Anda di halaman 1dari 3

CONTOH TEKS PIDATO.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Dihormati saudara Pengerusi Majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, tetamu kehormat, gugu-guru, rakan-rakan pelajar dan
seterusnya hadirin sekalian.

Pada pagi yang mulia ini saya akan menyampaikan pidato yang bertajuk
“Memartabatkan Bahasa Melayu.” Sesuai dengan Slogan 1Malaysia, kita juga harus
menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
Sesuai dengan statusnya sebagai bahasa rasmi dan digunakan dengan meluas,
bahasa Melayu memang perlu diutamakan dan dipertahankan. Tambahan pula
bahasa Melayu juga merupakan bahasa yang digunakan sebagai alat untuk
perpaduan kaum di negara kita. Oleh itu, bahasa Melayu perlu dimartabatkan untuk
menjadikannya lebih berkualiti dan mampu bersaing dengan bahasa-bahasa lain di
dunia. Selain itu, kita berharap agar bahasa Melayu akan menjadi bahasa yang
dinamik dan sentiasa mengalami proses penambahbaikan untuk menjadikannya
lebih relevan mengikut arus perubahan zaman.

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

Indikator saya yang pertama adalah memupuk kesedaran kepada anak-anak sejak
kecil. Antara usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk
kesedaran tentang pentingnya bahasa Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh
itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri anak-anak sejak kecil. Dalam hal
ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan oleh ibu bapa dan guru-guru.
Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu yang betul
apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan
kepentingan bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang
telah dijadikan lingua franca pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada
kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini dapat dipupuk sejak kecil, seperti kata
pepatah, “Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.” sudah pasti hasilnya
akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.

Hadirin sekalian,

Indikator saya yang kedua adalah melalui kempen dan peranan media massa. Pihak
berkuasa yang bertanggungjawab dalam perkara ini perlulah menjalankan kempen
untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang bertanggjawab dalam hal ini iaitu
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) haruslah menjalankan kempen yang berkesan
untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar cinta akan bahasa
Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak sekolah
dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti
yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut
memainkan peranan untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota
masyarakat. Hal ini demikian kerana, media massa memang berkesan dalam
mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang demikian, sudah pasti perkara ini akan
membuahkan hasil dan dapat meningkatkan penggunaannya dalam kalangan
masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa Melayu semakin meluas
digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia
Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, “Duduk sama rendah, berdiri
sama tinggi” dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.

Rakan-rakan dan hadirin sekalian,

Indikator saya yang ketiga ialah akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan
1963/67, pindaan 1994, perlulah diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan
perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu akta yang mewajibkan penggunaan
bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda atau iklan. Secara tidak
langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang yang
berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui
kenyataan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu
Pejabat Peguam Negara sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963
Dan Akta Pendidikan 1996 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor
awam dan agensinya yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan
mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan minit mesyuarat, urusan surat-
menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak
kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh
didakwa dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa
Melayu akan dapat dimartabatkan di negara kita.

Hadirin sekalian,

Indikator saya yang keempat ialah memperkasakan peranan pihak penguatkuasa.


Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang mencukupi kepada pihak
penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang yang
berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya
dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contohnya,
pihak penguatkuasa bahasa ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda
atau mendakwa pihak yang tidak mengikut undang-undang atau peraturan yang
berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu seperti yang telah diluluskan oleh
parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai pengajaran dan
menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa
Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak
mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Kesimpulannya, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu perlulah dipergiat dari sekarang. Selain itu, semua
pihak perlulah berganding bahu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu
tanpa mengira kaum. Sekiranya perkara ini tidak diberikan penekanan, ditakuti nanti
bahasa Melayu akan dipinggirkan daripada menjadi bahasa utama yang juga
menjadi bahasa rasmi negara kita. Jadi, marilah kita bersama-sama memartabatkan
penggunaan Bahasa Melayu agar bahasa ini akan terus berkembang dan
ditingkatkan martabatnya dengan menguar-uarkan slogan “Bahasa Melayu
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sekian sahaja pidato saya kali ini, dan saya ingin memohon maaf sekiranya tersilap
kata dan terdapat tutur bicara yang kurang sopan semasa saya menyampaikan
pidato tadi.

Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum


warahmatullahiwabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai