Anda di halaman 1dari 5

ALLAH PEMBERI REZEKI

Allah SWT memiliki nama yang mulia dan dikenali sebagai Al-Asma’ Al-Husna.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah
nama Allah atau nama Ar-Rahman, yang mana saja kamu serukan (daripada
kedua-dua nama itu adalah baik belaka) kerana Allah mempunyai banyak
nama yang baik serta mulia. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa
atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah
saja satu cara yang sederhana antara itu.” (Surah al-Isra’, ayat 110)

Antara nama Allah SWT yang mesti kita beriman dengannya ialah Ar-Razzaq.
Nama itu merujuk kepada Allah SWT yang banyak memberi rezeki kepada
hamba-Nya.

Allah SWT menciptakan makhluk-Nya di atas muka bumi ini dan mengurniakan
setiap makhluk rezeki daripada pelbagai bentuk. Allah SWT tidak sekali-kali
membiarkan makhluk-Nya hidup tanpa kurniaan rezeki.

Merujuk kepada nama Ar-Razzaq, Allah SWT mengurniakan rezeki yang


banyak kepada hamba-Nya sama ada manusia itu beriman ataupun
sebaliknya.

Makna dan kelebihan Ar-Razzaq tidak dapat ditandingi setiap daripada


makhluk-Nya. Dialah berkuasa mengurniakan rezeki kepada setiap makhluk-
Nya.

Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…


Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-
Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 37)

Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas. Rezeki bukan hanya
merujuk kepada wang ringgit, sebaliknya rezeki mencakupi pelbagai perkara
seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan
dan kesejahteraan.

Justeru, setiap Muslim perlu menyedari hakikat rezeki yang diterima


datangnya daripada Allah SWT. Tidak ada satu bentuk rezeki yang tidak
termasuk dalam kurniaan Allah SWT.

Memang benar, kita berusaha untuk mendapatkan rezeki, namun usaha itu
bergantung sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun
daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah
yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan
tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang
nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

Kita sendiri dapat menyedari diri tidak berkuasa untuk menentukan sesuatu
rezeki itu benar-benar dimiliki melainkan ia bergantung kepada ketentuan
Allah SWT.
Contohnya, di tangan kita ada nasi namun atas sebab tertentu nasi itu tidak
dapat dimasukkan ke dalam mulut akibat terjatuh ke tanah. Rezeki itu sudah
berada dalam tangan, namun manusia tidak mempunyai kuasa mutlak
mengatakan nasi itu sememangnya rezeki miliknya.

Begitulah gambaran kecil betapa setiap rezeki tertakluk sepenuhnya atas


ketentuan Allah SWT. Dialah yang berkuasa memberi dan menahan sesuatu
rezeki.

Allah SWT mengurniakan rezeki hatta kepada serangga kecil. Firman Allah
SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak
membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya
dan kepada kamu, dan Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha
Mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 60)

Menyedari hakikat itu, setiap Muslim perlu beriman, kepada Allah SWT
sahajalah selayaknya kurniaan rezeki dipohon. Usah hampiri jalan syirik
dengan meminta-minta daripada dukun atau bomoh agar dikurniakan rezeki.

Bersabarlah dalam memohon rezeki daripada-Nya yang dikenali dengan Ar-


Razzaq. Allah SWT mengurniakan rezeki kepada sesiapa saja yang
dikehendaki-Nya. Asalkan hamba itu berusaha mendapatkan rezeki yang
dihajati.

Firman Allah SWT bermaksud: “…Dan (ingatlah), Allah memberi rezeki kepada
sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak terkira (menurut undang-undang
peraturan-Nya).” (Surah al-Baqarah, ayat 212)

Apabila rezeki yang dihajati masih belum diperoleh sedangkan doa dan usaha
acap kali dilakukan, usah salahkan takdir. Ada kalanya Allah SWT tidak
mengurniakan sesuatu yang diminta tetapi Dia mengurniakan sesuatu yang
diperlukan.

Teruslah bersabar dan berusaha untuk memperoleh rezeki yang dicita-


citakan. Manusia sebenarnya tidak akan pernah puas dengan setiap nikmat
yang diterimanya.

Semakin dikurniakan rezeki, semakin banyak hajat yang ingin dicapai. Tidak
salah meminta pelbagai bentuk rezeki daripada Allah SWT, namun fikirlah
sikap kita terhadap kehebatan dan keagungan Allah SWT.

