Anda di halaman 1dari 9

Kerjaya guru memerlukan seseorang itu berinteraksi dengan murid, rakan sejawat,

warga sekolah, ibu bapa serta komuniti luar. Namun, bagaimanakah guru dapat
menyerlahkan kepemimpinan sebagai seorang profesional? Bagi menjadi seorang guru
yang profesional, seseorang itu perlu memiliki empat atribut utama iaitu menguasai ilmu
pengetahuan secara mendalam, kecekapan dan kepakaran dalam bidang tertentu,
mempunyai kod etika untuk mengawal tingkah laku serta mendapat persetujuan yang
diberikan oleh masyarakat untuk beroperasi (Ornstein & Levine, 1993). Kepimpinan pula
memerlukan seseorang itu mengarah, membimbing dan mempengaruhi tingkah laku serta
kerja-kerja orang lain ke arah pencapaian matlamat spesifik dalam satu-satu keadaan yang
telah ditetapkan (Akhiar, Shamsina & Muhamad Kushairi, 2012). Dalam penulisan ini akan
menghuraikan peranan guru sebagai pemimpin profesional berdasarkan maklumat yang
diperoleh melalui temubual bersama seorang pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan, IPGK
Tuanku Bainun iaitu Puan Anbukarasi a/p Unnamalai. Beliau telah berkhidmat sebagai
pendidik selama 32 tahun yang mana beliau mengajar di sekolah rendah selama 4 tahun
manakala di sekolah menengah selama 15 tahun dan menjadi pensyarah akademik di IPGK
Tuanku Bainun selama 13 tahun.

Peranan utama guru sebagai pemimpin sewaktu di dalam bilik darjah adalah guru
menjadi seorang fasilitator bagi murid dalam sesi pembelajaran dan pemudah caraan
(PdPc). Hal ini termasuklah menjamin kemenjadian murid di samping merangka pengurusan
kelas yang mantap. Guru perlu mengenal pasti potensi pelajar dan membantu
memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh. Justeru, dengan kepakaran dan
pengetahuan yang mendalam terhadap sesuatu subjek, guru akan berkongsi ilmu dan
kemahiran serta membimbing murid demi mencapai hasil pembelajaran yang ditetapkan.
Guru akan menggunakan pelbagai cara untuk memastikan murid mampu memahami
sesuatu pelajaran itu dengan menggunakan kaedah pengajaran yang pelbagai seperti
kaedah bermain, bercerita dan didik hibur serta menggunakan bahan bantu mengajar yang
menarik. Selain itu, guru juga perlu peka tentang kemahiran masa kini sesuai dengan
peredaran zaman seperti ilmu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) yang mana perlu
diterapkan di dalam sesi PdPc selari dengan anjakan ke-11 dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (2013-2025) iaitu memanfaatkan TMK bagi meningkatkan kualiti
pembelajaran (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Hal ini dapat dilaksanakan dengan
mengaitkan tugasan murid dengan penggunaan komputer serta aplikasi asas seperti
Microsoft Office di dalam sesi pembelajaran. Di samping itu, guru juga perlu menekanakan
penerapan unsur nilai bagi menjamin pembentukan sahsiah yang baik dalam diri murid
seperti saling hormat-menghormati, tolong-menolong dan toleransi sesama rakan, guru, ibu
bapa dan juga orang lain. Guru pemimpin juga perlu menjadi mentor kepada murid dengan

