan.

Kata Kerja Transitif Aktif
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama dan ayatnya
berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper,
memper...i, dan memper...kan.

Kata Kerja Transitif Pasif
Kata kerja transitif pasif ialah kata kerja yang disertai oleh objek, dan ayatnya berbentuk pasif. Kata kerja
transitif pasif menggunakan imbuhan di-.

Penyambut Kata Kerja Transitif Pembuat
Radio itu didengari Atan.
Burung itu ditangkap oleh seekor kucing.
Sayur itu dijual oleh seorang perempuan.
Ikan itu dijala oleh Pak Abu.
Surat itu sedang ditulis oleh bapa

Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri
pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut.
Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap' dan kata kerja
tak transitif tak berpelengkap.

Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
Kata kerja ini memerlukan pelengkap. Pelengkap merupakan kata atau frasa yang melengkapkan ayat
supaya tidak kelihatan tergantung dan bukannya satu objek (penyambut).

Kami mandi di tasik.
Dia senyum semasa berjalan.
Air sungai beransur surut.

Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap

Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut mahupun pelengkap. Selalunya berada di hujung ayat.

Rumahnya roboh.
Radio itu berbunyi.
Turunnya Union Jack itu, Jalur Gemilang pula berkibar

Kata sifat
Adjektif, juga dikenali sebagai kata sifat, ialah kata yang menjadi inti dalam frasa adjektif seperti manis
sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi.

Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama.
Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat, sangat,
sungguh, sekali, paling, agak, benar

Jenis jenis kata adjektif
Kata adjektif terbahagi kepada 9 subgolongan:

1. Sifat-menerangkan sifat keadaan atau seseorang
contoh: baik, cerdik, berani, lemah, kukuh, kemas, kejap, secantik, terkuat
2. warna - contoh: merah, jingga, ungu, putih, hitam, kuning langsat
3. ukuran - contoh: pendek, panjang, tebal, nipis, dalam, besar, sebesar, ternipis
4. bentuk -contoh: bujur, lurus,
5. waktu - contoh: lama, lambat, lewat, segera, suntuk, lampau, lalu, silam
6. jarak - contoh: dekat, hampir, jauh
7. cara - contoh: selalu, jarang, kadang kadang, kerap, lambat, deras, laju, jelas, muram, lincah
8. pancaindera
rasa: sedap, lazat, manis, pahit, lemak, pedas, payau, masam,masin
pandang: buruk, hodoh, jelita, cantik, tampan
dengar:bising, sunyi, senyap
bau: busuk, wangi, hangit, hapak
sentuh: kesat, kasar, lembab, halus, licin
9. perasaan - contoh: takut, seram, benci, rindu, marah, senang, sayang, gembira

Pangkat pangkat adjektif

Pangkat pangkat atau tahap adjektif ada empat:
Pangkat biasa
Ia dinyatakan dengan menggunakan kata adjektif biasa. Contoh:
Baju dia cantik.
Buah betik itu manis.
Pangkat perbandingan
Ia merupakan perbandingan sama, lebih atau kurang. Contoh:
Tenaganya sekuat Badang.
Buah jambu itu semanis gula.

Pangkat menyangat
Ia menerangkan adjektif yang keterlaluan seperti sangat, amat, benar-benar dan sebagainya. Contoh:
Cuaca hari ini sangat mendung.
Buah rambutan ini terlalu masak.

Pangkat penghabisan
Ia menerangkan adjektif paling atau penghabisan. Contoh:
Gunung Kinabalu adalah gunung yang paling tinggi di Malaysia.
Menara KLCC bangunan yang tertinggi di Malaysia.

Kata sendi
Golongan kata sendi adalah golongan kata yang digunakan untuk menyambungkan frasa nama dengan
kata atau frasa-frasa dalam ayat. Kata sendi menunjukkan perkaitan antara satu perkataan/frasa dengan
perkataan/frasa yang lain.

