Anda di halaman 1dari 1

Kebaikan Bergotong-royong

Menurut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud amalan saling menolong atau


bekerja bersama-sama. Masyarakat Malaysia pada hari ini kurang mengamalkan
amalan gotong-royong kerana mereka lebih suka duduk di dalam rumah sendiri
sambil menonton rancangan televisyen atau bermain permainan komputer.
Sebenarnya, amalan gotong-royong merupakan amalan yang mulia dan harus
dipupuk sejak kecil lagi. Amalan gotong-royong juga telah banyak membawa
kebaikan kepada kita.

      Bergotong-royong dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan


masyarakat. Masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang
kaum dan latar belakang. Melalui aktiviti gotong-royong, kita dapat memahami
dan menghormati adat istiadat kaum lain tanpa menimbulkan rasa waswas dan
curiga.

      Selain itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mempercepat dan


mempermudah kerja seharian. Jika semua orang bersatu padu, tolong-menolong,
maka kerja yang sukar atau berat akan menjadi senang dan ringan. Contohnya,
sekumpulan murid diberi tugasan oleh guru untuk membersihkan taman bunga di
kawasan sekolah. Jika murid-murid bekerjasama dan tidak malas, aktiviti
pembersihan taman bunga dapat disiapkan dalam masa yang singkat.

Amalan gotong-royong juga dapat memperkukuh semangat kejiranan


dalam kalangan masyarakat berbilang ras dan agama. Dalam suatu kawasan
perumahan, terdapat jiran tetangga yang berbilang bangsa. Oleh itu, semangat
kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti-aktiviti seperti majlis kenduri-kendara,
musim perayaan utama, kempen yang berkaitan dengan semangat kejiranan atau
aktiviti yang memerlukan kerjasama semua orang.

      Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat mewujudkan


pesekitaran yang bersih dan ceria. Kawasan yang bersih dan ceria dapat
mewujudkan kehidupan yang sihat dan sejahtera, bak kata slogan pihak berkuasa
tempatan, yakni ‘Negara Bersih, Rakyat Sihat’.

      Secara kesimpulannya, aktiviti gotong-royong banyak mendatangkan


kebaikan. Dengan mengamalkan semangat ini, bumi kita akan menjadi sebuah
tempat yang lebih indah. Bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama
dituruni. Amalan gotong-royong merupakan tanggungjawab yang penting bagi
setiap orang untuk mewujudkan kualiti kehidupan yang optimum.

Anda mungkin juga menyukai