Anda di halaman 1dari 3

Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Definisi

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah banyak mempengaruhi budaya


kehidupan masa kini, khususnya dalam bidang pendidikan. Pengaplikasian teknologi ini dalam
pengajaran dan pembelajaran memberikan satu anjakan baru dalam teknik pedagogi guru.
Penggunaan teknologi telah dapat merevolusikan teknik pengajaran guru, kaedah murid belajar
dan secara keseluruhannya cara pendidikan dikendalikan sesuai dengan era masa kini.

Isu Pendidikan Semasa

Andaian umum yang menyatakan bahawa sekiranya perkakasan dan perisian telah tersedia di
sekolah, pengintegrasian teknologi maklumat akan berlaku secara automatik adalah kurang
tepat kerana salah satu penentu utama kejayaan atau kegagalan pengintegrasiannya adalah
guru. Sejauh manakah guru masa kini dapat menerima cabaran untuk mengaplikasikan
teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan?

Pengaruh TMK melalui internet juga telah memberi pendedahan kepada pelajar tentang
pemerolehan sumber maklumat alternatif seperti perpustakaan maya selain buku teks atau
mengunjungi perpustakaan. Jika pelajar dididik untuk menggunakan internet secara berkesan,
para guru berupaya melahirkan satu genarasi yang dinamik dan progresif kerana dilengkapi
dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang terkini.

Cabaran Kepada Guru

Cabaran yang dihadapi oleh guru-guru dalam mengintegrasikan teknologi maklumat dalam
pengajaran dan pembelajaran ini boleh dilihat daripada kesediaan guru yang meliputi tiga aspek
iaitu tahap kemahiran, pengetahuan dan sikap.

- Kemahiran Teknologi Maklumat Guru


Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan modal insan yang berkualiti, guru
merupakan agen perubahan yang penting. Oleh itu, penguasaan teknologi maklumat dalam
kalangan guru adalah dituntut. Ia penting bukan sahaja untuk meningkatkan keberkesanan
proses pengajaran dan pembelajaran malah daripada aspek pentadbiran dan pengurusan
sekolah. Oleh itu, langkah-langkah seperti bengkel dan kursus berkaitan teknologi maklumat
giat dijalankan untuk memantapkan guru-guru khususnya dalam aspek berkaitan teknologi
maklumat. Guru mesti bersedia untuk memikul cabaran ini.

Pengetahuan Teknologi Maklumat Guru


Pengetahuan serta sikap terhadap komputer adalah dipengaruhi oleh kekerapan penggunaan
komputer. Semakin kerap seseorang individu menggunakan komputer, tahap pengetahuannya
juga akan semakin meningkat. Tahap pengetahuan teknologi maklumat guru boleh ditingkatkan
melalui kursus-kursus teknologi maklumat. Oleh itu, guru-guru mesti bersedia mengikuti kursus-
kursus teknologi maklumat tersebut dan sanggup mengorbankan masa untuk diri dan keluarga.

Sikap Guru Terhadap Teknologi Maklumat dalam Pengajaran dan Pembelajaran


Sikap adalah sesuatu gambaran dalaman individu yang merujuk kepada kecenderungan untuk
berkelakuan positif atau negatif terhadap benda, situasi, institusi, konsep atau individu lain.
Beberapa tinjauan literatur lepas telah menunjukkan bahawa wujudnya perkaitan yang rapat
antara sikap dengan penggunaan teknologi maklumat dengan pengajaran dalam bilik darjah
(Mohamad Nabzrim & Mohamad Nayan, 1997; Adenan, 1999; Krishnan et al., 2007). Oleh itu,
guru-guru khasnya mereka yang telah berada dalam zon selesa perlu mengubah sikap
terhadap perkembangan TMK supaya lebih kerap menggunakan TMK dalam bilik darjah.

Perisian Penyampaian Teknologi Maklumat


Perisian penyampaian teknologi maklumat adalah dianggap sebagai satu alat yang dapat
membantu guru-guru dalam pengajaran dan pembelajaran serta tugas lain. Menurut Chao et al.
(2003), seseorang guru yang kompeten sekurang-kurangnya menguasai kemahiran asas
menggunakan komputer, berkemahiran menggunakan perisian pemproses kata, perisian
pangkalan data, perisian hamparan elektronik, perisian berkaitan statistik, grafik, menggunakan
teknologi Internet, laman web serta pengetahuan bagaimana komputer berfungsi. Tetapi sejauh
manakah guru-guru dapat menguasai kemahiran-kemahiran asas tersebut?

Mendidik Pelajar Menggunakan Internet Secara Berkesan


Selain cabaran dari segi kemahiran, pengetahuan dan sikap guru, guru juga menghadapi
cabaran bagaimana hendak mendidik generasi muda menggunakan internet secara berkesan.
Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada
pengaruh negatif internet.

Kesimpulannya, selain kemahiran alatan produktiviti iaitu pemprosesan perkataan, hamparan


elektronik, persembahan, pangkalan data dan Internet, tumpuan kursus dan latihan perlu ke
arah kemahiran lain seperti kemahiran mencari dan memilih maklumat daripada Internet,
pembinaan laman web dan juga mengarang perisian kursus pendidikan yang sesuai dengan
pengajaran subjek.

Akhir sekali, yang lebih penting adalah kebolehan untuk menyebatikan kemahiran-kemahiran
tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana matlamat kita adalah untuk
menggunakan teknologi komputer dalam pendidikan secara am dan dalam pengajaran dan
pembelajaran secara khusus. Namun begitu, harus diingat bahawa teknologi hanya merupakan
alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran, ia tidak akan dapat menggantikan
kedudukan guru dalam erti kata yang luas. Pendidikan hari ini adalah untuk kecemerlangan
masa hadapan.

Cara Menangani Isu Pengaruh Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi


Usaha Kementerian Pelajaran tidak akan berjaya jika para guru tidak dibudayakan sepenuhnya
akan penggunaan komputer dan TMK. Pengalaman di negara maju menunjukkan lima
keperluan perlu ada jika Kementerian Pelajaran ingin meningkatkan pendedahan dan
penerimaan
guru kepada teknologi maklumat dan komunikasi. Keperluan itu ialah:

sikap guru dan pelajar mestilah positif dan bersedia untuk berubah.
prasarana komputer dan rangkaian komunikasi mestilah lengkap dan mencukupi.
tenaga yang terlibat untuk memperkenal dan memperluaskan teknologi maklumat mestilah
mahir.
peruntukan wang mestilah mencukupi untuk menggerakkan perkembangan TMK.
hubungan interpersonal yang kuat antara guru dan pelajar.

Anda mungkin juga menyukai