Anda di halaman 1dari 11

Orang-orang Rao di Raub

1. Pendahuluan

Saya menulis riwayat ini untuk menjadi ingat-ingatan kepada ahli keluarga saya yang bergelar dan
tidak bergelar yang menetap di dalam daerah Raub dan juga kepada yang sudah berhijrah keluar dari
daerah ini. Pengkisahan Orang-orang Rao di Raub ini merupakan riwayat cakap dengar dan rekod
Teromba Salasilah Keluarga yang saya rekodkan bagi tujuan penyediaan kertas pembentangan ini.

Dalam menulis Pengkisahan: Orang-orang Rao di Raub

ini, saya dirujuk sebagai sebutan:

i. Hasanuddin bin Md Isa anak Ramlah anak Zainab anak Ubi anak kepada Hj. Mat Saman (isterinya
Tok Bisah binti Tok Til – Sega), anak Khatib Deraman (isterinya Halimah binti Lebai Diman) anak
TIDAK DITEMUI NAMA – cucu Tok Perak (suaminya Tok Unus Kg. Macang Gelap, Chenor) anak Fatimah
anak Tok Perak Sengkela.

Sewaktu menyiapkan kertas pembentangan ini, saya membuat rujukan pengkisahan daripada
bahan-bahan berikut:

i. Cerita-cerita yang saya peroleh dalam hayatnya pertemuan saya dengan Fatimah Sam @
Wan Bugong anak Bilal Nir anak Hj. Muhamad Saman anak Khatib Deraman sekitar tahun 1996 di rumah
di Kg. Pasir Bayam, Raub.

ii. Teromba Salasilah Keluarga Baginda Demu, Tok Kaya Ibrahim, Tok Mansor Bugis susunan
Penghulu Mat Dahan (edisi jawi).

iii. Teromba Salasilah Keluarga (edisi rumi) susunan Muhamad bin Imam Hj. Abdullah bin
Sintam bin Imam Janal bin Wan Husin (Tok Dahalek) bin Tun Abdul Latif (Orang Kaya Maharaja Perba
Jelai Pertama). Teromba ini dalam simpanan En. Yusof bin Muhamad, guru Tari Silat Pedang Kampung
Kuala Atok.

iv. Teromba Besar Tok Perak (soft copy) susunan Zaffuan Haji Manap

v. Pengkisahan dalam karya-karya tempatan


Setelah dinilai akan setiap teromba salasilah keluarga dan riwayat lisan dan tulisan yang dijadikan
rujukan, saya menyusun Pengkisahan Orang Rao di Raub ini seadanya.

Wilayah Hulu Pahang

Wilayah Hulu Pahang merangkumi Lembahan Lipis dan Lembahan Jelai adalah kawasan yang
sangat selamat didiami. Lembahan Jelai ditadbir oleh Maharaja Perba Jelai dan di Lembahan Lipis pula
ditadbir oleh Orang Kaya Lipis. Kedudukan kedua-dua pembesar ini wujud selepas runtuhnya empayar
Melayu Melaka. Di Lembahan Lipis, Sungai Lipis mengalir dari sempadan Perak sampai bertemu Sungai
Jelai membentuk muara Sg. Lipis. Di muara Sungai Lipis ini, tertubuhnya petempatan awal oleh Tun
Ibrahim dari Melaka dan Baginda Demu dari Perak. Ini berlaku sekitar 1530 Masihi.

Dari kawasan muara Sungai Lipis ini, melalui perkahwinan antara anak cucu kedua tokoh ini, mereka
membuka kampung halaman sepanjang Sungai Lipis sehingga terbangunnya Budu sebagai pusat
pentadbiran Orang Kaya Lipis. Dari Budu ini, dibuka pula kampung Tersan, Kuala Atok, Sega Lama,
Sengkela dan sehingga tahun 1670, kampung Batu Talam di hulu Sungai Lipis telah dibuka oleh Tok De
Abdul Rahman.

