Anda di halaman 1dari 6

LATIHAN KARANGAN CUTI SEKOLAH.

1 HARI 1 KARANGAN

Tajuk 1 ( Kebaikan Bergotong-royong )

Tuliskan karangan yang bertajuk “Kebaikan Bergotong-royong”. ( Fakta )

Bergotong-royong bermaksud tolong-menolong dan bekerjasama dalam menjayakan sesuatu perkara. Bergotong-royong adalah amalan
penduduk setempat sejak dahulu lagi. Terdapat banyak kebaikan amalan bergotong-royong.

Dengan bergotong-royong sesuatu kerja dapat disiapkan dengan cepat. Hasilnya juga lebih baik kerana pelbagai pendapat yang
baik akan dapat dibincang dan dilaksanakan. Contoh amalan bergotong-royong yang sering dilakukan adalah membersihkan balai raya.
Bergotong-royong juga dapat melahirkan perasaan kasih sayang antara jiran tetangga.

Selain itu, dengan bergotong-royong akan dapat menjimatkan kos dan tenaga. Kebiasaannya aktiviti gotong-royong tidak
melibatkan upah. Mereka yang terlibat dengan aktiviti itu biasanya membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang upah. Gotong-
royong dilaksanakan dalam suasana kekeluargaan.

Bergotong-royong juga dapat melancarkan perjalanan sesuatu majlls. Contohnya, majlis kenduri dan majlis perkahwinan.
Sebelum sesuatu majlis berlangsung, pihak tuan rumah akan merancang dan membahagikan tugas terlebih dahulu. Kerja yang berat menjadi
leblh mudah dan perjalanan majlis itu juga lebih teratur dan lancar.

Melalui gotong-royong juga kita dapat mengukuhkan hubungan dengan jiran tetangga. Selain itu, dapat memenuhi tuntutan
agama agar bersikap baik kepada jiran tetangga. Jiran itu diibaratkan saudara kita sendiri. Dengan membantu orang lain, kita pasti mendapat
kebaikannya, bak kata pepatah 'Buat baik dibalas baik'.

Kesimpulannya, amalan bergotong-royong inl perlu diteruskan. Amalan ini juga perlu diamalkan di bandar-bandar. Jadikan
gotong-royong sebahagian daripada amalan hidup kita.

Tajuk 2 ( Faedah-faedah Bergotong-royong )

Tulis sebuah karangan yang bertajuk “Faedah Bergoyong-royong”. ( Fakta )

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama.
Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah.
Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya
selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap
mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja
dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amalan
bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada
pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah.
Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Tajuk 3 ( Faedah-faedah Bergotong-royong )

Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong” ( Syarahan )

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Zaharullai bin Haji Hasan, Guru Besar Sekolah
Kebangsaan Parit 9, Guru-guru Penolong Kanan, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang saya hormati dan rakan-rakan yang
saya kasihi. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah-faedah Bergotong-royong”.
Hadirin yang saya kasihi,

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara
bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai
bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah.
Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya
selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap
mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja
dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln
bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada
pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah.
Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, akhir kata daripada saya, amalan bergotong-royong inl
perlu diteruskan. Amalan ini juga perlu diamalkan di bandar-bandar. Jadikan gotong-royong sebahagian daripada amalan hidup kita.

Sekian, terima kasih.

Tajuk 4 ( Laporan Aktiviti Gotong-Royong )

Penduduk tempat kamu tinggal telah mengadakan aktiviti gotong-royong.. Tulis laporan tentang gotong royong di tempat kamu itu
selengkapnya. ( Laporan )

Laporan Aktiviti Gotong-Royong Kampung Parit 9

Pada 24 September yang lalu, penduduk Kampung Parit 9 telah mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan taman
permainan. Aktiviti gotong-royong tersebut telah disertai oleh 30 orang penduduk kampung.

Pada pukul 8.00 pagi, semua peserta gotong-royong telah berkumpul di taman permainan tersebut. Masing-masing membawa
peralatan seperti mesin rumput penyapu, pongkes, dan cangkul.

Ketua Kampung telah membahagikan peserta gotong-royong kepada beberapa kumpulan kecil. Ada yang ditugaskan untuk
memotong rumput, membersihkan longkang, mengumpulkan sampah, dan menanam pokok di sekeliling taman permainan tersebut.

