Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI SARAWAK, Y.A.

B TAN SRI DATUK AMAR HAJI


ADENAN BIN HAJI SATEM SEMPENA PERASMIAN PERSIDANGAN PENGURUSAN
PENDIDIKAN PENGETUA SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH SARAWAK KE-51 DI
HOTEL SERI SIMANGGANG, SRI AMAN PADA 17-20 JULAI 2016

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Menjunjung


Pendidikan Negeri Sarawak.
Pertama sekali, izinkan saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan
ketetapan-Nya jua, kita dapat bersama-sama pada pagi yang bersejarah ini untuk menjayakan
Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS) ke-51 tahun
2016 yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dengan kerjasama Persatuan Pengetua
Sekolah Menengah Sarawak (PPSMS).
Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa PPSMS kerana telah berjaya menghimpunkan semua
pengetua baik dari kawasan bandar mahupun dari kawasan pedalaman negeri Sarawak ke persidangan
pada kali ini. Saya amat berbangga atas usaha yang telah diambil untuk menyediakan satu platform
bagi membolehkan para pengetua berbincang dan bertukar-tukar fikiran secara professional untuk
meningkatkan kualiti pengurusan dan perkhidmatan di sekolah. Persidangan seperti ini sudah tentu
menjadi platform dalam menghasilkan resolusi dan penyelesaian untuk membantu meningkatkan
kualiti pendidikan di negeri Sarawak.
Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,
Memang tidak dinafikan bahawa Pengetua memikul tugas dan tanggungjawab yang amat besar.
Dimensi dan peranan pengetua semakin kompleks dan mencabar bagi mencapai hala tuju
pembentukan generasi masa hadapan yang berkebolehan, berilmu, mencapai tahap penguasaan
teknologi tinggi, berdaya saing, berkemahiran, mempunyai nilai-nilai moral yang terpuji mampu
menyumbang dan mencipta untuk kemajuan dan kemakmuran pendidikan negara.
Difahamkan sejak beberapa tahun belakangan ini, beberapa orang Pengetua di Sarawak telah
dianugerahkan sebagai Pengetua Cemerlang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atas kejayaan
kepemimpinan cemerlang mereka di sekolah seterusnya mengharumkan nama Sarawak di peringkat
kebangsaan. Pengiktirafan ini menunjukkan bahawa kalau kita bekerja keras dan bersungguh-sungguh
dan sanggup berkorban, tidak mustahil kita mencapai kejayaan. Harapan saya lebih ramai Pengetua
dari Sarawak akan menerima pelbagai anugerah dan kenaikan pangkat atas prestasi cemerlang
mereka.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Pemilihan persidangan kali ini iaitu KEPIMPINAN PENGETUA MEMPERKASA
TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA memang tepat dan kena pada masanya. Matlamat
pendidikan negara adalah untuk melahirkan generasi masa hadapan yang boleh memainkan peranan
mencorakkan wajah Malaysia yang mampu mengangkat nama negara di mata dunia. Sehubungan
dengan itu, negara perlu mempunyai satu sistem pendidikan yang bertaraf dunia bagi melahirkan
generasi berkemahiran abad ke-21, selaras dengan hasrat yang hendak direalisasikan melalui Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Transformasi pendidikan yang sering dibincangkan kini merupakan satu proses yang sangat rumit,
meluas dan mendalam cakupannya yang hanya dapat dicapai melalui tindakan, pendekatan dan
komitmen pelbagai pihak. Sekolah sebagai barisan hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
yang berperanan dalam membentuk modal insan kelas pertama, semestinya menjadikan organisasinya
sebagai hub pembelajaran bagi memikul tanggungjawab yang amat besar ini. Oleh hal yang demikian,
pengetua sebagai peneraju organisasi sekolah yang mempunyai kuasa, autoriti dan akauntabiliti perlu
memainkan peranan utama dalam merelisasikan sumber manusia yang ada demi mencapai visi dan
misi pendidikan di sekolah masing-masing.
Saudara dan saudari yang saya hormati,
Tidak dapat dinafikan bidang pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan negara. Dalam
usaha untuk mencapai kecemerlangan pendidikan, peranan kepimpinan pengetua sering dijadikan
fokus utama. Pengetua perlu mempunyai visi dan misi untuk menjadikan sekolah masing-masing
sebagai sekolah cemerlang. Di samping itu, mereka juga hendaklah sentiasa berusaha untuk
melahirkan pelajar yang holistik iaitu memiliki pelbagai kemahiran dan kebolehan serta mampu
berdaya saing di peringkat global. Oleh itu, sebagai pemimpin utama di sekolah, pengetua perlulah
mempunyai perancangan dan strategi tertentu dan mereka juga perlu mendapat sokongan dan
kerjasama daripada semua peringkat warga sekolah. Pengetua mestilah berupaya untuk memahami
dan menterjemah dasar-dasar pendidikan negara yang memerlukan kemahiran tertentu yang dimiliki
oleh pengetua berkenaan.
Pengetua yang berkesan sentiasa berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu
kepimpinan. Kepimpinan berkesan akan memastikan sekolah mencapai matlamatnya. Kepimpinan
pengetua yang mengamalkan konsep tranformasional lebih memusatkan tumpuan kepada kepentingan
kerja berpasukan dan menumpukan usaha dan matlamat ke arah membangunkan warga organisasi
terutama dari segi kebolehan, motivasi, sikap dan nilai. Hal ini penting kerana era globalisasi kini
semakin mencabar. Kredibiliti kepemimpinan seseorang pengetua akan dapat dinilai melalui gaya
kepimpinannya menerajui keseluruhan organisasi yang dipimpinnya secara kolektif dalam mencapai
matlamat dan visi kecemerlangan yang diharapkan. Semuanya bertitik tolak daripada ketekalan usaha
pengetua dalam memperkasa transformasi pendidikan negara.
Dalam merealisasi transformasi dalam pendidikan, tiga cabaran utama telah dikenalpasti. Pertama
adalah menterjemahkan gagasan transformasi dalam tindakan. Hal ini bermula dengan pengetua
selaku pemimpin di sekolah mentafsir pemahaman terhadap realiti baru natijah daripada perubahan
dan transformasi ke dalam proses tindakannya dan mengakhirinya dengan hasil atau outcome
daripada perubahan yang dimaksudkan dalam PPPM. Bahana kepada salah tafsir pemimpin di
peringkat akar umbi terhadap sesuatu dasar akan mendatangkan kepincangan dalam proses
tranformasi dan dikhuatiri bahayanya akan membantutkan keberhasilan yang diharapkan khususnya
dalam melahirkan insan kamil yang dicernakan.
Pemberatan kepada pencapaian kualiti pendidikan merupakan cabaran kedua yang telah dikenalpasti.
Masalahnya di sini kita tidak dapat bergantung kepada latihan yang mengambil masa untuk dapat
memperkasakan kepimpinan di akar umbi kerana kualiti pendidikan yang dihasratkan memerlukan
satu perubahan yang serentak selari dengan arus globlisasi dunia tanpa sempadan.
Cabaran yang ketiga merupakan cabaran yang ada kaitan dengan kualiti pendidikan yang disediakan
untuk membolehkan murid
dari alam persekolahan bersambungan dan berterusan kualiti

pendidikannya sehingga ke pengajian tinggi. Titik pertemuan di antara pendidikan menengah dan
pusat pengajian tinggi, kolej dan IPG perlu segera dilakukan. Keadaan sedemikian menjadi cabaran
kepada pemimpin sekolah dalam menerima penempatan guru baharu yang perlu melalui proses
latihan di sekolah di bawah seliaan dan bimbingan para pemimpin sekolah untuk memberi
pendedahan dan latihan dalam perkhidmatan bagi membolehkan para guru menterjemah tugas dan
tanggungjawab mereka yang sebenar di bilik darjah dan sekolah.
Selain daripada tiga cabaran utama ini, para pengetua di Sarawak masih juga berdepan dengan isu
fizikal sekolah dan asrama yang daif, keperluan asas seperti bekalan elektrik dan air, dan capaian
internet. Oleh itu hadirin sekalian, pengetua selaku pemimpin di akar umbi amat memerlukan
sokongan dan bantuan sama ada dari segi material mahupun sokongan moral dari semua pihak.
Pengetua yang berhadapan dengan cabaran ini perlu memiliki semangat juang dan waja dan mereka
wajar dicontohi oleh mereka yang baru berjinak dengan dunia pendidikan.
Dengan adanya Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak ke-51 ini,
Pengetua akan didedahkan dengan pengurusan pendidikan terkini dan perkembangan semasa
pendidikan di Malaysia khasnya dan di seluruh dunia amnya. Persidangan ini juga akan menjadi
wadah kepada Pengetua dari seluruh pelosok Sarawak untuk bertukar-tukar pengetahuan dan
pengalaman untuk dimanfaatkan sebagai pemimpin unggul di sekolah. Keberkesanan dan kesaratan
pengetahuan Pengetua dalam aspek pengurusan dan pentadbiran terkini dalam bidang pendidikan
serta diadunkan dengan pengalaman yang pelbagai, diharapkan Pengetua sebagai pemimpin
instruksional di sekolah dapat membantu dalam melonjak pendidikan negara ke tahap yang lebih
cemerlang.
Pendidikan adalah alat bagi pembangunan individu dan seterusnya pembangunan masyarakat dan
negara. Kita juga yakin pendidikan adalah asas kepada tamadun sesebuah masyarakat dan kita yakin
pengetua yang berkualiti akan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan
Wawasan 2020 dan seterusnya mengangkat martabat pendidikan bertaraf dunia. Oleh itu, prinsip
belajar sepanjang hayat harus menjadi budaya agar dapat mempertingkatkan kualiti diri.
Dengan harapan ini, dan dengan nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang saya dengan
sukacitanya merasmikan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak
ke-51.
Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai