Anda di halaman 1dari 41

MODUL LATIH TUBI RUMUSAN 2020

NAMA:…………………………………….

TINGKATAN: ……………………………

SET 1

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara
mengamalkan gaya hidup sihat dan halangan-halangan yang dihadapi dalam
menjayakannya. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

roosezah@yahoo.com 1
Gaya hidup sihat bermaksud seseorang individu yang mempunyai badan yang sihat dan
selalu menjalani aktiviti yang berfaedah. Pada masa sekarang, sewajarnya masyarakat
mengetahui kepentingan amalan gaya hidup sihat. Waima begitu, pada era globalisasi
yang penuh dengan pancaroba ini, sesetengah ahli masyarakat tidak mengamalkan gaya
hidup sihat dengan memberikan pelbagai alasan. Sebenarnya, mengamalkan gaya hidup
yang sihat akan membawa banyak manfaat. Salah satu kaedah untuk kekal sihat ialah
melakukan aktiviti sukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Hal ini demikian
kerana, melalui aktiviti sukan kita dapat mengeluarkan peluh, iaitu dengan
mengeluarkan toksin yang terhasil dalam badan kita selain memastikan jantung kita
berfungsi dengan baik.

Kehidupan yang sihat juga diperoleh apabila kita dapat mengurus tekanan dengan
cara yang baik. Hasilnya, seseorang individu akan seimbang dari segi rohani, intelek,
emosi dan jasmani. Selain itu, pengambilan makanan yang seimbang juga penting
dalam kehidupan seharian seseorang. Pengambilam makanan yang seimbang mestilah
berpandukan jadual piramid makanan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia. Oleh itu, ibu bapa disarankan agar menyediakan makanan yang seimbang
dan berkhasiat untuk anak-anak. Seterusnya mengadakan aktiviti rekreasi bersama-
sama keluarga. Pada ketika itu, ibu bapa akan memimpin anak-anak melakukan aktiviti-
aktiviti yang berfaedah di samping anak-anak mendapat pengajaran dan pendidikan
secara langsung daripada kedua-dua ibu bapa mereka.

Kita disarankan menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat


agar dapat membentuk persekitaran sosial yang sihat. Apabila setiap masyarakat dapat
mengamalkannya maka akan lahirlah rakyat yang sihat. Kita juga seharusnya bijak
mengelakkan diri daripada terlibat dengan sebarang gejala sosial yang boleh
merosakkan diri dan masa depan. Dalam konteks ini, ibu bapa haruslah menjadi suri
teladan kepada anak-anak supaya mereka tidak terpengaruh dengan gejala-gejala
negatif.

Rehat yang mencukupi juga dapat memberikan kelegaan kepada otak untuk
berehat. Menurut kajian, seseorang individu perlu tidur sekurang-kurangnya lapan jam
sehari. Dalam tempoh rehat ini, sel-sel otak yang rosak dapat dipulihkan dengan
sempurna. Hal ini dapat menyediakan seseorang individu untuk meneruskan aktiviti
kehidupan pada keesokan hari. Pemeriksaan kesihatan secara berkala sangat perlu
untuk mengetahui tahap kesihatan seseorang. Sehubungan dengan itu, kakitangan
kerajaan telah disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan agar dapat menjamin
kualiti kehidupan yang sihat secara berterusan.

Kesimpulannya, setiap individu tidak haruslah menjadikan kesibukan aktiviti


seharian sebagai alasan untuk tidak mengamalkan gaya hidup sihat, bak kata pepatah
hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Amalan gaya hidup sihat dapat menjamin
badan yang sihat dan otak yang cerdas. Seterusnya, keadaan ini dapat melahirkan rakyat
yang inovatif bagi menggerakkan negara menuju Wawasan 2020.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Cara Mengamalkan Gaya Hidup Sihat oleh
Soo Kai Huan, Dewan Siswa, Mac 2013)

roosezah@yahoo.com 2
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata penuh dengan pancaroba? [2


markah]

(ii) Ibu bapa memainkan peranan untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat
dalam kalangan anak mereka.

Nyatakan dua peranan tersebut.


[3 markah]

(iii) Sejak belakangan ini, ramai individu yang tidak mengamalkan gaya hidup
sihat.
Pada pendapat anda, jelaskan tiga kesan terhadap individu yang tidak
mengamalkan gaya hidup sihat.

[4 markah]

SET 2

roosezah@yahoo.com 3
Baca petikan brikut dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha
untuk memartabatkan batik Malaysia serta kekangan untuk melaksanakannya. Panjang
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Seni batik merupakan merupakan salah satu akar budaya yang menjadi identiti bangsa
Malaysia dan bidang kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejak dulu lagi, fungsi batik
tidak pernah berubah sebagai busana kaum Hawa. Walau bagaimanapun, Perdana
Menteri telah berusaha menghidupkan seni batik ini semula dengan mengarahkan
kakitangan awam memakai baju batik pada setiap hari Khamis. Arahan pemakaian
batik selaras dengan usaha kerajaan menyokong usaha untuk mengembangkan industri
batik di negara ini, sekali gus mempopularkan semula pakaian yang semakin dilupakan
itu. Sesungguhnya, langkah mewajibkan pemakaian batik telah memberi nafas baru
kepada perkembangan industri batik negara untuk terus berkembang maju.

Industri batik kini semakin berkembang pesat dan generasi Malaysia telah mula
mencintai batik. Golongan remaja juga sudah tidak berasa segan mengenakan batik
dengan gaya kasual. Selain itu, batik juga telah mendapat penghargaan sebagai budaya
seni yang begitu tinggi nilainya dan boleh dijadikan cenderamata kepada sesiapa sahaja
sama ada di dalam mahupun di luar negara. Kita harus berterima kasih kepada
Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood yang telah mengilhamkan serta melancarkan
Batik Malaysia: Ciptaan Untuk Dunia. Sejak dilancarkan, program tersebut telah
mendapat sambutan hebat, walaupun pada mulanya hanya bertujuan untuk
menimbulkan kesedaran orang ramai untuk mempertahankan seni batik. Selain itu,
badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Budi Penyayang Malaysia telah berusaha
mengadakan Minggu Batik Malaysia 2005 bertujuan untuk berkongsi kegemilangan
dan keistimewaan batik Malaysia bersama-sama masyarakat tempatan dan dunia.

Buat julung-julung kalinya juga, Konvensyen Batik Antarabangsa Kuala


Lumpur 2005 telah diadakan di negara ini. Konvensyen tersebut telah menampilkan 14
orang pembentang kertas kerja dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, United
Kingdom, India, Indonesia, Jepun dan Australia telah menyentuh pelbagai aspek
perkembangan batik seperti sejarah batik, rekaan batik, pemasaran batik serta kejayaan
industri itu. Perdana Menteri juga telah memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus
memberi komitmen dalam menggerakkan industri batik negara. Komitmen kerajaan ini
disebabkan industri batik berpotensi menarik kedatangan pelancong ke Malaysia sekali
gus menyumbang kepada kemajuan industri pelancongan negara. Oleh itu, pihak
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia perlulah bekerja keras untuk mempromosikan batik agar
produk ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan pelancong asing.

Bagi memastikan industri batik terus berkembang, Perbadanan Kemajuan


Kraftangan Malaysia telah berusaha meningkatkan usaha penyelidikan dan
pembangunan (R&D) merangkumi pelbagai aspek batik seperti penggunaan kain baru,
penggunaan warna asli, ketahanan basuhan dan lain-lain. Melalui Program
Pembangunan Usahawan pula, latihan kemahiran tenaga kerja dilaksanakan dengan
matlamat untuk melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri batik ini. Di samping itu
juga, teknologi baru seperti penggunaan mesin dan bantuan komputer untuk
menghasilkan batik yang lebih menarik dan berkualiti diperkenalkan. Selain usaha yang
dijalankan oleh pihak kerajaan, para pengusaha batik tempatan juga perlu memainkan
peranan mereka untuk meningkatkan kemajuan industri batik di negara ini. Mereka

roosezah@yahoo.com 4
perlu lebih kreatif dalam menghasilkan batik yang lebih menarik dan lebih bermutu
bagi memastikan batik tempatan mampu bersaing dengan batik dari negara-negara lain.
Mereka juga perlulah bersedia untuk melabur untuk meningkatkan pasaran batik ke
peringkat global.

Secara tuntas, apa-apa yang selama ini menjadi identiti bangsa sebagai warisan
tradisi yang wajar dipertahankan terutama yang membabitkan seni budaya tempatan
seperti seni batik ini. Sudah tiba masanya seni batik Malaysia yang diusahakan secara
turun-temurun, kembali berdaya maju seperti yang pernah dilaluinya sebelum ini dan
terus bertapak di hati generasi demi generasi sebagai khazanah bangsa yang
dibanggakan.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana


Memartabatkan Batik Malaysia oleh Haji Samat Buang,
Dewan
Siswa, April 2006)

Soalan 2 (a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata warisan tradisi yang wajar dipertahankan.

[2 markah]

(ii) Nyatakan tiga kesan langkah kerajaan mewajibkan kakitangan awam memakai
baju batik setiap Khamis.
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, selain melalui industri batik, apakah bidang lain yang
boleh diketengahkan untuk memperkenalkan Malaysia kepada
pelancong asing?

Kemukakan tiga pendapat.

[4 markah]

SET 3

roosezah@yahoo.com 5
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah mengekalkan gaya hidup sihat dan halangan mengekalkannya. Panjang
rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini, pembangunan arus globalisasi merupakan perkara yang kian pesat
berkembang di negara kita. Namun begitu, dalam mengejar arus modenisasi, kita
seharusnya menitikberatkan perihal kesihatan. Tanpa kehidupan yang sihat nescaya kita
terdedah dengan penyakit yang berbahaya. Oleh itu, mengamalkan gaya hidup sihat
merupakan langkah yang wajar dijadikan amalan. Antara amalan gaya hidup sihat ialah
menjaga pemakanan seharian kita. Oleh itu, kita perlu mengamalkan pemakanan
seimbang. Pemakanan seimbang membolehkan badan kita sihat dan tidak terlalu
gemuk. Pemakanan yang tidak seimbang akan menyebabkan badan kita mendapat
pelbagai penyakit seperti darah tinggi, sakit jantung, dan kencing manis.