Setelah diberi taklimat, masing-masing memulakan tugas. Rumput yang telah dipotong dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam
plastik sampah untuk dibuang. Longkang yang berlumut disental supaya bersih.

Pokok-pokok baharu ditanam supaya dapat meredupkan kawasan taman permainan. Semua peserta menjalankan tugas yang
diberi bersama-sama. Bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Pada pukul 12.00 tengah hari semua tugas yang diberi siap dilakukan. Masing-masing menikmati makan tengah hari yang
disediakan oleh kaum ibu. Walaupun letih, semua peserta gembira kerana taman permainan sudah bertukar wajah. Ketua Kampung
mengucapkan terima kasih kepada anak buahnya dan berharap agar aktiviti ini dapat diadakan lagi pada tahun hadapan.

Disediakan oleh, 20 SEPTEMBER 2018.

Ayden Hadif
(MUHAMMAD AYDEN HADIF)
Setiausaha Kampung Parit9.
Tajuk 5 ( Faedah-faedah Bergotong-royong )

Sekolah anda telah mengadakan gotong-royong. Andaikan anda sidang redaksi majalah sekolah. Anda diminta menyediakan berita lengkap
tentang gotong-royong tersebut untuk dimuatkan dalam majalah sekolah. Tulis berita aktiviti gotong-royong tersebut. ( Berita )

SEKINCHAN, 15 Jun - Sekolah Kebangsaan Parit 9, telah mengadakan gotong-royong secara besar-besaran bersempena Minggu
Kebersihan dan Keceriaan sekolah. Sebanyak 700 orang murid dan 60 orang tenaga pengajar yang terlibat dalam gotong-royong tersebut.

Aktiviti gotong-royong yang bermula dari jam 7.00 pagi dan berakhir jam 3.00 petang itu bertujuan untuk menanam sikap cinta
akan kebersihan dalam kalangan warga sekolah.

Persekitaran sekolah bersih dan menarik dengan lukisan-lukisan mural yang berwarna-warni. Mural dllukis pada dinding dengan
pelbagai motif yang bertemakan alam semula jadi. Puan Hafizah dan Encik Mohd Khairul Lizan selaku guru penasihat Kelab Seni Lukis
telah mengetuai kumpulan melukis mural.

Turut memberikan kerjasama pada hari berkenaan ialah pihak Majlis Daerah Sabak Bernam. Penyediaan peralatan seperti
cangkul, pongkes, dan tong sampah banyak memudahkan murid-murid.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit 9, Tuan Haji Zaharullai bin Haji Hasan berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan
oleh murid-murid. Murid-murid sekolah ini mudah untuk memberikan kerjasama. Hal ini terbukti dengan kejayaan aktiviti gotong-royong
pada hari ini," kata beliau sewaktu memberikan ucapan sobagai mengakhiri aktiviti gotong-royong tersebut.

Secara keseluruhannya, aktiviti gotong-royong ini berjalan lancar dan mendapat pujian daripada semua pihak.

Tajuk 6 ( Aktiviti gotong-royong )

Aktiviti gotong-royong telah diadakan di tempat tinggal kamu. Kamu terlibat menjayakan aktiviti tersebut. Tuliskan cerita tentang aktiviti
gotong-royong yang telah kamu lalui itu. ( Cerita )

Saya, bapa dan kira-kira tiga puluh orang penduduk kampung telah menyertai aktiviti gotong-royong. Gotong-royong pada tahun ini
diadakan sempena sambutan Hari Pekerja. Selain itu, gotong-royong ini telah dirancang oleh ketua kampung kami sejak tiga bulan yang
dahulu.

Tepat pada pukul lapan pagi, berpuluh-puluh orang penduduk kampung sudah berkumpul di luar balai raya. Ada yang membawa
cangkul, sabit, parang, dan pongkes. Peralatan ini digunakan untuk menjayakan aktiviti gotong-royong tersebut.

Kami dibahagi-bahagi kepada beberapa kumpulan kecil. Antara kawasan yang dibersihkan termasuklah taman permainan, surau,
parit, dan balai raya. Kumpulan-kumpulan kecil ini memudahkan kerja-kerja pembersihan dijalankan dengan lebih teratur.

