Anda di halaman 1dari 1

Gambar rajah di bawah menunjukkan sebahagian daripada amalan gaya hidup sihat.

Huraikan pendapat
anda tentang amalan gaya hidup sihat yang sewajarnya dipraktikkan oleh setiap individu. Panjangnya
huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Rangka Karangan
Pendahuluan
- kepentingan amalan gaya hidup sihat
Isi-isi
- amalan pemakanan seimbang
- bersukan dan beriadah
- Pemeriksaan kesihatan
Penutup
- amalan tersebut perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang sihat.

Amalan gaya hidup sihat memang banyak kepentingannya kepada manusia. Dengan mengamalkan gaya hidup
sihat, seseorang akan sentiasa sihat, cergas dan bertenaga. Oleh itu, setiap orang hendaklah melakukan aktiviti
yang dapat mengeluarkan peluh iaitu, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Tindakan ini ibarat menyediakan
payung sebelum hujan, iaitu seseorang itu akan dapat mengekalkan kecergasan dan seterusnya badan akan
menjadi sihat melalui aktiviti senaman. Amalan ini seterusnya akan melahirkan rakyat yang sihat dan produktif
selaras dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan produktiviti negara.
Satu amalan yang penting untuk diamalkan adalah dengan mengambil makanan yang seimbang. Oleh itu, tubuh
orang yang mengamalkan pemakanan seimbang ini akan mendapat khasiat dan vitamin yang diperlukan. Sebagai
contohnya, seseorang itu perlu banyak mengambil makanan yang berserat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan
serta mengurangkan makanan yang berlemak atau mengandungi kolesterol yang tinggi. Dengan cara itu, penyakit
berbahaya seperti penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan diabetis akan dapat dielakkan
kerana mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya.
Amalan lain yang perlu diamalkan adalah dengan bersukan atau beriadah. Aktiviti sukan dan riadah yang
dilakukan akan menyihatkan seseorang kerana aktiviti itu akan melancarkan perjalanan darah dan badan akan
mengeluarkan peluh. Seseorang itu boleh bersukan seperti bermain badminton, bola sepak, menunggang basikal,
berjoging, atau berenang. Jika badan seseorang itu sihat dan cergas, sudah pastilah daya pemikirannya juga cerdas
kerana otak yang cerdas datangnya daripada tubuh yang cergas.
Selain itu, setiap orang perlu melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Hal ini akan memastikan anggota
dalaman tubuh seseorang itu seperti, jantung, hati, buah pinggang, dan pankreas berfungsi dengan baik. Melalui
cara itu juga, penyakit berbahaya seperti penyakit jantung koronari, diabetis, dan tekanan darah tinggi dapat dapat
dikesan lebih awal melalui peralatan moden dalam bidang perubatan. Dengan cara itu, langkah pemulihan akan
dapat dilakukan dengan segera. Hal ini demikian kerana, alat-alat perubatan moden dapat mengesan sesuatu
penyakit lebih awal dan tidaklah sudah terhantuk baru nak tengadah.
Secara keseluruhannya, amalan gaya hidup sihat memang perlu dijadikan budaya untuk melahirkan rakyat yang
sihat. Jadi, Kementerian Kesihatan perlulah mengambil langkah yang proaktif untuk merealisasikan impian negara
kita itu. Sekiranya langkah tersebut tidak diambil, sudah tentu hasrat untuk melahirkan masyarakat yang sihat dan
cergas tidak akan menjadi kenyataan. Oleh itu, hasrat untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas akan menjadi
realiti jika semua pihak saling bekerjasama iaitu, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Anda mungkin juga menyukai