Anda di halaman 1dari 22

PENGAMALAN

TASAWUF DAN TAREKAT


MELALUI PENDEKATAN
WASATIYYAH

oleh:
TAN SRI DR. ABDULLAH MUHAMMAD ZIN
Penasihat Agama Kepada
YAB Perdana Menteri
PENGAMALAN TASAWUF DAN TAREKAT MELALUI
PENDEKATAN WASATIYYAH*
______________________________________________

Oleh:
Tan Sri Dr. Abdullah Muhammad Zin **

Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

I. PENDAHULUAN

1. Tasawuf bukan suatu jalan yang baru dicipta untuk melarikan diri dari
kehidupan realiti dalam masyarakat, sebagaimana yang seringkali dibuat tuduhan.
Tetapi tasawuf adalah jalan untuk memperlengkapkan diri dengan nilai-nilai
kerohanian bagi menghadapi kehidupan kebendaan yang sangat mencabar.

2. Walaupun kelahiran tasawuf ke dalam masyarakat Islam agak lewat iaitu


di abad yang ketiga hijrah, iaitu setelah zaman Rasullullah (s.a.w.) dan para
sahabat, namun ianya telah didahului oleh zuhd, yang sangat terkenal diamal dan
dihayati oleh Rasulullah (s.a.w.) dan para sahabatnya. Oleh itu zuhd adalah titik
permulaan dalam sejarah pertumbuhan dan perkembangan tasawuf, atau dengan
lain-lain perkataan bahawa tasawuf adalah lanjutan dari amalan zuhd, manakala
zuhd pula berdasarkan kepada amalan Rasulullah (s.a.w.) dan para sahabatnya.

3. Dengan huraian sedemikian, tasawuf amat jelas sekali positifnya, selama


ianya dikaitkan dengan Islam. Tasawuf menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai
wasilah dan bukan ghayah, manusia hanya mengambil sekadar yang diperlukan
sahaja.

4. Di abad yang ketiga dan keempat hijrah, kita dapati dua trend telah muncul
iaitu (i) golongan tasawuf sunni. (ii) golongan tasawuf yang condong kepada
falsafah. Golongan yang pertama ini menghubungkan tasawuf mereka dengan al-
Quran dan al-Sunnah secara jelas, manakala golongan kedua pula pemikiran
mereka telah diresapi oleh unsur-unsur ittihad dan hulul yang diperolehi oleh sufi
dalam keadaan fana’.
* Ucaptama yang disampaikan dalam “Seminar Sufi Menurut Pendekatan Wasatiyyah Peringkat Kebangsaan
2016 pada 18 Ogos 2016, anjuran JAKIM bertempat di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka.
** Tan Sri Dr. Abdullah Muhammad Zin ialah Penasihat Agama Kepada YAB Perdana Menteri, Merangkap
Pengerusi IWM.

1
Tasawuf sunni terus berkembang lagi di abad yang ke lima, manakala
tasawuf yang condong kepada falsafah telah mula tidak mendapat tempat,
kedudukan tasawuf sunni dapat diperkukuhkan lagi dengan kedatangan al Ghazali,
al-Jilani dan lain-lain.

5. Seterusnya di abad keenam, ketujuh dan seterusnya adalah merupakan


tasawuf sunni yang diamalkan oleh syaikh-syaikh tarikat tasawuf. Tasawuf tarekat
ini terus berkembang sehingga sekarang, secara umum kebanyakan tasawuf tarekat
adalah merupakan lanjutan dari tasawuf al-Ghazali, al-Harawi, al-Jilani dan lain-lain.
Selain dari tasawuf sunni, di kedua-dua abad ini juga kita dapati tasawuf falsafah
telah berkembang. Mereka telah memadukan di antara zauq-zauq sufi dengan
pandangan-pandangan akal. Oleh itu lahir pula teori-teori tentang alam yang
berdasarkan kepada zauq serta diberi huraian secara falsafah. Tasawuf inilah yang
mudah diresapi oleh unsur-unsur luaran dari ajaran Islam.

6. Penulis tidaklah bercadang untuk menjelaskan satu persatu secara terperinci


disiplin amalan dalam tasawuf dan tarekat sunni yang berdasarkan pendekatan
wasatiyyah. Cuma apa yang dapat dibuat hanya sekadar mengisyaratkan trend atau
menunjukkan secara umum prinsip-prinsip asasi bagi amalan dan pegangan
mereka. Perkara ini dilakukan sedemikian, kerana keluasan tajuk dan keterbatasan
ruang.

Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

II. ABAD KETIGA DAN KEEMPAT HIJRAH : ZUHD DAN TASAWUF

7. Untuk membuat kepastian secara jelas dengan menentukan garis pemisah


sebagai berakhirnya zaman gerakan zuhd dan bermulanya era gerakan tasawuf
adalah suatu yang amat sukar kerana perkembangan pemikiran manusia tidak dapat
ditentukan secara tepat dengan batas masa yang tertentu. Namun begitu kita dapat
perhatikan suatu perubahan yang ketara terhadap istilah zuhd sejak permulaan abad

2
yang ketiga Hijrah, secara umumnya, para pengamal zuhd di peringkat ini tidak yang
dinamakan zahid, tetapi mereka dikenali sufiyah. (1)

8. Golongan sufiyah ini telah mula berbicara tentang konsep-konsep seperti


akhlak, jiwa (nafs), tingkah laku (suluk), menentukan jalan-jalan kepada Allah s.w.t.
yang perlu dilalui oleh salik iaitu dikenali dengan maqam-maqam dan juga hal-hal.
Seterusnya golongan ini juga telah berbicara tentang ma’rifah, fana’, ittihad dan
hulul. Perbincangan mereka berhubung dengan topik-topik tersebut telah agak maju
iaitu mereka ada mempunyai teori-teori tersendiri dengan menetapkan peraturan
dan garis panduan yang harus diikuti dalam amalan-amalan mereka. (2)

Di abad yang ketiga ini juga kita dapati penulisan di bidang tasawuf telah
mula muncul. Di antara penulisan terawal seperti karangan-karangan al-Muhasibi
(m. 243H), al-Hakim al-Tirmidhi (m. 285H) dan al-Junayd (m. 297H). Mereka
semuanya dari golongan ahli sufi abad ketiga Hijrah.

9. Oleh itu bolehlah ditegaskan di sini bahawa abad ketiga adalah merupakan
permulaan bagi ilmu tasawuf dengan pengertian yang lebih tepat. Begitu juga kita
berpendapat bahawa tasawuf di abad keempat pula bolehlah dianggap sebagai
tasawuf Islam yang mula menuju ke arah kesempurnaannya, ini jelas sebagaimana
diperakukan oleh Dr. Abu al-Ula Afifi dengan katanya “Tasawuf telah memasuki
selepas itu (selepas peringkat yang dikenali dengan zuhd) ke dalam suatu era
baru iaitu era yang membicarakan soal-soal perasaan-perasaan (mawajid),
kashf dan zauq-zauq. Era ini ialah di abad yang ketiga dan keempat yang
(3)
merupakan zaman keemasan bagi tasawuf Islam”.

10. Elok rasanya disebut agak lebih panjang sedikit di sini bahawa sejak dari
abad ketiga, ilmu tasawuf telah berbeza dari ilmu fiqh dari segi topik perbincangan,
manhaj dan matlamat. Sebenarnya gerakan penulisan dan pembukuan ilmu-ilmu
syarak seperti fiqh, kalam, tafsir dan lain-lain telah mendahului penulisan dan

1 Nama sufi telah dikenali sebelum tahun 200H., lihat al-Qushairi, al-Risalah al-Qushairiyyah, hal. 7 - 8,; lihat juga Ibn Khaldun,
Muqaddimah Ibn Khaldun, hal. 228. Walaupun demikian, kita dapati istilah ini tersebar di abad yang ketiga Hijrah.
2 Lihat Dr. Abu al-Wafa’ al-Ghanimi al-Taftazani, Madkhal ila al-Tasawwuf al-Islami, hal. 111 – 112.

3 Dr. Abu al-Ula Afifi, al-Tasawuf : al-Thawrah al-Ruhaniyyah fi-Islam, al-Qahirah, 1962, hal. 92.

3
pembukuan di bidang tasawuf, perkara ini memberi kesan yang positif kepada ilmu
ini kerana dapat dibincangkan dengan secara terperinci dan mendalam. Ibn
Khaldun telah menyebut perkara ini dengan katanya:
“Manakala ilmu-ilmu tersebut ditulis dan dibukukan; iaitu para fuqaha’
dengan fiqh dan usul fiqh, begitu juga ilmu kalam, tafsir dan lain-lain, maka
pakar-pakar dalam bidang ilmu tarekat (tarekat tasawuf) telah menulis dalam
bidang mereka, diantaranya ada yang menulis tentang warak, muhasabah al-
nafs .............. Oleh itu ilmu tasawuf dalam Islam telah menjadi suatu ilmu yang
ditulis dan disusun, yang mana sebelumnya ilmu tarekat ini adalah suatu ilmu
yang digunakan dalam ibadat sahaja”. (4)

11. Secara umumnya dapatlah dibuat kesimpulan di sini bahawa golongan


sufiyyah cuba menjelaskan perbezaan diantara ilmu fiqh dan ilmu tasawuf. Ilmu fiqh
ialah ilmu yang menerangkan tentang teori-teori hukum-hakam, manakala ilmu
tasawuf ialah ilmu yang menjelaskan cara-cara untuk mendapat zauq dan laku
perbuatan. Fiqh ialah ilmu zahir, manakala tasawuf ialah ilmu batin. Oleh itu ilmu
fiqh membincangkan permasalahan hukum yang ada kaitan dengan perbuatan
anggota zahir manusia, manakala ilmu tasawuf permasalahannya ada kaitan dengan
anggota dalaman manusia iaitu hati. (5)

12. Selain dari aliran tasawuf sunni yang sifatnya sederhana dalam memberi
pendapat-pendapat mereka iaitu selalu mengukur pengajaran tasawuf mereka
dengan neraca syariah. Di antara kalangan mereka ada yang boleh dianggap juga
sebagai tokoh-tokoh syariah disamping tokoh dalam tasawuf. Pengajaran tasawuf
mereka lebih berbentuk pengajaran akhlak. Kita dapati juga suatu aliran lain telah
muncul iaitu golongan ahli-ahli tasawuf yang menyerah kepada hal-hal fana’, mereka
memutuskan kata-kata atau ungkapan-ungkapan yang pelik dan asing yang dikenali
dengan shath, mereka juga ada mempunyai konsep-konsep yang tersendiri tentang
hubungan manusia dengan Allah s.w.t. seperti ittihad, hulul dan lain-lain.

4 Ibn. Khaldun, Muqaddimah, hal. 328.


5 Untuk mendapat huraian terperinci perbezaan di antara fiqh dan tasawuf, lihat Abu al-Abbas Ahmad Ibn Ahmad Ibn
Muhammad Zarruq, Qawaid al-Tasawwuf. Cairo: Maktabah al-Kulliyyah al-Azhariyyah, 1976, Qaidah 13, 20, 23, 26.

4
Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

III. ABAD YANG KELIMA HIJRAH: TASAWUF SUNNI

13. Sebagaimana yang telah disebut di atas bahawa abad yang ketiga dan
keempat ada dua aliran yang agak berbeza iaitu ahli tasawuf sunni dan ahli tasawuf
yang condong kepada falsafah, maka dalam abad yang kelima ini pula kita dapati
trend tasawuf sunni terus kekal, malah lebih jelas lagi, manakala trend yang
condong kepada falsafah telah tidak kelihatan. Meskipun begitu trend ini telah cuba
muncul semula di abad-abad yang berikutnya iaitu di abad keenam dan seterusnya,
dalam bentuk lain yang dibawa oleh individu-individu tertentu dari golongan ahli sufi
aliran falsafah.

14. Malangnya pengaruh golongan ahli sufi trend yang condong kepada falsafah
di abad yang kelima ini adalah disebabkan oleh kemenangan pengaruh mazhab Ahli
al-Sunnah wal-Jamaah yang diasaskan oleh Abu al-Hasan al-Ashaari (m. 324H) dan
dikembangkan oleh pengikut-pengikutnya.(6) Al-Ashaari telah memerangi pendapat-
pendapat yang melampaui batas-batas syarak yang telah muncul dalam tasawuf
yang dibawa oleh al-Bistami, al-Hallaj dan juga golongan shath serta berbagai
penyelewengan yang lain dalam tasawuf.

15. Oleh itu, abad yang kelima ini merupakan suatu trend pengislahan yang
begitu ketara sekali, yang berdasarkan kepada pengembalian semula tasawuf
kepada al-Quran dan al-sunnah. Al-Qushairi dan al-Harawi adalah diantara tokoh
sufi yang berjasa besar dalam memainkan peranan mereka dalam gerakan tersebut,
setelah itu diikuti pula oleh al-Ghazali dipertengahan abad yang kelima ini. Dengan
usaha yang dilakukan oleh al-Ghazali, bolehlah dianggap suatu kemenangan besar
bagi tasawuf sunni dalam menyebarkannya di seluruh dunia pada masa itu, malah
hingga ke hari ini.

6. Abu al-Hasan al-Ashaari telah mengkritik mazhab-mazhab yang menyeleweng dari kalangan ahli tasawuf yang menganut
aliran hulul, melihat Allah di dunia dan lain-lain, lihat dalam kitabnya maqalat al-Islamiyyin, Jilid 1.

