Anda di halaman 1dari 11

KUMPULAN UNGKA :

1) MUHAMMAD FAHAMIN BIN MOHD ZAILE (132401)

2) MOHD SYAFIQ NADZRIN SYAFRIZAL BIN MOHD RUSDI (135858)

3) MUHAMMAD ZAINI BIN MOHAMED HUSAIN (135859)

Perspektif Orang Bandar Terhadap Orang Batek Dan Ungka Dalam Menjejaki Dan

Memburu

Pada permulaan awal, kami berpandangan bahawa orang batek adalah tidak peramah,

pendiam, tidak berkongsi dan juga mementingkan diri. Akan tetapi pandangan kami berubah

setelah tiba di Telang Dalam, Kuala Lipis. Dimana ia adalah suatu kawasan persekitaran yang

baru dan disitulah buat pertama kalinya kami berjumpa dengan orang batek. Tujuan kajian ini

adalah untuk melihat orang batek dan ungka dengan menggunakan perspektif emik dan bukan

perspektif etik. Pada peringkat awal, skop kajian kami adalah ingin berfokus terhadap habitat

ungka melalui pengetahuan orang batek. Namun demikian, pengetahuan orang batek sangat

meluas yang merangkumi ilmu tentang haiwan, tumbuh-tumbuhan, berkemahiran tinggi

dalam laluan hutan, mengetahui fungsi tumbuh-tumbuhan untuk diaplikasikan kegunaanya.

Pengetahuan orang batek ini kami gelarkan sebagai ‘ilmu hutan’. Orang batek adalah satu

masyarakat yang peramah, suka berkongsi, jujur, peka, menepati masa, kuat dan pandai

membuat jenaka. Selain itu, pengetahuan orang batek terhadap haiwan khususnya ungka juga

sangat meluas. Kebenaran ini dapat diberitahu apabila orang batek menyangkal pengetahuan

kami. Dimana kami beranggapan bahawa ungka adalah binatang yang mesra dan aktif serta

mempunyai bunyi yang sama antara ungka jantan dan betina. Akan tetapi orang batek

menyangkal pengetahuan kami dengan mengatakan ungka sebenarnya haiwan yang pemalu
dan penakut serta terdapat perbezaan bunyi di antara ungka jantan dan betina. Dimana bunyi

ungka betina adalah lebih kuat daripada bunyi ungka jantan.

Proses pengutipan data merupakan elemen penting dalam kajian ini. Kaedah yang

telah kami gunakan adalah kaedah temu bual dan pemerhatian. Setiap data yang dikutip

sepanjang perjalanan menjejaki ungka bersama orang batek akan disimpan dalam aplikasi

“cyber tracker”. Alat ini telah membantu kami sepanjang proses kerja lapangan melalui

penyimpanan gambar, audio serta dilengkapi dengan bantuan alat pengesan “Global

Positioning System” (GPS). Memandangkan tempoh kajian lapangan ini singkat iaitu lima

hari, kami berpandangan bahawa kaedah pengutipan data melalui pemerhatian dan temubual

adalah kaedah yang paling berkesan untuk mengumpul pengetahuan orang batek dan habitat

ungka. Sepanjang tempoh pengutipan data, kami melalui fasa yang mencabar pada masa yang

sama ia merupakan suatu perkara yang sangat ‘menyeronokkan’ kerana kami didedahkan

dengan sesuatu perkara yang baru berbeza dengan persekitaran kami sebagai ‘orang bandar’.

Selain itu, melalui kaedah pengumpulan data, kami mendapati terdapat kelebihan dan

kekurangan yang dapat dinyatakan sepanjangan kajian dilakukan. Antara kelebihan dalam

kaedah yang kami gunakan adalah melalui pemerhatian. Hal ini, kerana kami dapat melihat

secara terus akan kemahiran orang Batek memburu. Kami juga dapat merasai secara terus

perasaan bagaimana mengesan tapak binatang seperti kancil, tapir, kijang, babi, melihat jenis

makanan ungka dan sebagainya. Akan tetapi, kelemahan yang dapat dikatakan melalui

kaedah ini adalah kami merasakan tidak menggunakan deria sepenuhnya (mata, telinga,

hidung) dimana orang Batek dapat mengesan bunyi serta kehadiran binatang lebih awal

daripada kami. Selain itu, melalui kaedah temubual, kami mendapati antara kelebihan dalam

method ini adalah kami dapat menemubual orang Batek secara bersemuka dan mendapat

maklumat secara terus daripada mereka. Penggunaan bahasa juga mudah kerana orang Batek

