Anda di halaman 1dari 6

CERPEN OREN

A) SINOPSIS

Cerpen ini mengisahkan mengenai seekor kucing yang diberi nama Oren. Ayah yang pada mulanya
enggan membenarkan anak-anaknya memelihara kucing telah membawa Oren pulang dan dijadikan
sebahagian daripada ahli keluarga mereka. Pertanyaan ibu mengenai Oren terjawab juga apabila ayah
memberitahu bahawa dia telah melanggar ibu Oren. Tidak beberapa lama kemudian, seekor kucing
lain juga telah dibawa pulang, iaitu Kelabu yang akhirnya telah menimbulkan konflik kepada Oren.
Kehilangan Oren telah disedari oleh ayah dan seisi keluarga. Mereka mengaitkan kehilangan itu
dengan sikap Oren yang berasa iri hati dengan Kelabu yang berjaya menawan hati mereka sekeluarga.
Setelah ketiadaan Oren, ayah amat berasa kehilangannya sehingga bermimpi Oren pulang ke rumah
tetapi realitinya Oren telah ditemui mati oleh Anis di celah pokok tua yang tumbang.

B) TEMA : Kasih sayang kepada binatang.

Buktinya ayah sekeluarga telah memelihara dua ekor kucing yang diberi nama Oren dan Kelabu.
Seluruh ahli keluarga telah menunjukkan minat masing-masing untuk memelihara binatang ini. Kedua-
dua kucing ini dijaga dengan baik dan diberikan kasih sayang yang sepenuhnya.

C) PERSOALAN

i. Hubungan baik antara manusia dan haiwan

Contoh: Ayah dan ahli keluarga memelihara dua ekor kucing dan sangat menyayangi kedua-dua
kucing tersebut

ii. Konflik antara Oren dan Kelabu

Contoh: Oren lebih banyak mengalah dan selalu mendiamkan diri. Malahan Oren akan
membiarkan Kelabu makan dahulu dan baharulah dia mengahabiskan sisa-sisa makanan Kelabu.

iii. Berkongsi minat yang sama

Contoh: Ayah berkongsi minat memelihara kucing dengan ahli keluarganya.

D) PLOT

i. Permulaan/Eksposisi

Kisah bermula dengan Oren yang sudah empat hari menghilangkan diri. Kehilangan Oren telah
dirasai oleh seluruh ahli keluarga

ii. Perkembangan

Ayah tidak mengetahui sebab-sebab mengapa Oren menghilangkan diri dari rumah. Kehilangan
Oren telah mendatangkan kesedihan kepada ayah. Azura memberitahu kepadaku bahawa Oren
melarikan diri kerana berasa cemburu dengan Kelabu yang mendapat perhatian daripada seluruh
ahli keluargaku.

iii. Klimaks

Ayah mula sedar kesilapannya yang mengabaikan Oren telah menyebabkan Oren menghilangkan
diri dari rumah tanpa dapat dikesan. Kerisauan ayah semakin berganda apabila cuaca pada
hujung pertengahan Disember yang selalu menurunkan hujan akan mendatangkan masalah
kepada Oren.
iv. Peleraian

Anis menjumpai bangkai Oren di bawah pokok tua yang tumbang di taman permainan hadapan
rumah mereka. Mata ayah berkaca selepas mendengar kejadian tersebut

E) TEKNIK PENCERITAAN

i. Pemerian

Contoh: Pengarang menceritakan kejadian kemalangan yang melibatkan ayah dan ibu Oren.

ii. Dialog

Contoh: Perbualan antara ahli keluarga dan ayah mengenai kehilangan Oren.

iii. Monolog

Contoh: Ayah yang bercakap dengan Oren bertanyakan ke mana Oren menghilangkan diri selama
empat hari.

iv. Monolog Dalaman

Contoh: Semasa kejadian kemalangan yang menimpa ibu Oren, Oren datang mengiau memanggil
ibunya dan terdetiklah dalam hati ayah bahawa kucing yang dilanggarnya itu adalah ibu Oren.

v. Imbas Kembali

Contoh: Pengarang yang teringat semula kejadian ayah membawa pulang Kelabu ke rumah
mereka.

vi. Imbas Muka

Contoh: Anis ada melihat Oren sedang bermain-main di bawah pokok tua di taman permainan dan
empat hari selepas itu bangkai Oren ditemui di bawah pokok tua yang sudah tumbang.

F) WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

1. Ayah

i. Seorang ayah yang penyayang

ii. Membela dua ekor kucing, iaitu Oren dan Kelabu

iii. Hilang selera makan setelah menyedari kehilangan Oren

iv. Menunjukkan kasih sayang kepada Oren dengan membelai-belai bulu di badan Oren

v. Merindui Oren, sehingga bermimpi jumpa Oren

vi. Menangisi kematian Oren


Watak Sampingan

1. Oren

i. Seekor kucing yang mempunyai bulu yang berwarna oren

ii. Dibela sejak kecil selepas kematian ibunya

iii. Seekor kucing yang suka mengalah contohnya, memakan sisa makanan selepas Kelabu
makan

iv. Menghilangkan diri dari rumah kerana merajuk dengan ayah yang melebih-lebihkan Kelabu

2. Kelabu

i. Salah seekor daripada kucing belaan ayah

ii. Dinamakan Kelabu sempena bulu badannya yang berwarna kelabu

iii. Menjadi saingan kepada Oren dalam merebut perhatian daripada ayah dan keluarganya

iv. Digambarkan sebagai kucing yang tidak tahu membuang najisnya

v. Pandai bermanja dan menggesel-geselkan badannya ke kaki ayah

G) LATAR

1. Latar Masa

i. Kehilangan Oren selama empat hari

ii. Sudah seminggu hujan turun

iii. Setiap malam

iv. Hujung pertengahan Disember

v. Makan malam

vi. Dua hari yang lalu

2. Latar Tempat/ Ruang

i. Rumah – ayah membawa Oren pulang ke rumah

ii. Halaman – Anis ada melihat kelibat Oren dua hari sebelum kehilangannya di kawasan
halaman rumah

iii. Taman permainan – tempat bangkai Oren ditemui oleh Anis

iv. Dapur – ayah membawa Oren ke dapur den menghidangkan susu

v. Ruang tamu – setiap kali ayah pulang dari kerja, Kelabu akan datang ke ruang tamu untuk
bermanja dengan ayah

vi. Tepi longkang – tempat Oren membuang najisnya


3. Latar Masyarakat

i. Masyarakat yang menyayangi binatang belaan seperti kucing – ayah dan keluarganya
sangat menyayangi binatang dan telah memelihara dua ekor kucing

ii. Masyarakat yang bertanggungjawab – ayah yang melanggar ibu Oren telah
bertanggungjawab dengan membawa Oren pulang ke rumah untuk dipelihara

iii. Masyarakat yang pemurah – ayah dan anak-anaknya menjaga kucing peliharaan mereka
dengan memberi makanan yang berkhasiat seperti susu

H) GAYA BAHASA

i. Simile – seperti ada yang membersihkannya

ii. Personifikasi – setiap kali mata Oren dan matanya bertemu

iii. Personifikasi – Oren cemburu akan kehadiran Kelabu

iv. Sinkof – tika (ketika)

I) NILAI

i. Kasih sayang – ayah dan keluarganya menyayangi kucing peliharaan mereka

ii. Bertanggungjawab – ayah bertanggungjawab memelihara Oren selepas kematian ibunya

iii. Baik hati – ayah memberikan makanan yang berkhasiat kepada kucing peliharaannya

J) PENGAJARAN

i. Kita hendaklah mengamalkan sikap berkasih sayang walaupun kepada makhluk selain manusia.

ii. Kita perlulah bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu perbuatan dan tidak menganiayai orang
lain,

iii. Sifat baik hati adalah sifat yang terpuji dan perlu diamalkan oleh semua orang untuk menjamin
kesejahteraan dalam hidup.
SOALAN CERPEN OREN

1. Mengapakah ‘dia’ dan keluarga lebih memberikan tumpuan kepada Kelabu?


“Dia” dan keluarga lebih memberikan tumpuan kepada Kelabu kerana Kelabu menunjukkan reaksi yang
lebih manja daripada Oren dan sering menarik perhatian mereka

2. Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam petikan carpen di atas.


Dua persoalan yang tedapat dalam petikan cerpen di atas ialah ketidakadilan dalam memberikan kasih
saying menyebabkan wujudnya konflik. Contohnya “dia” dan keluarga lebih memberikan tumpuan
kepada Kelabu sehingga Oren semakin tersisih. Seterusnya kebijaksanaan menarik perhatian.
Contohnya, Kelabu bijak menarik perhatian tuannya.

3. Pada pendapat anda, apakah tindakan yang akan anda ambil selain memelihara kucing yang dijumpai
di jalanan?
Pada pendapat saya, tindakan yang akan saya lakukan ialah menyerahkan kucing tersebut kepada
pusat perlindungan haiwan. Selain itu, saya akan menyerahkan kucing itu kepada kawan atau rakan
yang suka akan kucing dan berkeinginan untuk memelihara kucing.
1. Berdasarkan petikan cerpen di atas, mengapakan ayah runsing?
Berdasarkan cerpen di atas, ayah runsing memikirkan Oren yang merajuk dan tidak mahu pulang
kerumah walaupun keadaan cuaca kerap hujan beserta guruh dan angin.

2. Nyatakan watak dan perwatakan Kelabu berdasarkan petikan cerpen tersebut.


Berdasarkan petikan cerpen di atas watak kelabu ialah watak sampingan dan perwatakannya pula ialah
Kelabu merupakan seekor kucing yang manja dan tidak tahu berdikari.

3. Pada pendapat anda, bagaimanakah mengatasi kucing-kucing yang tidak bertuan?


Pada pendapat saya, cara mengatasi kucing-kucing yang tidak bertuan menyerahkan kucing tersebut
kepada pusat perlindungan haiwan. Selain itu, saya akan menyerahkan kucing itu kepada kawan atau
rakan yang suka akan kucing dan berkeinginan untuk memelihara kucing

Anda mungkin juga menyukai