Selain itu, kita juga hendaklah rajin bersenam atau beriadah. Dengan melakukan
aktiviti senaman, jantung akan menjadi sihat dan kuat. Sisa toksin dalam badan pula
akan keluar melalui peluh semasa kita bersenam. Senaman yang kita lakukan akan
membolehkan darah mengalir dengan baik dan menguatkan lagi otot-otot badan. Pada
waktu yang sama, kita perlu menjaga kebersihan rumah dan persekitaran. Tempat-
tempat yang membolehkan nyamuk membiak mestilah dihapuskan. Jangan sesekali
membuang sampah sarap ke dalam sungai atau dibiarkan di luar rumah kerana akan
menyebabkan pencemaran alam sekitar. Di samping itu, kita juga hendaklah membuat
pemeriksaan kesihatan. Apabila mengetahui tahap kesihatan kita, kita boleh mengambil
langkah tertentu bagi memastikan kesihatan kita terus berada dalam keadaan baik. Jika
tidak membuat pemeriksaan, tanpa kita jangka, tiba-tiba sahaja kita rebah.

Kita juga mesti menjauhi perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan.


Antaranya, menghisap rokok, minum arak, dan menagih dadah. Tabiat menghisap
rokok menyebabkan seseorang mendapat penyakit paru-paru dan jantung. Kebaikan
utama gaya hidup sihat ialah amalan yang membina ini sentiasa memastikan tahap
kesihatan berada dalam keadaan yang baik. Sebagai contoh, gaya hidup sihat juga
menjamin kestabilan kesihatan mental serta sentiasa mengawal ataupun mengurangkan
tekanan. Oleh itu, amalan berehat dan tidur dengan kadar yang mencukupi dapat
mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh serta minda.

Kita juga perlu mempunyai pemikiran positif yang mampu memberikan jalan
penyelesaian bagi kemelut yang serius tanpa menghadapi tekanan yang berlebihan.
Gaya hidup yang sihat juga melahirkan insan yang berdisiplin dan sihat dari segi fizikal
dan persekitarannya. Sehubungan itu, kita hendaklah sentiasa menjaga kebersihan diri.
Malah, kita hendaklah sentiasa berbaik-baik dengan jiran. Jiran yang baik bukan sahaja
dapat mengukuhkan ikatan silaturahim, malahan melahirkan jiwa yang tenang. Akhir
sekali, kita hendaklah sentiasa peka dengan keadaan persekitaran kerana persekitaran
yang baik dapat mengekalkan keharmonian hidup kita.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada


rencana
Mengamalkan Gaya Hidup Sihat,
oleh Lyisronney Dulasik, Dewan Siswa,
Januari 2013)

roosezah@yahoo.com 6
Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengekalkan keharmonian. [ 2 markah


]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kelebihan apabila memiliki tubuh yang sihat.

Nyatakan kelebihan tersebut.

[ 3 markah ]

(iii) Pada pendapat anda, mengapakah rakyat Malaysia rata-rata mengalami obesiti.

Kemukakan tiga pendapat anda.


[ 4 markah ]

roosezah@yahoo.com 7
SET 4

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah kerajaan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kegawatan ekonomi
dan kesan-kesan pemulihan ekonomi kepada rakyat. Panjangnya rumusan hendaklah
tidak melebihi 120 patah perkataan.

Usaha membasmi kemiskinan tegar menjadi agenda utama kerajaan menjelang 2010.
Bagi meringankan beban rakyat, usaha diambil dengan memperuntukkan RM214 juta
bagi pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan pembasmian
kemiskinan. Langkah ini juga akan memastikan agenda masyarakat penyayang terus
diamalkan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat telah memperkenalkan pakej


rangsangan ekonomi pertama khusus untuk meningkatkan pemilikan rumah oleh
rakyat. Oleh itu, bagi merangsang sektor perumahan, kerajaan mencadangkan supaya
pembeli diberikan pelepasan cukai atas faedah pinjaman. Kerajaan juga telah
membantu rakyat dengan menambah baik infrastruktur awam. Dalam hal ini, kerajaan
menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk menambah baik
infrastruktur yang rosak serta menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian,
penyelenggaraan, dan membaik pulih pelbagai kemudahan serta prasarana awam.
Selain itu, Bon Simpanan Kerajaan telah diterbitkan untuk menjanakan pendapatan
rakyat. Bon ini bertujuan memberikan peluang kepada rakyat untuk memperoleh
pendapatan tambahan. Bon ini dibuka kepada setiap rakyat berusia 21 tahun ke atas
dengan nilai minimum pelaburan sebanyak RM1000.

Di samping itu, kerajaan menaik taraf pelbagai kemudahan asas di luar bandar
seperti bekalan elektrik dan air terutama di Sabah dan Sarawak. Usaha ini akan
meningkatkan ekonomi rakyat melalui pengambilan kontraktor kecil dan pekerja
tempatan di kawasan luar bandar. Justeru, pelbagai program dan projek dirancang oleh
kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat di Sabah dan Sarawak seperti
pembesaran Lapangan Terbang Sibu, Sarawak dan Projek Sistem Penghantaran
Elektrik Kota Kinabalu, Sabah.

Kini, terdapat beberapa program mikrokredit tanpa cagaran disediakan oleh


pelbagai pihak seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, Agrobank dan TEKUN. Program ini
bertujuan untuk membantu peniaga kecil di bandar dan di luar bandar. Kaedah lain yang
dilaksanakan adalah dengan memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib
baik seperti warga emas, golongan kurang upaya, dan ibu tunggal. Bantuan yang
diberikan adalah seperti program jaringan keselamatan sosial, bantuan kewangan dan
bilangan tenaga kerja, meningkatkan kemudahan pusat penjagaan warga tua,
memantapkan pengurusan rumah perlindungan wanita, dan menambahkan kemudahan
pusat asuhan kanak-kanak.

Bagi mengurangkan tanggungan orang ramai, kerajaan mengambil langkah


pengecualian cukai yang diberikan atas bayaran pampasan kehilangan pekerjaan.
Langkah ini diambil bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja yang diberhentikan.

roosezah@yahoo.com 8
Di samping itu, kerajaan menggalakkan pihak bank untuk menangguhkan bayaran balik
pinjaman perumahan.

Kesimpulannya, kerajaan yakin usaha yang dirangka dan dilaksanakan adalah


komprehensif dan menyeluruh untuk menghindarkan ekonomi negara daripada
terjerumus dalam kancah kemelesetan yang mendalam sehingga memberi kesan kepada
rakyatnya. Dengan landasan kukuh yang telah dibina, kerajaan yakin dapat mencipta
kejayaan lebih besar.

(Dipetik dan diubah suai daripada,


Pakej RM60b Perkukuh Ekonomi Negara Hadapi Kegawatan Global,
Berita Harian, 11 Mac 2009)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata kemiskinan tegar? [2


markah]

(ii) Pengarang menyatakan bahawa peruntukan tambahan telah disediakan oleh

kerajaan untuk meringankan beban rakyat.

Nyatakan dua cara peruntukan tambahan tersebut dibelanjakan. [3 markah]

(iii) Rakyat juga berperanan dalam menangani krisis ekonomi negara.

Huraikan pendapat anda tentang tiga cara rakyat dapat menangani krisis ekonomi
negara.
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 9
SET 5

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan
kaunselor dan langkah-langkah untuk menggalakkan murid mendapatkan khidmat
kaunselor. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Murid-murid pasti sudah biasa mendengar perkataan kaunselor, tetapi sejauh manakah
pengetahuan mereka tentang fungsi kaunselor? Ramai murid yang masih kabur tentang
dan kriteria sebenar kaunselor dan kriteria individu yang memerlukan khidmatnya.
Sebagai orang yang terlatih, kaunselor melaksanakan tugas berlandaskan
pengetahuannya dalam bimbingan dan kaunseling yang mampu menangani sebahagian
masalah di sekolah. Antara masalah yang dialami oleh murid ialah tekanan emosi.
Dalam hal ini, fungsi kaunselor adalah untuk menolong murid mengenal pasti punca
tekanan emosi tersebut, di samping memberikan bimbingan tentang cara menangani
masalah yang dihadapi.

Walau bagaimanapun, kaunselor bukanlah berperanan untuk menyelesaikan


masalah seperti tanggapan sesetengah pihak. Perkara ini perlu difahami oleh setiap
murid yang mahu mendapatkan bantuan atau khidmat daripada kaunselor. Kaunselor
sebenarnya berperanan untuk memandu murid memahami serta menerima keadaan diri
sendiri supaya mereka dapat meningkatkan perlakuan yang baik dan mengurangkan
perlakuan yang sebaliknya. Sehubungan dengan itu, murid tidak seharusnya
menganggap bahawa mereka yang berjumpa dengan kaunselor merupakan individu
yang bermasalah semata-mata. Tanggapan ini tidak benar sama sekali. Hakikatnya,
apabila bertemu dengan kaunselor, murid akan dibantu untuk menguruskan perkara-
perkara yang berkaitan dengan kehidupannya seperti panduan memilih jurusan atau
kerjaya yang sesuai dan bukan memberikan tumpuan terhadap masalah tertentu sahaja.

Kaunselor juga dapat membantu murid mengesan dan mengembangkan bakat


dan minatnya. Hal ini penting supaya segala tindakan yang bakal dilakukan oleh murid
selaras dengan apa-apa yang diingini agar mereka berpeluang membuat perancangan
masa depan untuk mencapai matlamat hidup. Dalam masa yang sama, kaunselor
bertanggungjawab untuk membimbing murid memanfaatkan peluang bagi
penyempurnaan kendiri. Pelaksanaan pelbagai program bimbingan dan kaunseling
seperti ceramah, kursus dan kem motivasi akan membolehkan kaunselor memahamkan
murid tentang hubungan mereka dengan masyarakat sekitar. Dalam hal ini, mereka
akan dapat menyesuaikan diri dan berinteraksi secara positif dengan rakan sebaya dan
jiran-jiran. Selain itu , kaunselor juga dapat memupuk nilai-nilai dalam diri murid
melalui sesi kaunseling yang dijalankan. Penyemaian nilai-nilai murni ini akan
meningkatkan mutu disiplin murid-murid di sekolah.

Sesungguhnya, usaha-usaha penambahbaikan perkhidmatan kaunseling wajar


dilaksanakan agar khidmat yang diberikan oleh kaunselor mendapat kepercayaan
murid. Sikap profesional kaunselor dalam melaksanakan tugas hendaklah menjadi
keutamaan demi menaikkan imej perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

roosezah@yahoo.com 10
(Dipetik dan diubah suai daripada
Memanfaatkan Khidmat Kaunselor,
oleh Nadiah Naufal, Dewan Siswa, April 2012)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mendapat kepercayaan.

[2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa tanggapan yang salah tentang khidmat


kaunselor di sekolah.

Nyatakan tanggapan-tanggapan yang salah tersebut.


[ 3 markah]

(iii)Pada pendapat anda, selain mendapatkan khidmat kaunselor, apakah


tindakan-tindakan yang wajar dilakukan oleh murid untuk menangani masalah
yang dihadapi oleh mereka?

[4 markah]

roosezah@yahoo.com 11
SET 6

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah menangani masalah emosi murid dan kebaikan mengatasinya. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tragedi seorang murid mati akibat terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah memang
menyayat hati. Kejadian ini walaupun boleh dikategorikan sebagai kes terpencil namun
tidak boleh diambil mudah kerana berkait rapat dengan masalah emosi murid. Sakit
yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar kebiasaannya melibatkan mental. Oleh sebab
itu, satu mekanisme mengenal pasti masalah depresi mental dari peringkat awal perlu
diwujudkan oleh pihak sekolah agar dapat ditangani seawal mungkin sebelum menjadi
serius.

Sebagai permulaan, kaunselor di sekolah perlu memainkan peranannya supaya


masalah berkaitan emosi murid ini tidak melarat sehingga menyebabkan kejadian yang
tidak diingini berlaku. Seharusnya kaunselor perlu menganjurkan program yang boleh
mewujudkan kesedaran ke arah mengenal pasti punca, simptom dan kaedah menangani
masalah berkaitan emosi. Manakala pentadbir sekolah dan guru kelas pula perlulah
sentiasa peka dengan sebarang perubahan sikap dan tingkah laku murid. Mereka perlu
mengambil tindakan segera jika terdapat tingkah laku murid yang mencurigakan malah
jangan mengambil mudah sebarang ugutan atau ancaman khususnya yang dinyatakan
di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Kementerian


Pendidikan memperkenalkan Modul Kesihatan Mental di sekolah menengah pada
tahun 2011 untuk menangani masalah emosi murid. Pada masa yang sama, pentadbir
sekolah dan guru juga perlu memahami Falsafah Pendidikan Kebangsaan yag mahu
melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI).
Justeru, berikan ruang dan peluang kepada murid untuk beriadah bagi mengurangkan
tekanan dengan melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum khususnya untuk murid
yang tidak terlibat dengan peperiksaan. Penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum
boleh menyihatkan badan, menambahkan kemahiran dan membentuk semangat
berpasukan. Malah aktiviti kokurikulum juga memberi kelebihan kepada murid untuk
memasuki universiti awam.

Pelbagai pendekatan juga perlu difikirkan oleh pihak sekolah. Kerjasama ibu
bapa dan pihak sekolah amat membantu dalam menangani permasalahan emosi murid.
Paling mudah, ibu bapa segera memberitahu pihak sekolah sekiranya anak-anak
mereka menghadapi masalah selain tidak menyerahkan bulat-bulat kepada sekolah
menangani masalah tersebut. Persatuan Ibu Bapa dan Guru menganjurkan Kursus
Kemahiran Keibubapaan sebagai kaedah penyelesaian terbaik kepada masyarakat agar
masalah emosi murid ini dapat diatasi. Segalanya terpulang kepada kebijaksanaan
pentadbir sekolah dan guru untuk menjadualkan aktiviti murid supaya dapat melahirkan
modal insan yang holistik, bijak, sihat dan berpersonaliti unggul.

roosezah@yahoo.com 12
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana
Menangani Masalah Emosi Pelajar,
oleh Azmy Mohamed, Utusan Malaysia, 14 Februari 2011)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata berpersonaliti unggul.

[2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kebaikan sekiranya murid menyertai aktiviti


kokurikulum di sekolah.

Berikan dua kebaikan tersebut.


[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah punca-punca yang menyebabkan murid-murid


menghadapi masalah emosi?

Kemukakan tiga punca.


[4 markah]

roosezah@yahoo.com 13
SET 7

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-
faedah bersenam kepada orang ramai dan masalah-masalah untuk melakukan senaman.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kebolehan melakukan tugas harian menyebabkan ramai orang menyangka bahawa


mereka cergas. Sesetengah orang menyatakan bahawa mereka jarang-jarang sakit dan
tidak kerap mendapatkan rawatan perubatan tetapi hal ini tidak bermakna keadaan
fizikal mereka itu baik. Dari segi kesihatan, strategi yang berkesan untuk seseorang
berada kekal dalam keadaan cergas dan sihat adalah dengan bersenam sekurang-
kurangnya tiga kali seminggu. Walaupun fakta ini diketahui umum, namun aktiviti
yang berkait dengan kesihatan masih berada di tangga terbawah dalam senarai
keutamaan yang perlu dilakukan pada setiap minggu.

“Tubuh yang sihat membawa kepada akal yang sihat.” Bagaimanakah senaman
menyumbang kepada akal yang sihat? Senaman dalam jangka panjang akan
melancarkan perjalanan darah ke otak. Peningkatan tekanan darah akan menyalurkan
darah ke otak yang kurang mendapat darah, seterusnya meningkatkan keperluan
oksigen kepada otak. Hal ini menyebabkan kita akan menjadi lebih segar dan tidak
mengantuk. Senaman aerobik pula mampu meningkatkan proses pembelajaran
walaupun kepada golongan dewasa. Kita juga akan kelihatan hebat dan berkeyakinan
setelah melakukan senaman kerana wujudnya kepercayaan dalam diri. Selain itu,
senaman juga mampu menangani masalah kemurungan.

Dari segi teori perubatan apabila seseorang bersenam, hormon adrenalin akan
dibebaskan dan menyebabkan salur darah mengecil. Dengan itu tekanan darah akan
meningkat dan darah sampai kepada organ dalam masa yang singkat. Sebagai kesannya,
salur darah di otot pula dilebarkan untuk memenuhi keperluan oksigen kepada bahagian
otot berkenaan. Senaman menjadikan jantung berfungsi dengan lebih baik kerana darah
perlu dipam cepat untuk memenuhi badan yang bermetabolisme tinggi. Hasilnya,
seseorang akan sentiasa gembira dan tenang.

Bersenam secara konsisten dan mengamalkan diet seimbang membantu mengawal


berat badan yang berlebihan. Obesiti meningkatkan risiko mendapat pelbagai penyakit
seperti diabetes, penyakit jantung dan batu karang. Satu fakta menarik faedah bersenam
ialah jangka hayat lebih panjang dalam kalangan orang yang dikategorikan mempunyai
kecergasan sederhana berbanding dengan mereka yang tidak cergas. Hal ini terbukti
melalui satu kajian yang mendapati kadar kematian kumpulan orang yang tidak cergas
adalah sekali ganda lebih tinggi berbanding dengan mereka dalam kumpulan sederhana
cergas. Tuntasnya, jadikanlah bersenam sebagai satu budaya hidup kita supaya kita
kekal sihat sepanjang masa.

roosezah@yahoo.com 14
(Dipetik dan diubahsuaikan daripada
Faedah-faedah Senaman,
oleh Ziauddin Sharuddin, dalam Berita Minggu, 12 Mac 2010)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata strategi yang berkesan. [2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa ciri yang menunjukkan seseorang itu


mempunyai fizikal yang cergas.

Nyatakan dua ciri tersebut.


[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang boleh dilakukan untuk
menggalakkan seseorang bersenam?
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 15
SET 8

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-
faedah pengurusan masa dengan berkesan dan kekangan untuk menguruskan masa bagi
seseorang pelajar. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Apakah yang dimaksudkan dengan pengurusan masa yang berkesan? Pengurusan masa
bermaksud pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian seseorang dapat
dijalankan dengan baik dan tidak terganggu atau boleh dimaksudkan sebagai
pembahagian masa yang cekap. Dewasa ini, kita sering mendengar berita tentang
pelajar yang terjerumus dalam kancah kemaksiatan ataupun penyalahgunaan dadah.
Mengapakah hal ini boleh berlaku dalam kalangan pelajar? Hal ini berlaku disebabkan
pelajar itu mudah terpengaruh oleh anasir-anasir buruk. Pelajar yang terlibat dalam
kegiatan ini tidak dapat mengurus masa dengan cekap. Justeru, mereka sering
membuang masa dengan sia-sia sahaja. Oleh itu, pengurusan masa amat penting dalam
kehidupan seseorang pelajar.

Langkah pertama untuk mengendalikan masa secara berkesan ialah pelajar


digalakkan menyediakan jadual pelajar masing-masing. Jadual waktu belajar dapat
membantu pelajar mengurus masa dengan berkesan. Pelajar dapat memanfaatkan masa
untuk mengulang kaji pelajaran secara menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi
peperiksaan. Hal ini dapat mengelakkan pelajar daripada kesuntukan masa untuk
mengulang kaji pelajaran apabila peperiksaan sudah hampir. Pelajar yang berjaya
biasanya terdiri daripada mereka yang membuat persediaan awal. Bagi pelajar yang
tidak membuat persediaan awal kerana sibuk membuang masa tentulah tidak dapat
menghabiskan semua tajuk sebelum peperiksaan. Di samping itu, masa yang terluang
dapat digunakan untuk aktiviti yang berfaedah seperti membaca bahan ilmiah dan
melayari Internet untuk mencari maklumat tentang pelajaran. Masa jangan dibiarkan
berlalu begitu sahaja. Seperti yang kita ketahui bahawa masa itu amat berharga bak
kata pepatah 'masa itu emas'. Pelajar bukan sahaja dapat menggunakan masa dengan
berfaedah, tetapi juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan.

