Anda di halaman 1dari 2

Bahagian A

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hubungan yang baik sesama


jiran amat penting dalam kehidupan bermasyarakat.Jiran dapat didefinisikan
sebagai orang yang tinggal hampir dengan tempat kediaman kita. Pada era
globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri semakin menebal dalam kalangan
masyarakat seperti pepatah yang berbunyi, bagai enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing.Oleh itu, kita haruslah mengatur langkah proaktif untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kerana jiran sepakat
membawa berkat.
Satu daripada usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti gotong-
royong.Sesungguhnya, aktiviti gotong-royong perlu diadakan di setiap kawasan
kediaman dari semasa ke semasa.Sehubungan dengan itu, masyarakat setempat
dapat berkumpul dan berbincang tentang aktiviti yang akan dilaksanakan oleh
mereka secara bergotong-royong.Sebagai contoh, mereka boleh membersihkan
kawasan kediaman mereka secara bergotong-royong.Pada dasarnya, aktiviti
gotong-royong dapat mewujudkan peluang kepada masyarakat setempat untuk
berkenal-kenalan dengan jiran.
Selain itu, amalan ziarah-menziarahi juga dapat memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.Dalam hal ini, kita tidak seharusnya
menjadikan kesibukan mencari rezeki sebagai alasan untuk tidak menzirahi jiran,
bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.Sehubungan
dengan itu, kita sewajarnya menziarahi jiran supaya kita dapat berkongsi suka dan
duka.Hal ini sudah tentu akan melahirkan rasa hormat dan kasih sayang sesama
jiran.Pokok pangkalnya, kita dapat menjalinkan hubungan yang baik sesama jiran
sekiranya kita membudayakan amalan ziarah-menziarahi dalam kehidupan harian.
Di samping itu, penganjuran rumah terbuka turut dapat melahirkan
hubungan baik sesama jiran.Kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia membuka
ruang kepada mereka untuk mengadakan majlis rumah terbuka semasa perayaan-
perayaan tertentu seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Deepavali dan
Krismas.Apabila berkunjung ke majlis rumah terbuka, masyarakat akan dapat
mengenali adat dan budaya kaum lain. Hal ini akan dapat mewujudkan
persefahaman dan penerimaan terhadap budaya masyarakat berbilang kaum seperti
yang digambarkan oleh peribahasa, tak kenal maka tak cinta.Pendek kata,
penganjuran majlis rumah terbuka dapat mempererat hubungan silaturahim
sesama masyarakat.
Kesimpulannya,semangat kejiranan tidak boleh dipandang enteng oleh
masyarakat kita. Hal ini demikian kerana semangat kejiranan berpotensi untuk
melahirkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.Tanpa perpaduan, negara akan
berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam
keadaan aman dan damai.Apabila keadaan ini berlaku, agenda pembangunan
negara turut terbantut.Oleh itu, masyarakat Malaysia perlu menyemai semangat
kejiranan dalam diri masing-masing, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di
situ ada jalan.

Anda mungkin juga menyukai