Anda di halaman 1dari 2

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI JEREBU

Mutakhir ini, arus globalisasi yang semakin menerjah di seantero dunia telah banyak
membawa perubahan kepada kehidupan seharian manusia di tanah air kita. Dalam
keghairahan mengejar arus modenisasi ini, kita sering dikejutkan dengan situasi
negara kita yang sering mengalami masalah jerebu. Berita buruk ini yang semakin
menjadi-jadi ini dipaparkan pada dada akhbar saban hari. Hal ini telah menjadi
polemik orang ramai dari kedai kopi sehinggalah ke parlimen. Persoalan yang sering
terlintas di fikiran kita ialah mengapakah Malaysia selalu dilanda dengan krisis
jerebu? Banyak jawapan yang berlegar-legar di gawang minda kita kita. Namun begitu,
masalah yang semakin serius ini perlu diatasi dengan segera kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan.

Kerajaan merupakan penawar mujarab dalam mengatasi masalah jerebu. Pihak kerajaan
memikul kewajipan untuk menguatkuasakan undang-undang yang termaktub dalam Akta
Alam Sekitar. Individu-individu yang telah mengingkari undang-undang dengan
membakar sampah sarap secara terbuka manakala pemaju kilang yang membiarkan
pelepasan asap daripada kilang tanpa ditapis perlu dikenakan hukuman yang lebih
berat. Biarlah mereka menerima pengajaran supaya lebih peka terhadap isu jerebu
yang semakin kronik ini, kerana “sudah terhantuk baru tengadah”. Pemaju-pemaju
kilang yang mengamalkan sikap sebegitu bukan sahaja harus dikenakan saman yang
lebih tinggi, malah premis kilang mereka harus disita. Bagi memastikan masalah
jerebu terkawal, kerajaan turut perlu mewajibkan setiap kilang perindustrian supaya
memasang sistem penapisan asap dalam kilang mereka untuk mengurangkan penyaluran
habuk dan gas-gas toksik ke dalam udara. Pada masa yang sama, Jabatan Alam Sekitar
haruslah menggemblengkan tenaga dengan organisasi bukan kerajaan untuk menjalankan
kempen kesedaran yang lebih efektif secara giat. Kempen kesedaran ini bukan sahaja
dapat menyedarkan orang ramai tentang perbuatan mereka yang menyumbang kepada
masalah jerebu, malah kempen tersebut mampu membekalkan mereka dengan informasi
tentang langkah-langkah yang patut diambil oleh setiap individu untuk membantu
dalam mengatasi fenomena jerebu. Tuntasnya, kerajaan menjadi pemangkin perdana bagi
memastikan masalah jerebu dapat ditangani dengan cara yang efektif.
Selain itu, tindakan kerajaan yang lain dalam menangani masalah jerebu ialah
pembenihan awan perlu dilaksanakan demi menyekat keadaan jerebu daripada menular.
Akibat daripada fenomena El-Nino, cuaca kering dan kemarau telah melanda Malaysia.
Keadaan ini memburukkan lagi keadaan jerebu. Dengan demikian, kerja pembenihan awan
terpaksa dilakukan untuk mendapatkan hujan. Apabila cuaca kering, suhu awan menjadi
tinggi, titisan air menjadi ringan, Titisan yang sangat ringan ini tidak dapat
jatuh ke bumi sebagai hujan. Oleh itu, iodin perak ataupun ais kering akan ditabur
untuk menurunkan suhu awan tersebut. Ais kristal akan terbentuk dan semakin
membesar lalu ditarik oleh graviti, air kristal akan jatuh ke bumi dan bertukar
menjadi titisan air apabila cair akibat daripada suhu bumi yang panas. Hujan boleh
memainkan peranan penting apabila keadaan jerebu menjadi sangat serius. Hujan dapat
membawa bersama jerebu jatuh ke bumi, justeru masalah jerebu dapat diatasi dengan
pembenihan awan.