boleh berbahasa melayu dimana ia adalah jelas serta mudah difahami. Kami juga dapat
mengetahui secara terus akan pengetahuan mengenai ungka, binatang lain dan tumbuh-

tumbuhan hutan. Walaupun begitu, kelemahan yang dapat kami katakan adalah kelemahan

dalam binaan soalan yang hendak ditanya kepada orang Batek. Selain itu, kemungkinan

penggunaan bahasa yang tinggi menyebabkan orang Batek kurang memahami soalan

sehingga tidak dapat menjawap soalan yang ditanya. Dalam mencari pengetahuan tentang

ungka, orang batek membawa kami menggunakan tiga laluan yang berbeza (track) dan

melalui ketiga laluan ini bermula perjalanan kami bersama orang batek

Naratif Perjalanan Bersama Orang Batek

Memandangkan lokasi perkhemahan kami yang dekat dengan tempat tinggal habitat

ungka, bunyi-bunyi ungka kami dapat dengar dengan amat jelas. Perjalanan penjejaki ungka

pada hari tersebut dibantu oleh orang Batek (Pak Eksop). Pada hari tersebut, perjalanan kami

perpandukan bunyi ungka yang kedengaran sangat dekat dan jelas. Perjalanan meneroka

habitat ungka merupakan satu perjalanan yang mencabar kerana pengalaman melalui

kawasan yang tidak mempunyai denai merupakan satu cabaran yang besar buat ‘orang

bandar’ seperti kami yang tidak ‘biasa’ akan situasi di dalam hutan tropika. Melalui kawasan

lereng bukit sambil memberikan sepenuh perhatian mata dan pendengaran terhadap habitat

ungka di atas pokok dilihat suatu kemahiran yang sangat ‘luar biasa’ yang dipamerkan oleh

Pak Eksop. Ini sangat berbeza dengan situasi kami yang harus berhati-hati dalam setiap

langkah supaya tidak tergelincir semasa berjalan di lereng bukit.

Bunyi yang amat dekat semasa melalui lereng bukit menunjukkan kawasan habitat

ungka berada sangat hampir. Namun demikian, untuk melihat ungka bukanlah satu perkara

yang mudah bagi kami. Hal ini demikian, kerana semasa tempoh perjalanan menjejak ungka

ini, Pak Eksop dapat melihat ungka sebanyak empat kali. Kami hanya dapat melihat setelah
Pak Eksop menunjukkan kepada kami buat kali keempat. Dalam keadaan berhati-hati dalam

setiap langkah Pak Eksop membisik kepada kami “lihat ada ungka di atas sana” sambil

memberikan petunjuk menggunakan tangannya. Kami cuba menumpukan perhatian terhadap

arah yang ditunjukkan oleh Pak Eksop tetapi kami gagal untuk melihat ungka buat kali

pertama. Sehingga kali keempat barulah kami berjaya melihat ungka. Kesempatan melihat

ungka yang sedang melompat daripada satu pokok kepada pokok yang lain memberikan satu

perasaan yang sangat teruja bagi kami kerana ia merupakan satu pengalaman pertama dapat

melihat habitat tersebut secara langsung.

Melalui hasil pemerhatian dalam kajian ini, dapat dilihat bahawa kemahiran deria

Batek sangat tinggi. Dalam suasana hutan tropika kadang-kala penglihatan mata menjadi

sangat terhad untuk melihat secara jelas kerana dikelilingi dengan keadaan pokok-pokok.

Oleh itu, deria pendengaran yang tajam orang Batek dijadikan sebagai panduan untuk

menjejaki ungka. Orang asli Batek mempunyai kebolehan dimana mereka boleh

menganggarkan jarak ungka itu hanya berpandukan kepada bunyi yang dihasilkan.

Berdasarkan bunyi tersebut mereka boleh membuat keputusan untuk memilih laluan yang

sesuai untuk menjejaki ungka. Laluan yang dipilih tidak semestinya mempunyai denai tetapi

boleh terjadi melalui laluan yang tidak mempunyai denai. Situasi ini bergantung kepada

bunyi yang dihasilkan oleh ungka.

Perjalanan menjejaki ungka bersama orang Batek telah mendedahkan kami kepada

kehidupan ungka yang merangkumi cara hidup ungka, makanan, dan keluarga ungka. Data

tentang ungka ini diperolohi melalui temubual bersama orang Batek (Pak Eksop) sepanjang

tempoh menjejaki ungka dan temubual di kem perkhemahan bersama Pak Hermanto.

