Anda di halaman 1dari 24

110 Himpunan Petua Kesihatan Tradisional

1.MENURUNKAN BERAT BADAN

Jika anda mengalami berat badan yang berlebihan, air limau nipis yang anda minum
boleh menurunkan berat badan anda.
Caranya : sediakan dua biji limau nipis atau limau kasturi setiap hari, setelah itu
perah airnya ke dalam gelas yang berisi dengan air sejuk, masukkan ke dalam peti
sejuk. Setelah itu bolehlah dijadikan air mnuman setiap kali selepas anda makan
tengah hari dan makan malam.
Cara ini boleh diikuti dengan senaman ringan. Amalkan meminumnya selama
sebulan, berat badan anda akan beransur turun.

2. ELAK KENCING MALAM UNTUK ANAK KECIL

Perahkan sedikit air lemon di atas sesudu kecl madu lebah dan terus hirup.
Amalkannya disebelah pagi dan sebelum masuk tidur. Mudah-mudahan, anak kecil
anda akan berhenti kencing malam atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan
jumlah dia buang air kecil.

3. TEPUNG UBI PENAWAR RUAM

Cara yang baik untuk menghindarkan ruam dari tubuh bayi anda ialah dengan
melumurkan tepung ubi selepas mandi. Pastikan bahagian-bahagian utama yang
menjadi sasaran serangan ruam seperti di leher, punggung dan dada di lumur.

4. UBATI SAKIT DADA

Ambil beberapa ulas halia. Tumbuk hingga lumat dan perahkan airnya. Ambil satu
biji telur ayam kampung. Keluarkan kuningnya sahaja. Campurkan bersama madu
lebah tulin. Kacau rata-rata dan minum setiap pagi sebelum sarapan.

5. HILANGKAN URAT DI KAKI

Bagi ibu-ibu yang mengandung mereka sering mengalami masalah urat timbul di
kaki dan ia berlarutan hingga bersalin. Di sini, ada satu petua untuk mengatasi
maalah ini, ketika tidur anda mesti meletakkan kaki lebih tinggi dari kepala. Atau
ambil sebesen air suam, rendamkan kaki anda selama 15 hingga 20 minit setiap
hari. Lakukan hingga anda memperolehi hasil yang memuaskan. Atau, anda boleh
mengurutnya perlahan-lahan dengan menggunakan minyak urut.

6. RASA GARAM DALAM MASAKAN

Untuk merasa garam dalam masakan memang menjadi masalah terutama jika anda
berpuasa. Bagaimana cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dengan meletakkan
kuah di atas jari anda. Jika kuah itu tidak meleleh ia menandakan masakan anda
cukup masin tetapi jika jari anda merasa perit ini menandakan masakan anda
terlebih garam.

7. SIMPAN KELAPA PARUT


Masukkan kelapa dalam tapisan. Letakkan di atas periuk yang berisi air panas.
Biarkan wap itu masuk ke dalam kelapa.

8. MENGHILANGKAN KEDUT
Wanita yang sudah berumur biasanya sangat takut kelihatan tua. Terutamanya di
bahagian muka, kerana muka adalah bahagian yang mula-mula menjdi tumpuan
pandangan seseorang. Bagaimanakah caranya untuk menghilangkan kedut-kedut
yang mula berjinak-jinak di muka anda? Sebenarnya tidak sukar menghilangkan
kedut-kedut di muka asalkan anda rajin melakukannya. Ambillah sebiji lobak merah.
Parut hingga hancur. Kemudian ambil satu sudu tepung jagung dan sebiji kuning
telur. Campurkan semua ramuan itu dan kacau hingga sebati. Sapukan di tempat
yang berkedut itu. Biarkan selama 20 minit, barulah dibasuh dengan air bersih.
Lakukan selalu, Insya-Allah wajah anda kelihatan berseri dan kedut-kedut yang mula
bertapak itu akan menghilang.

9. PENYERI MUKA

Selain dari menghilangkan kedut di muka, ada juga amalan yang boleh dilakukan
supaya muka akan sentiasa kelihatan berseri. Caranya ialah, cuci muka setiap pagi
dengan daun teh yang sudah direndam. Sapukan the tersebut ke muka, sepuluh
minit kemudian basuhlah dengan air bersih. Ataupun anda sapukan muka dengan
putih telur. Biarkan selama sepuluh minit. Kemudian bersihkan dengan air. Lakukan
begitu seminggu sekali. Anda akan nampak keberkesanannya.

10. GARAM UBATI SAKIT GIGI

Sakit gigi memang amat menyeksakan.Apa lagi kalau terkena di tegah malam.
Hendak ke klinik mungkin klinik tutup. Jadi anda terpaksa menanggung sakit sampai
ke pagi. Kerana itu berikhtiarlah sebelum sakit gigi menimpa anda. Petua ini elok
dilakukan bagi menghindar dari terkena sakit gigi. Caranya, campurkan sedikit
garam halus pada ubat gigi apabila hendak menggosok gigi setiap pagi. Jika ini
diamalkan, anda bukan sahaja dapat menghindarkan diri dari sakit gigi dan mulut,
malah gigi anda juga akan menjadi lebih putih dan berseri.

11. MULUT BERBAU

Mulut berbau tentu menimbulkan masalah apabila hendak bercakap dengan


seseorang. Untuk mengatasinya, cuba ikut petua ini. Ambil tujuh helai daun sirih.
Racik halus, kemudian diramas dengan semangkuk air suam. Campurkan sedikit
garam, kumurlah setiap hari dengan air itu. Insya-Allah masalah mulut berbau akan
dapat diatasi.

12. IKAN KERING TIDAK BERULAT


Benda-benda busuk selalu dihinggapi lalt termasuk ikan kering. Keadaan ini
menyebabkan ia mudah berulat. Untuk mencegahnya, jemurkan ikan di tempat
panas, taburkan sedikit serbuk lada hitam yang telah ditumbuk kasar ke atasnya.
Cara ini lalat tidak akan hinggap lagi.

13. TUMIT KAKI TIDAK PECAH

Bagi anda yang menghadapi masalah ini, boleh mencuba petua ini. Ambil sebiji
buah betik yang masih muda. Hiriskan di bahagian hujungnya agar mengeluarkan
getah. Sapukan getah betik tersebut ke bahagian tumit yang pecah. Lakukan
berulang kali beberapa hari jika ingin mendapat hasil yang memuaskan.

14. KEKALKAN KEPUTIHAN PERIUK

Jika anda masak menggunakan dapur kayu atau arang, tentu anda menghadapi
masalah periuk hitam dan sukar dibersihkan. Bagi mengatasi masalah ini, sebelum
memasak, sapukan dahulu bahagian luar periuk anda pencuci pinggan seperti
Axion. Setelah siap masak, cucilah periuk dengan penggosok. Insya-Allah kotoran
dan kesan hitam akan mudah dihilangkan.