1
menunjukkan suri teladan yang baik serta memberikan motivasi kepada murid supaya
mereka lebih bersemangat untuk belajar dan berjaya dalam bidang akademik, kokurikulum
dan sahsiah. Maka, kemenjadian murid akan tercapai dari aspek intelek, jasmani, rohani,
emosi dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Selain itu, peranan guru tidak terhad hanya di dalam bilik darjah sahaja, tetapi guru
boleh menjadi pemimpin kepada perubahan di luar bilik darjah dengan menerima lebih
tanggungjawab dalam membantu rakan sejawat ke arah amalan pendidikan yang lebih baik.
Hal ini boleh dilaksanakan melalui Komuniti Pembelajaran Profesional yang merujuk kepada
para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam membuat
inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi murid yang lebih baik (Rosenholtz,
1989). Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) dari Bahagian Pendidikan Guru menyatakan
aktiviti komuniti ini termasuklah jelajah pembelajaran, pembinaan rancangan pengajaran
harian, mereka bahan bantu mengajar yang menarik, sesi perkongsian guru serta bimbingan
rakan sebaya guru atau pembimbing instruksi. Guru sebagai pemimpin berperanan
mengetuai komuniti guru untuk memerhatikan pengajaran guru lain secara sistematik bagi
mengesan kelemahan dan melakukan penambahbaikan terhadap pengajaran guru.
Kepentingan perkongsian antara guru ini adalah supaya setiap guru dapat menerapkan
amalan pengajaran terbaik bagi menjalankan PdPc yang efektif (Chivers, 1997). Selain itu,
guru pemimpin juga boleh mengendalikan bengkel atau in-house training bagi berkongsi
ilmu dan kemahiran yang didapati sewaktu mengikuti seminar, bengkel atau konferens di
luar sekolah. Begitu juga apabila guru ditugaskan untuk menjalankan pentaksiran atau
menggubal soalan, peranan guru pemimpin adalah dengan mengadakan perbincangan dan
menyemak soalan tersebut bersama guru-guru lain bagi mengesan kesalahan dan
memberikan cadangan penambahbaikan item soalan. Hal ini menunjukkan peranan
pemimpin yang bertanggungjawab dalam memastikan kesahan dan kebolehpercayaan item
soalan tersebut.

Di samping itu, peranan yang perlu dilaksanakan oleh pemimpin profesional adalah
sentiasa membangunkan profesionalisme diri dengan menambah ilmu pengetahuan dalam
diri. Hal ini boleh dilakukan dengan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat yang
mana tahap pendidikan guru tidak hanya terhenti pada ijazah sarjana muda sahaja, namun,
guru boleh menyambung ke tahap sarjana dan doktor falsafah bagi meluaskan pengetahuan
dan menguasai kepakaran dalam sesuatu bidang (West-Burnham & O’Sullivan, 2010).
Maka, seseorang itu boleh menjadi Jurulatih Utama yang berperanan sebagai pembimbing,
pendorong dan penilai kepada guru-guru lain. Sehubungan dengan itu, amalan membaca
perlu dijadikan budaya seorang pemimpin profesional supaya sentiasa mengetahui informasi
terbaru dalam bidang pendidikan khususnya berkaitan pedagogi. Dengan adanya
2
pengetahuan mengenai pedagogi, guru dapat mengaplikasikan pelbagai pendekatan seperti
pendekatan teradun, pembelajaran abad ke-21 dan kelas mesra budaya agar dapat
mengubah paradigma pengajaran tradisional. Bukan itu sahaja, guru pemimpin juga perlu
menjalankan penyelidikan dan kajian tindakan secara individu atau berkumpulan dengan
membahagikan tugasan secara adil serta bertukar pendapat bagi menyelesaikan sesuatu
masalah yang dihadapi sewaktu sesi pdPc. Hal ini bagi menambah baik amalan pengajaran
guru di samping menghasilkan satu penulisan ilmiah yang dapat dijadikan rujukan oleh guru-
guru lain sama ada di luar atau di dalam sekolah. Pemimpin profesional yang baik perlu
mampu mencipta inovasi dalam pengajaran sebagai satu penemuan baharu dalam bidang
pendidikan yang mana akan menjadi ikutan guru-guru lain untuk menerapkan amalan
penyelidikan dan pemikiran secara kreatif, kritis dan inovatif. Guru juga perlu memantapkan
amalan diri sebagai seorang profesional seperti berani menyuarakan pendapat, bijak
membuat keputusan serta menjadi seperti seorang pemimpin transformasional.

