Anda di halaman 1dari 1

KATA ALU-ALUAN PENGETUA

Untuk Semua Guru dan Staf Sokongan


SMK Bandar Baru Sultan Suleiman
Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya kita
masih lagi diberi kekuatan dan kesungguhan untuk memikul amanah sebagai pendidik. Pada kesempatan ini, saya
ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Buku Panduan Pengurusan Sekolah 2020 kerana telah berjaya
menyempurnakan buku ini. Sesungguhnya, buku panduan pengurusan sekolah ini sangat penting sebagai rujukan dan
garis panduan kepada guru-guru dan staf dalam melaksanakan tugas dengan lebih efisien dan berfokus.
Bidang pendidikan negara sememangnya bersifat dinamik bagi memenuhi keperluan semasa
khususnya pada peringkat global. Oleh hal yang demikian, warga pendidik dan staf merupakan arkitek sosial yang
memikul tanggungjawab yang besar dalam memberikan pendidikan, menyampaikan ilmu, membentuk peribadi dan
sahsiah sekali gus menjana potensi murid ke arah yang lebih optimum. Sehubungan dengan itu, warga pendidik dan
staf perlu selangkah ke hadapan agar mampu membudayakan penggunaan medium baru penyampaian PdPC n dalam
menempuh era Pendidikan Revolusi Industri 4.0.
Oleh itu, misi saya untuk tahun 2020 ialah membudayakan penggunaan Virtual Learning Enviroment (VLE)
dalam kalangan warga sekolah. Inisiatif yang diusahakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara
berterusan untuk meningkatkan proses pembelajaran melalui Google Classroom dan Microsoft 365 sudah pasti
memupuk minat, memaksimumkan tahap kecekapan serta kemahiran murid-murid secara kolaboratif. Sehubungan
dengan itu, pihak sekolah menyahut langkah dengan memulakan penggunaan e-RPH menerusi platform Google
Classroom. Pembudayaan PdPC Pak21 dan PBD, PLC dan PdPC berkesan serta inovasi dan kajian tindakan tetap
menjadi fokus utama saya sepanjang 2020.
Disiplin diri, nilai-nilai murni dan etika yang berkaitan norma kehidupan manusia perlu dipatuhi dan kekal
utuh tanpa melibatkan keruntuhan moral dalam kalangan murid. Selari dengan hasrat tersebut, pada tahun 2020
saya juga beriltizam untuk meningkatkan kemenjadian murid sekolah ini menerusi cabang Kokurikulum. Kita mahu
melahirkan lebih banyak Norxxxxxx yang mampu mengharumkan nama sekolah dalam sukan bowling hingga ke
peringkat kebangsaan. Saya juga mahu melihat lebih banyak para penari yang dapat mengikut jejak langkah beberapa
orang penari sekolah ini berpeluang memijakkan kaki di bumi Paris seterusnya menjadi Duta kecil Malaysia. Oleh itu,
pihak sekolah akan melaksanakan langkah proaktif dengan menggunakan e-Pelaporan Persatuan menerusi platform
Google Classroom agar setiap aktiviti mingguan persatuan, kelab dan unit beruniform dapat dibuat dengan lebih
efisien.
Kita sebagai warga pendidik perlu sentiasa memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi
mendepani cabaran masa hadapan. Dalam hal ini, warga pendidik seharusnya bekerja sebagai satu pasukan bermula
di peringkat panitia masing-masing sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh
individu seharusnya dikongsi dan dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk meningkatkan mutu pendidikan
negara. Secara tidak langsung, hal ini dapat membentuk warga SMKBBSS yang berketerampilan,profesional,
berkualiti dan beretika.
Saya yakin dan percaya bahawa SMK Bandar Baru Sultan Suleiman, mampu menyediakan landskap
pembelajaran yang terancang dan sempurna dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti. Selain itu, saya
juga melihat bahawa sekolah ini dapat menjadi wadah terbaik untuk melahirkan insan yang mempunyai
kecemerlangan ilmu dan keunggulan sahsiah seterusnya menjadi Khalifah yang dapat menyempurnakan tuntutan
agama, bangsa dan negara. Saya mengharapkan sokongan padu warga guru dan staf sokongan bergerak seiring demi
merealisasikan hasrat dan impian murni sepanjang 2020.

Selamat menjalankan tugas sepanjang tahun 20 20.

MARIAM BT RAHAMAT
Pengetua
Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sultan Suleiman.

Anda mungkin juga menyukai