15. HILANGKAN DARAH TINGGI

Jika anda menghidap sakit darah tinggi,ambillah daun kucai kira-kira seikat.
Bersihkan dan tumbuk dengan sedikit garam. Perah ambil airnya, bubuh dalam
mangkuk dan embunkan. Minumlah pagi-pagi sebelum makan apa-apa, Insya-Allah
sembuh. Kalau sekali minum tidak sembuh, jangan berputus asa. Cuba dan cuba
lagi. Selalunya penyakit tidak akan sembuh dengan sekali berubat. Kerana itu
cubalah amalkan banyak kali, bersabar dan bertawakal.

16. KHASIAT DAUN JAMBU BATU

Kalau anda terkena sakit perut, buang-buang air, perut kembung, masuk angin dan
citir-birit, ambillah beberapa helai daun jambu batu yang masih muda (pucuknya).
Mamah daun jambu batu itu dengan garam lalu airnya ditelan. Atau daun jambu
biasa yang masih muda dimamah halus dan ditelan. Insya-Allah mujarab dan sakit
perut anda akan hilang dengan sendirinya.

17. CARA CUCI BARANGAN PERAK


Campurkan perahan air limau dan garam dalam semangkuk air dan cucikan
barangan perak anda. Hasilnya ia lebih berkilat.

18. HILANGKAN BAU DAN PENING MAKAN DURIAN

Biasanya selepas anda nemikmati buah durian, mulut atau sendawa anda akan
berbau. Dan pada sesetengah orang pula dia akan terasa mual, pening atau
mabuk.Untuk mengelakkan semua ini ambillah pangsa durian tadi dan curahkan
sedikit air di dalamnya. Ratakan air itu dan minumnya. Insya-Allah semuanya beres.

19. UBAT GIGI PENAWAR KULIT MELECUR

Cara yang paling mudah mengubati kulit ya ng melecur ialah dengan menyapu ubat
gigi ke atas kulit berkenaan sebaik ianya terkena.

20. MINYAK TANAH HILANGKAN KUTU

Satu lagi petua mudah untuk menghilangkan kutu kepala ialah dengan melumurkan
sedikit minyak tanah di serata kepala. Kemudian balut kepala dengan kain lembab.
Biarkan selama dua atau tiga jam. Anda akan lihat kemudiannya kutu-kutu melekat
pada tuala itu dan kepala anda bebas daripadanya.

21. ARANG KAYU PERAPI RAMBUT

Percayakah kayu arang dari batang getah boleh menghitam dan mengilatkan
rambut. Caranya, keringkan arang itu beberapa hari kemudian tumbuk sehingga
lumat. Selepas itu, campurkan dengan minyak kelapa. Lumurkan ramuan itu pada
rambut setiap hari dan cucilah. Lakukan sekerap yang boleh.

22. PENAWAR BISUL/KUDIS

Ambil segenggam daun sengkuri. Petik daun muda dan keringkan sebentar,
kemudian baru digiling dengan tujuhbiji mata kunyit serta sedikit melukut. Kemudian
calitkan sedkit kapur sirih dan sapukan daun yang digiling tadi di atasnya.
Sementara untuk menghilangkan bengkak bisul dan bissanya, sapukan cuka dan
nila. Petua ini juga boleh menawarkan sakit beguk di leher. Bagi kudis pula, rebus
antara 30 helai pucuk daun jambu batudengan dua gelas air. Campurkan secamca
garam. Bila mendidih, biarkan ianya suam dan cucilah kudis atau gatal-gatal
berkenaaan.

23. CARA HILANGKAN GRIS

Minyak gris biasanya sukar ditanggalkan jika terkena pakaian. Tetapi ada petua
untuk menghilangkannya. Cuab titiskan secamca minyak tanah dan kemudian
sapukan rata-rata sedikit sabun serbuk atau buku. Biar seketika dan kemudian
sental kuat-kuat. Ulangi beberapa kali sehingga kesannya hilang.

24. PETUA SUBURKAN POKOK BUNGA

Taburkan sedikit serbuk kopi di sekeliling pangkal pokok bunga anda. Hasilnya,
anda akan lihat pokok bunga subur menghijau.

25. PUTIH TELUR PENGHILANG PARUT

Jika pada tubuh anda terdapat bekas luka ataupun parut yang tidak mahu hilang,
cubalah gunakan putih telur ayam kampung. Setiap kali hendak tidur, sapukan putih
telur tersebut pada parut luka itu. Lakukan secara terus-menerus. Nescaya parut
luka anda akan hilang.

26. BILA NASI BERBAU HANGIT

Kadang-kadang kerana kelalaian kita, nasi yang dimasak boleh menjadi hangus dan
berbau hangit. Kerana itu anda jangan susah hati, cubalah cepat-cepat ambil pucuk
daun pisang, masukkan ke dalam nasi tersebut dan tutup semula rapat-rapat. Insya-
Allah bau hangit akan berkurangan.

27. UBAT DEMAM MALARIA

Daun betik yang masih muda ditumbuk hingga haluslau diperah. Air perahan ini
bolehlah diminum sebagai ubat demam malaria. Selain itu, ia juga boleh diminum
setelah selesai haid. Kerana ia boleh melancar dan membersihkan sisa-sisa darah
kotor.

28. MENGHILANGKAN GATAL-GATAL

Ada cara mudah untuk menghilangkan kegatalan akibat peluh yang mengancam
seluruh tubuh kita. Ambil sesudu makan tepung sagu dan campurkan dengan sedikit
air. Titiskan cuka sebanyak empat titis. Setelah dikacau, sapukan bahan itu pada
bahagian yang gatal. Lakukan setiap hari sehingga bintik-bintik gatal akibat peluh itu
hilang dari tubuh anda.

29. MENGHILANGKAN BAU PEDAS (CILI TUMIS)

Memasak sambal tumis atau asam pedas, anda tentu terpaksa menumis cili boh
atau cili giling. Apabila cili ditumis, anda tentu dapat rasakan mata dan hidung
menjadi pedih dan berair. Seluruh ruang dapur malah seluruh rumah akan mendapat
akibatnya. Untuk menghindarkannya, cubalah masukkan gula pasir ke dalam minyak
penggoreng yang telah panas itu. Kemudian barulah menumis bawang dan cili
tersebut. Insya-Allah, bau pedasdan cili tumis itu tidak akan mengganggu anda
sekeluarga.