Bukan itu sahaja, guru juga berperanan sebagai pemimpin sewaktu berkolaboratif
bersama ibu bapa dan komuniti luar. Kepimpinan guru dapat ditunjukkan melalui kebolehan
guru menarik minat ibu bapa untuk menyertai program sekolah, cara guru berurusan dengan
ibu bapa dan orang luar, cara percakapan yang berhemah serta penggunaan saluran yang
betul untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Guru yang tidak mempunyai ciri sebagai
pemimpin akan menunjukkan sikap yang tidak mesra serta cenderung untuk memberi
arahan secara menyuruh yang mana ia akan membuatkan ibu bapa dan komuniti luar
memandang serong terhadap guru. Kecekapan guru dalam mengurus penglibatan ibu bapa
dan komuniti luar dalam aktiviti sekolah jelas menunjukkan autoriti guru sebagai seorang
pemimpin (Blandford, 2009). Guru juga berperanan dalam mewujudkan semangat
kerjasama dalam kalangan warga sekolah, ibu bapa dan komuniti agar sesuatu program itu
dapat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif pelaksanaannya. Bukan itu sahaja, guru
juga bertindak sebagai pemimpin yang akan menjadi Jurulatih Utama Kumpulan Penggerak
Ibu Bapa Komuniti (PIBK). Menurut Wong, Noriati dan Boon (2018), tujuan penubuhan
kumpulan ini adalah bagi ibu bapa dan komuniti yang rela menjadi sukarelawan untuk
melatih murid-murid demi kecemerlangan anak mereka dari segi akademik, kokurikulum
mahupun sahsiah. Setelah dilatih oleh guru, PIBK akan menjalankan peranan seperti
jurulatih sukan, penceramah program motivasi dan tenaga pengajar bagi kelas tambahan di
luar waktu persekolahan mengikut kepakaran masing-masing.

Akhir sekali, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh Puan Anbukarasi, peranan
pemimpin profesional ini boleh dibahagikan kepada empat aspek iaitu luar lingkungan
sekolah, dalam sekolah, dalam bilik darjah dan budaya sekolah. Budaya sekolah ini
termasuklah guru berperanan sebagai pemudahcara pembelajaran dan pentaksiran,
3
mengembangkan pembangunan diri dan rakan sekerja, memastikan kemenjadian murid dan
menjalankan kolaborasi dengan komuniti luar. Peranan guru sebagai pemimpin profesional
amat penting bagi memastikan seluruh warga sekolah mampu merealisasikan visi dan misi
sekolah yang telah ditetapkan di samping mewujudkan budaya yang harmonis, bekerjasama
dan saling menghormati antara satu sama lain. Secara tidak langsung, hal ini juga mampu
meningkatkan prestasi sekolah kerana guru adalah penggerak utama dalam memastikan
kecemerlangan murid dalam bidang kurikulum atau kokurikulum. Tuntasnya, guru harus
menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin profesional bagi memastikan
kelancaran fungsi organisasi di dalam sekolah berjalan pada tahap maksimum selain
berusaha mencapai aspirasi sistem pendidikan negara yang dinyatakan dalam Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

4
RUJUKAN

Akhiar Pardi, Shamsina Shamsuddin & Muhamad Kushairi Jusoh. (2012). Asas Kepimpinan
& Perkembangan Profesional Guru. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Blandford, S. (2009). Mengurus Pembangunan Profesional di Sekolah. Kuala Lumpur:


Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Chivers, J. (1997). Pembinaan Kumpulan Bersama Guru. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan
Negara Malaysia Berhad.

Kementerian Pelajaran Malaysia . (2006). Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC).


Selangor Darul Ehsan: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ornstein, A. C. & Levine, D. V. (1993). Foundations of Educations. Boston: Houghton Miflin


Company.

Rosenholtz, S. (1989). Teachers' workplace: The social organization of schools. New York:
Longman.