Tambahan pula, pelajar dapat memanfaatkan masa dengan keluarga tersayang bagi
memupuk sikap kasih sayang dalam keluarga. Hal ini dilihat apabila masa
diperuntukkan bersama-sama keluarga melakukan aktiviti sampingan seperti bersenam,
bersiar-siar, menonton televisyen, beribadat dan sebagainya. Kebaikan menguruskan
masa sebaik mungkin ialah pelajar dapat menjalankan kegiatan riadah supaya
mempunyai badan yang sihat dan otak yang cerdas. Keadaan ini dapat menanamkan
sifat bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri pelajar. Melalui cara ini, pelajar
dapat mengamalkan hidup yang berdisiplin dan bermakna. Faedah menguruskan masa
ialah para pelajar berupaya menggunakan masa senggang pada hari cuti sekolah untuk
membaiki kelemahan diri dalam pelajaran. Hal ini boleh dilakukan dengan membuat
latihan, mencari maklumat di perpustakaan, dan menghadiri kelas tambahan. Selain itu,
masa cuti sekolah bertujuan untuk memberi pelajar peluang bagi menenangkan fikiran

roosezah@yahoo.com 16
setelah bertungkus-lumus sepanjang tahun. Para pelajar boleh membuat kerja kebajikan
seperti melibatkan diri dalam kerja gotong-royong, aktiviti membersihkan kawasan
perumahan dan membantu orang yang perlu pertolongan. Malah mereka juga boleh
mencari kerja sambilan untuk mendapatkan kemahiran dan wang. Wang yang diperoleh
dapat menampung perbelanjaan sekolah.

Kesimpulannya, sebagai pelajar kita bukan sahaja perlu berjaya dalam pelajaran
tetapi juga perlu berjaya dalam bidang sukan, aktiviti kokurikulum, agama dan aktiviti
kemasyarakatan. Oleh itu, kita perlu mengurus masa dengan betul supaya aktiviti
harian dapat dijalankan dengan berkesan, seterusnya melahirkan modal insan yang
bermoral selaras dengan Wawasan 2020. Pelajar yang pandai mengurus masa biasanya
akan berjaya dalam kehidupan dan berani menghadapi rintangan hidup. Hal ini akan
menjamin kehidupan yang bahagia pada masa hadapan.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Pengurusan Masa Yang Berkesan
oleh Sham al-Johori, Minda Pelajar, Januari 2008)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata melahirkan modal insan.

[2 markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa kejayaan yang harus dicapai oleh seorang
pelajar selain pelajaran.

Nyatakan dua kejayaan tersebut.


[3 markah]

(iii) Jadual belajar amat penting untuk membantu pelajar menguruskan masa dengan
berkesan bagi mencapai kejayaan yang cemerlang.

Pada pendapat anda, bagaimanakah penyediaan jadual belajar dapat membantu


kecemerlangan seseorang pelajar?
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 17
SET 9

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
penganjuran pesta buku dan cara-cara menarik minat pengunjung ke pesta buku.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Saban tahun banyak pihak termasuk agensi-agensi kerajaan yang telah menganjurkan
pesta buku. Contoh terbaharu ialah penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala
Lumpur. Sepanjang pesta itu diadakan, kita melihat semangat kecintaan terhadap buku
yang luar biasa. Mungkin yang kita lihat itu gambaran luaran semata-mata, tetapi
sekurang-kurangnya kita dapat melihat manusia dari semua peringkat datang
berbondong-bondong ke tempat pesta itu diadakan. Dianggarkan lebih daripada sejuta
pengunjung telah membanjiri premis pesta berkenaan. Hal ini memberi petunjuk
kejayaan dan kepentingan penganjurannya.

Dalam pesta buku, pengunjung berpeluang memilih pelbagai judul buku dalam
pelbagai jenis bidang dan sub bidang ilmu. Namun sebaik sahaja pesta buku berakhir,
peluang tersebut tidak muncul lagi, terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan
luar bandar tetapi bagi mereka yang tinggal di bandar besar mereka boleh memilih ke
kedai buku mega di gedung-gedung membeli belah untukmendapatkan buku. Oleh itu,
wajar sekali pesta buku dalam skala tertentu terus diadakan dari semasa ke semasa,
bergerak dari sebuah bandar kecil ke sebuah bandar kecil yang lain. Tempoh pusingan
setahun, sehingga munculnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang akan
datang mempu meningkat dan mengekalkan momentum minat membeli dan membaca
dalam kalangan masyarakat kita.

Pesta buku biasanya turut menawarkan potongan harga yang luar biasa bagi
menarik minat orang ramai membeli buku dan membacanya. Pelbagai acara yang
dianjurkan dalam pesta buku juga secara tidak lansung akan memperkenalkan penulis,
penerbit, pengkritik dan personel lain yang terlibat dalam bidang ini. Acara-acara ini
mendekatkan dunia industri pembukuan, kepengarangan dan apresiasi karya kepada
khalayak. Malang selepas pesta, jarang-jarang kita mendengar adanya acara-acara
seperti ini. Penganjuran acara-acara ini dari semasa ke semasa di pelbagai tempat yang
strategik akan membantu menyuburkan dunia pembukuan dan yang lebih penting daya
intelektual masyarakat dapat ditingkatkan Industri penerbitan yang merupakan tunjang
kepada kejayaan penganjuran sesuatu pesta buku bukanlah semata-mata berfokus
kepada keuntungan material, tetapi kepada cara ilmu pengetahuan dapat disebarkan,
dihidupkan dan dimanfaatkan oleh anggota masyarakat.

Akhir sekali, pesta buku akan memberi lebih banyak peluang kepada anggota
masyarakat kita untuk mendapatkan bahan bacaan yang terkini dan bermutu sama dari
dalam luar negara. Penyertaan penerbit atau pempamer dari lua negara akan turut
mengangkat prestij Pesta Buku Antarabangsa Kula Lumpur dan seterusnya
mengekalkan momentum perkembangan minat membeli dan membaca dalam kalangan
masyarakat.

roosezah@yahoo.com 18
(Dipetik dan diubah suai daripada, Pesta Buku Galak Minat
Membaca Masyarakat, oleh Dr. Anwar Ridhwan,
dalam Berita Minggu, 20 Mei 2014)
Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata membanjiri premis. [2


markah]

(ii) Apakah matlamat industri penerbitan yang merupakan tunjang kepada kejayaan
penganjuran sesuatu pesta buku?
[ 3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah ibu bapa mampu memupuk budaya
membaca dalam kalangan anak-anak?
[ 4 markah]

roosezah@yahoo.com 19
SET 10

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang faedah-
faedah remaja menyertai persatuan dan langkah-langkah menggalakkan penyertaannya.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Golongan remaja sering mendapat perhatian ramai. Banyak kes yang dicetuskan oleh
golongan remaja sehingga mereka dipandang serong akibat perbuatan yang tidak
bermoral dan bertentangan dengan hukum agama. Bagi remaja yang telah menamatkan
persekolahan dan masih belum bekerja, mereka banyak mempunyai masa terluang.

Untuk mengatasi rasa bosan dan mengisi masa terluang, remaja mengambil
peluang untuk berkumpul bersama dengan rakan sebaya. Apabila berkumpul, sikap
remaja biasanya menjadi lebih agresif dan mudah terdorong untuk melakukan
perbuatan yang mendatangkan keseronokan tanpa memikirkan baik dan buruknya.
Perkara buruk mudah mendapat perhatian remaja tanpa disedari kerana perkara itu
biasanya lain daripada yang lain. Selain itu, melakukan perbuatan tersebut merupakan
kemegahan dan kepuasan.

Untuk mengisi masa terluang dan mengelakkan remaja daripada dipengaruhi anasir
buruk, penyertaaan dalam persatuan merupakan jalan yang baik. Dengan menyertai
persatuan, remaja dapat melakukan pelbagai aktiviti yang mendatangkan kebaikan.
Ruang masa disalurkan dengan aktiviti persatuan yang mendedahkan mereka kepada
banyak pengalaman dan mendidik jati diri ke arah perkara yang positif.

Terdapat banyak persatuan yang sesuai disertai oleh golongan remaja. Mereka
boleh memilih untuk menyertai persatuan bergantung pada minat dan kebolehan
masing-masing. Terdapat persatuan yang beroperasi pada peringkat antarabangsa,
kebangsaan, negeri, daerah dan tunggal. Bentuk persatuan pula termasuklah bersifat
sukarelawan, keagamaan, sukan, dan hobi. Semua persatuan adalah baik untuk disertai
oleh remaja memandangkan matlamat penubuhannya berasaskan pada tujuan yang
murni.

Menyertai persatuan memberikan peluang untuk setiap ahli yang mempunyai


minat dan kebolehan yang sama mengembangkan bakat yang dimiliki. Mereka dapat
bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan demi membaiki dan meningkatkan
kebolehan masing-masing. Amat penting bagi ahli baharu untuk menimba pengalaman
dengan ahli lama. Ada persatuan melatih ahli tentang kepakaran tertentu termasuklah
pertolongan cemas, kawad, dan pengembaraan hutan, Aktiviti ini merupakan
sebahagian proses pembelajaran dan pengumpulan pengalaman.

Remaja yang menyertai persatuan dapat membentuk hubungan kemanusiaan


yang lebih baik, bersatu padu, saling menghormati, tidak mementingkan diri dan
terbentuknya sifat-sifat murni lain. Pergaulan sesama ahli persatuan akan
mendewasakan remaja. Pemikiran mereka lebih terbuka dan dapat menerima perubahan

roosezah@yahoo.com 20
yang membawa kepada kebaikan. Remaja sendiri dapat menyatakan pendapat dan
memberikan sumbangan bermakna kepada kemajuan persatuan. Keadaan sedemikian
menjadikan remaja lebih memahami kehidupan alam masyarakat yang kompleks.

Persatuan juga memberikan pendedahan kepada remaja tentang kepimpinan.


Biasanya, remaja diberi tugas untuk menjadi ahli jawatankuasa kepada persatuan yang
disertai. Jawatan dalam persatuan merupakan satu penghormatan kepada remaja.
Pendedahan awal pengalaman memimpin persatuan merupakan asas terbaik untuk
mendidik dan membentuk remaja menjadi pemimpin. Lambat-laun remaja akan
menggantikan pemimpin yang lama. Mereka memerlukan pendedahan awal agar dapat
mengambil alih tugas berat itu dengan persediaan yang cukup. Seorang pemimpin
bukannya dilahirkan, tetapi terbentuk melalui asuhan dan pengalaman yang berterusan.

Pemimpin mempunyai tanggungjawab yang berat dan hanya mereka yang


terdidik melalui proses kepimpinan sahaja mampu melakukannya. Sememangnya,
sesiapa sahaja berpotensi untuk menjadi pemimpin jika bersedia memikul
tanggungjawab mencabar, sesuai dengan pengalaman yang telah dilaluinya sebelum
ini.
(Dipetik dan diubah suai daripada
Remaja Perlu Menyertai Persatuan
oleh Lokman Ismail, dalam Dewan Siswa, September 2015)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengembangkan bakat yang dimiliki.

[2 markah]

(ii) Pengarang telah mengemukakan pendapat tentang keseronokan remaja


melakukan perkara yang buruk.

Nyatakan dua sebab remaja berbuat demikian.

[3 markah]

(iii) Masih terdapat golongan remaja yang tidak suka berpersatuan atas beberapa
faktor.

Huraikan pendapat anda tentang faktor-faktor yang menyebabkan golongan


remaja tidak meminati aktiviti berpersatuan.

[4 markah]

roosezah@yahoo.com 21
SET 11

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan-
kepentingan menabung bagi golongan remaja dan cara-cara untuk menarik minat
golongan remaja menabung. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah
perkataan.

Kebanyakan ibu bapa pada zaman ini mempunyai masa yang amat terhad dengan
keluarga terutamanya dengan anak-anak. Oleh sebab itu, tidak hairanlah rata-rata ibu
bapa pada hari ini memanjakan anak-anak remaja mereka dengan wang ringgit. Mereka
menganggap bahawa cara itu sebagai tanda kasih sayang mereka terhadap anak-anak.
Walau bagaimanapun, tindakan ini lama-kelamaan akan menyebabkan golongan
remaja ini lupa diri. Walaupun ibu bapanya mempunyai harta yang banyak dan dapat
digunakan pada bila-bila masa tanpa had, perkara itu bukan alasan bagi remaja untuk
bersikap boros dan tidak mengendahkan amalan menabung yang dapat dijadikan
sebagai simpanan masa depan.

Amalan menabung ini juga dapat mendidik golongan remaja agar berjimat cermat
tatkala tangan mereka memegang wang dengan banyak. Selain itu, amalan ini juga
dapat mendidik golongan remaja untuk merancang perbelanjaan dengan bijak. Sikap
beringat-ingat semasa senang mampu mengelakkan golongan remaja daripada
menghadapi masalah kewangan. Hal ini dikatakan demikian kerana duit simpanan amat
penting terutamanya untuk digunakan pada masa-masa kecemasan, misalnya untuk
menggantikan barang-barang keperluan yang rosak atau hilang terutamanya bagi
remaja yang menuntut di kolej atau tinggal di asrama yang jauh daripada keluarga.

Remaja yang gemar menabung dapat meringankan beban ibu bapa kerana duit
simpanan mereka dapat digunakan untuk melanjutkan pelajaran. Dengan cara ini,
remaja dapat berdikari dan tidak terlalu bergantung pada ibu bapa. Hal ini dikatakan
demikan kerana kos belajar di institusi pengajian tinggi agak mahal. Walaupun kerajaan
menyediakan bantuan pinjaman atau biasiswa, remaja tetap perlu menyediakan
sejumlah wang yang mencecah beberapa ribu ringgit semasa pendaftaran dan sepanjang
tempoh pengajian. Sekiranya seseorang itu mempunyai wang tabungan, mereka dapat
mengurangkan beban hutang pendidikan yang terpaksa ditanggung selepas mereka
menamatkan pengajian kelak.

Amalan menabung dalam kalangan remaja dapat membentuk golongan remaja


yang berdisiplin dan bermaruah. Mereka dapat menilai keperluan hidup dengan bijak
supaya tidak melepasi batas keperluan sehingga berlaku pembaziran. Remaja yang
terdidik dengan sikap berjimat cermat dan suka menabung pula akan memperoleh
pulangan yang lumayan sekiranya mereka memilih untuk menabung dengan institusi
perbankan konvensional yang mengamalkan kadar faedah tetap ataupun sistem
perbankan Islam berdasarkan kaedah perkongsian untung dan beberapa syarat lain
mengikut syariat Islam. Mereka juga boleh melabur wang dalam saham amanah yang
banyak terdapat di negara kita. Pengurusan kredit secara berhemah ini membantu
golongan remaja mencapai ketenangan minda.
(Dipetik dan diubah suai daripada

roosezah@yahoo.com 22
Budaya Menabung Masih Rendah,
oleh Mohd. Khairul Mohd. Ali,Utusan Malaysia, 22 April 2015)
Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata lupa diri. [2 markah]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kaedah menabung yang menguntungkan


remaja.

Nyatakan dua kaedah tersebut.

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, selain memberikan alasan bergaji kecil, apakah
alasan-alasan lain yang biasanya dinyatakan oleh seseorang yang tidak mahu
menabung?
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 23
SET 12

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-
langkah untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam bidang ekonomi dan
kekangannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kaum wanita pada zaman dahulu sering dikaitkan dengan peranan mereka sebagai suri
rumah, tetapi kini pencapaian wanita sudah memasuki fasa yang lebih luas dan
cemerlang serta berjaya memecahkan dominasi lelaki, sama ada dalam bidang
kepimpinan, pentadbiran, mahupun keusahawanan. Oleh sebab golongan wanita di
negara ini mewakili separuh daripada jumlah penduduk negara, penglibatan mereka
dalam pembangunan ekonomi sangat penting untuk meningkatkan pendapatan negara
dan sekali gus membantu meningkatkan status sosioekonomi keluarga.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, menyeru supaya
sektor swasta turut meningkatkan penyertaan wanita di Malaysia dalam jawatan
peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan anggota lembaga pengarah.
Beliau juga menyarankan syarikat korporat membuka mata untuk menilai kebolehan
wanita dari sudut yang lebih signifikan. Dalam memperkasakan kuasa wanita sebagai
antara agen pembangunan ekonomi negara, pada tahun 1989, kerajaan mengambil
inisiatif untuk menggubal Dasar Wanita Negara. Penggubalan dasar ini
memperlihatkan komitmen kerajaan yang bertujuan untuk mengintegrasikan
sumbangan wanita dalam proses pembangunan negara, di samping menjaga
kepentingan dan penyertaan wanita supaya tidak diketepikan.

Selain itu, usaha ke arah menjamin perkongsian yang saksama antara lelaki dan
wanita dalam pemilikan sumber dan maklumat juga dilaksanakan. Usahawan wanita
hendaklah meneroka peluang dan faedah yang wujud daripada pembangunan. Bagi
memastikan golongan wanita dapat terus memacu pendapatan syarikat, usahawan
wanita negara ini diseru untuk mendaftar dengan mana-mana persatuan usahawan. Hal
ini bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak maklumat, khususnya tentang
peluang untuk mengembangkan perniagaan, meningkatkan pengetahuan dalam bidang
keusahawanan, di samping membina rangkaian kerja yang lebih kukuh. Usahawan
wanita perlu mendekatkan diri dengan jaringan yang sesuai dan menjalinkan rangkaian
yang lebih luas untuk menjana pendapatan perniagaan masingmasing. Mereka juga
perlu berusaha untuk merebut peluang atau peruntukan yang boleh dimanfaatkan.

Jabatan Pembangunan Wanita juga wajar meningkatkan kerjasama dengan institusi


lain seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agar dapat memperkasakan kegiatan
keusahawanan. Hal ini dapat dijadikan landasan yang baik untuk meningkatkan
penglibatan wanita dalam bidang keusahawanan di negara ini. Pada masa yang sama,
langkah peningkatan kerjasama yang diambil sekurang-kurangnya membolehkan
usahawan wanita terus membangun dan meningkatkan kemahiran, di samping berupaya
mengenal pasti kelemahan mereka.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada

roosezah@yahoo.com 24
Kedudukan Wanita dalam Pembangunan Ekonomi
Oleh Mahathir Mahazar Dewan Ekonomi, Ogos, 2015)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata meningkatkan status.

[ 2 markah]

(ii) Usahawan wanita akan mendapat maklumat jika mereka berdaftar dengan
persatuan usahawan.

Nyatakan maklumat-maklumat tersebut.

[3 markah]

(iii) Wanita perlu memiliki ilmu yang tinggi dan kemahiran untuk berjaya dalam
bidang keusahawanan.

Pada pendapat anda, apakah kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh


usahawan wanita agar mereka lebih cemerlang dalam bidang keusahawanan?

[4 markah]

roosezah@yahoo.com 25
SET 13

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang peranan
generasi muda dalam mengisi kemerdekaan dan langkah-langkah meningkatkan
kesedaran tentang semangat cinta akan negara dalam kalangan generasi muda.
Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tahun ini Malaysia meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-60 tahun. Diam tidak diam
sudah hampir separuh abad negara kita terlepas daripada cengkaman penjajah. Menjadi
rutin tahunan, menjelang sahaja bulan Ogos atau juga dikenali bulan kemerdekaan,
agensi atau kementerian yang berkenaan akan mula menjalankan Kempen Kibarkan
Jalur Gemilang. Namun begitu, perkara yang menjadi kebimbangan banyak pihak ialah
generasi muda tidak mengambil endah tentang hari kemerdekaan. Mereka sewajarnya
menghayati erti kemerdekaan dengan mendalam.