Demikian juga kepada anak cucu Tun Ibrahim , mereka turut giat membuka kampung halaman untuk
kesenangan anak cucu mereka. Antaranya Tun Bandu Sulaiman bin Tun Ibrahim membuka kampung
Salang. Tun Sulung bin Tun Pandak Sapa bin Tun Osman bin Tun Isap bin Tun Enda bin Tun Bandu
Sulaiman membuka kampung Lalang, Tun Safar bin Tun Pandak Sapa membuka Kampung Tanjung Besar
Hilir, Tun Ahmad bin Tun Pandak Sapa membuka kampung Tanjung Besar Hulu, Tun Pandak Sapa sendiri
membuka kampung Perlum. Kebanyakan kampung yang dibuka itu dalam daerah Kuala Lipis.

Kedatangan Orang Rao Ke Raub

Sehingga tahun 1750M, keluarga Tun Ibrahim dan Baginda Demu mencorakkan petempatan di tebing
Sungai Lipis. Sekitar tahun 1755 Masehi seorang bangsawan Rao iaitu Raja Ahmad @ Panglima Tok
Perak dari Luhak Tanah Datar, Minangkabau, tepatnya dari Sungai Tarab, Pagaruyung berpindah ke
Hulu Pahang membawa isterinya, Tok Nuriah serta anaknya iaitu iaitu Imam Abdullah Hasyim @ Tok
Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi dengan diikuti juga oleh anak
saudaranya, Raja Hitam menuju ke Hulu Pahang.[1] Mereka ke Hulu Pahang melalui banjaran Titiwangsa
melalui Tapah ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu Sungai, Batu Talam (di buka oleh Tok De Abdul
Rahman bin Tok Aya).

Dari Batu Talam, beliau diberi maklum ada tanah antara Pasir Purun dengan Batu Talam yang
belum diteroka. Untuk mendiami tanah itu mestilah mendapat Orang Kaya Lipis iaitu Tok Kaya
Chandak di Kampung Terap, Budu . Tok Panglima Perak diberi izinkan membuka kampung di tebing
Sungai Lipis.

Di Semantan Hulu itulah Panglima Tok Perak, Raja Hitam dan pengikutnya membuka kampung
yang kini dikenali sebagai Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing
(sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Kampung Sengkela itu diperoleh nama daripada rotan
Sengkela yang tumbuh dengan banyak di situ. Di sini jugalah Panglima Tok Perak beroleh isterinya yang
kedua bernama Tok Mikrah iaitu anak jati Kampung Terap Budu yang juga masih keturunan Datuk
Baginda Demu dan Tok Kaya Busu. Dari perkahwinan ini Panglima Tok Perak dengan Tok Mikrah ini
beroleh tiga orang anak iaitu Tok Pandak Lena, Tok Fatimah dan Kulop Mat Daham .

Kulop Mat Daham itu menetap di Durian Sebatang, Perak. Anak kepada Kulop Mat Daham
bernama Sadik menetap di Lambor Kanan, Perak. Tok Pandak Lena itu menetap di Semantan (Ulu) Akan
keturunan mereka ini mendiam kampung Sengkela, Ajai, Pasir Bayam, Dong, Durian Sebatang dan
Sungai Pasu Luar.

Dari keluarga Raja Ahmad @ Tok Perak ini, menjadi tempat berpaut sekelian ramai panglima Rao
dari rantau Sumatera yang berhijrah ke Raub. Sekadar menyebut antaranya Panglima Jabaringin
berasal dari Rao Koto Rajo atau Rao Tanjung Beringin bernikah dengan Anjang Mas Suka anak Raja
Ahmad @ Tok Perak. Berdiam mereka di Gesing. Hasil perkahwinan itu, salah seorang anaknya
bernama Intan Zubaidah dinikahkan dengan Haji Abdullah Malim Pendita dari Koto Rajo, Rao
Mapattunggul, Pasaman, Sumatera Barat. Beliau orang ke-5 datang meneroka Kampung Temau selepas
tokoh berempat dari Kampar. Ada seorang adik-beradiknya di Kalumpang bernama Haji Siun.
Berdiamlah mereka di kampung Temau dan keturunan mereka berkembang ke Dong dan Lechar.

Selain itu, anak Panglima Tok Perak ini turut bernikah dengan keluarga Tok Kaya Ibrahim di Budu.
Antaranya ialah Imam Abdullah Hasyim @ Tok Duhas bernikah dengan wanita Budu (tiada catatan
nama) . Akan keturunan mereka kemudiannya ramai mendiami kawasan Ajai, Dong dan Durian
Sebatang.
Tok Barir bin Panglima Tok Perak bernikah dengan Tok Sirah binti Tok Aya bin Tok De Abdul
Rahman (pembuka Batu Talam) anak Itam Mas Pahang binti Tok Kaya Ibrahim (Budu). Akan keturunan
mereka dikemudian harinya ramai mendiami kawasan Sega, Temau, Kuala Gali dan Durian Sebatang.

Halifah anak Tok Perak bernikah dengan Daeng Bugis. Anaknya bernama Banun bernikah dengan
Tan Ibrahim lalu membuka Temau. Akan keturunan mereka kemudiannya ramai mendiami kawasan
Temau, Dong dan Pintu Padang.

Tok Akil anak Tok Perak. Anak cucunya mendiami kampung Ajai.

Tok Pudi anak Tok Perak. Anak cucunya mendiami kampung Gesing, Ajai, Benta, Dong, Durian
Sebatang, Gali Hilir dan Pintu Padang.

Selain itu, Panglima Tok Perak ini bernikah dengan Tok Safiah di Pekan. Hasil pernikahan itu
mendapat anak bernama Halimah lalu dijodohkan dengan Datuk Paduka (Kampar Lima Kota,
Bangkinang, Sumatera) lalu membuka kampung di Temau. Pernikahan itu melahirkan Siti Omai. Akan
Siti Omai ini dinikahkan dengan Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Limbang Laut – Tanjung
Alai, Rao Mapattunggul, Sumatera Barat. Berdiam anak cucu mereka di kampong Temau juga sampai
ke Dong

Raja Ahmad @ Tok Perak juga bernikah dengan Ibu Kuntum di Bukit setugal berzuriat Mas
Kuntum. Beliau juga bernikah dengan seorang perempuan di Kerambit berzuriat anak bernama Tok
Uban.

RAJA AHMAD

@PANGLIMA PERAK

Berkahwin
TOK NURIAH

(Sungkai – Perak, 1728M)

Imam Abdullah Hashim@Tok Duhas, Tok Akil ,Anjang Mas Suka, Halifah, Tok Barir, dan Tok Pudi@Tok
Chu

RAJA AHMAD

@PANGLIMA PERAK

Berkahwin

TOK MIKRAH BT TOK KAYA BUSU

(Semantan Ulu, Pahang, 1756)

Pandak Lena, Fatimah Kulup Mat Daham

RAJA AHMAD

@PANGLIMA PERAK

Berkahwin

IBU KUNTUM

(Bukit Segumpal – Chenor, 1760

Mas Kuntum

RAJA AHMAD

@PANGLIMA PERAK
Berkahwin

PEREMPUAN

(Kerambit, Lipis, 1762M)

Tok Uban

RAJA AHMAD

@PANGLIMA PERAK

Berkahwin

TOK SAPIAH

(Pulau Manis, Pekan – 1774M)

Halimah

Gelombang Kedatangan Kedua Orang Rao ke Raub

Apabila Kompeni Belanda masuk ke Indonesia, Belanda menjajah negeri-negeri beraja. Lalu
daulat Sultan Tunggal Alam Bagagar Shah Johan dijatuhkan oleh Belanda pada tahun 1833M . Tekanan
cukai yang tinggi ke atas rakyat dan pemburuan keluarga diraja dan panglima raja memaksa ramai orang
Rao meninggalkan Pagaruyung.

Akan kesampaian Tengku Muda Khairul Alam bin Tengku Badrul Alam (Raja Muda Padang
Nunang) dan sepupu Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari Padang Nunang dan
pengikutnya ke mukim Sega disambut dengan gumbira oleh Tok Muhamad bin Tok Aya binTok De
Abdul Rahman anak Itam Mas Pahang binti bin Orang Kaya Ibrahim yang menjadi Penghulu Sega pada
waktu itu. Untuk mengikat kasih penduduk mukim Sega dengan keluarga diraja ini, dinikahkan oleh
Tok Muhamad akan Tengku Muda Khairul Alam yang sudah berusia itu dengan Jeleha, anak Aminah
iaitu jugalah anak sepupu Tok Muhamad . Akan Jeleha itu telah pun mempunyai anak bernama Mohd
Salim dan Fatimah dengan suami pertamanya dahulu (Hj. Abd. Manan Ar Rao) . Pernikahan itu
berlaku sekitar 1839 di Gesing . Hasil perkahwinan ini , Baginda memperoleh seorang anak dinamakan
Tengku Abdul Samad. Maka diamlah Baginda di Gesing (sekarang ini dalam Mukim Semantan Ulu).

