Anda di halaman 1dari 7

PERANAN KEPIMPINAN GURU MEMPENGARUHI KEBERKESANAN PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN SEJARAH DALAM IKLIM BILIK DARJAH


Kamarol Baharen Mohd Rom
Johan @ Eddy Luaran (Ph.D)
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi MARA
ABSTRAK
Berteraskan hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia yang dinamik serta drastik dalam
menjadikan subjek Sejarah sebagai wajib lulus berkuatkuasa tahun 2013, adalah merupakan satu
pengiktirafan kepada warisan dan khazanah Negara dalam mengekalkan fakta dan maklumat
sahih kepada generasi Negara di masa hadapan. Subjek sejarah mengupas ketemadunan
sesebuah negara bangsa dan fakta warisan budaya negara yang perlu dipelihara sebagai
peninggalan wasiat warisan bangsa yang berdaulat. Generasi hari ini adalah pemangkin
pewaris masa depan yang akan mendokong prinsip serta hala tuju negara. Selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk membentuk perkembangan potensi
individu secara holistik dan bersepadu supaya dapat menghasilkan pelajar yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru, memahami kepentingan
mempelajari subjek sejarah sebagai tunggak jati diri dan sejarah ketemadunan negara adalah
menjadi keutamaan dalam usaha menerap ilmu dan memperkasa semangat kenegaraan yang
dipupuk melalui pembelajaran yang berterusan di sekolah. Di tinjau dari aspek peranan
kepimpinan guru dalam menerapkan ilmu sejarah secara bersepadu berlandaskan Falsafah
Pendidikan Guru, yang memartabatkan profesion keguruan ke arah guru mendokong pekerti
mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi Negara serta
menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara
suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin, menggalas peranan
Guru sebagai agen perubahan dan kepimpinan dalam pendidikan yang bermula dari dalam bilik
darjah melalui proses pendidikan formal atau informal seterusnya diperluaskan di sekolah,
masyarakat dan negara. Justeru fokus perbincangan kertas kerja ini adalah mengenai peranan
kepimpinan guru mempengaruhi keberkesanan pengajaran dan pembelajaran sejarah dalam
iklim bilik darjah yang menjurus kepada Persepsi guru mengenai peranan kepimpinan guru,
Kepimpinan Pengajaran, Peranan kepimpinan guru dan Peranan kepimpinan guru Berkesan.
Seterusnya perbincangan memberikan penekanan mengenai aspek Faktor-faktor yang
mempengaruhi iklim bilik darjah, Membentuk Agenda Bilik Darjah, Kaedah Pelaksanaan Bilik
Darjah yang Efektif: Iklim yang Sesuai untuk Pembelajaran Sejarah, serta halangan dan cabaran
guru dalam mengimplikasikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

PENGENALAN
Dalam perkembangan isu peranan kepimpinan dalam pendidikan, didapati banyak kajian dilakukan
terhadap kepimpinan pengetua (Crowther, 1997; Sashkin & Sashkin, 1993) berbanding peranan
kepimpinan guru di dalam bilik darjah. Menurut Banathy (1991) systemic change adalah segala
perubahan yang berlaku pada sesuatu bahagian dalam sistem organisasi yang mempengaruhi keseluruhan
organisasi dan seterusnya akan membawa perubahan baru kepada organisasi tersebut. Apabila systemic
change ini dikaitkan dengan peranan kepimpinan guru, pengertian peranan kepimpinan guru adalah satu
unit yang akan mempengaruhi keseluruhan keberkesanan sesebuah sekolah. Perbezaan dalam pencapaian
murid-murid dalam sekolah turut dipengaruhi oleh perbezaan yang ketara dalam diri guru-guru yang
menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah sekolah tersebut.

Persepsi Guru mengenai Peranan Kepimpinan Guru


Secara sinonim guru mempunyai persepsi bahawa peranan kepimpinan guru terletak di bahu pengetua
atau pentadbir sekolah. Menurut Blase dan Blase (1998) asas kejayaan sebuah sekolah bukannya
disebabkan oleh pemimpin pengajaran iaitu pengetua atau guru besar sahaja tetapi adalah didorong oleh
kordinasi dan kolaborasi para guru selaku pemimpin pengajaran manakala pengetua adalah sebagai
penyelaras atau pentadbir.
Guru beranggapan bahawa peranan mereka hanya mengajar murid-murid mengikut sukatan
pelajaran yang disediakan dan secara teknikalnya bagi memastikan sukatan pelajaran yang diperuntukkan
perlu dihabiskan mengikut jangka masa yang ditetapkan. Sparks (2003) berpendapat bahawa guru adalah
agen-agen perubahan yang penting dalam memastikan sekolah mereka menjadi sekolah yang berkesan.