West-Burnham, J. &. (2010). Mengembangkan Profesionalisme di Sekolah. Kuala Lumpur:


Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Wong, K. W., Noriati A. Rashid & Boon, P. Y. (2018). Asas Kepemimpinan dan
Pembangunan Profesionalisme Guru. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

5
Transkrip temubual bersama pensyarah

Natasha : Selamat petang, Puan Anbukarasi. Jadi, di sini saya ingin menemu ramah
Puan untuk mendapatkan maklumat mengenai peranan guru sebagai
pemimpin profesional. Baiklah, pemimpin itu mempunyai maksud tersendiri
iaitu apabila dia dapat mempengaruhi orang sekeliling untuk mencapai
matlamat yang sama. Profesional itu pula ada satu definisi lain yang
berlandaskan empat atribut dalam bidang pekerjaan seseorang itu. Jadi,
apakah peranan pemimpin profesional?
Puan Anbukarasi : Selamat petang. Baik, saya Anbukarasi a/p Unnamalai, pensyarah Jabatan
Ilmu Pendidikan. Emm… berkaitan dengan pemimpin profesional. Pemimpin
itu bila kita dapat mempengaruhi orang dalam persekitaran kita seperti rakan
sejawat, murid atau sesiapa sahaja yang terlibat dengan pekerjaan kita.
Profesional adalah setelah seseorang itu mendapat pendidikan tahap tinggi
mengikut pengkhususan bidang pekerjaan. Jika di Institut Pendidikan Guru
(IPG), guru pelatih akan mempelajari sesuatu sukatan yang telah ditetapkan
oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk satu tempoh tertentu
iaitu dalam 4 ke 5 tahun dan ada kod etika yang perlu dipatuhi. Kemudian,
dia akan diberi tanggungjawab untuk melaksanakan suatu tugas maka, dia
boleh dipanggil sebagai pemimpin profesional.
Natasha : Jadi, apakah tugas atau peranan guru apabila dia dipanggil sebagai
pemimpin profesional?
Puan Anbukarasi : Pemimpin kalau di sekolah, bila dia mengajar satu subjek atau sebagai guru
mata pelajaran, itu pun satu tanggungjawab yang menjadikan dia seorang
pemimpin. Biasanya bila seorang guru mengajar, orang lain seperti guru
besar atau pentadbir tidak berhak untuk masuk dan ganggu sesi
pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru itu kerana waktu itu dia
adalah pemimpin kelas tersebut. Selain itu, apabila guru menjadi fasilitator,
mentor atau penggubal soalan serta pentaksiran, dikira kita diberi
tanggungjawab dan menjadi pemimpin dalam melaksanakan kerja kita.
Aaaaa… contohnya, apabila kita menjadi Ketua Panitia kan, di bawah kita
ada orang lain dan tugas kita merancang serta melaksanakan program kita
juga dikira pemimpin. Selain itu, apabila kita menjalankan kajian seperti kamu
kan, menjalankan penyelidikan tindakan yang melibatkan murid, pensyarah,
guru pembimbing dan sebagainya. Jadi, kamu dikira sebagai pemimpin untuk