Contoh:
Buku di pejabat (kata nama + kata sendi + kata nama)
Menyelam sambil minur air (kata kerja + kata sendi + frasa kerja)
Rosak kerana banjir melanda (kata sifat + kata sendi + frasa nama)

Fungsi kata sendi

Ada lima fungsi kata sendi:
1. Menunjukkan tempat atau arah : melalui jalan dalam,pada fikiran saya
2. Menunjukkan masa : dalam tahun lepas,sewaktu bulan biru
3. Menunjukan sebab akibat : Kemalangan berlaku kerana jalan licin, Sebab mulut badan binasa
4. Menunjukkan pelaku : Perlawanan akhir itu dimenangi oleh Kedah FA
5. Menunjukkan mangsa : Perompak itu kena belasah

Bahagian kata sendi

Kata sendi boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama:
Sendi nama
Sendi kata

Sendi nama
Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa/kata nama. Antara kata sendi nama
yang biasa digunakan ialah:di,ke,kepada,pada,dari,daripada,seperti,dengan

Sendi kata
Kata sendi kata ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa/kata kerja, kata sifat dan kata tugas.
bagi,sambil ,selepas,sebelum

Bentuk kata sendi
Kata sendi juga boleh dibahagikan mengikut bentuknya:

Sendi tunggal ; antara,bagai,demi, hingga,kerana,sejak
Sendi berimbuhan :bagaikan,berikut,mengingat, merupakan,sehubungan,seputar
Sendi majmuk : atas sebab,bagaimanapun,dalam hal,daripada di antara,kepada,oleh kerana,selain
,daripada

Ayat inti (bahasa Melayu)
Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan
ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan
"Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk
menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk
mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.
Dalam bahasa Melayu, terdapat empat pola ayat inti:

1. Frasa Nama + Frasa Nama
2. Frasa Nama + Frasa Kerja
3. Frasa Nama + Frasa Adjektif
4. Frasa Nama + Frasa Sendi

Frasa ialah binaan yang boleh terdiri daripada satu patah kata atau rentetan beberapa patah kata yang
berfungsi sebagai konstituen dalam ayat, sama ada sebagai subjek, predikat, objek atau keterangan.
Frasa tiada subjek dan predikat. Frasa tidak membawa maksud yang lengkap yang boleh dikatakan
sebagai satu ayat.

Frasa Nama + Frasa Nama
Contoh:
1. Ali jiran saya.
2. Kami jiran.
3. Kucing mamalia.
4. Itu guru.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang agak meluas berasal khususnya daripada mereka yang bersikap keinggerisan. Mereka
menganggap bahawa perkataan "seorang", "sebuah", dan sebagainya harus disisipkan untuk mewakili
artikel a dan an dalam bahasa Inggeris. Umpamanya, ayat (1) di atas dianggap tidak lengkap jika tidak
ditulis sebagai "Ali seorang guru". Yang lebih bersikap keinggerisan menganggap ayat yang betul-betul
sempurna ialah: "Ali ialah seorang guru." Mereka menganggap "ialah" sebagai terjemahan kopula
seperti is dan are dalam bahasa Inggeris. Jadi timbullah anggapan yang salah bahawa sesuatu ayat itu
tidak sempurna jika tiadanya "ialah" ataupun "adalah".

Walau bagaimanapun, perkataan "adalah" boleh disisipkan dalam ayat jika seseorang hendak
menegaskan maksud, umpamanya:
1. Ali adalah guru.
2. Kucing adalah mamalia.

Kata "adalah" dalam ayat-ayat itu digunakan apabila timbul keraguan yang dapat dibayangkan dengan
adanya pertanyaan yang menggunakan kata adakah seperti:
1. Adakah Ali guru?
2. Adakah kucing mamalia?

Kata "adalah" dalam ayat-ayat di atas samalah dengan kata "benarkah" atau "betulkah". Bagaimanapun,
ayat yang disertai "adalah" bukan ayat inti lagi.

Frasa Nama + Frasa Kerja
Contoh:
1. Saya menulis rencana.
2. Kami berdiri.
3. Kucing ini menangkap tikus.
4. Syarikat itu membuka kilang.

Predikat ayat inti untuk pola ini dapat diperluas dengan menggunakan kata bantu yang terbahagi dua:
1. kata bantu aspek: akan, belum, masih, sedang, sudah, telah;
2. kata bantu modaliti: boleh, dapat.
Letak kata bantu ialah sebelum kata kerja. Selain itu, predikat untuk ayat ini dapat diperluas dengan
menggunakan keterangan seperti: Saya duduk di kerusi. "Di kerusi" ialah keterangan tempat.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kata kerja transitif
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata kerja transitif tanpa objek.

