Anda di halaman 1dari 3

Kitab ini ditulis dalam tulisan jawi lama dialek Patani. Pening sikit kita hendak membacanya.

Namanya Munyatul Musolli. Boleh juga disebut Minyatul Musolli. Maksudnya Yang
Diperlukan oleh Orang yang Bersembahyang (Yang Dikehendaki oleh Orang yang
Bersembahyang/ Yang Dicita-citakan oleh Orang yang Bersembahyang). Sesiapa yang
bersembahyang, dia memerlukan kitab ini. Oleh kerana kita bersembahyang, maka kita perlukan
kitab ini.

Cuma kita jangan tersalah sebut. Ada orang sebut Manyatul Musolli, Maniatul Musolli,
Mayyiyatul Musolli dan lain-lain. Kalau salah sebut, maksudnya boleh jadi Matilah Orang yang
Bersembahyang. Kita hendak belajar kitab yang mana? Apa yang Diperlukan oleh Orang yang
Bersembahyang ataupun Matilah Orang yang Bersembahyang? Kalau belajar kitab Matilah
Orang yang Bersembahyang, kita kena bawa kain kafan. Takut kita hendak belajar, sembahyang
sembahyang... mati!

Antara isi kandungan kitab ini ialah tentang sembahyang, dari mula sampailah habis
sembahyang. Kemudian tentang adab-adab pemerintah dan adab-adab rakyat. Dan di
belakangnya pula disertakan satu lagi risalah terjemahan Syeikh Daud Fatani yang dinamakan
Bahjatul Mardhiyyah. Ia menceritakan masalah masbuq dan muaffiq dalam sembahyang.

Kitab Munyatul Musolli ini ada diterjemah (dialih tulisan) ke dalam bahasa rumi. Apabila
diterjemah, ia jadi tebal. Sungguhpun diterjemah, tetapi tukang terjemahnya tidak
menukarkannya perkataan demi perkataan. Dia terjemah mengikut bahasa zaman sekarang.
Senanglah hendak difaham. Kalau bahasa dulu, susah sikit untuk difaham.

Contohnya (lenggok bahasa dahulu kala)- Sunat berbuka di atasnya tamar.

Maksudnya sunat kita berbuka puasa dengan memakan buah kurma ataupun sejenisnya terlebih
dahulu. Tapi kalau kita tersalah faham, kita akan menyangka disunatkan berbuka puasa dengan
duduk di atas buah kurma. Dalam terjemahan rumi ini, ia sudah tidak menggunakan gaya bahasa
lama. Senang untuk kita faham. Sungguhpun begitu, ketika saya mengajar, saya menggunakan
kitab yang lama.

Hari ini kita tengok muka surat yang pertama.

Bismillahirrahmanirrahim. Kumulai risalah ini dengan nama Allah yang Amat Murah
lagi Amat Mengasihani akan hamba-Nya yang mukmin dalam negeri akhirat.

Kumulai.

Siapa yang mulai? Tuan kitab, iaitu Tuan Syeikh Daud Fatani. Dia mulakan risalah ini dengan
Bismillahirrahmanirrahim. Itu maksudnya.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Tuhan yang menjadikan sembahyang yakni
sembahyang lima waktu ini jalan segala orang yang muttaqin.
Sembahyang lima waktu ini ialah jalan orang-orang yang bertaqwa. Sesiapa yang tidak
bersembahyang, maksudnya bukan orang-orang yang bertaqwalah. Sebanyak mana amal
kebaikannya pun, jika tidak bersembahyang, tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang
bertaqwa. Kalau kita bersembahyang, insyaallah masih ada harapan masuk dalam golongan
orang-orang yang bertaqwa.

Sebab itu kita selalu berpesan, jahat macam manapun, sembahyang jangan tinggal. Mengapa?
Kerana kita takut-takut sekiranya ibadah sembahyang tidak selesai, ibadah yang lain pun tidak
diterima. Itu yang angat kita risaukan.

Macam yang saya pernah cerita dulu (dalam pengajian kitab lain). Ada seorang wanita yang
menjaga ibunya yang sakit bertahun-tahun, sampailah ibunya meninggal dunia. Selepas
pemergian ibunya, dia meluahkan rasa puas hati kerana berjaya menjaga ibunya yang sakit
bertahun-tahun sampailah ibunya mati, tanpa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga. Tapi
masalahnya, wanita ini jenis orang yang tidak menunaikan solat. Bagaimana tu? Auratnya sendiri
pun tidak ditutup dengan sempurna!

Lebih baik lagi mereka yang tidak berapa menjaga ibunya tetapi bersembahyang. Sekurang-
kurangnya masih diterima/ dikira lagi amalan-amalan mereka. Yang kita risau, si wanita ini
bertungkus-lumus menjaga ibunya tetapi amalan-amalannya tidak diterima/ dikira.

Jadi kita ini jahat setara manapun, solat jangan diabaikan.

Kisah seorang wali Allah (Fudhail bin Iyaz). Asalnya seorang ketua perompak. Ketua perompak
ini sebenarnya seorang yang baik. Dia dan orang-orangnya merompak satu rombongan. Selepas
merompak, salah seorang yang kena rompak itu bertanya, Ketua kamu yang mana satu?

Ketua kami berada di seberang sungai.

Buat apa dia di sana?

Dia sedang sembahyang.

Ketua perompak bersembahyang? Eh, pelik ni!

Dia tak makan dengan kamu semua sekalikah? tanya orang yang kena rompak?

Tidak.

Mengapa dia tidak makan bersama?

Dia sedang berpuasa.

Eh, sekarang bukan bulan puasa!


Ketua perompak ini bersembahyang sunat dan berpuasa, sekalipun dia seorang ketua perompak.
Disebabkan perangainya seperti itu, lama-kelamaan dia bertaubat dan jadi wali Allah (atas
pilihan Tuhan). Asalnya dia seorang penjahat, tetapi oleh kerana dia menjaga sembahyang,
akhirnya dia jadi wali Allah.

Ada pula kisah, sewaktu perompak ini merompak, orang yang dirompak tidak tahu orang yang
berada di depannya ialah ketua perompak. Orang yang kena rompak menyerahkan barangnya
kepada ketua perompak untuk disimpan.

Encik, tolong simpan barang saya.

Tak mengapalah, biar saya tolong simpan.

Habis saja anak-anak buahnya merompak, dia beri balik barang tadi. Anak-anak buahnya
terkejut.

Kenapa beri balik barang itu?

Orang ini sudah amanahkan barangnya kepada aku. Jadi aku berpegang dengan amanah. Aku
berharap amal ibadah aku nanti akan jadi amanah oleh Tuhan, Tuhan akan terima.

Lama-kelamaan dia pun jadi wali Allah (atas pilihan Tuhan), disebabkan amanahnya. Jadi, kita
jahat macam mana pun, sembahyang jangan ditinggalkan

Anda mungkin juga menyukai