Anda di halaman 1dari 3

Perkara Seronok Vs Perkara Takut Apabila Menjelangnya Ramadhan

#1 – Jimat Belanja Vs Boros

Yang Seronok: Duit belanja kita “save” banyak kerana peruntukan makan di siang hari boleh
simpan dalam tabung. Kirakan satu hari kita jimat RM10 sehari, so kita dapat jimat RM300 untuk
sebulan berpuasa.

Wah boleh plan untuk beli baju raya, duit raya atau kos balik raya nanti. Kalau bajet alim sikit,
sedekahkan je semua kepada yang lebih memerlukan. Alhamdulillah.

Yang Takut: Belanja makan jadi “double” untuk buka puasa. Duit yang patut diselamatkan,
dilaburkan ke bazar Ramadhan dengan efisien dan tanpa kawalan. Hasilnya masuk ke perut tanpa
belas kasihan tanpa lebihan.

Tambah pulak dah nak dekat raya. Belanja perabih sakan sampai lupa kehidupan selepas raya. Tak
tahu duit banyak habis ke mana, termenung jauh menyesal tiada berguna. Awas jerat pembaziran.

#2 – Kurang Makan Vs Kuat Makan

Yang Seronok: Aktiviti makan kita pada bulan puasa terhad hanya di malam hari dari waktu
berbuka hingga ke waktu sahur. Lebih daripada waktu itu, perut kita kurang berisi atau semakin
kosong.

Masa untuk perut kita berehat dan re-charge. Perut kempis dan badan pun jadi ringan je.

Yang Takut: Karekter ketika waktu berbuka bergantung kepada individu. Ada yang seronok
berbuka dengan makanan yang sederhana.

Ada yang tiba-tiba berubah menjadi singa yang ganas melahap makanan. Habis diet 14 jam kita
puasa menahan, habis berbuka kita terlantar pengsan. Bagi turun nasi dulu.

#3 – Rajin Vs Malas

Yang Seronok: Kita bangun awal pagi, berjaga sebelum subuh hingga ke siang hari. Banyaknya
fadhilat kita berpagi-pagian merebut peluang terbukanya pintu-pintu rezeki.

Rajin bersemangat beribadah siang dan malam secara berjemaah di surau atau masjid bagi lelaki
atau bersama keluarga. Nikmatnya bulan Ramadhan. Beruntungnya kita jadi umat nabi
Muhammad S.A.W.

Yang Takut: Bulan puasa dengan tak puasa lebih kurang sama sahaja. Lepas sahur atau subuh
terutama di hujung minggu, tidur semula langsung lajak ke siang hari.

Akibatnya siang hari badan jadi berat untuk lakukan kerja. Langsung malas nak buat apa-apa. Satu
penyakit yang memang tiada ubatnya. Cuma AWAS, jangan berjangkit.
#4 – Sibuk Beribadah Vs Sibuk Hal Dunia

Yang Seronok: Allah membuka pintu rahmatNya yang sangat luas kepada orang yang berpuasa.
Ganjaran pahala ibadah diberi berlipat-lipat kali ganda.

Tambahan pula ada ibadah wajib dan sunat yang khusus untuknya. Nikmatnya mengumpul pahala
berpuasa di siang hari dan bersolat tarawikh di malam harinya.

Yang Takut: Tak boleh berhenti, nanti ketinggalan dalam persaingan di arena pentas dunia. Kerja
dunia kita tidak kunjung surut. Malah berlipat-lipat kali ganda usaha kita buat untuk
menjayakannya.

Sehingga terlupa kepada yang empunya kuasa dan penentu segala. Akhirnya nikmat Ramadhan
ditarik begitu sahaja, tanpa membawa apa-apa selain keuntungan dunia semata. Ohh ruginya.

