Anda di halaman 1dari 3

MITOS BATU PENYU

Mitos adalah cerita prosa rakyat yang menceritakan tentang sesuatu kisah yang
berlatarbelakangkan masa lalu. Mitos juga sering diertikan sebagai cerita sesuatu bangsa
tantang dewa dan pahlawan zaman dahulu. Menurut Hashim Awang (1985), ciri-ciri cerita
mitos ialah cerita yang mengisahkan tentang manusia, makhluk atau peristiwa luar biasa yang
tidak rasional atau tidak dapat diterima oleh akal manusia. Antara contoh cerita mitos iaitu
mengenai batu penyu yang terdapat di Kuala Abang, Dungun, Terengganu.

Cerita mitos ini disampaikan oleh orang-orang tua dari mulut ke mulut. Cerita ini
bermula di kawasan persisir pantai Terengganu terdapat sepasangan penyu. Sepasang penyu
ini hidup dalam keadaan rukun dan damai. Ke mana mereka pergi, mereka akan selalu
berdua. Pada suatu hari, mereka telah berenang menyusuri pantai Terengganu. Setelah
berhari-hari berenang, mereka pun tiba di suatu tempat yang belum mereka datang. Pada saat
itu ada seekor Ikan Buntal yang lalu di kawasan tersebut lalu bertanya ke mana pasangan
penyu tersebut hendak pergi. Penyu Jantan dan Penyu Betina menjawab bahawa mereka
tersesat dan bertanya di mana mereka berada. Lalu Ikan Buntal menjawab bahawa mereka
berdua berada dia Laut Rantau Abang. Ikan Buntal itu juga memberitahu bahawa di daratan
ini mempunyai sebuah bukit yang memiliki taman yang amat indah tetapi Ikan Buntal tidak
dapat pergi ke sana kerana tidak dapat hidup di darat, hal ini berlainan dengan penyu, kerana
mereka dapat hidup di darat dan laut.

Setelah mendengar keterangan Ikan Buntal, kedua penyu itu menjadi teruja dan terus
naik ke darat. Di darat pasangan tersebut telah terserempak dengan seekor Ketam. Ketam itu
bertanya ke mana pasangan tersebut hendak pergi, lalu Penyu Jantan menjawab mereka
hendak bermain-main di taman itu. Si Ketam terus memberi tahu bahawa terdapat pantang
larang yang tidak boleh dilanggar ketika berada di taman tersebut iaitu jangan minum air
yang berada di dalam kolam di taman tersebut kerana sesiapa yang minum air tersebut akan
terkena sumpahan.

Penyu Jantan menganggap bahawa Ketam sengaja mereka cerita. Berlainan pula
dengan Penyu Betina, ia sangat khuatir terhadap pantang larang itu dan mengajak Penyu
Jantan untuk balik, tetapi Penyu Jantan tetap berkeras mahu pergi ke taman tersebut. Penyu
Betina terpaksa mengalah dan membiarkan sahaja Penyu Jantan pergi sendirian.

Sejurus kemudian, Penyu Jantan berjalan menuju ke bukit itu. Sesampai di sana, dia
begitu kagum melihat keindahan taman di atas bukit tersebut. Ia pun berjalan disekeliling
untuk menikmati pemandangan yang indah. Setelah beberapa lama, Penyu Jantan merasa
haus. Ia teringat kata-kata si Ketam bahawa di taman itu ada sebuah kolam yang sangat jernih
airnya. Setelah beberapa lama mencari, ia pun menemui kolam itu. Tanpa berfikir panjang, ia
segera mendekati dan meminum airnya. Namun tanpa diduga, tiba-tiba penglihatannya mulai
kabur dan kepalanya menjadi pusing. Perlahan-lahan, seluruh tubuhnya menjadi kaku dan
akhirnya tidak dapat bergerak. Walaupun berkali-kali berusaha untuk menggerakkan keempat
kakinya untuk melangkah, tetapi tetap tidak boleh bergerak. Beberapa saat kemudian, tiba-
tiba langit menjadi gelap. Petir sambar-nyambar. Hujan pun turun dengan lebatnya. Dalam
sekelip waktu, tiba-tiba Penyu Jantan berubah menjadi batu. Setelah itu langit pun kembali
terang. Rupanya ia benar-benar terkena sumpahan, kerana telah melanggar pantang larang itu.

Sementara itu, Penyu Betina yang sejak tadi menunggu mulai khuatir terhadap keadaan
Penyu Jantan.Tidak lama kemudian seekor Burung Camar menghampirinya dan
menceritakan bahawa dia melihat seekor penyu di taman tersebut telah menjadi batu. Setelah
mendengar khabar buruk itu, Penyu Betina sangat sedih. Namun, ia tidak dapat berbuat apa-
apa. Akhirnya, ia pun memutuskan untuk kembali ke laut. Setiap musim bertelur, iaitu bulan
Mei hingga Ogos, Penyu Betina pergi ke Pantai Rantau Abang untuk bertelur di samping
melawat batu penyu itu. Setiap kali mengeluarkan telur, ia selalu menangis karena teringat
dengan Penyu Jantan.

Sejak itu, seluruh keturunan penyu itu selalu pergi ke tempat itu untuk bertelur. Setiap
kali bertelur, mereka selalu menangis. Menurut kepercayaan masyarakat, mereka menangis
kerana merasa hiba terhadap nasib yang telah menimpa nenek moyang mereka, si Penyu
Jantan yang terkena sumpahan. Masyarakat setempat memanggil Penyu Jantan yang terkena
sumpahan itu sebagai Batu Penyu. Hingga saat ini, Batu Penyu tersebut dapat kita saksikan di
Bukit Che Hawa, Rantau Abang, Dungun.

Demikianlah cerita mitos Batu Penyu dari Terengganu. Cerita rakyat di atas termasuk di
dalam cerita teladan yang mengandungi unsur-unsur moral. Salah satu unsur moral yang
terkandung di dalamnya akibat tidak mendengar kata dengan tidak mengindahkan sebarang
nasihat. Sifat ini tercermin pada perilaku si Penyu Jantan yang tidak mahu mendengar nasihat
si Penyu Betina dan si Ketam untuk tidak meminum air kolam yang ada di taman tersebut
yang akhirnya membawa malapetaka kepada dirinya sendiri.

Anda mungkin juga menyukai