Anda di halaman 1dari 9

CABARAN DALAM PENGAJARAN BENTUK DAN RUANG

PENDAHULUAN

Matematik adalah satu mata pelajaran teras di peringkat sekolah rendah dan menengah
dan mencakupi banyak aspek. Mata pelajaran ini bertujuan untuk melahirkan individu yang
berketrampilan serta mengaplikasikan pengetahuan matematik dalam kehidupan harian secara
berkesan dan bertanggungjawab semasa menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.
Matematik merupakan jentera atau penggerak kepada pembangunan dan perkembangan dalam
bidang sains dan teknologi. Dengan itu, penguasaan ilmu Matematik perlu dipertingkatkan dari
semasa ke semasa bagi menyediakan tenaga kerja yang sesuai dengan perkembangan dan keperluan
untuk membentuk negara maju.

Perkataan geometri berasal daripada perkataan Greek iaitu ”geo” dan ’metria’ di mana”geo”
bermaksud bumi dan ”metria” bermaksud ”ukur”. Ini adalah kerana pada asasnya, geometri
adalah berkaitan dengan pengukuran bumi. Geometri merangkumi pengajian tentang bentuk,
saiz, kedudukan dan ruang dan ia sangat berkait rapat dengan kehidupan manusia. Kefahaman
yang jelas tentang topik geometri atau bentuk dan ruang dapat mengekalkan pengalaman yang
dapat membantu murid membina kefahaman terhadap bentuk, ruang, garisan serta fungsi
setiap bentuk, ruang dan garisan tersebut. Ia membolehkan pelajar menyelesaikan masalah dan
mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian mereka.

Bentuk dan ruang atau geometri diaplikasikan secara meluas dalam bidang kejuruteraan, seni
bina, sains dan teknologi. Aplikasi geometri yang paling ketara boleh dilihat pada bentuk binaan
dan susunan bangunan. Atas keperluan yang jelas itu, topik bentuk dan ruang diterapkan dalam
kurikulum sekolah di negara kita bermula seawal di tahun 1 lagi hinggalah ke tahun 6 dan peringkat
pengajian yang lebih tinggi menjurus kepada bidang-bidang tertentu seperti rekaan dan senibina.

Justeru itu, guru bertanggungjawab untuk merealisasikan kepentingan geometri dalam kehidupan.
Murid haruslah difahamkan dengan konsep geometri dari yang paling asas iaitu pengetahuan
tentang bentuk-bentuk 2D dan 3D sehinggalah kepada konsep geometri yang lain sehinggalah
mereka faham mengapa setiap bangunan yang dibina dengan bentuk-bentuk yang berlainan tetapi
masih mempunyai fungsi yang sama. Nasional Consul of Supervisor of Mathematics, NCTM (1989)
mengesahkan bahawa kemahiran dalam bidang geometri adalah salah satu kemahiran asas daripada
sepuluh kemahiran asas Matematik. Seharusnyalah kemahiran ini dapat disampaikan kepada murid
dengan cara yang betul.

Namun begitu, dalam situasi sebenar di sekolah, seringkali terjadi kegagalan dalam kurikulum
Matematik terutama dalam topik geometri bagi pelajar rendah dan sekolah menengah. Ini kerana
berlaku salah faham konsep atau miskonsepsi dalam konsep geometri semasa proses pengajaran
dan pembelajaran. Bertitik tolak daripada kesukaran dan miskonsepsi inilah timbulnya cabaran bagi
guru-guru untuk menangani permasalahan tersebut. Guru-guru perlu mencari kaedah dan strategi
pembelajaran yang sesuai dengan aras kematangan murid supaya mereka boleh menguasai konsep
geometri, lebih berminat dan seronok semasa belajar dan tidak lagi beranggapan subjek Matematik
adalah susah.
CABARAN DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BENTUK & RUANG

Konsep matematik perlu diperkenalkan kepada murid dengan pelbagai bentuk, kaedah dan
pendekatan. Murid juga perlu diperkenalkan dengan beberapa contoh yang konkrit sebelum
bergerak ke konsep yang abstrak. Menurut Robert Gagne iaitu seorang professor dan ahli psikologi
mengatakan bahawa, pembelajaran konsep matematik yang berkesan memerlukan beberapa teknik
penyampaian iaitu :

i. Memberi berbagai-bagai contoh konkrit untuk membuat generalisasi.

ii. Memberi contoh yang berbeza tetapi berkaitan supaya dapat membuat perbezaan.

iii. Memberi contoh-contoh yang tidak ada kaitan dengan konsep yang diajarkan untuk
membuat perbezaan dan generalisasi.

iv. Memberi pelbagai jenis contoh matematik untuk memperolehi konsep matematik yang
tepat.