Banyak kemajuan yang telah dicapai oleh generasi muda melalui usaha keras
mereka sendiri dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan. Walau bagaimanapun, generasi
muda juga menghadapi pelbagai masalah. Jika hal ini tidak diatasi secara menyeluruh
akan memberi kesan kepada usaha pembangunan. Pelbagai permasalahan sosial dalam
kalangan generasi muda kerap diperkatakan. Hal ini terbukti menerusi kes jenayah dan
salah laku membabitkan mereka di negara kita kian serius dan bertambah kronik.
Penyalahgunaan dadah pula masih lagi memberi petunjuk bahawa kedudukan masalah
ini masih pada peringkat yang membimbangkan. Kesan penyalahgunaan dadah kepada
negara boleh membantutkan usaha untuk menjayakan dasar-dasar yang diwujudkan.
Oleh itu, generasi muda perlu mengelakkan diri daripada dadah kerana mereka
merupakan aset yang bernilai bagi negara.

Mereka juga kurang mempunyai semangat patriotisme kerana dikatakan tidak


dapat merasai detik-detik kepayahan dalam menuntut kemerdekaan di samping hidup
pada zaman yang selesa. Mereka sepatutnya bertanggungjawab membina kejayaan
negara iaitu sanggup bekerja keras untuk negara. Generasi muda juga perlu
mementingkan kecemerlangan dalam pendidikan. Hal ini demikian kerana pendidikan
memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang
mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia,
berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju
menjelang 2020.

Generasi muda perlu membantu pihak kerajaan bagi mengekalkan keamanan dan
kestabilan negara. Hal ini demikian kerana keamanan dapat mengelakkan negara
daripada serangan musuh sama ada berbentuk fizikal atau psikologi. Tambahan pula,
tugas generasi muda adalah untuk memastikan Malaysia akan terus berpegang pada
konsep keadilan dan kesaksamaan. Dengan ini, semua rakyat dapat menikmati
kemakmuran dan kemajuan bersama-sama. Selain itu, generasi muda yang akan
mengisi perjuangan kemerdekaan hendaklah memastikan prinsip demokrasi akan terus
diamalkan di samping dapat mengurus negara dengan bijak. Sesungguhnya kejayaan

roosezah@yahoo.com 26
negara dalam fasa kedua 58 tahun kemerdekaan memerlukan komitmen semua pihak
terutama generasi muda.
(Dipetik dan diubah suai daripada
Di manakah Semangat Patriotisme Kita,
oleh Dewan Siswa, Ogos 2015)
Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata membantutkan usaha.


[2 markah]

(ii) Pengarang ada mengemukakan beberapa permasalahan sosial dalam kalangan


generasi muda.

Nyatakan permasalahan-permasalahan tersebut.


[3 markah]

(iii) Sambutan Bulan Kemerdekaan sering dilaksanakan pada peringkat sekolah.

Pada pendapat anda, apakah faedah-faedah yang anda peroleh daripada Sambutan
Bulan Kemerdekaan tersebut?
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 27
SET 14

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kaedah-
kaedah menjaga kesihatan sepanjang hayat dan punca-punca kebanyakan individu tidak
sihat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kesihatan merupakan anugerah Tuhan yang tidak ternilai. Sudah semestinya setiap
individu menginginkan tahap kesihatan yang baik buat diri masing-masing. Namun
begitu, pelbagai jenis penyakit kini semakin berleluasa malah ada yang menyebabkan
kematian. Keadaan ini tidak seharusnya dipandang remeh, sebaliknya perlulah
dianggap serius dan disusuli dengan langkah yang efektif untuk mengekalkan tahap
kesihatan.

Setiap orang perlu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat


berdasarkan piramid makanan. Tanpa pengambilan makanan secara sihat, mudahlah
seseorang itu diserang penyakit. Hal ini ada kaitannya dengan tubuh badan manusia
yang memerlukan nutrien dan komponennya. Untuk kekal sihat, seelok-eloknya
seseorang itu mengurangkan pengambilan makanan yang berlemak. Pengurangan
makanan yang berlemak dapat mencegah penyakit berbahaya seperti obesiti, tekanan
darah tinggi dan penyakit jantung. Perkara ini membuktikan bahawa gaya pemakanan
sangat penting dalam kehidupan seseorang.

Setiap individu juga sepatutnya menikmati pelbagai jenis makanan dengan kadar
yang sederhana. Di samping itu, lebihkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam
diet harian agar tubuh badan mendapat bekalan vitamin yang secukupnya. Aspek lain
yang tidak wajar diabaikan tentang pengambilan makanan apabila berhadapan dengan
sajian ialah seseorang itu hendaklah bijak mengawal nafsu makan apatah lagi ketika
makan di luar.Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sebilangan individu yang
berusaha sedaya upaya untuk menghabiskan makanan yang dihidangkan akibat
kemahuan menjamah makanan sukar dikekang.

Amalan pemakanan yang kurang sihat turut mengundang musibah kerana perut
merupakan ibu segala penyakit. Oleh sebab itu, molek benar sesiapa sahaja
mengamalkan diet sihat dalam amalan pemakanan agar tidak menderita pelbagai jenis
penyakit walaupun usia masih muda. Sehubungan dengan itu, setiap individu perlu
mendisiplinkan diri tentang amalan mengawal kesihatan dengan harapan dapat
menikmati hidup yang sihat sepanjang hayat. Untuk memastikan seseorang itu kekal
sihat, kegiatan atau bersenam dan mematuhi nasihat pakar tidak wajar diabaikan
supaya amalan yang dapat menjejaskan kesihatan dan kehidupan dapat dihindari.
Sebenarnya, untuk kekal sihat bukanlah sesuatu yang sukar kerana pilihannya terletak
dalam tangan kita sendiri.

Selain itu, setiap orang perlu mengambil tindakan yang positif dengan
menjalani ujian saringan kesihatan secara berkala sekurang-kurangnya setiap dua kali
setahun supaya tindakan awal dapat diambil jika mengalami masalah kesihatan. Kita

roosezah@yahoo.com 28
harus sedar bahawa kita sendirilah yang menentukan sama ada kita mahu terus hidup
secara sihat atau tidak mengendahkan amalan gaya hidup sihat.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Cara Pemakanan Berkhasiat, Elak Penyakit,
Berita Harian, 2 Januari 2016)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata pilihannya terletak dalam tangan kita sendiri.

[2 markah]

(ii) Pengarang menyenaraikan beberapa jenis penyakit yang berkaitan dengan


pengambilan makanan yang berlemak.

Nyatakan penyakit-penyakit tersebut. [3 markah]

(iii) Kebanyakan penyakit berbahaya berlaku disebabkan amalan gaya hidup tidak
sihat sejak kecil lagi.

Pada pendapat anda, apakah kesan yang terpaksa ditanggung oleh seseorang yang
tidak mengendahkan amalan gaya hidup sihat?
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 29
SET 15

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara
ibu bapa memperkasakan sifat positif remaja dan kepentingannya kepada negara.
Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Remaja sentiasa dilihat dengan prejudis. Bertemu dengan teman dilabelkan sebagai
melepak, apabila menyuarakan perasaan, dikatakan kurang ajar, menunggang motor
dikatakan ‘merempit’ dan berambut panjang terus dikatakan muka penjenayah. Rasa
ingin cepat mendapat status dewasa menyebabkan remaja suka bertanya, mengkaji,
menyiasat, membuat pertimbangan tentang benar dan salah, mencuba, dan mengambil
berbagi-bagai tindakan yang dilihat aktif. Masa inilah sebenarnya amat genting bagi
remaja untuk membentuk identiti diti. Kesilapan dalam tindakan dan membuat
keputusan memberikan kesan buruk yang sering dikaitkan dengan kehidupan remaja.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk mendampingi dan
membimbing remaja dengan menjawab pertanyaan, berkongsi pengalaman atau
maklumat, menyokong aktiviti, dan memberikan kata semangat. Bantuan ibu bapa
dapat memberikan remaja data dan fakta yang berguna untuk membuat kesimpulan
terhadap sesuatu yang berlaku atau dilakukan. Dalam hal ini, ibu bapa perlu
memberikan kebebasan atau pilihan kepada remaa untuk melakukan apa-apa yang
diingini, asalkan mendatangkan kebaikan.

Rasa ingin tahu yang diisi dengan maklumat, ilmu, dan pengalaman yang benar
dan betul dapat meningkatkan kefahaman remaja terhadap sesuatu perkara. Ibu bapa
perlu menyokong dan menjadi pemangkin kuasa yang amat bertenaga yang
memberikan kekuatan untuk remaja melonjak lebih cepat berbanding dengan rakan
sebaya dalam meniti perjalanan menuju alam dewasa. Sebenarnya dewasa itu bukan
diukur pada usia, tetapi kematangan berfikir, bertindak dan berdikari.

Rasa ingin tahu yang diikuti pengajaran dan pembelajaran yang betul
menjadikan remaja lebih faham, bijak, yakin, dan aktif untuk mencapai perkara lebih
baik. Namun begitu, kegagalan mencapai apa-apa yang diingini jika tidak dipantau akan
menyebabkan remaja semakin tersasar daripada matlamat asal. Oleh itu, ibu bapa
jangan mudah menghukum remaja dengan apa-apa yang berlaku sebaliknya ibu bapa
perlu memberikan keyakinan baharu kepada mereka untuk memperbaikinya.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu memahami hasrat remaja dengan memberikan
bimbingan yang sewajarnya. Misalnya, remaja merupakan golongan yang suka
berhibur maka berikanlah peluang itu dengan batasan dan bimbingan yang bijaksana.
Sebenarnya, keinginan berhibur merupakan fitrah yang bukan sahaja diingini golongan
remaja, bahkan semua peringkat umur. Bezanya, hiburan dalam kalangan remaja sering
dikaitkan dengan hiburan melampau dan merosakkan. Inilah sebab remaja perlu
bimbingan dan penjelasan mengenai batasan serta baik buruk sesuatu tindakan. Sikap
ibu bapa yang terlalu mengongkong remaja daripada berhibur memberikan kesan buruk

roosezah@yahoo.com 30
dari segi fizikal dan mental. Oleh itu, ibu bapa jangan terlampau mengongkong anak-
anak selagi tindakan yang dilakukan oleh mereka tidak melanggar norma dan nilai
masyarakat. Dalam erti kata yang sebenar, ibu bapa perlu bermuhasabah tentang punca
sebenar berlakunya isu itu.
(Dipetik dan diubah suai daripada rencana
Membina dan Memperkasakan Sifat
Positif Remaja,
oleh Lokman Ismail, Dewan Siswa,
Mac 2016)

Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata membentuk identiti. [


2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa cara untuk ibu bapa mendampingi dan
membimbing remaja.

