Anda di halaman 1dari 7

Drama Sebatang pen

Di masjid tempat selalu Napi solat berjemaah lima waktu.

Ustaz Zuki :Sesiapa sahaja yang berhajat hendak menunaikan fardu haji, mesti
membersihkan dirinya terlebih dulu. Maksud membersihkan diri itu
merangkumi beberapa perkara yang membabitkan dirinya dengan Allah juga
yang membabitkan dirinya dengan manusia lain.

Napi teringat kata-kata tersebut sambil memandang sebatang pen yang berusia tiga puluh
tahun lebih yang terbaring di atas meja rumahnya.
Perkara yang membabitkan diri seseorang dengan Allah ialah melangsaikan segala arahan
dan suruhan Allah. Napi faham maksudnya, iaitu kalau melakukan dosa, baik besar mahupun
kecil hendaklah bertaubat. Istighfar banyak-banyak dengan menanam azam tidak akan
melakukan dosa itu lagi. Wang yang hendak dibawa ke Makkah mestilah bersih. Maksudnya
ialah, wang itu mesti diperoleh dari sumber yang halal. Kalau belum bayar zakat, tunaikan
zakat dulu.

Napi ingat pula tentang yang membabitkan orang lain. Membabitkan hubungan sesama
manusia. Ia banyak perkara. Ia menyebabkan Napi termenng panjang

Napi : Berkelahi membabitkan manusia lain. Bertengkar membabitkan manusia lain.


Mengutuk orang membabitkan manusia lain. Mengumpat orang membabitkan
manusia lain.
Mencuri barang orang membabitkan manusia lain. Semuanya membabitkan dosa
sesama manusia lain yang mesti dibersihkan. Aku tidak pernah berkelahi. Aku tidak
pernah bertengkar. Aku tidak pernah membuat kutukan. Aku tidak pernah melakukan
umpatan.

Derap kaki menghampiri mejanya mengejutkan Napi. Dia menoleh. Dia nampak isterinya,
Zizah.

Zizah : Milah telefon, dia nakkan komputer.

Napi : Okey.

Zizah : Abang okey saja dengan kehendak Milah.

Napi mendongak pada wajah isterinya Zizah.

Zizah : Nanti manja budak tu.

Napi menggeleng-geleng kepalanya.


Zizah : Kenapa dengan abang?

Napi : Zah tak tahu susahnya abang belajar dulu.

Zizah terdiam.

Napi :Abang tak pernah dapat walaupun sebatang pen daripada mak abang untuk belajar
dulu.

Zizah menarik sebuah kerusi lalu duduk di sebelah Napi. Wajahnya pada wajah suaminya itu
yang kelihatan seperti mengimbau kenangan zaman silam. Dia menunggu.

Napi : Itu, itu, pen yang terbaring di atas meja itu

Zizah memandang pen itu.

Napi : Pen itu pen curi Zah. Masa abang darjah lima dulu orang lain dalam darjah abang
semua pakai pen, tapi abang masih gunakan pensil. Abang malu kerana selalu diperli.
Laku abang curi pen itu di kedai Pak Abu.

Zizah : Ah! Cuma sebatang pen, bang.

Napi : Benar. Apalah sangat sebatang pen. Tapi bagi abang yang miskin ini, terasa.

Zizah : Jadi sebab itu sebarang apa saja kehendak Milah untuk belajar abang penuhi?

Napi mengangguk. Zizah menarik nafas payah.

Napi : Abang mau dia belajar dengan suka.

Zizah : Tapi Zah bimbang.

Napi : Bimbang apa?

Zizah : Bukan abang tak tahu zaman moden ini. SMS melalui telefon bimbit. Hal-hal negatif
melalui internet.

Napi : Abang yakin pada Milah. Telefon bimbitnya untuk senang dia hubungi kita.
Komputer yang dimintanya itu untuk dia belajar. Banyak pelajaran akan diperolehnya
nanti melalui internet.

Zizah : Macam mana abang boleh yakin?


Napi : Dengan kita selalu hubunginya. Dengan selalu kita bertanya khabarnya. Dan apabila
dia balik, kita boleh periksa telefonnya, komputernya.

