Anda di halaman 1dari 1

Amalan Bergotong-royong

Posted on 10 Jun, 2008 by admin

Budaya bergotong-royong merupakan amalan kerjasama yang berdasarkan


kesanggupan seseorang untuk melakukan sesuatu pekerjaan secara ikhlas; tanpa
mengharapkan sebarang balasan dalam bentuk upah atau gaji. Secara jelas,
bergotong-royong mengetepikan sikap mementingkan diri sendiri dan kebendaan.

Amalan bergotong-royong sememangnya telah lama menjadi tradisi di kalangan


masyarakat Melayu, terutamanya masyarakat Melayu di desa yang kaya dengan adat
bermasyarakat jika dibandingkan dengan masyarakat bandar. Kesibukan masyarakat
bandar yang kerap membawa diri sendiri dan mementingkan kerjaya dan kebendaan
menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk melibatkan diri dalam amalan ini.

Sikap bergotong-royong juga patut diamalkan di kalangan pelajar. Penglibatan


para pelajar dalam kerja gotong-royong dapat mendedahkan mereka kepada cara hidup
bermasyarakat. Di samping itu, amalan gotong-royong juga dapat mengeratkan lagi
hubungan antara satu sama lain. Para pelajar boleh menerapkan amalan ini dalam
kegiatan persatuan, perbincangan, bersukan dan lain-lain. Contohnya, dalam kegiatan
persatuan, projek yang dirancangkan boleh berjalan dengan lebih lancar dan tanpa
gangguan sekiranya ahli-ahlinya mengamalkan sikap bergotong-royong. Hasil kerja
yang dilaksanakan juga akan lebih baik di samping menjimatkan masa dan tenaga.

Dalam perbincangan pula, sikap bergotong-royong pun turut menguntungkan


para pelajar. Jika pelajar bekerjasama menyediakan bahan-bahan untuk sesi
perbincangan, perbincangan tersebut akan berjalan dengan lancar. Pengetahuan
tentang tajuk yang dibincangkan juga bertambah kerana setiap pelajar akan berusaha
untuk mencari isi-isi penting yang boleh dibincangkan.

Pentingnya sikap gotong-royong ini diamalkan oleh para pelajar bukan sahaja
kerana dapat menguntungkan mereka, tetapi boleh juga menguntungkan masyarakat.
Ini adalah kerana mereka boleh menyalurkan ilmu yang dipelajari kepada masyarakat
setempat. Secara tidak langsung, usaha ini akan dapat membantu membina semangat
kejirananan dan menguatkan perpaduan di kalangan anggota masyarakat, tidak kira di
desa ataupun bandar.

Anda mungkin juga menyukai