Nyatakan cara-cara tersebut. [ 3 markah ]

(iii) Remaja merupakan modal insan yang amat berharga kepada negara pada masa
akan datang.

Huraikan pendapat anda tentang peranan pelbagai pihak dalam


memperkasakan remaja di negara ini.

[ 4 markah ]

roosezah@yahoo.com 31
SET 16

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang punca-
punca kemerosotan nilai kejiranan dan cara-cara mengatasinya. Panjang rumusan anda
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Jiran ialah orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita sama ada di kanan, di
kiri, di depan atau di belakang, di tingkat atas atau di tingkat bawah hingga 40 buah
rumah dari setiap penjuru sesebuah kawasan kediaman termasuklah di taman
perumahan, kampung, dan pangsapuri. Orang tua-tua pernah berkata, jiran tetangga
yang baik umpama adik-beradik yang dapat bekerjasama dalam kalangan masyarakat
serta membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh. Jiran yang baik juga dapat
membentuk semangat kekitaan bagi melahirkan semangat bersatu padu serta
membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain sehingga
tercetusnya slogan “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Keadaan ini bukanlah sesuatu
yang asing kerana jiran ialah orang yang paling hampir dengan kita dan menjadi orang
yang pertama datang untuk menghulurkan bantuan sebelum ketibaan adik-beradik dan
saudara-mara kerana jarang-jarang kedapatan adik-beradik duduk berjiran terutamanya
di bandar.

Namun begitu, kini keakraban terhakis dek perubahan dalam kehidupan


masyarakat akibat tuntutan hidup yang semakin mencabar dari semasa ke semasa.
Kesibukan bekerja memaksa masyarakat keluar pada awal pagi dan balik pada lewat
malam menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk diluangkan bersama-sama
jiran. Hujung minggu pula dipenuhi dengan aktiviti bersama-sama keluarga atau masa
untuk berehat dan bersantai di rumah selepas seminggu memerah keringat dan minda
untuk menyelesaikan pekerjaan. Jurang status sosioekonomi masyarakat juga menjadi
penghalang untuk mengeratkan semangat kejiranan apabila ada dalam kalangan mereka
yang terlalu bersifat merendah diri dan berasa tidak selesa untuk bergaul dengan jiran
yang berpangkat besar. Sebaliknya, memang ada golongan berstatus yang tidak mahu
bergaul dengan mereka disebabkan latar belakang sosioekonomi yang berbeza.

Kemerosotan nilai kejiranan juga berlaku kerana sikap mengutamakan


perkauman. Sikap saling tidak mengenali antara jiran yang berlainan kaum dan agama
memang selalu wujud malah sesama bangsa dan agama juga berlaku sikap tidak
mempedulikan antara satu sama lain kerana masing-masing sibuk dengan hal sendiri.
Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila ditambah dengan sikap dengki atau benci-
membenci dalam kalangan penduduk setempat. Selain faktor yang wujud dalam
kalangan masyarakat, perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menjadikan
masyarakat semakin kurang berkomunikasi secara langsung. Dengan pelbagai gajet dan
aplikasi terkini, masyarakat lebih taasub untuk berkomunikasi secara dalam talian.
Tambuahan pula, struktur reka bentuk perumahan moden yang berhalangan dengan

roosezah@yahoo.com 32
pagar, tembok, dan pengawal keselamatan menambahkan sikap individualistik yang
sememangnya sudah tersemai dalam diri.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada rencana


Kemerosotan Nilai Kejiranan,
oleh Samat Buang, Dewan Siswa,
Mac 2016)

Soalan 2(a) Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata keakraban terhakis.

[ 2 markah ]

(ii) Pengarang menyatakan beberapa kepentingan mengamalkan semangat kejiranan


dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

Nyatakan kepentingan-kepentingan tersebut.

[ 3 markah ]

(iii) Jiran sepakat membawa berkat; jiran keparat membawa mudarat.


Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan sikap tidak beradab terhadap jiran?

[ 4 markah ]

roosezah@yahoo.com 33
SET 17

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
berfikiran positif dalam kalangan remaja dan kekangan untuk mengamalkannya.
Panjang rumusan anda mestilahtidak melebih 120 perkataan.

Remaja hebat merupakan golongan muda yang sentiasa fokus terhadap apa-apa yang
terbaik bagi diri mereka, keluarga, masyarakat dan negara. Remaja yang hebat ialah
remaja yang bersikap positif dan menjadi aset penting dalam proses pembangunan
negara. Berfikiran positif merupakan tindak balas seseorang terhadap sesuatu perkara
yang berlaku kepada diri atau persekitaran sekitar mereka.. Hal ini berkaitan dengan
cara seseorang mengurus minda mereka. Orang yang berfikiran positif biasanya
cenderung untuk memberikan tindak balas yang terbaik terhadap sesuatu yang berlaku.
Sikap yang terbaik itu menjadi perkara yang akan berlaku secara spontan jika seseorang
sering berfikiran positif.

Dalam konteks remaja,. pemikiran positif ini mampu untuk menjadi perisai kepada
remaja daripada ancaman penjajahan minda yang boleh merosakkan diri mereka.
Perkara ini penting kerana remaja merupakan kumpulan pewaris negara yang sedang
mengalami proses perubahan daripada tempoh zaman kanak-kanak orang dewasa.
Dalam proses perubahan tersebut, remaja yang berfikiran positif akan menjadikan
seseorang itu lebih tenang dan mudah untuk membuat keputusan yang rasional. Di sini,
pentingnya remaja itu melihat sesuatu perkara yang berlaku dengan pemikiran yang
rasional agar dapat dijadikan sebagai penangkis dalam melakukan perbuatan di luar
batasan. Dengan pemikiran yang positif itu, remaja dapat menilai keadaan yang berlaku
di sekitar mereka dan bersedia untuk menghadapi kehidupan yang sebenar.

Tokoh motivasi terkenal, Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah, sering menegaskan
kepentingan berfikiran positif dalam apa-apa juga keadaan dan cabaran. Setiap manusia
pasti akan menghadapi kesukaran dan kepayahan dalam usaha mencapai nikmat
kehidupan di dunia. Perbezaannya ialah cara setiap individu mengendalikan cabaran
tersebut. Jika melihat cabaran dari sudut yang positif, mereka akan menghadapi
masalah sebagai perkara yang mencabar diri mereka. Pemikiran positif juga dapat
dibentuk melalui pendekatan melihat sesuatu perkara dari perspektif agama. Dengan
adanya pemikiran yang waras yang disemai dengan benih ilmu keagamaan, remaja
tidak akan mudah melatah dan emosional. Sementara itu, remaja haruslah sentiasa
merenung konsep kehidupan yang sebenarnya sedalam-dalamnya. Remaja harus ingat
bahawa setiap perkara yang berlaku itu sesuai untuk kita. Dalam konteks ini, berfikiran
positif mewajarkan seseorang menerima bahawa sesuatu yang berlaku adalah sesuai
dengan kemampuan diri mereka. Dengan kata lain, remaja yang berfikiran positif ialah

roosezah@yahoo.com 34
modal insan yang berguna kepada negara, agama dan bangsa dan pencetus kejayaan
dalam pelbagai aspek kehidupan.

(Dipetik dan diubahsuai daripada


Berfikiran Positif Perisai Penjajahan Minda Remaja
oleh Noor Azam Abdul Rahman, DewanSiswa, Januari 2017)

Soalan 2(a) – Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata mengendalikan cabaran. [ 2 markah ]

(ii) Remaja yang hebat mempunyai ciri-ciri yang tertentu berbanding dengan remaja
yang lain.

Apakah ciri-ciri remaja yang hebat ?

[ 3 markah ]

(iii) Ramai pakar motivasi di negara ini memberikan panduan seseorang remaja untuk
meningkatkan kemajuan diri dalam pelbagai bidang.

Pada pendapat anda, apakah punca-punca remaja tidak menggunakan panduan


yang diberikan oleh pakar motivasi dalam kehidupan seharian mereka. ?

[ 4 markah ]

roosezah@yahoo.com 35
SET 18

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang peranan
pusat sumber sekolah dan sebab-sebab pusat sumber sekolah kurang dikunjungi.
Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Sejak dahulu lagi sesebuah sekolah dianggap tidak lengkap jika tidak mempunyai satu
perpustakaan. Perpustakaan itu pula dianggap sebagai gedung ilmu dan sumber
pengetahuan. Hal ini bermakna, kalau sebelum ini perpustakaan merupakan pusat
pengumpulan bahan bercetak dan bilik alat merupakan tempat pengumpulan bahan-
bahan alat pandang dengar, sekarang kedua-dua tempat ini diintegrasikan untuk
menjadi pusat sumber sekolah.

Pusat sumber sekolah berfungsi sebagai pusat untuk menyediakan, menyimpan,


mengedarkan, dan memberi perkhidmatan koleksi bahan. Sama ada bersaiz sekadar
sebuah bilik darjah ataupun berdiri megah berbentuk bangunan sendiri, pusat sumber
sekolah berpotensi besar dalam meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dan tahap
intelektual warga sekolah, khususnya murid. Usaha untuk meningkatkan penguasaan
bahasa Melayu yang menjadi satu daripada fokus tahunan pusat sumber sekolah. Pusat
sumber sekolah dapat mengadakan kolaborasi dengan Panitia Bahasa Melayu dalam
program peningkatan akademik.

Pusat sumber sekolah juga merupakan tempat berlakunya segala kegiatan yang
bertujuan untuk meningkatkan pencapaian dalam proses pengajaran dan pemelajaran.
Konsep pusat sumber sekolah ini adalah berkaitan dengan konsep pendidikan moden,
iaitu untuk mewujudkan keadaan belajar secara kendiri. Dengan yang demikian, setiap
individu boleh menentukan kehendak pelajarnya dan merancang sesuatu bagi
memupuk keperluan dan kehendak yang tersendiri. Pusat sumber sekolah
sememangnya dapat membantu dan membaiki kualiti pendidikan negara agar dapat
memberikan asas yang kukuh bagi membentuk masyarakat berpengetahuan. Oleh itu,
golongan pendidik sentiasa diingatkan supaya menghasilkan pengajaran yang berkesan.