Salah : Syarikat itu membuka di Pulau Pinang
Betul : Syarikat itu membuka kilang di Pulau Pinang.
Salah : Kami membincangkan tentang masalah itu.
Betul : Kami membincangkan masalah itu.

Kata kerja intransitif
Satu kesalahan lagi ialah penggunaan kata kerja intransitif tanpa diikuti oleh kata sendi apabila predikat
diperluas.

Salah : Saya sedar perkara itu .
Betul : Saya sedar akan perkara itu.
Salah :Dia masih ingat kejadian itu.
Betul : Dia masih ingat akan kejadian itu.

Frasa Nama + Frasa Adjektif
Contoh:
1. Dia bijak.
2. Kami lapar.
3. Anjing itu garang.
4. Pisau ini tajam.

Predikat ayat pola ini dapat dluaskan dengan menggunakan kata penguat yang terbahagi tiga:
1. penguat depan: begitu
2. penguat belakang: sekali, betul
3. penguat bebas: sangat

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan kata penguat secara berlebihan:

Salah : Dia begitu bijak sekali
Betul : Dia begitu bijak.
Betul : Dia bijak sekali.
Salah : Anjing itu sangat garang betul.
Betul : Anjing itu sangat garang.
Betul : Anjing itu garang betul.

Frasa Nama + Frasa Sendi

Contoh:
1. Saya ke Kuala Lumpur
2. Dia di sekolah.
3. Kami di rumah.
4. Buku ini untuk adik.
Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah anggapan bahawa frasa sendi tidak boleh berdiri sendiri tanpa kata
kerja. Contohnya, ada orang yang beranggapan bahawa:
ayat (1) mesti ditulis: Saya pergi ke Kuala Lumpur; atau
ayat (4) mesti ditulis: Buku ini dibeli untuk adik.
Sebenarnya baik disertai kata kerja atau tidak, ayat-ayat itu betul belaka.

Hukum D-M
Hukuman D-M ialah peraturan menyusun kata nama majmuk dan ayat yang mendahulukan unsur yang
diterangkan (diringkaskan sebagai D) dan mengemudiankan kata sifat yang menerangkan (diringkaskan
sebagai M). Istilah Hukum D-M diperkenalkan oleh Prof. St. Takdir Alisjahbana dalam bukunya,
Tatabahasa Baru Melayu Indonesia.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku, khususnya di kalangan orang yang bersikap keinggerisan, disebabkan oleh
kekeliruan antara susunan kata nama majmuk bahasa Melayu dengan kata nama majmuk bahasa
Inggeris. Sebilangan kesalahan yang sering berlaku adalah seperti berikut:

Kesalahan Padanan bahasa Inggeris Pembetulan

Salah : dalam lain perkataan
Betul :dengan kata-kata lain
Salah : lain-lain perkara
Betul : perkara-perkara lain
Salah : Minah Restoran
Betul : Restoran Minah
Salah : Dunlop tayar
Betul : tayar Dunlop
Salah : goreng pisang
Betul : pisang goreng

Kata hubung (bahasa Melayu)
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan:
perkataan dengan perkataan;
rangkai kata dengan rangkai kata; dan
ayat dengan ayat.

Kata hubung terbahagi kepada tiga iaitu:
1. Kata hubung gabungan
2. Kata hubung pancangan
o Kata hubung pancangan relatif
o Kata hubung pancangan komplemen
o Kata hubung pancangan keterangan
3. Kata hubung pasangan.
1. Kata hubung gabungan
Menggabungkan klausa-klausa yang sama tarafnya. Contoh kata ialah dan, atau, serta, tetapi, malahan,
sambil, tetapi, sementara, sebaliknya, seterusnya.

Contoh ayat:
Pemanah itu melepaskan anak panah, tetapi tidak mengena sasaran kerana busurnya patah.
Belum tentu... sama ada pergi rumah kawan atau balik kampung, katanya.
Dia mengelak, lantas menikam.
2.Kata hubung pancangan

Kata hubung pancangan relatif
Kata hubung ini menghubungkan klausa utama dengan klausa klausa pancangan (kecil). Hubungan ini
menggunakan kata hubung yang.

Contoh ayat:
Pelajar yang berjaya itu diberi hadiah.
Budak yang sedang membaca itu adik perempuan saya.
Buku yang dikarang oleh Ahmad itu buku sejarah.

