Anda di halaman 1dari 25

1

BUKU PANDUAN

Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

KANDUNGAN

1. Pengenalan

2. Kelebihan Produk SRI Organik

3. Cara Membuat dan Mengguna IMO (Indigenous Micro Organism)

3.1 Cara Membuat IMO

3.2 Cara Mengguna IMO

3.2.1 IMO Sebagai Pereput Organik

3.2.2 Cara Mengguna IMO Di Sawah

3.2.3 Cara Mengguna IMO di Kebun Sayur

4. Panduan Membuat Ramuan SRI Organik

4.1 Cara Membuat Pati dan Baja SRI

4.1.1 Pati Kangkung

4.1.2 Pati Pisang

4.1.3 Baja Ikan

4.1.4 Baja Kulit Telur

4.1.5 Baja Tulang

2
4.2 Cara Membuat Ramuan Pencegah Perosak dan Penyakit

4.2.1 Ekstrak Tong Kui (nama saintifik Angelica acutiloba)

4.2.2 Ekstrak Kam Co (nama saintifik Glycyrrhiza urulensis)

4.2.3 Ekstrak Kulit Kayu Manis

4.2.4 Ekstrak Bawang Putih

4.2.5 Ekstrak Halia

4.3 Cara Membuat Tuak Ringan dan Tuak Berat

4.4 Cara Membuat dan Menggunakan Lain-lain Pencegah Perosak

4.4.1 Akar Seruntun (Pencegah serangga penghisap cecair tumbuhan)

4.4.2 Daun Semambu (Pencegah serangga perosak dan penyakit)

4.4.3 Buah Jering Matang (Pencegah tikus)

4.4.4 Tembakau (Pencegah serangga lelompat daun)

4.4.5 Labu Kayu

5. Cara Membuat Campuran Baja dan Pencegah Perosak Padi

5.1 Semburan Tanaman Padi Peringkat Muda

5.2 Semburan Tanaman Padi Peringkat Bunting Kecil

5.3 Semburan Tanaman Padi Selepas Terbit Bunga

5.4 Campuran Tambahan

5.5 Cara Mengguna SRI Anak, SRI Bunga dan SRI Buah

6. Penutup

3
BUKU PANDUAN

Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik

Prakata – Pemangku Pengarah CCSB

Penerbitan buku Panduan Membuat dan Mengguna Produk SRI Organik ini adalah satu usaha untuk
mengumpul cara membuat baja dan pencegah perosak tanaman yang menggunakan bahan mentah
tempatan. Produk SRI organik ini telah terbukti berupaya mengurangkan kos bertani bagi pesawah dan
pekebun sayur di Selangor, dan pada masa yang sama memberi alternatif bertani dalam keadaan yang
tidak terdedah kepada racun kimia.

Sejak tahun 2008, harga agrokimia seperti baja dan racun kimia terus meningkat. Petani terpaksa
mengeluarkan modal yang banyak untuk terus bertani. Dalam usaha untuk membantu golongan petani,
mulai tahun 2010 pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) telah mengambil langkah proaktif
untuk mengadakan penerangan dan kursus kepada golongan petani mengenai pendekatan tanpa kimia
kearah mengurangkan kos pengeluaran.

Selama dua tahun, iaitu 2011-2012, hampir 50 kursus ‘hands-on’ membuat produk SRI organik telah
dijalankan oleh Noorazimah Taharim, penasihat bidang pertanian MBI, dan Salehuddin Yahya, ketua
konsultan NS Nature Rice melalui inisiatif Jabatan Pertanian Negeri Selangor untuk mendedahkan
kaedah ini kepada petani. Adalah diharapkan ilmu membuat baja dan pencegah perosak tanaman
organik ini diabadikan dalam bentuk bahan bacaan yang boleh dirujuk pada masakini dan masa
hadapan.

Walaupun hingga kini sebanyak empat buah bengkel pengeluar produk SRI organik telah ditubuhkan di
kawasan sawah di negeri Selangor, buku ini akan memberi peluang kepada lebih ramai dari kalangan
petani untuk membuat sendiri produk SRI organik.

Diharapkan dengan adanya buku panduan ini, para petani dan usahawan tani dapat memanfaatkannya
di sawah dan kebun masing-masing. Jadikanlah ilmu yang dikongsikan dalam buku ini sebagai satu
warisan yang diturunkan dari generasi kini ke generasi akan datang.

Puan Rohany Dato’ Talib


Pemangku Pengurus Besar CCSB

4
1. Pengenalan

SRI adalah ringkasan bagi ‘System of Rice Intensification’, iaitu satu kaedah pengurusan tanaman padi
yang telah diterimapakai secara berperingkat oleh 50 buah negara. Dengan mengubahsuai kaedah
pengurusan tanaman, tanah, air dan nutrien, kita mampu mencapai potensi hasil padi tertinggi.

Dalam usaha untuk mencari jalan mengurangkan kos pengeluaran bagi pesawah di Selangor, Menteri
Besar Selangor (Pemerbadanan) telah merangka satu pakej pengurusan sawah yang separa-organik.
Pakej pengurusan ini mengambilkira enam prinsip ‘System of Rice Intensification’ dengan memberi
tumpuan khusus kepada penggunaan input organik dalam sistem persawahan. Pakej pengurusan ini
juga diberi ringkasan SRI, iaitu ringkasan bagi ‘Selangor Rice Initiative’ atau Inisiatif Persawahan
Selangor.

Selama ini, untuk mencapai hasrat meningkatkan hasil padi, petani digalakkan mengguna baja dan
racun kimia dalam kadar yang disyorkan. Pada masa yang sama, didapati bahawa harga baja dan
racun kimia kian meningkat sehingga ramai dari kalangan petani mengeluh. Tambahan pula,
penggunaan input kimia ini tidak semestinya menjamin hasil yang tinggi terutamanya apabila terkena
serangan perosak dan penyakit padi yang simtomnya gagal dikesan diperingkat awal.