Pada masa yang sama, kaum ibu dan wanita sibuk menyediakan makanan dan minuman di pekarangan balai raya. Pelbagai jenis
juadah seperti mi goreng, nasi tomato, dan kari ayam disediakan. Mereka bersatu hati menjayakan program gotong-royong ini.

Pada pukul 11.45 pagi, semua kerja pembersihan telah pun selesai. Petugas-petugas telah berkumpul semula di balai raya untuk
berehat dan menjamu selera. Walaupun tampak letih tetapi semangat kerjasama, kemesraan dan suasana muhibah telah terjalin antara semua
yang terlibat menjayakan gotong-royong.
Aktiviti gotong-royong merupakan satu daripada aktiviti kemasyarakatan yang mampu menjalin ikatan silaturahim penduduk
setempat. Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni juga dapat dipraktikkan. Malahan, semangat kejiranan dalam kalangan penduduk
dapat diperkasakan.

Tajuk 7 ( Aktiviti gotong-royong )

Aktiviti gotong-royong telah diadakan di tempat tinggal kamu. Kamu terlibat menjayakan aktiviti tersebut. Tuliskan cerita tentang aktiviti
gotong-royong yang telah kamu lalui itu. ( Cerita )

Hari ini, kami akan bergotong-royong. Aktiviti kemasyarakatan ini adalah bersempena cuti Hari Pekerja. Ketua kampunglah yang menjadi
penggerak utama aktiviti gotong-royong ini.

Tepat pada pukul lapan pagi, saya dan kawan-kawan saya sudah berkumpul di luar balai raya. Kami membawa cangkul, sabit,
parang, dan pongkes.

Kami diagih-agihkan kepada beberapa kumpulan kecil. Antara kawasan yang akan dibersihkan termasuklah taman permainan,
surau dan balai raya. Pembentukan kumpulan kecil ini bertujuan untuk melancarkan kerja-kerja gotong-royong.

Pada masa yang sama, kaum ibu sibuk menyediakan juadah jamuan ringan di perkarangan balai raya. Pelbagai jenis makanan
disediakan. Mereka bersatu hati memasak makanan beramai-ramai untuk dihidangkan kepada para peserta gotong-royong.

Pada pukul 11.45 pagi, semua kerja pembersihan telah selesai. Kami berkumpul semula di balai raya untuk berehat dan menjamu
selera. Walaupun tampak letih tetapi semangat kerjasama, kemesraan dan suasana muhibah telah terjalin antara kami.

Aktiviti gotong-royong merupakan satu daripada aktiviti kemasyarakatan yang mampu menjalin ikatan silaturahim penduduk
setempat. Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni sejagat juga dapat dipraktikkan. Malahan, semangat kejiranan dalam kalangan
penduduk bertambah erat.
Tajuk 8 ( Cara-cara Membalas Jasa Guru )
Tulis karangan tentang cara-cara membalas guru. ( Fakta )

Guru ialah insan yang amat berjasa kepada kita. Melalui guru kita bukan sahaja dapat membaca, menulis, dan mengira   malah kita dididik
oleh mereka untuk menjadi insan yang mulia.  Oleh itu, sewajarnyalah kita membalas jasa-jasa guru yang telah mendidik kita.

Antara cara terbaik untuk membalas segala jasa dan pengorbanan guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh.  Di sekolah
misalnya, kita hendaklah tekun mendengar ajaran guru dan janganlah mengamalkan sikap sambil lewa semasa proses pengajaran sedang
dijalankan.  Sikap belajar bersungguh-sungguh ini sudah tentulah dapat menyenangkan hati guru-guru kita.

Selain itu, kita perlu menghormati mereka seperti mereka menghormati ibu bapa kita.  Misalnya, apabila kita berbicara dengan
mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan penuh budi bahasa. Natijahnya, guru kita tentulah amat menyayangi kita seperti mereka
menyayangi anak-anak mereka sendiri.

Seterusnya,  jika guru memerlukan bantuan kita, bersegeralah menghulurkan bantuan.  Janganlah bersikap berat tulang untuk
menawarkan bantuan, misalnya menolong guru mengangkat buku dan membersihkan kelas.  Sikap ringan tulang ini sudah tentunya disukai
oleh guru kita.

Akhir sekali, kita seharusnya menyiapkan segala tugasan yang guru berikan.  Kerja rumah  umpamanya, hendaklah kita
selesaikan dan siapkan sebaik mungkin. Dengan berbuat demikian, guru kita akan sentiasa berbangga dengan   anak-anak muridnya yang
kelaknya nanti akan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa, dan negara.

