Anda di halaman 1dari 3

PANGLIMA KHALID AL WALID RA

KISAH PANGLIMA PERANG YANG DIPECAT KERANA TIDAK PERNAH BERBUAT


KESALAHAN ::

Catatan Ustaz Taha Tan Sri Hasan al-Azhari

Pada zaman pemerintahan Khalifah Syaidina Umar bin al-Khattab, ada seorang panglima perang
yang disegani lawan dan dicintai kawan. Panglima perang yang tidak pernah kalah sepanjang
kariernya memimpin tentera di medan perang. Baik pada saat beliau masih menjadi panglima
Quraish, mahu pun setelah beliau masuk Islam dan menjadi panglima perang umat muslim. Beliau
adalah Jeneral Khalid bin al-Walid.

Namanya harum dimana-mana. Semua orang memujinya dan memuliakannya. Ke mana beliau
pergi selalu disambut dengan teriakan, "Hidup Khalid, hidup Jeneral, hidup Panglima Perang, hidup
Pedang Allah yang Terhunus." Ya! Beliau mendapat gelar langsung dari Rasulullah SAW yang
menyebutnya sebagai "Pedang Allah yang Terhunus."

Dalam suatu peperangan, beliau pernah mengalahkan pasukan tentara Byzantium dengan jumlah
pasukan seramai 240,000 orang. Padahal pasukan muslim yang dipimpinnya saat itu hanya
berjumlah 46,000 orang sahaja. Dengan kecerdikannya mengatur strategi, pertempuran itu boleh
dimenangkannya dengan mudah. Pasukan musuh lari ketakutan.

Itulah Khalid bin al-Walid, beliau bahkan tidak gentar sedikit pun menghadapi musuh yang jauh lebih
ramai.

Ada satu kisah menarik dari Khalid bin al-Walid. Dia memang sangat sempurna di bidangnya, ahli
siasat perang, mahir segala senjata, hebat dalam berkuda, dan karismatik di tengah prajuritnya. Dia
juga tidak sombong dan berlapang dada walaupun dia berada dalam puncak populariti.

Pada suatu ketika, di saat beliau sedang berada di barisan hadapan untuk memimpin peperangan,
tiba-tiba datang seorang utusan dari Amirul mukminin Saidina Umar bin al-Khattab mengirim
sekeping surat. Di dalam surat tersebut tertulis pesanan ringkas, "Dengan ini saya nyatakan Jeneral
Khalid bin al-Walid dipecat sebagai panglima perang. Segera menghadap!"

Menerima khabar tersebut tentu saja jeneral sangat gusar hingga tidak boleh tidur. Beliau terus-
menerus memikirkan alasan pemecatannya. Kesalahan apa yang telah saya lakukan? Kira-kira
begitulah yang berkecamuk di dalam fikiran beliau kala itu.

Sebagai prajurit yang baik, taat pada orang atasan, beliau pun segera bersiap menghadap Khalifah
Umar Bin al-Khatab. Sebelum berangkat, beliau menyerahkan jawatan komando perang kepada
penggantinya.

Sesampai di depan Umar beliau memberikan salam, "Assalamualaikum ya Amirul mukminin!


Langsung saja! Saya menerima surat pemecatan. Apa betul saya dipecat?"
"Walaikumsalam warahmatullah! Betul Khalid!" Jawab Khalifah.

"Kalau masalah dipecat itu hak Anda sebagai pemimpin. Tapi, kalau boleh tahu, apa kesalahan
saya?"

"Kamu tidak punya kesalahan."

"Kalau tidak punya kesalahan kenapa saya dipecat? Apa saya tidak mampu menjadi panglima?"

"Pada zaman ini kamu adalah panglima terbaik."

"Lalu kenapa saya dipecat?" tanya Jeneral Khalid yang tidak boleh menahan rasa ingin tahunya.

Dengan tenang Khalifah Umar bin al-Khattab menjawab, "Khalid, Anda itu jeneral terbaik, panglima
perang terhebat. Ratusan peperangan telah Anda pimpin, dan tidak pernah sekalipun Anda kalah.
Setiap hari masyarakat dan prajurit selalu menyanjung Anda. Tidak pernah saya mendengar orang
memburuk-burukkan Anda. Tapi, ingat Khalid, Anda juga adalah manusia biasa. Terlalu banyak
orang yang memuji yang mungkin akan timbul rasa sombong dalam hatimu. Sedangkan Allah
sangat membenci orang yang memiliki rasa sombong. Seberat debu rasa sombong di dalam hati
maka neraka jahanamlah tempatmu. Kerana itu, maafkan aku wahai saudaraku, untuk menjagamu
terpaksa saat ini Anda saya pecat. Supaya Anda tahu, jangankan di hadapan Allah, di depan Umar
saja Anda tidak boleh berbuat apa-apa!"

Mendengar jawapan itu, Jeneral Khalid terpegun, bergetar, dan goyah. Dan dengan segenap
kekuatan yang ada, beliau langsung mendakap Khalifah Umar. Sambil menangis beliau berbisik,
"Terima kasih wahai Khalifah. Engkau saudaraku!"

Bayangkan sahabat, jeneral mana yang berlaku mulia seperti itu? Mengucapkan terima kasih
setelah dipecat. Padahal beliau tidak berbuat kesalahan apa pun. Adakah ada jeneral yang mampu
berlaku mulia seperti itu saat ini?

Hebatnya lagi, setelah dipecat beliau balik lagi ke medan perang. Tapi, tidak lagi sebagai panglima
perang. Beliau bertempur sebagai prajurit biasa, sebagai bawahan, dipimpin oleh mantan
bawahannya yang lalu.

Beberapa orang prajurit berasa hairan melihat mantan panglima yang gagah berani tersebut masih
mahu ikut ambil bahagian dalam peperangan. Padahal sudah dipecat. Lalu, ada di antara mereka
yang bertanya, "Wahai Jeneral, mengapa Anda masih mahu berperang? Padahal Anda sudah
dipecat?"

Dengan tenang Khalid bin al-Walid menjawab, "Saya berperang bukan kerana jabatan, populariti
dan bukan juga kerana Khalifah Umar. Saya berperang semata-mata kerana mencari keridhaan
Allah."

Sebuah kisah yang sangat indah dari seorang jeneral, panglima perang, Pedang Allah yang
Terhunus. Kita boleh mengambil banyak hikmah dari kisah ini. Betapa rendah hati sahabat Nabi
yang mulia ini. Beliau penuh kemuliaan, punya jawatan, masyhur, dan tidak pernah berbuat
kesalahan. Namun, ketika semua itu dicabut beliau sedikit pun tidak terpengaruh. Beliau tetap
berbuat yang terbaik. Kerana memang tujuannya semata-mata hanya mencari keridhaan Allah
SWT.

Semoga beliau dimuliakan di sisi Allah SWT, amin.

Anda mungkin juga menyukai