Kehadiran Baginda dan Pengikut Baginda ke Gesing telah meramaikan penduduk di situ dan terbukalah
pula Kampung Pulau Rumbiah. Secara beransur-ansur, pengikut Tengku Muda Khairul Alam membuka
kampung kecil lain seperti Kampung Kundang Patah dan Kampung Ria Semantan.

Tengku Muda Khairul Alam meninggal dunia setelah beberapa tahun menetap di Gesing .
Baginda dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjung Raja. (kubur baginda tidak wujud lagi kerana
hakisan tebing sungai menghanyutkan kawasan kuburan baginda itu.) Akan Tengku Abdul Samad itu
kemudiannya tinggal bersama kakak tirinya bernama Fatimah di kampung Ajai.

Akan sepupu Tengku Khairul Alam, Baginda Tengku Umbak binTengku Tialam dari padang
Nunang ini dijodohkan oleh Tok Muhammad dengan Siti Ajar anak Aminah,berzuriat dia anak
bernama Tengku Rashiah, Raja Fatimah dan Raja Puteri.

Akan kemudian harinya, anak cucu Tengku Muda Khairul Alam bertebaran mendiami kampung
Batu Malim, Kampung Batu Talam, Kampung Ria Semantan, Kg. Semantan Ulu, Kampung Kundang
Patah, Kampung Pancur, Kampung Kuala Dong, Kampung Ajai, Kampung Dong, kampung Durian
Sebatang, Kampung Gali Tengah dan Ulu Gali.

Ketokohan Tengku Ali atau Tok Shaharom penting disebut dalam persejarah orang Roa di Raub.
Dari keluarga inilah lahirnya Tok Gajah, Panglima Perang yang menjadi sebutan di negeri Pahang.
Demikian besar namanya pahlawan ini. Ramai yang mencari-cari usul keturunannya dan ramai ingin
mengetahui di mana tinggal kaum kerabatnya. Ayahanda Rasu Abdul Salam iaitu , Teuku Ali@Tengku Ali
dicatat berasal dari Bilah Paning, Pagarruyung, merantau ke Bidor lalu bergerak melintasi banjaran
Titiwangsa lalu singgah di Temau. Adat orang mendatang dinikahkan oleh pembesar tempatan dengan
anak gadis mereka. Lalu Teuki Ali dinikahkan dengan seorang gadis bernama Wan Siti Hajar@Tok Dina
binti Sheikh Ali . Perekod sejarah meriwayatkan Siti Hajar @ Tok Dinar dikaitkan dengan susur galur
daripada keluarga Tok Baginda Demu yang tinggal di Budu. Ini bermaksud Tok Gajah adalah pahlawan
dua mukin iaitu mukim Budu dan Mukin Sega. Bapanya bermastautin di mukim Sega dan ibunya
berasal dari Mukim Budu. Akan pemerintah kedua mukim ini saling rapat kekerabatannya daripada
keluarga Baginda Demu , keluarga yang memerintah Jelai dan keluarga kerabat Tun Ismaun, Orang Kaya
Lipis.

Perkahwinan Teuku Ali@Tengku Ali dengan Wan Siti Hajar@Tok Dina telah melahirkan lima
orang cahaya mata : Ranting Mas, Hajjah Maimunah, Rasu Abdul Salam (Tok Gajah), Khatib Mohd Amin
dan Khatib Mohd Arif. Dengan mengusakan tanah pertanian dan mencari emas di Ulu Temau sampai ke
Peruang, Teuku Ali membawa anak-anak lelakinya berniaga emas dan hasil hutan di pasar penjom. Di
sinilah Rasul Abdul Salam berkenalan dengan pembesar Pahang seperti Tok Raja serta anak-anaknya
Wan Embong, Wan Muhamad dan Tok Kaya Wan Daud, Tok Kaya Teh bin Tok Kaya Busu Bin Tok Kaya
Chandak (orang kaya lipis) yang juga mempunyai tanah lombong emas di Penjom. Selain urusan
membayar cukai emas kepada Orang Kaya Lipis itu, mereka turut mengambil pandangan tentang
pengaruh bangsa Asing yang menjajah di tanah seberang dan bangsa Inggeris telah mula masuk ke
Tanah Melayu.