Tidak dapat dinafikan juga ialah peranan ibu bapa dalam menangani fenomena jerebu.
Ibu bapa dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak mereka tentang langkah-langkah
mencegah masalah jerebu, menerusi pendidikan tidak formal. Ketika mereka masih di
bangku sekolah, anak-anak diibaratkan sebagai kain putih dan memerlukan bimbingan
ibu bapa untuk membentuk jati diri mereka yang sempurna. Sebagai memberi teladan
kepada anak-anak mereka, mereka perlu memikul tugas untuk memaparkan sikap mesra
alam supaya sikap sebegitu tersemai dalam sanubari anak-anak mereka sehingga
menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan, bak kata pepatah, “alah bias tegal biasa”.
Berpegang pada prinsip “bagaimana acuan begitulah kuihnya”, anak-anak akan mengikut
sikap ibu bapa sebagai rakyat negara yang mengutamakan kebersihan udara. Dalam
membentuk keperibadian mereka supaya menjadi individu yang mengamalkan sikap mesra
alam, ibu bapa juga diamanahkan dengan tugas menyuburkan nilai-nilai murni, seperti
nilai bertanggungjawab dan nilai peka terhadap isu-isu alam sekitar dalam jiwa
anak-anak untuk menyedarkan anak-anak tentang tanggungjawab mereka dalam memelihara
kebersihan udara. Ibu bapa turut diberikan tanggungjawab untuk membuka mata anak-
anak mereka terhadap isu jerebu melalui penyertaan dalam kempen-kempen kesedaran
kerajaan. Melalui langkah tersebut, anak-anak akan didedahkan kepada perkara serius
ini sejak umur yang kecil lagi, malah hal ini membantu mereka memahami impak jerebu
terhadap negara supaya mereka dapat menghulurkan bantuan dalam usaha menangani
masalah jerebu. Maka, peranan ibu bapa dalam usaha mengatasi fenomena jerebu turut
mendatangkan impak positif kerana mereka menjadi penentu sahsiah generasi muda.

Selain kerajaan dan ibu bapa, pemimpin-pemimpin negara perlu bertemu dengan
pemimpin dari negara jiran dan berbincang tentang kesan-kesan yang disebabkan oleh
pembakaran hutan serta mencari cara penyelesaian masalah bersama-sama. Pemimpin
negara Indonesia boleh memainkan peranan dengan merancang pembakaran hutan dengan
teliti dan memikirkan cara mengurangkan implikasi negatif yang dibawa oleh
pembakaran hutan. Mereka juga patut melarang pembakaran hutan dan mengenakan
hukuman yang berat terhadap mereka yang melanggar peraturan tersebut. Dengan
melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang tersebut, maka masalah jerebu dapat
diringankan.

Sebagai rakyat Malaysia kita boleh memainkan peranan kita dengan tidak membakar
sampah sarap secara terbuka. Hal ini kerana asap yang dihasilkan melalui pembakaran
sampah sarap merupakan antara penyumbang kepada jerebu dan sebagai akibatnya
kesihatan manusia akan terjejas dan membawa kepada pelbagai penyakit seperti sakit
kerongkong, penyakit asma, pneumonia, barah paru-paru dan sebagainya. Di samping
itu, kita boleh melibatkan diri dalam aktiviti menyelamatkan alam sekitar dengan
menanamkan tumbuh-tumbuhan di sekitar kawasan rumah. Dengan adanya kerjasama
daripada masayarakat, masalah jerebu pasti dapat ditangani sebelum nasi menjadi
bubur.

Masalah jerebu telah menjadi duri dalam daging kepada Malaysia. Bagi menyelesaikan
masalah jerebu yang merunsingkan ini, semua pihak harus bersinergi dalam mengatasi
masalah
tersebut, persis kata orang-orang tua, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Pelbagai langkah perlu diambil demi mengelakkan masalah jerebu daripada berlaku
lagi. Sekiranya Malaysia bebas daripada belenggu masalah jerebu, sudah pasti negara
Malaysia dapat
berkembang maju dalam semua bidang terutamanya bidang pelancongan yang sememangnya
berpandukan cuaca dan iklim Malaysia. Marilah kita berusaha mengurangkan masalah
jerebu dan mewujudkan negara yang bebas jerebu untuk kepentingan bersama.

Anda mungkin juga menyukai