Begitulah antara pendekatan yang perlu digunakan bagi mengatasi masalah miskonsepsi, sama ada
ia disebabkan oleh kecuaian mahupun kesukaran murid memahami sesuatu konsep. Guru-guru perlu
memikirkan pendekatan yang sesuai untuk murid yang mempunyai pelbagai aras pembelajaran.
Guru yang prihatin adalah mereka yang berusaha membimbing murid mengikut perbezaan aras
kecerdasan.

Menurut NCTM ( 2000 ) mempelajari geometri bukanlah hanya sekadar belajar tentang maksud
ataupun andaian tentang konsep geometri, tetapi mempelajari kebolehan untuk menganalisa
ciri-ciri bentuk 2 dimensi dan 3 dimensi di dalam bentuk-bentuk geometri. Di samping itu adalah
diharapkan pelajar ataupun murid dapat menghujahkan tentang perhubungan geometri bagi
mengenalpasti kedudukan dan ruang di dalam perhubungan geometri seterusnya mengaplikasikan
transformasi dan menggunakan simetri, visualisasi, pemikiran di dalam ruang dan model geometri
untuk menyelesaikan masalah.

Pada tahun 1957, Pierre van Hiele dan Dina van Hiele-Geldof, pasangan suami isteri dari Belanda
telah merumuskan lima aras yang perlu diikuti dalam pemikiran geometri. Bagi mempelajari
tajuk geometri dengan mudah, ke semua aras kematangan dalam model perlu diikuti. Ia adalah
berturutan dan berhierarki, dengan perkembangan yang dicapai dari satu aras ke aras seterusnya
yang lebih bergantung kepada pengalaman seseorang sejak kecil.

Pendapat ini juga turut dikongsi oleh Jean Piaget dalam Teori Perkembangan Kognitif yang
diutarakan. Secara umum, pendidikan dan pembelajaran murid berlaku pada tahap pra-operasi,
operasi konkrit dan operasi formal. Oleh itu, jika murid tidak melalui mana-mana aras pembelajaran
yang sepatutnya mengikut umur, akan timbul kesukaran atau miskonsepsi seterusnya menjadi satu
cabaran kepada guru untuk mengatasinya.

Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh guru-guru antaranya ialah :

1.
Miskonsepsi dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam konsep geometri ianya memerlukan pelajar mempunyai daya kefahaman yang tinggi
terhadap sesuatu keadaan bentuk. Kefahaman ini hanya boleh dibina oleh pelajar melalui aktiviti
manipulatif yang memberikan peluang kepada pelajar untuk meneroka pemahaman mereka
tentang konsep geometri. Ramai di kalangan pelajar tidak dapat membuat pentafsiran yang betul
terhadap konsep pemahaman tentang geometri kerana mereka kurang didedahkan dengan latihan
manipulatif.

Di sekolah rendah, terdapat 4 subtajuk dalam geometri yang perlu dikuasai oleh murid iaitu elemen
titik, garis dan plane, ciri-ciri bentuk 2 dimensi, ciri-ciri bentuk 3 dimensi dan pengukuran. Manakala
kesukaran atau miskonsepsi yang berkemungkinan dialami oleh murid adalah pelbagai. Antaranya
ialah kesukaran mengenalpasti dan keliru nama-nama bentuk 2D dan 3D, kesukaran melibatkan
kedudukan rajah, kesukaran memahami ciri-ciri bentuk rajah, kesukaran membayangkan bentangan
dan banyak lagi. Miskonsepsi-miskonsepsi yang berlaku ini merupakan cabaran besar yang perlu
ditangani secara bijak oleh guru-guru.

Sebagai contoh, murid tidak dapat membayangkan objek yang tersembunyi (garis, permukaan,
kubus) di dalam rajah atau dengan kata lain ialah kurang keupayaan visualisasi.

Contoh:

Pepejal ini terdiri daripada 2-cm kubus, cari jumlah isipadu pepejal.

Jawapan murid ialah : Isipadu = 2 x 2 x 2 x 9

= 72cm3

Sepatutnya : Isipadu = 2 x 2 x 2 x 11

= 88cm3

Bagi mengatasi cabaran miskonsepsi di atas, guru boleh meminta murid menggunakan unit kubus
untuk membina lapisan-lapisan pepejal, supaya murid sedar terdapat lapisan yang tersembunyi.
Dalam situasi soalan di atas, murid harus disedarkan bahawa ada 2 kubus yang tersembunyi, jadi
jumlah semua kubus ialah 11 bukannya 9.

Kebanyakkan pelajar mempelajari geometri di dalam bilik darjah adalah secara hafalan (Mayberry,
1981; Fuys et al, 1988). Teknik yang sedemikian tidak memberi peluang kepada pelajar untuk
terlibat dalam proses kemahiran berfikir bagi topik geometri. Pelajar yang belajar secara menghafal
cenderung untuk melupai maklumat-maklumat yang telah dihafal, keliru, ataupun tidak mampu
untuk mengaplikasikan maklumat tersebut kepada situasi yang berbeza. Contohnya murid
sukar untuk mengingat dan keliru dengan nama-nama bentuk 2D dan 3D sekiranya guru hanya
menunjukkan rajah atau gambar sahaja kepada murid sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran.

Bagi mengatasi cabaran di atas, guru mestilah menggunakan bahan bantu belajar(BBM) konkrit/
maujud yang ada di sekeliling murid dan selalu digunakan dalam kehidupan seharian mereka untuk
menyampaikan konsep geometri. Contohnya benda, lukisan dan bongkah atau pepejal sebenar .
Guru juga boleh mempraktikkan kaedah belajar sambil berhibur (elemen didik hibur) sebagai
pengayaan bagi mengukuhkan lagi ingatan murid.

Contoh:

Gunakan elemen didik hibur-(Boria Lagu “Bongkah”) sebagai pengayaan. http://www.youtube.com/


watch?v=GzadMAR16SM

Menurut Schuman (1991) apabila pelajar belajar memanipulasi bentuk-bentuk yang dihasilkan
dengan pengalaman sendiri maka pelajar dikatakan dapat belajar dengan lebih berkesan di mana
pembelajaran terhadap pemahaman terhadap sesuatu konsep dapat diperkukuhkan melalui
celik akal. Pelajar diberi peluang untuk menjalankan eksperimen matematik melalui aktiviti
penerokaan dan penyiasatan terhadap bentuk-bentuk geometri dengan sendiri. Melalui pengalaman
empirikal yang telah dilalui oleh pelajar, membantu untuk menajamkan pemahaman terhadap
konsep dan sifat sesuatu objek geometri. Pembelajaran geometri memberikan pengalaman dalam
membantu pelajar memperkembangkan pemahaman terhadap sesuatu ciri, rupa dan bentuk. Ia juga
membolehkan pelajar menyelesaikan masalah dan mengaplikasikannya dalam situasi dunia sebenar.

2. Subjek yang digeruni kerana melibatkan penggunaan rumus.

Kurikulum Matematik di sekolah rendah dalam topik bentuk dan ruang melibatkan penggunaan
rumus dan formula yang digunakan bagi mencari luas, perimeter dan isipadu menimbulkan
kesukaran dan kekeliruan murid terutama melibatkan murid yang sederhana dan lemah. Guru
haruslah menggunakan pendekatan atau kaedah yang bersesuaian untuk menolak persepsi murid
yang menganggap matematik adalah subjek yang susah kerana penggunaan rumus dan formula ini.

Bagi mengatasi cabaran di atas, guru hendaklah mengaplikasikan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang mengaitkan konsep luas, perimeter dan isipadu dengan persekitaran murid.
Murid meneroka dan membilang jumlah lantai mozek dan kaitkan dengan rumus luas. Guru
hendaklah menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan murid seperti inkuiri penemuan dan
pembelajaran kontekstual supaya murid boleh meneroka sendiri aktiviti mencari luas, perimeter dan
isipadu dalam aktiviti berkumpulan.
Contohnya mengira luas lantai mozek yang berukuran 1 kaki darab 1 kaki.

1 2 3

4 5 6

7 8 9

Ø Membilang = 9 jubin

= (3 x 3 = 9)

Ø Murid dibimbing mengaitkan jumlah jubin dengan konsep luas seterusnya mengira dengan
algoritma.

· Luas = Panjang X Lebar

= 3 x 3

= 9 jubin

Apabila murid sudah menguasai konsep luas secara membilang dan mengira dengan algoritma
melalui aktiviti yang dijalankan sendiri secara tak langsung membantu guru menyangkal persepsi
murid yang matematik adalah subjek yang susah dan digeruni kerana melibatkan penggunaan
rumus. Pembelajaran konsep matematik dengan betul adalah tidak susah sekiranya diaplikasikan
dengan cara dan kaedah yang sesuai seperti yang disarankan dalam Model Van Hiele terutamanya
mengikut aras pembelajaran yang ditetapkan.
Selain itu, guru boleh mengaplikasikan konsep merentas kurikulum iaitu dengan
menggabungjalinkan pembelajaran matematik dengan mata pelajaran lain. Contohnya subjek
sejarah boleh dikaitkan dengan bentuk 3D iaitu piramid yang terdapat di Mesir. Guru boleh
menayangkan slaid powerpoint tentang bentuk-bentuk piramid.

Contohnya :

3. Penggunaan Bahasa dan Istilah Matematik

Bahasa matematik juga menimbulkan kesukaran kepada pelajar kerana ia berbeza dengan bahasa
biasa. Bahasa matematik mempunyai makna yang tersendiri dan di gunakan dalam konteks
matematik yang tertentu. Bahasa dan ayat Matematik yang khusus melibatkan penjelasan pola-
pola, hubungan, hukum-hukum dan rumus-rumus yang perlu diingati. Di samping itu, banyak
istilah matematik yang digunakan dalam kurikulum matematik tidak dapat di fahami oleh
pelajar. Kekeliruan tentang istilah juga merupakan satu masalah yang di hadapi oleh pelajar yang
menyebabkan mereka tidak dapat memahami maksud istilah tersebut.

Menurut Radatz (1979), perwakilan menggunakan simbol-simbol, tatatanda dan istilah-istilah


Matematik merupakan ‘bahasa asing’ kepada pelajar kerana mereka perlu menghafal dan
memahami simbol yang jarang digunakan dalam kehidupan mereka seharian. Matematik adalah
mata pelajaran yang abstrak, maka pembentukan sesuatu konsep matematik tidak akan berjaya
dengan kaedah penghafalan sahaja. Masalah sebegini mungkin tidak akan dihadapi oleh pelajar yang
berada pada aras kebolehan yang tinggi. Namun bagi para pelajar yang berada pada aras kebolehan
yang rendah, mereka merasakan Matematik ini adalah sukar untuk dikuasai dan membosankan
(Mohd Salahuddin Salleh, 2006).

Dalam konteks mempelajari tajuk geometri, bahasa geometri melibatkan terminologi-terminologi


yang khusus dan memerlukan perhatian dan kefahaman yang betul sebelum digunakan dengan
berkesan. Kesilapan penggunaan terminologi geometri yang betul akan membawa kepada
miskonsepsi. Oleh yang demikian, bahasa memainkan peranan yang penting dalam memindahkan
maklumat yang diperolehi oleh guru kepada pelajar (MacGregor & Moore 1991). Contoh-contoh
terminologi yang menjadi kekeliruan murid sekolah rendah ialah:

Terminologi Geometri Bahasa Mudah

poligon bentuk yang mempunyai garis lurus sahaja

kubus kiub

pentagon bentuk sisi lima

hexagon bentuk sisi enam


vertex bucu

Pepejal(bentuk 3D) bongkah

Oleh itu, adalah menjadi cabaran bagi guru-guru untuk memilih dan menggunakan istilah dan
bahasa matematik yang sesuai dengan kematangan umur murid semasa mempelajari konsep
geometri dengan berkesan. Bagi mengatasinya, guru-guru digalakkan memperkenalkan istilah dan
bahasa matematik daripada mudah kepada kompleks dan mengikut peringkat perkembangan
kognitif kanak-kanak. Jadi, guru-guru mestilah menggunakan bahasa yang mudah difahami murid
dan mengikut aras pemikiran mereka serta boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian.

4. Kaedah pendidikan Tradisional

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia , Datuk Abdul Rafie Mahat, mengatakan bahawa pengajaran
dan pembelajaran Matematik di sekolah memerlukan kaedah yang sesuai supaya tidak menimbulkan
rasa ‘takut’ di dalam diri pelajar.(Hairulazim,2002). Oleh itu, guru perlu bijak menggunakan
kreativitinya serta inovatif dalam menyampaikan isi pengajaran terutamanya tentang penyelesaian
masalah agar dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang efektif dan kondusif. Kemahiran
kognitif pelajar perlu dijana dengan baik agar mereka dapat menggunakan kemahiran yang sedia ada
untuk menyelesaikan masalah Matematik.

Menjadi cabaran bagi guru-guru untuk lari dari menggunakan kaedah pendidikan tradisional
yang hanya menggunakan buku teks dan papan putih. Selain menjadikan pembelajaran geometri
bersifat hambar, murid juga tidak dapat mengasah kemahiran visualisasi dan komunikasi dalam
pembelajaran geometri. Kaedah ini perlu diubah dengan memberi peluang kepada murid itu sendiri
untuk menyiasat dan meneroka geometri bagi membolehkan mereka memahami geometri dan
menjadikannya berkait dengan bidang matematik yang lain. Guru perlulah kreatif mencipta aktiviti
yang menarik dan sesuai dengan isi pelajaran supaya bermakna kepada murid.

Bagi mengatasi cabaran di atas, salah satu cara untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran
geometri yang menarik dan bermakna ialah melalui kaedah pembelajaran secara kaedah inkuiri
penemuan dan kontekstual. Kaedah Inkuiri Penemuan merangkumi semua aktiviti merancang,
menyiasat, menganalisa dan menemui jawapan melalui pengalaman murid meneroka sendiri
dengan guru sebagai pemudahcara atau fasilitator. Pembelajaran melalui kaedah ini memerlukan
kemahiran-kemahiran seperti membuat perbandingan dan mencari ciri-ciri sama untuk membuat
generalisasi. Dalam pembelajaran matematik, murid-murid boleh memahami sesuatu konsep
matematik melalui aktiviti menyiasat, mengumpul maklumat dan menganalisa maklumat ( Mok Soon
Sang, 1996 ).

Murid lebih mudah memahami sesuatu konsep matematik jika mereka sendiri yang menjalankan
penyiasatan untuk mencari jawapan kepada masalah yang mereka hadapi. Kaedah inkuiri
penemuan akan membantu murid lebih mudah memahami sesuatu konsep dan dapat menyimpan
pengetahuan itu dalam ingatan mereka bagi tempoh masa yang lama jika mereka sendiri yang
bertindak untuk mendapatkan jawapan atau jalan penyelesaian. Keberkesanan kaedah inkuiri
penemuan yang digunakan akan membantu pelajar memahami konsep matematik dengan lebih
jelas. Contohnya:

Aktiviti kumpulan dilaksanakan bagi meneroka ciri-ciri bentuk 3D. Penggunaan bongkah dalam
aktiviti berkumpulan akan membantu murid memegang, mengenalpasti nama bongkah, mengira ciri-
ciri seterusnya mencari isipadu menggunakan rumus yang sesuai.