Berdasarkan hasil kajian, kami mendapati bahawa ungka merupakan spesis haiwan yang

hanya tinggal diatas pokok sepanjang masa dan tidak turun ke darat. Daripada pengetahuan

awal, kami beranggapan bahawa ungka akan turun ke daratan untuk minum air. Namun
pengetahuan itu disangkal melalui hasil dapatan kajian, ungka mendapat minuman daripada

‘lopak’ yang terdapat di atas pokok. Selain itu, ungka tidak mempunyai penempatan kekal

kerena ungka merupakan satu spesis yang hidup secara nomad. Hal ini demikian, ungka

tinggal disatu pokok bergantung kepada sumber makanan yang ada, jika sumber makanan

tersebut habis mereka akan berpindah kepada pokok yang lain. Menurut orang Batek (Pak

Eksop) ungka meminati buah yang mempunyai rasa masam-manis. Antara pokok yang

menjadi sumber makanan ungka ialah pokok kelat, pokok memaying, pokok membulan dan

pokok mejuk.

Dalam konteks, populasi haiwan atas pokok yang lain, menurut orang Batek ungka

dan lutong mempunyai hubungan yang baik dan kedua-dua spesis ini boleh berkongsi

makananan yang sama. Namun demikian, ungka dan siamang tidak mempunyai hubungan

yang baik, spesis ini tidak boleh berkongsi makanan. Menurut orang Batek (Pak Eksop)

siamang takut pada ungka kerana ungka mempunyai tanda yang berwarna hitam pada dahi,

pergelangan tangan dan kaki. Keadaan warna ungka tersebut menyebabkan siamang berasa

takut terhadap ungka. Dalam kehidupan keluarga pula, ungka jantan tidak membantu ungka

betina dalam konteks ‘mengendong anak’, ini berbeza dengan populasi kehidupan siamang;

siamang jantan akan membantu siamang betina dalam ‘mengendong anak’.

Laluan trek yang dipenuhi oleh pokok-pokok semasa perjalanan menjejaki ungka

telah memberikan kami satu perspektif baru tentang orang asli Batek. Mereka bukan sahaja

memiliki kemahiran dalam menjejaki ungka berdasarkan pengalaman lampau dalam

memburu ungka. Orang asli Batek juga memiliki pengetahuan yang tinggi dalam mengenali

jenis tumbuh-tumbuhan yang boleh digunakan sebagai tujuan perubatan mereka. Antara

tumbuh-tumbuhan yang dijumpai diperkenalkan oleh orang Batek (Pak Eksop) kepada kami;

ialah daun misai baung yang boleh digunakan untuk menghilangkan sengal badan, dan getang

gajah untuk menghentikan pengaliran darah apabila luka.


Semasa perjalanan melalui kawasan habitat ungka kami juga mendapati bahawa orang

Batek mempunyai kemahiran menghidu sangat tinggi. Semasa perjalanan kami bersama

orang Batek (Pak Eksop) dalam mencari ungka, kami juga menjumpai air kencing lutong

pada daun yang diberitahu oleh (Pak Eksop) mengenai penjumpaan kami ini. Berdasarkan

(Pak Eksop) air kencing lutong ini masih baru kerana masih mempunyai titisan air atas daun

tersebut. Kami sangat kagum terhadap pengetahuan orang Batek mengenai bau yang

disampaikan dari air kencing itu. Perkara yang lebih menarik ialah mengenai bagaimana

mereka mengetahui haiwan yang kencing itu berdasarkan bau sahaja. Ini lebih menjelaskan

mengenai kemahiran menghidu mereka yang telah disebut dalam atikel “tracking with Batek

hunter-gatherers of Malaysia”.

Suasana di kem perkhemahan bersama orang Batek merupakan satu pengalaman yang

sangat mengembirakan semasa proses pengutipan data melalui temubual. Pada awalnya, kami

mempunyai persepsi bahawa hubungan interaksi sukar dijalinkan bersama orang Batek

kerana kami merupakan orang luar. Namun demikian, semasa proses temubual bersama

orang Batek kami tidak menyangka bahawa mereka juga seorang yang peramah dan pandai

‘berjenaka’ yang membuatkan kami ketawa. Semasa sedang sibuk temubual tiba-tiba Pak

Hermanto berkata “ada dengar bunyi kereta masuk” dan secara tiba-tiba suasana menjadi

senyap kerana kami juga ingin mendengar bunyi tersebut tetapi kami gagal untuk mendengar

bunyi itu. Keadaan tersebut membuatkan kami semua sangat teruja akan kemahiran

mendengar orang Batek yang sangat tajam. Pak Eksop berjenaka; “pendengaran kami tajam,

pendengaran awak tu tumpul”.