30. BINTIK-BINTIK MERAH DI BADAN

Kadang-kadang tanpa anda sedari, tubuh badan anda terkena bintik-bintik merah.
Mungkon ini disebabkan terkena bisa serangga atau ulat bulu yang menyebabkan
gatal-gatal atau pedih. Sekiranya anda mengalami keadaan demikian, janganlah
panik. Ambillah sepotong kunyit, parut kunyit itu dan bubuh kapur sirih serta air.
Panaskan ramuian tersebut di atas api, kemudian sejukkan. Setelah sejuk sapukan
di bahagian bengkak-bengkak itu. Insya-Allah dalam waktu 5 minit penyakit tersebut
akan hilang.

31. ELAK DARI MELECUR

Apabila bahagian tubuh anda tersiram air panas terutama yang sedang mendidih,
cepatlah ambil sabun. Tidak kira sabun batang, serbuk atau sabun mandi. Gosoklah
bahagian yang terkena air mendidih tadi dengan air sabun secara perlahan-lahan
tetapi terus-menerus tidak berhenti. Hinggalah bahagian yang tersiram air panas itu
tidak merasa panas lagi. Dengan cara itu, bahagian yang tersiram air panas itu tidak
melepuh dan akan segera sembuh.

32. BEDAK LANCARKAN ZIP ROSAK

Zip yang rosak tidak bermakna barang tersebut sama ada beg, kasur atau seluar
anda tidak boleh dipakai lagi. Ada cara paling mudah untuk membaiki dengan cara,
taburkan bedak di atasnya lalu anda getak-gerakkan beberapa kali sehingga zip itu
lancar semula.
33. BAGAIMANA SEGARKAN TAUGE

Tauge akan lebih lama segar di dalam peti sejuk sekiranya anda memerahkan
sedikit limau ke dalam air tempat anda merendamnya. Tetapi pastikan anda
menukar airnya setiap hari.

34. HILANGKAN DEBU DARI BUNGA

Biasanya bunga-bunga hiasan di ruang tamu akan diselubungi debu. Untuk


mencucinya mungkin mustahil sama sekali. Tetapi cuba anda gunakan pengering
rambut anda. Semburkan hembusannya ke arah bunga-bunga itu, dan mudah-
mudahan semua debu akan diterbangkan.

35. CARA SUPAYA KEJU TAHAN LAMA

Kalau anda tidak mempunyai peti sejuk, cara untuk menyimpan keju ialah dengan
membungkus keju itu kejap-kejap (rapat-rapat) dalam sehelai kain bersih yang
dilembabkan denga air garam terlebih dahulu.

36. GULA UBAT LUKA

Jika bibir anda luka dan berdarah kerana terhantuk pada sesuatu benda keras, anda
jangan panik. Ambil sedikit gula dan sapukan pada bibir yang berdarah. Anda akan
dapati darah itu akan berhenti dengan segera.

37. PANAS TERKENA CILI

Kerana banyak memasak menggunakan cili boleh menyebabkan tangan dan jari-jari
anda berasa panas memijar. uNtuk menghilangkannya mudah sahaja. Ambil
setengah gelas air. Bubuh dua sudu makan garam dan kacau. Setelah garam
hancur, gosokkan air pada tangan yang pijat itu. Kemudian hangatkan di depan api.
Bersihkan tangan dengan air sejuk menggunakan sabun. Insya-Allah rasa panas
dan pijar akan hilang.

38. MENGHILANGKAN BISUL

Apabila anda sering terkena bisul, jangan dibiarkan begitu sahaja hingga ia
membesar yang bukan sahaja sakit malah akan sukar mengubatinya. Kerana itu bila
anda sedar akan terkena bisul, cepat-cepat ambil bawang putih. Gosoklah bisul
anda dengan bawang putih. Berkat air bawang putih yang berbau tengik itu, bisuk
anda tidak sempat membesar akhirnya akan mengempis tanpa meninggalkan kesan
parut.

39. TERKENA BISA IKAN KELI

Ikan keli (darat) atau ikan keli sembilang (laut) kedua-duanya mempunyai sengat
berupa duri di sirip kiri kanannya. Sengat ini sungguh bisa apabila terkena manusia,
sebab itu hendak menangkapnya terpaksa berhati-hati. Walaupun berhati-hati
kadang-kadang terkena juga. Kalau ini berlaku kepada anda, lekas-lekaslah ambil
dua hingga tiga sudu makan serbuk kopi, tuangkan sedikit air setengah mendidih,
kacau hingga sebati. Wapkan bahagian yang terkena sengatan itu, Insya-Allah
bengkaknya hilang dan sakitnya segera sembuh.

40. BAWANG PUTIH HILANGKAN SAKIT KEPALA

Jika anda sakit kepala, cubalah petua ini untuk mengatasinya. Ambil seulas bawang
putih dan dibelah dua. Kemudian tampalkan di sebelah kir dan kanan kepala seperti
menampal plaster. Biarkan sehingga sakit kepala hilang, lakukanlah berulang kali
jika anda sering sakit kepala, dengan cara ini lama-kelamaan sakit kepala akan
hilang.

41. LIMAU WANGIKAN RAMBUT

Ambil beberapa biji limau nipis dan hiris-hiriskan. Kemudian gosokan ke seluruh
kepala. Biarkan beberapa minit dan selepas itu cuci bersih-bersih. Selain daripada
mewangikan rambut, limau nipis juga boleh menghilangkan rasa pening dan
menyejukkan kepala.

42. KHASIAT AIR BERAS

Air buangan mencuci beras banyak faedahnya. Cuba gunakan air itu untuk mencuci
muka sebab hasilnya muka anda lebih bersih dan bebas dari minyak. Pastikan, bilas
dengan air bersih selepas mencuci dengan air beras tadi. Air beras juga boleh
digunakan untuk menyiram pokok bunga ini akan menyuburkan lagi pokok bunga
dan melebatkan bunga.
43. RAWATAN LEPAS BERSALIN

Cara yang paling berkesan untuk merawat perut selepas anda bersalin ialah dengan
memarut dua ketul halia sederhana besar, campurkan dua sudu cuka. Gaul ramuan
ini dan sapukan ke sekeliling pinggang. Cara begini akan mengelakkan pecah-pecah
dan calar pada kulit perut. Selepas ramuan ini disapu, lilitkan bengkung seperti biasa
sebagai satu rawatan menegangkan semula perut selepas anda bersalin.

44. UBAT SAKIT MATA

Masalah sakit mata seperti mata berair, warna mata kemerahan, jangkitan kuman
dapat diatasi dengan menggunakan madu lebah. Caranya mudah sahaja. Cucilah
mata anda dengan air, kemudian sapu atau titskan beberapa titik madu ke mata.
Kemudian pejamkan mata anda selama 5 minit. Kemudian cuci mata anda, lakukan
2 atau 3 kali sehari. Insya-Allah mata anda akan pulih sediakala.