Pada tahun 2009, kajian oleh pihak Universiti Putra Malaysia dan IADA Barat Laut Selangor
melaporkan bahawa pesawah di Selangor mengeluarkan belanja RM30 juta setahun untuk membeli
racun kimia. Perbelanjaan ini merupakan yang tertinggi dalam negara dan mendahului kawasan
pengeluaran sayuran Cameron Highlands dan juga kawasan persawahan MADA. Dengan peningkatan
harga input agrokimia, pendapatan petani makin menurun.

Dalam tahun 2012, pihak Universiti Kebangsaan Malaysia pula mengeluarkan laporan mengenai impak
racun kimia terhadap pesawah dan ekosistem. Kajian tersebut melaporkan 94 kes keracunan kimia
yang melibatkan 14 kematian daripada tahun 2005 – 2010 di Hospital Tanjung Karang, Selangor.

Dengan itu, sudah sampai masanya langkah diambil untuk menangani kos pengeluaran yang
membebankan dan mengurangkan pendedahan kepada racun kimia. Pada tahun 2011, produk SRI
organik diperkenalkan kepada pesawah di Selangor. Usaha ini mendapat sambutan yang
memberansangkan kerana penggunaannya disawah padi telah terbukti berupaya mengurangkan
kebergantungan terhadap agrokimia, dan secara langsung dapat mengurangkan kos bersawah.

2. Kelebihan Produk SRI Organik

Produk SRI organik berasaskan prinsip ‘natural farming’ yang telah digunakan di Korea, Jepun dan
China lebih daripada setengah abad yang lalu. Gerakan pertanian ‘natural farming’ juga digerakkan
secara global yang terbukti tidak menjejaskan pengeluaran ladang. Produk SRI organik menggunakan
bahan mentah yang boleh didapati disekeliling kampong dan juga dikedai tempatan. Oleh yang
demikian, kos untuk membuatnya adalah rendah, dan petani sendiri mampu membuatnya.

Oleh kerana kumpulan petani sendiri yang membuat produk SRI organik ini, maka harga produk
adalah murah berbanding dengan produk organik dalam pasaran. Dan lokasi bengkel pengeluar
produk SRI organik juga terletak dikawasan padi, adalah mudah petani mendapatkan bekalan untuk
kegunaan disawah masing-masing. Petani memilih mengguna produk ini apabila terbukti
keberkesanannya oleh jiran.

5
Sejak tahun 2011, penggunaan produk SRI organik makin mendapat tempat di hati petani di kawasan
sawah di Selangor. Ramai petani memberikan maklumbalas yang positif yang mana mereka
menyatakan bahawa pertumbuhan pokok padi lebih cergas dan mengeluarkan anak padi yang banyak.
Petani juga menyatakan bahawa pokok padi lebih sihat kerana kurang serangan perosak padi. Dengan
itu mereka dapat mengurangkan pembelian racun kimia. Langkah ini juga membantu mengurangkan
modal bersawah mereka.

Respon dari kalangan penanam sayur pula menekankan kepada pengurangan risiko bertani yang amat
ketara. Mereka tidak lagi bersusah payah menyediakan modal hingga RM5000 untuk menguruskan
kawalan serangga perosak dan penyakit bagi keluasan kebun 0.4 hektar (1 ekar). Produk SRI organik
yang diadun sendiri berupaya mengawal serangan perosak sehingga hasil dituai. Mereka juga
berkebolehan mengolah penggunaan racun kimia jika sangat perlu pada kadar dan kekerapan yang
minima.

Satu lagi respon yang sering didengari adalah betapa selesanya merekan membuat semburan produk
SRI organik tanpa perlu risaukan tentang kesan racun. Ini adalah kerana produk SRI organik hanya
menggunakan bahan mentah dari alam sekitar, dan sudah tentunya tidak membahayakan kesihatan
petani.

Adalah disyorkan agar pesawah terus menggunakan baja kimia yang dibekalkan oleh kerajaan. Produk
SRI organik digunakan sebagai semburan mencergaskan tanaman serta memberi pencegahan awal
daripada beberapa jenis perosak dan penyakit tanaman.

3. Cara Membuat dan Mengguna IMO (Indigenous Micro Organism)

Penggunaan baja dan racun kimia yang berlebihan dalam pertanian telah secara langsung
menjejaskan persekitaran alam semulajadi. Aktiviti menggunakan agrokimia menyebabkan kesuburan
tanah menurun dan kita berterusan mengharapkan kepada penambahan bahan kimia untuk pokok
mengeluarkan hasil yang tinggi.

Mengembalikan kesuburan tanah adalah penting bagi memastikan pertumbuhan pokok yang baik. Kita
perlu memberi peluang pelbagai mikrob dan hidupan seni dalam tanah hidup dan membiak.

Untuk tujuan itu, cara yang mudah untuk mengembalikan kesuburan tanah ialah dengan
menambahkan IMO ke dalam tanah. IMO mengandungi gabungan pelbagai jenis kulat, yis dan bakteria
yang hidup secara semulajadi di dalam tanah. Ia mempunyai peranan dalam memelihara kesuburan
tanah dan menjaga kesihatan pokok. IMO juga digunakan sebagai pereput jerami, sebagai baja dan
sebagai pencegah penyakit tumbuhan.