Kata hubung pancangan komplemen
Kata hubung ini menghubungkan satu klausa sebagai komplemen pada satu klausa utama. (Komplemen
bermaksud pelengkap). Jadi, klausa klausa pancangan komplemen itu melengkapkan klausa utama. Kata
hubung yang berperanan begitu ialah bahawa dan untuk.

Contoh ayat:
Guru tahun enam itu menyatakan bahawa semua muridnya mendapat enam A.
Mereka mengetahui bahawa Haji Ahmad adalah ahli perniagaan besar.
Kerajaan membuat jambatan untuk rakyat melintas sungai.

Kata hubung pancangan keterangan
Kata hubung pancangan keterangan menghubungkan klausa keterangan kepada klausa utama. -Kata
hubung itu ialah kerana, agar, meskipun, sekiranya, semoga, supaya, kalau, andaikata, kendatipun,
hingga, jika, jikalau, semasa, sementara, setelah, sewaktu, sekiranya, ketika, tatkala, walaupun, dan
sesungguhnya.

Contoh ayat:
Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat.
Saya berkawan dengannya semenjak kecil

3.Kata hubung berpasangan
Kata hubung ini selalunya wujud dalam berpasangan dan merupakan gabungan kata hubung pancangan
dan kata hubung gabungan. Kata hubung itu ialah baik...mahupun, baik...baik, bukan sahaja... malah,
entah...entah,jangan...pun, kian...kian, sama ada... ataupun, sedangkan...inikan pula, semakin...semakin,
sungguhpun...tetapi, dan walaupun...namun..

Contoh ayat:
Kian lama kian banyak orang yang ke sana.
Fuad bukan sahaja nakal malah suka ponteng sekolah

Imbuhan kata nama bahasa Melayu
Kata Nama menerima empat jenis imbuhan; awalan, akhiran, apitan dan sisipan. Imbuhan awalan ialah
imbuhan yang berada di hadapan kata akar, contohnya pe(N), me(N), ter dan sebagainya. Imbuhan
akhiran terletak di akhir kata akar dan imbuhan apitan mengapit kata akar. Imbuhan sisipan pula tersisip
di tengah perkataan.

Awalan
ke-
Awalan "ke-" boleh membentuk kata bilangan himpunan, kata bilangan tingkat dan kata nama. Huruf
akar akan kekal biarpun setelah digabung dengan kata imbuhan ini. Bukan semua perkataan boleh
digabungkan dengan awalan "ke-". Kebanyakannya memerlukan akhiran -an untuk membentuk
perkataan yang tepat. Awalan "ke-" boleh membawa maksud berikut kepada kata dasar:

penanda orang atau benda dengan memberi tumpuan kepada maksud kata dasar (kata nama):
kekasih, ketua, kemudi

pe(n)-

Imbuhan awalan "pe(n)-" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan
dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:
alatan/perkakas: pembakar, pengasah, penukul, penapis
orang yang membuat: penulis, pencipta, pentadbir
sesuatu yang menyebabkan jadi...: pengasih, pemanis, pendingin
orang yang selalu atau suka...: penidur, pemalas, perokok
orang yang mempunyai sifat...:pemalu, pemurah, pembengis
milik sifat seseorang: pemuda, pembesar
ukuran bagi waktu atau tempat: pemeluk, penanak, pelaung
hasil atau kesan daripada sesuatu: penyakit, pendapat

Imbuhan "pe(n)-" berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.

pe-

Imbuhan awalan "pe-" (tanpa pembolehubah (n) dalam "pe(n)-") menerbitkan kata nama memberi
maksud tertentu kepada perkataan dasar yang diimbuhkannya. Berbeza dengan imbuhan "pe(n)-",
imbuhan "pe-" hanya boleh digunakan untuk manusia, iaitu seperti berikut:

pelaku tindakan dalam kata dasar: pesaing, peserta
penerima tindakan atau kesan dalam kata dasar: pesalah, pesakit

per-
Imbuhan awalan "per-" digunakan untuk mengimbuhkan kata dasar yang sering dijadikan kata kerja
dengan berimbuhkan awalan "ber-".