Pada masa yang sama, pusat sumber sekolah perlu dilengkapi dengan alat
bahan, dan kemudahan. Pusat sumber yang lengkap dan menepati kehendak
pelanggannya membolehkan proses capaian maklumat dilaksanakan dengan berkesan.
Antaranya termasuk penyediaan keratan akhbar dan koleksi rencana daripada majalah.
Selain itu, pusat sumber sekolah mampu menghasilkan bahan-bahan yang mudah dan
murah, tetapi berkesan kepada pelanggannya. Jadi, pusat sumber sekolah disediakan
bertujuan untuk memajukan sumber pelbagai media bagi kegunaan guru dan pelajar.

roosezah@yahoo.com 36
Tegasnya, dapatlah dikatakan bahawa peranan pusat sumber sekolah sangat
luas. Di samping memupuk minat gemar membaca dan membuat penyelidikan,
diharapkan apabila pelajar dapat memanfaatkan pusat sumber sekolah, mereka akan
dapat menjadi pelajar yang berdedikasi, berfikiran matang, berdisiplin, dan dapat
mengembangkan bakat, serta kebolehan mereka berdasarkan minat dan kecenderungan
masing-masing.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Pusat Sumber Meningkatkan Penguasaan Bahasa Melayu
oleh Zuridah Hanim Md. Akhir, Pelita Bahasa, April 2011)

Soalan 2 (a): Pemahaman Petikan Umum

(i) Berikan maksud rangkai kata gedung ilmu.


[2 markah]

(ii) Nyatakan kelebihan-kelebihan sekiranya seseorang pelajar itu gemar membaca


dan membuat penyelidikan di pusat sumber sekolah?
[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, bagaimanakah cara-cara untuk meningkatkan minat pelajar
menggunakan pusat sumber sekolah?
[4 markah]

roosezah@yahoo.com 37
SET 19

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang kesan negatif
penggunaan beg plastik dan cara-cara menyedarkan orang ramai tentang bahaya beg
plastik. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan


(KPDNKK) telah mengumumkan bahawa setiap hari Sabtu ialah Hari Tanpa Beg
Plastik di seluruh negara. Ketua Pengarah kementerian terbabit menjelaskan bahawa
pasar raya dan beberapa buah premis yang terpilih di seluruh negara tidak akan
memberikan beg plastik dengan percuma kepada pelanggan pada hari tersebut dalam
usaha kerajaan untuk mengurangkan sisa buangan bahan tersebut. Di samping itu,
pemberian beg plastik dilihat sebagai salah satu punca peningkatan jumlah sisa pepejal
yang mungkin mencecah 30 000 tan sehari menjelang tahun 2020.

Oleh sebab itu, orang ramai perlulah melakukan perubahan dengan cara
membawa barang-barang yang dibeli menggunakan troli. Mereka juga boleh membawa
beg kitar semula ketika membeli barang-barang keperluan semasa membeli-belah. Isu
tentang kesan negatif sisa beg plastik terhadap ekologi dan alam sekitar bermula sejak
beberapa tahun yang lalu khususnya di negara-negara barat. Kesedaran berkaitan
dengan perkara ini timbul selaras dengan meningkatkan keprihatinan manusia terhadap
kepentingan alam sekitar yang semestinya hanya diganggu secara minimum walaupun
sesebuah negara itu mengejar pembangunan.

Pada tahun 2008, akhbar ‘The Guardian’, United Kingdom telah membuat
laporan tentang sejumlah 13 bilion beg plastik diberikan secara percuma kepada
pelanggan pasar raya di negara tersebut. Kajian juga menunjukkan bahawa setiap beg
plastik yang dibuang mengambil tempoh antara 400 hingga 1000 tahun untuk hancur
menjadi cebisan bertoksik. Dalam pada itu, cebisan ini memberikan kesan yang buruk
pula terhadap tanah dan saliran air. Kesan ini turut membabitkan rantaian makanan
haiwan kerana turut dimakan oleh haiwan. Kebanyakan beg plastik yang dibuang ke
dalam sungai atau laut pula telah mencemarkan pantai dan kawasan sekitarnya. Haiwan
laut seperti penyu juga akan menerima kesan setelah memakannya.

KPDNKK telah melancarkan kempen untuk menyedarkan orang ramai tentang


bahaya penggunaan beg plastik, namun kempen hanya akan tinggal kempen jika tidak
mendapat kerjasama daripada orang ramai dan pekedai. Kerajaan juga perlu
mengadakan sesi penerangan bagi menyemai kesedaran kepada orang ramai dan murid
tentang keburukan bahan plastik terhadap kehidupan manusia dan dunia. Pihak
kerajaan dan badan bukan kerajaan mestilah menjadi pemacu kepada kejayaan kempen
berkenaan agar benar-benar berbaloi dan membawa manfaat dengan membabitkan

roosezah@yahoo.com 38
peserta daripada kalangan pekilang plastik, pasar raya dan pengguna. Selepas itu,
kerajaan bolehlah menambahkan bilangan hari tanpa beg plastik di negara kita dari
semasa ke semasa.
(Dipetik dan diubah suai daripada
Beg Plastik Cemar Alam Sekitar
oleh Johari Ibrahim, Berita Harian, Januari 2011)

Soalan 2 (a) – Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata diganggu secara minimum? [2


markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa langkah yang dilakukan oleh kerajaan


untuk menyedarkan orang ramai tentang Hari Tanpa Beg Plastik.

Nyatakan langkah-langkah tersebut. [3


markah]

(iii) Masih terdapat sebilangan rakyat negara kita yang tidak menyedari bahaya
penggunaan beg plastik.

Pada pendapat anda, mengapakah keadaan ini berlaku? Berikan tiga sebab.

[4 markah]

roosezah@yahoo.com 39
SET 20

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan
penggunaan kata slanga dan cara-cara mengawal penyebaran kata slanga. Panjangnya
rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Slanga ditakrifkan sebagai kata-kata yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan
biasanya digunakan dalam percakapan tidak rasmi. Penggunaan kata slanga seperti
caya, cintan dan jiwang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi sebahagian daripada
bahasa dalam kalangan remaja bagi menggambarkan identiti mereka. Dalam bentuk
tulisan, bahasa tersebut bukan sahaja digunakan dalam bacaan ringan seperti komik dan
majalah hiburan yang bertujuan santai serta hiburan, malah sistem khidmat pesanan
ringkas (sms) turut menggunakan bahasa pelik itu bagi memudahkan perbualan.

Pada tahap permulaan evolusi bahasa Melayu, berlaku pemendekan istilah yang
masih mudah difahami. Pada tahap pertengahan pula, berlaku penyerapan kata-kata
kepada bahasa lisan seperti yang digunakan dalam perbualan. Perkembangan
selanjutnya, memaparkan pemelatan kata-kata dengan tujuan memeriahkan suasana
perbualan dan menambahkan kemesraan. Sesungguhnya, penggunaan kata-kata slanga
dalam bentuk percakapan masih boleh diterima tetapi apabila digunakan dalam bentuk
tulisan yang diterbitkan, penggunaannya boleh menjejaskan kedaulatan bahasa. Jika
keadaan ini dibiarkan, dikhuatiri kecenderungan penggunaan bahasa remaja yang
makin meluas ini akan memberi kesan buruk terhadap penguasaan bahasa Melayu Baku
dalam kalangan pelajar. Pengaruh kata slanga sebeginilah yang mendatangkan
kerisauan bukan sahaja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu,
malah ibu bapa juga bimbang akan kebanjiran komik menggunakan kata slanga di
pasaran.

Pengubahsuaian penggunaan bahasa Melayu seperti caye (percaya) dan camni


(macam ini) bagi memudahkan perbualan seharian mereka. Pengubahsuaian bahasa
seumpama ini jika tidak dibendung mampu memudaratkan pengguna bahasa dan nilai
bahasa itu sendiri. Perbuatan memendekkan kata-kata atau ayat sering melahirkan
makna yang berbeza jika dinilai oleh 'seseorang yang bukan siber' yakni mereka yang
baru saja berjinak-jinak dengan alam internet. Bagi 'orang siber' pula, bahasa yang
diubahsuaikan itu akan menjadi satu kebiasaan sehingga terbawa-bawa dalam
perbualan dan penulisan di luar alam siber, iaitu pada alam realiti.

Kesan yang amat ditakuti ialah penyelewengan bahasa makin berleluasa dari
alam maya ke alam realiti apabila penggunaan istilah, pemendekan kata dan ayat di

roosezah@yahoo.com 40
ruang siber digunakan dalam perbualan sesama teman dan guru. Jika dibiarkan sahaja,
pencemaran bahasa akan menjadi satu kebiasaan. Sekiranya kita menerima kebiasaan
ini bagi penggunaan pada alam realiti, maka akan lenyap bahasa Melayu baku yang
gramatis dan murni. Sebaliknya, pengguna Internet seharusnya mencari jalan untuk
memastikan bahasa Melayu tetap terpelihara. Laras Internet sebaiknya disimpan saja
dalam Internet agar kemurnian dan kedinamikan bahasa Melayu lebih terserlah dan
kekal relevan.

(Dipetik dan diubah suai daripada


Slanga Rosakkan Bahasa Jika Tidak Dikawal,
Sidang Pengarang, Berita Harian, Mac 2009)

Soalan 2(a) - Petikan Umum

(i) Apakah maksud rangkai kata memudaratkan pengguna bahasa? [2


markah]

(ii) Pengarang mengemukakan beberapa punca seseorang itu gemar menggunakan


kata-kata slanga.

Nyatakan punca-punca tersebut.


[3 markah]

(iii) Sebagai seorang murid, apakah peranan-peranan yang dapat anda lakukan untuk
menggalakkan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan rakan anda?

[4
markah]

roosezah@yahoo.com 41

Anda mungkin juga menyukai