3.1 Cara Membuat IMO

Bahan-bahan

500 g nasi
500 g gula merah

6
Peralatan

1 tapis plastik (saiz sederhana)


1 helai plastik
1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Masak nasi dan biarkan sejuk. Masukkan nasi di dalam tapis nasi dengan menggunakan
senduk (jangan guna tangan).
b. Tutup bekas tersebut dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan
serangga masuk).
c. Kemudian letakkan tapis berisi nasi tadi di atas tanah di bawah perdu pohon buluh pada
sebelah pagi. Alihkan daun-daun kering, letakkan tapis ke atas permukaan tanah.
Kemudian letakkan daun-daun kering di atas tapis berisi nasi tersebut.
d. Selepas dua malam berlalu, ambil tapis berisi nasi tadi pada waktu pagi. (Pastikan
terdapat kulat putih di atas nasi. Jika nasi didapati basi, buang nasi tersebut dan buat
yang lain).
e. Gaulkan nasi yang mempunyai kulat berwarna putih tadi dengan gula merah.
f. Peram selama tujuh hari dalam bekas dan ditutup dengan kain. Selepas tujuh hari, IMO
telah terjadi. Simpan dalam bekas plastik dan tutup rapat.
g. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh siap.

3.2 Cara Mengguna IMO

3.2.1 IMO Sebagai Penyubur Tanah Organik

Jerami padi yang segar mengandungi baja N, P, K, Ca, Mg, Zn dan Si semulajadi. IMO
boleh digunakan untuk mengembalikan baja-baja semulajadi ini ke dalam tanah. Oleh itu,
jerami tidak perlu dibakar selepas menuai. Hancurkan jerami segar dengan mesin,
kemudian semburkan campuran IMO dan pati kangkung ke atas jerami. Bajak tanah seperti
biasa untuk memasukkan semua jerami ke dalam tanah. Jika tanah agak lembab, jerami
akan reput sepenuhnya dalam masa satu bulan.

3.2.2 Cara Mengguna IMO Di Sawah

a. Campurkan 350 ml IMO dan 350 ml baja kangkung ke dalam 200 liter air.
b. Semburkan ke atas jerami. Semburan paling baik dibuat tidak lebih dua hari selepas
menuai dan kemudian tanah sawah terus dibajak.
c. Kemudian diulang bajak selepas 20 hari.
d. Jerami akan reput sepenuhnya di antara empat hingga enam minggu selepas
dimasukkan ke dalam tanah.

Atau,

a. Jika musim hujan, atau sawah berair, sembur bahan pereput jerami sehari selepas padi
dituai dan terus membajak jerami hijau ke dalam tanah.
b. Jerami akan reput dalam tempoh tiga hingga empat minggu.

7
3.2.3 Cara Mengguna IMO di Kebun Sayur

a. Campurkan 350 ml IMO, 500 ml baja kangkung dan 500 ml baja ikan ke dalam 100 liter
air, dan sembur kepada rumput dan sisa tanaman yang ada di tanah.
b. Campuran tersebut boleh digunakan untuk batas sayuran seluas 0.7 hektar.
c. Campuran ini juga boleh menggantikan penggunaan baja tahi ayam.

4. Panduan Membuat Ramuan SRI Organik

4.1 Cara Membuat Pati dan Baja SRI

Pati dan baja SRI organik diperbuat daripada bahan yang mudah didapati seperti kangkung liar, buah
pisang, sisa ikan, tulang dan kulit telur. Ramuan ini dibuat dan disimpan secara berasingan.

4.1.1 Pati Kangkung

Kangkung liar dikutip pada awal pagi untuk mengekstrak enzim yang tersimpan di dalam pucuknya,
dan untuk mendapatkan pelbagai mikrob yang hidup di permukaan daunnya. Pati kangkung dibuat
dengan menggaulkan kangkung dengan gula merah dan diperam selama tujuh hari.

Untuk menggunakannya, 10 ml pati kangkung dicairkan dengan 10 liter air dan disembur kepada
bahagian daun dan tanah. Semburan sebaiknya dibuat semasa redup. Ini akan membantu
peresapan enzim dan merangsang pembiakan mikrob dan aktivitinya.

Pati kangkung digunakan untuk merangsang tanaman di peringkat awal pertumbuhan. Dengan
semburan pati kangkung, pokok padi akan mengeluarkan anak awal dan dalam bilangan yang lebih
banyak.

Tanaman lain yang cepat pertumbuhannya seperti rebung muda dan batang pisang muda juga
boleh digunakan mengganti kangkung. Tunas pokok timun boleh dijadikan pati khusus untuk
tanaman timun. Begitu juga tunas pokok tembikai boleh dijadikan pati khusus untuk tanaman
tembikai.

Bahan-bahan

3 kg kangkung
3 kg gula merah

Peralatan

1 baldi plastik

8
Cara-cara membuat

a. Kutip kangkung liar sebelum pukul 8 pagi. Buangkan bahagian akarnya (kangkung tidak
perlu dibasuh). Potong kangkung lebih kurang 3-5 cm.
b. Masukkan kangkung ke dalam baldi dan gaul dengan setengah bahagian gula merah.
Baki gula merah ditabur di lapisan atas dan padatkan.
c. Tutup baldi dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan serangga
masuk). Peram kangkung selama tujuh hari.
d. Catit nama bahan dan tarikh pati kangkung dibuat. Catitkan juga tarikh tujuh hari
selepas diperam.
e. Selepas tujuh hari, peraman kangkung ditapis untuk mendapatkan pati kangkung (tidak
perlu diperah).
f. Simpan pati kangkung tadi ke dalam bekas yang tidak kedap udara. Ketatkan tutup
selepas tiga minggu.
g. Labelkan bekas. Tulis nama serta tarikh ditapis. Boleh disimpan selama satu tahun
dengan memasukkan dua sudu besar gula merah setiap bulan.

4.1.2 Pati Pisang

Buah pisang yang masak ranum mengandungi khasiat yang boleh membantu pokok mengambil
makanan melalui daun dan akar. Semburan pati pisang juga boleh membantu memaniskan buah.

Untuk menggunakannya, campurkan 10 ml pati pisang dengan 10 liter air, dan sembur kepada
daun. Sebaiknya semburan dibuat semasa redup.