Oleh hal  yang demikian, jasa-jasa guru perlu kita balas dan kita sanjungi.  Janganlah sesekali hendaknya kita melupakan jasa-
jasa mereka yang telah mendidik kita.

Tajuk 9 ( Cara-cara Membalas Jasa Guru )


Tuliskan karangan tentang cara-cara membalas jasa guru.(fakta)

Guru merupakan insan penting dalam kehidupan setiap murid. Sebagai murid, kita seharusnya membalas jasa dan
pengorbanan guru. Langkah-langkah berikut merupakan cara untuk kita membalas jasa guru.

Antara cara untuk kita membalas jasa guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh ibarat genggam bara api
biar sampai jadi arang. Hal ini demikian kerana setiap guru sentiasa ingin melihat kejayaan murid-muridnya. Oleh itu,
apabila guru mengajar, kita perlu memberikan perhatian sepenuhnya dan tidak menimbulkan masalah disiplin yang boleh
mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Guru pasti berbangga jika kita mencapai kejayaan.

Selain itu, kita mestilah menghormati guru pada setiap masa. Guru umpama ibu bapa kedua bagi kita. Justeru, kita
mestilah mendengar nasihat atau tunjuk ajar mereka. Jika kita melawan atau ingkar akan arahan guru, ilmu atau pengajaran
yang kita terima daripada guru tidak akan berkat.

Seterusnya, kita perlu membalas jasa guru dengan sentiasa menolong atau membantu guru. Kita hendaklah ringan
tulang untuk membantu guru jika guru meminta bantuan daripada kita seperti menghantar buku dari kelas ke bilik guru atau
sebaliknya. Melalui cara ini, kita dapat membalas jasa guru yang mendidik dan mengajar kita. Kita perlulah membalas jasa
guru dengan cara mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik untuk mereka juga.

Kesimpulannya, guru merupakan insan yang banyak berjasa dalam kehidupan kita. Guru ibarat pelita yang menjadi
penyuluh kepada kita pada malam yang gelap gelita. Oleh itu, kita wajar membalas jasa guru dan mengingati segala
pengorbanannya pada setiap masa.

Tajuk 10 ( Cara-cara Membalas Jasa Guru )


Kamu telah terpilih mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan kamu ialah “ Perlunya Para
Pelajar Menghormati Guru”.
Tuliskan syarahan kamu dan panjang karangan tidak kurang daripada 80 patah
perkataan.

Yang dihormati Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Haji Zaharullai bin Haji Hasan, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Parit 9, Guru-guru
Penolong Kanan, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian.
Salam sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk
menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk ”Perlunya Para Pelajar
Menghormati Guru”.

Hadirin sekalian,

     Guru banyak menabur jasa kepada kita. Guru memberi pelajaran dan
mendidik kita agar menjadi insan yang berguna. Oleh yang demikian, kita
perlulah menghormati mereka.

      Bagaimanakah kita menghormati mereka? Kita hendaklah menurut


nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh mereka. Melawan guru ialah sikap
yang tidak baik kerana boleh mendatangkan akibat yang buruk kepada diri kita.

Hadirin yang dihormati sekalian,

      Kita juga boleh menghormati guru dengan cara menjaga hati dan
perasaan mereka. Berbudi bahasalah terhadap guru kita kerana mereka insan
yang telah menabur jasa untuk menjadi insan berguna. Guru akan berasa
gembira dan bangga jika murid-muridnya memiliki budi pekerti yang mulia.

      Guru banyak berkorban masa, tenaga, dan wang ringgit demi kejayaan
anak-anak muridnya. Oleh itu, balaslah segala pengorbanan guru dengan cara
menghormati mereka. Janganlah kita bersikap seperti kacang lupakan kulit.

Para hadirin sekalian.


      Tanpa guru siapalah kita. Kita akan mendapat banyak kebaikan jika kita berbuat baik terhadap guru. Sekian sahaja syarahan saya pada
kali ini.

Sekian, terima kasih.

 SALIN KARANGAN DALAN BUKU C


 TULIS HARI DAN TARIKH.
 TULIS TAJUK KARANGAN.

Anda mungkin juga menyukai