#5 – Berat Turun Vs Berat Naik

Yang Seronok: Kita rancang nak buat pengurusan berat badan secara bersungguh-sungguh dalam
tempoh sebulan ini. Uji limit ketahanan tubuh kita dengan aktiviti kurang makan.

Paling tidak kurang 10 hingga 20 kg hilang dalam masa hanya 4 minggu!. Tentu kita orang yang
berbeza sebelum dan selepas ramadhan ni.

Makin slim di hari raya, banyak baju boleh fit nampak lebih bergaya.

Yang Takut: Program pengurusan berat badan gagal. Banyak makanan pelik dan rare tapi kita
sangat suka muncul di meja-meja bazar Ramadhan. Tak boleh tahan, kita beli semua.

Tambahan lagi, banyak anjuran program berbuka puasa menjelang berakhirnya Ramadhan. Menu
pulak yang tak pernah atau jarang kita rasa di bulan lain.

Sate, ketupat, lemang, laksa kedah, steamboat, shellout, nasi mandy merajai meja-meja hidangan.

Ahh.. rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari, bedal je lah. Rugi kalau tak makan ni. Misi turun
berat badan? Emm kita tangguhkan ke bulan lain nanti.

#6 – Badan Cergas Vs Badan Lemah

Yang Seronok: Badan dah ringan, berat semakin kurang, badan semakin rasa cergas dan lebih
sihat. Bacaan darah tinggi, kolesterol dan paras gula menurun jadi normal semula.
Boleh senyum dan rasa muda kembali lagi. Syukur ya Allah beri peluang untuk lebih beribadah.
Maka nikmat Allah mana lagi yang kamu dustakan.

Yang Takut: Bagi yang mengalami macam-macam penyakit, ujiannya semakin berat bila
datangnya Ramadhan. Kalau berpuasa, sakit jadi lagi teruk terutamanya pesakit GASTRIK.

Maka ada hukum harusnya berbuka bagi pesakit di sini. Hah!? buat-buat gastrik? Mungkin itu
kerja orang nakal, sengaja cari alasan tak masuk dek akal. Hehe

#7 – Penutup Aib Vs Penyebar Fitnah

Yang Seronok: Fitnah juga boleh juga didefinisikan sebagai ujian. Fokus beribadah semasa
berpuasa boleh menyelamatkan diri daripada aktiviti mengumpat, berkata buruk, memfitnah atau
buka aib orang lain.

Kurang menonton TV, bermedia sosial atau lepak-lepak kosong yang kita biasa buat dahulunya
juga berkurang di bulan Ramadhan.

Dapat juga kita jauh dari fitnah mulut, mata, telinga dan seluruh anggota badan.

Yang Takut: Semakin bebasnya dunia sosial hari ini, tidak terhad secara realiti malah dalam dunia
maya juga, sangat mudah membuka pintu-pintu cerita fitnah kepada kita.

Cerita tular atau viral yang bukan-bukan semakin bermaharajalela di Facebook, Twitter dan segala
platform yang seangkatan dengannya.

Tambah pula, kita turut mudah menjadi ejen penyebar atau bersekongkol memberi komentar buruk
berkaitannya tanpa sebarang usul periksa.

Sekali terlepas, susah nak “undo” balik, dosa kering berakumulatif sesaja. Jangan disalahkan
syaitan, itu memang kerja mereka. Mohon dijauhkan, agar terlepas dari segala seksa.

Selamat Berpuasa & Salam Ramadhan

Rasanya ada banyak point tak masuk lagi, tapi cukuplah yang 7 ini. Sekadar untuk renungan,
berhenti sebentar mengingkatkan countdown Ramadhan.

Akhir kata, selamat menyambut bulan puasa. Moga kita semua terlepas dari segala dosa. Semoga
mendapat rahmat dan berkat berlimpahan dari-Nya.

Maaf dipinta andai tersilap kata, kekhilafan kita sebagai manusia biasa. Jari disusun, ku mohon
ampun.

Anda mungkin juga menyukai