45. TAK PEDIHKAN MATA

Setiap kali menghiris bawang merah, pasti mata pedih dan berair. Bagi mengatasi
masalah itu, selepas kulitnya dikupas, rendamkan dahulu dengan air garam kira-kira
sepuluh minit. Kemudian barulah dihiris-hiris.

46. RAMBUT HITAM BERKILAT

Ambil kangkung kemudian diramas dengan sedikit air hingga hancur dan berlendir.
Kemudian sapukan pada rambut dan bungkus dengan tuala. Biarkan selama satu
jam. Bilas bersih-bersih. Lakukan dua kali dalam seminggu. Selamat mencuba.

47. DAUN NANGKA EMPUKKAN DAGING

Daging liat? Mudah empuk jika anda memasukkan beberapa daun nangka ke dalam
rebusan daging anda.

48. HILANGKAN PAHIT PUCUK BETIK

Pucuk betik memang enak jika dicelur dan dijadikan hidangan dengan sambal
belacan. Tetapi ada ketikanya daun betk yang diambil itu pahit. Untuk
mrnghilangkannya, cuba anda masukkan beberapa helai daun jambu batu atau dua
tiga biji buah pinang masak ketika merebusnya.

49. SUBURKAN POKOK BUNGA

Satu lagi cara untuk menyuburkan pokok bunga ialah dengan mengambil seberapa
banyak serbuk kayu. Campurkan bersama tanah dan gaul rata. Kemudian bolehlah
ditanam di samping menyiramnya selalu.

50. BAYAM UBAT BANYAK PENYAKIT

Bayam mengandungi banyak zat yang diperlukan oleh tubuh badan. Ia


mengandungi protein, selulus, karotin, vitamin B1, B2 dan C, asid oxalic, kalsium,
fosforus dan kandungan zat besi yang banyak. Rasanya agak manis dan sejuk.
Kerana kandungan zat besi yang tinggi, ia boleh menyembuhkan penyakit kurang
darah (anaemia), meredakan tekanan darah tinggi dan sembelit. Ia juga boleh
membantu penghadaman.

51. KACANG TANAH RENDAHKAN TEKANAN DARAH

Kacang tanah kaya dengan kandungan lemak, vitamin A, B, E dan K, lecithin,


choline, asid omino, kalsium dan sebagainya. Minyak kacang tanah merendahkan
tekanan darah tinggi dan kolestrol darah. Selaput lendirnya mengandungi ramuan
yang lebih berkesan. Kandungan zat dalam kacang tanah ini juga baik untuk
mengubati penyakit susah tidur (insomnia).

52. PENAWAR BISA LIPAN/ LEBAH

Apabila seseorang disengat lipan atau lebah, kesakitannya bukan sahaja terasa di
bahagian yang disengatnya, malah seluruh badan hingga ke rambutpun terasa
sakitnya. Untuk mengubati bisa sengatan itu, segeralah ambil biji asam jawa. Biji
asam itu ditumbuk sampai halus, tempelkan pada bahagian yang disengat. Insya-
Allah dalam beberapa saat sahaja, rasa sakit akan hilang.

53. MEREDAKAN BENJOL

Sekiranya kepala anda terkena pukulan benda keras seperti batu, kayu dan
sebagainya hingga membenjol, segeralah ambil asam jawa dan garam secukupnya.
Masukkan air dan kacau hingga kedua-dua bahan itu larut dalam air dan pekat.
Sapukanlah air larutan asam dan garam itu ke bahagian yang benjol. Insya-Allah
dalam masa 15 minit, benjolan itu akan mengecil dan mengempis, kemudian hilang
sama sekali dari kepala anda.

54. BATUK

Banyak cara mengubat penyakit batuk. Antaranya ialah : ambil seperempat biji buah
pala, setengah biji limau nipis dan satu sudu kecil minyak kayu putih. buah pala
diparut, limau nipis diperah ambil airnya. Campurkan kedua-dua bahan itu menjadi
satu dengan dicampurkan minyak kayu putih. setelah itu gosoklah dibelakang
pesakit. Ramuan ini hanya untuk sekali pakai. Lakukan rawatan seperti ini dua kali
sehari selama tiga hari berturut-turut. Insya-Allah, penyakit batu akan segera
sembuh.

55. BATUK BERTERUSAN

Penghidap penyakit batuk boleh menyebabkan badannya menjadi kurus. Baruk


sering melanda di sebelah malam, sehingga pesakit tidak dapat tidur lena. Kalau
berlanjutan, sisi rumah turut terganggu. Kalau keadaan seperti ini mengganggu diri
anda, ubatilah dengan daun lidah buaya (ambil isinya sahaja), dihiris halus-halus
kira-kira 20gm, kemudian dibubuh madu kira-kira 40cc. Ramuan ini diberi minum
dua kali sehari selama lebih kurang tujuh hari.
Penderita perlu berpantang seperti berikut:
Jangan terlalu banyak makan makanan manis
Jangan tidur tidak menentu (jangan kurang tidur)
Jangan masukkan jari ke dalam mulut (seperti kebiasaan kanak-kanak)
Jangan makan banyak mekanan pedas
Perbanyakkan gizi (zat) dalam makanan seharian.

56. PENAWAR PENGSAN

Sekiranya anda terjumpa seseorang yang pengsan atau tidak sedarkan diri,
segeralah ambil air segelas dan bacakan Ayat Kursi sebanyak sebelas kali.
Sapukan air itu ke muka. Kepala dan badannya. Kemudian tiup pada telinganya
sambil menyebut namanya (jika tahu namanya). Buatlah dengan tenang dan penuh
sabar. Insya-Allah, dia akan sedar dari pengsannya.

57. BENGKAK BUAH DADA

Khusus bagi wanita, sekiranya selalu terasa sakit atau bengkak di pangkal buah
dada, atasilah dengan petua ini. Ambil kayu atau teras pokok sepang. Asahkan
dengan sedikit air. Campurkan sedikit kapur sirih. Sapulah ramuan tersebut berulang
kali. Seelok-eloknya dilakukan pada waktu malam.

58.BENGKAK DI BAWAH TELINGA

Penyakit ini sebenarnya bermusim dan mudah berjangkit. Jika ada di antara
keluarga anda terkena penyakit nin, segeralah cari kayu sepang. Asahlah dengan
mencampur sedikit kapur sirih. Sapukan pada keliling telinga. Atau Ambil sedikit nila
dan cuka makan. Campurkan kedua-dua bahan itu dan sapu di sekeliling telinga
yang bengkak. Insya-Allah, bengkak tersebut akan beransur hilang.

