Anda di halaman 1dari 2

_________ __Karangan

Tajuk : Kebaikan Amalan Gotong-Royong


Dalam meniti kehidupan yang bertunjangkan nawaitu materialistik dan individualistik marcapada ini, kita
seyogianya memahami maksud amalan bergotong royong. Amalan ini merupakan budaya yang dipraktikkan
sejak generasi dulu dan amalan ini dianggap tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Peribahasa ini
menunjukkan warisan budaya atau amalan bangsa wajar dilestarikan agar sentiasa releven dan diingati
oleh masyarakat Malaysia, terutamanya generasi alaf baru ini. Yang berlaku sekarang, budaya yang diingini
hanyalah keseronokan dan keselesaan yang tidak mahu dipertanggungjawabkan. Fenomena ini
melunturkan semangat memupuk amalan bergotong-royong. Tepuk dada, tanya selera; berapa ramaikah
yang menghayati maksud gotong-royong dan melaksanakannya? Berapakah peratus daripada golongan
muda generasi kini yang telah bergotong- royong untuk membersihkan sesuatu tempat? Oleh hal yang
demikian, kita mestilah mengenali faedah bergotong-royong dan menjalankan kegiatan bergotong-royong
ini.
Kebaikan amalan bergotong-royong yang paling signifikan ialah dapat memperindah tempat
tinggal. Kebersihan tempat tinggal merupakan keperluan asas untuk hidup dengan selesa. Dengan amalan
kemasyarakatan ini, tempat tinggal kita tidak akan menjadi sekadar indah khabar daripada rupa. Sebagai
insan biasa, kita tentu mahu akan kecantikan tempat tinggal kita dipuji oleh orang lain. Dengan
melaksanakan amalan gotong–royong, kita dapat memperindah sendiri kawasan tempat tinggal dan
memahami jiran dengan lebih mendalam. Fenomena ini persis peribahasa tak kenal maka tak
cinta. Apabila kawasan tempat tinggal kita sentiasa bersih dan indah, rakan-rakan sendiri akan menyukai
kawasan tempat tinggal kita secara langsung dan akan sentiasa menziarahi kita. Sebagai seorang penghuni
bumi, kita boleh mengaktifkan diri dalam amalan bergotong-royong untuk menghijaukan bumi. Bak kata
peribahasa, sambil menyelam minum air. Dengan mengaktifkan diri dalam amalan bergotong– royong,
kita juga dapat lebih memahami kepentingan kegiatan bergotong-royong dan akan mewujudkan masyarakat
yang bekerjasama. Benarlah kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh . Kita harus
mengapresiasi amalan ini sebelum kewujudannya dipandang sepi oleh masyarakat. Janganlah kita lupa
bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Selain itu, amalan bergotong-royong seyogianya menjadi satu daripada aktiviti kehidupan yang
penting sebagai langkah membersihkan tempat tinggal daripada menjadi vektor penyakit. Dengan
berbuat begitu, kita dapat mencegah dan menjauhi penyakit kerana mencegah lebih baik daripada
mengubati. Secara peribadi, saya berpendapat bahawa kegiatan ini amat berfaedah dan mesti diamalkan
sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan menjadikan amalan ini sebagai aktiviti
penting dalam kehidupan, kita dapat banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan daripada amalan
tersebut. Kita juga dapat mengetahui betapa senangnya untuk menyelesaikan sesuatu kerja dengan tenaga
kerja yang ramai jika kita mengaktifkan diri dalam kegiatan bergotong-royong. Oleh hal yang demikian,
amalan ini harus diingati dari satu generasi kepada satu generasi. Amalan ini juga boleh dipraktikkan untuk
mengekalkan kesihatan dan keadaan yang selesa di kawasan tempat tinggal .

1
_________ __Karangan
Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Kegiatan bergotong-royong
memainkan peranan yang amat penting sebagai agen perpaduan . Hal ini dikatakan demikian kerana
kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang mendapati jurang pemisah antara kaum
semakin lebar dari setahun ke setahun kerana rambut sama hitam, hati lain-lain. Dengan menjalankan
kegiatan bergotong-royong kita dapat menghapuskan sikap masyarakat yang seperti enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila seseorang yang berlainan kaum
berinteraksi dengan seseorang yang berlainan kaum, kita dapat mengenali kebudayaan kaum-kaum
masing-masing kerana masuk ke kandang kambing mengembek, masuk ke kandang kerbau
menguak. Melalui kegiatan bergotong-royong, kita akan lebih mempercayai masyarakat sekeliling dan
menghormati sesama insan. Dengan ini, kita akan hidup saling membantu bagai aur dengan tebing .
Melalui kegiatan yang afdal ini , kita dapat memupuk nilai murni dalam sanubari kita. Hal ini seperti
yang dikatakan oleh Tun Dr.Mahathir, mantan Perdana Menteri ke-4 pernah menegaskan bahawa dengan
melibatkan diri dalam kegiatan bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri.
Fenomena ini sama seperti sambil menyelam ,minum air. Jelas beliau semasa merasmikan kempen
bergotong-royong pada peringkat nasional, awal tahun 2003. Nilai murni yang diterapkan akan
mentransformasikan kita sebagai orang yang lebih disukai dan diterima oleh masyarakat. Amalan ini juga
mampu memasyarakatkan rakyat Malaysia oleh sebab bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat.
Aktiviti bergotong-royong sememangnya dapat menghidupkan semangat kejiranan. Dengan
berbuat demikian, kita dapat mengenali jiran secara mendalam. Selepas terlaksananya aktiviti ini , kita akan
terpanggil untuk membuka hati kita lalu menegur jiran kita. Pembahagian tugas akan dapat dijalankan
semasa aktiviti bergotong-royong dijalankan dan semua orang akan merasai semangat bersatu padu.
Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara bergotong-royong ialah membersihkan kawasan
taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalin
dan meningkatkan hubungan sesama jiran. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Jiran ialah orang yang tinggal di sekitar rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di belakang
rumah kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang akan menjadi sahabat kita dan orang yang
pertama akan membantu apabila kita menghadapi kesusahan nanti. Tidak percaya? Janganlah lupa
bahawa pepatah Melayu ada mengatakan bahawa Jiran sepakat membawa berkat".
Intihanya, amalan bergotong-royong membawa faedah yang banyak. Dengan mengamalkan
semangat ini, bumi akan menjadi sebuah tempat yang lebih indah secara tidak langsung. Bak kata
pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Amalan ini tidak akan dilupai. Sebagai penutup
wacana, amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi setiap orang untuk
mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum. Marilah kita belajar amalan yang baik dan amalkannya dalam
kehidupan harian. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

[865 patah kata]

Anda mungkin juga menyukai