6
mempengaruhi mereka semua demi mencapai matlamat kajian kamu.
Pemimpin bukan apabila kita menjadi Menteri ke… atau ketua sesuatu
organisasi sahaja ke… kita menyertai parti politik ke… tetapi apabila kita
bekerja dengan orang lain dan berjaya mempengaruhi mereka untuk capai
sesuatu objektif.
Natasha : Oh... yelah betul tu. Bagaimana pula peranan guru sebagai pemimpin bagi
menjamin kemenjadian murid, puan?
Puan Anbukarasi : Emmm.. pertama sekali kita perlu mengenal pasti potensi pelajar dan
membantu memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh. Kita perlu
memenuhi keperluan murid itu.. dengan apa? Dengan memberi ilmu
mengikut sukatan yang telah ditetapkan di dalam kurikulum di samping
memberi murid peluang untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Selain itu, kita
perlu bagi ilmu yang diperlukan pada masa kini contoh macam ilmu Teknologi
Maklumat dan Komunikasi (TMK) dengan menyelitkan TMK ke dalam PdPc
kita. Kita boleh bawa murid pergi makmal komputer, ajar buat Words,
PowerPoint dan sebagainya. Kemudian, kita ajar nilai-nilai yang patut dimiliki
oleh murid seperti menghormati orang lain, menerima pendapat orang lain
serta berani menyuarakan pendapat, beratur sewaktu di kantin jangan tolak-
tolak kawan, toleransi dengan rakan dan sabar dalam melakukan sesuatu
perkara. Kita juga boleh beri motivasi supaya mereka lebih bersemangat
untuk belajar dan akhirnya berjaya. Jadi, murid akan dididik secara
menyeluruh dari aspek JERIS sama macam yang dinyatakan dalam FPK.
Natasha : Baik, puan. Jadi, bagaimanakah peranan pemimpin profesional melalui
kolaboratif bersama guru-guru?
Puan Anbukarasi : Jika kita buat satu komuniti bersama guru atau dikenali sebagai apa kita
panggil tu… haa… Professional Learning Community (PLC) kita juga menjadi
seorang pemimpin. Sebab, guru itu tidak terhad hanya kepada pengajaran di
dalam bilik darjah sahaja. Kemudian, guru yang berpengalaman atau guru
cemerlang juga adalah pemimpin kerana mereka akan menjadi jurulatih untuk
berkongsi kepakaran. Bagi menjadi jurulatih utama, seseorang perlu
mempunyai kepakaran yang tinggi dalam sesuatu bidang atau subjek.
Natasha : Kalau di dalam kelompok PLC bersama guru lain itu, kita dapat mengenal
pasti masalah guru lain dan mencari jalan penyelesaian untuk masalah
tersebut dikira sebagai pemimpin tak puan?
Puan Anbukarasi : Ya, mesti. Kalau kita dapat merancang sesuatu program, cari penyelesaian
daripada sesuatu masalah itu yang kita kata pemimpin yang sebenar. Bila
kita boleh menunjukkan keupayaan mencari penyelesaian sesuatu masalah
yang wujud terutama berkaitan dengan PdPc, memang kita seorang
pemimpin. Contohnya, apabila kita mampu membantu rakan sekerja
7
mengawal murid di dalam bilik darjah, menyediakan bahan bantu mengajar
atau mebimbing rakan untuk memperbaiki kualiti PdPc sedia ada. Kemudian,
kita juga merupakan penggerak kualiti PdPc. Apabila kita buat banyak kajian
tindakan, dapatan dan data-data itu boleh digunakan oleh guru lain, di
sekolah atau negeri lain, itu adalah pemimpin. Sama juga apabila kamu buat
satu inovasi, mencari satu jalan baru menyelesaikan masalah adalah dikira
sebagai pemimpin. Kemudian, kita bentang dan buat satu penulisan untuk
dijadikan rujukan orang lain.
Natasha : Emm… jadi itu kira di bawah pembangunan profesional diri dan rakan
sejawat ya? Kalau di dalam sekolah, selain daripada menjadi pemimpin bagi
murid apa lagi peranan guru sebagai pemimpin profesional?
Puan Anbukarasi : Ya. Kalau selain daripada murid, jika kita dihormati oleh rakan sekerja juga
dikira kita sebagai pemimpin. Apabila kita buat sesuatu tanpa kita tunggu
arahan daripada Guru Besar atau ketua, kita rasa bersemangat untuk
melakukan kerja dan orang lain mengambil bahagian dalam tugasan
tersebut, itu menunjukkan bahawa kita pemimpin. Tidak semestinya
menerima arahan dahulu, tetapi dalam melaksanakan kerja tersebut mestilah
mematuhi kod etika yang telah ditetapkan.
Natasha : Baiklah. Apakah contoh pembelajaran sepanjang hayat sebagai pemimpin?
Puan Anbukarasi : Yang itu berkait rapat dengan kajian penyelidikan. Jadi kita perlu sentiasa
membaca dan mengemaskini ilmu pengetahuan, teori pendidikan dan
pedagogi dari segi strategi, teknik dan kaedah yang digunakan di dalam
PdPc demi memenuhi tuntutan masa kini. Kalau macam sekarang kita ada
pembelajaran abad ke-21, contohnya saya orang lama jadi macam mana
saya nak menambah pengetahuan saya iaitu melalui membaca buku-buku
pendidikan, hadir kursus atau bengkel serta mengamalkan pembelajaran
sepanjang hayat.
Natasha : Jadi, adakah sebagai seorang pemimpin kita perlu sentiasa menambah dan
mengemas kini pengetahuan kita mengenai pedagogi?
Puan Anbukarasi : Ya, macam saya kata tadilah, tetapi bukan sahaja dari segi ilmu
pengetahuan, malah kita perlu mengubah amalan kita sebagai seorang
profesional. Kita juga perlu memiliki sahsiah yang baik. Selain itu, kita juga
perlu menjadi pemimpin transformasional yang mempunyai kemahiran yang
tinggi, mampu memberi pengaruh kepada orang lain serta berani
menyuarakan pendapat dan membuat keputusan.
Natasha : Bagi menjalankan peranan guru sebagai pemimpin di sekolah, seseorang
itu boleh menjalankan bengkel-bengkel bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan
kemahiran, betul tak puan?
Puan Anbukarasi : Ya, tetapi yang penting semangat kerjasama dan berpasukan. Kalau nak

