Anda di halaman 1dari 2

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI

JEREBU
Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak
membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam
keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi negara kita
yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin menjadi-jadi ini
dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi polemik orang ramai dari
kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering terlintas di fikiran kita ialah
mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis jerebu? Banyak jawapan yang berlegar-
legar di gawang minda kita kita. Namun begitu, masalah yang semakin serius ini perlu diatasi
dengan segera kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan
memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam
Akta Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan
membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan
pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih berat.
Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu yang semakin
kronik ini, kerana “sudah terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju kilang yang
mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang lebih tinggi, malah
premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah jerebu terkawal, kerajaan turut
perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya memasang sistem penapisan asap
dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran habuk dan gas-gas toksik ke dalam
udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar haruslah menggemblengkan tenaga
dengan organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan kempen kesedaran yang lebih efektif
secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja dapat menyedarkan orang ramai tentang
perbuatan mereka yang menyumbang kepada masalah jerebu, malah kempen tersebut
mampu membekalkan mereka dengan informasi tentang langkah-langkah yang patut
diambil oleh setiap individu untuk membantu dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya,
kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi memastikan masalah jerebu dapat ditangani
dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah pembenihan
awan perlu dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular. Akibat daripada
fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia. Keadaan ini
memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan terpaksa
dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi tinggi,
titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat jatuh ke bumi sebagai
hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur untuk menurunkan suhu awan
tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin membesar lalu ditarik oleh graviti, air
kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu
bumi yang panas. Hujan boleh memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi
sangat serius. Hujan dapat membawa bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu
dapat diatasi dengan pembenihan awan.

Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu.
Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah
mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di
bangku sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan ibu
bapa untuk membentuk jati diri mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan kepada
anak-anak mereka, mereka perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra alam
supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga menjadi satu
kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, “alah bias tegal biasa”. Berpegang pada
prinsip “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut sikap ibu
bapa sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam membentuk
keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra alam, ibu
bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti nilai
bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa anak-anak untuk
menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam memelihara kebersihan
udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk membuka mata anak-anak mereka
terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran kerajaan. Melalui
langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius ini sejak umur yang
kecil lagi, malah hal ini membantu mereka memahami impak jerebu terhadap negara supaya
mereka dapat menghulurkan bantuan dalam usaha menangani masalah jerebu. Maka,
peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut mendatangkan impak
positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda.

Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan pemimpin
dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh pembakaran
hutan serta mencari cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin negara Indonesia
boleh memainkan peranan dengan merancang pembakaran hutan dengan teliti dan
memikirkan cara mengurangkan implikasi negatif yang dibawa oleh pembakaran hutan.
Mereka juga patut melarang pembakaran hutan dan mengenakan hukuman yang berat
terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan melaksanakan dan
menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat diringankan.

Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar
sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran
sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya
kesihatan manusia akan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit
kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah paru-paru dan sebagainya. Di samping itu,
kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan alam sekitar dengan menanamkan
tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama daripada
masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelum nasi menjadi bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi
masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku lagi.
Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara Malaysia
dapat
berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang
sememangnya
berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah
jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

Anda mungkin juga menyukai