Pati pisang digunakan untuk merangsang pembungaan. Penggunaan pati pisang yang ditambah
dengan baja tulang, baja ikan serta cuka adalah campuran yang baik bagi merangsang
pembungaan.

Sebagai ganti buah pisang, buah-buah lain seperti betik, nenas, mangga dan jambu batu boleh
digunakan. Pilih buah yang masak ranum sahaja untuk dibuat pati buah. Pati buah limau boleh
digunakan tetapi hanya untuk pokok limau sahaja.

Bahan-bahan

3 kg buah pisang masak ranum


3 kg gula merah

Peralatan
1 Baldi Plastik

9
Cara-cara membuat

a. Potong buah pisang 1-2 cm. Kulit pisang tidak perlu buang atau dibasuh.
b. Masukkan pisang yang telah dipotong ke dalam baldi setebal 8 cm, kemudian taburkan
satu lapis gula merah. Ulangi dengan memasukkan pisang dan gula merah secara
berlapis-lapis, bermula dengan pisang dan diakhiri dengan gula merah.
c. Tutup baldi tersebut dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan
serangga masuk) dan letak ditempat yang teduh. Peram selama tujuh hari.
d. Catitkan nama bahan dan tarikh pati pisang dibuat. Catitkan juga tarikh selepas tujuh
hari diperam.
e. Selepas tujuh hari, peraman pisang ditapis untuk mendapatkan pati pisang (tidak perlu
diperah).
f. Simpan pati kangkung tadi ke dalam bekas yang tidak kedap udara. Ketatkan tutup
selepas tiga minggu.
g. Labelkan bekas. Tulis nama serta tarikh ditapis. Boleh disimpan selama satu tahun
dengan memasukkan dua sudu besar gula merah setiap bulan.

4.1.3 Baja Ikan

Semua bahagian ikan seperti isi, kepala, tulang dan isi perut boleh digunakan untuk dijadikan baja.
Semua bahagian ikan digaul bersama gula merah dan diperam selama 30 hari untuk dijadikan pati
ikan.

Baja ikan mengandungi asid amino dan nitrogen. Baja ikan disembur kepada daun dan permukaan
tanah untuk merangsang pertumbuhan pokok dengan menguraikan nutrien dalam tanah supaya
mudah diambil oleh akar.

Kadar yang digunakan adalah satu sudu besar baja ikan dicampur dengan 10 liter air.

Bahan-bahan

3 kg ikan (boleh guna sisa ikan segar)


3 kg gula merah
0.5 liter air beras (air cucian beras yang disimpan selama dua hari)

Peralatan

1 baldi plastik

Cara-cara membuat

a. Ikan dipotong kecil-kecil (jangan dibasuh). Masukkan ikan ke dalam baldi dan gaul
dengan gula merah.
b. Tutupkan baldi dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan serangga
masuk). Peram selama 10 hari ditempat yang redup.
c. Pada hari ke-10, masukkan 0.5 liter air beras dan kacau. Kemudian tutup semula baldi
dengan kain bersih tadi dan diikat semula. Ikan diperam lagi selama 20 hari.
d. Tapis pada hari ke-30 untuk mendapatkan cecair baja ikan. Simpan cecair baja ikan tadi
di dalam bekas tertutup.
e. Label serta tuliskan tarikh ditapis.
10
4.1.4 Baja Kulit Telur

Kulit telur ayam adalah satu sumber kalsium yang baik untuk tanaman. Untuk menggunanya, kulit
telur perlu digoreng kering (tanpa minyak) untuk mengasingkan selaput putih, dan kemudian
direndam dalam cuka asli selama 30 hari.

Bagi tanaman buahan, baja kulit telur sesuai disembur semasa pokok sudah mula mengeluarkan
putik buah. Untuk mendapatkan buah yang manis, campurkan sedikit air laut dalam semburan.
Kadar yang digunakan adalah 1½ sudu besar baja kulit telur, dan ½ cawan air laut dicampur
dengan 10 liter air. Semburkan ke atas daun.

Bahan-bahan

0.5 kg kulit telur


5 liter cuka asli

Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Tuang cuka ke dalam bekas plastik.


b. Kulit telur digoreng dalam kuali (tanpa minyak) hingga kering dan kekuningan. Biarkan
kulit telur sejuk.
c. Masukkan kulit telur ke dalam cuka.
d. Tutup bekas dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan serangga
masuk).
e. Peram selama 30 hari.
f. Tapis selepas 30 hari untuk mendapatkan larutan baja kulit telur.
g. Simpan baja kulit telur di dalam bekas yang tertutup.
h. Label bekas dan tuliskan tarikh ditapis.

4.1.5 Baja Tulang

Pelbagai jenis tulang seperti tulang lembu, kerbau atau kambing boleh digunakan. Baja tulang
merangsang pertumbuhan akar dan ini membantu peresapan air dan nutrien di dalam pokok.
Pokok akan jadi sihat dan kuat.

Gunakan 1½ sudu besar baja tulang dengan 10 liter air. Semburkan kepada daun untuk
merangsang pembungaan.

Bahan-bahan

2 kg tulang (boleh gunakan tulang lembu, kambing atau kerbau)


5 liter cuka asli
11
Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Tulang dibakar terlebih dahulu untuk menghilangkan semua lemak dan isi daging, dan
biarkan sejuk.
b. Tuangkan cuka ke dalam bekas. Kemudian masukkan tulang ke dalam cuka.
c. Tutupkan bekas dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan
serangga masuk). Peram selama 30 hari.
d. Tapis selepas 30 hari untuk mendapatkan larutan baja tulang
e. Simpan baja tulang di dalam bekas yang ditutup.
f. Label bekas dan tulis tarikh ditapis.

4.2 Cara Membuat Ramuan Pencegah Perosak dan Penyakit

Lima jenis campuran ekstrak SRI organik digunakan untuk menghindarkan serangga perosak dan
penyakit tumbuhan. Ia meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman dengan mencegah serangan kulat
dan bakteria yang boleh membawa penyakit.