Zizah diam. Napi balik memandang pen yang terbaring di atas mejanya.

Zizah : Habis, yang Zah tengok abang kadang-kadang runsing semacam tu kenapa?

Napi : Pen itu mengganggu emosi abang.

Zizah : Kenapa?

Mata Napi bulat pada wajah isterinya Zizah.

Zizah : Kenapa bang?

Napi : Tadi kan abang beritahu Zah, bahawa pen itu pen curi?

Zizah : Ah! Ia cuma sebatang pen, bang.

Napi : Tapi ia tetap barang curi. Dosa abang mencuri pen itu masih ada.

Zizah : Lalu?

Napi : Kita nak ke Makkah lepas puasa nanti kan,

Napi memandang wajah isterinya.

Napi : Abang kena bersihkan diri abang. Zah juga. Kalau tak, haji kita nanti tergantung.

Napi memandang kepala Zizah yang tunduk. Dia kemudian mencapai terjemahan al-Quran.
Dia membuka pada surah Az-Zalzalah. Dia membaca dan penumpuan Napi terus pada ayat
tujuh.

Napi : Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zahrah, nescaya akan dilihatnya dalam surat
amalnya.

Napi terus kepada ayat lapan.

Napi : Dan sesiapa berbuat kejahatan sebesar zahrah, nescaya akan dilihatnya dalam surat
amalnya.

Napi membaca pula nota kaki di bawah.


Napi : Dua ayat itu menerangkan bahawa masing-masing akan menerima balasan amalnya
sama ada yang baik atau yang buruk, walau yang sebesar debu sekalipun.

Napi ingat ayat itu sudah berkali-kali didengarinya dari mulut Ustaz Zuki. Napi ingat benar
bahawa pen itu, pen curi. Dengan demikian dia telah melakukan satu dosa yang membabitkan
dirinya dengan manusia lain. Dan manusia lain dalam kes pen itu ialah Pak Abu.
Napi teringat kata Ustaz Zuki.

Ustaz Zuki : Tuan kena bersihkan.

Napi mendongak pada wajah Ustaz Zuki.

Ustaz Zuki : Kalau tuan tak malu ceritakan pada saya, kenapa tuan harus malu nak jumpa
Pak Abu? Jumpalah dia. Mohon ampun, mohon halalkan pen itu. Kalau boleh
tuan belikan sebatang pen berikan kepada Pak Abu.

Wajah Napi masih pada wajah Ustaz Zuki.

Ustaz Zuki : Itu saja caranya membersihkan diri tuan dengan Pak Abu itu.

Napi ingat dia mangangguk.

Napi ingat dia menanam azam untuk menemui Pak Abu. Lalu dia membeli sebatang pen
Parker siap dengan kotaknya sekali. Napi membuka laci mejanya. Dia capai kotak pen
Parker. Dia genggam kotak itu.

Zizah : Abang ingatkan apa dengan pen itu?

Napi menoleh pada Zizah isterinya di sebelah.

Napi : Abang nak jumpa Pak Abu. Dia sudah uzur.

Zizah : Abang nak mengaku yang abang curi pennya dulu?

Napi mengangguk

Zizah : Tak malu ke abang?

Napi diam

Zizah : Bekas DO mengaku mencuri pen?

Napi : Abang Malu pada Allah.


Zizah meluaskan matanya pada wajah suaminya Napi.

Napi : Pak Abu hanya manusia biasa. Abang tahu. Tapi abang tetap sebagai pencuri
sebatang pen dari kedainya. DO pangkat abang itu masa bekerja. Tapi Zah kena ingat
pangkat itu abang peroleh adalah jasa dari pen sebatang yang abang curi itu.

Zizah berdiri lalu keluar dari bilik kerja Napi.

Petang itu selepas sembahyang Asar di masjid, Napi ke rumah Pak Abu yang tidak jauh dari
masjid. Di tangannya kotak pen Parker. Setelah memberi salam, Napi dijemput masuk ke
ruang tamu rumah Pak Abu.

Napi : Asslamualaikum.