Namun begitu dalam peristiwa perebutan emas di Ulu Temau; dalam satu perbalahan merebut
emas mentah, Ratin Mas anak Teuku Ali yang sarat mengandung anak yang pertama telah dibunuh.
Suaminya, Haji Hassan Keramat, turut dibunuh dalam perebutan itu. Bagi menenangkan keadaan, Teuku
Ali membawa keluarganya berdiam di Kampung Permatang di Budu. Di sinilah Rasu Abdul Salam
menyempurnakan pembelajarannya dalam ilmu kepahlawanan dan ilmu agama. Ini disebabkan di Budu
itu telah tumbuh pusat-pusat pengajian agama dan gelanggang kependekaran. Namun begitu, tidak
lama kemudian, Teuku Ali dan keluarganya kembali semula ke Temau. Di sinilah Rasu Abdul Salam
mendalami ilmu tareqat dan menyampaikan pengajaran agama kepada penduduk setempat.

Sewaktu bermastautin di Pulau Tawar, Rasu Abdul Salam yang dikenali sebagai Imam Perang
Rasu oleh Bendahara Wan Ahmad, ada mengundang Pendekar Mat Aris dan Pendekar Sutan Juan dari
tanah Minangkabau, Sumatera untuk melatih anak-anak dan keluarganya ilmu pencak silat secara
tertutup. Pendekar Sutan Kari dan Bintang Terus adalah antara pendekar–pendekar yang melatih
Pendekar Endol bin Imam Nong, Pendekar Ahmad bin Tok Muda Abdullah di Pulau Tawar, sebelum
kemasukan British.

Perkahwinan Rasu Abdul Salam dengan Teh Mahda mengeratkan hubungan Rasu Abdul Salam
dengan Wan Ahmad di Pekan. Teh Mahda - anak Tok Kaut Burau ; susurnya adalah campuran darah
Kesultanan Melaka, Seri Menanti dan Kelantan, sama dengan Tok Dinar juga, mereka berdua berwaris
anak beranak, pangkat lain-lain. seorang pangkat nenek sedara, seorang pangkat cucu sedara.. ,Teh
Mahada adalah adik kepada Panglima Perang Pahang Khatib Baharain orang Tembeling. Mereka adalah
anak Tok Kaut Burau yang berkahwin dengan anak perempuan Tok Muda Bujal. Tok Muda Bujal
berkahwin dengan Tun Noriah anak kepada Tun Pedah Yusuf @ Tun Da adik kepada Tun Koris datuk
kepada Sultan Ahmad Pahang Yang Pertama.

Dalam Perang Saudara (1857-1863M) di Pahang, Imam Perang Rasu Abdul Salam menjadi
terkenal kerana khidmat bakti dan taat setia beliau kepada Wan Ahmad, putera al-Marhum Bendahara
Tun Ali yang berperang menentang kekandanya Bendahara Tun@Wan Mutahir. Sebaik sahaja Perang
Saudara tamat (1863M), Wan Ahmad ibni al-Marhum Bendahara Tun Ali telah dilantik menjadi
Bendahara Pahang (1863M), manakala Imam Perang Rasu pula dilantik kemudiannya oleh Bendahara
sebagai Orang Besar Raja, menjaga kawasan Pulau Tawar (dahulunya dalam Ulu Pahang, tetapi kini
dalam Daerah Jerantut). Kawasan ini dibuka oleh pengikut bapanya bernama Malim Yunus (seorang
ulamak Mendailing) .