Bahan yang digunakan adalah bawang putih, halia dan kulit kayu manis. Di samping itu, dua lagi bahan
iaitu tong kui dan kam co adalah akar kayu yang boleh didapati dari kedai ubat Cina.

Tuak ringan dan tuak berat digunakan untuk mengekstrak khasiat dari kelima-lima jenis bahan ini. Cara
untuk mendapatkan tuak ringan dan tuak berat daripada nira nipah diterangkan dalam topik 4.

Kadar campuran ekstrak adalah:


2 bahagian tong kui
1 bahagian kam co
1 bahagian kulit kayu manis
1 bahagian bawang putih
1 bahagian halia

Untuk digunakan dalam semburan, campurkan 10 ml campuran ini ke dalam 10 liter air. Semburkan
kepada daun dan juga permukaan tanah.

12
4.2.1 Ekstrak Tong Kui (nama saintifik Angelica acutiloba)

Ekstrak akar kayu tong kui mengandungi coumarin yang berupaya menghalang penyakit tumbuhan
yang disebabkan oleh kulat. Akar tong kui ini mempunyai rasa yang pahit.

Bahan-bahan

150 g tong kui


200 g gula merah
500 ml tuak ringan
1 liter tuak berat

Peralatan

1 bekas plastik (3 liter)

Cara-cara membuat

a. Letakkan tong kui di dalam bekas plastik. Tuangkan tuak ringan dan biarkan selama dua
hari untuk melembutkan tong kui.
b. Selepas dua hari masukkan gula merah dan kacau. Tutupkan bekas tersebut dengan kain
bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan serangga masuk). Peram tong kui
selama lima hari.
c. Selepas lima hari, tuangkan tuak berat.
d. Kacau dan tutup semula dengan penutup yang kedap udara selama 10 hari lagi.
e. Selepas 10 hari, tapis ekstrak tong kui dan simpan dalam bekas plastik yang ditutup ketat.
Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.
f. Tong kui boleh diulangpakai dengan memasukkan 100 g gula merah dan 700 ml tuak berat.
Tapis selepas 10 hari. Tong kui boleh di ulangpakai sebanyak tiga kali tetapi dengan
mengurangkan kadar gula merah dan tuak berat setiap kali ulangan.

4.2.2 Ekstrak Kam Co (nama saintifik Glycyrrhiza urulensis)

Ekstrak kam co mengandungi bahan glycyrrhizin yang juga anti-bakteria dan anti-virus. Oleh itu,
ekstrak ini boleh menghindarkan penyakit tumbuhan yang disebabkan oleh bakteria atau virus.

Bahan-bahan

120 g kam co
120 g gula merah
500 ml tuak ringan
700 ml tuak berat

Peralatan

1 bekas plastik (3 liter)

13
Cara-cara membuat

a. Letakkan kam co ke dalam bekas plastik. Tuangkan tuak ringan dan biarkan selama dua
hari untuk melembutkan kam co.
b. Selepas dua hari masukkan gula merah dan kacau. Tutupkan bekas tersebut dengan kain
bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan serangga masuk). Peram kam co selama
lima hari.
c. Selapas lima hari, tuangkan tuak berat.
d. Kacau dan tutup semula dengan penutup yang kedap udara selama 10 hari lagi.
e. Selepas 10 hari, tapis ekstrak kam co dan simpan dalam bekas plastik yang ditutup ketat.
Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.
f. Kam co boleh diulangpakai dengan memasukkan 100 g gula merah dan 700 ml tuak berat.
Tapis selepas 10 hari. Kam co boleh di ulangpakai sebanyak tiga kali tetapi dengan
mengurangkan kadar gula merah dan tuak berat setiap kali ulangan.

4.2.3 Ekstrak Kulit Kayu Manis

Ekstrak kulit kayu manis mengandungi bahan cinnamaldehyde yang mengawal kulat, bakteria dan
virus yang menyerang tumbuhan. Ekstrak kulit kayu manis boleh diguna untuk membunuh jentik-
jentik nyamuk dalam air bertakung.

Bahan-bahan

300 g kulit kayu manis


300 g gula merah
500 ml tuak ringan
750 ml tuak berat

Peralatan

1 bekas plastik (3 liter)

Cara-cara membuat

a. Letakkan kulit kayu manis ke dalam bekas plastik. Tuangkan tuak ringan dan biarkan
selama dua hari untuk melembutkan kulit kayu manis.
b. Selepas dua hari masukkan gula merah dan kacau. Tutupkan bekas tersebut dengan kain
bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan serangga masuk). Peram kulit kayu
manis selama lima hari.
c. Selepas lima hari, tuangkan tuak berat.
d. Kacau dan tutup semula dengan tutup yang kedap udara selama 10 hari lagi.
e. Selepas 10 hari, tapis ekstrak kulit kayu manis dan simpan dalam bekas plastik yang ditutup
ketat. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.
f. Kulit kayu manis boleh diulangpakai dengan memasukkan 100 g gula merah dan 700 ml
tuak berat. Tapis selepas 10 hari. Kulit kayu manis boleh di ulangpakai sebanyak tiga kali
tetapi dengan mengurangkan kadar gula merah dan tuak berat setiap kali ulangan.

14
4.2.4 Ekstrak Bawang Putih

Ekstrak bawang putih boleh menghindar serangga perosak dan juga penyakit kulat pada tumbuhan.