59. MENCANTIKKAN BETIS

Setiap orang khususnya wanita, tentu inginkan betis yang cantik, halus dan licin.
Caranya mudah sahaja. Sapukan setiap pagi selepas mandi dengan minyak rambut
atau minyak kelapa dan urutkan perlahan-lahan.
Setelah lakukan demikian, betis anda akan kelihatan halus dan mulus. Anda tidak
perlu membuang duit untuk membeli minyak untuk bayi atau losyen. Selain itu anda
boleh juga mengurut betis anda dua atau tiga hari sekali dengan menggunakan
hampas kelapa yang telah diperah santannya. Setelah itu urutlah lagi dengan air
hingga menjadi bersih.

60. URAT BETIS MENONJOL

Selalunya wanita hamil akan mengalami keadaan di mana urat betisnya akan
menonjol, dan akan berterusan hingga sesudah bersalin. Ambillah segenggam
kacang hijau, rebus dengan air bersih tanpa mencampur dengan suatu apa pun
(tanpa gula, garam atau apa-apa ramuan lagi). Rebuslah sampai mendidih. Sebelum
kacang hijau itu pecah-pecah kulitnya, dan air rebusan tinggal segelas, angkatlah
dari api. Minumlah air rebusan kacang itu bersama kacangnya setiap pagi dan
malam sebelum tidur. Menjelang tidur, angkatlah kaki anda ke atas setinggi mungkin
dengan bantuan alat selama lebih kurang 10 minit. Lakukan setiap malam menjelang
tidur. Insya-Allah, urta betis anda kembali semula seperti biasa.

61. RAMBUT SELALU GUGUR

Bagi mengatasi rambut selalu gugur, ambil lendir daun lidah buaya, lendir pokok
bunga raya dan lendir pokok litup bumi. Semuanya dimasukkan dalam satu bekas.
Kemudian campur sedikit minyak zaitun. Sapulah di seluruh rambut lepas mandi
malam dan bungkus kepala dengan tuala selama setengah jam. Bangun pagi
barulah dicuci. Amalkan seminggu sekali. Selain rambut tidak gugur, rambut juga
lambat beruban.

62. ANAK SELALU KENCING MALAM

Jika ada anak anda berumur 5 tahun ke atas masih lagi kencing malam, cubalah
ambil tembakau sebesar ibu jari dan campurkan sedikit kapur sireh, kemudian
letakkan di pusatnya. Lakukan sewaktu hendak tidur malam dan ikatkan dengan
kain. Buatlah selama

63. KURANGKAN BAU CAT PADA DINDING

Dinding yang baru dicat terutamanya dalam bilik boleh mengeluarkan bau yang
kurang menyenangkan. Apa kata letakkan sebesen air yang dicampur garam di
dalam bilik itu dan biarkan ia semalaman di situ. Bau cat yang kurang
menyenangkan itu, akan hilang perlahan-lahan.

64. HILANGKAN KESAN LEBAM BAWAH MATA

Bagi mereka yang memakai cermin mata, sudah tentunya di bawah mata akan
kelihatan kasar dan hitam serta ada kesan lebam. Untuk mengembalikan
kelembutan kulit pada bahagian itu, mudah saja. Ambil sedikit minyak sapi dan
sapukan pada bawah mata perlahan-lahan bermula dari kanan ke kiri. Kemudian
biarkan 10 hingga 15 minit. Lakukannya pada sebelah malam sebelim hendak tidur.
Tetapi ingat, selepas tempoh itu, bersihkan semula muka anda kesan positif
beberapa hari kemudian.

65. ATASI MASALAH BULU KETIAK

Ada banyak cara tradisional boleh digunakan untuk menghilangkan bulu ketiak.
Antara yang paling mudah dan berkesan ialah menggunakan bahan seperti kapur
sirih dan kunyit hidup. Caranya, cabut semua bulu ketiak, selepas itu celupkan ibu
kunyit ke dalam kapur sirih dan gosokkannya hingga rata selama beberapa minit.
Kemudian bilas semula dengan air bersih. Lakukannya selama beberapa kali hingga
masalah anda itu selesai. Petua ini juga sangat bagus dicuba oleh anak perempuan
dan lelaki yang masih belum tumbuh bulu ketiak bagi menghalangnya daripada
tumbuh.

66. DAUN PERIA UBAT KURAP


Jika ada antara pembaca yang dihinggapi kurap, ini ada petua mudah
menyembuhkannya. Ambil beberapa helai daun peria dan cuci hingga bersih.
Kemudian ramas-ramaskan daun itu dan gosokkan pada badan atau bahagian tubuh
yang dijangkiti kurap itu. Lakukannya berulang-ulang kali pastinya kurap di tubuh
anda akan sembuh sepenuhnya.

67. MEMBENTUK BULU KENING ANAK

Bagi ibu yang gemar melihat anak-anak mereka memiliki bulu kening hitam dan
lebat. Ambil setangkai daun sirih, kemudian patahkan tangkai dari daunnya dan
sapukan bahagian yang bergetah pada kening anak anda. Ambilkan setiap hari.
Anda akan dapati tidak berapa lama selepas itu, kening anak anda menjadi lebat
dan hitam menawan. Bagaimanapun, petua ini hanya sesuai diamalkan untuk bayi
berumur hingga setahun saja. Bayi yang berusia lebih dari itu agak sukar sedikit.

68. HILANGKAN BINTIK MERAH KESAN CACAR AIR

Biasanya selepas sembuh daripada penyakit cacar air, kulit badan akan berbintik
merah dan ia agak sukar menghilangkan parutnya. Cuba ambil beberapa jagung
muda, bersih dan parut halus. Kemudian gosokkan pada parut dan bintik merah
pada seluruh tubuh berkali-kali. Hasilnya pasti memuaskan hati.

69. RAMBUT HITAM LAMBAT BERUBAN

Ada petua mudah untuk mendapatkan rambut yang hitam berkilat dan juga lambat
beruban terutamanya kalangan remaja hari ini. Apabila membancuh teh, hampasnya
jangan terus dibuang. Setiap pagi, apabila mandi basahlah rambut anda gosok-
gosokkan rambut anda dengan air rendaman hampas the tadi. Lakukan banyak kali.
Selain rambut menjadi hitam berkilat dan lembut, ia juga membuatkan rambut anda
lambat beruban.