5
16. Abd al-Karim ibn Hawazin al-Qushairi (m. 465H) adalah seorang tokoh sufi
yang menganut aliran ahli al-Sunnah wal-Jamaah, sangat terkenal dengan kitab
“al-Risalah al-Qushairiyyah” dalam bidang tasawuf, dan kitab “Lata’if al-Isharat”
dalam bidang tafsir. Manakala al-Harawi pula (nama penuhnya Abd. Allah ibn
Muhammad al-Ansari) adalah tokoh tasawuf dari mazhab Hanbali, yang juga tokoh
dalam bidang fiqh. Beliau terkenal dengan kitab “Manazil al-Sa’irin ila Rab
al-Alamin”. Iaitu sebuah kitab yang ringkas tetapi sangat menarik. Diantaranya
beliau telah menulis:

“Sesungguhnya sebahagian besar (majoriti) ulama’ golongan ini


(golongan tasawuf) telah berpendapat bahawa kesudahan sesuatu amalan
itu tidak akan menjadi betul, melainkan hendaklah betul di peringkat
permulaannya, sebagaimana sesebuah bangunan itu tidak dapat ditegakkan
melainkan di atas tapak yang kuat. Oleh itu, kesahihan pada peringkat
permulaan adalah penting iaitu hendaklah diasaskan sesuatu pekerjaan itu
dengan kejujuran dan mengikut al-sunnah”.(7)

Kitab al-Harawi ini telah disyarah oleh beberapa orang tokoh ulama dan
di antara yang paling terkenal sekarang ini ialah syarah yang dikarang oleh Ibn
al-Qayyim (m. 751H) yang dinamakan dengan “madarij al-salikin”. (8)

17. Setelah al-Qushairi dan al-Harawi, kita dapati seorang tokoh yang sangat
terkenal di abad ini iaitu al-Ghazali (m. 505H), beliau terkenal dengan gelaran Hujjah
al-Islam kerana ketokohan dalam banyak cabang ilmu pengetahuan seperti fiqh,
kalam, falsafah, tasawuf dan lain-lain. Di antara gurunya ialah al-Juwaini yang
terkenal dengan gelaran Imam al-Haramain.

Kitab tasawuf al-Ghazali yang paling diminati dan disegani ialah “Ihya’ Ulum
al-Din”. Kitab ini di bahagikan kepada 4 bahagian asasi iaitu ibadat, adat, muhlikat
dan munjiyat. Setiap bahagian terbahagi kepada sepuluh chapter (kitab atau fasl).
Dalam bahagian ibadat mengandungi perbincangan antara lain tentang ilmu,

7. Al-Harawi, Manazil al-Sa’irin, Cairo : Mustsafa al-Babi al-Halabi. 1328H, hal.3.


8. Ibn., al-Qayyim, Madarij al-Salikin, Cairo.

6
kaedah-kaedah akidah dan ibadat, adab-adab membaca al-Quran, zikir-zikir, doa,
susunan wirid-wirid. Dalam bahagian adat pula mengandungi antara lain adab-adab
yang berhubung dengan makan, berkahwin, mencari rezeki, halal dan haram,
suhbah, uzlah, safar, sama’, wajd, amar maaruf dan nahi mungkar. Manakala dalam
bahagian muhlikat pula mengandungi antara lain tentang nafs, shahwat hissiyyah
dan ma’nawiyyah seperti marah, dendam, hasad, bakhil, riya’. ghurur dan lain-lain.
Akhirnya dalam bahagian yang terakhir dinamakan dengan munjiyat yang antara lain
membicarakan tentang maqamat dan ahwal iaitu mengandungi antara lain taubah,
sabar shukr, khauf, raja’, faqr, zuhd, tauhid, tawakkul, mahabbah, shawq, uns dan
redha, selain dari itu diterangkan juga dalam bahagian ini tentang pengertian niat,
benar, ikhlas, muraqabah, muhasabah, tafakkur dan maut.(9)

18. Dari huraian di atas, jelas menunjukkan bahawa al-Ghazali telah memberi
garis panduan yang jelas tentang tasawuf, menurut beliau, tasawuf adalah sebagai
jalan untuk mendapat makrifah, fana’ di dalam tauhid dan kebahagian. Oleh itu
beliau dianggap sebagai seorang sufi kerana ada padanya ciri-ciri tasawuf. Selain
dari itu sumbangan al-Ghazali dalam tasawuf Islam adalah terlalu banyak
di antaranya yang penting ialah beliau dianggap sebagai seorang sufi yang positif
yang peka dengan keadaan masyarakat pada masa itu.(10)

Beliau telah menentang keras mazhab-mazhab atau aliran-aliran pemikiran


yang menyeleweng pada masa itu dengan memberi kritikan yang ilmiah. Selain dari
itu al-Ghazali adalah seorang ahli fikir (thinker) yang sangat menghayati buah
fikirannya, kehidupannya adalah suatu gambaran yang jelas dari tasawufnya.

12. Lihat al-Ghazali, Ihya’ Ulum al-Din, Cairo : maktabah wa matbaah Isa al-Babi al-Halabi.
10. Di dalam al-Ihya’, al-Ghazali telah menjelaskan secara terperinci golongan-golongan masyarakat pada masa itu, beliau
mengkritik mereka secara membina. Orang-orang yang menjadi sasarannya ialah terdiri dari golongan cendikiawan
seperti fuqaha, mutakallimun, wu’aaz, pakar bahasa, pengamal tasawuf yang menyeleweng, golongan ahli tasawuf yang
mengamalkan shath, orang-orang kaya, masyarakat umum dan lain-lain. Lihat Ihya, hal. 334 – 356.

7
Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

IV. ABAD YANG KEENAM DAN KETUJUH: TASAWUF GOLONGAN


TAREKAT.

19. Meskipun tasawuf falsafah berkembang pesat di dalam masyarakat Islam


di abad yang keenam dan ketujuh. Namun begitu kita dapat saksikan juga
kesinambungan tasawuf sunni seperti yang telah dibawa oleh al-Ghazali, al-Harawi
al-Jilani dan lain-lain. Tasawuf sunni ini telah berkembang luas disegenap pelusuk
dunia Islam pada masa itu dengan usaha yang dilakukan oleh Syaikh-syaikh
terkemuka tarekat tasawuf.

20. Kita dapati dalam penulisan yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh tasawuf sunni
seperti al-Ghazali, al-Hawari, al-Jilani dan lain-lain yang telah menentukan jalan
orang-orang sufi dalam pengembaraan mereka menuju Allah S.W.T. hendaklah
mengamalkan mujahadah dan menghapuskan sifat-sifat yang keji (mazmumah) dan
riyadah serta pengisian dengan sifat-sifat yang luhur (mahmudah) dan menumpukan
dalam semua urusan mereka hanya semata-mata kepada Allah S.W.T.

21. Setelah itu Allah S.W.T. memberi jaminannya untuk menyinari hati hamba
dengan nur ilmuNya. Selain dari itu kita dapati juga dalam penulisan-penulisan di
zaman al-Ghazali ini yang menekankan kaedah-kaedah atau cara-cara bertingkah
laku dan juga adab-adab yang perlu dijalani, dihuraikan dengan jelas dan terperinci
seperti perhubungan diantara murid dengan guru (syaikh), uzlah dan khalwah, lapar
dan berjaga malam, diam dan berzikir dan lain-lain.

22. Oleh itu penulisan-penulisan tersebut telah mempengaruhi atau memberi


kesan kepada syaikh-syaikh tarekat yang muncul pada abad keenam dan
seterusnya. Mereka tertarik dengan akidah Ahli al-Sunnah wal al-Jamaah dari segi
akidah serta manhaj amali golongan tasawuf. Dengan itu tasawuf sunni telah mula
memasukki era baru iaitu dengan kemunculan tarekat-tarekat tasawuf sehinggalah
ke hari ini.

8
23. Maka tasawuf telah menjadi suatu amalan sebahagian besar masyarakat
Islam di abad yang keenam dan seterusnya. Mereka telah mempunyai peraturan-
peraturan, kaedah-kaedah, serta upacara-upacara khusus yang mana sebelumnya
hanya merupakan amalan-amalan individu atau kumpulan-kumpulan yang kecil.

Dengan itu perkataan “tarekat” menurut para tasawuf mutakhir dimaksudkan


dengan perkumpulan atau perhimpunan individu-individu dari kalangan
pengamal tasawuf yang menjadi pengikut kepada syaikh yang tertentu dan
mematuhi suatu peraturan yang telah ditetapkan ke atas mereka dalam
menjalani amalan-amalan kerohanian. Mereka hidup secara berjemaah
di zawiyah yang tertentu, serta mereka juga selalu mengadakan secara pusingan
untuk menyambut perayaan-perayaan yang tertentu dan mereka selalu juga
mengadakan majlis-majlis ilmu dan zikir secara teratur.

Tarekat-tarekat tasawuf telah tumbuh dengan suburnya di abad yang keenam


dan ketujuh. Berbagai nama telah muncul, pada kebiasaan nama-nama tersebut
ada kaitannya dengan nama syaikh atau pengasas bagi sesebuah tarekat.
Walaupun mereka menggunakan berbagai nama, tetapi mereka semuanya
mempunyai satu tujuan iaitu untuk taqarrub ila Allah. Perbezaan yang didapati
dalam tarekat-tarekat tasawuf cuma didapati dari sudut upacara-upacara amalan
seperti pakaian, bacaan-bacaan wirid dan hizb. Manakala matlamat mereka pada
umumnya adalah matlamat akhlak iaitu inkar al-zat, benar dalam perkataan dan
tindakan, sabar, khusu’, mahabbah, tawakkul dan sifat-sifat luhur yang lain seperti
yang dianjurkan oleh Islam.

Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

Di antara tokoh-tokoh tarekat di abad yang keenam dan ketujuh adalah


seperti berikut:

(i) Syaikh Abd. al-Qadir al-Jilani (470H – 561H)

24. Al-Jilani adalah di antara tokoh utama tarekat yang muncul di abad yang
keenam. Beliau dianggap sebagai pengasas tarekat Qadiriyyah. Dilahirkan di Jilan,
Iran pada tahun 470H, setelah berumur 18 tahun beliau berpindah ke Baghdad
9
kerana menuntut ilmu pengetahuan. Beliau mempelajari fiqh mazhab Hanbali dan
mendalami di bidang tasawuf serta beramal dengannya. Bergiat dibidang
pendidikan dan dakwah sehingga terkenal. Beliau meninggal di Baghdad pada
tahun 561H. Tarekat Qadiriyyah telah dikembangkan oleh murid-muridnya di Yaman,
Syiria dan Mesir. Seterusnya dikembangkan lagi oleh pengikut-pengikutnya ke
Afrika dan Asia.(11)

25. Al-Jilani menyerupai al-Ghazali dari segi kealiman, kerana kedua-duanya


pakar dalam perundangan Islam dan mempertemukan tasawuf dengan al-Quran dan
al-Sunnah. Oleh itu Ibn Taymiyyah dalam kitabnya “Majmu’ Fatawa Shaykh al-Islam”
telah memuji ajaran tasawuf al-Jilani.(12)

26. Pengajaran tasawuf al-Jilani direkodkan dalam beberapa buah bukunya


seperti Futuh al-Ghayb, al-Ghunyah li Talibi Tariq al-Haqq dan al-Fath al-Rabbani.
Maklumat tentang tasawuf beliau juga boleh didapati dalam buku al-Fuyudat al-
Rabbaniyyah fi al-maathir wa al-Awrad al-Qadiriyyah susunan al-Hajj Ismail ibn al-
Sayyid Muhammad Said al-Qadiri, Bahjah al-Asrar karangan al-Shattanawfi dan
dalam kitab-kitab manaqib yang lain.

27. Pengajaran tasawuf al-Jilani secara umumnya menepati dengan ajaran Islam,
doktrinnya tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah. Jika dibandingkan
dengan tokoh-tokoh sufi yang lain, beliau sangat strict berpegang dengan syariah.
Al-Jilani berpendapat bahawa matlamat tasawuf adalah sangat mudah iaitu
mematuhi syariah dan menjadi hamba yang beriman kepada Allah SWT. Tidak ada
hal (state) yang lebih tinggi dari ma’rifah al-tauhid (al-Jilani t.th: 36).

28. Beliau dikenali sebagai sufi yang bermazhab Hanbali. Pendapat dan amalan
beliau dalam tasawuf pada umumnya tidak berbeza atau bercanggah dengan ulama-
ulama mazhab Hanbali yang lain. Sebagai contohnya, konflik telah berlaku di antara
para fuqaha’ (jurists) dengan para sufi pada zaman al-Jilani, seperti yang disebut

11 Untuk mendapat huraian lanjut berhubung dengan sejarah pertumbuhan dan perkembangan serta disiplin amalan tarekat
Qadiriyyah, lihat Abdullah Muhammad Zin, Art. “Qadiriyyah Order, Development and Practice”, dalam Islamiyyah, vol. XI,
1991 hal. 39 – 45.

12 Ibn Taymiyyah, Majmu’ Fatawa Syaikh al-Islam.

10
oleh Ibn al-Jawzi dalam kitabnya Talbis Iblis, (Ibn al-Jawzi t.th) tetapi al-Jilani tidak
terlibat.

29. Al-Jilani berpendapat bahawa tasawuf hendaklah menyerahkan sepenuhnya


kepada risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana yang
terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Beliau menolak dakwaan bahawa ilham
boleh merubah hakikat-hakikat yang ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

30. Beliau juga berpendapat bahawa amalan zuhud adalah digalakkan, tetapi
dibolehkan dengan syarat ianya tidak mengabaikan tanggungjawab atau perintah-
perintah syariah yang lain. Walau bagaimana tinggi kedudukan yang didapati oleh
seseorang sufi, sama ada pangkat badal atau watad atau qutub atau ghawth, dia
tidak boleh sampai kepada pangkat nabi dan tidak boleh mengubah apa yang
dibawa oleh nabi.

31. Pendapat-pendapat di atas boleh kita dapati dalam buku beliau al-Ghunyah li
Talibi Tariq al-Haqq. Dalam buku ini, al-Jilani menjelaskan secara ringkas semua
perkara-perkara yang penting dan asasi dalam syariah. Di bahagian akhir buku ini,
beliau menulis satu bab yang menerangkan pendapatnya tentang tasawuf. Tasawuf
menurut al-Jilani adalah merupakan dimensi dalaman (inner dimension) bagi agama
Islam, ianya tidak dapat dipisahkan daripada syariah. Seorang sufi sekaligus pakar
dalam bidang fiqh (Islamic jurisprudence) seperti yang disebut oleh al-Sha’rani (al-
Sha’rani 1973: 163).

32. Untuk mendapat suatu gambaran yang lebih jelas tentang pengajaran
tasawuf al-Jilani, di bawah ini diterjemahkan secara ringkas sebuah nasihat yang
disampaikan oleh beliau kepada anaknya, Abd al-Razzaq. Isi kandungan nasihat
itu adalah seperti berikut:

(Al-Hajj Ismail ibn al-Sayyid Muhammad Said al-Qadiri: 35-38).

“Wahai anakku, aku menasihati kamu supaya bertakwa kepada Allah,


mentaati-Nya, melaksanakan syariah dan menjaga hudud Allah. (“Menjaga
hudud Allah” bererti menjauhi semua larangan-larangan Allah, walaupun
kecil) sebagaimana kamu mengetahui, wahai anakku, bahawa tarekat kita
(tarekat Qadariyyah) ini didirikan berasaskan al-Quran dan as-Sunnah,

11
kesejahteraan jiwa, murah hati (generosity), terbuka (openhandedness),
menahan dari kekerasan, menanggung kesulitan dan kemaafan (forgiveness).

Aku menasihati kamu supaya mengamalkan faqr iaitu menjaga


kehormatan mashayikh (guru-guru), menjaga hubungan baik dengan
saudara-saudara (seagama), memberi nasihat kepada kanak-kanak dan
orang-orang dewasa, menjauhi dari menimbulkan pergaduhan kecuali dalam
perkara agama.

Seperti yang kamu telah ketahui wahai anakku, sesungguhnya hakikat


faqr itu ialah bahawa kamu tidak berhajat kepada orang yang sepertimu
(manusia) dan hakikat ghina’ (maknanya dari segi bahasa kaya) bahawa
kamu bebas dari orang-orang yang seperti kamu dan tasawuf itu mempunyai
suatu keadaan bukan untuk orang-orang yang mengamalkan qil wa qal,
apabila kamu melihat orang-orang fakir, maka kamu janganlah memulai
dengan ilmu dan hendaklah dengan menggunakan cara lembut kerana ilmu
boleh meliarkannya dan cara lembut boleh menjinakkannya.

Kamu juga mengetahui wahai anakku bahawa tasawuf itu didirikan di atas
lapan sifat (quality) iaitu: pertama, pemurah (sakha/generosity); kedua, redha
(cheerful submission); ketiga, sabar (patience); keempat, isyarat; kelima,
berjauhan (ghurbah/solitude); keenam, mamakai pakaian dari bulu (lubs al-
suf); ketujuh, mengembara (siyahah/ travelling); kelapan, faqr. Pemurah
adalah sifat Nabi Ibrahim a.s. redha adalah sifat Nabi Ishak a.s., sabar adalah
sifat Nabi Ayyub a.s., isyarat adalah sifat Nabi Zakariyya a.s., memakai
pakaian dari bulu adalah sifat Nabi Yahya a.s., mengembara adalah sifat Nabi
Isa a.s. dan faqr adalah sifat Nabi Muhammad SAW.

Wahai anakku, hendaklah engkau mencampuri orang-orang kaya dengan


secara terhormat dan mencampuri orang-orang miskin secara merendah diri.
Kamu hendaklah mengamalkan sifat ikhlas iaitu kamu melupai makhluk
dengan menumpukan sepenuhnya kepada Khaliq (Allah). Janganlah kamu
menuduh Allah SWT dalam keadaan-keadaan tertentu, bertenanglah
(berserahlah) kepada-Nya dalam semua perkara. Janganlah kamu berserah
(bertawakkal) kepada orang lain disebabkan adanya keakraban, jalinan kasih
sayang dan persahabatan.

12
Menjadi kewajipan ke atas kamu juga supaya berkhidmat kepada orang-
orang miskin dengan tiga perkara: Pertama, rendah diri (tawaduk); kedua,
berakhlak luhur; ketiga, kejernihan jiwa. Engkau juga dikehendaki supaya
membunuh nafsu kamu yang rendah (nafs), supaya ianya dapat hidup.
Makhluk yang paling hampir kepada Allah ialah orang yang paling sempurna
akhlaknya. Dan amalan yang paling baik ialah menjaga sir supaya tidak
berpaling kepada selain dari Allah.

Menjadi kewajipan juga ke atas kamu, apabila kamu berada bersama


orang-orang miskin ingat-mengingati supaya bersabar dan hak. Adalah cukup
untuk kamu di dunia ini melakukan dua perkara, iaitu berkawan dengan
orang-orang miskin dan menghormati wali.

Sebagaimana yang engkau ketahui wahai anakku, bahawa orang fakir itu
tidak memerlukan sesuatu apapun melainkan Allah SWT. Dan seperti engkau
ketahui juga bahawa bertindak ke atas orang-orang yang berkedudukan
rendah adalah suatu kelemahan dan bertindak ke atas orang-orang yang
mempunyai kedudukan tinggi adalah suatu kemegahan. Faqr dan tasawuf
adalah dua perkara yang serius, oleh itu, ianya tidak boleh dicampuri dengan
perkara yang hina.

Ini adalah nasihat yang aku sampaikan kepada kamu dan orang-orang
lain yang mendengarnya dari kalangan murid-murid. Didoakan semoga Allah
SWT memberi taufik kepada kamu dan kita semua, kerana telah
menerangkannya. Diharapkan semoga Allah SWT menjadikan kita semua
termasuk ke dalam golongan orang-orang yang mengikut jejak langkah al-Salaf
al-Salih…”

33. Meskipun nasihat Syeikh itu ditujukan kepada anaknya, Abd al-Razzaq, tetapi
ianya merupakan out-line pengajaran tarikat Qadiriyyah yang dikembangkan sama
ada di masa Syeikh masih hidup atau selepas kematiannya. Kata-kata nasihat yang
disampaikan itu ada juga mengandungi beberapa istilah atau ungkapan yang
mempunyai pengertian khusus seperti perkataan “miskin” faqr. Faqr merujuk
kepada kemiskinan kebendaan dan juga kemiskinan kerohanian. Walau
bagaimanapun, golongan faqr adalah orang yang benar-benar kaya menurut

13
pandangan al-Jilani (walaupun digunakan ungkapan miskin). Dengan itu, bolehlah
ditegaskan di sini bahawa pengajaran-pengajaran tersebut adalah sangat murni.

34. Dalam kesempatan yang lain Syeikh telah memberi nasihat kepada seorang
lagi anaknya bernama Abd al-Wahhab. Nasihat ini disampaikan sebelum beliau
menemui ajalnya:

“Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas kamu bertakwa kepada


Allah dan mentaati-Nya. Kamu sekali-kali tidak boleh takut dan
mengharapkan kepada orang lain; semua keperluan hendaklah ditujukan
kepada Allah sahaja; dan berimanlah dengan tauhid (keesaan Allah)” (Al-
Jilani: 302)

35. Di dalam kitabnya Futuh al-Ghayb banyak sekali pengajaran-pengajaran


tasawuf yang diutarakan oleh Syeikh dalam bentuk yang lebih terperinci seperti:

i) Gesaan supaya berpegang dengan syariah.

ii) Akidah dan pegangan orang-orang mukmin.

iii) Gesaan supaya selalu berdoa kepada Allah SWT.

iv) Fana’ (self-annihilation)

v) Taqarrub kepada Allah SWT.

vi) Pertalian antara dunia dan akhirat.

vii) Jiwa dan hal-halnya.

viii) Ujian dan cubaan.

ix) Wali dan jalannya.

x) Akhlak yang luhur (makarim al-akhlak).

36. Kitab Futuh al-Ghayb merupakan himpunan syarahan yang disampaikan oleh
Syeikh dalam majlis-majlis yang berbeza dari segi masa dan tempat. Berhubung
dengan akidah pula, Syeikh menegaskan dengan jelas pegangan akidahnya:

14
“Akidah kita ialah akidah para salaf al-saleh dan para sahabat”:

(Al-Dhahabi 1907:278)

Menurut Syeikh, seorang sufi itu dapatlah ditakrifkan seperti berikut:

Sufi ialah orang yang telah menamatkan perjalanan dan telah sampai ke
destinasi tarekatnya (al-Jilani: II, 160). Selanjutnya beliau menerangkan titik
permulaan dan garis penamat bagi seseorang sufi:

“Permulaan kehidupan kerohanian (pengembaraan kerohanian) adalah


keluar dari kehendak-kehendak hawa nafsu (ma’hud) dan masuk ke dalam
jalan hukum (mashru’) dan kemudian masuk semula ke dalam takdir
(maqdur), selepas itu kembali semula ke dalam kehendak nafsu (ma’hud),
tetapi dengan syarat hendaklah menjaga hudud (hukum-hukum syariah)

(al-Jilani: 138)

37. Ringkasnya, dapatlah dibuat kesimpulan di sini bahawa Syeikh adalah


seorang tokoh tasawuf yang sangat kuat berpegang dengan al-Quran dan al-
Sunnah. Beliau juga sangat konsisten dalam mengajak ahli-ahli tasawuf supaya
berpegang dengan syariah. Huraian-huraian yang dibuat dalam syarahan-syarahan
beliau seperti yang dikumpulkan di dalam kitab Futuh al-Ghayh, Jala’ al-Khatir dan
al-Fath al-Rabbani membuktikan dengan jelas bahawa ayat-ayat al-Quran dan
hadis-hadis Nabi SAW digunakan dengan meluas bagi memperkuatkan hujah dan
alasannya.

(ii) Syaikh Ahmad al-Rifa’i (m. 578H)

Al-Rifa’i hidup sezaman dengan al-Jilani, beliau adalah di antara tokoh tarekat
yang terkenal di negeri Iraq. Beliau adalah pengasas “tarekat Rifa’iiyyah”.
Tarekatnya tersebar luas sehingga kini di Mesir dan negeri-negeri Islam yang lain.
Meninggal pada tahun 578H. Ibn. Khallikan, seorang ahli sejarah yang terkenal

15
telah mengatakan bahawa al,-Rifa’i adalah sseorang yang salih dan pakar dalam
fiqh mazhab syafi’i.(13)

(iii) Syaikh Abu al-Najib al-Suhrawardi (490H – 563H) dan Syaikh Shihab al-
Din Abu Hafs Umar al-Suhrawardi (539H – 632H)

Abu al-Najib dan Abu Hafs al-Suhrawardi adalah dianggap sebagai pengasas
tarekat Suhrawardiyyah. Abu al-Najib adalah bapa saudara kepada Abu Hafs. Abu
Hafs adalah pengarang kitab “Awarif al-Ma’arif” iaitu sebuah kitab tasawuf yang
terkenal mengandungi huraian tentang adab-adab bagi tarekat ini.(14) Beliau adalah
seorang guru yang sangat berpengaruh, tidak hanya di kalangan murid-muridnya
sahaja, malah pengajarannya telah dapat mempengaruhi syaikh-syaikh tarekat yang
sezaman dengannya. Al-Suhrawardi al-Baghdadi ini bermazhab sunni.(15)

(iv) Syaikh Abu al-Hasan al-Shazili (596H – 656H)

Di abad yang ketujuh Hijrah, gerakan tarekat tasawuf telah bergerak cergas di
seluruh dunia Islam pada masa itu, sama ada disebelah timur atau pun di barat. Di
sebelah barat telah muncul “tarekat Shaziliyyah” yang berkembang di Mesir dan
beberapa buah negeri Islam yang lain. Tarekat ini dinisbahkan kepada pengasasnya
Abu al-Hasan al-Shazili, seorang tokoh sufi bermazhab sunni yang terkenal, berasal
dari negeri Tunis, kemudian berpindah ke negeri Mesir bersama murid-murid dan
penyokong-penyokongnya. Mereka memilih bandar Iskandariah untuk dijadikan
tempat tinggal mereka, ini berlaku kira-kira pada tahun 642H. Di antara muridnya
yang terkenal ialah Syaikh Abu al-Abbas al-mursi (m. 686H) dan seterusnya murid
kepada muridnya iaitu Syaikh Ibn Ata’ Allah al-Sakandari.(16)

Pengajaran tasawuf al-Shazili, al-Mursi dan Ibn ‘Ata’ Allah al-Sakandari


adalah merupakan tunggak bagi tarekat Shaziliyyah, pengajaran mereka tidak

13. Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, Jil.1 hal. 68.


14. Lihat Abu Nafs Umar al-Suhrawardi, Awarif al-Maarif, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, 1983.
15. Lihat al-Shaarani, Tabakat al-Kubra, Jil.1, hal. 120-121, lihat juga Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, Jil. 1. 376 – 480.
19. Lihat Dr. Amir al-Najjr, al-Turuq al-Sufiyyah fi misr, Cairo: Dar al-Maarif, 1982, hal. 193. Lihat juga Dr. Abd. Halim
Mahmud, al-Madrasah al-Shaziliyyah al-Hadithah, Cairo : Dar al-Kutub al-Hadithah, (t.t.), hal. 49.

16
terlibat dengan ajaran tasawuf wahdah al-wujud Ibn Arabi. Tarekat ini sangat
menghormati dan mengkagumi pengajaran tasawuf al-Ghazali.(17)

(v) Syaikh al-Shayyid Ahmad al-Badawi (596H – 675H)

Di antara tarekat tasawuf Mesir yang semasa dengan tarekat Shaziliyyah


ialah tarekat Ahmadiyyah, yang diasaskan oleh al-Syayyid Ahmad al-Badawi. Beliau
banyak mengembara iaitu dari maghrib hingga ke Mekah, kemudian beliau datang
ke Mesir dan memilih bandar Tanta sebagai pusat gerakan dakwahnya. Tarekat
beliau sangat kuat berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah, beliau
menerangkan perkara ini dengan katanya: “Tarekat tasawuf kita ini adalah
diasaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah, bersifat benar, safa’, kesetiaan,
menanggung kesulitan dan memegang janji”.(18)

Tarekat-tarekat tasawuf terus muncul dan berkembang di abad-abad


berikutnya iaitu selepas abad ketujuh Hijrah. Sudah tentu dalam ruang yang terbatas
ini, penulis tidak dapat menyenaraikan kesemuanya. Di antara tarekat-tarekat
tersebut ialah tarekat Naqsyabandiah yang diasaskan oleh syaikh Baha’ al-Din
Naqsyaband al-Bukhari (717H – 791H), tarekat Tijaniyyah yang diasaskan oleh Abu
al-Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn al-Mukhtar al-Tijani (lahir 1150H) dan tarekat
Sanusiyyah yang diasaskan oleh Muhammad ibn Ali al-Sanusi (1791M – 1859M).

Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

V. ULASAN DAN PANDANGAN

38. Demikianlah tinjauan ringkas sejarah pertumbuhan dan perkembangan, serta


disiplin amalan bagi tasawuf dan tarekat sunni dari abad ketiga hingga abad ketujuh
dan seterusnya di dalam masyarakat Islam.

Tasawuf dan tarekat ini berkembang dengan pesat dan sebahagian besar
dari tarekat-tarekat tersebut masih aktif menjalankan aktiviti mereka hingga kehari
17. Lihat al-Sha’rani, al-Tabaqat al-Kubra, Jil. 1, hal. 158 dan seterusnya.
18. Lihat al-Taftazani, Madkhal ila al-Tasawuf al-Islami, hal. 294.

17
ini. Walaupun begitu tarekat-tarekat tasawuf yang muncul dan berkembang
di peringkat akhir-akhir ini, terutama sejak zaman Kerajaan Othmaniyyah telah mula
merosot dari segi kualitinya, kerana karangan dan penulisan yang bernilai tinggi
sangat kurang sekali dihasilkan, cuma apa yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh pada
peringkat ini pada umumnya berkisar di sekitar memberi huraian (syarah) dan juga
ringkasan (talkhis) terhadap kitab tokoh-tokoh ulama di abad-abad yang silam.

39. Selain dari itu, boleh juga ditegaskan di sini bahawa para pengikut tarekat-
tarekat tasawuf, telah mula menumpukan kepada bentuk-bentuk luaran dan
upacara-upacara sahaja, mereka kurang memberi penumpuan kepada tujuan dan
matlamat sebenar ilmu tasawuf dan tarekat itu diwujudkan.

Boleh juga rasanya disebut di sini bahawa sebahagian besar pengikut-


pengikut tarekat sekarang ini telah timbul semacam kekaburan dan kesamaran
terhadap konsep-konsep serta disiplin amalan dalam tasawuf. Mereka telah
mementingkan perkara yang kurang penting atau pun tidak penting seperti kitab-
kitab manaqib para wali dengan menumpukan kepada kekeramatan sedangkan
tokoh-tokoh tarekat di peringkat awal di abad ketiga hingga ketujuh tidak
membicarakannya, atau tidak menganggp kekeramatan itu suatu tanda
kesempurnaan ilmu dan amalan mereka.

40. Namun begitu kita tidak dapat menafikan peranan dan sumbangan positif
yang telah dimainkan oleh pengamal-pengamal tarekat Qadiriyyah, Shaziliyyah,
Tijaniyyah dan Sunusiyyah di zaman moden ini dalam mengislamkan penduduk-
penduduk di Afrika, di samping dapat menyekat kemaraan misi Kristian.

Pada umumnya disiplin amalan tarekat tasawuf sekarang ini adalah


berpegang kepada wirid-wirid (awrad) yang dikarang dan disusun oleh syaikh-syaikh
mereka, wirid-wirid itu adalah merupakan perkataan-perkataan atau ungkapan-
ungkapan yang bertujuan untuk beribadat kepada Allah S.W.T. sebagai usaha untuk
taqarrub kepadanya.

18
41. Dalam perkara ini, kita berpendapat pembaca-pembaca al-Quran dan
al-Sunnah adalah jauh lebih afdal dari membaca wirid-wirid tersebut, kerana tidak
ada perkataan dan ungkapan yang lebih baik dari kalam Allah dan kalam Rasulnya.
Alangkah baiknya, jika sekiranya syaikh-syaikh tasawuf ini memasukkan ke dalam
wirid-wirid mereka ayat-ayat al-Quran atau pun hadis-hadis Rasulullah s.a.w.
dengan menghafalnya dan mengenakan suatu peraturan kepada murid-murid
mereka supaya menghafalnya. Dengan cara ini, kita berpendapat bahawa
pengamal-pengamal tarekat tasawuf akan mampu dan berkebolehan sebagai qari
dan penghafal al-Quran juga akan menjadi hafiz al-hadis. Dengan itu mereka akan
dapat memperkembangkan Islam, juga dapat menambahkan lagi para ulama yang
faham dan hafal al-Quran dan hadith.