Seterusnya, kami mengetahui bahawa Batek memanggil diri mereka batek hep (orang

hutan) melalui pembacaan dalam ‘tracking with Batek hunter-gatherers of Malaysia’. Melalui

temubual kami mempersoalkan adakah orang Batek pandai meniru suara haiwan di dalam

hutan kerana mereka telah mendiami kawasan ini sekian lama. Pak Hermanto; “jika pandai
tirulah tidak salah…, kami tidak tahu meniru bunyi haiwan”. Semasa perjalanan terakhir

kami menjejaki habitat ungka pada 2/11/19 9.33am kami berasa ‘terkejut’ dan perasaan teruja

apabila menyaksikan orang Batek (Pak Eksop) meniru bunyi Burung Engang secara tiba-tiba

dan ia bertentangan dengan hasil dapatan temubual pertama yang mengatakan mereka tidak

mengetahui cara meniru bunyi haiwan. Perkara itu, berlaku secara tidak sengaja dan kami

berpeluang menyaksikan orang Batek berinteraksi melalui bunyi dengan Burung Engang.

Daripada situasi itu, ia telah memperlihatkan bahawa pengetahuan orang Batek sangat meluas

tentang haiwan dan banyak pengetahuan orang Batek yang belum kami teroka dan ketahui

secara mendalam.

Kemahiran orang Batek juga dapat dilihat melalui pengetahuan mereka dalam

mengesan jejak haiwan yang melalui kawasan perjalanan kami menjejaki ungka. Sepanjang

perjalanan dengan orang Batek (Pak Eksop) kami dapat melihat bagaimana Batek sangat peka

akan tapak jejak yang telah ditinggalkan haiwan yang melalui kawasan tersebut. Kami

berpeluang melihat tapak yang ditinggalkan oleh babi sangat banyak, tapir, dan pelanduk.

Selain itu, perjalanan bersama orang Batek di kawasan hutan telah memberikan penemuan

terhadap pokok-pokok yang telah ditandakan warna merah oleh pembalak haram. Pokok-

pokok yang telah ditanda ini akan ditebang secara haram oleh golongan tidak

bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan penghuni asal dikawasan

tersebut iaitu orang asli Batek.

Perbincangan

Perspektif kami terhadap pengetahuan masyarakat Batek sebelum kajian ini berbeza

daripada apa yang diperolehi semasa kajian dijalankan. Batek adalah salah satu daripada

masyarakat yang masih mengekalkan konsep egalitarian. Apa yang kami peroleh dalam
kajian ini ialah mengenai tanggungjawab antara lelaki dan wanita dimana wanita lebih mahir

dalam mendapatkan hasil tumbuhan dan lelaki lebih kepada hasil buruan.

Walaubagaimanapun, berdasarkan temubual, tidak menjadi masalah kepada mereka jika

wanita juga ingin memburu dan lelaki juga mahir dalam pengetahuan mengenai tumbuhan.

Hasil pendapatan utama mereka adalah berdasarkan aktiviti pengumpulan dan perdagangan

rotan dan sebahagian daripada mereka kini berkerja sebagai penoreh getah dan mengutip

kelapa sawit. Kemahiran mereka khususnya lelaki mengenai kaedah buruan sangat tinggi.

Antara kemahiran mereka yang dapat kami perhatikan dan kagumi ialah pengunaan deria.

Kemahiran mendengar mereka sangat tajam sehingga mereka boleh menjejaki haiwan

buruan melalui pendengaran bunyi haiwan tersebut. Dalam kajian ini, kami dapat lihat

bagaimana mereka membawa kami untuk mencari ungka melalui bunyi yang didengari. Deria

penglihatan mereka juga sangat tajam untuk melihat sesuatu walau dari jarak yang jauh.

Dalam perjalanan kami mencari ungka, kami memerhati bagaimana mereka sangat peka

dalam mencari dan mengesan sesuatu haiwan dan tumbuhan dari jarak jauh yang tidak dapat

dilihat oleh kami pada jarak itu. Kemahiran mendaki mereka sangat baik. Pemerhatian kami

mengenai bagaimana mereka menjejaki laluan memberikan gambaran yang lebih jelas

mengenai orang batek bahawa mereka tidak banyak melihat bawah ketika memburu. Mereka

banyak memandang atas, kiri dan kanan semasa buruan berdasarkan haiwan buruan.

Kemahiran deria ini merupakan salah satu faktor kejayaan mereka mendapat buruan. Ini

sangat berbeza dengan perspektif kami iaitu tanggapan mengenai cara buruan mereka hanya

berdasarkan cubaan sahaja ‘try and error’ tanpa memerlukan kemahiran yang mendalam.