70. MENYEMBUHKAN DEMAM

Petua ini hanya sesuai untuk mereka yang demam biasa. Ambil segenggam daun
betik. Bersih dan tumbuk hingga halus dan kemudian saring airnya menggunakan
sehelai kain bersih. Air pati daun betik itu hendaklah diminum. Insya Allah dalam
tempoh 12 jam anda akan melihat perbezaannya. Jika demam tidak sembuh, jangan
lupa berjumpa doktor.
71. KURANGKAN SAKIT GIGI

Sakit gigi amat menyakitkan. Ia membuatkan anda tidak tenang, cepat marah dan
tidak boleh membuat kerja dengan selesa. Caranya, ambil setangkai bunga cengkih
dan masukkannya ke dalam gigi yang berlubang. Biarkan beberapa ketika, sakit gigi
anda akan berkurangan perlahan-lahan.

72.ASAM GELUGUR UBAT SAKIT TEKAK

Dewasa ini dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, ramai yang menderita sakit
tekak. Petua mudah menghilangkan sakit tekak, ambil beberapa keping asam
gelugur, dibakar hingga hangus. Selepas itu, tumbuk dan gaulkan dengan sedikit air
sirih. Kemudian sapukan pada bahagian tekak yang sakit. Insya- Allah sakit tekak
anda akan cepat sembuh.

73. KAIN BATIK TIDAK LUNTUR

Untuk mengelak kain batik luntur dan pudar warnanya, ambil beberapa helai daun
batik, kemudian rebus dengan setengah periuk air. Apabila air mendidih, angkat dan
tuangkan ke dalam satu bekas. Masukkan kain batik dan rendam semalaman.
Esoknya, cucilah seperti biasa dan jemur.

74. TOMATO, EPAL LICINKAN KULIT

Bagi mereka yang kulitnya berminyak, berjerawat ataupun mempunyai kesan parut,
cubalah petua mudah ini. Parut sebiji epal atau sebiji tomato yang cukup masak.
Kemudian gosoklah perlahan-lahan pada wajah dan leher. Kandungan gelatin pada
tomato boleh menghilangkan kehitaman dan parut baru. Biarkan 20 minit, barulah
dicuci wajah anda dengan air suam. Lakukan berulang-kali dan anda akan dapat
hasil memuaskan.

75. RAMPING SEMULA JADI

Hendak kurus tanpa sebarang perbelanjaan? Cara paling senang ialah dengan
mendisplinkan diri. Iaitu ketika suapan dikunyah 40 kali. Jangan sekali-kali makan
berulamkan air. Petua ini sangat baik untuk mengelakkan perut buncit, selain dapat
menghindarkan sakit pinggang.

76. WANGIKAN RAMBUT


Ambil air perahan 10 helai daun pandan wangi yang ditumbuk lumat. Kemudian
sapukan pada seluruh rambut dan kulit kepala, pada sebelah petang. Biarkan
beberapa jam dan cucilah rambut anda dengan air bersih sebelum tidur. Hasilnya
rambut anda menjadi wangi dan mencegahnya daripada beruban.

77. HILANGKAN SAKIT GIGI

Sakit gigi membuatkan anda serba tidak kena dan mudah marah. Untuk
menghilangkan rasa sakit gigi, cuba minum air rebusan kulit pokok dan daun pokok
gajus. Atau ambil pucuk dan daun pokok cengkih lalu dikunyah-kunyah atau
tumbukkan daun serai hingga hancur. Masukkan ke dalam air hangat dan tambah
sedikit garam. Air serai ini hendaklah digunakan sebagai bahan kumur. Boleh juga
ambil sedikit kapur sirih dan sapukan pada gigi yang sakit itu. Insya-Allah sakit gigi
anda cepat hilang.

78. BENGKAK GUSI

Gusi bengkak boleh diatasi dengan mencuba petua ini. Ambil 5 helai daun jarak,
satu liter air bersih dan sesudu besar air kapur sirih. Rebuskan ramuan ini dan
minum airnya.

Petua kedua ialah dengan mengambil umbut nanas. Hancurkan dan campurkan
sedikit garam halus. Tampalkan pada gusi yang bengkak.

79. GUSI BERDARAH

Ambil beberapa helai daun bacang dan masukkan ke dalam periuk berisi air.
Campurkan beberapa helai daun inai. Kemudian rebuslah dan apabila airnya
mendidih bubuhlah sedikit asam gelugur dan garam secukup rasa. Berkumurlah
dengan air rebusan ini. Jika gusi anda luka, elok juga berkumur dengan air daun
sirih.

80. PELEMBAB MUKA SEMULA JADI

Jika ingin berjimat dan tidak mahu membazirkan wang membeli pelembab muka,
anda boleh menggunakan pelembab muka semula jadi. Ambil beberapa lebar daun
kubis, sesudu madu lebah dan sedikit air. Kisarkan daun kubis sehingga halus dan
gaulkan dengan kedua-dua bahan itu. Sapukan ke wajah hingga ke leher dan
biarkan selama 20 minit. Cara menggunakan kapas lembab. Bersihkan dengan
lembut. Pasti kulit anda akan sentiasa lembab dan tegang.

81. URUTAN WAJAH CARA BETUL

Muka akan tampak berminyak terutamanya selepas bangun daripada tidur.


Sebenarnya, itulah masa sesuai untuk mengurut wajah. Gunakan jari telunjuk
kedua-dua belah tangan. Mula letakkan kedua-duanya di bawah mulut (dagu).
Pusingkan jari ke pipi, pipi ke hidung seterusnya ke bahagian dahi. Perlu diingat,
jangan sesekali mengurutnya cara menurun kerana ia kan menpercepatkan proses
kedutan di wajah. Buatlah setiap pagi disusuli dengan meminum air suam sebelum
mengambil sarapan pagi.

82. SERI DAUN INAI

Inai bukan saja boleh digunakan untuk memerahkan jari dan rambut tetapi ada juga
banyak kegunaannya. Untuk mendapatkan wajah yang cantik berseri membuatkan
orang tidak jemu memandang gunakanlah khasiat inai. Sesungguhnya wajah jelita
harus dimiliki oleh setiap orang terutamanya wanita. Caranya mudah saja. Dapatkan
segengam daun inai yang agak tua dan rebus kira-kira tiga cawan air. Minumlah air
rebusan ini sebanyak tiga kali seminggu. Insya-Allah wajah anda berseri.

83. KHASIAT KUNYIT MUDA

Mingkin tidak sesiapa pun menyangka, kunyit muda boleh menaikkan seri wajah
seseorang. Unutk mencubanya, dapatkan kunyit muda yang segar, bersih dan
potongkan nipis. Jadikan ia ulam sewaktu anda makan nasi. Sekiranya tidak biasa
dengan baunya yang mentah, anda boleh mengambil ulam lain sebagai sampingan.
Jika anda rajin mengamalkannya, wajah pasti akan berseri dan menawan

84. KEGUNAAN PUCUK JAMBU BATU

Jika anda ada masalah untuk menyembuhkan jerawat, gunakan cara tradisional
untuk mengatasinya. Ambil beberapa helai pucuk jambu batu dan gilingkannya (atau
ditumbuk) sehingga halus. Kemudian sapukannya pada bahagian yang ada jerawat.
Pakailah selalu. Untuk menjadikan lebih mujarab, pakailah bersama-sama dengan
bedak sejuk dan hasilnya tentu tidak mengecewakan.