8
menjayakan sesebuah aktiviti atau program perlulah ada semangat
berpasukan, jangan semua nak buat sendiri. Itu adalah pemimpin yang
sepatutnya.
Natasha : Bagaimana peranan pemimpin profesional dari segi kerjasama dengan ibu
bapa dan komuniti luar?
Puan Anbukarasi : Contohnya, bila adakan gotong-royong, guru hendak panggil ibu bapa untuk
menyertai aktiviti sekolah, kita kena tunjuk ciri kepimpinan kita dengan cara
yang betul Jadi cara untuk kita panggil ibu bapa mesti mengikut saluran yang
betul iaitu dengan mengedarkan surat, membuat perjumpaan dan
menerangkan tujuan gotong-royong dengan jelas seperti demi kebaikan anak
mereka sendiri serta menjelaskan tentatif program. Guru juga boleh menjadi
jurulatih bagi ibu bapa dari segi pendidikan dan sebagainya supaya ibu bapa
dapat memantau perkembangan anak mereka dan tidak mengharapkan guru
sahaja. Rasanya ia dipanggil PIBK.
Natasha : Sebelum mengakhiri sesi temu bual ini, bolehkah Puan membuat satu
kesimpulan umum mengenai peranan guru sebagai pemimpin profesional ini?
Puan Anbukarasi : Kesimpulan ya.. baik. Peranan guru sebagai pemimpin profesional ini boleh
dibahagikan kepada empat aspek iaitu luar lingkungan sekolah, dalam
sekolah, dalam bilik darjah dan budaya sekolah. Budaya sekolah contohnya
kita perlu menghormati antara satu sama lain, tolong-menolong antara satu
sama lain, mengambil bahagian dalam setiap program sekolah serta
bekerjasama dengan pihak sekolah demi mencapai visi dan misi sekolah.
Budaya sekolah ini juga termasuklah guru bertindak sebagai pemudahcara
pembelajaran dan pentaksiran, pembangunan diri dan rakan sekerja,
kemenjadian murid dan kolaborasi dengan komuniti luar macam yang saya
dah terangkan tadi. Kira semua tu dah lengkap lah untuk menyimpulkan
peranan guru sebagai pemimpin.
Natasha : Baiklah, puan. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk berkongsi
pengetahuan serta menerangkan maklumat dengan jelas bersama saya.
Puan Anbukarasi : Sama-sama.

Anda mungkin juga menyukai