Selain itu, pengetahuan mereka mengenai haiwan khususnya ungka sangat mendalam

dan meluas. Dalam kajian ini, kami telah menemubual dua orang batek iaitu (pak eksop, dan

pak ermanto) mengenai kehidupan ungka. Dapatan yang kami perolehi sangat meluas

mengenai ungka tetapi hanya berdasarkan soalan yang ditanya oleh kami. Kami mendapati
kemahiran mereka ini adalah berdasarkan pengalaman mereka serta perkongsian antara

mereka mengenai ungka.

Kegiatan pertanian, pembalakan haram dan pemburuan haram juga memberi kesan

buruk kepada haiwan di kawasan kajian. Berdasarkan orang batek, penurunan kadar bilangan

haiwan khususnya ungka ini berkemungkinan daripada kelakuan ini. Kegiatan ini juga

menyebabkan mereka beralih daripada aktiviti memburu secara sepenuh masa dan sumber

pencarian untuk mencari pekerjaan. Perspektif kami mengenai permakanan mereka juga tidak

lagi relevan. Masyarakat batek kini tidak lagi memakan hasil buruan seperti ungka tetapi

memburu hanya sekadar memenuhi kepuasan.

Kesukaran yang dihadapi dalam kajian ini adalah disebabkan penggunaan bahasa

ketika menemubual mereka terlalu tinggi dan tidak mendalam. Namun, jawapan mereka dan

pemerhatian yang kami jalankan bersama mereka dalam menjejaki ungka memberi sedikit

pandangan jelas mengenai ungka dari segi makanan, tempat tinggal, makna dan perspektif

mereka mengenai haiwan kajian kami. Tidak dapat dinafikan kekurangan kami dari segi

persoalan dan pemerhatian yang kami jalankan tidak meluas dan kurang peka sepanjang

kajian ini, namun hasil yang kami perolehi sedikit sebanyak membantu membuka minda dan

menyangkal perspektif awal kami mengenai orang batek dan pengetahuan kami mengenai

ungka.

Kesimpulan

Kesimpulannya, perjalanan menjejaki ungka merupakan satu pembelajaran kepada kami

tentang pengetahuan orang Batek yang sangat ‘luar biasa’. Kemahiran orang Batek ini tidak

boleh disangkal lagi selepas kajian ini dijalankan. Apa yang dapat kami simpulkan mengenai

cara mencari dan mendapatkan ungka ialah pengunaan mata dan pendengaran sangat penting
bagi menjejaki ungka ini. Ini kerana kawasan habitat ungka berada di atas pokok yang

memerlukan kemahiran ini. Kami mendapati sedikit kesukaran untuk melakukan kajian ini

disebabkan kekurangan ketajaman penglihatan dan pendengaran kami jika dibandingkan

dengan orang Batek. Orang Batek juga boleh membezakan jarak sesebuah ungka itu daripada

kami berdasarkan bunyi yang disampaikan. Ini memberikan kami gambaran bahawa

disamping kemahiran, kepekaan juga sangat penting bagi mendapatkan haiwan-haiwan ini.

Sepanjang tempoh kajian kami bersama orang Batek (Pak Eksop) kami mendapati mereka

kurang bercakap dan lebih banyak memberikan fokus dalam pencarian berbanding kami yang

lebih banyak bercakap untuk mendapatkan maklumat. Setelah selesai kajian ini, kami banyak

mendapatkan pengetahuan mengenai ungka dan kemahiran memburu yang ditunjukkan oleh

orang Batek dan membantu kami untuk menyiapkan kajian ini. Selain itu, boleh dikatakan

secara keseluruhannya perspektif kami terhadap orang batek berubah. Kami sangat

mengagumi akan pengetahuan serta kemahiran orang batek, dimana mereka mempunyai

seribu satu kelebihan yang tidak kami milik. Kemungkinan boleh dikatakan kami mempunyai

kelebihan kerana kami mampu menggunakan teknologi, mengetahui kehidupan serba moden

yang ada pada masa kini, namun sebenarnya orang batek mempunyai lebih kelebihan

berkenaan kehidupan yang tidak dapat kami tandingi. Pengalaman selama 5 hari bersama

orang batek adalah suatu yang berharga, dimana selama 5 hari tersebut pelbagai pengetahuan

yang kami dapat daripada orang batek, dan selama 5 hari disana kami tidak diganggu oleh

sebarang teknologi serta media sosial. Kami dapat merasai apa itu sebenarnya keindahan

alam, serta dapat melatih diri untuk lebih peka terhadap persekitaran. Jadi kami berharap apa

yang kami dapati melalui orang batek dapat kami aplikasikan dalam kehidupan seharian di

bandar metropolitan ini.

Anda mungkin juga menyukai