Definisi Peranan Kepimpinan Guru


Cubaan (1984) mendefinisikan kepimpinan sebagai usaha atau tindakan mempengaruhi pihak lain dengan
secara informal atau tidak formal bagi bertujuan untuk mencapai matlamat yang dihasratkan. Kepimpinan
yang baik akan sentiasa membawa perubahan positif ke atas pihak yang dipimpin. Drath dan Palus (dlm,
Yukl, 2002) mengatakan kepimpinan adalah proses menerima apa yang orang lain lakukan secara
bersama dengan itu orang akan faham dan menjadi komited.
Southworth (2002), mendefinisikan peranan kepimpinan guru adalah berkait dengan pengajaran
dan pembelajaran termasuk pembelajaran profesion guru-guru dan juga perkembangan murid. De Bevoise
(1984), pula menegaskan bahawa peranan kepimpinan guru ialah segala tindakan yang dilakukan oleh
seseorang pengetua atau pihak-pihak yang diamanahkan untuk menggalakkan pertumbuhan pembelajaran
di kalangan murid-murid. Oleh itu, guru sewajarnya mengambil berat terhadap pengajaran dan
pembelajaran termasuk pembelajaran profesionnya mahupun perkembangan murid itu sendiri.
Berdasarkan beberapa definisi di atas, kepimpinan adalah sebagai seni atau proses mempengaruhi
kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas dan tanggungjawab mereka yang mana keterlibatan
mereka adalah secara suka rela dan berusaha ke arah keberkesanan dan pencapaian matlamat organisasi.
Sungguhpun demikian, apabila kepimpinan dibincangkan daripada perspektif pendidikan, seringkali
kepimpinan dikaitkan dengan peranan kepimpinan guru di sekolah dan bilik darjah.
Matlamat umum peranan kepimpinan guru ialah untuk menambah nilai (value added) atau
mengekalkan keadaan-keadaan yang menggalakkan suasana pembelajaran murid. Kemahiran dan
kecekapan peranan kepimpinan guru yang diamalkan pentadbir sebuah sekolah perlu ada istilah
perkongsian bersama atau didelegasi kepada guru-guru yang terlibat dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu, pentadbiran sekolah perlu mengambil berat memimpin guru ke arah
kecemerlangan dalam program-program pengajaran dan pembelajaran. Antaranya, isu pengajaran dan
pengurusan yang merangkumi penilaian guru dan murid, iklim sekolah, kurikulum dan kokurikulum,
sumber dan peralatan mengajar (ABM), kakitangan, kaedah membuat keputusan, matlamat pengajaran
jangka pendek/panjang, sokongan komuniti, komunikasi dan interaksi antara pengetua sebagai pentadbir
sekolah dengan guru perlu diberi kemahiran yang sewajarnya.
Kajian menunjukkan dalam proses memimpin program-program pengajaran, peranan guru
sebagai peranan kepimpinan guru memerlukan kecekapan teknik pendidikan dan kecemerlangan
akademik yang boleh dilaksanakan dalam bentuk strategi yang berkesan. Oleh kerana pelbagai aspek
pendidikan tidak statik dan seringkali berubah-ubah seperti program pendidikan yang bertambah
kompleks; peningkatan profesionalisme dan pengkhususan guru; pengenalan teknologi pendidikan
sebagai satu sumber kaedah pengajaran dan pembelajaran; harapan komuniti dan ibu bapa; dan perubahan
kurikulum. Ini semua akan mewujudkan desakan dan tuntutan baru yang perlu diambil kira dalam
merealisasikan peranan kepimpinan guru.
Hook dan Vass (2000) mendefinisikan peranan kepimpinan guru bilik darjah sebagai satu
kemahiran di mana guru menggunakan gaya kepimpinan untuk ketrampilan dirinya dan berkomunikasi
dengan yang lain. Selain dari itu, kemahiran ini adalah satu kebolehan untuk mengaitkan perkara yang
berlaku sehari-hari dengan interaksi dua pihak. Kemahiran ini juga merupakan kebolehan guru untuk