Bahan-bahan

500 g bawang putih


500 g gula merah
1 liter tuak berat

Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Bawang putih dipotong dua tanpa dibuang kulit. Jangan dibasuh.


b. Masukkan bawang putih ke dalam bekas plastik dan gaulkan dengan gula merah.
c. Tutup bekas tersebut dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan
serangga masuk). Peram selama lima hari.
d. Selepas lima hari, tuangkan tuak berat ke dalam bekas. Peram selama 10 hari lagi.
e. Selepas 10 hari, tapis larutan bawang putih untuk mendapatkan ekstraknya.
f. Simpan ekstrak bawang putih di dalam bekas yang ditutup rapat.
g. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.
h. Sisa bawang putih boleh diguna semula dengan menambah 300 gram gula merah dan 700
ml tuak berat. Ulangpakai ini boleh dibuat sebanyak tiga kali tetapi dengan mengurangkan
kadar gula merah dan tuak berat setiap kali ulangan.

4.2.5 Ekstrak Halia

Ekstrak kulit kayu manis mengandungi bahan yang anti-kulat untuk mengawal penyakit tumbuhan
disebabkan oleh kulat.

700 g halia
700 g gula merah
1 liter tuak berat

Peralatan

1 bekas plastik

15
Cara-cara membuat

a. Halia dipotong selebar 1 cm tanpa dibuang kulit juga jangan dibasuh.


b. Masukkan halia ke dalam bekas plastik dan gaulkan dengan gula merah.
c. Tutup bekas tersebut dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan
serangga masuk). Peram selama lima hari.
d. Selepas lima hari, tuangkan tuak berat ke dalam bekas. Peram selama 10 hari lagi.
e. Selepas 10 hari, tapis larutan halia untuk mendapatkan ekstraknya.
f. Simpan ekstrak halia di dalam bekas yang ditutup rapat.
g. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.
h. Sisa halia boleh diguna semula dengan menambah 300 gram gula merah dan 700 ml tuak
berat. Ulangpakai ini boleh dibuat sebanyak tiga kali dengan mengurangkan kadar gula
merah dan tuak berat setiap kali ulangan.

4.3 Cara Membuat Tuak Ringan dan Tuak Berat

Tuak ringan dan tuak berat diperlukan untuk membuat ekstrak pencegah serangga prosak dan
penyakit SRI organik. Tuak ringan mengandungi 15 peratus alkohol. Tuak berat pula
mengandungi 37 peratus alkohol.

Cara-cara membuat

a. Nira nipah yang beku hendaklah dibiarkan sehingga cair dan suhunya sama dengan suhu
bilik.
b. Biarkan nira nipah di dalam botol selama 3 jam. Tuak ringan terbentuk apabila nira bertukar
dari warna kekuningan menjadi warna keputihan dan mempunyai buih dipermukaannya.
c. Untuk membuat tuak berat pula, nira perlu dibiar selama lebih daripada 12 jam. Tuak berat
juga berwarna keputihan dan mempunyai lebih banyak buih di atas permukaannya.

4.4 Cara Membuat dan Menggunakan Lain-lain Pencegah Perosak

Berbagai jenis tumbuhan juga boleh digunakan sebagai pencegah pelbagai makhluk perosak.
Ramuan ini boleh dicampur bersama campuran pati, baja dan ekstrak SRI organik untuk disembur
kepada tanaman padi.

4.4.1 Akar Seruntun (Pencegah serangga penghisap cecair tumbuhan)

Nama lain bagi akar seruntun adalah patawali, putawali, putarwali atau petawali. Pokok akar
seruntun adalah sejenis pokok yang memanjat. Batangnya mempunyai bintil-bintil dan berisi
dengan getah putih yang pahit rasanya.

16
Bahan-bahan

1 kg batang akar seruntun


4 liter air

Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Potong batang akar seruntun kecil-kecil.


b. Masukkan akar seruntun dahulu ke dalam bekas, kemudian barulah dituangkan air.
c. Peram selama dua hari.
d. Setelah itu, tapis larutan akar seruntun untuk mendapatkan cecair akar seruntun.
e. Simpan cecair akar seruntun tersebut di dalam botol atau bekas dan ditutup.
f. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.

Cara penggunaan

a. Masukkan 150 ml air akar seruntun ke dalam tong penyembur yang berisi 20 liter air.
b. Sembur kepada pokok padi.

4.4.2 Daun Semambu (Pencegah serangga perosak dan penyakit)

Pokok semambu juga dikenali dengan nama pokok mambu, nim atau neem. Daun pokok ini
sering digunakan sebagai ubat tradisional. Daunnya juga bersifat anti-serangga dan anti-
penyakit bagi tanaman.

Bahan-bahan

500 g daun semambu


3 liter air

Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Ramaskan daun semambu dan masukkan ke dalam bekas.


b. Tuangkan air dan gaul hingga daun semambu tenggelam.
c. Rendam selama 12 jam.
d. Kemudian tapis daun semambu untuk mendapatkan airnya.
e. Air daun semambu hendaklah terus digunakan untuk disembur ke sawah.

17
Cara penggunaan

a. Masukkan 200 ml air daun semambu ke dalam tong penyembur yang berisi 20 liter air.
b. Sembur kepada pokok padi.

4.4.3 Buah Jering Matang (Pencegah tikus)

Jering juga dikenali sebagai jenkol dan apabila dimakan mengeluarkan bau yang busuk. Buah
jering mengandungi asid djenkolic. Air peraman buah jering tua boleh menghalau tikus dan ini
boleh digunakan di sawah untuk menjaga pokok padi.

Bahan-bahan

1 kg buah jering matang


3 liter air

Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Buangkan kulit luar jering dan semai di dalam pasir yang disiram air. Akarnya akan
keluar selepas beberapa hari.
b. Hiris jering sederhana besar dan masukkan di dalam bekas.
c. Tuangkan 3 liter air hujan atau air sungai ke dalam bekas berisi jering tadi (elakkan
daripada menggunakan air paip)
d. Biarkan selama tiga hari (air akan bertukar warna keputihan). Tapis untuk mendapatkan
cecair jering.
e. Simpan cecair jering tersebut di dalam bekas dan ditutup.
f. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.