Walau bagaimanapun, gelaran “Imam Perang Indera Gajah Pahang” telah dikurniakan oleh Sultan
Ahmad Al-Muadzam Shah (Pengasas Kesultanan Melayu Pahang Moden, 1882-1914M) kepada Imam
Perang Rasu sesudah beliau menunjukkan kepahlawannya dalam Perang Selangor (November, 1873M).
Setelah itu, hubungan Tok Gajah-Sultan Ahmad bertambah intim, dan akhirnya Pahlawan Pahang ini
menjadi “orang kesayangan istana”, serta penasihat tidak rasmi kepada baginda sultan, terutama
mengenai hal-ehwal Ulu Pahang Beliau kemudiannya diberi amanah menjaga kawasan – kawasan lain.
Kawasan Hulu Pahang Di Bawah Imam Perang Rasu ini bermula dari Pulau Tawar menghala ke Batu
Redap hingga ke Kuala Piul; kawasan dariTanjung Sakti hingga ke Kangsa ; kawasan dari Pedah hingga ke
Tanjung Lindung, dan akhirnya, Lembah Sungai Budu (Lipis).Pada tahun 1883M, Imam Perang Indera
Gajah telah diamanahkan memerintah “Kg. Budu” oleh Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang
1, 1882-1914M), mengambil alih autoriti pemerintah asalnya, Tok Kaya Teh@Wan Teh bin Tok
Deris@Wan Deris (Orang Kaya Lipis Ke-12). Namun wilayah Budu itu dikembalikan semula kepada Tok
Kaya Sentol pada 1878. Hal itu lanjutan bantahan Maharaja Perba Jelai, Wan Idris bin Wan Muhammad
dan juga jasa Tok Muda Sentol bin Tok Kaya Teh yang membasuh malu pada muka Sultan dengan
menewaskan seorang pahlawan Bugis bernama Daeng Muhamad di Pekan yang angkuh dan mencabar
kejantanan orang Pahang.

Namun kecemerlangan Tok Gajah sebagai Pahlawan Ulu itu mulai malap apabila Inggeris mula
mengembangkan pengaruhnya di Pahang pada 1893 - 1895. Dengan membuat perjanjian sulit dengan
Sultan Pahang dan pembesar Pahang di Kuala Sungai Salan, Pulau Tawar untuk mengukuhkan tekad
menentang Inggeris; pemberontakan Pahang dimulakan. Namun oleh kelicikan Inggeris menggunakan
orang Melayu Pahang sebagai kuda tungangannya; pasukan Tok Gajah Jeram Ampai dikalahkan.
Sesudah berlakunya perang di Jeram Ampai, Jerantut. Tok Gajah dan pengikutnya beredar ke hulu
Sungai Lebir dan kemudian berundur ke Pasir Nering, Hulu Terengganu. Pada tahun 1901. Tok Gajah
meninggal dunia di di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Tok Gajah telah berkahwin beberapa kali. Isteri-isteri beliau antaranya yang dapat disebut : Iti,
Cik Jebah (Kg Batu Naga, Budu), Teh Mahade binti Tok Kaut (Burau), Bedah, Mah, Cik Siti (Kuala Kenong)
dan Tijah. Anak-anak Tok Gajah, antara yang dapat dicatatkan ialah Awang Baiduri (Ulu Jelai) hasil
perkahwinannya dengan Cik Siti (Kuala Kenong), Mat Kilau, Teh De, Awang Nong, Teh Ibrahim, dan Yang
Chik (hasil perkahwinannya dengan Teh Mahade). Perkahwinannya dengan Cik Jebah (Budu), Tok Gajah
memperolehi 8 orang anak. Antara yang diketahui namanya ialah Abdul Rahman dan Mat Kahar. Anak-
anak yang lain tidak diketahui namanya.

Orang Rao di Budu

Selain orang-orang Rao mendiami lembahan Lipis di sebelah Raub, sebahagian mereka berhijrah
terus di Pusat Pemerintahan Orang Kaya Lipis di Budu. Antaranya ialah Fakeh Garang bin Sutan
Muhamad bin Merah Mas. Akan Merah Mas itu bergelar Tengku Muda Tanjung Alai, Ketuanan Padang
Unang, Rao Mapattunggul. Dan kedudukan itu sangat disegani oleh sekelian orang – orang Rao yang
ada di Budu. Di Budu itu, beliau dijodohkan dengan Endul binti Mat Saman bin Tok Baki bin Tok Mat
Saleh bin Ngah Endik bin Mohamad Ali Jaafar Sidiq bin Baginda Demu menghasilkan 4 orang zuriat iaitu
Abdul Samad, Mukim Ahmad, Hj. Abdul Rauf dan Tekah.