Guru juga boleh merancang pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran kontekstual merupakan
pembelajaran yang membantu guru mengaitkan konsep dengan kehidupan nyata, dan mendorong
murid membuat hubungan antara pengetahuannya dan kehidupannya sehari-hari. Contohnya:

Aktiviti mencari perimeter. Guru boleh memulakan pengajaran dengan menyuruh murid berjalan
atau berlari mengira keliling kebun atau padang. Murid akan mendapati terdapat empat sisi yang
perlu dijumlahkan. Kontekstual pembelajaran di sini ialah dengan cara mengukur sisi luar yang ada.

Mengikut Jean Piaget, pelajar pada peringkat umur 7 hingga 10 tahun peringkat kognitif mereka
masih lagi berada di tahap operasi konkrit. Jadi, guru-guru hendaklah menggunaan objek konkrit
contohnya kertas petak (square paper) untuk membantu murid supaya lebih jelas konsep
perimeter. Keadaan kertas tersebut yang mempunyai garisan lurus serta petak-petak kecil yang
sama besar akan memudahkan murid melukis bentuk dengan mudah walaupun tanpa menggunakan
pembaris.

KESIMPULAN

Masalah kelemahan pelajar dalam penguasaan konsep dan kemahiran matematik pada peringkat
sekolah rendah ini adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh oleh pihak-pihak terlibat dalam
sektor pendidikan terutama sekali guru-guru. Kelemahan dalam penguasaan konsep dan kemahiran
matematik di peringkat sekolah rendah tentunya memberi kesan pula apabila mereka berada di
sekolah menengah sekiranya tidak ditangani dari awal.

Pelbagai pendekatan boleh dilaksanakan oleh guru-guru bagi mengatasi kesukaran dan miskonsepsi
di kalangan murid-murid dalam tajuk bentuk dan ruang atau geometri. Sama ada faktor kecuaian
atau kesukaran murid memahami konsep ataupun faktor guru sendiri yang tidak menguasai
“Pedagogy Content Knowledge” (PCK). Sesetengah murid tidak berminat untuk belajar dan lantas
tidak memberi tumpuan ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.
Pembelajaran tentang konsep geometri dan penguasaan kemahiran menyelesaikan masalah
adalah perkara penting di dalam pendidikan matematik. Kebolehan mengenalpasti sesuatu bentuk
geometri, tidak bermakna bahawa pelajar tersebut menguasai tentang ciri-ciri asas sesuatu bentuk.
Kebiasaanya pengajaran geometri di sekolah rendah murid hanya memberi penekanan terhadap
mengenalpasti bentuk dan ciri sesuatu bentuk geometri melalui gambarajah tanpa melibatkan
konsep yang lebih kompleks di mana, memerlukan pemahaman pelajar terhadap hubungan atau
perkaitan antara bentuk dan ciri sesuatu geometri.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab guru-guru untuk berusaha mencari kaedah, teknik,
dan strategi yang sesuai dan menarik agar murid faham dan tidak menghadapi kesukaran atau
miskonsepsi dalam pengajaran dan pembelajaran geometri. Cabaran-cabaran ini harus ditangani
sebaik mungkin demi memantapkan penguasaan modal insan negara dengan pengetahuan lengkap
dalam bidang sains dan matematik yang menjadi pemangkin kepada kemajuan sesebuah negara.

RUJUKAN

1. http://www.slideshare.net/hudabokhari75/kepentingan-mempelajari-tajuk-ruang

2. http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/pdffail/ptkghdfwP/AZURAAP000042D2004TTP.pdf

3. http://mathideasinprimaryschool-sarmiza.blogspot.com/2011/04/laporan-projek-geometri.html

4. http://elwafasran.blogspot.com/2012/05/masalah-pembelajaran-matematik.html

5. Modul Asas Bentuk dan Ruang, Mohd Uzi bin Dollah:PhD, Noor Shah bin Saad:PhD, UPSI,
Tanjung Malim, Perak.

6. http://mathideasinprimaryschool-sarmiza.blogspot.com/

7. http://www.slideshare.net/EjaHodejahMt/nl-geometri

8. http://kasturinusi.blogspot.com/2012/12/krm3023-asas-ukuran-miskonsepsi-dan_889.html

9. http://teachersguideonline.blogspot.com/2010/10/pembelajaran-kontekstual-
pembelajaran.html

Anda mungkin juga menyukai