menyampaikan visi kepada murid-murid dan dapat menyakinkan serta mempengaruhi mereka. Peranan
kepimpinan guru wujud dalam keadaan dimana murid-murid memperolehi sesuatu maklumat atau input
yang mereka tidak jangka dapat capai di dalam setiap bilik darjah, atau setiap kali apabila terdapat
perkembangan yang positif yang secara langsung akan mempengaruhi personaliti mereka atau apabila
seorang guru mengangkat tangan semua murid dalam bilik darjah menjadi senyap; atau setiap kali muridmurid mengharapkan panduan atau teladan dari seseorang guru.
Menurut Hook dan Vass (2000), peranan kepimpinan guru yang berkesan memerlukan guru yang
memiliki kemahiran-kemahiran yang merangkumi, boleh mengembangkan keupayaan untuk memahami
dan mempunyai visi; mempunyai kemahiran menghasilkan hubungan yang berkesan; memahami tingkah
laku dan keinginan murid-muridnya; memahami bilik darjah adalah satu sistem; dan berkebolehan
mencari penyelesaian dan menganalisis maklumat.
Bagi menghasilkan pengajaran berkesan, Fenstermacher dan Soltis (1998) menyarankan tiga
pendekatan iaitu Pendekatan Eksekutif; Pendekatan Empati; dan Pendekatan Liberal.
Proses pengajaran dan pembelajaran secara normal berlaku di dalam bilik darjah yang mana
murid-murid yang mengikuti pengajaran merupakan responden dan guru berperanan sebagai pemimpin.
Pembelajaran yang bermakna selalu dikaitkan dengan kualiti peranan kepimpinan guru sama ada berjaya
mendorong; bertindak sebagai perujuk; dan berkebolehan mempengaruhi murid untuk berusaha mencapai
sesuatu objektif umpamanya objektif pembelajaran. Pelaksanaannya dapat dijayakan sewaktu proses
pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan merujuk kepada usaha yang digerakkan ke
arah pencapaian hasil pembelajaran mengikut topik yang diajar. Kejayaan guru sebagai pemimpin akan
terserlah dalam keupayaannya membuat perubahan di dalam bilik darjah menerusi kolaborasi bersama
murid-murid ke arah pencapaian matlamat pengajaran dan pembelajaran. Peranan kepimpinan guru juga
dikaitkan dengan orang yang berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal perjalanan proses dan
membentuk strategi bagi mencapai matlamat. Oleh itu, pemimpin harus berkebolehan dan berupaya
mengubah penakulan tingkah laku atau sikap subordinat bagi mendorong ke arah pencapaian matlamat.

Ciri-ciri peranan kepimpinan guru


Menurut Shippen dan Shippen (2004), seorang guru yang mempunyai kepimpinan yang berkesan
memiliki tujuh ciri kepimpinan iaitu boleh membentuk dan menyampaikan visi yang jelas di dalam bilik
darjah Buhler (1995), mempunyai kebolehan memimpin dan fleksibel serta keterbukaan (Zenger &
Folkman, 2004), berkebolehan untuk memimpin dan menjadi contoh serta teladan role model kepada
murid-muridnya, bijak dan cekap membuat keputusan yang memberikan kebaikan kepada muridnya
dengan tidak menjejaskan kepentingan organisasinya (Chek Mat, 2003), mengikis sifat mementingkan
diri sendiri sebaliknya mengutamakan kepentingan dan kebajikan murid-muridnya (Shippen & Shippen,
2004) walaupun kadangkala mendatangkan kesulitan kepada dirinya sendiri, membuat pertimbangan yang
seimbang dan rasional bertujuan mengelak perasaan ketidakpuasan hati dalam kalangan muridnya,
bersifat jujur dan merendah diri bagi tujuan membina jalinan hubungan yang positif antara guru dan
murid secara telus (Zenger & Folkman, 2004), dan berusaha mengamalkan pembelajaran secara
berterusan untuk tujuan mempertingkatkan serta menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran diri.
Menurut Kane (2001), ilmu pengetahuan yang diperolehi oleh guru secara pembelajaran berterusan akan
meningkatkan keberkesanan pengajarannya di dalam kelas. Impaknya, situasi pengajaran dan
pembelajaran didalam bilik darjah menjadi lebih realistik, sistematik dan terkawal.
Lashway (2002), telah membincangkan peranan kepimpinan guru untuk menjana keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran daripada program Leading Learning Communities yang dibangunkan oleh
National Association of Elementary School Principals (NAESP). NAESP telah merumuskan peranan
kepimpinan guru untuk menjana keberkesanan pengajaran dan pembelajaran iaitu; dengan mendorong
murid-murid supaya mengutamakan usaha belajar; menentukan harapan pada pencapaian yang tinggi;
menyesuaikan kandungan pengajaran dan pembelajaran ke arah piawaian yang standard; menggunakan
pelbagai sumber data untuk menilai pembelajaran; dan mengaktifkan sokongan komuniti atau pihak yang
berkepentingan stake holder untuk kejayaan sekolah.

