Anda di halaman 1dari 3

Rusa Yang Bongkak

Selamat pagi saya ucapkan kepada tuan-tuan dan puan-puan


sekalian. Tajuk cerita saya pada hari ini ialah Rusa Yang Bongkak.
Oh, cantiknya tandukku! kata rusa itu kepada dirinya. Namun
demikian, rusa itu tidak suka pada kakinya yang kurus. Hai, lihatlah betapa
kurusnya kakiku. Aku mahu kakiku cantik juga. Aku mahu kelihatan cantik
dari kepala hingga hujung kaki, rungutnya.
Pada suatu hari, ketika sedang melihat-lihat bayangnya di tepi
kolam, rusa terdengar seekor anjing menyalak. Rusa itu sedar yang anjing
pemburu sedang menuju ke tempat itu. Rusa itu berasa takut lalu berlari
sekuat hati.
Sedang rusa itu berlari ke dalam hutan, tiba-tiba tanduknya
tersangkut pada dahan-dahan sebatang pokok yang rendah. Rusa itu
meronta-ronta untuk melepaskan tanduknya daripada dahan-dahan itu. Rusa
itu bertambah cemas apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat.
Akhirnya, kakinya yang kurus tetapi kuat itu dapat menolongnya
melepaskan diri. Namun, tanduknya telah patah sedikit.
Anjing pemburu semakin hampir. Rusa itu dapat melarikan diri
kerana ia boleh berlari laju. Rusa itu kini menyedari kegunaan kakinya yang
telah membantu menyelamatkan dirinya daripada bahaya.
Sejak hari itu, rusa itu tidak lagi memandang kakinya sebagai
sesuatu yang buruk atau tidak berguna. Rusa itu juga tidak bongkak seperti
dahulu kerana tanduknya tidak lagi kelihatan begitu cantik. Sedarlah rusa
itu bahawa kecantikan tidak semestinya membawa kebaikan.

Semut dan Merpati


Pada suatu hari, seekor semut sedang minum air di
tebing sungai. Tiba-tiba angin bertiup kencang. Semut itu
terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapaikapai di dalam air. Dia rasa tentunya akan mati lemas.
Seekor burung merpati berehat di pokok berdekatan
dan ternampak apa yang berlaku. Dengan pantas, dia
memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan
air berhampiran semut. Semut memanjat ke atas daun
itu. Akhirnya, dia hanyut ke tebing sungai dengan selamat.
Semut berkata, "Terima kasih, sahabatku. Saya akan
menolongmu suatu hari nanti."
Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke
tempat itu untuk memburu burung. Dia ternampak merpati
itu berehat di atas pokok. Dia mengeluarkan busur dan anak
panahnya. Pemburu mengarahkan busur dan anak panahnya
ke arah burung merpati itu.
Semut ternampak segalanya. Dia teringat burung
merpati itu pernah menolongnya. Dengan pantas, semut
menggigit kaki pemburu. Dia melompat kesakitan dan anak
panahnya terlepas sasaran. Apabila terdengar jeritan
kesakitan pemburu itu, burung merpati pun terbang pergi.
"Terima kasih, semut," kata burung merpati itu. "Kali ini,
kamu telah menolong saya."

Katak Yang Suka Berlagak


Basil ialah seekor katak yang besar. Ia tinggal di sebuah kolam
bersama-sama dengan katak-katak yang lain. Namun katak-katak
lain lebih kecil daripadanya. Ini menyebabkan Basil suka berlagak.
Ia menganggap dirinya paling hebat. Lihat, akulah haiwan yang
paling besar di dalam kolam ini! kata Basil dengan sombongnya.
Basil menganggap dirinya ketua. Katak-katak lain dikerah mencari
makanan untuknya.
Pada suatu hari, katak-katak itu tidak membawa makanan untuk
Basil. Tuan, terdapat anjing yang besar di tepi kolam. Kami takut
untuk keluar mencari makanan, kata salah seekor katak. Apa, ada
haiwan yang lebih besar daripada aku? jerit Basil dengan marah.
Betul, haiwan itu lebih besar daripada tuan! jawab katak itu. Basil
berasa sungguh marah. Ia melompat ke atas batu yang besar di tepi
kolam.
Kemudian dia menghirup udara dengan banyaknya. Perutnya
mula kelihatan menggelembung. Lihat! Adakah haiwan itu lebih
besar daripada aku? Tanya Basil. Ya, haiwan itu lagi besar! kata
katak-katak itu. Basil semakin tidak puas hati.
Basil terus menghirup udara. Perutnya menjadi semakin besar,
seperti sebiji belon. Namun Basil masih tidak puas hati. Ia masih
mahu kelihatan lebih besar daripada anjing itu.
Ia terus menghirup udara. Tiba-tiba Bang!! Bunyi yang kuat
itu mengejutkan katak-katak yang lain. Mereka melihat perut Basil
pecah. Akhirnya Basil mati.

Anda mungkin juga menyukai