Adakah kita daripada kalangan hamba-Nya yang bersyukur? Ramai orang


bersyukur ketika menerima rezeki baru, namun lupa untuk mensyukuri nikmat
rezeki yang sedang dinikmati.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan jika kamu menghitung
nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat
menghitungnya satu persatu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

https://www.hmetro.com.my/addin/2018/12/400169/allah-pemberi-rezeki

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu


Menghormati Ibu Bapa Kunci Keberkatan Hidup

Ibu bapa adalah warisan zuriat yang membawa kepada lahirnya kita ke dunia dan sebab itu agama
Islam meletakkan ibu bapa di tempat yang tinggi dalam hubungan kekeluargaan bahkan
digandingkan dengan perintah mentauhidkan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-
mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-
duanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan kamu,
maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan
“ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

(Surah al-Isra’ 17:23)

Hadith berikut pula jelas menunjukkan betapa tingginya kedudukan yang diberikan Islam kepada ibu
bapa.

Hadith tersebut bermaksud:

Amal perbuatan yang amat disukai Allah swt ialah solat (yang tepat) pada waktunya, berbakti kepada
orang tua dan berjihad pada jalan Allah.

(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Muslim)

Berbuat baik atau taat kepada dua ibu bapa bermaksud menghormati dan melakukan pekerjaan
yang disukai mereka dan pekerjaan yang dilakukan itu janganlah bersalahan dengan kehendak yang
disuruh Allah SWT. Melakukan pekerjaan yang disukai kedua ibu bapa memang menjadi
tanggungjawab besar bagi seseorang anak. Besarnya jasa ibu dan ayah memang tidak dapat dinilai
sama sekali.
Pada masa anak masih dalam kandungannya, ibu telah menempuh pelbagai penderitaan dan
kesusahan. Ibu dan ayah terpaksa berjaga siang dan malam untuk mengawasi dan membendung
kesihatan anaknya yang masih kecil. Seorang ibu rela tidak tidur malam demi menjaga anaknya yang
masih kecil darpada digigit nyamuk. Ibu dan bapa sanggup perut kosong selagi perut anak yang
masih kecil itu masih belum berisi. Begitulah besarnya pengorbanan ibu dan bapa terhadap anaknya.
Jadi tidak hairanlah jika Islam menitik beratkan soal berbuat baik dan menghormati kedua ibu bapa.

Islam mewajibkan anak menghormati dan berbuat baik kepada kedua ibu bapanya bukan saja ketika
mereka masih hidup, malah selepas mereka meninggal dunia pun, amalan baik dan penghormatan
itu wajib dikekalkan oleh anak-anaknya.

Disamping itu juga, kewajipan untuk anak-anak mentaati kedua ibu bapa diperkuatkan lagi dengan
sepotong hadith yang diriwayatkan Imam Muslim yang bermaksud:

Apabila mati seseorang anak Adam, maka putuslah amalnya melainkan tiga perkara, (iaitu): sedekah
jariah, ilmu bermanafaat kepada orang lain dan anak soleh yang mendoakannya.

(Hadith riwayat Muslim dan Ahmad)

Justeru, marilah kita terus berbuat baik terhadap ibu bapa kita (sekiranya mereka telah meninggal
dunia) dengan membaca ayat-ayat suci al-Quran dan mendoakannya.

Di antara doa yang boleh kita gunakan untuk mendoakan ibu bapa kita ialah:

Ya Tuhanku! Ampunilah aku dan ibu bapaku dan rahmatilah serta sayangilah mereka sebagaimana
mereka menyayangi dan mengasihi aku di masa kecil. (Surah Al Israk: Ayat 25)

Ya Tuhan kami! Ampunilah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari
terjadinya hisab (Hari Kiamat). (Surah Ibrahim: Ayat 41)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda bermaksud:

Keredaan Allah bergantung kepada keredaan bapa dan kemurkaan Allah bergantung kepada
kemurkaan bapa.
(Hadis Riwayat: Imam Tarmizi)

Dari itu hormatilah ibu bapa sepanjang hayat di kandung badan. Lakukanlah perbuatan yang
menyenangkan hati mereka semasa mereka masih hidup dan berdoalah kepada mereka setelah
mereka meninggal dunia. Moga-moga dengan berbuat demikian hidup kita akan diberkati dan
dirahmati Allah dan kita menjadi manusia yang berbahagia di dunia dan di akhirat. Insya Allah.

Adaptasi dari teks Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh saudara Ahmad Munir bin Zanarudin,
Mahasiswa Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM

Teks Ihsan dari: Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sembilan

Disediakan oleh:

BAHAGIAN PENGIMARAHAN MASJID

PUSAT ISLAM

UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA

06-7980256

http://kompleksislam.usim.edu.my/menghormati-ibu-bapa-kunci-keberkatan-hidup/

Anda mungkin juga menyukai