Faktor-Faktor yang Mempengaruhi Iklim Bilik Darjah


Hook dan Vass (2000), telah merujuk budaya bilik darjah yang efektif dengan cara mengenal pasti
beberapa faktor yang mempengaruhi iklim bilik darjah iaitu; mencari keseimbangan antara dorongan
dengan teguran, membangunkan rapport bersama murid; melibatkan murid dengan aspirasi dan harapan;
mengekalkan hubungan kerja yang sempurna, mengamalkan cara membuat pilihan yang bererti; memberi
jaminan faktor keselamatan dan keyakinan; meletakkan diri murid sebagai sebahagian daripada bilik
darjah; fokus kepada perkara baik yang dilakukan; dan ketrampilan guru.

Menjadi Pemimpin Pengajaran yang Berkesan


Glickman (1990) menegaskan bahawa peranan kepimpinan guru akan dapat dijalankan dengan berkesan
sekiranya pemimpin tersebut mempunyai tiga kategori utama iaitu keperluan menguasai ilmu
pengetahuan yang luas; tugasan dan tanggungjawab; dan keperluan mempraktik kemahiran dan
kepakaran.
Seorang guru yang mengajar mata pelajaran Sejarah wajib menguasai pengetahuan yang
mendalam dalam bidang ini untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan
lancar. Apabila murid mengemukakan soalan, guru dapat memberi respon yang positif dan memenuhi
keperIuan ingin tahu murid yang mana keyakinan diri murid dapat dipupuk. Apabila memberi tugasan
kepada murid, guru harus menekankan pada matlamat setiap tugasan dan murid pula patut memahami
prosedur menimba ilmu dangan penemuan diri. Peranan kepimpinan guru dalam bilik darjah memerlukan
kemahiran yang mana merangkumi dua aspek iaitu kemahiran intrapersonal dan interpersonal serta
kemahiran teknikal. Kemahiran intrapersonal dan interpersonal merupakan upaya meneka mood, tujuan,
motivasi dan perasaan murid sewaktu berdepan dengan mereka dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Guru yang mengguna dan menguasai kemahiran ini akan berjaya menguasai murid serta
suasana pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Guru yang berada di dalam bilik darjah harus
sensitif pada air muka, suara dan pergerakan anggota badan murid. Kebolehan dan keprihatinan guru
mengecam dan mengenal sifat murid di dalam kelas membolehkannya memupuk budaya murid minat
untuk belajar dan meneroka khususnya subjek Sejarah yang menekankan fakta dan peringatan serta
hafalan. Disamping itu, Guru Sejarah perlu menguasai kemahiran ICT dan teknikal termasuk pengurusan
alat bantu mengajar seperti komputer, projektor LCD, Video, carta dan sebagainya bagi memperlihatkan
proses pengajaran dan pembelajaran lebih berintraktif dan kepelbagaian. Dalam masa yang sama guru
boleh menggunakan borang, bahan edaran serta keratan akhbar untuk menjalankan proses pengajaran dan
pembelajaran lebih kondusif dan mencabar.
Menurut kajian Porter dan Brophy (1988) terhadap pengajaran, terdapat tujuh penentu utama guru
yang berkesan iaitu; dapat mencapai matlamat akademik dan sosialisasi, mempunyai penguasaan isi dan
pengetahuan yang mendalam, penerangan yang jelas dan terperinci; menjadi model dan melatih murid
untuk memproses maklumat; membetulkan salah faham permahaman fakta atau content dalam kalangan
murid; memperkembangkan pengalaman murid dan mendambarkan diri sebagai seorang guru yang
reflektif.