juru-
Awalan "juru-" digunakan untuk mendukung penanda makna ahli atau orang yang terlibat secara
langsung dengan maksud pekerjaan kata dasar dan boleh bergabung dengan kata dasar daripada
golongan kata nama, kata kerja, dan akar. Contoh-contohnya adalah seperti berikut:

juru- + kata nama: juruwang, jurubahasa
juru- + kata kerja: jurukira, jurujual, juruselam, juruterbang
juru- + akar kata: jurutera, jurumudi

Akhiran

-an
Imbuhan akhiran "-an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan dasar
yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut.

benda, bahan yang dilakukan kata dasar: kiriman, makanan
hasil perbuatan kata dasar: tulisan, bungkusan
tempat yang disifatkan kata dasar: ruangan
benda kata dasar yang besar atau luas: lautan

Apitan

ke--an

Imbuhan apitan "ke--an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan
dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

hasil perbuatan kata dasar: keberanian, kepercayaan

keadaan yang disifatkan kata dasar: keindahan, keselesaan

pe(n)--an

Imbuhan apitan "pe(n)--an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan
dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

perbuatan: pemeriksaan, pemilihan
hasil perbuatan: pembangunan, pelaburan
Imbuhan "pe(n)--an" berpadan fungsinya dengan imbuhan "me(n)-" untuk kata kerja.

per--an
Imbuhan apitan "per--an" menerbitkan kata nama yang memberi maksud tertentu kepada perkataan
dasar yang diimbuhkannya, dengan membawa erti-erti berikut:

perbuatan: pertandingan, pergeseran
tempat: perumahan, perkuburan
Imbuhan "pe(n)--an" berpadan fungsinya dengan imbuhan "ber-" untuk kata kerja.

Sisipan
Sesetengah kata dasar boleh diubah atau diperkuat maknanya dengan dibubuh imbuhan sisipan "-el-", "-
em-", "-er-" dan "-in-". Contoh: tapak telapak; kuning kemuning.

JENIS-JENIS AYAT

Ayat perintah
Ayat perintah bertugas untuk menyatakan sesuatu yang berupa perintah, larangan, suruhan,
permintaan, ajakan, silaan, doa, dan harapan.

Perintah : Berdiri di atas kerusi itu.
Suruhan : Ikat tali kasut anda dengan betul.
Larangan : Jangan pergi ke sungai yang dalam airnya.
Permintaan : Tolong angkat baju itu.
Ajakan : Mengucaplah banyak-banyak.
Silaan : Sila jamu selera.
Doa : Syukurlah kamu sudah kembali.
Harapan : Harap-harap hari tidak hujan.

Perhatikanlah bahawa ayat-ayat di atas mempunyai susunan yang sama, iaitu subjeknya tidak
dinyatakan. Ini disebabkan subjeknya nyata dan merujuk kepada orang yang ayat perintah itu ditujukan.

Contoh-contoh di atas juga menunjukkan bahawa awalan "ber" dan "meN" kekadang tidak digugurkan.
Aturan yang perlu dipegang ialah:
Untuk kata kerja intransitif (kata kerja yang tidak memerlukan objek): awalan tidak boleh digugurkan.
Untuk kata kerja transitif (kata kerja yang memerlukan objek): awalan meN hendaklah digugurkan.

Ayat nafi
Ayat nafi ditandai oleh adanya kata "bukan" dan "tidak". Secara umum, ayat nafi digunakan untuk
menafikan atau menidakkan sesuatu, umpamanya:
Dia tidak berpengalaman, tetapi cekap.
Aurora bukan jururawat, tetapi doktor.

Disamping itu, ayat nafi boleh juga digunakan untuk menekankan atau menegaskan sesuatu maksud.
Contohnya:
Ayat biasa : Cadangannya harus diketepikan.
Ayat nafi : Cadangannya tidak perlu kita pedulikan.
Ayat biasa : Kerja ketua memang susah.
Ayat nafi : Kerja ketua tidak pernah senang.
Walaupun kedua-dua ayat dalam setiap pasangan di atas mempunyai maksud yang sama, ayat nafi
menekankan maksudnya, sedangkan ayat biasa menyatakan maksud secara biasa sahaja.

Peranan ayat nafi sebagai penegas maksud juga boleh diperhatikan dalam ayat tanya, umpamanya:
1. Bukankah orang itu guru kamu?
2. Tidakkah kamu ingin menyertai peraduan itu?
3. Anda sudah faham, bukan?