Cara penggunaan

a. Masukkan 150 ml air jering ke dalam tong penyembur yang berisi 20 liter air.
b. Sembur ke atas batas sawah. Juga boleh disembur ke seluruh sawah jika mahu.

4.4.4 Tembakau (Pencegah serangga lelompat daun)

Untuk tujuan ini, beli tembakau jawa dari kedai runcit. Tembakau ini adalah yang selalunya
digunakan untuk buat rokok gulung. Air larutan tembakau jawa disembur ke atas tanaman
untuk menghalau serangga lelompat daun.

Bahan-bahan

250 g tembakau kering


5 liter air

18
Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Rebus air sehingga mendidih.


b. Masukkan tembakau kering ke dalam bekas.
c. Tuangkan air panas ke dalam bekas berisi tembakau tadi.
d. Biarkan selama 24 jam.
e. Tapis larutan tembakau dan simpan dalam bekas bertutup..
f. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.

Cara penggunaan

a. Masukkan 200 ml air tembakau ke dalam tong penyembur yang berisi 20 liter air.
b. Semburkan pada tanaman padi di sawah.

4.4.5 Labu Kayu

Labu kayu juga dikenali sebagai labu hutan atau buah lantung. Ekstrak labu kayu mengandungi
bahan baja dan juga pencegah perosak dan penyakit tanaman. Ia boleh digunakan sebagai
tambahan kepada campuran semburan biasa.

Bahan-bahan

1 kg isi labu kayu


1 kg gula merah

Peralatan

1 bekas plastik

Cara-cara membuat

a. Korek isi labu kayu dan masukkan ke dalam bekas.


b. Gaulkan isi labu kayu dan gula merah sehingga sebati.
c. Tutup bekas tersebut dengan kain bersih dan ikat dengan getah (untuk mengelakkan
serangga masuk).
d. Peram labu kayu selama 15 hari.
e. Selepas 15 hari, tapis labu kayu untuk mendapatkan patinya.
f. Simpan pati labu kayu tadi di dalam bekas dan ditutup (jangan terlalu tutup terlalu rapat).
g. Labelkan bekas dan tuliskan tarikh ditapis.

Cara penggunaan

c. Masukkan 50 ml larutan labu kayu ke dalam tong penyembur yang berisi 20 liter air.
d. Semburkan pada tanaman padi di sawah.

19
5. Cara Membuat Campuran Baja dan Pencegah Perosak Padi

5.1 SRI ANAK : Semburan Tanaman Padi Peringkat Muda

Bagi pokok yang masih pada peringkat pertumbuhan awal iaitu pada umur pokok kurang
daripada 35 hari, gunakan kadar campuran berikut. Campuran ini dibancuh dalam 200
liter air dan cukup untuk sawah seluas satu hektar. Ia berfungsi untuk memacu
pertumbuhan awal tanaman.

 200 ml baja ikan


 240 ml baja tulang
 440 ml pati kangkung
 280 ml cuka
 64 ml ekstrak bawang putih
 64 ml ekstrak halia
 64 ml ekstrak kulit kayu manis
 64 ml ekstrak kam co
 128 ml ekstrak tong kui

Jumlah campuran di atas ini adalah mencukupi untuk satu kali semburan bagi sawah seluas
satu hektar.

Semburan dilakukan ketika padi berumur 15 hari, dan sekali lagi disembur ketika padi berumur
25 hari.

5.2 SRI BUNGA : Semburan Tanaman Padi Peringkat Bunting Kecil

Padi akan mengeluarkan anak sehingga 60 hari. Akan tetapi kita hanya perlu
mengekalkan anak padi yang keluar sebelum 35 hari sahaja. Ini adalah kerana anak-
anak padi yang keluar selepas 35 hari tidak akan mengeluarkan tangkai buah.
Campuran di bawah ini adalah untuk satu hektar sawah dan dibancuh di dalam 200 liter
air. Ia berfungsi untuk merangsang pembungaan dan seterusnya pembuahan.

 200 ml baja ikan


 300 ml baja tulang
 400 ml baja pisang
 400 ml cuka
 64 ml ekstrak bawang putih
 64 ml ekstrak halia
 64 ml ekstrak kulit kayu manis
 64 ml ekstrak kam co
 128 ml ekstrak tong kui
 6 liter air laut (ditambah semasa hendak membuat semburan)

20
Jumlah campuran ini cukup untuk satu kali semburan.
Semburan hendaklah dilakukan ketika padi berumur 45 hari. Boleh juga diberi semburan
tambahan pada 55 hari lepas tanam.

5.3 SRI BUAH : Semburan Tanaman Padi Selepas Terbit Bunga

Campuran di bawah ini adalah untuk satu hektar sawah dan dibancuh dalam 200 liter
air. Ia berfungsi untuk meningkatkan kualiti buah.

 200 ml baja ikan


 260 ml baja kulit telur
 400 ml baja pisang
 300 ml cuka nipah
 64 ml ekstrak halia
 64 ml ekstrak bawang putih
 64 ml ekstrak kulit kayu manis
 64 ml ekstrak kam co
 128 ml ekstrak tong kui
 8 liter air laut (ditambah semasa hendak membuat semburan)

Jumlah campuran ini cukup untuk satu kali semburan.


Semburan pertama dilakukan ketika padi berumur 65 hari.
Semburan kedua dilakukan ketika berumur 75 hari.
Semburan ketiga dilakukan ketika padi berumur 85 hari.

5.4 Campuran Tambahan

Semua bancuhan di atas boleh ditambah dengan mana-mana ramuan lain dalam kadar
150 ml untuk 200 liter air. Contohnya, untuk menghindarkan tikus, air peraman buah
jering tua boleh dicampurkan. Jika didapati ada serangan bena perang, air tembakau
boleh dicampurkan ke dalam semburan. Kita boleh menggunakan campuran tambahan
untuk menambahkan keberkesanan mencegah serangan perosak padi.