Di kalangan anak-anak Fakeh Garang ini, Abdul Samad lebih cemerlang dalam ilmu kepahlawanan
dan daya kepimpinannya. Beliau dibesarkan dalam masyarakat Budu yang mementingkan ikatan
persaudaraan, kepahlawanan dan hidup beragama. Dalam zaman remajanya, beliau mempelajari ilmu
kepahlawanan daripada Pendekar Arif, Pendekar Antah dan Mat Kilau. Beliau terlibat dalam perang
Sega, perang Gali, perang Selangor dan menunjukkan daya kepimpinan yang baik dalam masyarakat.

Dengan kalayakan-kelayakan yang ada pada Panglima Garang Abdul Samad itu, Sultan Ahmad al-
Muadzam Shah ibni Bendahara Seri Maharaja Tun Ali mengeluarkan titah melantik Panglima Garang
Abdul Samat ke jawatan Penghulu Mukim Budu bermula dari tahun 1891.

Selain tokoh-tokoh Rao yang sudah disebut, seorang lagi tokoh Rao yang turut berhijrah ke Budu ialah
Fakeh Khalifah Saka. Tengku Kitam Fakeh Khalifah Saka Mas ialah orang yang telah dipatutkan
menerima pusaka daripada Merah Mas iaitu Tuanku Yang DiPertuan Tanjung Alai, Rao. Maka sebab
digelar akan dia Fakeh Khalifah itu ialah kerana ia telah menggantikan raja pada tatkala suatu masa
berkenaan dengan menghadapi peperangan tatkala Rao memerangi Mandailing.
Adapun Fakeh Khalifah merantau dia dari Rao ke Tanah Semenanjung ialah pada masa sudah berhenti
orang Rao berperang ke Mandailing. Dan Fakeh Khalifah ini serta bersama-sama pergi berperang ke
Mandailing itu kemudian barulah pergi merantau ke Tanah Semenanjung. Maka berhanyut-hanyutlah
perantauannya itu dan lalulah dia ke Rembau, Negeri Sembilan. Dan sepuluh tahun lamanya lebih
kurang dia tinggal di Rembau dan dari Rembau berhanyut-hanyut pula lalu dia ke Pahang. Dan tinggal
dia di daerah Mukim Budu, Lipis, Pahang dan lalulah dia berkahwin di Budu dengan seorang namanya
disebut orang Tok Ba namanya perempuan itu. Barangkali Tok Ba itu namanya yang sebenar
"Bahimah"kah atau pun "Bariah"kah maka di panggil Ba, Ba sahaja oleh orang. Tok Ba ini ada tiga
beradik. Pertama Mas Sara, kedua Da Mahida dan ketiga Tok Ba. Maka semuanya itu anak kepada Teh
Fakir. Teh Fakir anak kepada Abu Samah. Abu Samah anak Imam Malik. Imam Malik anak Mat Salleh.
Mat Salleh anak Ngah Endik. Ngah Endik cucu Datuk Baginda Demu. Asalnya dari Perak. Maka Tok Ba
itulah perempuan kepada Fakeh Khalifah. Kemudian maka berpindah pula Fakeh Khalifah itu bersama-
sama Tok Ba itu dari Budu ke Kampung Temau, Dong. Kemudian lagi Fakeh Khalifah pun pergi ke Mekah
menunaikan fardhu haji maka teruslah Fakeh Khalifah meninggal dunia di Mekah al-Musyarrifah.

Adapun Haji Daud anak kepada Fakeh Khalifah ini dijadikan orang akan dia Qadhi daerah Selama,
Perak pada zaman Sultan Abdul Jalil Kerajaan Perak. Dan Haji Daud ini anak-anaknya di daerah Selama,
pertama Long dan kedua Ngah Ibrahim. Dan anak kepada Haji Daud ini yang di Kampung Gesing
namanya Khadijah.

Anda mungkin juga menyukai