Penggunaan dengan frasa nama
Secara umum, kata nafi "bukan" digunakan apabila frasa yang mengikutinya ialah frasa nama.
Contohnya:
1. Ini bukan kucing.
2. Malaysia bukan negara republik.
3. Gajah bukan haiwan yang terbesar di dunia.
Selain itu, "bukan" juga boleh digunakan untuk frasa yang lain daripada frasa nama dalam hubungan
seperti yang berikut:
1. Dia bukan bodoh, tetapi malas.
2. Dia bukan belajar, tetapi bermain.
Kata "bukan" dalam kedua-dua ayat itu boleh juga digantikan dengan "kata tidak":

1. Dia tidak bodoh, tetapi malas.
2. Dia tidak belajar, tetapi bermain.
Bagaimanapun, penggantian "bukan" dengan "tidak" menyebabkan sedikit perubahan maksud.
Penggunaan "tidak" hanya menyatakan maksud secara biasa, sedangkan penggunaan "bukan"
menekankan pertentangan dua keadaan secara jelas.

Penggunaan dengan frasa sendi
Untuk frasa sendi, kata nafi bukan dan tidak digunakan menurut kesesuaian, umpamanya:
1. Saya tidak ke sekolah hari ini kerana sakit.
2. Saya bukan dari sektor kerajaan.
3. Malaysia bukan di benua Afrika.
4. Buku ini bukan untuk anda.
Kata "bukan" dan "tidak" dalam keempat-empat ayat di atas tidak boleh saling berganti. Oleh sebab itu,
perhatian harus diambil dalam penggunaan kata "bukan" dan "tidak".

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku untuk ayat nafi ialah kekeliruan antara penggunaan kata "bukan" dan
"tidak".

Ayat tanya

Ayat tanya dalam bahasa Melayu boleh dibentuk dengan tiga cara:
Cara-cara untuk membentuk ayat tanya
1. Membubuh tanda tanya pada akhir ayat penyata

Ayat penyata Ayat tanya
Tetamu sudah tiba. Tetamu sudah tiba?
Buah itu sudah masak. Buah itu sudah masak?
Mereka hendak menolong kita. Mereka hendak menolong kita?

Dengan tidak mengubah susunan ketiga-tiga ayat di atas, ayat-ayat tanya boleh dibentuk dengan tanda
tanya di hujung ayat-ayat penyata. Dalam pertuturan, ayat tanya di atas dinyatakan dengan suara
menaik pada akhir ayat.

2. Menggunakan partikel "kah"
Ayat-ayat tanya dalam bahagian di atas juga boleh disungsang melalui penggunaan partikel "kah" untuk
mencipta ayat tanya songsang:
Ayat penyata : Tetamu sudah tiba.
Ayat tanya : Sudah tibakah tetamu?
Ayat penyata : Buah itu sudah masak.
Ayat tanya : Sudah masakkah buah itu?

Penggunaan partikel "kah" dalam jenis ayat tanya ini adalah penting untuk mengelakkan kesamaran
makna.

3. Menggunakan pelbagai kata
Ayat tanya juga boleh dibentuk dengan menggunakan kata ada, apa, bila, bagaimana, berapa, mengapa,
mana, dan siapa.

Kata Ayat tanya
Tanpa partikel "kah" Dengan partikel "kah"
Apa : Apa yang kamu beli tadi?
Apakah yang kamu beli tadi?
Bagaimana : Bagaimana cara untuk mendaftar diri?
Bagaimanakah cara untuk mendaftar diri?
Bila : Bila ayah kamu pulang?
Bilakah ayah kamu pulang?

Kecuali kata "ada", yang lain dapat berdiri sendiri tanpa partikel "kah". Bagaimanapun, partikel "kah"
sering digunakan untuk maksud penegasan.

Kesalahan yang biasa berlaku
Kesalahan yang biasa berlaku ialah penggunaan partikel "kah" di hujung ayat. Umpamanya:
Tetamu sudah tibakah?
Buah itu sudah masakkah?
Mereka hendak menolong kitakah?
Kesalahan ini tertimbul kerana dipengaruhi oleh bahasa sehari-hari seperti berikut:
Tetamu sudah tibake?
Buah itu sudah masakke?
Mereka hendak menolong kitake?