85. CARA WANGIKAN ALMARI PEKAIAN


Daun pandan bukan saja menambah aroma dan keenakan nasi lemak dan juadah
kuih-muih tradisional Melayu, tetapi ia juga boleh dijadikan bunga rampai dalam
majlis pertunangan dan perkahwinan Melayu. Khusus bagi mereka yang inginkan
almari pakaian sentiasa berbau harum menggunakan bahan yang murah dan bersih.
Daun pandanlah jawapan terbaik.
Caranya, ambil beberapa helai daun pandan yang sederhana tua, kerat-keratkan
kepada lebih kurang tiga sentimeter panjang dan letakkannya di dalam almari
pakaian anda. Tukar kepada daun pandan yang baru selepas tiga hari.

86. ELAK BISA PAKU BERKARAT

Apabila kaki anda luka kerana terpijak paku yang berkarat, segera cari bawang putih
yang berdaun. Buang kulitnya dan celupkan ia ke dalam minyak dan panaskan
seketika di atas api yang sederhana besar. Kemudian segera tampalkan bawang
putih itu pada bahagian yang luka tadi dan tukar bawang putih dua kali sehari. Ia
dengan segera membuang bisa karat yang melekat dalam daging kaki anda. Jika
keadaannya tidak pulih dan terus berbisa, segera jumpa doktor.

87. MENURUNKAN TEKANAN DARAH TINGGI

Ada dua jenis bahan yang sangat baik dimakan untuk menurunkan tekanan darah
tinggi.
Pucuk dan bunga betik. Caranya ialah dengan mencelurkan pucuk dan bunga betik
itu hingga masak dan dimakan. Ia boleh dibuat kerabu atau dimakan sengan sambal
belacan. Rasanya memang sedikit pahit, tetapi amat baik untuk mengubati penyakit
darah tinggi.
Daun kucai. Bersihkan secekak daun kucai dan dengan sedikit gula batu, kisar
tanpa menggunakan air. Ambil pekatan yang dihasilkan itu dan embunkan
semalaman. Kemudian boleh diminum pada sebelah pagi dan sebelum makan.
Daun kucai amat baik untuk mengurangkan tekanan darah tinggi seperti bunga dan
pucuk betik tadi. Amalkan selalu, insya-Allah hasilnya sungguh memuaskan.

88. UBAT KENCING LAWAS

Bagi mereka yang menghadapi masalah kencing tidak lawas atau tanda-tanda awal
ada penyakit batu karang, ambil beberapa biji lobak putih dan batang kangkung
dengan akarnya sekali. Bersihkan kedua-dua bahan ini dan rebus pada kadar air
yang sederhana banyaknya. Apabila sudah cukup masak, angkat dan biarkan air
menjadi agak-agak suam, barulah diminum. Petua ini selain dapat melawaskan
kencing, juga dapat memecahkan batu karang yang belum serius.
89. ATASI SAKIT TUMIT KAKI

Kebanyakan mereka yang sudah berusia, sering mengadu sakit pada bahagian
tumit. Ia bukan saja menyukarkan anda berjalan tetapi juga apabila berdiri agak
lama pada satu-satu tempat. Sediakan lebih kurang satu kilogram garam kasar dan
goreng tanpa minyak di dalam kualai menggunakan api yang sederhana besar.
Apabila semua garam mulai panas, angkat dan bungkus dalam kain bersih.
Gunakan untuk menuam pada bahagian tumit anda yang sakit itu. Amalkan selalu,
sakit tumit anda pasti berkurangan dan insya-Allah akan sembuh sepenuhnya.

90. MENGHILANGKAN PAHIT DAUN BETIK

Bagi anda yang suka makan daun betik sebagai ulam, anda boleh menghilangkan
rasa pahit daun betik itu dengan mencampurkan daun senduduk ketika merebusnya.

91. UDANG SENTIASA SEGAR

Supaya udang tidak busuk dan sentiasa segar, perahkan air asam limau nipis ketika
anda hendak menyimpannya dalam peti sejuk. Cara ini boleh menjadikan udang
sentiasa segar dan tahan lebih lama.

92. MENCUCI TAPAK SETERIKA BERKARAT

Mencuci tapak seterika yang kotor ada caranya. Petuanya adalah dengan menabur
sedikit garam halus ke atas kertas tisu, kemudian gosok pada tapak yang kotor tadi.
Lakukan beberapa kali dan anda akan dapati kotorannya akan hilang.

93. KEBAIKAN KEPALA, TAHI IKAN BILIS

Campurkan kepala dan tahi ikan bilis ke dalam makanan ayam. Ia berzat dan
berkhasiat untuk binatang. Jika direndam selama beberapa hari dan disiram pada
pokok bunga, ia menyegarkan pokok.

94. SEGARKAN URAT SARAF DENGAN DAUN SERAI

Jika anda terlalu banyak kerja anda tentu berasa letih dan lesu, untuk
mengembalikan kesegaran surat sarat anda boleh gunakan daun serai, daun
pandan dan daun nangka yang direbus. Biarkan air tersebut menjadi suam kuku
setelah itu bolehlah anda gunakan untuk mandian selama tiga hari. Anda akan
dapati bahan yang letih lesu itu akan sembuh dan akan bertenaga kembali.

95. UBAT SAKIT BENGKAK TEKAK

Jika anda mengalami sakit tekak, memang sukar untuk menelan terutama makanan
yang keras, untuk merawatnya, ambilkan air didih nasi sebanyak satu cawan,
minumlah air didih nasi itu, lakukan cara ini beberapa kali sehingga rasa perit dan
sakit kerongkong anda sembuh.

96. DAUN RAMBUTAN MERAWAT GATAL KULIT KEPALA

Daun rambutan juga boleh mengatasi masalah kulit kepala yang gatal, caranya
masukkan daun rambutan dalam satu bekas yang berisi tiga gelas air, hancurkan
daun rambutan , setelah itu perah dua biji limau nipis serta kacau hingga sebati.
Selepas itu tapis air tadi, sapukan rata-rata biar ia menyerap pada kulit kepala.
Sebaik-baiknya hendaklah amalkan dua minggu sekali.