Membentuk Agenda Bilik Darjah


Agenda bilik darjah sangat penting untuk menentukan implementasi pelan peranan kepimpinan guru. lni
akan membentuk iklim bilik darjah yang sihat untuk pembangunan akademik dan sosial murid-murid.
Menurut Hook dan Vass (2000) ada empat kunci utama dalam agenda bilik darjah iaitu hak,
tanggungjawab, peraturan dan rutin.
Ketika mengaplikasikan teori kepimpinan di dalam bilik darjah, guru memerlukan satu respon
yang jelas, yang boleh disampaikan, yang berkerangka untuk membuat sesuatu keputusan ke atas tingkah
laku murid. la merupakan satu kerangka yang boleh diterima dan difahami oleh murid pada situasi
tertentu. Keputusan yang dibuat hendaklah berdasarkan pertimbangan atas had yang telah dipersetujui dan
dipatuhi dari segi empat hak asasi murid iaitu; hak murid untuk belajar; hak guru untuk mengajar; hak

setiap individu untuk aspek keselamatan dari segi fizikal dan psikologi; dan hak setiap individu untuk
taraf penghormatan dan kemuliaan.
Berdasarkan hak asasi tersebut, pengurusan tingkahlaku dalam kelas adalah hak mutlak guru
dalam mengatasi kekeliruan yang timbul di dalam bilik darjah. Dalam pada itu, guru dapat memenuhi
tanggungjawab profesionalisme kerana berkuasa atas perlindungan hak individu dalam aspek
keselamatan. Murid mesti berasa kondusif dan selamat sebelum menjalani proses pembelajaran yang
berkesan.
Hak dan tanggungjawab adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Tanggungjawab
peranan kepimpinan guru berfokus pada tingkah laku murid untuk membuat keputusan atau pemilihan
secara positif. Sebagai seorang guru, usaha mendorong murid untuk memilih tingkah laku yang
bertanggungjawab ke arah peranan kepimpinan guru yang berkesan adalah rumit. Guru harus mendorong
murid supaya bertanggungjawab ke atas perlakuan dan usaha diri demi mencapai kejayaan yang diingini.
Di sekolah, kita sentiasa menekankan kepentingan peraturan dan undang-undang sekolah. Semasa
proses pengajaran dan pembelajaran, kita perlu menekankan peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi oleh
murid bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajran berjalan seperti yang dirancangkan. Guru
mesti membezakan antara peraturan dan rutin.
Peraturan pertama, memastikan guru dapat mengajar dan murid dapat belajar dalam suasana yang
kondusif. Disini tanggungjawab peranan kepimpinan guru akan memberikan taklimat tentang peraturan
dalam pertemuan pertama dengan murid murid yang menyentuh perkara-perkara mengenai; peraturan
bercakap/berbisik, respons kepada soalan, guru keluar kelas, agihan buku dan bahan mengajar, permulaan
pelajaran dan akhir pelajaran, bagi memastikan mereka akur dan patuh pada pra-peraturan yang diberikan.
Kedua, menetapkan bahawa akan jaminan keselamatan fizikal dan psikologikal harta sekolah. Ketiga,
untuk menjaga hak dari segi kehormatan dan kemuliaan. Ketiga-tiga peraturan adalah satu panduan untuk
guru bagi memastikan murid memahami serta mematuhi kehendak peraturan yang telah diwartakan oleh
sekolah.
Rutin berbeza dengan peraturan kerana rutin mengutamakan aspek pentadbiran dan prosedur
yang diperlukan supaya suasana bilik darjah terurus dengan baik. Rutin merupakan satu set perilaku yang
perlu dilaksanakan untuk membantu kejayaan murid. Selain itu, rutin bilik darjah merujuk kepada
aktiviti-aktiviti bilik darjah seperti menanda jadual kedatangan murid, menyemak keadaan fizikal bilik
darjah atau makmal, mengedar alat bantu mengajar, mengutip dan memulangkan buku latihan dan
sebagainya.