"Ke" sebagai bentuk ucapan sehari-hari bagi "kah" tidak boleh digunakan dalam tulisan. Selain itu, "kah"
tidak boleh digunakan di hujung ayat.

Ayat songsang

Dalam ayat songsang, predikat terletak pada awal ayat dan subjek pula terletak pada hujung ayat. Ini
merupakan hal yang terbalik dalam ayat biasa:

AYAT BIASA SUBJEK + PREDIKAT
AYAT SONGSANG PREDIKAT + SUBJEK
AYAT PASIF OBJEK + KATA KERJA + SUBJEK

Ayat songsang memberikan lagi satu cara untuk menyatakan sesuatu supaya membantu menghidupkan
tulisan anda. Penggunaan ayat songsang sekali sekala akan menyebabkan bahasa anda akan lebih indah
dan segar. Selain itu, ayat songsang amat berguna jika anda perlu menekankan predikat, dan bukan
subjeknya. Semua jenis ayat dapat disongsangkan.

Susunan biasa Susunan songsang

Ayat inti Encik Yosri birokrat. Birokratlah Encik Yosri.
Kucing itu ke sana. Ke sana kucing itu.
Orang itu adik kamu? Adik kamukah orang itu?
Kamu belum makan? Belum makankah kamu?
Surat itu akan saya kirimkan. Akan saya kirimkan surat itu.
Saya ketinggalan bas pada hari itu. Ketinggalan bas saya pada hari itu.
Perhatikanlah bahawa dalam setengah-tengah ayat seperti di atas, partikel "kan" (untuk ayat tanya) dan
partikel "lah" (untuk ayat berita) perlu digunakan supaya jelas bentuk ayat songsang itu.

Ayat inti
Ayat inti ialah ayat yang paling ringkas. Ayat ini boleh digunakan untuk menerangkan sesuatu dengan
ringkas dan tepat, tanpa menimbulkan sebarang kesamaran makna. Umpamanya, jika anda menyatakan
"Emas ialah logam", tiada tafsiran makna lebih daripada satu. Oleh itu, ayat inti amat berguna untuk
menjelaskan sesuatu dengan konkrit. Selain itu, sasterawan sering menggunakan ayat inti untuk
mempercepatkan jalan cerita, atau untuk menimbulkan perasaan ingin tahu pembaca.

Ayat gabungan
Ayat gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua atau lebih ayat yang digabungkan menjadi satu ayat
dengan menggunakan kata penghubung seperti dan, serta, atau, tetapi, lalu, dan sebagainya untuk
mengaitkan pendapat yang berhubungan antara satu dengan yang lain. Bahasa Melayu mempunyai
enam pola ayat gabungan, iaitu:

1. Ayat dengan ayat
2. Subjek dengan subjek
3. Predikat dengan predikat
4. Adverba dengan adverba
5. Objek dengan objek.
6. Ayat gabungan dengan kata penghubung yang berpasangan.
Ayat pancangan
Ayat pancangan ialah ayat gabungan yang terdiri daripada satu ayat besar dan satu klausa (ayat kecil),
umpamanya:
Keluarga Ali berpindah ke Kuala Lumpur kerana penukaran kerjanya.
Jika hari hujan, saya tidak akan keluar dari rumah.
Angkatan tentera British tertewas di Singapura walaupun mempunyai lebih askar berbanding dengan
tentera Jepun
Analisis Kesalahan Bahasa

Ejaan dan Tanda Baca
Ejaan yang digunakan ialah ejaan menurut Sistem Ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972. Ejaan
ini juga digunakan dalam semua kamus-kamus terutamanya Kamus Dewan.
Calon harus memberikan perhatian terhadap perkara berikut:
a. Sistem keselarasan vokal
b. Ejaan kata terbitan
c. Ejaan kata majmuk
d. Ejaan kata pinjaman

Sistem Keselarasan Vokal
Pengguna bahasa Melayu terutamanya bangsa asing amat gemar menggunakan sistem keselarasan
vokal yang tidak tepat. Hal ini boleh didefinasikan sebagai pengaruh dialek.