42. Walaupun ada unsur-unsur negatif dalam gerakan tarekat tasawuf terutama
di waktu akhir-akhir ini, tetapi kita tidak dapat menafikan unsur-unsur positif dalam
gerakan ini, terutama manhaj tarbiyah ruhiyyah yang dijalankan oleh golongan
tarekat ini iaitu dengan adanya wirid-wirid yang dibaca, serta murid-murid yang
patuh dan taat kepada guru (syaikh), ditambah pula sentiasa diadakan pertemuan
dan perhubungan di antara mereka, akan melahirkan sebuah masyarakat yang
penyayang, saling hormat menghormati di antara satu sama lain. Ini tidak syak lagi
suatu amalan yang baik yang perlu dijadikan contoh.

Y. Bhg. Tuan-tuan / Puan-puan sekalian

VI. KESIMPULAN DAN PENUTUP

43. Dari huraian dan ulasan terhadap sejarah dan amalan tasawuf dan tarekat
sunni, kita dapat membuat beberapa kesimpulan seperti berikut:

(i) Para sufi sunni tidak mahu membebaskan diri mereka dari tarekat
dengan al-Quran dan al-Sunnah. Pengalaman-pengalaman kerohanian
yang mereka perolehi bukanlah suatu sumber yang bebas untuk mendapat
maklumat tentang hakikat. Semua pengalaman yang mereka perolehi
ditimbang dan diukur dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w.
Tidak ada pengalaman yang diperolehi dapat mengatasi wahyu yang diterima
19
oleh Rasulullah s.a.w. Oleh itu pengalaman-pengalaman yang diperolehi
oleh para sufi tidak ada authority untuk memperbaiki atau menukarkan
risalah Rasulullah s.a.w.

(ii) Tasawuf bukanlah suatu percubaan atau usaha untuk membentuk


suatu kehidupan yang berlainan dari kehidupan Rasulullah s.a.w. Bagi
seorang sufi begitu juga bagi seorang muslim, Rasulullah s.a.w. adalah the
standard of excellence and perfection dalam segenap bidang kehidupan umat
Islam, sama ada sebagai da’i, abid, zahid dan lain-lain.

(iii) Tarekat seseorang syaikh sufi hendaklah mengikut tarekat Rasulullah


s.a.w., oleh itu hendaklah ia mengikut ibadat-ibadat asasi yang telah
dijalankan oleh Rasulullah s.a.w. seperti solat, puasa, membaca al-Quran,
berdoa dan berzikir. Selain dari itu sunnah-sunnah tashri’iyyah Rasulullah
s.a.w. hendaklah dihidupkan seperti berdakwah, berjihad, amar makruf dan
nahi munkar dan lain-lain.

(iv) Oleh itu kita berpendapat bahawa tasawuf dan tarekat sunni adalah
dari ajaran Islam.

(v) Alangkah baiknya sekiranya pengamal-pengamal tarekat hari ini


mengambil contoh teladan dari tokoh-tokoh tarekat sunni silam yang
memahami Islam secara shumul dan comprehensive, Mereka sangat kuat
berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Kalau umat Islam mengambil
contoh teladan dari mereka yang terdahulu, serta dibantu pula oleh usaha-
usaha baru yang positif atau dengan lain-lain perkataan suatu kombinasi
diantara al-qadim al-salih dan al-jadid al-nafi, maka kita berkeyakinan mereka
akan disegani dan beroleh kejayaan.

20
RUJUKAN

Abd. Al-Karim al-Qushairi 1972, al-Risalah al-Qushairiyyah, al-Qahirah: Dar al-Kutub


el-Hadithah.
Abdullah Muhammad Zin (Dr) 2002. Abd al-Qadir al-Jilani: His Method of Islamic
Da’wah (Mission). Kuala Lumpur: Islamic University College of Malaysia.
Abdullah Muhammad Zin (Dr) 1991. Art. “Qadiriyyah Order: Development and Practice”
dalam Islamiyyaat. Vol. XI, hal. 39 - 45 .
Abdullah Muhammad Zin (Tan Sri Dr). 2015. Syeikh Abd al-Qadir al-Jilani: Kehidupan
Kerohanian dan Kemasyarakatan. Selangor: Yayasan Al-Iman.
Abd. al-Halim Mahmud (Dr). (t.t). al-Madrasah al-Shaziliyyah al-Hadithah. Al-Qahirah:
Dar al-Kutub al-Hadithah.
Abd al-Wahhab al-Sha’rani. 1973. al-Tabayat al-Kubra. Al-Qahirah: Maktabah wa Matba’ah
Mustafa al-Baki al-Halabi
Abu al-Wafa al-Ghanimi al-Taftazani (Dr). 1976. Madkhal ila al-Tasawwuf al-Islami.
Al-Qahirah: Dar al-Thaqafah li al-Tiba’ah wa al-Nasr
Abd al-Abbas Ahmad ibn Ahmad ibn Muhammad Zarruq. 1976. Qawa’id al-Tasawwuf.
al-Qahirah: Maktabah al-Kulliyyah al-Azhariyyah.
Abu al-Hasan Ali ibn Ismail Al-Ash’ari. 1950. Maqalat al-Islamiyyin wa ikhtilaf al-Musallin.
al-Qahirah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah. 2 Jilid.
Abu Hamid al-Ghazali. 1968. Ihya’ Ulum al-Din al-Qahirah: Mu’assasah al-Halabi
wa Shurakahu li al-Nashr wa al-Tawzi’. 5 Jilid
Abu al- Ula Afifi (Dr).1962. al-Tasawwuf: al-Tharwah al-Ruhiyyah fi al-Islam. Al-Qahirah
Al-Harawi. 1228H. Manazil al-Sa’irin. Al-Qahirah: Matba’ah al-Babi al-Halabi.
Amir al-Najjar (Dr). 1982. al-Turuq al-Sufiyyah fi Misr. Al-Qahirah: Dar al-Maarif
Ibn Khaldun, t.t. al-Mukaddimah
Ibn Khallikan. 1299H: Wafayat al-A’yan.. al-Qahirah: Matba’ah Bulaq
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah. 1956. Madarij al-Salikin. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, 3 Jilid
Ibn Taymiyyah. Majmu’ Fatawa shaikh al-Islam
Mustafa Abd al-Raziq. 1966. Tawhid li Tarikh al-Falsafah al-Islamiyyah. al-Qahirah:
Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah
Shihab al-Din Abu Hafs Umar al-Shuhrawardi. Awarif al-Ma’arif, Beirut: Dar al-Kitab
al-Arabi

21

Anda mungkin juga menyukai