97. SANTAN TIDAK PECAH MINYAK

Kebanyakan suri rumah terpaksa menunggu untuk mengacau santan apabila


memasak kuah lemak atau kari. Bati memudahkan kerja, letakkan senduk di dalam
periuk dan gunakan api yang kecil. Santan tidak akan pecah minyak.

98. ATASI SINKI TERSUMBAT

Cuba masukkan beberapa banyak garam kasar di dalam saluran sinki tersumbat.
Selepas itu tuangkan air panas baru mendidih di dalam lubang sinki. Ulang
beberapa kali hingga perjalanan air lancar semula.

99. IKAN TIDAK BUSUK

Bagi ibu bekerja, biasanya ikan dibeli untuk dua atau tiga hari dan disimpan di dalam
peti sejuk. Namun adalanya bekalan electrik tiba-tiba terputus dan menyebabkan
ikan jadi busuk. Jangan bimbang kerana masih ada cara untuk mencegahnya.
Caranya, ambil ikan yang telah disiang dan dicuci bersih, gaulkan ikan ini dengan
nasi sejuk dan sedikit garam. Nasi mestilah benar-benar sejuk kerana nasi yang
panas atau suam akan menyebabkan ikan busuk. Esoknya basuh ikan itu seperti
biasa.
100. SAYUR DICELUR TETAP SEGAR

Campurkan sedikit minyak masak ke dalam periuk berisi air rebusan. Setelah sayur-
sayuran dicelur, toskan airnya. Hasilnya sayu-sayuran ini akan nampak segar dan
berkilat.

101. TEMBIKAI TAHAN LAMA

Tembikai mudah layu dan busuk jika disimpan lama. Bagi mengelakkannya,
sapukan kapur makan di pangkal tembikai. Insya-Allah, tembikai tidak mudah busuk
dan tahan lama.

102. MENGHILANGKAN BAU TANDAS

Hampas kopi jangan dibuang kerana ada kegunaannya. Ia dapat menghilangkan


bau tandas. Caranya ialah masukkan hampas kopi ke dalam lubang tandas, biarkan
beberapa lama dan siram. Anda akan dapati bau tidak menyenangkan itu akan
hilang sama sekali.

103. BELIMBING BULUH UBAT DARAH TINGGI

Belimbing buluh bukan saja kaya vitamin C malah ia boleh dijadikan pencuci mulut
selepas makan walaupun rasanya sedikit masam. Selain itu, ia juga boleh dijadikan
rencah masakan untuk menambahkan kelazatan makanan terutama apabila
memasak gulai lemak cili api ikan sembilan, juga berkhasiat kesihatan. Belimbing
buluh dikatakan boleh menghilangkan penyakit darah tinggi dengan mengamalkan
memakan buah belimbing yang agak muda dua biji sehari. Amalkan setiap hari
sehingga kesannya nampak pada penurunan darah anda. Ketika ini anda juga
dinasihat mengurangkan pengambilan garam dan daging serta makanan yang
mengandungi lemak.

104. GARAM HILANGKAN SAKIT TEKAK

Garam banyak kegunaannya kerana ia bukan saja dijadikan bahan terpenting dalam
masakan tetapi boleh menghilangkan sakit tekak yang biasanya berpunca daripada
cuaca panas. Berkumurlah dengan air garam dua kali sehari, pasti tekak anda
terasa lega. Caranya, anda cuma perlukan tiga camca garam dan dibancuh dengan
setengah gelas air sejuk dan berkumurlah setiap hari hingga sakit tekak hilang.
105. HALIA ATASI MASALAH KEMBUNG PERUT

Halia bukan saja menjadi perencah masakan tetapi juga berguna untuk dijadikan
ubat kembung perut. Dengan mengambil sebuku halia yang sederhana besar,
dibersihkan dan ditumbuk tetapi jangan sampai lumat, masukkan ke dalam gelas
dan tuang air panas mendidih anggaran setengah gelas. Tutup permukaan gelas itu
dengan piring selama 10 minit, tapis dan jadikan dua bahagian. Sebahagiannya
anda minum dan sebahagian lagi disimpan di dalam peti sejuk. Sekiranya perut
anda terasa kembung lagi, ulang meminumnya hingga perut berasa lega.

106. KULIT BUNGA TANJUNG HILANGKAN JERAWAT

Ada banyak kaedah tradisional yang digunakan untuk menghilangkan jerawat. Salah
satu caranya ialah dengan menggunakan kulit pokok bunga tanjung. Cara
membuatnya mudah saja. Ambil lapisan dalam batang pokok itu, giling halus-halus
dan jadikan ia bedak. Sebelum disapukan pada muka, campurkan dengan sedikit
bedak sejuk dan beberapa titis air. Sapukan pada muka terutama pada bahagian
yang berjerawat pada sebelah malam sebelum masuk tidur. Jadikan ia amalan
harian. Anda akan lihat perubahan pada wajah anda.

107. MENJADIKAN GIGI PUTIH BERSIH

Untuk mendapatkan gigi yang putih bersih, ambil sebiji pinang dan dibakar hingga
hangus. Kemudian tumbuk hingga ia menjadi serbuk. Simpannya di dalam bekas
kedap udara, apabila hendak digunakan, sedikit garam dan gosok-gosokkan ia pada
gigi dengan menggunakan jari. Lakukan selalu pada sebelah pagi dan malam
sebelum tidur.

108. MENGHILANGKAN BAU KETIAK

Sekiranya anda bermasalah badan berbau hangit dan kurang menyenangkan, cuba
pula cara ini. Ambil sebiji limau kasturi, belah dua dan gosokkan kedua-dua belah
ketiak anda dengannya. Amalkan seminggu sekali sebelum mandi. Insya-Allah
masalah badan berbau semakin berkurangan dan akan hilang dengan perlahan-
lahan.

109. MELEBAT BULU KENING


Biasanya, kening yang cantik bukan saja elok terbentuk tetapi juga hitam lebat.
Untuk melebatkan bulu kening ambil isi kelapa tua sebesar dua jari. Kemudian bakar
di atas api sederhana hingga ia menjadi hitam. Selepas itu, angkat dan biarkan ia
sejuk dan bolehlah disapu pada bulu kening. Jika rajin mengamalkannya, kening
akan menjadi lebat dan hitam menawan. Selamat mencuba.

110. DAUN PERIA UBAT KURAP

Jika ada yang menderita penyakit kurap, ini ada petua mudah untuk mengubatinya.
Ambil beberapa helai daun peria dan bersihkannya. Kemudian ramas-ramaskannya
dan gosokkannya pada badan atua kulit yang dijangkiti kurap. Lakukannya berulang-
ulang kali, pasti hasilnya sangat memuaskan.

Anda mungkin juga menyukai