Anda di halaman 1dari 3

Ratu Lebah Yang Tamak

Di atas sebatang pokok terdapat satu sarang lebah yang sangat besar. Di
dalamnya tinggal Ratu Lebah bersama pengikut-pengikutnya. Berhampiran
pokok tersebut terdapat sebuah kebun bunga yang luas. Kebun bunga itu milik
seorang penjual madu yang kaya raya. Lebah-lebah itu sangat gembira tinggal
di situ. Namun, Ratu Lebah sangat tamak, dia mahu lebah-lebah itu membawa
pulang madu yang banyak setiap hari.

Pada suatu hari, 5 ekor lebah telah ditugaskan untuk keluar terbang mencari
madu di kawasan kebun tersebut. Walaupun kepenatan kerana terpaksa
membawa pulang madu yang banyak, 5 ekor lebah itu terpaksa juga menurut
perintah Ratu Lebah yang tamak itu. Sedang asyik menghisap madu di kebun
bunga itu, seekor lebah berkata,

Lebah yang pertama : Aku sudah penat menghisap madu di sini. Setiap
hari kita perlu membawa pulang madu yang banyak untuk ratu.

4 ekor lebah yang lain bersetuju dengan kata-kata lebah yang pertama. Lantas
Lebah kedua dan ketiga bersuara,

Lebah 2 : Betul kata kau wahai Lebah 1, marilah kita pergi ke rumah
penjual madu itu, di sana pasti terdapat lebih banyak madu.

Lebah 3 : Ya, betul tu. Ratu pasti gembira jika kita berjaya membawa
pulang madu yang banyak.

Lebah 4,5 : Kami setuju! Ayuh kita ke sana!


Tanpa membuang masa, 5 ekor lebah itu segera terbang menuju ke rumah
penjual madu. Setibanya di sana, lebah-lebah itu sungguh teruja kerana
terdapat banyak bekas yang berisi madu di situ.

Lebah 2 : Tepat sekali jangkaan aku. Ada 5 bekas berisi madu yang
sangat besar di sini.

Lebah 1 segera terbang menuju ke arah bekas 1, Lebah 2 menuju ke arah


bekas 2 dan seterusnya lebah-lebah lain pula menuju ke arah 3 bekas madu
yang lain. Setelah puas, 5 ekor lebah itu pulang ke sarang dengan gembira lalu
menceritakan tentang rumah penjual yang penuh dengan madu itu. Ratu
Lebah sangat teruja mendengar cerita itu.

Ratu Lebah : Mari kita pergi lagi ke rumah penjual itu. Beta mahu
mengikut kamu semua.

5 ekor lebah yang kepenatan itu terkejut mendengar kata-kata Ratu Lebah.
Namun, mereka tidak berani membantah dan terpaksa membawa Ratu Lebah
ke rumah itu semula. Setibanya mereka di sana, 4 bekas madu telah pun
ditutup oleh penjual madu itu. Hanya tinggal 1 bekas yang masih terbuka.

Ratu Lebah : Cepat! Beta mahu madu yang banyak lagi.

5 ekor Lebah : Baik tuanku!

Lebah-lebah itu termasuk Ratu Lebah segera terbang ke arah bekas ke-5 yang
masih terbuka dan segera mengambil madu dengan banyak.
Ratu Lebah : Beta mahu kamu semua hisap madu-madu ini dengan
banyak sehingga perut kamu penuh.

Lebah 1 : Tapi Ratu, badan kami akan menjadi berat dan kami pasti
tidak mampu untuk terbang nanti.

Lebah 2 : Betul tu Ratu, patik sudah berasa sangat kenyang.

Ratu Lebah : Jangan melawan perintah beta!

5 ekor lebah itu terdiam dan hanya menurut perintah. Tiba-tiba penjual madu
datang dan mahu menutup bekas madu itu.

Lebah 3 : Ratu! Bekas madu ini akan ditutup, kita harus pulang segera.

Ratu Lebah terkejut dan cuba untuk terbang, namun badannya menjadi
sangat berat dan Ratu Lebah tidak mampu untuk terbang. Begitu juga dengan
5 ekor lebah yang lain. Mereka semua tidak dapat keluar kerana terperangkap
di dalam bekas madu itu dan akhirnya mereka mati.

Pengajaran : Kita mestilah menjauhi sifat tamak, kerana orang yang tamak
selalu rugi.

Anda mungkin juga menyukai