21
5.5 Cara Mengguna SRI Anak, SRI Bunga dan SRI Buah

Bagi tanaman padi, jadual di bawah ini boleh digunakan sebagai panduan untuk
pesawah yang ada 1.2 hektar tanah.

Hari Aktiviti Di Sawah Jenis & Bilangan Input Catatan


Lepas untuk 1.2 hektar sawah
Tanam

1 10.00 pagi – Tanam padi


menggunakan mesin
transplanter

3 Masukkan air ke sawah

15 Taburkan baja subsidi Baja


subsidi
kerajaan

18 Sembur produk SRI Anak 2 liter SRI Anak

35 Taburkan baja subsidi Baja


subsidi
kerajaan

45 Sembur produk SRI 2 liter SRI Bunga + 6


Bunga+ air laut liter air laut

50 Taburkan baja insentif Baja


insentif
kerajaan

70-75 Bila padi mula terbit – 2 liter SRI Buah + 6


Sembur produk SRI Buah liter air laut
+ air laut

80-85 Bila buah padi tunduk dan 2 liter SRI Buah + 6


tukar warna kekuningan- liter air laut

Sembur produk SRI Buah


+ air laut

22
6. Penutup

Buku ini telah disudun dengan cara paling mudah bagi membolehkan pembaca memahami dan
mengamalkan terus panduan yang diberi. Foto dan rajah yang disediakan juga diharap
membantu pembaca melakukannya sendiri. Akhir sekali kepada semua diucapkan ’Selamat
Mencuba’.

GLOSARI

SRI - System of Rice Intensification (Sistem Intensifikasi Padi)

S.R.I. - Selangor Rice Initiative (Inisiatif Persawahan Selangor)

MADA - Muda Agricultural Development Authority

IMO - Indigenous Micro Organism (Mikro Organisme Tempatan)

MBI - Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)

IADA - Integrated Agricultural Development Area

23
BIODATA PENULIS

Salehuddin Yahya (Pak Tam) memulakan kariernya dalam Jabatan Pertanian dan memainkan peranan
yang aktif dalam mengubah corak pertanian tradisional di kawasan padi barat laut Selangor kepada
pertanian moden. Beliau merupakan salah seorang ’pioneer’ dalam menengahkan kaedah penanaman
tabur terus padi untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga manusia dalam penanaman padi di
Selangor dalam tahun ’80an. Beliau kemudiannya menyertai BERNAS pada pertengahan ’90an dan
berperanan dalam penubuhan sebuah syarikat pengeluar benih padi, dan seterusnya mengetuai
bahagian perladangan padi dalam BERNAS. Kini beliau merupakan ketua konsultan dalam NS
NATURE RICE, sebuah firma perunding pertanian miliknya yang berdaftar dengan Kementerian
Kewangan. NS NATURE RICE menawarkan khidmat perundingan pembangunan kawasan padi,
pengeluaran beras SRI (System of Rice Intensification) organik, latihan pengurusan persawahan, dan
latihan perladangan organik. Perkembangan kerjanya dengan SRI tertera di
http://facebook.com/sri.organik.malaysia dan blognya http://sripadimalaysia.blogspot.com/

Noorazimah Taharim (Mak Tam) mempunyai pengalaman yang luas dalam merencana strategi bagi
program pembangunan pertanian. Beliau mengetuai kumpulan pengarang dalam penerbitan buku
”Seratus Tahun Menerajui Kecemerlangan Pertanian” Jabatan Pertanian pada tahun 2005. Pada tahun
2008, sebagai Pengarah Pertanian Negeri Selangor, beliau telah merangka dan memulakan Program
Meningkatkan Hasil Padi Selangor (2009-2013). Program ini adalah salah satu Pakej Ransangan
Ekonomi Negeri Selangor dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi dan pendapatan pesawah.
Sejak 2009, beliau adalah penasihat bidang pertanian di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)
dengan tumpuan kepada peningkatan pendapatan pesawah. Beliau percaya bahawa SRI (System of
Rice Intensification) yang telah diterimapakai oleh 50 negara didunia adalah merupakan satu kaedah
alternatif yang mempunyai potensi tinggi dalam peningkatan hasil padi, khususnya, dan memacu
kelestarian pertanian, amnya. Pada 13 Disember 2012, Noorazimah telah menerima anugerah
“SRIKANDI PADI” daripada Dato’ Menteri Besar atas sumbangannya dalam usaha meningkatkan
pendapatan pesawah di negeri Selangor. Perkembangan kaedah SRI boleh diikuti di blognya,
http://pertanianselangor.wordpress.com dan di http://facebook.com/Padi.SRI.Selangor.

Kedua mereka telah merangkakan Selangor Rice Initiative (S.R.I.) dalam tahun 2011, iaitu satu pakej
pengurusan persawahan separa-organik yang telah terbukti mengurangkan kos pengeluaran
persawahan dengan mengurangkan penggunaan racun kimia. Penggunaan racun kimia dapat diganti
sebahagiannya dengan produk SRI organik. Produk SRI organik merupakan kombinasi baja dan
pencegah perosak tanaman yang berasaskan sumber alam semulajadi. Penggunaan produk SRI
organik mendapat sambutan daripada kalangan pesawah dan pengusaha tanaman sayuran dan melon
atas keberkesanannya, ciri keselamatan dan harganya yang berpatutan. Salehuddin dan Noorazimah
telah memberi hampir 100 kursus pembuatan produk SRI organik yang sekarang dibuat sendiri oleh
kumpulan-kumpulan petani terlatih di Selangor. SRI organik adalah produk ”OLEH PETANI, UNTUK
PETANI” yang penggunaannya adalah ”Selamat, Jimat, Menguntungkan”.

24
25

Anda mungkin juga menyukai