Contohnya: hebuh, sinalai, olih, keleja
Sepatutnya : heboh, senarai, oleh, kerja

Ejaan Kata Terbitan
Awalan meN- menjadi men- apabila diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf d,c,j, sy
dan z, serta perkataan pinjaman yang mengandungi gugus konsonan yang bermula dengan huruf t dan s.

Contohnya :
deru - menderu
duga - menduga
caci - mencaci

Ejaan Kata Majmuk
Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya dianggap sudah mantap dan dieja
sebagai satu perkataan yang utuh, walaupun bentuk kata tersebut mempunyai dua kata dasar.
Perkataan yang demikian dieja sebagai satu perkataan. Bentuk tersebut ialah:

tanggungjawab
olahraga
tandatangan
matahari
suruhanjaya
jawatankuasa
sukarela
warganegara
setiausaha
kakitangan
pesuruhjaya
bumiputera
antarabangsa
beritahu
kerjasama
Selain contoh yang ditunjukkan di atas, ejaan kata majmuk ditulis terpisah.
Contoh:
jalan raya
tunjuk ajar
ambil alih
kuat kuasa
kenal pasti
ibu bapa
campur aduk
daya serap

Ejaan Kata Pinjaman
Kesalahan penggunaan ejaan kata pinjaman merupakan akibat pengaruh ejaan bahasa sumber bagi kata
yang telah mantap, kekeliruan antara bunyi sebutan dengan sistem visual bagi ejaan dan ejaan kata
khusus yang menggunakan nombor.
Contoh:
klas, plan, klab, gran - kelas, pelan, kelab, geran
psikoloji, otomatik, kota - psikologi, automatik, kuota
dekad ke 10, abad ke 20 - dekad ke-10, abad ke-20

Perbendaharaan Kata
Calon mestilah mempunyai perbendaharaan kata yang luas supaya senang mengenal pasti kesalahan
penggunaan kosa kata. Di samping itu, pemilihan kata mestilah bersesuaian dengan maksud sesuatu
ujaran.

1. Kata-kata yang mempunyai konotasi yang tertentu
Setiap perkataan mempunyai makna konotasi dan denotasi. Misalnya, perkataan kesan dan akibat.
Perkataan kesan bermaksud apa-apa yang timbul daripada sesuatu tindakan, keputusan yang boleh jadi
baik atau buruk. Manakala perkataan akibat bermaksud kesan yang buruk akibat perbuatan dan
tindakan. Oleh yang demikian calon harus memilih konteksnya yang sesuai.

Contoh:

(a) Kesan daripada keletihannya berlatih bola sepak menyebabkannnya terpelecok lalu jatuh.
- Kata akibat lebih sesuai digunakan kerana mempunyai konotasi yang tidak baik.
(b) Sistem lampu isyarat yang baru diperkenalkan itu mengakibatkan perjalanan kereta menjadi tidak
lancar.
- kata menyebabkan lebih sesuai untuk menerangkan situasi ini.

Penggunaan Bentuk Jamak
Penggunaan bentuk jamak sering kali disalahgunakan, bukan sahaja dalam situasi lisan tetapi juga dalam
tulisan. Kadang kala, bilangan sudah dinyatakan tetapi kata nama masih digandakan untuk menunjukkan
maksud jamak.

Salah : Semua peserta-peserta diminta bersiap sedia.
Betul : Semua peserta diminta bersiap sedia.
Salah : Para-para jemputan diminta memakai pakaian kebangsaan.
Betul : Para jemputan diminta memakai pakaian kebangsaan.
Salah : Semua pelajar-pelajar diminta memakai lencana sekolah.
Betul : Semua pelajar sekolah diminta memakai lencana sekolah.

Penggunaan Kata Ganti Nama Diri
Penggunaan kata ganti nama diri yang sesuai amat penting apabila kita berkomunikasi dengan lawan
tutur. Kita kerap menemui penggunaan kata ganti nama diri yang tidak tepat dengan situasi penggunaan
bahasa.

Salah : Serigala itu mati. Ia ditembak oleh pemburu.
Betul : Serigala itu mati. Serigala itu ditembak pemburu.
Salah : Apakah yang mereka tulis?
Betul : Apakah yang ditulis oleh mereka?
Salah : Beliaulah pelajar yang selalu ponteng Kelas Bahasa Melayu.
Betul : Dialah pelajar yang selalu ponteng kelas Bahasa Melayu.

Anda mungkin juga menyukai