Setelah memberi salam, Napi dijemput masuk ke ruang tamu rumah Pak Abu. Pak Abu
keluar dengan bertongkat lalu lambat-lambat duduk di kerusi sebelah Napi.

Pak Abu : Allah Tuan.

Kata Pak Abu apabila tangannya dicapai oleh Napi lalu menciumnya. Mata Napi pada wajah
Pak Abu.

Pak Abu : Apa hajat tuan ke mari?

Napi segera menyerahkan kotak pen Parker itu kepada Pak Abu.

Pak Abu : Apa ni tuan?

Pak Abu membuka kotak itu. Dia nampak sebatang pen Parker. Lalu matanya pada wajah
Napi bekas pegawai daerah yang pernah ditemui dan selalu memanggilnya tuan itu.

Pak Abu : Kenapa tuan?

Napi : Pak Abu ingat tak mak saya?

Pak Abu : Ingat. Mek Som. Dia meninggal di Makkah kan?

Napi : Pak Abu ingat tak kami miskin masa itu?

Pak Abu : Saya ingat. Tapi tuan tidak pernah berhutang di kedai saya. Walau secupak
beras, tuan bayar tunai

Dia memandang wajah Pak Abu dengan mata berkaca. Tidak lama kaca-kaca dalam matanya
itu kemudian bertukar air mata lalu ia mengalir laju.
Pak Abu : Kenapa tuan? Ada saya tersalah cakap?

Napi menggeleng-gelengkan kepalanya. Pak Abu masih memandang wajah Napi. Napi
kemudian duduk lalu memegang lutut Pak Abu.

Pak Abu : Kenapa tuan?

Napi : Saya minta maaf dengan Pak Abu.

Wajah Napi pada kedua lutut Pak Abu.

Pak Abu : Saya tak faham tuan. Kenapa begini? Tak baik dilihat orang.

Tangan Pak Abu mencapai lengan Napi dan berusaha untuk mengangkatnya. Napi
mendongak.

Napi : Pak Abu memang tak sedar. Pak Abu memang tak ingat.

Pak Abu : Apa dia tuan?

Napi : Saya curi sebatang pen di kedai Pak Abu dulu.

Pak Abu senyum. Napi balik duduk pada mejanya.

Napi : Saya minta maaf dan minta dihalalkan pen itu, Pak Abu.

Pak Abu : Ah! Masa itu tuan budak. Cuma nakal, bukan jahat.

Napi : Tapi saya tetap mencuri pen Pak Abu. Maafkan saya Pa Abu.

Pak Abu : Jadi ini, sebagai ganti pen itu?

Pak Abu angkat kotak pen Parker. Napi mengangguk.

Pak Abu : Ini mahal tuan. Pen yang tuan curi dulu murah saja.

Napi : Pen seperti itu sudah tak ada sekarang.

Pak Abu : Terima kasihlah tuan.

Pak Abu menghulurkan tangannya ke hadapan Napi. Napi menyambut tangan Pak Abu.

Napi : Maafkan saya, halalkan pen itu, Pak Abu.


Pak Abu : Saya rasa syukur, kerana pen itu tuan boleh belajar dengan baik. Tuan
mengaku curi pen itu. Saya hargai ikhlas tuan. Saya halalkan pen itu untuk
tuan. Saya maafkan kalau itu dikira dosa tuan terhadap saya. Dunia akhirat.
Selebihnya saya serahkan kepada Allah.

Napi lalu mendakap badan Pak Abu. Mereka berpelukan.

Napi : Terima kasih Pak Abu.

Badan mereka berpisah.

Pak Abu : Tapi pen ini? Saya tak menulis lagi sekarang. Tangan dah menggigil.

Napi : Pak Abu kena terima. Ikhlas daripada saya. Tanda sesal saya pada Pak Abu.

Pak Abu mengangguk. Dia lalu memegang pen Parker itu kemas-kemas.

Dengan ucapan memohon maaf sekali lagi kepada Pak Abu, Napi lalu memohon diri untuk
pulang. Kepalanya terasa ringan. Dadanya rasa lapang.

TAMAT

Anda mungkin juga menyukai