Kemahiran-kemahiran yang diperlukan


Iklim yang sesuai untuk pembelajaran dapat dihasilkan apabila guru dapat memastikan wujud
persekitaran yang sesuai untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.
Dalam konteks ini, pengarapan misi kelas dan murid harus jelas dan mudah difahami. Guru-guru perlu
mempunyai peranan sebagai membantu mempromosi bilik darjah sebagai tempat untuk pembelajaran
akademik, selain melaksanakan perkara- perkara berikut: Penekanan kepada Pengajaran Asas; Jangkaan
guru bahawa semua murid berkebolehan mencapai kecemerlangan berdasarkan matlamat Falsafah
Pendidikan Negara; Kewujudan satu sistem objektif pengajaran yang jelas untuk mengawasi Prestasi
Murid; dan mengimplimentasikan pelaksanaan pengajaran Sejarah secara berkesan, bersistematik dan
mempunyai keunikan apabila mempelajarinya.
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah guru harus bertindak membuat
refleksi diri sebelum, semasa dan selepas setiap sesi pengajaran. Sebelum sesi pengajaran, guru hendaklah
membuat refleksi untuk merancang dan bersedia untuk memulakan pengajaran. Semasa proses pengajaran
guru harus bertindak untuk memaksimakan segala ilmu dan kaedah penyampaian berkesan dalam
menguasai mood, suasana serta interaktif dua hala bersama murid. Selepas pengajaran, guru refleks apa
yang telah dilakukannya, dipertuturkan dan direncana di dalam bilik darjah. Guru subjek sejarah
digalakkan menulis diari atas refleks diri untuk rujukan masa hadapan serta membaiki kesilapannya.
Sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan, guru boleh mengamalkan pembelajaran

kolaboratif. lni bermaksud murid dalam keadaan positif dan berdikari, bertanggungjawab, bekerja dalam
kumpulan dan bergaul mesra dengan ahli-ahli kumpulan untuk menjalankan tugasan yang spesifik.
Seterusnya, murid berfikir untuk penyelesaian masalah yang ditujukan kepadanya. Guru pula perIu
menentukan objektif pengajaran yang sesuai dan menentukan saiz kumpulan umpamanya kumpulan yang
bercorak-heterogen membolehkan setiap ahli mempunyai peranan yang spesifik. Dalam usaha mencari
penyelesaian masalah, murid perIu berbincang antara kumpulan, menjalankan sesi eksperimen serta
mencari rujukan samada daripada medium guru, buku atau internet. Dalam konteks ini, guru sebagai
pemerhati dan fasilitator menilai proses pembelajaran murid serta hasil tugasan mereka. Dengan kaedah
pendekatan ini, murid berpeluang untuk berkembang mengikut kebolehan dan keyakinan diri khususnya
dalam penerokaan pencarian fakta atau urutan sejarah dari setiap penemuan dan aktiviti yang dilakukan.
Di akhir sesi, guru harus memberi pujian dan sokongan serta ganjaran ke atas usaha yang ditunjukkan
oleh murid dalam penglibatan mereka dalam proses pembelajaran yang aktif dan memanipulasi ruang
bilik darjah sebagai sumber berinteraksi yang berkesan.

RUMUSAN
Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Penagajian Tinggi Malaysia menghadapi kesukaran
untuk membekalkan unjuran pengambilan guru Sejarah secara konsisten berdasarkan kepada keperluan
semasa dan pergerakan guru sejarah yang mengajar tidak mengikut opsyen atas permintaan pentadbir
sekolah. Permasalahan wujud apabila terdapat permintaan dan kekurangan guru; guru-guru yang tidak
mempunyai opsyen yang sesuai untuk mengajar mata pelajaran tertentu; saiz kelas yang besar; calon
temuduga opsyen Sejarah yang tidak layak dan sebagainya. Kekurangan ini merupakan kekangan kepada
pengetua sekolah untuk melaksanakan peranan sebagai peranan kepimpinan guru. Masalah ini telah
menyebabkan mereka terkeliru mengenai cara yang sesuai untuk menyempurnakan tanggungjawab
sebagai peranan kepimpinan guru yang berkesan. lmplikasinya, ada kalangan pengetua tidak dapat
memotivasikan guru-gurunya ke arah kecemerlangan dan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.
Sekolah adalah satu unit organisasi pendidikan yang mana guru perlu melibatkan diri dalam
aspek peranan kepimpinan guru disamping kepimpinan pendidikan. Berpegang kepada teori,
tanggungjawab guru terhadap pengajaran ialah memastikan segala tenaga dan usahanya ke arah
pencapaian program pendidikan yang berkesan. Tanggungjawab ini termasuklah mengadakan matlamat
dan objektif pengajaran dan pembelajaran, dan membimbing para murid supaya kecekapan mereka dalam
pembelajaran dan lain-lain bidang kurikulum dapat dipertingkatkan. Tanggungjawab guru termasuk juga
memberi penegasan terhadap pencapaian rnatlamat dan objektif pembelajaran, membuat keputusan,
mengelolakan aktiviti serta bekerja dengan guru lain supaya matlamat tercapai.
Kajian Hallinger et al. (1983) yang menunjukkan ciri-ciri yang ada pada sesebuah sekolah
sebenarnya memberi kesan yang mendalam perlu diambil kira dalam membentuk model peranan
kepimpinan guru yang berjaya. Peranan kepimpinan guru yang diamalkan oleh guru bukan sahaja boleh
menentukan pencapaian matlamat sebuah bilik darjah malah memberi kesan ke atas semua individu yang
ada dalam bilik darjah tersebut. Guru harus bertindak termasuk merefleksi diri; cuba melaksanakan
pembelajaran secara kolaboratif dan penyelesaian masalah dalam menuju ke arah menwujudkan peranan
kepimpinan guru yang berkesan.

RUJUKAN
Banathy, B. H. (1991). Systems design of education: Ajourney to create the future. EnglewoodCliffs, NJ:
Educational Technology.
Blase, J., & Blase, J. (1998). Handbook of instructional leadership. How really good principals promote
teaching and learning. Thousand Oaks, CA: Corwin.
Buhler, P. (1995). Leaders vs managers. Supervision, 56(5), 24-26.
Chek Mat (2003). Kemahiran memimpin: Kuala Lumpur: Utusan.
Crowther, F. (1997). The William Walker Oration, 1996: Unsung heroes: The leader in our classroom.
Journal of Educational Administration, 35(1), 5-17.
Cuban, L. (1984). Transforming the frog into a prince: Effective school research, policy and practice at
the district level. Harvard Education Review, 54(2), 129- 151.De Bevoise, W. (1984). Synthesis
of research on the principal as instructional leader.Educational Leadership, 41, 14-20.
Fenstermacher, G., & Soltis, J. (1998). Approaches to teaching (3rded.). New York:
College. Field, R. (2004). Leadership in classrooms. Dimuat turun September 15,2005, daripada:
www.bus.ualberta.calrfield.
Hallinger, P., Murphy, J., Well, M., Mesa, R. P., & Mitman, A. (1983). School effectiveness:Identifying
the specific practices, behaviors for principals. NASSP Bulletin,67(463),83-91.
Hook, P., & Vass, A., (2000). Confident peranan kepimpinan guru. London: Fulton.
Kane, M. (2001). Leadership requirements and leadership development. Dimuat Turun September
15,2005, daripada: www.execuiteveevolution.com.
Lambert, L. (2003). Leadership refined: An evocative context for teacher leadership. School Leadership
and Management, 23(4),421-430.
Lashway, L. (2002, July). Developing instructional leaders. ERIC Digest, 160. University of Oregon,
Clearinghouse on Educational Management. Dimuat turun September 21, 2005, daripada:
www.vtaide.com/png/ERIC/DevoIOPing- Instructional-Leaders. Htm
Sashkin, M., & Sashkin, M. G. (1993). Leadership and culture building in schools.Dim.
Shippen, M. E., & Shippen, S. J. (2004). Seven characteristics of affective leaders. Classroom Ledership,
7, 1-3.
Smith, W., & Andrews, R. (1990). Instructional leadership: How principals make a difference.
Alexandria, VA: ASCM.
Southworth, G. (2002). Instructional leadership in schools: Reflections and empirical evidence. School
Leadership and Management, 22(1), 73-92.
Sparks, D. (2003), Interview with Fullan: Change agent. Journal of Staff
Development, 24(1). [Atas
talian] http://www.nsdc.org/library /publications/jsd/fullan241.cfm Wilcox, S. (2005). Leadership
in
the
classroom.
Dimuat
turun
September
18,2005,
daripada:
www.queensu.ca/idc/trainerslhandlleaderlhtml
YukI,G.A. (2002). Leadership in organizations (5thed.). Upper Saddle River.Nr: Prentice.
Zenger, J. H., & Folkman, J. (2004). The handbook for leaders: 24 lessons forExtraordinary leadership.
New York: McGraw-Hill.

Anda mungkin juga menyukai